Important Announcement
PubHTML5 Scheduled Server Maintenance on (GMT) Sunday, June 26th, 2:00 am - 8:00 am.
PubHTML5 site will be inoperative during the times indicated!

Home Explore eBuku HSDR7

eBuku HSDR7

Published by Designer Space Communications, 2023-01-20 03:21:43

Description: eBuku HSDR7

Search

Read the Text Version

27 Januari 2023 8.00 malam Galasa Caldwell, Ipoh 1

Persada Kata Bagi pihak Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan mengucapkan selamat datang kepada hadirin acara Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 (HSDR-7). Walaupun dunia telah menembusi fasa teknologi yang begitu deras dan mencabar, namun sebagai insan bertamadun, kita tidak seharusnya mengetepikan aspek- aspek kreativiti, apatah lagi yang berkaitan dengan bidang kesusasteraan dan dunia persuratan Melayu. Anugerah serta hadiah yang disediakan oleh kerajaan negeri ini merupakan satu pengiktirafan kepada tokoh-tokoh serta para penggiat sastera. Penghasilan karya penulisan yang segar dan mengandungi inti pati yang berfaedah untuk diapresiasi sesungguhnya harus diberikan galakan dan sokongan. Semoga penganugerahan ini dapat menyuntik semangat dalam kalangan para penulis yang bergiat dalam bidang kesusasteraan dan dunia persuratan Melayu. 2

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya dua agensi kerajaan negeri iaitu PORT (People of Remarkable Talents) dan Tourism Perak kerana memberikan kerjasama membantu melicinkan perjalanan program HSDR-7 bagi pihak kerajaan negeri. Semoga dunia sastera dan persuratan Melayu negara semakin meningkat martabatnya dengan kehadiran lebih banyak karya-karya hebat hasil sentuhan anak-anak Perak. Dato’ Seri Saarani bin Mohamad Menteri Besar Perak Darul Ridzuan 3

Persada Kata Negeri Perak Darul Ridzuan sesungguhnya amat bertuah kerana bukan sahaja dilimpahi dengan segala macam kekayaan alam semula jadi dan pelbagai persejarahan penting malah turut melahirkan bakat-bakat dalam kalangan para sasterawannya yang turut sama menyumbang kepada keberadaan bidang kesusasteraan dan dunia persuratan Melayu tanah air. Seumpama bidang kreatif yang lain, bidang sastera dan penulisan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam dunia pendidikan tanah air. Penyampaian sesuatu ilmu tidak hanya terbatas kepada sukatan pelajaran sekolah mahupun institusi-institusi pengajian tinggi. Ia bergelumang dalam masyarakat melalui karya-karya puisi, novel, serta lain- lain bentuk penulisan kreatif yang berkualiti dan segar yang membawa pengetahuan- pengetahuan tentang kehidupan di luar konteks akademia. Sumbangan penulisan yang bermula daripada peringkat kanak-kanak misalnya, boleh menjadi benih ilmu yang bakal menumbuhkan pohon berakar tegap yang mampu bertahan walaupun digugah ribut taufan. Begitu juga dengan karya-karya yang menyasarkan golongan remaja dan belia yang sudah pasti boleh berfungsi sebagai panduan yang bermanfaat untuk perjalanan hidup mereka. Saya amat berbangga kerana satu bentuk pengiktirafan berterusan sebegini disokong oleh pihak kerajaan negeri. Semoga lebih banyak kerja-kerja penulisan oleh anak-anak Perak bakal menghiasi dunia sastera dan persada persuratan Melayu tanah air. Y.B. Khairudin bin Abu Hanipah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan 4

Persada Kata Selain tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara, Negeri Perak Darul Ridzuan juga boleh bermegah dengan pelbagai latar bangsa dan budayanya yang rencam. Ini termasuklah bidang sastera dan penulisan yang juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sosiobudaya masyarakat kita. Anak-anak Perak telah melebarkan sayap mereka ke persada dunia melalui kepakaran dalam pelbagai bidang termasuklah dalam dunia sastera dan persuratan Melayu. Karya-karya mereka bukan hanya melebar secara domestik, tetapi melangkau jauh hingga ke peringkat Nusantara dan antarabangsa. Justeru, penghargaan dalam bentuk penganugerahan sebegini amatlah penting demi menyuntik semangat khususnya kepada para sasterawan muda untuk terus menghasilkan karya-karya yang hebat, bermutu dan merentasi zaman. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan hadiah bagi edisi Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 ini. Semoga pengkaryaan anda semua akan terus mekar dan berupaya memberikan ilham serta menjadi landasan berguna kepada masyarakat majmuk Malaysia secara keseluruhannya. Y.B. Loh Sze Yee Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor 5

Atur cara 7.45 malam Ketibaan dif-dif jemputan 8.15 malam Ketibaan Y.B. Encik Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak 8.30 malam Ketibaan Y.B. Encik Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Nyanyian lagu “Negaraku” dan “Negeri Perak” Persembahan tarian pembukaan oleh JKKN Negeri Perak Bacaan doa Jamuan diiringi persembahan Kumpulan Gambus Padang Changkat 6

Ucapan Alu-aluan oleh Y.B. Encik Loh Sze Yee Ucapan Perasmian oleh Y.B. Encik Khairudin bin Abu Hanipah, mewakili YAB Menteri Besar Perak Ulasan Ketua Panel Penilai Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 oleh Dr. Mohd Hanafi bin Ibrahim Penyampaian Hadiah Kategori B Bacaan puisi oleh YBhg. SN Dato’ Rahman Shaari Penyampaian Hadiah Kategori A Penyampaian Sijil kepada Panel Penilai Penyampaian Anugerah Utama 11.00 malam Majlis Bersurai 7

Hadiah Sastera Darul Ridzuan Biodata Panel Penilai Ulasan Keseluruhan Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7 (HSDR-7) 8

9

Hadiah Sastera Darul Ridzuan 1. Pengenalan Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan karya-karya yang bermutu tinggi yang dihasilkan oleh para penulis yang berasal dari negeri Perak atau yang telah bermastautin di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun semasa karyanya terpilih. 2. Kategori 2.1 HSDR-7 meliputi 11 kategori yang melibatkan keseluruhan genre penulisan. Selain daripada itu empat anugerah utama juga dibuka untuk pencalonan, masing-masing Sasterawan Perak Darul Ridzuan, Ilmuwan Negeri, Karyawan Sepanjang Hayat dan Pejuang Sastera. 2.2 Sasterawan Perak Darul Ridzuan akan menerima wang tunai RM30,000.00, piala iringan dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak. 2.3 Ilmuwan Negeri Perak Darul Ridzuan akan menerima wang tunai RM20,000.00, piala iringan dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak. 2.4 Karyawan Sepanjang Hayat akan menerima wang tunai RM20,000.00, piala iringan dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak. 2.5 Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan akan menerima wang tunai RM15,000.00, piala iringan dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak. 3. Objektif 3.1 HSDR diwujudkan sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada para penulis Perak kerana sumbangan yang diberikan dalam bidang 10

pengembangan bahasa dan sastera. Program ini diharapkan dapat mendorong dan menjana kreativiti penulis Perak agar lebih produktif dan mencipta karya sastera yang lebih berkualiti sebagai khazanah persuratan bangsa. Secara terperincinya, matlamat program adalah seperti berikut: ● Meneliti dan menilai perkembangan kesusasteraan di Negeri Perak. ● Menjadi ukuran terpenting untuk memantau prestasi penulis-penulis Perak. ● Menjadi dorongan kepada para penulis untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti. ● Mendapatkan hasil karya sastera yang bermutu yang ditulis dalam Bahasa Melayu. ● Menggalakkan para penggiat sastera dan persuratan untuk berusaha lebih giat lagi dalam pengembangan bahasa dan sastera di Perak. ● Memberi penghargaan kepada para penulis Perak yang telah menghasilkan karya yang bermutu tinggi. 4. Panel Penilai 4.1 Sebuah Panel Penilai yang terdiri daripada mereka yang berwibawa dalam bidang masing-masing dilantik bagi menilai karya-karya. 5. Kelayakan 5.1 Penyertaan terbuka bagi penulis seperti di bawah; 5.1.2 Warganegara Malaysia rakyat negeri Perak yang berkarya di negeri Perak, di luar negeri Perak atau luar negara, atau 5.1.3 Warganegara Malaysia yang bermastautin di Perak sekurang- kurangnya lima tahun. 5.2 Karya-karya mestilah asli, bukan terjemahan, saduran, penyesuaian atau apa jua pengertian yang boleh menyebabkan karya itu tidak asli. 11

