Melonjak kecemerlangan diri dan organisasi dalam Komuniti Pembelajaran Profesional KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL: Noor Hashimah Hashim Mohd Faiz Mohd Yaakob Muhammad Faizal A. Ghani 2022
Melonjak kecemerlangan diri dan organisasi dalam Komuniti Pembelajaran Profesional Melonjak kecemerlangan KOMUNITIdiri dan organisasi dalam Komuniti Pembelajaran Profesional PEMBELAJKAORMANUNPIRTOI FESIONAL: PEMBELAJARAN PROFESIONAL: Noor Hashimah Hashim Mohd Faiz Mohd Yaakob Muhammad Faizal A. Ghani Noor HFaaiszh2Mi0mo2ah2hd Hashim Mohd Yaakob Muhammad Faizal A. Ghani 2022
Diterbitkan oleh: Institut Aminuddin Baki Kementerian Pendidikan Malaysia Kompleks Pendidikan Nilai 71760 BANDAR ENSTEK Nilai, Negeri Sembilan Tel: 06-7979200 http://iab.moe.edu.my e-mel: [email protected] Urusan penerbitan oleh: Jabatan Penerbitan dan Dokumentasi Pusat Dokumentasi dan Sumber Pendidikan Institut Aminuddin Baki Kementerian Pendidikan Malaysia Kompleks Pendidikan Nilai 71760 BANDAR ENSTEK ©Hak Cipta Institut Aminuddin Baki 2022 Cetakan Pertama 2022 Hak cipta terpelihara. Tiada mana-mana bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan ke dalam sebarang bentuk atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah, Institut Aminuddin Baki terlebih dahulu. Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL: BUDAYA, NARATIF DAN IDENTITI ISBN 978-967-2996-26-2 1. Professional learning communities 2. Educational leadership. 3. Government publications--Malaysia. 370.711 Pengurus Penerbitan: Mohamad Hanif bin Ramli Grafik dan Reka Bentuk REKA CETAK SDN BHD Pencetak: REKA CETAK SDN BHD No. 12 & 14, Jalan Jemuju Empat 16/13D, Seksyen 16, 40200 Shah Alam Selangor Darul Ehsan www.rekacetak.com iv
KANDUNGAN Kata Pengantar vii Budaya Komuniti Pembelajaran Profesional dan Kepimpinan Pendidikan 1 Melaksanakan KPP Melalui Visi dan Misi 2 Melaksanakan Penambahbaikan KPP 5 Membezakan antara Pengurusan dan Kepimpinan 6 Pertembungan Pemimpin dan Pengurus 9 Pemimpin Komuniti Pembelajaran Profesional 10 Komuniti Pembelajaran Profesional 10 Dimensi KPP 14 Disiplin KPP 16 Naratif Cabaran Pelaksanaan KPP 19 Memahami sikap guru dan murid 20 Pengurusan, kemudahan dan komunikasi yang terhad 20 Cabaran dari pihak yang berkepentingan 21 Naratif Strategi Pembinaan KPP 22 Langkah Permulaan 23 Membina Struktur Kolaboratif 26 Meneruskan dan Melestarikan 27 Identiti Komuniti Pembelajaran Profesional: Perspektif Islam 29 Konsep Kolaboratif dalam Islam 35 Konsep Ilmu dalam Islam 36 v
Hukum Menuntut Ilmu dalam Islam 37 Perkembangan Masyarakat Islam dalam Bidang Pendidikan 38 Kesimpulan 52 Identiti Pelaksanaan Penambahbaikan Sekolah: Senario Amalan 53 Komuniti Pembelajaran Profesional di Negara Maju Penambahbaikan Sekolah 55 Komuniti Pembelajaran Profesional 56 Faktor Penyumbang Kepada Keberkesanan Komuniti 57 Pembelajaran Profesional Amalan Komuniti Pembelajaran Profesional Merupakan Sebahagian 59 Proses Penambahbaikan Sekolah Amalan Komuniti Profesional Pembelajaran di Negara Maju: 60 Satu Pengalaman Bernilai Penutup 67 Bibliografi 67 vi
KATA PENGANTAR Pendidikan dunia menghadapi dinamika berterusan dari zaman ke zaman. Istilah the art of collaboration telah menjadi perbualan hangat para ilmuan dan cendiakawan untuk mendapatkan manfaat yang boleh dikongsi bersama. Individu atau organisasi yang terlepas daripada mempunyai kemahiran diri dalam seni ini akan tertinggal dan terus ditinggalkan. Oleh itu, Komuniti Pembelajaran Profesional atau KPP datang sebagai sebuah gagasan dari industri kepada dunia pendidikan. Komuniti Pembelajaran Profesional perlu dijadikan budaya yang diperkembangkan melalui kepimpinan. Secara mudahnya, pemimpin yang memimpin organisasi perlu mempunyai kata dasar untuk memulakan organisasi dengan belajar dan sentiasa belajar. Budaya ini mempunyai dimensinya, yang dihuraikan dan perlu dihadamkan oleh para pemimpin pendidikan. Sesuatu budaya itu tidak berdiri dengan sendiri. Budaya dilengkapkan dengan naratif yang menghuraikan kelangsungan budaya tersebut. Buku ini juga membincangkan naratif KPP. Cabaran dan strategi dihidangkan kepada pembaca untuk mendapatkan idea dalam mengaplikasikan KPP dalam organisasi masing-masing. Selain itu, naratif ini disambut dengan kemuncaknya iaitu identiti. Dalam buku ini, KPP mempunyai identiti tersendiri yang selari dengan nilai perspektif Islami. Buku ini sesuai untuk pemimpin pendidikan, para akademik, penggubal dasar, perancang pendidikan dan para guru. Semoga buku ini berupaya menyumbangkan kesan yang positif dalam bidang akademik dan pengamal pendidikan. Noor Hashimah Hashim, PhD Mohd Faiz Mohd Yaakob, PhD Muhammad Faizal A. Ghani, PhD vii
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Budaya Komuniti Pembelajaran Profesional dan Kepimpinan Pendidikan Kepemimpinan menjadi kata kunci kepada kejayaan pelaksanaan Komuniti Pembelajaran Profesional (KPP) dalam sesebuah organisasi. Sememangnya sukar untuk melihat bagaimana KPP berlaku dengan baik, dan membangun dalam sesebuah sekolah tanpa sokongan dan dorongan yang proaktif daripada pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat. Pemimpin di sesebuah organisasi merupakan sumber utama yang memacu kepada keberhasilan KPP. Sebagai contoh, Pengetua/ Guru Besar (PGB) merupakan pemacu utama dalam memberikan komitmen yang jitu dan padu terhadap pembentukan KPP di sekolah. Secara jelasnya, kepimpinan yang mengamalkan perkongsian kepimpinan atau berkongsi kepimpinan yang diketuai oleh PGB mampu dan berupaya melaksanakan amalan KPP di sesebuah sekolah dengan lebih berkesan (Mulford & Silins, 2003). Selain itu, tingkah laku kepemimpinan PGB telah memberikan kesan kepada pelaksanaan KPP di sesebuah sekolah dan seterusnya meningkatkan pencapaian murid. Gaya kepimpinan yang ditonjolkan oleh PGB juga berupaya mewujudkan kepercayaan dalam kalangan guru terhadap kepemimpinannnya. Ini kerana, PGB di sesebuah sekolah mampu menyesuaikan diri dengan pihak atasan, komuniti setempat, kehendak murid mahupun keperluan guru dan kakitangan sokongan (Dwyer, 1984; Bossert, 1982 dan Rowen, 1983). Jika diperhalusi, terdapat kesan dan implikasi tingkah laku kepemimpinan PGB dalam usaha mengubah amalan kerja guru yang selama ini lebih kepada menyendiri dalam melaksanakan tugasan kepada satu bentuk kerjasama yang lebih terbuka. Perkara ini menjadi permasalahan sekiranya tidak ditangani dengan baik dan berkesan. Justeru, kepimpinan memainkan peranan penting dalam menyusun aktiviti di sekolah dan membangunkan kapasiti potensi guru-guru agar lebih terbuka dengan mengamalkan KPP. Terdapat beberapa cadangan untuk 1
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti mengatasi masalah ini seperti; (i) memberikan pengiktirafan kepada guru-guru, (ii) melibatkan guru-guru dalam membuat keputusan, (iii) memberikan autoriti profesional kepada guru-guru dan (iv) memimpin guru secara beriringan dan bersama-sama (Zuraidah Abdullah, 2016). Dalam usaha menjayakan KPP di sekolah-sekolah, PGB perlu mengamalkan corak kepemimpinan yang tight and loose. Hal ini dapat dilihat melalui PGB yang mempunyai kecekapan serta keupayaan dalam mengenal pasti kekurangan, kekuatan, kelemahan dan peluang yang berada di persekitaran dalaman dan luar sekolah. PGB yang mampu mengenal pasti dan memahami potensi guru-guru di bawah pimpinannya akan dapat melahirkan kejayaan dan inovasi kepada sekolah. Selain itu, gaya kepemimpinan sebegini akan mewujudkan rasa kepercayaan kepada pemimpin di sekolah tersebut. Oleh itu, peranan kepemimpinan amat penting dalam menjayakan KPP di sekolah dan seterusnya membentuk pasukan kerja yang bersepadu antara satu sama lain. Sekiranya diamati, kepemimpinan sebegini akan disenangi oleh guru-guru, komuniti setempat dan pemegang taruh yang lain. Apabila hubungan ini berlaku dengan baik, maka kejayaan KPP dapat dijelmakan dan direalisasikan. Kesimpulannya, kepemimpinan PGB merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan akademik dan kompetensi guru-guru di sesebuah sekolah. PGB perlu bijak untuk menetapkan visi atau matlamat sekolah dengan jelas bagi mendapatkan kerjasama dalam kalangan warga sekolah, mempunyai hubungan baik antara warga sekolah dan sentiasa memberikan peluang kepada guru. Di samping itu, PGB perlu meletakkan visi dan misi organisasi yang jelas bagi mencapai keberkesanan dalam kepimpinan dan mempunyai matlamat yang sama untuk dicapai. Melaksanakan KPP Melalui Visi dan Misi Konsep kepimpinan yang tepat perlu diamalkan bagi menjamin kejayaan KPP di sekolah. Semua organisasi memerlukan visi dan misi sebagai tunjang utama dalam organisasi. Justeru, perkara ini perlu difahami sebagai prasyarat untuk mencapai keberkesanan dalam kepimpinan. Ciri-ciri utama sekolah yang berjaya adalah disebabkan sistem perhubungan dan komunikasi yang berkesan antara PGB dengan guru, ibu bapa, dan murid-murid. Perkara ini lahir daripada pembentukan visi dan misi yang dikongsi bersama untuk mencapai matlamat yang dihasratkan (Taiwo, Lawal & Agwu, 2016; Krug, 1992; Austin, 1989). Selain itu, PGB juga mempunyai visi yang personal. Visi inilah juga menjadi nadi kepemimpinan yang bermaksud apa sahaja yang dipercayai, dihargai dan menjadi impian dijelmakan menerusi komitmen seseorang individu (Sergiovanni, 2
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti 1995). Tanpa memiliki visi, tingkah laku seseorang itu tidak bersifat reflektif, tidak konsisten dan tidak berdaya saing. Ini akan memudaratkan organisasi kerana tidak mempunyai matlamat yang jelas dan konsisten. Bagi membangunkan visi dan misi dengan jayanya, PGB perlu memahami konsep visi dan misi secara menyeluruh. Visi berasal daripada perkataan Latin ‘videre’ yang bermakna “melihat” (Kamus Dewan, 2013). Jika dihuraikan makna tersebut, semakin diperincikan imej dan visualnya, maka visi yang dibina itu semakin meyakinkan. Visi juga merupakan proses tanpa penghujung iaitu perbincangan biasa yang diperkatakan oleh setiap ahli organisasi berkaitan dengan visi. Perkongsian visi pula ialah, membawa nilai-nilai ke tahap kesedaran agar manusia berupaya membuat keputusan secara bergabung dengan nilai-nilai yang mereka pegang. Sementara itu, visi juga dikatakan sebagai wawasan yang membawa maksud gambaran pemikiran pada masa hadapan yang ingin dicapai melalui rasional, matlamat, hala tuju dan keutamaan yang mendorong para guru serta murid untuk mencapai hasil yang diidamkan (Hussein Mahmood, 1993). Sekiranya difokuskan kepada visi ini, terdapat tiga ciri visi yang baik dan berkesan. Ciri-ciri visi yang baik dibincangkan oleh Morgan (1993) merujuk kepada model mental, bersifat ideal dan mempunyai ciri-cirinya. Visi wujud dalam imaginasi tetapi boleh direalisasikan menerusi komitmen dan tindakan yang menggambarkan kegunaan dan kuasanya. Terdapat tiga elemen utama bagi sesebuah visi yang baik iaitu (i) matlamat yang jelas. Elemen ini menjawab soalan-soalan “apakah yang anda buat?” dan “mengapakah organisasi anda wujud?”. (ii) Nilai-nilai yang jelas. Elemen ini menghuraikan kepentingan sesuatu aktiviti dilaksanakan atau menjawab soalan “untuk apa anda mahu dikenali?” dan menjelaskan “mengapa sesuatu yang penting dilaksanakan?” atau menjawab persoalan “apakah pegangan anda?”. Nilai-nilai yang dinyatakan menjamin konsistensi ke atas cara manusia menjalankan tugas dan menjana minda dengan menumpukan kaedah menghadapi halangan, pertentangan serta perubahan. (iii) Imej yang jelas tentang bentuk model sebuah kejayaan. Elemen ini memberikan gambaran tentang perkara yang sedang dan akan berlaku apabila matlamat dan nilai-nilai digariskan dalam mencapai visi yang baik itu dipatuhi. Misi pula bermakna membaling, membiarkan atau menghantar yang berasal daripada perkataan Latin ‘miltere’ (Kamus Dewan, 2013). Misi juga menerangkan tujuan kewujudan sesebuah organisasi khususnya jika struktur organisasi tersebut ingin diubah kerana misi yang jelas merupakan hala tuju terhadap segala perancangan dan tindakan yang dilaksanakan. Perkara ini dapat menentukan sama ada tindakan tersebut mengarah kepada perkara yang ingin dicapai atau tidak dan penyataan misi menyediakan kerangka kerja yang membolehkan sesuatu visi menjadi realiti. 3
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Misi sekolah terbahagi kepada dua bahagian iaitu (i) misi kurikulum yang menyediakan panduan bagi program-program pembelajaran, dan (ii) misi kemajuan sekolah yang menumpukan peranan sekolah sebagai sebuah organisasi. Menurut Davis dan Caust (1994) dan diulas oleh Zuraidah Abdullah (2016) bahawa misi kedua ini menumpukan usaha dengan menggambarkan sekolah menerusi beberapa imej iaitu: (i) Imej yang rasional atau birokrasi. Imej ini mengandaikan misi sekolah untuk mencapai keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan mewujudkan iklim persekitaran sekolah yang kondusif. Dalam pembentukan misi ini juga merujuk kepada saling mempercayai, kemahiran berfikir dan berorientasikan tugas. (ii) Imej profesional. Imej ini meletakkan misi sekolah dengan tumpuan kepada membangunkan keupayaan guru kerana proses pengajaran dan pembelajaran adalah kompleks. Ellstrom (1983) turut menjelaskan perkara utama dalam pembentukan misi ini adalah keupayaan, kepakaran, kemahiran teknikal dan tanggungjawab. (iii) Imej sistem sosial. Misi yang dibentuk daripada imej ini adalah bersifat penilaian iaitu keberkesanan proses pengajaran dicapai menerusi penilaian pihak-pihak berkepentingan sama ada di dalam mahupun luar sekolah. Ellstrom (1983) menetapkan misi jenis ini memberikan tumpuan kepada elemen saling mempercayai dan pembelajaran berpasukan. (iv) Imej politik. Menurut imej ini, sesebuah misi dibentuk menerusi pengaruh pihak-pihak tertentu seperti pentadbiran sekolah dan pihak yang berpengaruh dalam politik saling mewujudkan konflik bagi mengenal pasti kaedah memperbaiki kualiti proses pengajaran dan pembelajaran. Ellstrom (1983) menekankan misi ini bersifat pengaruh kuasa, konflik dan daya juang. (v) Imej sistem alami. Menurut imej ini, misi dibentuk untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran serta budaya organisasi wujud dengan kawalan yang sedikit daripada pihak atasan. Contohnya, pihak pentadbiran mengelolakan sekolah dengan menggunakan sepenuhnya sumber mengikut konteks sekolah masing-masing. Aspek penting dalam misi jenis ini adalah peranan, perwatakan dan kebijaksanaan. Kesimpulannya, visi dan misi ini perlu dikongsi oleh PGB kepada guru-guru agar kejayaan KPP dapat direalisasikan dan akhirnya diraikan oleh para guru dan kakitangan di sekolah. 4
