ASAS KEUSAHAWANAN ISLAM NOR ZALINDAH ABDUL RAHMAN
ASAS KEUSAHAWANAN ISLAM NOR ZALINDAH BINTI ABDUL RAHMAN
iii
iv
v
01 PENGENALAN 1
PENGENALAN Islam merupakan agama yang sempurna dan lengkap dalam memberikan garis panduan serta tatacara kehidupan yang baik. Panduan seorang Muslim dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan sempurna haruslah dengan menjadikan al- Quran dan al-Sunah sebagai sumber rujukan utama. Keusahawanan Islam menuntut usahawan Muslim agar lebih peka kepada peranan mereka untuk memakmurkan dunia dengan cara yang benar dan diredai. Islam sangat menggalakkan umatnya menceburi bidang keusahawanan. Bagi mereka yang menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan serta menjadikan ia sebagai kerjaya merupakan pilihan yang tepat. Hal ini kerana keusahawanan menjanjikan sumber rezeki yang terbesar sehingga 90%. Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di mana “Sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada usaha-usaha perniagaan”. 2
Penerangan yang terperinci juga disediakan kepada usahawan Muslim dalam menjalankan perniagaan berlandaskan tuntutan Allah SWT. Sebagai seorang usahawan Muslim, mereka perlu melibatkan diri dalam bentuk perniagaan yang dibenarkan berdasarkan prinsip Syariah. Sifat-sifat yang baik perlu diterapkan dalam jiwa seseorang usahawan Muslim. Sehubungan itu, Rasulullah SAW adalah sebagai contoh dan ikutan yang terbaik. Usahawan Muslim perlu menerapkan prinsip Islam dalam perniagaan mereka seperti mengenakan keuntungan yang berpatutan, jujur, menyediakan perkhidmatan yang berkualiti serta persaingan yang adil. Perniagaan yang melibatkan dadah, pelacuran, alkohol, riba dan perjudian tidak dibenarkan sama sekali dan haram. Jelas menunjukkan keusahawanan Islam memiliki ciri-ciri istimewa yang membezakannya dengan keusahawanan semasa. 3
02 DEFINISI KEUSAHAWANAN ISLAM 4
DEFINISI KEUSAHAWANAN ISLAM Berdasarkan sejarah Islam, keusahawanan Islam telah wujud dari awal kejadian manusia lagi. Dua orang anak Nabi Adam a.s telah terlibat dalam bidang keusahawanan bagi meneruskan kehidupan mereka. Qabil menjalankan aktiviti ternakan dan Habil mempelopori bidang pertanian. Sejarah Islam juga telah menunjukkan kebanyakan rasul terlibat dalam bidang keusahawanan . Nabi Adam merupakan seorang petani, Nabi Nuh ahli perniagaan, Nabi Daud tukang besi, Nabi Zakaria tukang kayu, Nabi Idris tukang jahit, Nabi Sulaiman pembuat bakul, Nabi Isa tukang tenun dan pencelup kain serta Rasulullah sendiri merupakan penternak dan ahli perniagaan yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa. Rasulullah telah membuktikan bahawa keusahawanan merupakan bidang dan pilihan kerjaya yang tepat kepada umat Islam. 5
Keusahawanan Islam boleh ditakrifkan sebagai suatu proses dalam mencari dan mengeksploitasikan sumber-sumber dan peluang-peluang yang dikurniakan oleh Allah SAW, berasaskan kepada al-Quran dan al- Sunah untuk kepentingan diri dan umat Islam. Shuhairimi dan Ku Halim (2010) Keusahawanan adalah sebahagian aktiviti yang berkaitan dengan pengembangan ekonomi dan perdagangan yang mempunyai objektif untuk kesejahteraan ummah yang dituntut oleh agama melalui penggemblengan sepenuh daya dan tenaga yang bertemakan kebajikan dan kebaikan bagi memenuhi fitrah keperluan kehidupan. Ab. Mumin dan Nor Azzah (2008) Keusahawanan Islam sebagai mana-mana aktiviti pekerjaan yang diusahakan secara perniagaan oleh seseorang sama ada dengan menghasilkan sesuatu barangan atau memberi sesuatu perkhidmatan bagi memperoleh rezeki yang halal iaitu dengan cara yang tidak bertentangan dengan syariah. 6
03 KEPERLUAN KEUSAHAWANAN ISLAM 7