Biodata Panel Penilai Dr. Mohd Hanafi Ibrahim (Ketua Penilai) Mohd. Hanafi Ibrahim mendapat pendidikan sehingga peringkat Ph.D di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pernah bertugas sebagai Pengarah di Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Beliau menghasilkan esei, kritikan, kajian sastera, cerpen dan puisi. Pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1986) dalam genre cerpen, dan menerima Hadiah Sastera Darul Naim (2003) dalam bidang esei. Esei dan kajian sasteranya diterbitkan dalam Dewan Sastera, jurnal Malay Literature, Pangsura dan dalam buku, antaranya buku Kajian Bandingan Cerpen Sebelum Merdeka Brunei, Indonesia dan Malaysia (2007), dan Kesusasteraan Melayu Moden 1920-1940 (2004)); Cerpen diterbitkan dalam antologi Penantian, Kehadiran yang Dilupakan, Cermin, Gemilang dan Inthanon (kumpulan cerpen penulis-penulis ASEAN-COCI, 1995). Beliau ialah penyelidik bersama bagi projek ‘Gender dalam Sastera Melayu’ dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, penyelidik pakar dalam MASTERA Malaysia dan Sidang Editorial bagi projek ASEAN Committee on Culture and Information (COCI), “ASEAN 20th Century Literatures.” Selain terlibat sebagai panel penilai antaranya dalam Siri Hadiah Kumpulan Utusan (2004-2016), Hadiah Penghargaan Penulis Muda MASTERA, Hadiah Sastera MASTERA, Hadiah Sastera Tunas Cipta, Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim, Hadiah Sastera Sarawak, Hadiah Sastera Sabah, S.E.A. Write Award, Hadiah Sastera Singapura, Hadiah Sastera Negeri Kelantan, Hadiah Sastera Darul Iman, Hadiah Sastera Darul Ridzuan dan lain-lain. Beliau ialah Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA). Zaen Kasturi Zainal bin Palit atau lebih dikenali dengan nama pena Zaen Kasturi lahir di Melaka pada tahun 1964. Beliau pemegang Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya dan Sarjana Sastera dari University of London. Beliau pernah bertugas sebagai wartawan Karangkraf (1988-1989), Berita Harian (1989-1990) dan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Perancang Bahasa dan Editor Majalah (1990-1996). Pernah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Rangkaian Strategik, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) (2000-2015), beliau juga merupakan Pensyarah Sambilan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (2019-2020). Karya cerpen beliau yang diterbitkan adalah seperti Yuda (DBP, 1992) (menang Hadiah Sastera Malaysia 1991/1992), Rapsodi (DBP, 1998) dan Zamindar (ITBM, 2017). Kumpulan puisi adalah seperti Katarsis (DBP, 1993), Iga (DBP, 2005) dan 77 Tuju: Siri Ingatan kepada Kawan (ITBM, 2015) (menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016). Beliau juga mempunyai banyak pengalaman sebagai hakim ataupun penilai Hadiah Sastera peringkat negeri dan juga Hadiah Sastera Perdana Malaysia termasuklah Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award). 12

Dr. Mohamad bin Shaidan Mohamad bin Shaidan dilahirkan di Perlis pada tahun 1961 dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia; ijazah Sarjana Sastera Universiti Putera Malaysia; dan ijazah Doktor Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia. Pernah bertugas di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (1986) dan kemudiannya sebagai editor di Bahagian Majalah dan Bahagian Buku Sastera, dan di Bahagian Penyelidikan Sastera (2012-2018). Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Lisan Melayu (DBP,1990) dan Puisi Melayu Berunsur Islam (DBP, 2000) ialah kumpulan puisi tradisional yang terhasil daripada penyelidikan lapangan beliau. Selain daripada terlibat dengan penyediaan dan penerbitan majalah Pelita Bahasa setiap bulan, penulisan ilmiah beliau juga diterbitkan dalam Perisa, Malay Literature, Pelita Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Utusan Malaysia dan Berita Harian. Beliau juga menghasilkan buku Mencintai Pantun dan Panduan Penganjuran dan Pengalaman Juri bersama-sama dengan Faezah Muhayat dan Musaliza Mustan Shir. Sebanyak tujuh buah cerita rakyat untuk bacaan kanak-kanak telah diterbitkan oleh DBP dan ITBM. Beliau pernah menerima Hadiah Sastera Malaysia ke-16 dalam kategori puisi (2010). Selain itu, beliau pernah mewakili Malaysia dalam program ASEAN Writers Workshop di Indonesia (1996) dan Program Penulisan MASTERA VIII di Palembang (2004), dan menyertai Pesta Buku Antarabangsa di Frankfurt, Jerman (2004). Dr. Awang Azman Awang Pawi Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi seorang pensyarah di Jabatan Sosiobudaya dan Kesenian, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). Beliau pernah dilantik menjadi Timbalan Pengarah (Ijazah Tinggi) di Universiti Malaya, menjadi Visiting Scholar di The Leiden University Institute for Area Studies (LIAS University of Leiden, Netherlands) dan sarjana tamu Oriental Institute of the Czech Academy of Sciences. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (Genre Kritikan), Anugerah Sastera Sarawak (Kritikan), Pemenang Hadiah Sastera Sarawak (Kritikan), Pembimbing Esei Kritikan Penulis Muda Asia Tenggara di Bandung, membentangkan makalah dalam dan luar Negara dalam sastera, budaya dan politik Melayu. Selain menjadi panel pakar Majlis Kesusasteraan Asia Tenggara (MASTERA), beliau kini kolumnis akhbar Utusan Sarawak dan Sin Chew Daily. Beliau juga ahli EUROSEAS (European Association for Southeast Studies). Buku terkini beliau ialah Kajian Biografi SN Muhammad Haji Salleh terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2023). 13

SM Zakir S.M. Zakir atau nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman Al- Yahya adalah penerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera (2010) dari Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Jakarta, Indonesia. Beliau juga penerima Anugerah S.E.A. Write Award (2011) dari S.E.A Write Council di Bangkok, Thailand. Telah menerima puluhan anugerah sastera kebangsaan termasuk paling utama ialah Hadiah Sastera Perdana kategori Buku Kumpulan Cerpen 1994/95 (Merengkuh Langit), Anugerah Sastera Kelantan kategori Buku Kumpulan Cerpen (Sekuntum Kembang di Sayap Jibril), Hadiah Sastera MASTERA kategori Buku Kumpulan Cerpen 2012 (Serigala dan Sekuntum Tulip), Hadiah Sastera Perdana kategori Buku Kumpulan Cerpen 2010/11 (Serigala dan Sekuntum Tulip). Anugerah Buku Negara 2018 Kategori Kumpulan Cerpen (20 Cerita Tentang Tuhan), Anugerah Sastera Kelantan Kategori Kumpulan Cerpen 2021 (20 Cerita Tentang Tuhan), dan Anugerah Sastera Kelantan Kategori Kumpulan Puisi 2021 (Perjalanan Sang Zaman). Sharif Shaary Dilahirkan pada 18 April 1951 di Perlis, Sharif Shaary memperoleh ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan dari USM, Pulau Pinang (1978) sebelum menjadi pendidik sehingga bersara pada 2007. Beliau pernah menjadi pensyarah sambilan di UiTM Arau, Perlis dalam bidang teater/drama. Dalam bidang penulisan kreatif, penulis telah menghasilkan beberapa buah skrip drama seperti, “Obsesi”, “Keliruisme”, “Paradoks” dan “Dia yang Sepi”. Selain itu, penulis juga menulis buku-buku ulasan bagi mata pelajaran kesusasteraan bagi SPM, STPM dan KOMSAS (Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu) bagi Tingkatan 1, 2, 3, 4, dan 5. Penulis juga mempunyai pengalaman mengarah beberapa buah teater untuk pertandingan Festival Teater di peringkat negeri dan kebangsaan. Teater “Bukan Gila” (1993) dan “Begitu Begini” (2009) menjadi johan di peringkat negeri Perlis. Che Abdullah Che Ya Che Abdullah Che Ya merupakan pemegang ijazah Sarjana (1988) dan Sarjana Muda (1994) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau sering terlibat sebagai pembentang, antaranya seperti di Persidangan Kebangsaan Sarjana Muda Sains Sosial dan Kemanusiaan (UKM, 2018) dan Kolokium Teori Sastera: Pengkaedahan Melayu Sebagai Asas Penelitian Khazanah Sastera Kebangsaan (DBP Kuching, 2018). Beberapa penulisan beliau pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, antaranya seperti Novel Berunsur Politik Kenegaraan Malaysia dan Indonesia: Kajian Bandingan. (2016) dan Politics in the Novels of Shahnon Ahmad. Critical Views on Works by Shahnon Ahmad (2017). Beliau merupakan panel penilai Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2012-2020) dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2006-2019). 14

Dr. Norhayati Ab. Rahman Norhayati Ab. Rahman, atau lebih dikenali dengan nama penanya Haryatie Ab. Rahman, dilahirkan di Tumpat, Kelantan. Memegang jawatan Profesor Madya Dr. di Jabatan Kesusasteraan Melayu Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKKM) dan Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu di Akademi Pengajian Melayu, di universiti yang sama. Bidang pengkhususan beliau ialah Kesusasteraan Bandingan, Kritikan Kesusasteraan serta Sastera dan Gender. Cerpen remajanya pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU, 1989). Karya- karya puisinya disiarkan dalam media massa seperti akhbar Watan, Mastika, Dewan Sastera, Majalah Nona dan Mingguan Malaysia. Kumpulan puisi beliau berjudul Berguru Pada Sejarah (2018) diterbitkan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Beliau adalah AJK Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Timbalan Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI). Selain itu, beliau sering terlibat sebagai Panel Penilai antaranya untuk Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA, 2012-2017), Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) (2011-2018), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) (2012-2018), Anugerah Buku Negara (2015-2017), Anugerah Akademik Negara (AAN) (2014- 2021) dan S.E.A. Write Award (Malaysia) (2011- 2013). Mahaya Mohd. Yassin Dilahirkan di Negeri Sembilan, Mahaya Mohd. Yassin ialah pesara pendidik, penulis, Munsyi Dewan (Bahasa), Bekas Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) (2006-2020), dan pengulas puisi Dewan Siswa, DBP sejak 2011. Beliau menulis puisi dan cerpen untuk kanak-kanak, remaja dan umum. Mahaya terpilih mewakili Malaysia dalam Program Pertukaran Belia Malaysia-Kanada (1972), terlibat dalam penggubalan sukatan, penilaian dan pemilihan buku teks KOMSAS serta menyampaikan kertas kerja dan melaksanakan kegiatan kaedah sastera dan sastera kanak-kanak di Singapura, Bandung dan Brunei Darussalam. Antara pencapaian beliau adalah menerima Hadiah Buku Terbaik (1979) Kucing dengan Tupai; Hadiah Sastera Perdana: memoir Kuasa Kata: dari Lisan Mengalir ke Lautan Aksara, (2012), Pesanan Pendeta (2013) dan Sakura (2014). Buku (2018) dan Harkat Maya (2019) memenangi Anugerah Buku Negara. Beliau juga penerima Anugerah Sri Nona, TV3 (1997), Tokoh Seni Negeri (2002), Hadiah Sastera Perdana (karya eceran) (1998-1999, 2000-2001, 2006-2007), Anugerah Sastera Negeri Sembilan (2005, 2007) dan Anugerah Sasterawan Negeri Sembilan (2015). 15