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Melaksanakan Penambahbaikan KPP Setelah memahami visi dan misi secara jelas, penambahbaikan melalui KPP boleh dilaksanakan oleh PGB dengan baik dan berkesan. Sesebuah sekolah yang berjaya melaksanakan penambahbaikan bukan sahaja disebabkan oleh peranan PGB tetapi juga gaya kepemimpinan sekolah. Gaya ini perlu disesuaikan dengan mewujudkan komuniti pembelajaran dengan menambah baik budaya organisasi seperti yang dibincangkan oleh Harris (2002) iaitu: (i) Mewujudkan visi dan nilai yang berkekalan. Seseorang pemimpin perlu mewujudkan keseimbangan antara visi dengan kemampuan dalam kalangan warga sekolah kerana kewujudan, pembangunan dan pengamalan visi adalah penting dalam membangunkan kemampuan mereka bagi tujuan penambahbaikan sekolah. Pemimpin yang mempunyai visi yang jelas berupaya untuk membentuk dan mempengaruhi budaya sekolah; seterusnya mengubah dan membangunkannya. Dapatan kajian Day dan rakan-rakan (2000) melaporkan peranan tersebut boleh dilakukan menerusi nilai-nilai keperibadian yang dimiliki oleh seseorang pemimpin yang dihormati, adil, peka terhadap keperluan warga sekolah dan amanah. Pemimpin yang berkesan juga mempunyai pengharapan terhadap warga sekolah untuk mencapai suatu piawai yang tinggi menerusi gabungan komitmen warga sekolah yang tinggi dan bekerja secara berpasukan. (ii) Memaksimumkan potensi warga sekolah. Pemimpin yang berkesan turut berusaha meningkatkan potensi diri dan warga sekolah menerusi program pembangunan kakitangan dan memanfaatkan potensi tersebut. Program pembangunan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan sekolah, kelas dan diri warga sekolah sendiri serta dilaksanakan secara berterusan dengan penekanan kepada guru sebagai faktor penting dalam proses penambahbaikan sekolah. (iii) Mewujudkan organisasi pembelajaran. Organisasi pembelajaran merupakan organisasi yang mendedahkan warganya kepada pembelajaran sepanjang hayat. Natijah daripada proses pembelajaran secara berterusan ini telah menjadi teras kepada warga sekolah memperoleh idea-idea dan pemikiran baharu, sekali gus idea dan pemikiran baharu tersebut berupaya dipindahkan dan disesuaikan mengikut keperluan organisasi. (iv) Bekerja secara berpasukan. Menurut Day dan rakan-rakan (2000), seseorang pemimpin yang berkesan dan berjaya bekerja bersama-sama pengikutnya dengan mempamerkan kualiti diri seperti mempercayai, empati, kredibiliti, sentiasa memberi sokongan, amanah, dan adil. Strategi kepimpinan berpasukan oleh seseorang pemimpin berupaya untuk mengiktiraf 5
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti pengikutnya, melibatkan orang lain dalam membuat keputusan, memberikan autoriti profesional kepada orang lain dan memimpin dengan berdiri beriringan bersama-sama dengan pengikutnya. Pemimpin yang berkesan juga bukan sahaja berminat dengan kejayaannya, potensi dan pencapaian organisasi, malah bertanggungjawab dengan setiap keputusan yang dilaksanakan kepada pengikutnya. Justeru, KPP merupakan sebuah komuniti yang membentuk suatu budaya yang membolehkan semua warga sekolah belajar secara berterusan. Dalam erti kata lain, PGB belajar, guru belajar dan murid juga belajar dalam konteks dan keperluan masing-masing. Sekolah yang membentuk KPP adalah sekolah yang menggalakkan dan mewujudkan nilai-nilai pembelajaran melalui suatu proses kolaboratif. Kolaboratif ini dilihat dalam erti kata saling menolong dan saling memerlukan dalam sesuatu usaha yang dilakukan. Perbincangan yang dinamik dan bersifat reflektif ini mampu mewujudkan nilai-nilai kebersamaan antara PGB, guru, ibu bapa dan komuniti. Implikasinya, setiap ahli komuniti sekolah yang menerapkan KPP ini sentiasa saling bertanggungjawab antara satu sama lain untuk penambahbaikan komuniti mereka. Oleh itu, dalam situasi ini sekolah memerlukan kepemimpinan yang sedar dan dinamik serta berani dalam membangunkan modal insan yang berkualiti. Pendekatan pemimpin sekolah ke arah pembangunan modal insan harus secara holistik menjurus kepada pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, intelektual, serta pembudayaan sikap progresif yang mempunyai nilai etika dan moral yang tinggi. Bagi mencapai matlamat ini, pemimpin sekolah tidak boleh menolak tentang kepentingan pembelajaran dalam kalangan guru (Zuraidah Abdullah, 2016). Kesimpulannya, KPP menjadi budaya yang akan membangunkan kapasiti dalaman dan luaran di sesebuah sekolah. Kewujudan budaya ini akan memperkembang dan membangunkan kompetensi PGB, guru-guru dan murid- murid ke arah peningkatan kualiti sekolah. Malah, PGB dan guru-guru sendiri akan menjadi pakar dalam bidang yang mereka tumpukan. Membezakan antara Pengurusan dan Kepimpinan Organisasi seperti sekolah memerlukan ketua yang berautoriti untuk memimpin, tetapi ini juga bukanlah jaminan bahawa mereka akan dapat memimpin dengan berkesan. Di samping itu, sesebuah sekolah memerlukan kepimpinan dan pengurusan yang mantap untuk mencapai kecekapan dan keberkesanan yang optimum. Hal ini penting kerana kerap kali terdapat kontroversi yang berpanjangan dalam membicarakan hal-hal berkaitan pengurus dan pemimpin dalam sesebuah organisasi. 6
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Jika ditinjau secara mendalam, bukan semua pengurus mampu untuk memimpin dan bukan semua pemimpin mampu mengurus. Sarjana yang menjadi pelopor kepada perkara ini ialah Abraham Zaleznik yang menulis mengenai perkara ini dalam Harvard Bussiness Review seawal tahun 1977. Beliau berpendapat bahawa kedua-duanya mempunyai sumbangan yang berharga kepada organisasi dan sumbangan masing-masing adalah berbeza. Seorang pemimpin menyokong perubahan dan pendekatan yang baharu, manakala seorang pengurus menyokong kestabilan dan status quo. Sekolah memerlukan pengurus untuk memimpin, tetapi bukanlah jaminan bahawa mereka akan dapat memimpin dengan berkesan. Sekolah dan budaya kerja di sekolah berada dalam keadaan yang sentiasa dinamik. Justeru, kepimpinan yang berjaya mengurus perlu mempunyai kefahaman yang tinggi dalam memimpin dan mengurus sekolah. Hakikatnya, seseorang pengurus dan pemimpin difahami secara berbeza oleh orang yang berbeza. Walaupun sesetengah sarjana menggunakannya sebagai istilah yang sama dan sinonim, namun terdapat ramai sarjana memahami perkara ini sebagai dua pekerjaan, tindakan dan perkataan yang berbeza. Walau bagaimanapun, majoriti menghargai beberapa persamaan dan perbezaan di antara mereka. Terdapat tugasan yang sama melalui dua pekerjaan ini iaitu, bekerja dengan manusia dalam organisasi dan mempengaruhi orang lain untuk mencapai matlamat. Kemahiran pengurusan digunakan untuk merancang, membina dan mengarahkan melalui sistem organisasi untuk mencapai misi dan matlamat, manakala kemahiran kepimpinan digunakan untuk memberi tumpuan kepada perubahan yang berpotensi dengan mewujudkan arah tujuan, menyelaraskan orang dibawah pimpinannya serta memberi motivasi dan inspirasi. Kepimpinan dan pengurusan memerlukan satu set aktiviti atau fungsi yang unik. Walaupun pemimpin dan pengurus berkongsi beberapa persamaan kerana mereka berdua mempengaruhi orang lain dengan menggunakan kuasa tertentu untuk mencapai matlamat tertentu, terdapat juga beberapa perbezaan yang menonjol (Northouse, 2007). Pengurusan Katz mendefinisikan pengurusan sebagai arah latihan kumpulan atau organisasi melalui kedudukan eksekutif, pentadbiran, dan penyeliaan (Katz, 1955). Katz berpendapat bahawa tanggungjawab pengurusan biasanya berorientasikan tugas, dan melibatkan kakitangan yang sedang membangun, menjadi mentor kepada yang berpotensi tinggi, dan menyelesaikan konflik sambil mengekalkan etika dan disiplin (Katz, 1955). Selain itu, Kotter mendefinisikan pengurusan sebagai tugas yang merawat perancangan, pengorganisasian, anggaran, menyelaras 7
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti dan memantau aktiviti untuk kumpulan atau organisasi (Kotter, 2001). Northouse mentakrifkan pengurusan sebagai satu proses yang membolehkan objektif yang telah ditetapkan dapat dicapai melalui penggunaan sumber yang cekap (Northouse, 2007). Oleh itu, pengurusan secara umumnya adalah proses yang digunakan untuk mencapai matlamat organisasi. Selain itu, pengurus memberi tumpuan kepada sumber, struktur dan sistem (Kotter, 2001). Pengurus juga mempunyai tujuan untuk mencapai matlamat jangka pendek, mengelakkan sebarang risiko, dan mewujudkan standard untuk meningkatkan kecekapan (Kotterman, 2006). Kajian lampau menunjukkan bahawa pengurus yang berkesan bergantung pada tiga set kemahiran khas, iaitu: teknikal, manusia dan konseptual. Kemahiran teknikal merujuk kepada kemahiran dalam jenis kerja tertentu. Ini mungkin termasuk kompetensi dalam bidang khusus, atau keupayaan untuk menggunakan alat dan teknik yang sesuai. Kemahiran manusia pula merujuk kepada keupayaan untuk bekerja dengan orang lain, yang membolehkan seorang pengurus membantu ahli kumpulan untuk menyelesaikan tugas. Manakala kemahiran konseptual merujuk kepada keupayaan untuk bekerja dengan idea yang jelas (Katz, 1955). Kepimpinan Kepimpinan adalah fenomena yang kompleks dan multidimensi (DePree, 1989). Kepimpinan telah ditakrifkan sebagai: tingkah laku; gaya; kemahiran; suatu proses; tanggungjawab; pengalaman; fungsi pengurusan; kedudukan autoriti; hubungan yang mempengaruhi; ciri; dan keupayaan (Northouse, 2007). John Maxwell mendefinisikan kepimpinan dengan pengaruh (Maxwell, 1998). Kotter (1990) menyatakan bahawa “Kepimpinan adalah keupayaan untuk tindakan kolektif untuk memaksimumkan”. Sementara itu, Robert Greenleaf mendefinisikan kepimpinan yang berkesan sebagai orang yang melayani orang lain, sementara mereka mengikutinya (Bennis dan Nanus, 1997). Selain itu, Peter Drucker mendefinisikan pemimpin ialah seseorang yang mempunyai pengikut (Drucker, 1999). Walaupun terdapat pelbagai definisi kepemimpinan, kebanyakan definisi memberi tumpuan kepada dua komponen iaitu: proses mempengaruhi sekumpulan individu untuk mendapatkan tujuan bersama; dan untuk membangunkan visi. Selain itu juga pemimpin perlu memberi tumpuan kepada motivasi, dan inspirasi kepada orang di bawah pimpinannya (Kotter, 1990). Kepemimpinan bertujuan untuk mewujudkan pengaruh untuk menghayati visi, merangka matlamat jangka panjang, mengambil risiko untuk mencapai matlamat yang sama, dan mencabar status quo semasa (Bennis dan Nanus, 1997). 8
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Pemimpin juga haruslah secara berterusan mampu memberi perhatian kepada pengikutnya, dan orang mengikuti pemimpin tersebut secara sukarela. Pemimpin perlu mempunyai beberapa ciri kritikal seperti integriti; berpandangan jauh; kekuatan mental dan fizikal; tegas; amanah; komitmen tinggi; tidak mementingkan diri sendiri, kreatif; sanggup mengambil risiko; dan kebolehan berkomunikasi dengan berkesan (Capowski, 1994). Selain itu, para pemimpin harus mempunyai karisma; misi; keupayaan untuk mempengaruhi orang dalam suasana positif; dan kemampuan menyelesaikan masalah (House, 1977). Kajian lepas juga menunjukkan bahawa menjadi peneraju yang berkesan bergantung kepada tingkah laku dan ciri-ciri seperti: berkeyakinan; mentaliti perkhidmatan; kemahiran kejurulatihan yang baik; kebolehpercayaan; kepakaran; tanggungjawab; kemahiran mendengar yang baik; berwawasan; realistik; kejujuran; kesediaan untuk berkongsi; harga diri yang tinggi; teknikal atau kontekstual, dan pengiktirafan (Bennis dan Nanus, 1997). Pertembungan Pemimpin dan Pengurus Ringkasnya, pengurusan dan kepimpinan berkongsi peranan yang sama. Misi utama kedua-dua pemimpin dan pengurus adalah untuk mengawal dan mempengaruhi orang lain (Algahtani, 2014). Perbezaan yang paling penting antara pengurus dan pemimpin adalah pendekatan mereka untuk mencapai matlamat. Pengurus mengendalikan kawalan mereka melalui kuasa formal, tetapi pemimpin menggunakan visi mereka, dan dengan inspirasi serta motivasi untuk menyelaraskan pengikut mereka. Mengimbangi peranan pengurusan dan kepimpinan adalah penting kepada kejayaan organisasi. Penting bagi para pengurus untuk menjadi pemimpin yang berjaya (Mullins, 2010). Terdapat juga individu yang mempunyai keupayaan untuk memenuhi peranan kedua-duanya iaitu sebagai pemimpin dan pengurus. Justeru, sebagai PGB, perlu mempunyai keseimbangan antara peranan sebagai pengurus dan peranan sebagai seorang pemimpin untuk memastikan hasil yang terbaik. Sesebuah organisasi seperti sekolah memerlukan pengurus dan pemimpin, dan peranan mereka haruslah dilihat sebagai pelengkap kepada satu sama lain. Keberkesanan organisasi dan sekolah yang optimum hanya boleh dicapai jika organisasi mempunyai kepimpinan dan pengurusan yang kuat dan mantap. Pada abad ke-21 kini, sekolah memerlukan pemimpin untuk menghadapi cabaran baharu, dan berupaya mengubah sekolah untuk menjadi lebih maju. Di samping itu, sekolah memerlukan pengurus untuk mengekalkan tempat kerja yang berfungsi dengan lancar, dan menggunakan sumber yang terhad secara berkesan. Akhirnya, organisasi yang seimbang harus mempunyai kombinasi pemimpin dan pengurus untuk berjaya. 9