KEPERLUAN KEUSAHAWANAN ISLAM Bidang keusahawanan menjanjikan pendapatan yang lumayan. Di dalam Islam itu sendiri keusahawanan atau perniagaan merupakan satu cara untuk mendekatkan diri dengan Pencipta. Namun begitu apakah yang ingin dicapai dalam sesebuah perniagaan? Tentunya mendapatkan keuntungan yang tinggi. Jelas sebagai usahawan Muslim, pendekatan ini amat dilarang sama sekali. 8
Sebagai seorang usahawan Muslim, setiap urus niaga yang dijalankan tidak boleh terlibat dengan riba, gharar, maisir, spekulasi, diskriminasi pelanggan, perpindahan risiko kepada pelanggan dan tiada unsur pengagihan kekayaan. 9
Faktor – faktor berikut merupakan keperluan seorang usahawan Muslim menerapkan konsep keusahawanan Islam. A Produk yang tidak ada halal. Telah berlaku Ijma’ di kalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk perniagaan barangan yang tidak halal seperti arak, babi, anjing, bangkai dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan tidak halal ini kerana ia boleh mendatangkan mudarat dan kerosakan di muka bumi. 10
B Mementingkan keuntungan semata-mata. Keusahawanan lazim mengutamakan pembangunan kebendaan. Kebiasaannya dilihat sebagai satu aktiviti yang bertujuan untuk mendapatkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan kaedah yang diguna pakai dan kesannya terhadap orang lain. Islam melarang usahawan Muslim bertindak untuk memaksimumkan keuntungan dengan cara mengorbankan kepentingan dan kebaikan pihak lain. Islam membenarkan usahawan Muslim memperoleh keuntungan daripada kegiatan keusahawanan yang dijalankan. Islam menetapkan batasan yang tidak boleh dilanggar dalam usaha untuk mencapai keuntungan sama ada dengan cara penindasan, penipuan dan spekulasi. 11
C Mengamalkan riba/faedah.. Islam sangat melarang umatnya mengamalkan riba. Kufur seseorang itu sekiranya mengiktiraf riba adalah halal. Riba merupakan satu perbuatan yang berdosa dan wajib dielakkan oleh usahawan Muslim. Hal ini telah dijelaskan secara terang dalam al-Quran dan sunah tentang pengharamannya. Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Usahawan Muslim yang baik dan diredai Allah SWT ialah usahawan yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas daripada sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya. 12
D Monopoli. Islam sangat melarang perbuatan monopoli. Antara barangan keperluan yang dimonopoli dalam pasaran adalah seperti gula, beras, minyak. Peniaga berharap agar barangan keperluan berkurangan di pasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi. Dengan itu, peniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan terkutuk ini sama sekali dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan dan kesulitan kepada masyarakat awam, khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah. Pengharaman perbuatan monopoli ini adalah bagi menolak kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum. 13
E Pemasaran produk yang tidak patuh syariah. Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai usahawan Muslim yang beriman mereka sewajarnya tidak alpa dan lupa bahawa Islam melarang sebarang bentuk penipuan dalam perniagaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudaratkan orang lain. Pelbagai cara penipuan boleh berlaku dalam aktiviti perniagaan antaranya memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu. Proses pengiklanan produk haruslah dilakukan dengan mengambil kira faktor- faktor seperti benar dan telus, penentuan harga yang munasabah, tiada amalan diskriminasi serta tiada unsur paksaan dan penipuan. 14
F Berlakunya ketidakadilan. Adil ialah memberikan yang hak kepada yang berhak mengikut kadar yang berhak diterima oleh mereka. Usahawan Muslim perlu bersikap adil dalam menjana keuntungan syarikat. Ketidakadilan yang diamalkan menjurus mereka untuk bersikap pilih kasih serta menafikan hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada pihak lain. 15