Pengenalan Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) merupakan kegiatan pengiktirafan karya dan tokoh bagi peringkat negeri Perak. Kegiatan pengiktirafan ini merupakan kali yang ketujuh dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Pada kali ini penganjuran HSDR diuruskan melalui People of Remarkable Talents (PORT) dan Tourism Perak dengan kerjasama pihak-pihak yang lain. Seperti kebiasaan, HSDR menjadi rebutan ramai penulis dan kali ini, sebanyak 423 penyertaan telah diterima. Penilaian adalah untuk karya sastera dalam bentuk buku atau kumpulan; kedua, karya sastera dalam bentuk eceran yang tersiar dalam pelbagai media penerbitan; dan ketiga, kategori Anugerah Utama Tokoh Sastera Perak. Genre sastera yang dinilai termasuklah cerpen, drama, puisi, rencana, esei, kritikan, biografi, autobiografi dan memoir. Bagi genre puisi umum, penilaian karya adalah dalam bentuk kumpulan puisi dan puisi eceran. Manakala genre cerpen umum pula, penilaian adalah pada karya dalam bentuk kumpulan cerpen dan cerpen eceran. Penilaian genre novel pula terbahagi kepada novel dewasa, novel remaja dan novel kanak-kanak. Bagi genre drama, hadiah yang disediakan adalah untuk drama radio, drama pentas, dan drama televisyen. Hadiah juga disediakan untuk buku biografi, memoir dan buku autobiografi. Penilaian karya puisi seperti yang ditetapkan adalah dengan menggunakan beberapa kriteria antaranya termasuklah aspek ujaran subjek, kesan nilainya, aspek langgam 16

bahasa seperti keberkesanan penggunaan imageri, ketepatan kata dan kesan makna, simbolisme, dan rentak sesuai dengan muatan isinya. Kumpulan Puisi juga dinilai melalui aspek pencapaian mutu karya secara keseluruhan sebagai satu ikatan karya. Bagi puisi eceran, kriteria penilaian tersebut juga digunakan bagi menilai sesebuah puisi dan seterusnya menentukan pemenang. Penilaian terhadap cerpen eceran bergantung pada tiga perkara pokok, iaitu isi, penyampaian dan estetika. Ciri-ciri tersebut antaranya mengandungi nilai yang berguna, muatan idea yang baharu. Manakala dari segi teknik garapan cerpen dilihat pada kebijakan mengeksploitasikan wahana puitika, nilai emotif dan membekaskan kesan ekspresif yang kuat. Aspek bahasa cerpen dilihat pada pemilihan kata, penyusunan ayat dan gaya serta keupayaannya memberikan jiwa secara ekspresif hingga melahirkan ketinggian mutu estetika. Penilaian terhadap karya kanak-kanak dan remaja berdasarkan aspek kesatuan organik karya, keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, serta inovasi dan kreativiti. Bagi novel dewasa kekuatannya terletak pada aspek pemikiran, kematangan pengolahan subjek, binaan bentuk, teknik, strategi naratif dan alatan sastera yang memberikan impak terhadap kesan nilai serta bahasa yang kemas dan mampu menyampaikan nilai secara alamiah. 17

Genre drama pula dinilai dari segi idea, cerita dan watak yang menarik, pembinaan plot naratif yang relevan dan kemas, struktur dramatik atau penyusunan babakan, adegan dan peristiwa, penggunaan bahasa dan pemilihan kata-kata yang bersesuaian dan wujud elemen keindahan pengucapannya dalam menyampaikan cerita dan mesej. Bagi kategori buku sastera, buku biografi, buku autobiografi, buku memoir, penilaiannya berdasarkan keaslian karya, struktur penulisan yang jelas dan tersusun, idea yang baharu, paparan fakta yang tepat, huraian yang kritis serta penghujahan yang bernas serta gaya bahasa yang bersesuaian. Kriteria tersebut juga digunakan untuk menilai genre penulisan bukan kreatif seperti kajian sastera, rencana atau esei dan kritikan sastera. Penilaian terutamanya terhadap aspek kebaharuan idea dan pemikiran yang dapat mengangkat nilai sastera, ujaran dan wacananya disusun dengan komposisi yang teratur dan disertakan fakta dengan bukti yang wibawa. Pada tahun penilaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 (HSDR-7), pihak urus setia juga telah membuka pencalonan bagi empat kategori anugerah tokoh kepada para penulis negeri Perak yang telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan kesusasteraan dan persuratan Melayu, khususnya yang dapat mengangkat citra negeri Perak sebagai negeri berbudaya dalam lapangan kesenian sastera dan persuratan. Anugerah tersebut ialah Sasterawan Negeri, Ilmuwan Negeri, Karyawan Sepanjang Hayat dan Pejuang Sastera. Bagi kategori Anugerah Sasterawan Negeri beberapa kriteria penilaian ditetapkan antaranya termasuklah penilaian berdasarkan sumbangan karya secara berterusan, pencapaian mutu karya yang dihasilkan pada peringkat negeri, kebangsaan, serantau dan antarabangsa, penilaian sumbangan pemikiran calon berdasarkan karya dan juga 18

penilaian terhadap sumbangan pengarang dalam kegiatan pengembangan sastera Melayu secara langsung dan tidak langsung. Penilaian Anugerah Ilmuwan Negeri dibuka pencalonannya kepada kalangan ilmuwan dalam bidang kesusasteraan Melayu dan bidang persuratan yang mencakupi kesusasteraan, kebudayaan dan kesenian. Penilaian ini meliputi sumbangan karya ilmiah pengarang dalam bidang kesusasteraan dan persuratan Melayu. Beberapa aspek dinilai antaranya termasuklah impak ujaran, bahasan, gagasan pemikiran calon dalam bidang yang dihasilkannya yang membawa sumbangan besar terhadap kemajuan ilmu kesusasteraan dan persuratan Melayu. Penilaian lain termasuklah sumbangan tokoh kepada kegiatan yang menggerakkan pemikiran baharu dalam bidang ilmu yang diusahakan calon. Bagi kategori Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat pula, penilaian berdasarkan sumbangan pengarang dan karya secara berterusan dalam tempoh lima dekad, penilaian terhadap iltizam pengarang dalam meneruskan kelangsungan hayat pengkaryaan dan kepengarangannya, penilaian berdasarkan sumbangan pemikiran yang menyerlahkan kesan kehadiran kepengarangannya pada dekad pengkaryaannya, penilaian terhadap sumbangan kegiatan kesusasteraan dan seterusnya penilaian terhadap impak sumbangan pengarang terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu. Penilaian Anugerah Pejuang Sastera pula berdasarkan sumbangan calon dalam gerakan kesusasteraan melalui persatuan, pertubuhan, organisasi sastera, penerbitan dan sumbangan lain yang berkaitan secara mandiri. Penilaian juga termasuklah dari aspek iltizam dan kebaharuan yang dicetuskan oleh calon dalam usaha menyemarakkan gerakan sastera, negeri dan tanah air. 19

Laporan Anugerah Utama Anugerah Utama Laporan Anugerah Sasterawan Negeri Laporan Anugerah Ilmuwan Negeri Laporan Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat Laporan Anugerah Pejuang Sastera Keputusan Kategori A Keputusan Kategori B Jawatankuasa Penganjur Ahli-Ahli Jawatankuasa Induk HSDR-7 Jawatankuasa Majlis Penyampaian Anugerah HSDR-7 Sekalung Penghargaan 20

21

Laporan Anugerah Utama Pendahuluan Pada tahun penilaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 (HSDR-7), pihak urus setia telah membuka pencalonan bagi empat kategori anugerah tokoh kepada para penulis negeri Perak yang telah memberikan sumbangan besar terhadap perkembangan kesusasteraan dan persuratan Melayu. Anugerah tersebut ialah Sasterawan Negeri, Karyawan Sepanjang Hayat, Ilmuwan Negeri dan Pejuang Sastera. Bagi kategori Anugerah Sasterawan Negeri beberapa kriteria penilaian ditetapkan antaranya termasuklah penilaian berdasarkan sumbangan karya secara berterusan dan pencapaian mutu karya yang dihasilkan pada peringkat negeri, kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Penilaian juga dibuat terhadap sumbangan pemikiran calon berdasarkan karya dan sumbangan pengarang dalam kegiatan pengembangan sastera Melayu secara langsung dan tidak langsung. Pihak urus setia telah menerima empat pencalonan bagi kategori ini iaitu, Baharuddin bin Buyung Kahar atau Baharuddin Kahar, Hazril Hafiz bin Mohd Hassan atau Hafiz Hamzah, Arif bin Mohamad dan Zabidin Haji Ismail atau M. Zaki Arif. Bagi kategori Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat pula, penilaian dibuat berdasarkan sumbangan pengarang dan karya secara berterusan dalam tempoh lima dekad. Penilaian diambil kira terhadap iltizam pengarang bagi meneruskan kelangsungan hayat pengkaryaan dan kepengarangannya dan berdasarkan sumbangan pemikiran yang menyerlahkan kesan kehadiran kepengarangannya pada dekad pengkaryaannya. Penilaian juga dibuat terhadap sumbangan pengarang dalam kegiatan kesusasteraan dan impak sumbangan pengarang terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu. Lima pencalonan telah diterima, iaitu Abdullah bin Mohd Samsuddin atau Onn Abdullah, Noriah@Hariah binti Mohd Sharif atau Norisha32, Ruhana binti Md Zaki atau Ruhana Zaki, Hazril Hafiz bin Mohd Hassan atau Hafiz Hamzah dan Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana. 22