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Pemimpin Komuniti Pembelajaran Profesional Pemimpin merupakan ketua dan aktivis dalam persekitaran akauntabiliti yang tinggi, dan mereka mesti, secara realistik menuturkan kata-kata, berkomunikasi, dan berfungsi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab secara demokratik. Di samping itu seorang pemimpin juga seharusnya dapat mengetengahkan agenda demokrasi yang positif dan bertanggungjawab. Mereka memahami dengan baik kitaran yang menarik antara akauntabiliti dan demokrasi dalam kerja mereka dan ini berfungsi sebagai prinsip yang membimbing mereka dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Pemimpin KPP memimpin dengan cara yang bersifat partisipatif, pembinaan konsensus, pemberian kuasa, dan ini sepadan dengan peningkatan prestasi sekolah dan murid mereka (Glickman, 1998). Komuniti Pembelajaran Profesional Umumnya, terdapat tiga perspektif KPP iaitu dari perspektif organisasi; perspektif budaya dan perspektif kepimpinan. Dari perspektif organisasi, KPP adalah inisiatif pembaharuan, kakitangan atau profesional model pembangunan, dan strategi peningkatan pendidikan yang bertujuan untuk membina kapasiti sekolah. Dilihat dalam istilah organisasi sebagai model perubahan, KPP digunakan untuk mempromosikan penambahbaikan di sekolah, dengan pembelajaran dan pencapaian murid sebagai matlamat utama. Melalui karya yang luas dengan KPP berasaskan pendidikan, Dufour (2004) telah menemui bahawa rangkaian sosial paling baik dioperasikan apabila ahli bekerjasama, memberi tumpuan untuk belajar, dan bertanggungjawab terhadap visi dan keputusan mereka. Dari perspektif budaya, tumpuan KPP adalah untuk mengubah sekolah menjadikan komuniti, pedagogi, dan kurikulum untuk meningkatkan pembelajaran murid dan pengajaran untuk pendidik. Idea ini juga pada masa yang sama melibatkan murid, guru, pentadbir, dan pendidik profesional yang lain dan dalam kumpulan pembelajaran (Hord, 1997). Sekolah yang diistilahkan demokratik adalah “di mana suara guru, pengamal, ibu bapa, dan murid didengar; mereka aktif dalam membuat keputusan, sokongan kepelbagaian dan kesamaan, dan mewujudkan nilai dalam komuniti”. Dari perspektif kepimpinan, strategi yang betul berupaya menggalakkan kepimpinan dalam kalangan guru dan kerjasama seluruh warga sekolah. KPP membolehkan berlakunya perkongsian kuasa bersama antara pentadbir, guru veteran dan guru baharu. Kepemimpinan guru menjana syarat-syarat untuk menjadikan sekolah sebagai satu bentuk kerjasama budaya pembelajaran dengan memfokuskan tenaga dan masa mereka kepada pasukan pengajaran, sekolah, dan seterusnya seluruh daerah dan kawasan. Melalui usaha sedemikian, para pendidik 10
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti menubuhkan rangkaian untuk meneroka isu-isu pedagogi, memenuhi harapan guru novis, memupuk kurikulum pelbagai disiplin, dan membawa komuniti ke sekolah dan kawasan kejiranan mereka. KPP menyediakan saluran untuk kepimpinan guru berdialog, melakukan refleksi, bertindak proaktif dan memantapkan amalan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Selama tiga dekad konsep KPP menjadi momentum yang mendapat perhatian dalam teori dan kajian empirikal. Pada masa yang sama, konsep KPP menghadapi konsep yang pelbagai kerana tiada definisi yang direka khusus dan operasi KPP juga berbeza mengikut kajian empirikal yang dijalankan (Lomos, Hofman, & Bosker, 2011). Hord merupakan salah seorang sarjana yang pertama menggunakan istilah komuniti pembelajaran profesional sebagai respons kepada sekolah-sekolah yang menginginkan prestasi yang lebih baik (Jäppinen, Leclerc, & Tubin, 2015). KPP yang berkesan bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk menggalakkan dan mengekalkan pembelajaran profesional di sekolah tetapi juga mempunyai tujuan kolektif untuk meningkatkan pembelajaran murid (Stoll, Bolam, Mcmahon, Wallace, & Thomas, 2006). KPP merupakan satu amalan di tempat kerja yang melibatkan aktiviti pengajaran guru yang cekap dan berkesan. Hal tersebut disebabkan wujudnya faktor penyumbang kepada kejayaan seperti usaha pihak sekolah menyokong pembelajaran guru dan tahap komitmen tinggi rakan sejawat. Implikasi daripada peluang pembelajaran yang diperoleh guru membolehkan mereka dapat berkongsi pandangan dan pengalaman (McLaughlin, M., Talbert, 2006). KPP juga dibuktikan mampu memberikan kesan kepada pengajaran guru. Strategi, kaedah dan pendekatan guru akan meningkat dengan lebih baik apabila melakukan KPP dengan berkesan. KPP juga menjadikan guru sentiasa mencari kepakaran baharu dalam pengajaran. Malah, dialog yang bersifat reflektif dalam kalangan guru berupaya menjurus kepada penambahbaikan kepakaran dalam pengajaran (Ackerman, 2011). Dalam dunia pendidikan, istilah komuniti pembelajaran sentiasa dibincangkan dalam kalangan mereka yang berautoriti dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelbagai definisi telah diberikan oleh sarjana barat tetapi tiada yang mempunyai satu persetujuan khusus (Zuraidah Abdullah, 2013). Berikut ialah kepelbagaian definisi mengenai KPP: a) Sekumpulan manusia yang berkongsi mencari amalan terbaik, reflektif, kolaboratif, inklusif dan mendorong antara satu sama lain. 11
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti b) Sekumpulan manusia yang dipacu oleh perkongsian visi pembelajaran yang disokong oleh dan berkolaboratif mencari amalan terbaik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dalam usaha meningkatkan pembelajaran murid. c) Pasukan di sekolah yang berkolaboratif secara berterusan dalam mesyuarat untuk keperluan murid menerusi kurikulum dengan berkongsi visi. d) Pendidik yang komited untuk bekerja secara kolaboratif dan berterusan dalam kajian tindakan. Berusaha untuk mencapai prestasi yang lebih baik demi kepentingan murid. e) Budaya sekolah yang merangka kekuatan dan bakat dalam kalangan komuniti sekolah secara kolektif. f) Strategi untuk meningkatkan pencapaian murid dengan membina budaya sekolah yang menitikberatkan pembelajaran secara kolaboratif. Sekolah sebagai sebuah institusi yang bersifat dinamik memerlukan kekuatan kepimpinan untuk membina modal insan dalam kalangan murid dan guru. Terdapat kepentingan organisasi pembelajaran dalam dunia pendidikan untuk meningkatkan profesion keguruan. KPP mestilah disokong oleh budaya sekolah yang positif dan kejayaan dalam melaksanakan KPP mendorong kepuasan kerja guru-guru. KPP menyediakan budaya kolaboratif yang menyokong idea untuk dibincang bersama dan memberikan fokus kepada pencapaian murid dan kaedah pengajaran (Ackerman, 2011). Perkembangan KPP bermula apabila guru-guru yang suka mengamalkan amalan bekerjasama, berkolaboratif dan berkongsi maklumat dalam kalangan mereka sehingga mewujudkan hubungan yang erat. Hubungan ini menjadikan sesebuah sekolah tersebut cemerlang dan gemilang. Sekolah yang cemerlang mempunyai guru-guru yang berkualiti dan sentiasa melakukan penambahbaikan aktiviti secara berterusan. Oleh itu, guru-guru harus mempunyai personaliti yang sentiasa menginginkan sesuatu yang baharu dalam KPP. Mereka mengharapkan kepada kehidupan seharian yang akan ada nilai tambah dari segi peningkatan potensi diri. KPP telah memberikan kepuasan kerja kepada guru-guru dengan mengubah budaya kerja guru yang lebih positif atau lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran murid (Zuraidah Abdullah, 2016). Guru-guru juga berjaya membangunkan kapasiti diri apabila pemimpin sekolah berjaya melibatkan kesemua guru dalam penstrukturan semula sekolah. Proses mendapatkan penglibatan bersama secara berterusan ini dianggap sebagai cabaran utama kepada pemimpin-pemimpin sekolah kerana barisan kepimpinan sekolah akan berhadapan dengan pelbagai halangan terutama untuk melaksanakan 12
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti anjakan paradigma guru-guru dari segi amalan, pemikiran yang sedia ada dan budaya kerja guru yang dianggap sudah selesa (KPM, 2013). KPP merupakan komuniti sekolah yang lebih berfokus kepada pembelajaran berbanding pengajaran, bekerja secara kolektif dan berpegang kepada akauntabiliti terhadap diri sendiri dalam membuat keputusan. Amalan ini telah menggalakkan dan membuka peluang kepada guru-guru melibatkan diri mereka secara langsung dalam peer coaching, team planning dan melaksanakan aktiviti secara kolaboratif. Justeru, dalam KPP, guru-guru melakukan anjakan paradigma yang berfokus kepada apa yang diajar kepada apa yang mereka belajar (KPM, 2014). Anjakan ini lebih memberikan fokus kepada pembelajaran murid dan akan memberikan implikasi kepada semua warga sekolah. Bagi memastikan perkara ini dilakukan dengan baik, para guru seharusnya melakukan sesi perbincangan secara profesional sesama mereka, dengan memberikan fokus kepada penambahbaikan pembelajaran dan pengajaran. Sebagai contoh, aktiviti mengumpulkan koleksi data pembelajaran murid seperti markah ujian, Pentaksiran Bilik Darjah, semakan buku latihan, buku kerja untuk dianalisis bersama dan dinilai. Selain itu juga, guru boleh melakukan penilaian dan pengujian berbentuk formatif kepada murid-murid. Melalui penilaian dan pengujian ini, guru-guru dapat menjadikannya sebagai alat maklum balas terhadap pengajaran semasa dalam bilik darjah. Implikasi daripada analisis data ini, guru-guru akan mengetahui sejauh mana murid-murid ini belajar dan seterusnya dapat memikirkan langkah- langkah yang boleh dilakukan bagi mengisi keperluan murid-murid yang masih belum belajar. Amalan ini menunjukkan guru-guru sentiasa memikirkan aktiviti pembelajaran murid berdasarkan keperluan pembelajaran mereka di bilik darjah. Ini juga merupakan core business guru-guru yang mengamalkan KPP (KPM, 2013; Zuraidah Abdullah, 2016). Hal ini selaras dengan perkembangan pendidikan kini yang berpegang kepada konsep semua murid berpotensi untuk belajar. Oleh itu, guru-guru bertanggungjawab terhadap pengajaran dan pembelajaran murid di bilik darjah. Dengan erti kata yang lain, setiap guru mengetahui hal yang sebenar yang perlu dilakukan dan perlu disempurnakan bagi setiap unit pengajaran. Guru-guru dianggap sudah mempunyai kekuatan ilmu pengetahuan dalam mata pelajaran yang diajar dan berkemahiran dalam bidang pengajaran bagi menyelesaikan masalah pembelajaran murid-muridnya (KPM, 2016; Zuraidah Abdullah, 2016). Kesimpulannya, KPP muncul setelah pelaksanaan organisasi pembelajaran. Hal tersebut adalah kerana KPP menekankan faktor budaya sebagai faktor penyumbang kepada pelaksanaannya secara berterusan dan dalam jangka masa panjang. Manakala, kewujudan organisasi pembelajaran tertakluk kepada struktur 13
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti sesebuah organisasi dan peningkatan profesionalisme komuniti guru bergantung kepada penguatkuasaan peraturan dan pelaksanaannya dalam sesebuah organisasi. Dimensi KPP Kebanyakan sarjana mengaitkan komponen, ciri-ciri, elemen atau dimensi yang melengkapi dan membentuk model KPP. Secara asasnya, KPP mempunyai lima dimensi utama yang penting iaitu (i) perkongsian nilai dan visi, (ii) perkongsian dan sokongan kepimpinan (iii) pembelajaran secara kolektif dan aplikasi pembelajaran, (iv) perkongsian amalan kerja (v) persekitaran yang menyokong. Pada peringkat awalnya, model KPP ini diperkenalkan oleh Shirley Hord melalui kajiannya bersama Southwest Educational Development Laboratory (SEDL). Beliau juga telah mengenal pasti enam ciri KPP yang terdapat di sesebuah sekolah. Setiap dimensi ini mempunyai atribut kritikal yang menggambarkan setiap fasa sekolah iaitu; permulaan, pelaksanaan dan pengalaman. Lima dimensi tersebut dikenal pasti sebagai atribut terhadap sekolah-sekolah yang berjaya menjadikan sekolah mereka sebuah KPP (Hord, 1997). Dimensi ini membentuk KPP dan seterusnya juga merujuk kepada usaha para pemimpin sekolah dan pendidik yang komited, bekerja secara kolaboratif dan berterusan dalam membuat usaha sama dengan komuniti bagi mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka (Hord, 2004; DuFour & Eaker, 2002). Dalam dimensi KPP ini, perincian di bawah dinyatakan: i. Perkongsian Nilai dan Visi (Shared Values and Vision) Bagi memastikan norma atau kelaziman cara kerja adalah selaras, maka setiap aspek kerja hendaklah diperjelaskan kepada semua warga sekolah. Ini dapat dicapai melalui prosedur kerja, garis panduan atau peraturan-peraturan yang didokumenkan dan disebarluaskan. Perkara ini juga dilakukan bertujuan membudayakan KPP secara berkolaboratif bagi membentuk suasana kerja yang terbuka dan saling mempercayai dalam kalangan warga sekolah. Penyelarasan cara kerja adalah asas kepada kualiti kerja yang baik dan menjadikan suasana kerja lebih telus di samping menjadikan kualiti kerja yang lebih piawai dan seterusnya meningkatkan keberkesanan proses-proses kerja. Perkongsian nilai dan visi berfungsi sebagai pelekat bagi menghubungkan individu dengan cara yang lebih bermakna. Untuk itu, apabila matlamat telah ditetapkan dan perkongsian nilai ditanam ke dalam diri, ini akan mengembangkan idea yang menggalakkan guru-guru untuk bertindak balas terhadap rasa bertanggungjawab yang akhirnya diterjemahkan 14