04 CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN ISLAM 16
Syumul. Islam sebagai agama yang mempunyai prinsip panduan hidup yang syumul. Agama Islam merupakan agama yang cukup sempurna dan menyeluruh dalam segala aspek kehidupan manusia. Allah SWT telah memberikan panduan kehidupan manusia melalui wahyu-Nya. Kesempurnaan ini jelas melalui panduan yang telah diberi bagi menjalani kehidupan di dunia. Panduan tersebut merujuk kepada peraturan hidup yang serba lengkap, merangkumi semua aspek kehidupan manusia daripada segi kepercayaan, pemikiran, akhlak, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan lain-lain. Maka sebagai usahawan Muslim perlu menghayati prinsip dan panduan ajaran Islam ini dengan bijaksana. Usahawan Muslim boleh menjadikan ia asas dalam membina kaedah pengurusan keusahawanan yang mantap dan mencapai kejayaan. 17
Wasatiyyah (Kesederhanaan). Wasatiyyah ialah elemen yang sangat penting dalam Islam dan juga keusahawanan Islam. Islam menolak semua unsur ekstremisme dalam kehidupan manusia. Sikap melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek kehidupan tetapi termasuk juga dalam bidang keusahawanan seperti sentiasa mencari keuntungan, mengumpul harta dan sebagainya. Islam amat menitikberatkan kesederhanaan dalam semua perkara kerana sifat kesederhanaan ini sesuai dengan fitrah manusia. Dalam konteks perniagaan umpamanya, Allah SWT menyuruh mencari keuntungan dalam perniagaan dengan cara yang benar, namun pada masa yang sama juga Allah SWT mengingatkan agar tidak melampaui batas. Nilai wasatiyyah ini juga membantu usahawan dari tidak terjebak dengan perbuatan yang dilarang seperti boros berbelanja, tabiat suka berhutang, berlebih lebihan, tidak berhemah dan mengikut kehendak nafsu. Seorang usahawan yang mengamalkan sikap sederhana dapat menunjukkan kematangan, ketenangan dan bijak dalam mengendalikan perniagaan. 18
Alamiyyah (Sejagat). ‘Alamiyyah bermaksud Islam merupakan agama yang universal, tidak terikat dengan masa, tempat dan ruang. Malah, Islam sesuai untuk semua manusia, setiap bangsa dan tidak terbatas pada masa-masa tertentu. Konsep alamiyyah boleh dihubungkan dengan keusahawanan Islam. Keusahawanan Islam perlu dijalankan bukan sahaja di peringkat tempatan malah di seluruh pelosok dunia kerana masyarakat Islam berada di seluruh dunia. Dengan cara ini, kegiatan perniagaan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan masyarakat Muslim secara global, malah dapat menyebarkan agama Islam dengan lebih luas. 19
Muslim. Seseorang itu perlu terlebih dahulu seorang Muslim untuk menjadi usahawan Muslim. Usahawan Muslim akan mendahului keredaan Allah sebelum keuntungan fizikal. Dengan itu, aktiviti keusahawanan dilakukan bukan untuk mencari keuntungan semata-mata, tetapi memenuhi tuntutan fardu kifayah. 20
Rabbani (Ketuhanan). Rabbani atau ketuhanan bermaksud segala hukum, konsep, nilai dan peraturan yang terdapat di dalam Islam merupakan ketetapan dan diwahyukan oleh Allah SWT. Manusia tiada hak untuk mencipta dan mengeluarkan pemikiran yang baru dan bertentangan dengan apa yang telah diwahyukan. Elemen rabbani ini sering dengan konsep keusahawanan Islam. Di mana kita boleh melihat setiap kegiatan, aktiviti, idea perniagaan, perlaksanaan dan asas-asas keusahawanan terikat dengan prinsip dan peraturan yang telah ditentukan oleh wahyu. Usahawan Muslim perlu menjadikan wahyu sebagai panduan dalam melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Allah SWT telah memberi petunjuk kepada usahawan untuk tidak dan dilarang sama sekali terlibat dengan aktiviti-aktiviti perniagaan menyalahi hukum agama Islam seperti riba, arak, penipuan, penindasan, manipulasi harga dan sebagainya. Sebaliknya usahawan Muslim dijanjikan ganjaran di akhirat sekiranya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Sekiranya usahawan Muslim menjadikan peraturan ini sebagai panduan, tentunya mereka akan memperoleh kejayaan dalam urusan perniagaan mereka seterusnya dapat menghindarkan diri daripada terlibat perkara-perkara negatif atau mungkar. 21