Pencalonan bagi Anugerah Ilmuwan Negeri dibuka kepada ilmuwan dalam bidang kesusasteraan Melayu dan persuratan yang mencakupi kebudayaan serta kesenian. Penilaian ini meliputi sumbangan karya ilmiah pengarang dalam bidang kesusasteraan dan persuratan Melayu. Beberapa aspek dinilai antaranya termasuklah impak ujaran, bahasan, gagasan pemikiran calon dalam bidang yang dihasilkannya yang membawa sumbangan besar terhadap kemajuan ilmu kesusasteraan dan persuratan Melayu. Berikutnya ialah sumbangan tokoh kepada kegiatan lain yang menggerakkan pemikiran baharu dalam bidang ilmu yang diusahakan calon. Pihak sekretariat telah menerima enam pencalonan bagi kategori ini, iaitu Adib Vincent Tung bin Abdullah, Mohamad Bohari Ahmad atau nama penanya Muhammad Bukhari Lubis atau Rizi SS atau A.S.Bagindo. Calon berikutnya ialah Mohamad Saleeh bin Rahamad@Ahamad yang menggunakan nama pena Mohamad Saleeh Rahamad. Berikutnya Muhammad Affan bin Ahamad atau M. Affan, Wan Abdul Rahim bin Wan Mohd Isa dan Ruzain Syukur bin Mansor. Penilaian bagi Anugerah Pejuang Sastera pula berdasarkan sumbangan calon dalam gerakan kesusasteraan melalui persatuan, pertubuhan, organisasi sastera, penerbitan dan sumbangan lain yang berkaitan. Penilaian juga adalah pada iltizam dan kebaharuan yang dicetuskan calon dalam usaha menyemarakkan gerakan sastera, negeri dan tanah air. Empat pencalonan telah diterima, iaitu Amiratul Hasanah binti Abdul Sani atau Hasanah Asaini, Hairul Anuar bin Harun yang menggunakan nama penanya Megat Mutiara dan Nur Afdal. Calon berikutnya, Hazril Hafiz bin Mohd Hassan atau nama penanya Hafiz Hamzah dan Norazimah Abu Bakar. Panel penilai telah membuat penilaian secara saksama, seterusnya mencapai keputusan dan mengesahkan nama-nama pengarang berikut layak menerima anugerah tokoh bagi empat kategori yang disediakan dalam HSDR-7 seperti laporan yang disediakan. 23

ANUGERAH UTAMA Baharuddin bin Buyung Kahar SASTERAWAN NEGERI 24

Profesor Emeritus Dr. Mohamad Bohari bin Ahmad ILMUWAN NEGERI Dr. Abdul Rahman bin Napiah KARYAWAN SEPANJANG HAYAT Hazril Hafiz bin Mohd. Hassan PEJUANG SASTERA 25

Laporan Anugerah Sasterawan Negeri Pendahuluan Panel penilai telah menerima empat pencalonan untuk dinilai dan diberikan Anugerah Sasterawan Negeri. Pengarang tersebut ialah Baharuddin bin Buyung Kahar atau lebih dikenali sebagai Baharuddin Kahar, Hazril Hafiz bin Mohd Hassan dengan nama penanya Hafiz Hamzah, Arif bin Mohamad dan Zabidin Ismail dengan nama pena M.Zaki Arif. Penilaian berdasarkan sumbangan karya secara berterusan, sumbangan karya yang mendapat pengiktirafan peringkat negeri, kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sumbangan pemikiran calon dalam karya dan juga sumbangan pengarang dalam kegiatan pengembangan kesusasteraan Melayu secara langsung dan tidak langsung. Setelah meneliti sumbangan pengarang dan pencapaian karya calon dalam bidang kesusasteraan, panel penilai telah mencapai keputusan, bahawa Baharuddin bin Buyung Kahar atau dengan nama penanya Baharuddin Kahar layak diberikan anugerah Sasterawan Negeri bagi tempoh penilaian 2019/2020 Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 (HSDR-7) . Penilaian Baharuddin bin Buyung Kahar pernah menggunakan nama B.K. Samiyung, tetapi lebih sering menggunakan nama Baharuddin Kahar dalam penulisan cerpen dan novel. Anak kelahiran Pekan Lama, Tanjong Rambutan, Perak pada 24 Disember 1946 ini mula dikenali sebagai cerpenis pada dekad 1970-an dan sebagai novelis pada dekad 1980-an. Kemuncak kepengarangan Baharuddin Kahar dalam kedua-dua genre yang berkaitan ini terserlah pada awal dekad 1980-an. Cerpen-cerpennya yang mula mendapat pengiktirafan melalui hadiah sastera pada dekad 1970-an, semakin 26

banyak diiktiraf pada awal dekad 1980-an melalui sayembara yang disertainya dan hadiah sastera yang mula diperkenalkan pada tahun 1971. Novel pertamanya yang berjudul Senja kala, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986 telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat sastera. Novel ini kemudiannya dipilih sebagai teks sastera peringkat Sijil Pelajaran Malaysia selama lima tahun berturut-turut – dari tahun 1988 hingga tahun 1992. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) kemudiannya telah menterjemahkan novel ini ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Twilight Time (2009). Sumbangan besar Baharuddin Kahar dalam kedua-dua genre ini menjadikan namanya tidak dapat dikesampingkan dalam jalur sejarah sastera Melayu moden Malaysia pada abad ke-20. Sehingga abad 21 ini, Baharuddin Kahar masih menekuni kedua-dua genre yang telah mendarah daging dalam dirinya dan ada antaranya menerima hadiah sastera. Antara kedua-dua genre ini, Baharuddin Kahar lebih terserlah sebagai cerpenis. Cerpen pertamanya berjudul “Abah Nak Jumpa Abang”, tersiar dalam Utusan Zaman, 18 April 1971. Sejak itu, Baharuddin Kahar lebih giat lagi menghasilkan cerpen. Sebuah cerpennya yang berjudul “Capa Rengat”, disiarkan dalam Dewan Sastera, Oktober 1976 telah menerima Hadiah Sastera Malaysia 1976/77. Cerpen-cerpen Baharuddin Kahar lebih banyak menerima hadiah sastera pada awal dekad 1980-an. Cerpennya, “Longnya Laku” memenangi hadiah Sayembara Cerpen Esso-GAPENA 1980. Cerpen “Bah Urei” dan “Sempana Ganja Iras” memenangi hadiah Sayembara Cerpen Esso- GAPENA 1983 dengan cerpen “Sempana Ganja Iras” mendapat hadiah pertama. “Sempana Ganja Iras” juga dipilih untuk menerima Hadiah Sastera Malaysia 1982/83, bersekali dengan sebuah lagi cerpennya yang berjudul “Keindahan Yang Hilang”. Kumpulan cerpen Baharuddin Kahar yang menerima Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 berjudul Terima Kasih Tuhanku (Warusha, 1984). Kumpulan-kumpulan cerpennya yang lain, diterbitkan oleh DBP berjudul Kampung Halaman (1982), Capa 27

Rengat (2005) mewakili kumpulan cerpen abad 20, Rindu Kedua (2015) dan Capa Rengat Gulai Rawo (2021 ). Novel remajanya yang berjudul Cerita Adam (DBP, 2004) telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005. Selain Senjakala dan Cerita Adam, novel- novel Baharuddin Kahar yang telah diterbitkan ialah Menerjang Gelombang (Berita Publishing, 1989) dan Ceritera dari Pinggir Taman (DBP, 2009). Menerjang Gelombang terhasil daripada penulisannya sebagai penerima kedua (penerima pertama ialah SN Dato’ Usman Awang) Zamalah Sastera daripada Berita Harian. Kekuatan Baharuddin Kahar sebagai cerpenis terpancar pada cerpen-cerpennya yang berada dalam ruang lingkup yang cukup terbatas dan hanya yang relevan dengan cerita – pelaku-pelakunya yang sedikit, peristiwa-peristiwa dengan konflik-konfliknya yang berfungsi dan berkepentingan sahaja dan plot yang tepat dengan sasaran yang dikehendakinya tanpa patuh sepenuhnya pada kronologis. Kekuatan-kekuatan ini bersatu dengan bahasa sastera Baharuddin Kahar dengan memanipulasikannya sehingga sampai pada perasaan dan fikiran – meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. “Capa Rengat”, cerpen yang dapat dianggap ‘bersinonim’ dengan Baharuddin Kahar dapat diangkat sebagai contoh cerpen yang memiliki kekuatan yang dinyatakan itu. Cerpen ini mempertentangkan nilai-nilai yang baharu dengan nilai-nilai yang lama. Kota dengan nilai-nilai baharunya, modenisasinya, memerangkap kehidupan sehingga ibu bapa tidak mempunyai masa yang cukup untuk anak-anak dan anak- anak hidup terkongkong. Bertentangan dengan kota ialah kampung yang masih kaya dengan nilai-nilai tradisinya, kasih sayangnya, anak-anak bebas bergerak dan bermain permainan tradisional dengan latar alam yang selalu hidup dan indah. Nilai baharu ini diwakili oleh watak ibu yang harus pulang ke kampung kerana ada urusan yang 28