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti dalam bentuk tingkah laku (Hord, 2004). Oleh itu, komuniti guru ini akan membentuk matlamat yang sama untuk penambahbaikan, dan mereka akan bekerja bersama-sama ke arah meningkatkan pembelajaran murid. Justeru, kesatuan matlamat adalah imej pemikiran yang penting kepada individu dan organisasi. ii. Sokongan dan Perkongsian Kepimpinan (Supportive and Shared Leadership) Sokongan dan perkongsian kepimpinan ialah bagaimana sebuah organisasi iaitu sekolah membuat satu perubahan kepada komuniti pembelajaran. Sokongan dan perkongsian kepimpinan ini hanya dapat dilakukan oleh pemimpin yang telah membuat keputusan untuk berubah dan yang bersedia memupuk pembangunan profesionalisme dalam kalangan kakitangannya (Hord, 2004). Sehubungan dengan itu, dimensi ini dilihat sebagai satu perkara penting dalam usaha melaksanakan penambahbaikan sekolah- sekolah di Malaysia berasaskan kepada aktiviti-aktiviti KPP yang dijalankan di sekolah. Hal ini berlaku kerana struktur di sekolah adalah berbentuk pembelajaran dewasa. Justeru, kolaboratif yang erat, penyertaan secara demokrasi dan kata sepakat dalam membangunkan persekitaran kondusif dan budaya sekolah secara berterusan sukar dicapai. Dalam amalan sebelum ini, perkongsian kuasa dan autoriti ini akan menjadi sukar kepada pengetua dan guru. Ini kerana persepsi dan penerimaan selama ini yang menyatakan bahawa pengetua mempunyai kuasa penuh dalam membuat sesuatu keputusan. iii. Pembelajaran Secara Kolektif dan Aplikasi Pembelajaran (Collective Learning and Application of Learning) Pembelajaran secara kolektif dan aplikasi pembelajaran juga merupakan salah satu cabang kepada kejayaan pelaksanaan konsep KPP ini. Kejayaan kepada program KPP diterjemahkan melalui hasil kemenjadian murid. Data diperlukan daripada ujian termasuk juga aktiviti sekolah untuk menilai hasil pencapaian murid bagi membolehkan pembaharuan dilakukan. Menerusi kerjasama guru-guru dan pemimpin sekolah, mereka boleh berbincang dengan cara yang terbaik apakah tahap kefahaman murid dan seterusnya berusaha untuk meningkatkan prestasi mereka (Hord, 2004; Dufour et al., 2008; Nelson & Waters, 2010). Kefahaman ini boleh dinilai melalui penilaian sumatif dan formatif. Hasil pencapaian murid ini dapat memberikan gambaran yang jelas setakat mana pencapaian murid dalam bilik darjah. Dengan memberikan fokus kepada hasil pencapaian murid ini, guru dan pemimpin sekolah mampu menghasilkan pelbagai cadangan penambahbaikan untuk 15
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti aktiviti KPP yang akan datang. Penambahbaikan ini harus dilaksanakan secara berterusan dan melibatkan pelbagai peringkat. Tumpuan terhadap kolaboratif antara guru yang bergabung memberi pandangan dan idea bagi memahami masalah murid-murid, masalah kurikulum dan membincangkan dasar-dasar di peringkat sekolah seharusnya diberikan fokus utama. Selain itu, kolaboratif ini juga adalah bertujuan untuk menghasilkan bahan-bahan pengajaran dan aktiviti atau program bagi meningkatkan pencapaian akademik murid, memperbaiki kaedah pengajaran guru didalam bilik darjah, melaksanakan pentaksiran dan menilai pencapaian murid serta mencuba pendekatan baharu untuk membangunkan guru-guru. iv. Amalan Kerja Dikongsi Bersama (Shared Practice) Guru dan pemimpin sekolah mesti bekerja bersama-sama untuk melaksanakan perkongsian visi, misi dan nilai. Begitu juga fokus kepada matlamat untuk meningkatkan pedagogi pembelajaran dan meningkatkan pencapaian murid. Guru-guru perlu menerima hakikat bahawa tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka adalah untuk meningkatkan kemenjadian murid (Hord, 2004; DuFour et al., 2008). v. Persekitaran yang Menyokong (Supportive Conditions) Amalan ini terbahagi kepada dua iaitu dari segi perhubungan manusia dan struktur kejelekitan sesebuah organisasi sekolah. Jalinan perhubungan dan kejelekitan ini merujuk kepada lima ciri iaitu, penyayang, percaya- mempercayai, hormat-menghormati, pengiktirafan dan meraikan kejayaan, berani mengambil risiko dan melakukan perubahan secara usaha bersama dalam organisasi (Hord, 2004; Zuraidah Abdullah, 2009). Justeru, guru harus saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain. Ini akan melicinkan perjalanan KPP dengan berkesan. Di samping itu, kepercayaan menjadi perkara penting yang membolehkan guru saling memberi dan menerima maklum balas dalam usaha melaksanakan penambahbaikan sekolah (Hord, 2004; Zuraidah Abdullah, 2009). Oleh itu, sekolah memerlukan kepemimpinan sekolah yang mampu, berani dan berupaya membangunkan modal insan secara holistik menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran, intelektual, pembudayaan sikap progresif di samping mempunyai nilai moral dan etika yang tinggi. Disiplin KPP alam melaksanakan KPP yang berkesan, isu utama yang harus ditekankan ialah disiplin. Bagaimana PGB mengawal KPP dengan baik adalah penting bagi menjamin pelaksanaan KPP yang berkesan. Kepimpinan pendidikan sentiasa 16
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti dicabar untuk melaksanakan dan memastikan KPP dapat dijayakan dengan efektif. Dalam konteks ini, disiplin yang boleh dipertimbangkan oleh kepimpinan pendidikan ialah : Disiplin Visi dan Nilai (The Discipline of Vision and Values) Disiplin ini menekankan kepada visi yang jelas untuk berkongsi asas kepimpinan dalam KPP. Visi boleh menggambarkan bayangan masa hadapan yang diperlukan. Pemimpin perlu mempunyai visi yang bersifat persendirian (personal) iaitu ekspresi daripada impian yang benar-benar diimpikan, mempertahankan impian tersebut, mendidik mereka yang dipimpin dan menjadi ketua di antara mereka. Prinsip ini akan menjadikan kepimpinan pendidikan memimpin dengan penuh bertenaga, konsisten dan sepadu (energy, consistency and coherence). Visi yang dibina ini haruslah kolektif dan dibina bersama ahli organisasi yang lain. Di samping itu, visi tersebut sentiasa diperhatikan dan kejayaan visi tersebut juga boleh diramal. Disiplin melalui Akauntabiliti dan Penghargaan (The Discipline of Accountability and Celebration) Akauntabiliti dan Penghargaan merupakan aspek kritikal dalam kepimpinan berkesan. Pemimpin perlu mempunyai keberanian daripada hanya berdiam diri. Mereka perlu mempunyai fokus kepada akauntabiliti dan penghargaan pada masa yang tepat bagi membolehkan visi tersebut diambil tindakan oleh ahli. Terdapat keseimbangan dalam setiap tindakan yang diambil. Sebagai sorang ketua, perlu sentiasa memberi arahan mengenai perkara yang betul tetapi pada masa yang sama berupaya menentukan sempadan dan menyediakan ruang autonomi bagi ahli organisasi. Dalam menjadikan kejayaan ini berterusan, terdapat enam langkah yang dicadangkan: 1. Menyediakan matlamat pembelajaran yang ditulis dengan terperinci. 2. Membina pelan perancangan untuk mencapai matlamat. Perancangan tersebut sepadan dengan visi yang ditetapkan. 3. Mengambil tindakan terhadap apa yang berkesan dan yang terbaik kepada murid. Menyemak semula tindakan tersebut sepanjang tahun tanpa menunggu sehingga akhir tahun. 4. Mengumpul dan menganalisis data yang betul. 17
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti 5. Menyediakan maklum balas yang pantas, berkesan, saksama, dan diraikan. (immediate, effective, non judgmental, and celebratory way) dan disokong oleh budaya yang berterus terang (culture of candor). 6. Meraikan kejayaan dengan memberi ganjaran yang berkesan, disebar luas dalam perhimpunan agar diketahui umum termasuk murid-murid. Disiplin Perkhidmatan dan Perkongsian (The Discipline of Service and Sharing) Dalam disiplin ini, tema utamanya ialah membina hubungan budaya sekolah. Pemimpin perlu mempunyai hubungan yang kukuh bersama kakitangan yang lain dalam formula N-S-E-W Sphere of Influence (North=leaders they report to, South=people who report to them, East and West=colleagues/peers). Terdapat sepuluh cadangan untuk membina hubungan sesama ahli seperti: 1. Perkongsian pemikiran. Bagi mengurangkan dominasi hanya beberapa individu sahaja yang proaktif dalam mesyuarat, setiap ahli mempunyai toothpicks pada permulaan. Setiap kali ahli memberikan perkongsian, dia perlu meletakkan toothpicks tersebut di atas meja. Apabila di akhir mesyuarat, mereka yang tidak meletakkan toothpick tersebut dibenarkan bercakap. 2. Latihan dalam membuat keputusan yang tepat. Apabila tersilap, hendaklah belajar mengakui dan memohon maaf. 3. Menggunakan kriteria yang tepat untuk membuat keputusan. Kriteria ini melibatkan tindakan dalam membuat keputusan, empati, keupayaan menjadi pendengar yang berkesan dan membina pasukan penasihat. 4. Bersedia diganggu (interruptible). 5. Mempamerkan personaliti yang mudah mesra. 6. Membina komuniti berterusan melalui latihan. Kajian secara tinjauan diperlukan untuk bahagian/aspek yang perlu dibangunkan. 7. Membina hubungan dalam pasukan agar lebih memahami antara satu sama lain. 8. Menghargai setiap ahli dengan menghormati dan mengambil berat. 9. Memilih untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan adil. 10. Menerima orang lain seadanya. 18
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Disiplin Refleksi dan Keseimbangan (The Discipline of Reflection and Balance) Menggunakan teknologi untuk strategi yang berkesan dan tidak meletakkan kesalahan kepada ahli sekiranya strategi yang dirancang tidak berjaya. Lima strategi yang dicadangkan untuk disiplin ini adalah seperti berikut: 1. Menyatakan matlamat dengan jelas (Establish clear goals). 2. Matlamat yang mempunyai batasan (Limit the number of goals). 3. Menyediakan maklum balas yang telus dan segera (Provide direct and immediate feedback). 4. Mengawal keseimbangan (Monitor for balance). 5. Sokongan autonomi (Support autonomy). Disiplin Inspirasi dan Pengaruh (The Discipline of Inspiration and Influence) Dalam konteks ini, bagaimanakah bentuk legasi yang perlu ditinggalkan dan diwarisi? Memilih dalam kalangan ahli yang mempunyai inspirasi, bekerja bersama, mengambil bahagian secara aktif dalam setiap aktiviti, dan memberikan perhatian kepada disiplin. Kepimpinan yang positif memberikan kepercayaan, ketulusan, kestabilan dan pengharapan kepada ahli organisasi. Naratif Cabaran Pelaksanaan KPP Cabaran dan halangan pasti berlaku dalam melaksanakan KPP dengan berkesan. Usaha-usaha melaksanakan KPP dan melestarikannya di sekolah-sekolah sering digugat pelbagai cabaran yang meliputi isu-isu peribadi, sosio-budaya dan logistik. Kesukaran mencari ruang masa untuk berjumpa dan berbincang serta melaksanakan aktiviti KPP sering kali menjadi penghalang kepada kejayaan pelaksanaannya. Hakikatnya, PGB perlu menyedari cabaran ini akan menjadikan proses pembelajaran dan pengalaman berkembang dengan baik. Para sarjana telah mengenal pasti beberapa cabaran yang akan berlaku apabila ingin mewujudkan KPP di sekolah. 19
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Memahami sikap guru dan murid Kejayaan murid amat bergantung kepada kecemerlangan guru dalam mendidik. Guru-guru yang berpotensi tinggi mampu mencungkil bakat murid untuk terus cemerlang dalam pendidikan mereka. Guru-guru yang cemerlang sentiasa mengamalkan suasana kerja yang harmoni. Keharmonian ini akan menggalakkan pembangunan dan kemajuan di sesebuah sekolah. Cabaran KPP ialah apabila berlakunya penolakan daripada kalangan guru. Kerenah seperti ini akan merencatkan usaha pelaksanaan KPP kerana KPP ini amat bergantung kepada niat dan inisiatif guru-guru. Sekiranya guru tidak ingin berubah, dan sentiasa mencari salah pihak pentadbiran dan polisi, maka cabaran utama PGB ialah membentuk sikap yang sepatutnya diamalkan oleh para guru tersebut. Kebiasaannya guru tersebut berada di zon selesa yang menyebabkan sikap mereka tidak mahu berubah. Selain itu, KPP juga menghadapi cabaran dari segi kos kehidupan yang tinggi sehingga menyebabkan masalah kewangan. Terdapat juga guru yang lebih mementingkan kerja di luar berbanding tugas hakiki di sekolah. KPP juga menghadapi cabaran seperti faktor usia guru yang telah hampir bersara jadi lebih selesa melakukan perkara rutin sahaja, cepat jemu dan melaksanakan tugas seminimum mungkin. Terdapat juga beban tugas guru yang semakin bertambah yang menyebabkan KPP sukar dilaksanakan. Seterusnya sikap murid turut menyebabkan KPP sukar dilaksanakan. Sikap seperti (i) kenakalan murid (ii) lemah dan tidak fokus dalam pelajaran (iii) tidak bermotivasi (iv) tidak berdisiplin (v) bilangan yang ramai dalam satu kelas dan (vi) kerap terlibat dengan pertandingan luar. Sikap murid akan mempengaruhi pencapaian sesebuah sekolah. Justeru, sikap guru dan sikap murid saling bergantungan, dan ini menjadi cabaran utama dalam melaksanakan KPP dengan berkesan. PGB perlu memahami tindakan yang betul bagi mengatasi cabaran ini dengan menyesuaikannya dengan budaya sekolah masing-masing Pengurusan, kemudahan dan komunikasi yang terhad Pengurusan dan pentadbiran sekolah yang kurang cekap akan menjadi cabaran kepada pelaksanaan KPP yang berjaya. Kajian Zuraidah (2010) menunjukkan beberapa perkara yang memberi masalah kepada pembentukan KPP ialah (i) PGB kurang prihatin kepada masalah guru (ii) selalu ke luar negara (iii) sering bertukar ganti (iv) PGB mengamalkan budaya pilih kasih (v) arahan yang diberi tanpa ada perbincangan terlebih dahulu, dan (vi) pelaksanaan kerja tidak seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat. PGB bukan sahaja menyukarkan guru untuk memberikan komitmen yang tinggi, malah terdapat segelintir barisan pentadbir yang kurang mahir dalam mentadbir sekolah dan tidak fokus kepada pembelajaran murid. Sebaliknya PGB lebih menumpukan kepada program keceriaan sekolah 20