Ibadah. Keusahawanan Islam bukan sahaja mementingkan keuntungan semata-mata, namun ia juga dianggap sebagai ibadah dalam mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Seorang Muslim juga dituntut menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya. Keusahawanan sebagai suatu bentuk ibadah melalui aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor (pengeluaran dan perkhidmatan), yang memberi manfaat kepada manusia untuk meningkatkan taraf kehidupan agar menjadi lebih baik dan diredai Allah SWT. Bagi memastikan aktiviti yang dilakukan merupakan satu ibadah, aktiviti keusahawanan hendaklah dijalankan dengan cara benar, niat yang suci, jujur, ikhlas, sentiasa berada di atas jalan kebaikan dan tidak melakukan perkara yang membawa kepada kejahatan, bekerja dengan tekun, cekap, bertanggungjawab, bekerjasama dan tidak menghalang pekerja daripada menunaikan kewajipan kepada Allah SWT. Kesimpulannya, keusahawanan Islam boleh dikatakan sebagai suatu bentuk ibadah melalui aktiviti perniagaan atau perusahaan dengan kemahiran-kemahiran tertentu yang bertujuan untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT di dunia dan di akhirat. 22
Kejayaan. Menurut Al-Qurtubi, kejayaan bermaksud mencari rezeki yang halal, berpada-pada (qanaah), kehendak Allah SWT (taufiq), keberkatan (sa’adah) dan syurga (jannah). Maka, usahawan Muslim perlu memastikan kegiatan keusahawanan dilakukan dengan usaha yang terbaik dari pelbagai perspektif termasuk pengurusan perniagaan, kewangan, pekerja, pembekal, pesaing dan pelanggan. Kejayaan yang di kecapi bukan sekadar memperoleh keuntungan tetapi kejayaan sebenar apabila usahawan Muslim berjaya menjalankan perniagaan dengan berpandukan ajaran Islam. 23
05 MATLAMAT KEUSAHAWANAN ISLAM 24
MATLAMAT KEUSAHAWANAN ISLAM Sebelum membangunkan keusahawanan Islam, Usahawan Muslim perlu terlebih dahulu mengetahui matlamat sebenar mengapa mereka ingin menjadi seorang usahawan. Islam telah menyediakan beberapa matlamat yang perlu dicapai hasil daripada keusahawanan Islam. 25
MATLAMAT KEUSAHAWANAN ISLAM Pembangunan Insan. Pembangunan insan merupakan salah satu matlamat dalam keusahawanan Islam. Nilai insan ini perlu dibangunkan daripada segi kualitatif dan kuantitatif bagi memastikan mereka mampu untuk mengambil faedah daripada setiap sumber yang ada di dunia bagi tujuan untuk terus memakmurkan dunia ini. Ini bermakna keusahawanan Islam akan membangunkan keinsanan seperti kejujuran, amanah dan kepatuhan kepada suruhan Allah SWT. Mereka juga mampu untuk mencipta produk atau perkhidmatan bagi memenuhi keperluan manusia. 26
MATLAMAT KEUSAHAWANAN ISLAM Pertambahan produk dan perkhidmatan.. Penghasilan produk dan perkhidmatan daripada aktiviti keusahawanan Islam tidak bersifat statik. Produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan perlu terus dikeluarkan dan perlu terus dipertingkatkan sama ada daripada segi kualiti dan juga kuantiti bagi memenuhi keperluan manusia yang terus bertambah kerana cita rasa mereka yang terus berubah . Oleh itu, usahawan Muslim perlu berusaha untuk mempertingkatkan kecekapan pengeluaran dan juga pemasaran. Produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan perlu dipelbagaikan dan tidak bertentangan dengan tuntutan Islam. Galakan , bimbingan dan bantuan daripada pelbagai pihak diperlukan bagi membolehkan usahawan Muslim mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan. 27