perlu diselesaikan dan akan membawa anaknya yang masih polos bersama-samanya kerana tidak ada orang yang akan menjaganya di kota. Ibu telah memomokkan kepada anaknya bahawa kampung ialah kemiskinan, kesepian, kolot dan ketinggalan zaman. Berada di kampung, telah memberikan pengalaman-pengalaman baharu dan indah kepada si anak. Dia dilayan dengan penuh kasih sayang oleh Pak Cik Kinto yang sering meluangkan masa untuknya, bermain-main dengan anak-anak kampung sebaya, termasuk gadis sunti bernama “Su” (yang dalam bahasa Sanskrit bererti indah). Su juga menghadiahinya bunga capa rengat – sejenis bunga melur hutan. Bunga itu yang hendak dibawanya pulang ke kota, mulai lerai di dalam teksi. Kasih sayang seorang ayah terhadap anak perempuannya lebih menonjol dalam novel Senjakala yang disiapkannya sebelum berangkat ke Itali dan England bagi mengikuti kursus penerbitan pada tahun 1985. Kinto dalam Senjakala ialah seorang pemburu yang handal semasa mudanya dan telah lemah kekuatannya pada usia tua, harus kembali memburu rusa yang diidamkan dagingnya oleh anak gadisnya yang sedang sakit dan menunggu saat-saat kematiannya. Begitu mendapat daging rusa setelah lama berburu (seringnya Kinto berburu pada waktu pagi hingga waktu senja) dan berebut dengan harimau yang menerkam rusa itu terlebih dahulu, Kinto dapat membawa daging rusa pulang ke rumah. Tidak jauh dari rumahnya, Kinto telah terhidu bau kemenyan yang dalam masyarakat Melayu melambangkan kematian. Pengakhiran cerita yang dilukiskan secara tragis, kelelahan usia seorang tua yang dikuatkan oleh semangatnya dengan pemburuan yang panjang dan berakhir dengan kematian anak perempuannya menjadikan Senjakala sebuah cerita yang sangat berkesan kepada pembaca. Baik judul cerpen mahupun judul novel, Baharuddin Kahar turut mempertimbangkan simboliknya yang mengalir secara bersahaja dalam cerita-ceritanya dan mungkin tidak disedari oleh pembaca, tetapi secara tidak langsung merasakannya dan 29

menikmatinya. Cantik dan indahnya bunga capa rengat dan cepat pula lerai kelopak- kelopaknya pada cerpen “Capa Rengat” menyirat makna bahawa pendeknya hayat keindahan dalam kehidupan manusia. Waktu Kinto berburu dari pagi hingga senja dalam novel Senjakala juga menyirat usia manusia yang bermula dari muda dan yang sempat merasa tua harus mengisinya dengan tanggungjawab yang terpikul di pundaknya untuk menyempurnakan hidup keluarga dan manusia lain. Kemanusiaan menjadi tema utama yang diangkat oleh Baharuddin Kahar dalam cerpen-cerpen dan novel-novelnya dengan kasih sayang sesama manusia sebagai nilai yang dominan. Dunia mungkin yang dibangunkan dalam cerpen-cerpen dan novel-novelnya, dengan watak-wataknya terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa dan orang tua ialah harapannya pada dunia nyata bahawa cinta dan kasih sayang merupakan tampuk pada kewujudan dunia ini. Segala-galanya bergerak dan digerakkan oleh kasih sayang kerana Allah SWT merupakan sumber segala cinta dan kasih sayang. Kekuatan cerpen-cerpen dan novel-novel Baharuddin Kahar pada pengolahan bahasa dan teknik penceritaannya untuk mengangkat sesuatu tema telah menarik perhatian beberapa pihak, terutamanya Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) untuk memindahkannya kepada media elektronik. Novelnya Cerita Adam telah dijadikan drama khas oleh RTM sempena Hari Raya Aidiladha pada 8 Disember 2008. Senjakala mengisi slot Panggung Drama RTM pada tahun 2011. Dua buah cerpennya, “Capa Rengat” dan “Gulai Rawo” telah disatukan sebagai telefilem oleh RTM dengan judul Capa Rengat Gulai Rawo pada tahun 2021 dan pada tahun 2022, cerpennya “Terima Kasih Tuhanku” telah dijadikan filem pendek dengan judulnya Asrar. Pengalaman-pengalamannya dalam penulisan cerpen dan novel menjadikan Baharuddin Kahar yang berpengalaman sebagai guru Bahasa Melayu di Sekolah 30

Menengah Tsung Wah (swasta), Kuala Kangsar, Perak selama 10 tahun (dari tahun 1974 hingga tahun 1984) sering diundang oleh pihak pusat-pusat pengajian tinggi dan persatuan-persatuan penulis untuk membicarakan penulisan kreatifnya – idea yang mencetuskannya dan proses kreatifnya. Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Segamat dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, Persatuan Penulis Johor dan Persatuan Bahasa, Sastera dan Budaya Sabah adalah antara institusi pengajian tinggi dan persatuan penulis yang pernah mengundang Baharuddin Kahar untuk berkongsi pengalaman kreatif imaginatifnya. Keputusan Berdasarkan sumbangan besar dan penting Baharuddin Kahar dalam perkembangan sejarah sastera Melayu moden Malaysia yang bermula pada dekad 1970-an dan berterusan hingga sekarang dengan karya-karyanya diiktiraf melalui penerimaan pelbagai hadiah dan meninggalkan kesan besar kepada pembaca, maka panel penilai telah sebulat suara mencalonkan nama Baharuddin Kahar sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri dalam HSDR-7. 31

Laporan Anugerah Ilmuwan Negeri Pendahuluan Panel penilai telah menerima enam pencalonan untuk dinilai dan diberikan Anugerah Ilmuwan Negeri. Calon tersebut ialah Dr. Adib Vincent Tung bin Abdullah, Profesor Emeritus Dr. Mohamad Bohari Ahmad atau nama penanya Muhammad Bukhari Lubis, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Muhammad Affan bin Ahamad, Wan Abdul Rahim bin Wan Mohd Isa dan Ruzain Syukur bin Mansor. Penilaian berdasarkan sumbangan karya ilmiah dalam bidang kesusasteraan dan persuratan, penilaian terhadap impak ujaran, bahasan, gagasan pemikiran calon terhadap keilmuan dan kemajuan sastera dan ilmu persuratan lainnya dalam pelbagai bidang kajian dan penelitian kesusasteraan dan persuratan. Sumbangan juga dinilai terhadap kegiatan lain yang menggerakkan pemikiran baharu selain impak dalam karya yang dihasilkan calon. Panel telah mencapai keputusan, bahawa Profesor Emeritus Dr. Mohamad Bohari Ahmad atau nama penanya Muhammad Bukhari Lubis layak diberikan Anugerah Ilmuwan Negeri bagi tempoh penilaian 2019/2020, Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 (HSDR-7). Penilaian Mohamad Bohari Ahmad atau nama penanya Muhammad Bukhari Lubis, Rizi S.S dan A.S. Bagindo ialah anak Perak yang memberikan impak besar kepada dunia ilmu. Beliau menghubungkan sastera Melayu dan sastera Islam bandingan, khususnya Arab-Parsi-Turki-Melayu. Malah dunia keilmuan beliau juga merentasi bidang pengajaran dan penyelidikan seperti manuskrip Melayu/Arab, Sistem Tulisan Jawi (ejaan dan khat), terjemahan termasuk Arab-Melayu, bahasa Arab, Tasawuf dan sejarah tamadun Islam. 32

Kajian sastera yang dipilih beliau ialah sastera bandingan, yang kemudian berkembang kepada terjemahan, suntingan dan penulisan ratusan esei. Beliau ialah sarjana yang menguasai sastera Melayu, Arab, Parsi dan Turki. Buku beliau yang banyak mendapat tempat dan perhatian ialah The Ocean of Unity: Wahdat al-Wujud in Persian, Turkish and Malay Poetry terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) yang diakui Profesor Hamid Algar sebagai memberikan sumbangan kepada intelektual Islam yang universal. Profesor G.R. Sabri Tabrizi dari Universiti Edinburgh pula menyatakan kajian tersebut memberikan pemikiran yang terpancar dan menyumbang kepada aspek kreativiti dan konsep puitika dalam dunia pengarang. Yang penting kajian ini menghubungkan dunia Melayu dengan dunia Parsi dan Turki yang amat jarang-jarang diterokai oleh pengkaji Asia Tenggara ataupun pengkaji dunia. Kajian yang berjudul Qasidahs in honor of the Prophet: a comparative study between al- Busiri’s al-Burdah and `Attar’s Na`t in his Illahi-Nama terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1983 pula diiktiraf oleh Profesor Dr. Annemarie Schimmel dari Universiti Harvard yang menggambarkan kepentingan buku ini dari sudut pemaparan keterujaan penganut agama Islam terhadap Rasullullah yang diluahkan dalam bentuk qasidah. Kajian ini berdasarkan perspektif kajian sastera perbandingan dan buku ini digunakan oleh Profesor Schimmel untuk dijadikan bahan pengajaran di Universiti Harvard. Bermakna impak keilmuan Bukhari memberikan kesan terhadap kesarjanaan dunia ilmu antarabangsa dan tidak semua dapat mencapai tahap sedemikian. Buku Catatan Mengenai Kata-kata Parsi dalam Bahasa Melayu oleh Alessandro Bausani diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Bukhari Lubis bersama-sama Profesor Hamid Algar (dari bahasa Perancis dan Itali). Kajian ini membuktikan terdapat banyak kosa kata Parsi yang telah menyerap masuk ke dalam bahasa Melayu tanpa 33