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti dan sekolah cemerlang. Selain itu, terdapat juga PGB yang kurang mahir dan tidak komited terhadap tugasnya. Selain itu, komunikasi yang terhad juga menjadi cabaran kepada KPP. Justeru, perancangan KPP perlu rapi dan mengambil kira cabaran-cabaran ini dengan teliti untuk memastikan kejayaan KPP. Cabaran dari pihak yang berkepentingan Kehadiran pihak berkepentingan seperti JPN dan PPD yang berjumpa guru semasa waktu pengajaran sedikit sebanyak mengganggu pelaksanaan KPP yang berkesan. Beberapa perkara lain seperti (i) pelawat sering hadir ke sekolah (ii) terlalu banyak program yang dilaksanakan semasa PdP (iii) sikap ibu bapa menyebabkan KPP sukar dilaksanakan. PGB pada hari ini bukan sahaja menjadi pentadbir di sekolah, namun berperanan besar dalam meningkatkan kualiti pengajaran, menggubal visi pengajaran, penetapan visi dan misi, dan membangunkan persekitaran yang positif untuk meningkatkan profesionalisme guru dan diri mereka sendiri. Dalam KPP, setiap individu berperanan dan bertindak secara kolektif bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah. Budaya sesebuah sekolah memainkan peranan terpenting dalam mempengaruhi perjalanan KPP yang berterusan. Terhakisnya nilai setiakawan atau kerja berpasukan akan menyukarkan usaha-usaha ke arah menyebarluaskan KPP. Malah, ini akan mendatangkan impak negatif terhadap keberkesanan kolaboratif dalam kalangan guru di sesebuah sekolah. Walaupun mesyuarat guru dianggap sebagai medan yang berpotensi untuk pembelajaran kolektif dalam kalangan guru, namun hakikatnya mesyuarat bukanlah medan pembelajaran yang berkesan untuk guru. Kekangan Masa Guru-guru juga kerap kali berhadapan dengan kekangan masa yang membataskan mereka untuk berkumpul sesama rakan sekerja selepas tamatnya waktu persekolahan. Satu-satunya waktu senggang yang sesuai untuk menjalankan KPP adalah selepas tamatnya waktu persekolahan kerana ketika itu semua guru telah selesai menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru-guru lebih selesa jika perjumpaan dan perbincangan profesional dilaksanakan semasa waktu persekolahan berlangsung. Hal ini adalah kerana, selepas waktu persekolahan mereka mempunyai perancangan masing-masing untuk menguruskan pelbagai komitmen lain seperti hal ehwal keluarga, hal-hal peribadi serta menyelesaikan tugasan-tugasan 21
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti dalam tempoh tertentu. Situasi ini menimbulkan masalah kerana sewaktu sesi persekolahan masih berlangsung, adalah amat sukar mencari waktu senggang yang sama dalam kalangan guru bagi membolehkan aktiviti KPP berlaku. Ketidaksinambungan Kurikulum Kurikulum yang diimplementasi di sekolah-sekolah juga ada kalanya kurang mengambil kira kesinambungan isi kandungan bagi dua mata pelajaran yang berbeza, sedangkan guru-guru boleh berbincang untuk menghubungkan dua mata pelajaran dengan isi kandungan yang sama dan menambah nilai sesi pengajaran dengan sesi aplikasi tentang isi kandungan yang telah diajar. Guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang berbeza ini pula sering kali tidak merasakan perlu untuk berbincang dengan guru panitia lain kerana memikirkan bahawa masalah pengajaran yang mereka hadapi adalah berbeza. Susun Atur Fizikal Sekolah Satu lagi faktor utama ialah susun atur fizikal sekolah juga tidak menggalakkan kerjasama dalam kalangan guru. Guru-guru ditempatkan di bilik berasingan mengikut panitia/bidang. Contohnya, guru Sains ditempatkan di kawasan makmal Sains, guru Teknikal di bengkel MPV, guru akademik lain di bilik guru manakala guru PJK di kawasan stor sukan. Dalam kawasan sekolah yang luas, pergerakan guru biasanya adalah terbatas kerana kekangan jarak yang jauh dan waktu yang terhad. Guru-guru panitia yang berlainan sukar berhubung dan bersosial seolah- olah mereka berada di sekolah yang berasingan. Pengasingan tempat duduk guru-guru ini menjadi cabaran terhadap usaha untuk menggalakkan guru-guru berkumpul bagi menjalankan KPP. KPP sukar untuk berjaya sekiranya komuniti di sekolah tersebut tidak berusaha mengatasi kekangan-kekangan yang ada. Oleh itu, PGB dan guru perlu mempunyai kesedaran untuk terus belajar dan memperbaiki kualiti pembelajaran di dalam kelas. Persekitaran sekolah yang selesa dan kondusif perlu dititikberatkan dalam mewujudkan budaya sekolah yang positif yang akan menggalakkan amalan KPP dapat dilaksanakan dengan jayanya. Naratif Strategi Pembinaan KPP Terdapat beberapa saranan daripada para sarjana bagi memulakan KPP dengan baik di sesebuah sekolah. Pada peringkat permulaan, maklumat dan informasi yang sahih mengenai keadaan dan budaya sekolah perlu diperoleh terlebih dahulu. Dalam konteks ini, kepimpinan sekolah memainkan peranan penting 22
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti dalam membudayakan KPP di sekolah. Hal ini kerana, pemimpin sekolah yang berkesan adalah pemimpin yang memberikan sedikit kuasa mereka kepada guru dalam melaksanakan KPP (DuFour & Eaker, 1998). Sebagai contoh, pemimpin sekolah melibatkan guru dalam pembuatan keputusan secara kolaboratif menerusi usaha-usaha seperti berikut iaitu; (i) menggalakkan guru mengambil risiko dan mencuba perkara baharu; (ii) menyediakan pengukuhan dan motivasi yang positif; (iii) menyokong peluang guru untuk meningkatkan kompetensi diri; dan (iv) menyediakan masa untuk guru-guru menyelia dan melakukan refleksi (DuFour et al., 2008; Hord, 2004). Sehubungan dengan itu, bermula dengan pemimpin sekolah, pelaksanaan KPP di sekolah akan menjadi lebih tersusun untuk dilaksanakan. Strategi utama yang boleh dilaksanakan melalui PGB kepada ahli jawatankuasa adalah dengan menubuhkan jawatankuasa melibatkan guru, ibu bapa, murid dan melibatkan keahlian yang terdiri daripada komuniti luar sekolah untuk bersama-sama membina visi. Seterusnya jawatankuasa ini boleh bertindak menyediakan cadangan dan maklum balas daripada setiap ahli jawatankuasa berdasarkan visi, dan indikator yang ingin dicapai. Langkah Permulaan Satu persoalan yang bermain di minda PGB ialah bagaimana langkah pertama yang perlu dilakukan sebagai strategi pembinaan KPP di sekolah masing-masing. Beberapa langkah telah dicadangkan oleh (Dufour, 2012) dengan menggunakan tujuh langkah utama iaitu: (i) Bermula dengan persoalan Ternyata dengan persoalan akan mengubah sesuatu. Dengan pertanyaan, minda akan berfikir dan tindakan akan dilaksanakan berdasarkan sejauh mana kritikal soalan tersebut. Bukanlah sesuatu yang mustahak kepada PGB untuk mengetahui kesemua jawapan kepada cabaran dalam melaksanakan KPP, tetapi PGB perlu bertanya dengan soalan yang betul dan tepat untuk membantunya mengenal pasti dan memberikan fokus kepada cabaran tersebut. Terdapat beberapa persoalan yang dicadangkan seperti “Apakah pandangan Cikgu?”; “Saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang sekolah ini agar saya berupaya menjadi PGB yang baik dan berkesan”; “Apakah yang membuatkan cikgu berasa bangga untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga sekolah ini?”; “Apakah cabaran yang cikgu hadapi di sekolah yang menjadikan perkara tersebut penghalang kepada kecemerlangan diri cikgu?”; “Apakah yang perlu dilakukan untuk menjadikan sekolah ini lebih baik?”. Hakikatnya, PGB perlu membina sendiri soalan yang sesuai sebagai refleksi untuk menjadikan sekolah berkesan dan cemerlang. 23
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Selepas itu, menjadi kewajipan kepada PGB untuk memastikan keputusan berdasarkan bukti yang telah diberikan berasaskan soalan-soalan yang ditanya berbanding sekadar pandangan dan perspektif yang telah diberikan oleh para guru. Langkah permulaan kepada KPP akan menjelma setelah PGB respons kepada jawapan soalan tersebut dan menyelidiki bukti yang diperoleh. (ii) Membina sebuah gagasan Membina sebuah gagasan adalah merupakan satu bentuk perkongsian pengetahuan mengenai realiti sebenar yang berlaku di sekolah. Ini merupakan prasyarat untuk menubuhkan KPP yang berjaya. PGB boleh memikirkan tiang utama dalam gagasan ini seperti (i) misi; (ii) visi; (iii) komitmen yang kolektif dan bersama; (iv) matlamat, iaitu semua kakitangan sekolah faham dan jelas mengenainya. Misi merupakan tiang yang utama kepada tujuan, manakala visi menghalakan kepada apakah yang perlu sekolah lakukan menerusi perkongsian visi dan komitmen yang kolektif. Perancangan menerusi visi tersebut boleh dibantu oleh perkara berikut: (iii) Membina perkongsian maklumat bersama kakitangan dengan belajar bersama Ciri utama dalam menggambarkan KPP ialah bagaimana setiap ahli pasukan belajar bersama-sama dalam proses membuat keputusan. Salah satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh PGB ialah memastikan kakitangan disediakan dengan maklumat dan pengetahuan sebelum proses membuat keputusan dilakukan. PGB yang berkesan sentiasa memastikan kakitangan bersedia dengan maklumat dan belajar secara kolektif sebelum sesuatu keputusan dibuat. Sebenarnya, perhatian kepada pembelajaran secara bersama dapat memberikan fokus kepada realiti yang berlaku di sekolah dan mempunyai maklumat yang betul untuk menghasilkan sesuatu keputusan yang tepat. Bekerja bersama-sama menjadikan PGB mempunyai bukti kukuh untuk mendapatkan maklumat yang sebenar. Perkongsian pembelajaran yang berlaku ini adalah kunci kepada KPP yang berkesan. Covey (1989) turut mengatakan, tanpa penyertaan bersama, tiada komitmen yang dapat diberikan (Without involvement, there is no commitment). (iv) Membantu guru-guru agar mereka mampu memahami dan menjelaskan visi Salah satu perkara utama dalam KPP yang perlu dilaksanakan pada peringkat awal ialah proses memberikan kefahaman kepada petunjuk amalan yang terbaik dan berkesan kepada sekolah. Dengan mempunyai kefahaman yang sama, guru-guru akan mampu membawa sekolah menjadi cemerlang dan berkesan. PGB perlu memberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah memahami pada peringkat ini. Bertitik tolak daripada inilah, maka 24
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti perkongsian visi dapat dilaksanakan. PGB yang mampu mendengar dengan baik maklum balas daripada guru-guru mengenai apa yang dihasratkan untuk sekolah mereka, akan mampu mengaitkan dengan amalan, latihan, dasar dan prosedur, seterusnya menghasilkan garisan yang sepadan ke arah pelaksanaan KPP yang berkesan. (v) Mengenal pasti komitmen yang penting Hasil daripada perkongsian visi akan menjadikan gambaran sekolah pada masa hadapan lebih jelas. Komitmen secara kolektif menerangkan secara spesifik tingkah laku menerusi sekolah. Komitmen ini menyediakan dua tujuan iaitu guru-guru perlu bergerak daripada perbualan harian kepada tindakan yang perlu dilakukan pada hari ini untuk membawa visi kepada realiti sebenar, yang kedua ialah artikulasi komitmen tersebut untuk menjadikan guru-guru mengenal pasti bentuk sumbangan kepada kecemerlangan sekolah. Perbualan seperti apakah harapan kepada sekolah perlu ditukar kepada apakah yang perlu dilakukan sekarang dan dalam masa yang terdekat. Komitmen secara kolektif ini perlu lebih spesifik berada dalam landasan visi, dan PGB perlu mengenali langkah-langkah untuk menentukan komitmen, manakala di pihak guru pula bersedia untuk memberikan komitmen bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan sekolah. (vi) Menetapkan indikator kepada pelaksanaan dan strategi Salah satu kekuatan yang perlu ada pada PGB ialah kemahiran komunikasi. Komunikasi yang berkesan mampu untuk mengawal keutamaan. PGB yang berkesan akan bekerja dalam sebuah pasukan yang mampu menterjemahkan visi kepada langkah yang spesifik, membangunkan jadual untuk tindakan yang perlu dilakukan, mengawal setiap langkah, turut serta dalam setiap langkah tersebut bagi menyokong apabila guru-guru berada dalam keadaan yang sukar, mengenal pasti tanda aras untuk menjadikan guru-guru terus menerus melakar kejayaan dan menyediakan matlamat yang jelas, strategik, spesifik, boleh dicapai, berorientasikan keputusan serta mempunyai jangka masa yang sesuai. Guru-guru menyedari keputusan yang dilakukan adalah untuk kebersamaan dan belajar bersama-sama hasil daripada perkongsian yang telah dilakukan dan disokong penuh oleh kepimpinan PGB yang berkesan. (vii) Membina aspek yang kritikal untuk menyokong pelaksanaan dan melakukan tindakan Salah satu perkara yang menjadi kelemahan kepada PGB dalam menyediakan KPP yang berjaya ialah suka menangguh-nangguh dalam mengambil sesuatu tindakan. PGB perlu menyedari bahawa visi yang telah dikongsi bersama perlu dilaksanakan mengikut jadual. Sekiranya berlaku penangguhan, 25
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti maka visi akan tergendala. Justeru, setelah berlaku perkongsian visi, PGB boleh melaksanakan dialog yang bersifat reflektif untuk mengenal pasti permasalahan dan mengembalikan perancangan asal kepada landasan yang betul. PGB perlu menunjukkan kefahaman dengan mendengar apa yang ingin disampaikan oleh guru-guru dan menunjukkan penyelesaian yang sesuai kepada setiap permasalahan yang diutarakan. Akhirnya, langkah yang spesifik mampu dirancang untuk memulakan perjalanan KPP. PGB perlu lebih realistik dalam melaksanakan apa yang dihajati, bekerja bersama-sama dan mengutamakan yang utama bagi menjayakan KPP. Keadaan semasa di sekolah juga mesti dihadapi dengan realistik. Ini melibatkan komunikasi dengan kata-kata yang berkesan. Fikirkan dan bayangkan sekolah anda sebagai sebuah syarikat. Ahli perbadanan terdiri daripada kumpulan orang yang anda kenali berdasarkan pengalaman dan keperibadian mereka sendiri. Hal yang sama berlaku di sekolah. Keperibadian yang positif dan konstruktif cenderung timbul apabila para guru dan murid memberikan komitmen ke atas sebahagian besar masa yang melibatkan aktiviti yang mencerminkan kekuatan mereka. Dalam istilah sosial-emosi, perkara ini adalah masa apabila guru-guru dan murid-murid bekerja dengan optimum untuk meningkatkan prestasi. Membina Struktur Kolaboratif Struktur kolaboratif adalah penting dalam pelaksanaan KPP. Sebagai PGB, terdapat tiga tugas utama dalam membina dan membangunkan kolaboratif iaitu (i) menguruskan guru-guru kepada pasukan yang memberikan fokus kepada pembelajaran (ii) menyediakan masa kepada guru-guru untuk berkolaboratif dan (iii) memastikan sokongan berterusan diberikan kepada guru-guru dalam menjayakan KPP. Kolaboratif menjadi elemen penting kepada model KPP. Sesebuah sekolah yang mengamalkan KPP seharusnya menyedari kepentingan bekerja secara berpasukan. Justeru, pihak sekolah perlu mewujudkan budaya kolaboratif ini. Namun begitu, sesetengah sekolah kurang menggalakkan guru untuk mewujudkan budaya kolaboratif (Boyd & Hord, 2012). Misalnya, guru bekerja secara berasingan. Pihak sekolah menggalakkan guru melaksanakan amalan kolaboratif tetapi keupayaan guru untuk melaksanakannya adalah terhad. Terdapat juga sekolah yang melaksanakan aktiviti sekolah secara berasingan. Misalnya, tidak wujud dialog profesional antara jawatankuasa disiplin dan jawatankuasa kurikulum. Walhal, kedua-dua jawatankuasa ini saling kait mengait isu dan permasalahannya. Hal ini boleh dicapai sekiranya KPP berperanan di sekolah. 26
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang berbeza juga sering kali merasakan tidak perlu untuk berbincang dengan guru panitia lain kerana memikirkan bahawa masalah pengajaran yang mereka hadapi adalah berbeza. Hakikatnya, sebuah kerjasama yang mantap dalam KPP memerlukan suatu proses yang sistematik melibatkan guru bekerja dalam satu pasukan untuk menganalisis dan melaksanakan penambahbaikan amalan dalam bilik darjah (McLaughlin & Talbert, 2001). Dengan erti kata lain, guru perlu bekerja dalam satu pasukan yang berterusan sehingga mewujudkan sebuah pasukan pembelajaran. Implikasinya, usaha tersebut menghasilkan peningkatan dalam pencapaian murid (Fullan, 2001). Meneruskan dan Melestarikan Kelestarian dalam melaksanakan sesuatu perkara amat penting dalam memastikan kecemerlangan sesebuah sekolah kekal berpanjangan. Oleh sebab itu, pemimpin sekolah yang mengamalkan kepimpinan lestari juga dilihat sebagai akar tunjang yang akan memastikan segala bentuk aktiviti yang berlaku di sekolah dapat dilaksanakan selari dengan misi dan visi sekolah (Davies, 2007). Kepimpinan lestari merupakan satu bentuk kepimpinan yang memfokuskan kepada usaha- usaha untuk mengekalkan kecemerlangan sesebuah organisasi, meningkatkan kreativiti serta daya inovasi para pekerja. Dalam konteks sekolah, perkara ini turut ditekankan oleh Hallinger dan Heck (1999) yang melihat pemimpin berupaya mempengaruhi ahli organisasi melalui tiga tahap, iaitu; a) kesan langsung – berlaku apabila segala bentuk tindak tanduk PGB memberi pengaruh secara langsung kepada pencapaian sekolah; b) kesan tidak langsung – berlaku apabila PGB berupaya memberi pengaruh secara tidak langsung kepada pencapaian sekolah c) kesan timbal balik – berlaku apabila PGB dan guru saling mempengaruhi dan proses ini akhirnya memberi impak kepada pencapaian sekolah. Bagi memastikan aktiviti-aktiviti berkaitan KPP di sekolah-sekolah dapat dilestari secara berterusan, peranan daripada pemimpin sekolah dan guru-guru sendiri amat penting dititikberatkan. Terdapat lima faktor utama yang mendominasi ke arah melestarikan pelaksanaan KPP di sekolah-sekolah. Faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut: (i) Kepercayaan Kepercayaan dalam kalangan guru dan pemimpin sekolah merupakan 27
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti perkara penting dalam memastikan sesuatu aktiviti yang dirancang itu dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam sesebuah organisasi. Hal ini kerana, apabila wujudnya kepercayaan dalam kalangan ahli, secara tidak langsung akan turut memberi impak positif kepada kejayaan pelaksanaan sesuatu aktiviti yang dijalankan. Dalam konteks ini, aktiviti-aktiviti berkaitan KPP dapat berjalan dengan lancar di sekolah-sekolah yang mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi antara pemimpin dengan guru-guru. Apabila guru-guru dapat berkongsi permasalahan yang dihadapi di bilik darjah sama ada dengan rakan guru yang lain atau pemimpin sekolah secara terbuka dan selesa, ini memberi isyarat yang jelas bahawa iklim yang kondusif dan produktif telah berjaya diwujudkan di sekolah itu. Secara tidak langsung turut memberi kesan yang positif kepada pencapaian murid-murid. (ii) Komunikasi Guru-guru juga perlu bekerjasama dan berkomunikasi secara terbuka dalam melaksanakan KPP. Komunikasi yang berkesan akan dapat mempercepatkan proses penerimaan ke atas sesuatu perkara yang hendak dilakukan. Selain itu, komunikasi diperlukan dalam membantu memperkukuh kepercayaan dalam kalangan guru (Little, 1990). Perbincangan secara positif terutama yang berkaitan dengan bidang tugas dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran dalam kalangan guru turut menjurus kepada pembentukan budaya KPP yang mantap di sekolah. (iii) Kejelekitan Kejelekitan dalam kalangan ahli sesebuah organisasi merupakan perkara penting dalam memastikan sesuatu inisiatif yang diusahakan itu kekal lestari. Dalam usaha mewujudkan kejelekitan dalam kalangan guru di sekolah, kerja secara terasing atau kerja secara sendiri-sendiri perlu dielakkan. Guru-guru perlu digalakkan agar sentiasa bekerjasama dalam melakukan sebarang aktiviti KPP yang dapat meningkatkan pencapaian murid-murid. Sekolah- sekolah yang telah berjaya melaksanakan KPP secara berterusan turut mengakui bahawa kejelekitan dalam kalangan guru dan pemimpin sekolah telah menjadikan lebih mudah untuk mereka melaksanakan sesuatu kerja secara bersama-sama dengan lebih bertanggungjawab terhadap tugas hakiki mereka, murid dan juga sekolah (Keiffer-Barone & Ware, 2002). Keakraban antara mereka terbina tidak hanya di bilik guru dan kelas, malah sehingga ke meja makan pada waktu rehat. Perbincangan-perbincangan berkaitan meningkatkan pencapaian murid menjadi topik perbualan utama. Mereka berupaya berkongsi idea dan amalan terbaik yang telah dilakukan dengan rakan-rakan guru yang lain. (iv) Struktur pasukan Struktur yang jelas dalam setiap kumpulan menjadikan guru-guru dapat melaksanakan KPP dengan berkesan dan seterusnya akan dapat memastikan 28
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti kelestarian KPP di sekolah. Pemimpin sekolah mempunyai autoriti untuk membangunkan struktur pasukan dalam menggerakkan KPP ini. Secara fizikalnya, apabila Pengetua/Guru Besar meletakkan guru-guru dalam satu panitia secara bersama, maka lebih banyak perbincangan-perbincangan yang menjurus kepada penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran guru dapat dilakukan. Perkongsian idea dan pengetahuan berkembang dengan lebih produktif kerana perbincangan berlaku dalam kelompok yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang sama. (v) Kepimpinan Pengetua/Guru Besar Pembangunan dan pelestarian KPP di sekolah-sekolah memerlukan sokongan padu daripada pemimpin sekolah berkenaan. Hal ini kerana, kepimpinan Pengetua/Guru Besar (PGB) berupaya mempengaruhi ahli organisasi untuk berorganisasi dengan lebih berkesan. Huffman dan Jacobson (2003) turut menyatakan bahawa, sebagai seorang pemimpin yang berpandangan jauh, PGB boleh menggunakan KPP bagi meningkatkan kefahaman dan komunikasi dalam kalangan guru, penambahbaikan usaha-usaha ke arah penyelesaian masalah dalam pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah serta membangunkan sebuah komuniti yang mempunyai kejelekitan yang tinggi di sekolah. PGB yang melibatkan guru-guru dalam membuat sesuatu keputusan adalah amat diperlukan agar guru-guru dapat menyumbang idea (Lunenburg, 2010) dan kepakaran yang mereka ada dalam membantu melestarikan aktiviti- aktiviti KPP yang dijalankan sebelum ini. Identiti Komuniti Pembelajaran Profesional: Perspektif Islam Istilah komuniti pembelajaran menjadi semakin menarik untuk digunakan dalam sorotan kajian lampau dalam bidang pendidikan. Hal tersebut disebabkan istilah komuniti pembelajaran sering dikaitkan dengan usaha pihak sekolah untuk melaksanakan penambahbaikan (Boyd & Hord, 2012). Sebenarnya, idea mengenai komuniti pembelajaran merupakan satu adaptasi daripada konsep pembelajaran organisasi yang diperkenalkan oleh Senge pada tahun 1990. Dalam penulisannya, Senge telah menjelaskan seperti berikut, “organisasi pembelajaran melibatkan manusia berhubungan antara satu sama lain bagi membentuk pemikiran kreatif … individu tersebut juga belajar dalam satu pasukan dan secara berterusan” (Senge, 1990, hlm. 3). Manakala, komuniti pembelajaran melibatkan permuafakatan dalam kalangan ahli seperti kejelekitan yang ditunjukkan dalam sesebuah keluarga, jiran atau sebarang kumpulan yang memiliki perhubungan rapat dan cenderung menjadi keluarga dengan niat yang murni (Sergiovanni, 2000). Kruse dan Louis (1993) menggambarkan amalan 29
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti tersebut dengan menyatakan guru berhubungan antara satu sama lain dalam melaksanakan refleksi pengajaran. Dengan kata lain, amalan guru dikongsi bersama-sama rakan sejawat mereka yang bekerja dalam satu pasukan secara kolaboratif dan memiliki norma serta nilai yang sama (Sergiovanni, 2000). Berpandukan perbincangan tersebut, jelas menunjukkan pengkaji barat khususnya di negara maju, sentiasa mengkaji strategi untuk meningkatkan pembelajaran murid. Dalam menggambarkan kenyataan tersebut, Halloran (2011) menyatakan pengkaji barat sentiasa memperbaharui dapatan kajian mereka disebabkan penggunaan kaedah kajian yang semakin sistematik dan terkini. Berbanding negara Islam, kualiti pendidikan di negara tersebut jauh ketinggalan berbanding agama lain dan keadaan tersebut perlu kepada tindakan segera (World Bank Report, 2008). Hakikatnya, lebih seribu tahun lalu, Islam telah menyarankan umatnya untuk menuntut ilmu. Kenyataan tersebut disokong dengan firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat 122, seperti berikut: “Dan tidaklah betul dan elok orang yang beriman keluar semuanya pergi berperang. Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setiap puak antara mereka supaya orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama supaya mereka dapat mengajar kaumnya yang keluar berjuang apabila orang itu kembali kepada mereka. Semoga mereka dapat berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah”. Malah, masyarakat Islam telah membangunkan tamadun mereka sejak awal abad ke-7 Masihi. Mulyadhi Kartanegara (2002) menyokong kenyataan tersebut dengan menyatakan kebangkitan tamadun Islam pada abad ke-7 menandakan bermulanya tamadun kemanusiaan di dunia. Selanjutnya, masyarakat Eropah telah membangkitkan tamadun yang kedua pada abad ke-16 dan diharapkan masyarakat Islam akan bangkit semula pada abad ke-21. Kebangkitan tersebut menggambarkan bermulanya keagungan corak hidup dan ketinggian ilmu pengetahuan sesebuah bangsa (Abd al-Rahman, 2004). Khalif Muammar (2006, hlm. 56) turut menterjemahkan gambaran tersebut melalui rumusan Muhammad Iqbal mengenai ketinggian tamaduan Islam dan semangat bekerja dalam satu pasukan pada abad ke-7. “Orang Timur pada masa Ibn Khaldun jauh lebih maju daripada orang Barat. Hal ini disebabkan adanya pendidikan dan aktiviti ilmiah yang diuruskan dalam semangat kerjasama. Disebabkan itu orang Barat pergi (rihlat) ke Timur untuk menuntut ilmu pengetahuan”. 30
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Berpandukan fenomena ini, timbul persoalan seperti berikut; Adakah segala amalan terbaik (seperti komuniti pembelajaran profesional) dalam masyarakat barat tidak dianjurkan Islam untuk penganutnya melaksanakan amalan tersebut? Justeru, topik ini bertujuan untuk membincangkan konsep komuniti pembelajaran profesional dalam prespektif Islam. Melalui perbincangan ini juga diharapkan akan dapat menimbulkan kesedaran kepada masyarakat Islam terhadap pesanan Al Maududi seperti berikut, “setiap amalan baik adalah peninggalan umat Islam yang keciciran dan perlu dikutip semula” (Rahman, Fazlur, 2002). Idea Utama Mengenai Komuniti Pembelajaran Profesional Idea untuk menambah baik sesebuah sekolah dengan membangunkan komuniti pembelajaran profesional merupakan suatu trend terkini di kebanyakan negara. Manusia menggunakan istilah tersebut untuk menggambarkan sebuah gabungan individu dengan satu matlamat yang sama dalam pendidikan. DuFour (2004) menjelaskan kenyataan di atas dengan pandangan beliau seperti berikut, “untuk mewujudkan sebuah komuniti pembelajaran profesional, tumpuan perlu diberikan kepada pembelajaran berbanding pengajaran, bekerja secara kolaboratif dan bertanggungjawab untuk mendapatkan hasilnya”. Namun kini, pelaksanaan KPP menghadapi sedikit cabaran. KPP sering menghadapi kejatuhan ketika pertumbuhannya. Eaker, DuFour dan DuFour (2002) menggambarkan fenomena tersebut dengan mengambil contoh kitaran semula sesebuah produk. Pada peringkat permulaan, timbul kekeliruan dalam kalangan pengamal mengenai konsep asas KPP. Akibatnya, masalah akan timbul ketika pelaksanaan KPP dan berakhir dengan kegagalan sesebuah sekolah untuk mencapai matlamat KPP. Implikasinya, pengkaji akan berterusan melakukan kajian untuk memperoleh dapatan yang berupaya membantu pelaksanaan semula KPP. Walau bagaimanapun, kitaran semula seperti ini berupaya diatasi dengan refleksi guru terhadap tiga idea utama mengenai KPP seperti yang disarankan oleh DuFour (2004): (a) Idea Pertama: Memastikan murid belajar Konsep KPP mengandaikan murid bukan sahaja mempunyai hak untuk menghadiri sesi pengajaran guru, malah mereka turut berhak untuk belajar. Hal ini bermaksud pihak sekolah dilatih untuk melakukan perubahan dengan tumpuan daripada pengajaran kepada pembelajaran (Fullan, 2002). Justeru, motto “Pembelajaran Untuk Semua” bagi sesetengah sekolah perlu dilaksanakan dengan cekap dan berkesan berbanding paparannya untuk menyedapkan hati mereka yang melihat. 31
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Selanjutnya, setelah murid diberikan hak untuk belajar, pihak sekolah seharusnya menjawab soalan berikut iaitu: (i) Apakah yang kita hendak murid-murid kita belajar? ; (ii) Bagaimanakah caranya untuk mengenal pasti bahawa murid telah mempelajari sesuatu pengetahuan? ; dan (iii) Bagaimanakah kita menghadapi murid yang mempunyai pelbagai tahap kecerdasan? Untuk menjawab soalan ketiga, sekolah yang melaksanakan KPP seharusnya menghadapi murid yang mempunyai pelbagai tahap tersebut dengan mematuhi cadangan Marzano (2003) seperti: (i) Segera mengatasi fenomena dengan mengenal pasti murid yang memerlukan waktu dan motivasi tambahan; (ii) Tumpuan kepada tindakan pencegahan segera berbanding menunggu murid untuk ditempatkan dalam kelas-kelas pemulihan; dan (iii) Pendekatan berbeza kepada murid yang mempunyai tahap kecerdasan berlainan untuk mereka meluangkan waktu tambahan dan menerima bimbingan sehingga mereka menguasai sesuatu pengetahuan. (b) Idea Kedua: Budaya Kolaboratif Sesebuah sekolah yang mengamalkan KPP seharusnya menyedari kepentingan bekerja secara berpasukan. Justeru, pihak sekolah perlu mewujudkan budaya kolaboratif. Namun begitu, terdapat sesetengah sekolah kurang menggalakkan guru untuk mewujudkan budaya kolaboratif (Boyd & Hord, 2012). Misalnya, guru bekerja secara berasingan menyebabkan keupayaan guru untuk melaksanakan menjadi terhad. Hakikatnya, sebuah kerjasama yang mantap dalam KPP memerlukan suatu proses yang sistematik melibatkan guru bekerja dalam satu pasukan untuk menganalisis dan menambah baik amalan dalam bilik darjah (McLaughlin & Talbert, 2001). Dengan kata lain, guru perlu bekerja dalam satu pasukan yang berterusan sehingga mewujudkan sebuah pasukan pembelajaran. Implikasinya, usaha tersebut menghasilkan peningkatan dalam pencapaian murid (Fullan, 2001). Di samping itu juga, dalam usaha mewujudkan keberkesanan budaya kolaboratif dalam kalangan guru, sesetengah amalan perlu ditamatkan bagi 32
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti kepentingan murid (DuFour, 2004). Misalnya, di Amerika, pihak sekolah perlu mengutamakan kurikulum yang telah diubah suai oleh sekolah berdasarkan tahap kecerdasan murid berbanding melaksanakan kurikulum piawai yang dibentuk oleh kerajaan dan akhirnya meningkatkan keciciran dalam kalangan murid (Marzano, 2003). Dengan kata lain, pihak sekolah perlu menjawab soalan berikut, “apa yang dijangkakan oleh pihak sekolah untuk mengajar murid?” dan “bagaimanakah pihak sekolah mengetahui setiap murid telah menguasai asas pembelajaran?” Justeru, warga sekolah seharusnya berhenti daripada memberikan alasan negatif untuk melaksanakan kolaboratif dengan jayanya. Kenyataan tersebut disokong oleh Barth (1991, hlm. 126-127) seperti berikut. “Adakah guru dan pihak pentadbiran berkemampuan untuk menerima kenyataan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada masalah?... Tuhan tidak mewujudkan bilik darjah dan lima puluh minit waktu pengajaran dan pengajaran yang dilaksanakan secara berasingan. Sebenarnya, kita (guru dan pihak pentadbiran) yang melaksanakan hal tersebut kerana kita berasa selesa dengan bekerja seorang diri, malah, lebih berkesan hasilnya jika dilaksanakan dalam satu pasukan”. (c) Idea Ketiga: Tumpuan kepada Hasil Keberkesanan KPP adalah berdasarkan hasilnya. Bagi mencapai hasrat tersebut, bekerja dalam satu pasukan merupakan satu kemestian kepada warga sekolah. Mereka seharusnya bekerja secara berterusan untuk mengenal pasti pencapaian semasa murid dan seterusnya menyediakan laporan secara berkala (McLaughlin & Talbert, 2001). Dengan kata lain, konsep “Kaya Data dan Kurang Maklumat” tidak seharusnya berlaku di sekolah. Justeru, pihak sekolah bukan sahaja mengalu-alukan guru menyediakan data tetapi mengguna pakai data tersebut untuk ditukar menjadi maklumat berguna dan berkaitan dengan usaha meningkatkan pencapaian murid (Fleming, 2002). Dalam hal ini, guru perlu menilai pencapaian murid secara formatif dengan mengabungkan segala aspek berikut bersama-sama rakan mereka iaitu idea, bahan bantu mengajar, strategi dan bakat (Barth, 1991). Malah, guru tidak seharusnya menghadkan usaha sekolah untuk melaksanakan proses penambahbaikan dengan masalah disiplin murid, kekangan masa yang dihadapi oleh guru dan pelbagai pekeliling kerajaan yang membebankan mereka (Fleming, 2002). Mereka seharusnya mengutamakan matlamat terpenting sekolah iaitu meningkatkan pencapaian murid. Selanjutnya, melaksanakan matlamat tersebut secara berpasukan (Marzano, 2003) serta bersungguh-sungguh untuk mengekalkan pelaksanaan KPP (DuFour, 2004). Bagi memastikan pencapaian matlamat tersebut, 33
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti warga sekolah perlu memberikan tumpuan kepada pembelajaran berbanding pengajaran, bekerja dalam satu pasukan khususnya mengenai pembelajaran dan menumpukan kepada pencapaian bagi mengetahui kedudukan semasa untuk melaksanakan proses penambahbaikan selanjutnya (Barth, 1991). Kesimpulannya, asas keberkesanan KPP adalah memenuhi hak murid untuk belajar, warga sekolah bekerja secara kolaboratif dan pihak sekolah perlu memberikan tumpuan kepada keberkesanan KPP. Islam dan Tuntutan Terhadap Menuntut Ilmu Kedatangan Islam ke muka bumi ini menggesa umatnya memuliakan, menuntut, menyebar dan melaksanakan ilmu. Kenyataan tersebut bertepatan dengan wahyu pertama Allah dalam surah Al-‘Alaq mengenai kewajipan menuntut ilmu. Dengan kata lain, agama Islam tertegak atas dasar ilmu atau pengetahuan. Hal tersebut bermaksud tanpa ilmu dan pengetahuan umat Islam tidak berupaya untuk mengenal Khaliq. Malah, perkataan ilmu dinyatakan dalam Al Quran lebih kurang 750 kali (Syed Muhammad Dawilah al-Edrus,1993). Di samping itu juga, orang berilmu diberikan pujian dan dipandang mulia di sisi Islam. Perkara ini disebutkan dalam Al Quran dan Terjemahan karangan Soenarjo, Hasbi Ashshiddiqi, Bustami A. Gani, Muchtar Jahya, Toha Yahya, Mukti Ali, Kamal Muchtar, Ghazali Thaib, Musaddad, Ali Maksum & Busjaini Madjidi (1971). (a) Surah Az-Zumar, ayat 9 yang bermaksud, “katakanlah, adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu’; (b) Surah Al Baqarah, ayat 269 yang bermaksud, “Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang yang diberikan ilmu atau pengetahuan bererti dia telah diberikan kebaikan yang banyak”; dan (c) Surah Al Faatir, ayat 28 yang bermaksud, “hanya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu”. Ringkasnya, Islam tertegak di atas dasar ilmu atau pengetahuan. Melalui ilmu, umat Islam dapat mengenal pasti perkara yang hak dan yang batil. Justeru, menuntut ilmu merupakan satu proses yang dituntut bagi setiap umat Islam. Implikasinya, penuntut ilmu dipandang mulia di sisi Allah. Selanjutnya, perbincangan mengenai Islam dan ilmu dinyatakan seperti berikut. 34
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Konsep Kolaboratif dalam Islam Istilah collaboration sekiranya diterjemah kepada bahasa Arab memberikan pelbagai makna dan antaranya ialah ta’awun (Al-Baalbaky, 2004), dan ta’awun ini dinyatakan sebanyak dua kali dalam Al-Quran (AlBaqy, 2001). Ta’awun inilah amalan yang menjadi teras utama kepada Komuniti Pembelajaran Profesional. Amalan kolaboratif ini telah dinyatakan dalam Al-quran di dalam surah Al-Maidah (2) seperti terjemahan berikut: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan”. Berpandukan ayat Al-Quran tersebut, Allah S.W.T menggariskan bahawa tolong-menolong ataupun kerjasama ini perlulah di atas landasan perkara kebaikan dan bukannya kepada perkara yang mungkar. Komuniti Pembelajaran Profesional muncul setelah pelbagai kajian daripada teori dalam bidang pendidikan dijalankan. Kenyataan tersebut bermaksud istilah Komuniti Pembelajaran Profesional muncul setelah teori organisasi pembelajaran yang diperkenalkan oleh Peter Senge pada tahun 1990 (DuFour & Eaker, 2008). Konsep kerjasama dalam Islam adalah Ta’awun dan mempunyai dua bahagian utama (i) Ta’awun dalan perkara kebaikan dan takwa (ii) Ta’awun dalam perkara dosa dan permusuhan. Konsep kerjasama dalam Komuniti Pembelajaran Profesional adalah dikira sebagai Ta’awun dalam perkara kebaikan kerana tujuannya adalah untuk meningkatkan kualiti guru dan prestasi pencapaian murid. Para ulama tafsir memberikan pelbagai tafsiran kepada ayat Al-Quran tersebut. Menurut Al-Baidhowi (2002) menyatakan ayat tersebut kepada pengampunan Allah dan meninggalkan hawa nafsu. Manakala bagi Asy-Syaukani (1997) mentafsirkan ayat tersebut sebagai Al-Birr kebaikan adalah seperti yang diarahkan dan takwa adalah meninggalkan apa yang dilarang (oleh Allah). Tafsir Ibn Kathir (2003) menjelaskan bahawa Allah menyuruh hambaNya tolong-menolong kepada perkara kebaikan dan tidak tolong-menolong kepada perkara keburukan. Menurut Syed Qutb (2004) tafsiran ayat ini adalah mengaitkan hati dan jiwa dengan Allah, mengaitkan segala pertimbangan dan akhlak. Tafsir Al-Jalalain (1999) pula menyatakan tafsiran ayat ini kepada melakukan apa yang telah disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Kesimpulannya keseluruhan tafsiran ayat ini membawa kepada amalan ta’awun yang perlu dipraktikkan iaitu kepada kebaikan dan takwa, dan melarang kepada amalan ta’awun yang membawa kepada kejahatan dan kemaksiatan. Jika dilihat dalam hadis, Nabi Muhammad SAW juga mengisyaratkan kepentingan kolaboratif dalam pendidikan ini. Dalam beberapa hadis sahih, Nabi Muhammad S.A.W berusaha untuk membudayakan amalan ta’awun ini. Berikut adalah hadis yang berkaitan dengan konsep ini: Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Orang mukmin bagi mukmin yang lain seperti bangunan yang mengukuhkan 35
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti antara satu sama lain”. Kemudian Nabi SAW menyilangkan antara jari kedua tangannya. (Hadis Riwayat Bukhari, no. hadis: 2314). Perbuatan baginda menyilangkan kedua-dua jari tangannya merupakan isyarat jelas bahawa setiap individu dalam masyarakat harus berkolaboratif dalam apa sahaja aktiviti kemasyarakatan. Pendidikan yang merupakan nadi bagi sebuah masyarakat sudah pasti memerlukan kerjasama yang serius daripada semua pihak. Ketika menawan tentera kafir dalam perang Badar, baginda mensyaratkan setiap tawanan perlu mengajarkan 10 anak orang Islam membaca dan menulis sebelum dibebaskan (Hadis riwayat Ahmad, no. hadis: 2216 dengan sanad yang hasan). Jika diteliti, usaha baginda ini menggambarkan kepentingan berkolaboratif dalam usaha memberikan pendidikan kepada seluruh rakyat di dalam sebuah negara. Usaha ini tidak melibatkan orang Islam semata-mata, tetapi mesti dijayakan oleh semua pihak. Kolaboratif juga diperluaskan dalam menyampaikan pengajaran. Saidina Umar al-Khattab telah memberikan satu gambaran yang baik apabila beliau bergilir- gilir dengan jirannya untuk menghadiri majlis ilmu Rasulullah SAW disebabkan beliau mempunyai tahap komitmen yang tinggi terhadap perniagaan (Hadis Riwayat Bukhari, no. hadis: 89). Berdasarkan hadis-hadis di atas, didapati Islam telah mengungguli budaya kolaboratif dalam kalangan masyarakat. Malah, aktiviti kolaboratif di dalam Islam mempunyai tujuan yang amat jelas iaitu menghindarkan diri daripada kejahilan dalam kalangan individu dan masyarakat. Hal tersebut turut diberikan perhatian dalam amalan Komuniti Pembelajaran Profesional. Konsep Ilmu dalam Islam Konsep ilmu dalam Islam merujuk kepada pemilik hakiki terhadap ilmu adalah Allah SAW Manakala, manusia merupakan penerima ilmu dalam jumlah yang sedikit. Namun, ilmu yang sedikit sangat bermakna di sisi Allah sekiranya seseorang individu mengamalkan ilmu tersebut sehingga membawa kepada tahap ketakwaan yang tinggi. Untuk mencapai hasrat tersebut, ilmu perlu dipelajari dan dikembangkan berdasarkan tauhid dan disertakan integrasi iman, kemanfaatan ilmu, amalan yang soleh dan akhlak yang mulia. Justeru, semua pancaindera zahir dan batin yang dijadikan oleh Allah adalah bermatlamatkan pencarian ilmu yang benar. Lantaran itu manusia yang tidak menggunakan pancaindera tersebut untuk mendapatkan ilmu sebenar akan dikutuk oleh Allah. Hal tersebut difirmankan oleh Allah SAW dalam surah Al-A’raf, ayat 179, seperti berikut. 36
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti “Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam kebanyakan Jin dan manusia, bagi mereka ada jantung hati (tetapi) tidak mengerti dengannya, dan bagi mereka ada mata (tetapi) tidak melihat dengannya, dan bagi mereka ada telinga (tetapi) tidak mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lemah.” Ringkasnya, konsep ilmu dalam Islam adalah Allah sebagai pemilik hakiki segala ilmu dan manusia merupakan penyampai kepada ilmu tersebut dengan kuantiti penerimaan ilmu yang sedikit. Hukum Menuntut Ilmu dalam Islam Terdapat banyak suruhan berbentuk firman Allah dan hadis Rasulullah mengenai kewajipan menuntut ilmu. Islam mengkehendaki golongan lelaki mahupun wanita untuk menuntut ilmu agar mereka menjadi umat yang proaktif serta jauh daripada kejahilan. Misalnya, sabda SAW daripada riwayat Anas bin Malik yang bermaksud, “menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib bagi setiap orang Islam”. Manakala, suruhan menuntut ilmu turut ditegaskan oleh Allah dalam surah 103, Al-Ashr yang bermaksud, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar- benar dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran” (Soenarjo et al., 1971). Berdasarkan firman Allah dan hadis ini, Islam amat menuntut umatnya untuk menuntut ilmu khususnya firman Allah dalam surah Al-Ashr. Allah telah bersumpah dengan masa atau waktu yang di dalamnya terjadi peristiwa yang baik mahupun buruk. Dalam hal ini, Allah telah bersumpah bahawa setiap manusia sama ada beragama Islam mahupun tidak beragama Islam pasti akan mengalami kerugian kecuali yang memiliki empat sifat berikut iaitu iman, amal soleh, saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran (Syaikh Muhammad Shalih al Utsaimin, 1998). Dalam membincangkan secara lanjut mengenai hukum menuntut ilmu, Amir A. Rahman (1991) dan H. Moh. Rifai (1996) telah memperincikan tuntutan tersebut melalui contoh yang jelas seperti berikut. (a) Fardhu ain yang dibahagikan kepada empat bahagian iaitu ilmu yang berkaitan rukun iman, hukum hakam dan yang berkaitan dengan pergaulan dan muamalah seharian. Ilmu ini wajib dipelajari oleh mukallaf. Tuntutan tersebut bagi meluruskan akidah yang wajib dipercayai oleh seluruh muslimin serta melaksanakan ibadat yang difardhukan atasnya seperti solat, puasa, zakat 37
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti dan haji. Di samping itu juga, seseorang individu muslim perlu mempelajari ilmu akhlak untuk memelihara adab sopan santun serta ilmu berumah tangga; dan (b) Fardhu kifayah pula ialah bidang ilmu yang luas dan sering berjalan seiring dengan perkembangan zaman. Sebahagian umat Islam diwajibkan untuk mempelajarinya agar tidak memberikan kesan buruk kepada masyarakat Islam yang lain. Dengan kata lain, Islam mewajibkan umatnya untuk menuntut ilmu dunia yang berupaya memberikan manfaat dalam kehidupan mereka di dunia serta selaras dengan tuntutan agama (Mohd. Kamal Hassan, 1998). Implikasinya, mereka tidak akan ketinggalan dengan arus perkembangan ilmu pengetahuan yang dapat membawa kemajuan (Abd al-Rahman, 2004). Selanjutnya, kewajipan menuntut ilmu akan menjadi fardu kifayah sekiranya terdapat sekelompok masyarakat yang telah mempelajarinya dan kewajipan bagi kelompok lain untuk mempelajarinya telah gugur. Jami Bayanil Ilmi dalam Umar Yusuf Abdil Barr (2001) telah menyokong kenyataan tersebut dengan berkata, “ulama telah berijma’ bahawa, antara ilmu itu ada yang fardhu ain, wajib atas setiap orang pada dirinya. Dan ada yang fardhu kifayah, sekiranya ada yang telah melakukannya maka gugur kewajipan itu bagi yang lain di daerah itu”. Kesimpulannya, Islam menuntut umatnya untuk mempelajari sesuatu ilmu bagi mengatasi masalah kejahilan terhadap diri sendiri dan masyarakat Islam. Justeru, hukum menuntut ilmu dalam Islam adalah bergantung kepada jenis ilmu iaitu ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Bagi ilmu fardu ain, wajib bagi setiap individu untuk mempelajarinya bagi mengatasi kejahilan mengenai ketuhanan mereka. Manakala, ilmu fardu kifayah sebagai pelengkap kepada kehidupan seseorang individu dan memadai bagi sekumpulan individu untuk mempelajarinya bagi melepaskan tuntutan kepada kumpulan yang lain. Perkembangan Masyarakat Islam Dalam Bidang Pendidikan Bahagian ini membincangkan perkembangan masyarakat Islam dalam bidang pendidikan yang berfokus kepada zaman kegemilangan dan terkini umat Islam. Perbincangan tersebut adalah seperti berikut. (a) Zaman Kegemilangan Masyarakat Islam Dalam Bidang Pendidikan Islam merupakan agama fitrah yang menepati keperluan dan naluri hidup manusia. Kepentingan ilmu dalam Islam tidak dapat disangkal kerana tanpa ilmu manusia tidak berupaya melakukan sebarang aktiviti kerana ilmu dijadikan asas panduan pelaksanaanya. Namun, berdasarkan persepktif Islam, dengan ilmu pengetahuan manusia berupaya mengenal kewujudan Allah yang membawa mereka kepada tahap keimanan dan ketakwaan yang 38
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti tinggi. Misalnya, Allah telah berfirman dalam surah Al-Fathir, ayat 28 yang bermaksud, “hanya yang takut pada Allah itu antara hambaNya adalah ulama (orang yang berilmu)”. Rasulullah SAW turut menggalakkan umat Islam menguasai ilmu pengetahuan agar menjadi agung di mata dunia dan menjadi teladan kepada umat yang lain. Misalnya, Rasulullah SAW daripada riwayat Al Tabrani telah bersabda, “mulakan pagimu sebagai seorang guru atau murid atau pendengar atau orang yang mencintai ilmu. Jangan kamu menjadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa”. Begitu juga dengan sabda Rasulullah seperti berikut, “masalah dunia (negara) akan tercapai dengan menggunakan kecerdasan akal dan keruntuhan dunia adalah kerana kejahilan (kebodohan).” Malah, Wan Mohd. Nor (1997, hlm. 32) berkata “golongan manusia yang hanya mempunyai kekuatan bersifat fizikal seperti tenaga manusia atau kekuatan ketenteraan sebenarnya bukanlah menonjolkan sebuah kekuatan hakiki tetapi berpandukan sejarah tamadun manusia, sering kali kita saksikan bahawa sesebuah bangsa yang kuat tetapi tidak diasaskan oleh budaya ilmu yang baik, akan memeluk dan menganut nilai dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya itu”. Berasaskan kenyataan terdahulu, dapat diberikan gambaran jelas bahawa Islam menekankan kepentingan ilmu dan nilai. Dua komponen tersebut tidak dapat dipisahkan bagi melahirkan insan yang sempurna. Dengan kata lain, seseorang penuntut ilmu akan semakin bertakwa kepada Allah dengan tahap pemilikan ilmu yang tinggi. Permulaan tamadun Islam adalah pada zaman Rasulullah dengan pembinaan bangunan setibanya baginda di Madinah (Ahmad Yahya, 2009). Bangunan yang dibina baginda amat sinonim dengan nilai yang perlu dipupuk oleh masyarakat Islam. Pembinaan masjid di Madinah melambangkan penekanan Rasulullah kepada pembentukan kebendaan dan kerohanian dalam kalangan masyarakat Islam. Selanjutnya, kemuncak kegemilangan masyarakat Islam dalam pendidikan bermula tahun 750 Masihi di zaman Kerajaan Abbasiyyah khususnya pemerintahan Harun Al-Rashid dan al-Makmun. Manakala, mulai tahun 1492 bermulanya kejatuhan kegemilangan Islam. Kenyataan tersebut ditunjukkan dalam Rajah 1. Namun, perbincangan bahagian ini tertumpu kepada zaman kegemilangan Islam. Dalam Rajah 1, kegemilangan tamadun Islam ditunjukkan ketika bermulanya zaman kerajaan Abbasiyyah pada tahun 750 Masihi. Ketika zaman tersebut, ramai tokoh ulama telah dilahirkan dan mereka menyumbang kepada perkembangan sains kepada masyarakat Islam. 39
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Rajah 1. Zaman Permulaan, Kebangkitan dan Kejatuhan Kerajaan Islam Sumber. Ahmad Yahya (2009). Pengantar Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara tokoh ulama tersebut ialah Ibnu Rusd yang terkenal dalam bidang Astronomi. Beliau telah banyak membahas secara sistematik mengenai Geografi, Matematik dan Astronomi di samping mengemukakan teori ahli astronomi Arab, Yunani dan India. Amir A. Rahman (1991) menyatakan Ibnu Rusd juga dikenali sebagai seorang ulama bernama Muslim al-Farghani yang berasal dari Farghana, Uzbekistan. Beliau telah mengarang sebuah buku bertajuk al-Kamil fi al-Asturlab yang kemudian diterjemahkan dalam bahasa Latin dengan judul Compendium. Selanjutnya, buku tersebut menjadi rujukan utama di seluruh pelusuk negara Eropah (Mohd Radzali Masrun, 2004). (b) Perkembangan Terkini Masyarakat Islam Dalam Bidang Pendidikan – Satu Senario Pendidikan berupaya meningkatkan ekonomi negara, menambah baik pendapatan rakyat, memudahkan pergerakan sosial dan mengurangkan kemiskinan. Maimbo dan Ratha (2005) menggambarkan situasi tersebut dengan menghubungkaitkan pendidikan dengan usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menyumbang kepada jangka hayat yang lebih panjang, kesuburan yang tinggi dan kadar kematian bayi yang rendah, serta memiliki identiti kebangsaan yang lebih mantap. 40
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Walau bagaimanapun, data ini tidak akan tercapai secara langsung tanpa usaha kerajaan untuk melabur dalam pendidikan. Dalam hal ini, laporan World Bank (2008) mencadangkan pihak penggubal dasar perlu rekayasa strategi yang lebih baik sekiranya pelaburan dalam pendidikan kurang memberikan hasil yang positif kepada ekonomi, sosial dan politik negara. Laporan tersebut ditujukan khusus untuk kerajaan negara Islam berdasarkan kajian World Bank (2008) terhadap negara Islam dalam pertubuhan The Middle East and North Africa (MENA). MENA melibatkan negara Timur Tengah dan Afrika Utara yang memiliki ekonomi yang pelbagai dan melibatkan negara yang kaya dengan petroleum di Teluk Arab seperti Iran, Iraq, Jordan, Kuwit, Lebanon, Libya, Malta, Morocco, Oman, Qatar, Arab Saudi, Syria, Tunisia, United Arab Emirates, Yaman, Tebing Barat dan Gaza serta negara yang kurang sumber berbanding populasi penduduk yang ramai seperti Mesir, Algeria dan Maghribi. Laporan tersebut menyatakan kualiti pendidikan di negara Islam tersebut adalah jauh ketinggalan berbanding benua lain di dunia. Secara khusus kajian tersebut dilaporkan seperti berikut: (i) Pelaburan kerajaan terhadap pendidikan Secara purata, wujud peningkatan pelaburan kerajaan dalam pendidikan dalam aspek peruntukan bajet kerajaan. Kerajaan di negara Islam tersebut telah memperuntukkan perbelanjaan pendidikan sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan bajet negara. Situasi tersebut meningkatkan Gross Domestic Product (GDP) sebanyak 5 peratus. Implikasinya, kanak-kanak di negara Islam tersebut berupaya menikmati pendidikan wajib, berupaya menyambung pengajian secara formal dan hasilan pendidikan adalah lebih baik berbanding situasi terdahulu misalnya dalam aspek peningkatan taraf hidup. Namun, terdapat beberapa masalah yang telah dikenal pasti seperti berikut: Negara Islam tersebut dilaporkan masih kurang menghasilkan pulangan pelaburan dalam pendidikan khususnya dalam kalangan golongan dewasa. Misalnya, wujud keciciran dalam kalangan mereka dan pencapaian rendah dalam peperiksaan di peringkat antarabangsa. Di samping itu juga, kadar buta huruf yang tinggi dan sistem pendidikan yang menumpukan graduan berlatarbelakangkan sains sosial berbanding sains tulen; Negara Islam tersebut juga kurang menghasilkan ciri-ciri modal insan dalam kalangan tenaga buruh. Kelemahan tersebut disebabkan sukatan pengajian di peringkat institusi tinggi kurang mengambil kira perubahan persekitaran khususnya memenuhi permintaan pasaran semasa. Implikasinya, wujud kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan graduan; dan 41
Komuniti Pembelajaran Profesional: Budaya, Naratif dan Identiti Sistem pendidikan di negara Islam tersebut kurang menekankan penghasilan graduan yang memiliki tahap kemahiran dan kepakaran yang tinggi bagi menyaingi cabaran luar. (ii) Usaha penambahbaikan lalu terhadap pendidikan gagal memberikan tumpuan kepada insentif dan akauntabiliti awam Pihak kerajaan negara Islam tersebut telah berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan dengan melaksanakan beberapa langkah seperti memperbanyakkan bangunan sekolah, melatih guru, mengeluarkan buku teks dan menggubal kurikulum. Usaha tersebut menyebabkan kerajaan menjadi sumber utama kewangan sekolah dan berupaya mengawal struktur dalam organisasi pendidikan. Dengan kata lain, kerajaan negara Islam tersebut telah menjadikan sektor pendidikan sebagai agenda utama mereka dalam meraih sokongan rakyat. Malah, kerajaan semakin matang dalam menguruskan sektor pendidikan misalnya urusan penswastaan dalam sektor pendidikan dan melantik pihak luar untuk menilai tahap keberkesanan pendidikan. Namun, kajian World Bank (2008) melaporkan kerajaan terlalu memberikan penekanan kepada pendidikan kejuruteraan dan kurang perhatian terhadap insentif dan akauntabiliti awam. Misalnya, kerajaan kurang melaksanakan tindakan strategik untuk menghubungkaitkan pencapaian sekolah dan guru dengan keputusan peperiksaan sekolah, kerajaan kurang berpengetahuan untuk membentuk proses kawalan yang cekap dan berkesan serta kerajaan kurang berkemahiran untuk menyedarkan ibu bapa dan murid mengenai kepentingan pencapaian sekolah. Secara umumnya, negara Islam tersebut telah mula menjadi lebih terbuka, masyarakat telah mula menyedari peranan mereka dalam sektor pendidikan serta kepentingan peranan media massa untuk mempromosikan perkhidmatan pendidikan milik kerajaan. Walau bagaimanapun, rakyat khususnya ibu bapa dan murid kurang berupaya untuk mempengaruhi penggubal dasar dalam aspek penambahbaikan terhadap objektif pendidikan dan peruntukan sumber kepada pihak sekolah. (iii) Tahap kapasiti guna tenaga buruh tempatan yang rendah bagi memenuhi permintaan pasaran semasa.Walaupun negara Islam tersebut telah berusaha untuk menghasilkan tahap kapasiti guna tenaga buruh tempatan yang tinggi sejak tahun 1990-an menerusi sistem pendidikan yang berkualiti tetapi sumbangan mereka terhadap individu dan masyarakat adalah rendah berbanding permintaan semasa. Hal tersebut 42
Search