MATLAMAT KEUSAHAWANAN ISLAM Menyediakan jaminan keselamatan sejagat. Keusahawanan Islam akan memberi jaminan keselamatan sosial semua makhluk yang ada di muka bumi ini. Oleh itu, keusahawanan Islam akan memberi keprihatinan yang tinggi kepada aspek kebajikan, keselesaan dan keselamatan sejagat. Hasil daripada keprihatinan ini akan mengelak usahawan daripada hanya mengutamakan keuntungan dengan membelakangkan nilai akhlak dan kemanusiaan. Oleh itu, setiap usahawan Muslim akan menjauhkan diri daripada sebarang bentuk penindasan di mana boleh mendatangkan kesukaran kepada pelbagai pihak. 28
MATLAMAT KEUSAHAWANAN ISLAM Mewujudkan peluang pekerjaan. Melalui aktiviti keusahawanan akan membolehkan usahawan menyediakan peluang pekerjaan kepada pelbagai pihak yang memerlukan. Melalui pelbagai pekerjaan yang dilakukan akan membolehkan mereka memenuhi keperluan peribadi dan juga keluarga. Kesan daripada kewujudan peluang pekerjaan akan menghindari masyarakat daripada berhadapan dengan masalah sosial seperti kemiskinan, pengangguran dan juga pelacuran. Islam memberi amaran bahawa kemiskinan boleh mendekatkan seseorang kepada kekufuran. 29
MATLAMAT KEUSAHAWANAN ISLAM Sumber kewangan. Wang merupakan elemen penting dalam menjana aktiviti keusahawanan. Oleh itu, usahawan Muslim perlu bertindak secara bijak dalam menguruskan sumber kewangan bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang masalah yang tidak diingini seperti kerugian yang boleh menyebabkan muflis atau terpaksa menanggung hutang yang membebankan. Selain itu, Islam mengharamkan usahawan daripada terlibat dalam sebarang rasuah, spekulasi dan aktiviti sorok dengan harapan untuk memperoleh keuntungan segera. 30
06 KELEBIHAN KEUSAHAWANAN ISLAM 31
32
KELEBIHAN KEUSAHAWANAN ISLAM 1 MENGAWAL TINGKAH LAKU. Keusahawanan Islam berperanan dalam mengawal tingkah laku usahawan dalam melakukan aktiviti keusahawanan di mana ia akan memastikan seorang usahawan terlibat dalam aktiviti yang mampu memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Oleh itu, untuk memastikan aktiviti keusahawanan yang dijalankan selari dengan tuntutan Islam mereka perlu tanya diri sendiri adakah aktiviti yang dijalankan akan mendekatkan diri mereka dengan tuhan atau sebaliknya. Perkara boleh diukur dengan melihat kepada natijah hasil daripada aktiviti keusahawanan yang dijalankan sama mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat atau sebaliknya. 2 MEMUPUK PERSAUDARAAN. Keusahawanan Islam dapat memupuk persaudaraan dan persamaan sejagat dalam kalangan manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit dan agama yang dianuti. Persaudaraan sejagat ini mampu dibina di atas landasan Islam kerana mengharamkan sebarang bentuk penindasan akan mengelak daripada wujudnya perasaan dengki, marah, dendam dan benci. Jadi dengan adanya pegagan Islam maka perniagaan yang dijalankan itu dapat mengeratkan lagi persaudaraan sejagat. 33
3 MEMBANGUNKAN KEPERIBADIAN YANG MULIA. Keusahawanan Islam dapat membangunkan keperibadian yang mulia dalam kalangan usahawan. Perkara ini dapat dilihat sejauh mana istiqamahnya seorang usahawan dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang berlandaskan syariat Islam. Antara keperibadian yang mulia ialah kemampuan mereka untuk menyeimbangkan kepentingan diri sendiri dengan kepentingan umum, keuntungan dengan kebajikan pekerja dan juga keutamaan dunia berbanding dengan kepentingan akhirat. Oleh itu, setiap usahawan Muslim perlu mempunyai misi dan visi serta matlamat dalam kehidupannya, ikhlas dalam memberi sumbangan kepada masyarakat dan proaktif dalam menyelesaikan masalah berhubung dengan kehidupan bermasyarakat. Mereka perlu pastikan kejayaan yang diperoleh di dunia merupakan jambatan ke arah kejayaan di akhirat. 