disedari oleh masyarakat Melayu sendiri, sekali gus menghubungkan dunia Parsi dengan dunia Melayu dan memperkaya lagi bahasa serta dunia pemikiran Melayu- Parsi. Buku Cerpen Kritikan Puisi:Arab-Parsi-Turki: Segugusan Pilihan & Terjemahan diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1999. Buku ini merupakan karya pertama Nusantara yang diterjemahkan dari bahasa sumber bahasa agama Islam yang utama, iaitu bahasa Arab, Parsi dan Turki. Buku Transliterasi Kata Arab Parsi Turki pula merupakan buku yang ditulis dalam bahasa Melayu yang membahaskan panduan atau pedoman cara-cara menulis karangan yang melibatkan perkataan Arab, Parsi dan Turki. Penghasilan buku seumpama ini menunjukkan bahawa ilmuwan itu haruslah menguasai ketiga-tiga bahasa itu sendiri. Hal ini membuktikan Bukhari Lubis mampu menguasai ketiga-tiga bahasa tersebut dengan cemerlang. Monograf Hubungan Melayu dengan Parsi: Satu Kajian dari sudut Bahasa, Kesusasteraan dan Gambaran Ketokohan Saidina Ali terbitan Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, UKM (1993) pula merupakan sumbangan berharga yang menghubungkan antara dunia Parsi dengan dunia Melayu. Kajian ini menunjukkan hubungan dunia Melayu dan Parsi sudah terjalin begitu lama sejak beratus tahun dahulu dan kesannya dapat dilihat hingga masa kini khususnya pengaruh imej Ali dalam dunia sastera, dunia perubatan dan sebagainya. Manakala buku Telaah Khazanah Sastera Turki terbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2021 pula berkisar tentang pelbagai aspek sastera Turki klasik dan moden, terjemahan pelbagai cerpen dan sajak Turki, kajian bandingan antara bahasa dengan sastera Turki dalam bahasa Melayu, Arab dan Parsi. Terdapat pelbagai lagi sumbangan Bukhari Lubis termasuk penulisan artikel dalam jurnal akademik, bab buku, ulasan buku, penulisan esei dan kritikan eceran, separuh 34

akademik dan akademik. Beliau juga banyak dilantik sebagai penilai artikel jurnal, penilai manuskrip buku, hingga kepada penilai kenaikan pangkat di universiti. Beliau juga pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan hadiah-hadiah lain. Selain itu, beliau juga sering dijemput sebagai pembentang kertas kerja akademik dalam dan luar negara yang menjadi pengukur kecemerlangannya dalam dunia ilmu. Keputusan Ketokohan Bukhari Lubis juga diiktiraf apabila dilantik sebagai Profesor Madya, Profesor dan seterusnya pencapaian ini berada pada tahap tertinggi apabila dianugerahkan sebagai Profesor Emeritus oleh pihak UPSI. Pengiktirafan ini ialah pencapaian tertinggi dalam dunia akademik. Berdasarkan kecemerlangan ini maka, diperakukan bahawa Profesor Emeritus Bukhari Lubis layak dinobatkan sebagai tokoh Ilmuwan Negeri Perak. 35

Laporan Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat Pendahuluan Panel penilai telah menerima lima pencalonan untuk dinilai dan diberikan Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat. Pengarang tersebut ialah Abdullah bin Mohd Samsudin atau Onn Abdullah, Noriah@Hariah binti Mohd Sharif atau Norisha 32, Ruhana binti Md Zaki dengan nama penanya Ruhana Zaki, Hazril Hafiz bin Mohd Hassan dengan nama penanya Hafiz Hamzah dan Abdul Rahman Napiah yang menggunakan nama pena Mana Sikana. Penilaian berdasarkan sumbangan karya secara berterusan selama lima dekad. Penilaian juga dibuat berdasarkan iltizam penulis dalam meneruskan hayat pengkaryaannya. Di samping itu panel juga menilai sumbangan pemikiran calon yang dapat menyerlahkan keterampilan kepengarangan serta impak sumbangannya kepada ranah sastera. Pertimbangan juga diberikan terhadap sumbangan tokoh kepada perkembangan kesusasteraan Melayu. Setelah meneliti penglibatan calon dalam bidang kesusasteraan dalam tempoh yang disyaratkan, berserta dengan iltizam, pemikiran dan impak kepengarangannya, panel telah mencapai keputusan bahawa Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana layak diberikan anugerah Karyawan Sepanjang Hayat bagi tempoh penilaian 2019/2020, Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 (HSDR-7). Penilaian Mana Sikana (Dr. Abdul Rahman Napiah) dilahirkan pada 9 Oktober 1946 di Bagan Serai, Perak. Menerima pendidikan di Sekolah Rendah Bukit Chandan, Kuala Kangsar (1954-1959). Menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Izuddin Shah, Ipoh, berasrama penuh, menengah agama berbahasa Arab dan pendidikan akademik 36

moden (1959-1966). Menuntut di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur (1967- 1968), pengkhususan Bahasa Melayu dan Geografi. Selepas berkhidmat sebagai guru di Johor Bahru selama lima tahun, memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia (1974-1978) bagi Sarjana Muda Persuratan dan memperoleh ijazah Kelas Pertama, kemudian Sarjana Sastera (1979-1980), dan kemudiannya meneruskan pengajian peringkat Doktor Falsafah pada tahun 1990. Dalam kerjaya, Mana Sikana pernah menjadi guru Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Geografi di beberapa buah sekolah menengah di Johor Bahru (1969- 1974). Kemudian menjadi tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Sastera Melayu Moden (1978-1979), pensyarah di UKM untuk drama, teater, teori dan kritikan sastera (1980-1982), Profesor Madya di UKM (1993-2000) dan berpindah sebagai Felo Kanan di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura (2000-2011). Di samping itu, beliau menjadi pensyarah sambilan di University of Management Singapore dan profesor pelawat di Sekolah Sastera dan Linguistik, Universitas Sumatera Utara, Indonesia. Kemudian bertugas pula di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (2011-2015), di samping pensyarah sambilan di Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Karya dan Kepengarangan Mana Sikana terkenal sebagai penulis cerpen. Khalayak mengenalnya sebagai cerpenis dan menghormatinya sebagai penulis yang mempunyai kedudukan yang tersendiri. Penulisan cerpenlah yang memulakan penglibatannya dalam dunia sastera pada tahun 1960-an. Tahun 1964 merupakan tahun bersejarah baginya apabila cerpennya “Kawan yang Berbudi dan yang Berduri” memenangi hadiah, anjuran akhbar Berita Harian. 37

Kemenangan ini telah menggalakkan Mana Sikana untuk menulis karya sastera, bukan hanya cerpen tetapi melebar kepada genre lain seperti drama, esei dan kritikan. Selepas itu, Mana Sikana terus menghasilkan sebuah demi sebuah cerpen dalam pelbagai akhbar seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Warta Ahad, juga dalam pelbagai majalah tanah air. Dari segi aliran, Mana Sikana sama juga dengan para penulis tahun 1960-an, menggemari realisme. Cerpen-cerpennya mengambil peristiwa sezaman sebagai isi karya. Mana Sikana memerhati dan merenung kehidupan sekelilingnya, serta menimba inspirasi lalu diserapkan dalam karya ciptaannya. Sebagai cerpenis pada era 1960-an, beliau dianggap sangat prolifik dalam penghasilan cerpen. Walau bagaimanapun, pada tahun 1970-an, aliran realisme yang dianutinya itu telah mengalami perubahan apabila beliau berpeluang belajar di UKM. Beliau diperkenalkan dengan aliran nonrealisme, simbolisme dan karya yang berbentuk falsafah. Mana Sikana mula berkenalan dengan karya-karya James Joyce dan Franz Kafka, membaca karya Albert Camus, Allain Robbe Grilett, juga menelaah karya- karya Iwan Simatupang, Putu Wijaya dan Ariffin C. Noer. Era pascamoden dan nonrealisme pula menyediakan pelbagai corak dan genre baharu dalam penulisan seperti magis, kitsch, pastiche dan metafiksyen. Hasil penguasaan Mana Sikana terhadap pelbagai teori dan kaedah penulisan teks pascamoden itu, beliau telah bereksperimen dengan penulisan, yang bercorak lotta, iaitu karya cerpendek dan anekdot – yang mementingkan pemikiran dan dikurangkan aspek pemplotannya. Pada tahun 2004, Mana Sikana menghasilkan 100 buah lotta dalam kumpulan Di Benua Buta. Bermula pada tahun 1983, Mana Sikana telah menghasilkan sembilan buah kumpulan cerpen, iaitu Santau (1983), Jejak yang Hilang (1984), Abzyx (1986), Nusia 38

(2002), Fakurdabakia (2005), Di Benua Buta (2007), Berbudi dan Berduri (2009), Daun- daun Keramat (2014) dan Penghuni Gua (2021). Dalam penulisan drama pula, Mana Sikana menjadikan genre ini sebahagian daripada perjalanan hayatnya. Beliau menulis drama pentas, televisyen dan radio. Memberikan sumbangan secara berkualiti dan prolifik dalam penulisan drama. Keistimewaannya menulis dalam ketiga-tiga genre drama, iaitu pentas, radio dan televisyen dalam jumlah yang banyak. Drama beliau bergerak dalam tiga aliran, iaitu realisme, absurdisme dan historisisme. Realisme sesuai dengan zaman 1960-an manakala absurd pula sesuai dalam dekad 1970-an. Kebanyakan drama absurdnya dikontraskannya dengan falsafah absurd Barat dengan melahirkan absurd Islam seperti “Di Hujung Dunia”, “Hikmah” dan “Pengadilan”. Selain itu, Mana Sikana memulakan penulisan dan pementasan drama metasejarah 2000. Metasejarah ialah genre drama ciptaan Mana Sikana sendiri yang meninggalkan drama historikal dan historisisme dengan dramanya “Di Hujung Taming Sari” dan “Pasir-pasir di Pasir Salak”. Setelah menelaah teks historikal, historisisme dan metafiksyen, Mana Sikana menghasilkan pula genre baharu ini, iaitu metasejarah yang berlaku di sekitar zaman milenium baharu. Menurutnya, ini sejajar dengan perkembangan penulisan dramanya, karya yang tidak lagi mementingkan kronologi, sebaliknya menumpukan gagasan kekuasaan, political dimension, yang juga berunsur pascakolonialisme. Beliau turut memberikan sumbangan teks-teks drama dan antologi dramanya dalam sistem pendidikan negara sebagai buku teks peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Kesusasteraan Melayu dan KOMSAS dengan antologinya Drama Penantian 39

dan Keris Laksamana Bentan dengan dramanya “Drama Pengadilan” dan “Adik Berjasa”. Sumbangan dalam drama ini, sebenarnya selari dengan bidang kajiannya, drama dan kritikan drama sejak tahun 1960-an hingga sekarang. Drama menjadi pengkhususan kajian Mana Sikana dari peringkat Sarjana Muda hingga Doktor Falsafah. Banyak esei, kritikan, buku hasil penyelidikan dan kajian tentang drama yang dihasilkan oleh beliau. Dalam bidang teater, Mana Sikana banyak menghasilkan skrip dan terlibat dalam pengarahan dan pementasan. Untuk sekian lama beliau menjadi panel drama dalam pelbagai pertandingan skrip dan pementasan Pekan Teater. Kini buku kajian dramanya menjadi rujukan di semua universiti termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia. Dimulai dengan “Di Hujung Taming Sari”, Mana Sikana telah menghasilkan dan mementaskan 11 buah drama, iaitu “Pasir-pasir di Pasir Salak”, “Maqamat dari Kitab Rawi”, “Air Mata Naning”, “Catatan Tun Sri Lanang”, “Merdeka”, “Cintamania”, “Jejak Pahlawan”, “Dari Lumpur”, “Renjong”, “Kata Perak” dan “Menuju Puncak”. Drama tersebut ada yang telah diterbitkan melalui Pasir-Pasir di Pasir Salak (2012) dan Renjong (2014). Di samping itu, Dewan Bahasa dan Pustaka turut menerbitkan kumpulan drama Mana Sikana, Di Hujung Taming Sari (2020) yang mengandungi sepuluh buah drama metasejarah. Mana Sikana juga dikenali sebagai penulis drama televisyen dan radio. Tahun 1970- an dan 1980-an merupakan ‘zaman emas’ Mana Sikana dalam penulisan drama menerusi kedua-dua media tersebut. Sewaktu menjadi guru di Johor Bahru, beliau berkenalan dengan Othman Haji Zainuddin yang sudah terkenal sebagai penulis drama televisyen dan radio. 40

Drama radio Mana Sikana banyak disiarkan dalam “Pentas Drama” Radio Singapura, Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Di Radio Johor, beliau mendapat rancangan bersiri dan pada keseluruhannya menghasilkan lebih kurang 200 buah skrip. Dalam penulisan drama televisyen, beliau telah menghasilkan sekitar 50 buah skrip yang disiarkan di Televisyen Singapura dan Kuala Lumpur. Beliau merupakan antara penulis awal yang menulis skrip drama televisyen untuk Televisyen Singapura. Mana Sikana turut menghasilkan novel, tetapi hanya empat buah novel sahaja yang dihasilkan. Novel tersebut ialah Ronjang (1986), Klimaks (1989), Kesesatan (1993) dan Syajar (1996). Mana Sikana tidak banyak menulis novel, namun novelnya menarik juga untuk dibincangkan. Kesemuanya bercorak absurd, surealisme dan realisme magis, dihasilkan secara intertekstual, parodi dan metafiksyen. Ronjang mendapat kritikan daripada Shahnon Ahmad sebagai novel terbaik tahun itu (1996), Klimaks ialah novel absurd tentang eksistensialisme manusia. Kesesatan ialah novel interteks daripada cerpen “Fakurdabakia”, dan Syajar ialah sebuah karya surealisme. Meskipun bersifat avant-garde dan eksistensialisme, teras novel Mana Sikana, sama dengan cerpen-cerpennya, iaitu Islam. Menurut Mana Sikana sendiri, transformasi yang dilakukan dalam karyanya ialah hasil daripada kursus penulisan kreatif yang diikutinya di UKM, menterjemahkan teks-teks James Joyce dan Franz Kafka serta hasil pembacaan karya Albert Camus, Allain Robbe-Grillet, Iwan Simatupang, Putu Wijaya dan Ariffin C. Noer. Mana Sikana mentransformasikan absurdisme Barat yang tidak berhubungan dengan agama dan manusia itu kepada teks Islami. Mana Sikana juga mempunyai tempat atau kedudukan yang tersendiri dalam genre esei, kritikan dan kajian sastera, Mana Sikana mengakui bahawa bidang penulisan esei dan kritikan banyak dikuasainya, dan cuba menguasainya dengan lebih meyakinkan. 41

Bagi Mana Sikana, menulis bukanlah suatu kerja yang boleh dilakukan secara sambil lewa. Tulisannya terbit daripada keyakinannya. Pengetahuannya dalam ilmu kritikan dan penguasaannya dalam pelbagai teori sastera banyak membantunya dalam menghasilkan esei dan kritikan yang bermutu. Pandangannya dalam penulisan esei dan kritikan beriringan dengan penguasaannya satu demi satu teori sastera. Mana Sikana menerima pandangan T.S. Eliot, bahawa kritikan sastera haruslah disaintifikkan dengan cara pengaplikasian teori, selain teknik analisis berwawasan, tajam, bernas dan berhujah. Mana Sikana terkenal dengan ciptaan teori teksdealisme. Menurut beliau, pengalamannya yang sangat berharga ialah mengkaji Hikayat Hang Tuah untuk ijazah kedoktoran, dan diterbitkan dengan judul Tuah-Jebat dalam Drama Melayu; Satu Kajian Intertekstualiti (1994). Beliau telah mencirikan segala unsur dan aspek yang mempertinggi nilai sasteranya. Bagi beliau, pembinaan sesebuah teori harus berpijak pada sebuah teks yang besar, agung dan luar biasa. Oleh hal yang demikian, pembinaan teori teksdealisme itu berdasarkan pencirian hikayat tersebut. Penguasaannya dalam pelbagai teori juga menjadi suatu kelebihan dan keistimewaan kepada Mana Sikana. Beliau mengetahui kekuatan dan kelemahan setiap teori sastera daripada Barat. Kekuatan teori tersebut dapat disaring dan dijadikan pegangan. Begitu juga Mana Sikana menguasai cara dan kaedah sesebuah teori sastera itu dibina, yang memerlukan pelbagai tuntutan, pencirian aspek teoretis daripada teks hipogram dan aspek nilai. Aspek nilai menjadi dasar pentingnya, bukan sahaja harus memiliki nilai asli (authentic value), juga hukuman nilai (values judgement) dan sistem norma (system of norms). Kesejajaran antara teoretis tekstual dengan teori nilai itu akan memperlengkap dan 42

memperkuat sesebuah pembinaan teori sastera. Teori teksdealisme menjadi teguh kerana dasar paksinya yang kukuh itu. Mana Sikana sebagai pencipta teori, juga mengaplikasikan teorinya sendiri. Banyak tulisan yang berupa artikel, makalah dan kertas kerja yang membicarakan tokoh-tokoh sastera, termasuk tokoh dari Nusantara dengan menggunakan teori teksdealisme untuk menganalisis aspek penulisan dan kepengarangannya. Penemuannya terhadap sastera Melayu pascamoden ialah sumbangan pemikirannya yang berharga. Beliau mengkonsepsikannya: seandainya sastera Melayu hendak berkembang, ia mestilah mengikuti jajaran pascamodenisme dunia. Diterangkan juga jenis-jenis karyanya seperti realisme magis, metahistoriografik, metafiksyen, pastiche, kitsh, lotta dan sebagainya. Karya Mana Sikana, baik drama, cerpen dan novel, pemikiran dan subjek karyanya mewacanakan persoalan serius seperti kewujudan, kekuasaan, jati diri, falsafah hidup, kemanusiaan dan seumpamanya. Gayanya agak abstrak, filsofikal dan sukar tetapi itulah sifat karyanya: serius dan melekat pada persoalan dasar kehidupan. Cerpen absurd mewacanakan pertembungan falsafah Islam dan bukan Islam, Timur dengan Barat; drama absurdnya berbicara tentang maknawi kehidupan; drama metasejarah berwacana tentang kuasa, ideologi dan politik Melayu; novel nonrealismenya berwacana tentang falsafah kehidupan yang Islamik dan perjuangan erti tamadun dan kemanusiaan. Sehingga kini, Mana Sikana telah menghasilkan 250 buah cerpen dengan menerbitkan sembilan (9) buah kumpulan cerpen, 30 buah teks drama pentas, 200 drama radio dan 50 drama televisyen. Beliau juga menghasilkan enam (6) buah kumpulan drama dan menyelenggara sembilan (9) buah antologi. 43

Selain itu, sepanjang pengkaryaan sehingga kini, Mana Sikana telah menghasilkan empat (4) buah novel. Dalam penulisan kajian sastera, beliau menghasilkan 65 buah buku akademik. Di samping itu, beliau menulis 23 buah makalah untuk jurnal dan ratusan penulisan artikel, esei dan kritikan. Kecemerlangannya ditandai kemenangan hadiah sastera dalam genre cerpen, drama, esei/kritikan dan penghasilan buku kajian sastera. Keputusan Mana Sikana merupakan seorang pengarang/karyawan yang prolifik sejak tahun 1960-an hinggalah sekarang. Hayat kepengarangan yang ditelusurinya sepanjang lebih lima dekad mengabsahkan kenyataan tersebut. Sumbangan daripada hasil penulisannya seperti cerpen, drama, esei dan kritikan, juga penciptaan teori sastera, meninggalkan impak yang bermakna dalam kelangsungan hayat kesusasteraan tanah air. Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat dalam siri HSDR-7 ini memperkukuhkan lagi nama dan sumbangan Mana Sikana di persada kesusasteraan tanah air, lanjutan daripada Anugerah Sasterawan Perak yang diraihnya pada tahun 2004. 44

Laporan Anugerah Pejuang Sastera Pendahuluan Panel penilai telah menerima empat pencalonan untuk dinilai dan diberikan Anugerah Pejuang Sastera. Pengarang tersebut ialah Amiratul Hasanah binti Abdul Sani atau Hasanah Asaini, Hazril Hafiz bin Mohd Hassan dengan nama penanya Hafiz Hamzah, Hairul Anuar bin Harun dan Norazimah Abu Bakar. Penilaian berdasarkan sumbangan calon dalam gerakan sastera melalui persatuan, pertubuhan dan organisasi sastera, selain penilaian terhadap iltizam dan kebaharuan yang dicetuskan dalam menyemarakkan gerakan sastera negeri dan tanah air. Setelah meneliti sumbangan kepengarangan dan pencapaian gerakan sastera dan iltizam penulis membawa kebaharuan dalam gerakan menyemarakkan sastera secara beriltizam tinggi dan berdedikasi dengan gerakan sasteranya, panel telah mencapai keputusan, bahawa Hazril Hafiz bin Mohd Hassan layak diberikan Anugerah Pejuang Sastera bagi tempoh penilaian 2019/2020, Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-7 (HSDR-7). Penilaian Anugerah Pejuang Sastera diwujudkan bagi memberikan penghargaan kepada mana- mana individu yang dilihat dan dinilai memberikan sumbangan yang bermakna kepada sastera. Sumbangan itu juga merupakan sumbangan yang konsisten dan memberikan kesan kepada perkembangan sastera. Panel penilai telah meneliti empat calon untuk dinilai bagi Anugerah Pejuang Sastera. Dua calon dilihat tidak mempunyai sumbangan yang signifikan untuk dinilai. Terdapat dua lagi calon yang dipertimbangkan. Seorang daripada calon tersebut walaupun dilihat bergerak aktif dalam gerakan melalui persatuan dan 45

organisasi sastera, namun tidak dilihat memainkan peranan besar kepada usaha mencetuskan gerakan, sebaliknya hanya dilihat sebagai ‘menjalankan tugas yang diamanahkan oleh organisasi. Hal ini membuatkan calon ini belum mencapai tahap untuk diangkat sebagai ‘Pejuang Sastera’ dalam erti kata sebenarnya. Penilaian panel penilai akhirnya tertumpu kepada seorang calon lagi yang dilihat sebagai calon terkehadapan iltizamnya dalam memberikan sumbangan yang signifikan terhadap gerakan sastera tanah air. Hafiz Hamzah dilihat calon yang signifikan dalam mencetuskan gerakan sastera di tanah air melalui usahanya menerbitkan jurnal seni budaya Svara yang diterbitkan secara konsisten melalui daya usaha beliau bersama-sama beberapa orang yang sealiran pemikiran dan perjuangannya. Gerakan ini mencetuskan fenomena baharu sastera di ibu kota khususnya dan tanah air amnya. Selain seni budaya, Svara memuatkan tulisan kontemporari dan bermutu tentang sastera, malah turut menyiarkan puisi dan cerpen. Svara boleh dikatakan sebagai jurnal seni budaya dan juga sastera yang membawa inspirasi golongan muda, malah berjuang di luar konvensi penerbitan jurnal sastera yang selalunya diterbitkan oleh badan berkanun seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta institusi pengajian tinggi dan juga agensi berkaitan kerajaan. Svara diterbitkan melalui usaha persendirian yang tidak bergantung kepada mana- mana dana atau geran awam. Svara ialah wadah dan wahana gerakan dari bawah yang berjaya mencetuskan ‘kebaharuan’ dalam dunia sastera hari ini, melalui tulisan- tulisan kontemporari oleh penulis-penulis terkenal baik dari dalam dan luar negara yang menulis dalam bahasa Melayu. Isi kandungan Svara memuatkan pemikiran yang tekal terhadap persoalan sastera dan budaya dengan tulisan-tulisan yang berat dan serius. Hafiz Hamzah lahir pada 20 Oktober 1982 di Pulau Pinang. Sejak tahun 1990 beliau bersama-sama keluarga bermastautin di Sitiawan, Perak. Beliau menamatkan pengajian Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Malaya pada tahun 46

2004. Sejak itu beliau bergerak aktif dalam bidang penulisan dan penerbitan mandiri di Malaysia. Bermula dengan penulisan esei kebudayaan, sajak dan cerpen secara serius di jalantelawi.com ketika itu, beliau kemudiannya menubuhkan syarikat penerbitan yang diuruskannya sendiri, iaitu Obscura Enterprise pada tahun 2012. Penubuhan syarikat penerbitan mandiri ini bertujuan memberikan perhatian dan menerbitkan karya-karya sastera yang lebih segar dan kontemporari terutamanya daripada penulis-penulis muda di Malaysia, sesuai dengan peredaran zaman. Hal ini dilakukan dengan penuh teliti dan tanggungjawab demi prinsip yang diperjuangkan. Dalam pada itu beliau berusaha menampilkan estetika fizikal penerbitan yang menarik dan kontemporari dalam memberikan sesuatu yang berbeza terhadap usaha penerbitan beliau. Pada masa yang sama beliau juga menghasilkan karya-karya seperti sajak, esei dan juga seni fotografi. Sebahagian besar hasil karya ini diterbitkan oleh Penerbitan Obscura. Melalui karya-karya, beliau menampakkan ketelitian dan cita rasa unik yang membawa pemikirannya yang tidak terkongkong dengan cara piawai atau pandangan lama sastera dan penerbitan konvensional di Malaysia. Beliau berani memberikan fikiran yang berbeza melalui penulisan esei yang mengkritik secara langsung. Esei-eseinya mengangkat topik-topik berkaitan dunia perbukuan, sastera, seni dan budaya. Puisi-puisinya bersifat puisi lirikal yang digarap indah dan menyampaikan makna yang meyakinkan. Beliau gemar menggunakan bahasa yang lebih langsung, jelas dan tersendiri dalam menyampaikan fikirannya. Selain sebagai penulis, beliau turut bertindak sebagai editor dan menyelaraskan banyak penerbitan lain, menghasilkan judul-judul dalam pelbagai projek penerbitan termasuk menerbitkan karya-karya penulis lain. Antara penerbitan yang memberikan kesan besar kepada ranah sastera termasuklah penerbitan jurnal Muara: Confluence/ Pertemuan sempena Georgetown Literary Festival 2021 dan Muara: Wilderness/Liar sempena Georgetown Literary Festival 2022. Selain itu Dialog dengan Sasterawan - 47

Kassim Ahmad (Obscura, 2015), Berehat di Sisi Paus – Zahid M. Naser (Obscura, 2015), Gong: Anekdot Muzik Tanah Air (Obscura, 2020) dan banyak lagi. Sumbangan dan penglibatan beliau dalam sastera boleh dikatakan ditandai dengan usaha beliau bersama-sama beberapa orang teman menerbitkan sebuah jurnal seni budaya kontemporari, iaitu Svara. Jurnal yang terbit secara berkala tiga bulan sekali sejak tahun 2020 ini memberikan fenomena baharu dalam ranah sastera tanah air, khususnya ranah sastera yang bermain di luar dunia sastera arus perdana. Sehingga tahun 2022, sebanyak 10 isu telah diterbitkan secara konsisten. Beliau bertindak sebagai Ketua Editor dan terlibat dalam keseluruhan proses penerbitan Svara. Boleh dikatakan Svara merupakan satu-satunya jurnal dan majalah dalam bahasa Melayu yang memberikan tumpuan terhadap tulisan-tulisan berkualiti berkaitan seni, budaya tempatan, serantau dan juga antarabangsa. Beliau turut mengambil bahagian beberapa festival sastera dan program penempatan penulis atau residensi, baik di dalam mahupun di luar negara. Antaranya termasuklah Writers Immersion and Cultural Exchange-WrICE (SingLit Station + RMIT Melbourne) 2020; Singapore Writers Festival 2020; serta George Town Literary Festival (GTLF) bagi tahun 2019, 2020, 2021 dan 2020. Keputusan Dalam melakukan kerja-kerja penulisan dan penerbitan secara mandiri pada era ini, Hafiz Hamzah berpendapat tidak boleh lagi bergantung kepada institusi atau badan-badan rasmi yang terlalu bergerak secara eksklusif. Sebaliknya beliau percaya kepada sifat mandiri yang dapat meneroka dan membuka jalan baharu bagi hal-hal sastera dan penerbitan, dengan acuan baharu, lebih kental dan tidak berkompromi dengan mutu penulisan serta pemikiran secara keseluruhannya. Hal ini dilakukan dengan rasa penuh kebebasan dan tanggungjawab yang tinggi. Beliau dilihat 48


Like this book? You can publish your book online for free in a few minutes!
Create your own flipbook