4 MENDAPAT KEREDAAN DARIPADA ALLAH. Sungguhpun aktiviti keusahawanan yang dijalankan bertujuan mendapatkan keuntungan tetapi aktiviti ini juga merupakan alat untuk mencapai matlamat yang terunggul iaitu mendapatkan keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Oleh itu, antara tujuan melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan ialah untuk mendapatkan keuntungan kerana itu merupakan hak yang diberikan oleh Allah SWT sebagai ganjaran kepada usaha mereka dan risiko yang terpaksa ditanggung. Jadi keusahawanan Islam secara umumnya adalah untuk mendapatkan keuntungan secara khususnya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. 34
KESIMPULAN Jelas Islam tidak sama sekali menghalang umatnya mencari Umat Islam sangat keuntungan dalam perniagaan, digalakkan memilih namun perlu diperoleh melalui kerjaya keusahawanan jalan yang benar dan mengikut untuk memajukan diri tuntutan syariat. dan ekonomi Islam. KEUSAHAWANAN ISLAM Bidang keusahawanan Keusahawanan adalah bidang kerja yang dalam Islam penting dan dipandang merupakan satu tinggi dalam Islam. bentuk ibadah. 35
RUJUKAN 1. Ab Aziz Yusof (2000), op. cit. h. 15. 2. Ab. Mumin Ab. Ghani & Nor Azzah Kamri. (2008). Pembiayaan Keusahawanan Mengikut Prinsip Islam; Suatu Tuntutan Jihad dalam Prosiding Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan. Kuala Lumpur. Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. 3. Abd Muin, Mohd & Isa, Yazid. (2015). Peranan usahawan berjaya dalam keusahawanan sosial Islam: Satu penyelesaian kepada masalah ekonomi dan sosial. 4. Abdul Sami’ al-Misri (1993). Perniagaan Dalam Islam (terjemahan). Kuala Lumpur:DBP 5. Adanan Alias (2002) .Keusahawanan Islam, Prentice Hall, Kuala Lumpur. 6. Adnan Alias & Mohamad Dahlan Ibrahim. (2002). Keusahawanan Islam. Selangor. Prentice Hall. 7. Ali Ghoul, W. (2010). Islam and entrepreneurship. In L. P. Dana (Ed). Entrepreneurship and Religion (pp. 269-280). Cheltenham: Edward Elgar Publishing Limited. 8. Chapra, M. U. (1992). Islam and the economic challenge. Leicester: Islamic Foundation 9. http://e-muamalat.islam.gov.my/ms/bahan-ilmiah/artikel/154- perkara-haram-dalam-perniagaan 10.http://vlib.unitarklj1.edu.my/staff publications/datuk/CEMERLANG.pd 11. Kertas-kertas Kerja Seminar keusahawanan Islam Peringkat Kebangsaan 2005. Jabatan syariah dan Pengurusan. Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Sept 6, 2005, Kuala Lumpur 36
12. Mohd. Faizal P.Rameli, Muhammad Ridhwan Ab. Aziz, Kalsom Ab. Wahab, Suhaida Mohd. Amin, (2014), PROSIDING PERKEM ke-9 (2014) 442 - 450 ISSN: 2231-962X Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-9 (PERKEM ke-9) “Urus Tadbir Ekonomi yang Adil : Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi” Kuala Terengganu,Terengganu, 17 – 19 Oktober 2014 Etika Perniagaan Islam: Pengalaman Usahawan Muslim di Melaka. 13. Nawawi HJ. Mohd Jan (1987). Rintangan dan Masalah yang dihadapi oleh Usahawan Muslilin kini. Seminar Usahawan Muslimin Peringkat Kebangsaan,Sept. 11-13, 1987. Shah Alam, Selangor 14. Nik Yusoff, N. M. (2002). Islam and business. Kuala Lumpur: Pelanduk Publications. 16. Sheikh Ghazali Sheikh Abod (1987) Konsep usahwan dan keusahawanan dalam Islam . Seminar Keusahawanan dan Perniagaan Islam.Nov.28-29,1987.PetalingJaya,Selangor. 17. Shuhairimi Abdullah & Ku Halim Ku Ariffin. (2010). Keusahawanan Islam. Penerbitan Universiti Malaysia Perlis. Kangar. 18. Surah al-Ma’idah (5): 87-88, al-Baqarah (2): 190 dan al-A‘raf (7): 31-32. 19. Syed Othman al-Habsyi,1986, Perniagaan Sebagai Satu Ibadah, Nota Kepada Peserta, Bengkel Jurulatih Keusahawanan siswazah, INTAN, Kuala Lumpur 20. Uddin, S. J. (2003). Understanding the framework of business in Islam in an era of globalisation: A review. Business Ethics: A European Review, 12(1), 23-32. 37
Search
Read the Text Version
- 1 - 44
Pages: