Penterjemahan Bahasa Malaysia Buku III Disediakan oleh Cikgu Attakorn Hayeeawae 15 September 2020 1
Pelajaran Pada suatu hari, seekor semut sedang minum air di tebing sungai. Tiba- tiba angin bertiup kencang. Semut itu terjatuh ke dalam sungai. Semut yang malang itu terkapai-kapai di dalam air. Dia rasa tentunya akan mati lemas. Seekor burung merpati berehat di pokok berdekatan dan ternampak apa yang berlaku. Dengan pantas, dia memetik sehelai daun dan menjatuhkannya ke permukaan air berhampiran semut. Semut memanjat ke atas daun itu. Akhirnya, dia hanyut ke tebing sungai dengan selamat. Semut berkata, \"Terima kasih, sahabatku. Saya akan menolongmu suatu hari nanti.\" Beberapa hari kemudian, seorang pemburu datang ke tempat itu untuk memburu burung. Dia ternampak merpati itu berehat di atas pokok. Dia mengeluarkan busur dan anak panahnya. Pemburu mengarahkan busur dan anaknya ke arah burung merpati itu.Semut ternampak segalanya. Dia teringat burung merpati itu pernah menolongnya. Dengan pantas, semut mengingit kaki pemburu. Dia melompat kesakitan dan anak panahnya terlepas sasaran. Apabila terdengar jeritan kesakitan pemburu itu, burung merpati pun terbang pergi. \"Terima kasih, semut,\" kata burung merpati itu. \"Kali ini, kamu telah menolong saya.\" 2
Pelajaran Di sebuah hutan, ada seekor rusa yang bongkak. Rusa itu selalu pergi ke tepi kolam untuk melihat bayangnya. Rusa itu berasa bangga melihat tanduknya yang cantik. ”Oh, cantiknya tandukku!” kata rusa itu kepada dirinya. Namun demikian, rusa itu tidak suka pada kakinya yang kurus. ”Hai, lihatlah betapa kurusnya kakiku. Aku mahu kakiku cantik juga. Aku mahu kelihatan cantik dari kepala hingga hujung kaki,” rungutnya. Pada suatu hari, ketika sedang melihat-lihat bayangnya di tepi kolam, rusa terdengar seekor anjing menyalak. Rusa itu sedar yang anjing pemburu sedang menuju ke tempat itu. Rusa itu berasa takut lalu berlari sekuat hati. Sedang rusa itu berlari ke dalam hutan, tiba-tiba tanduknya tersangkut pada dahan-dahan sebatang pokok yang rendah. Rusa itu meronta-ronta untuk melepaskan tanduknya daripada dahan-dahan itu. Rusa itu bertambah cemas apabila kedengaran salakan anjing semakin dekat. Akhirnya, kakinya yang kurus tetapi kuat itu dapat menolongnya melepaskan diri. Namun, tanduknya patahnya sedikit. Anjing pemburu semakin hampir. Rusa itu dapat melarikan diri kerana ia boleh berlari laju. Rusa itu kini menyedari kegunaan kakinya yang telah membantu menyelamatkan dirinya daripada bahaya. Sejak hari itu, rusa itu tidak lagi memandang kakinya sebagai sesuatu yang buruk atau tidak berguna. Rusa itu juga tidak bongkak seperti dahulu kerana tanduknya tidak lagi kelihatan begitu cantik. Sedarlah rusa itu bahawa kecantikan tidak semestinya membawa kebaikan. 3
Pelajaran Ada seorang raja bernama Prabu Mandiri. Prabu Mandiri mempunyai seorang putra bernama Mandala. Mandala anak yang jujur dan berani. Umurnya baru sembilan tahun. Ia baik hati dan tidak sombong. Kerajaan Prabu Mandiri diserang musuh. Musuh itu dari kerajaan Karanghawu. Mereka berperang berbulan-bulan. Alangkah hebatnya peperangan itu! Prabu Mandiri berkata, \"Wahai Mandala...pimpinlah rakyat kita berperang! Mintalah bantuan pamanmu...Aku sudah tua, tenagaku sudah berkurang. Aku sudah tidak berdaya lagi.\" Mendengar kata ayahnya itu, Mandala bersujud.Mandala dan pamannya berangkat ke medan perang. Dibunyikan kentong dan canang. Rakyat berkumpul di halaman istana. Mandala berseru, \"Hai rakyatku! Musuh hampir tiba, negara kita akan direbutnya! Bawalah semua senjata...kita bela negara kita! Berani karena benar, takut karena salah!\" Seluruh rakyat bersorak-sorak, lalu menuju medan perang. Mereka membawa pedang, panah, dan tombak. Musuh dapat diusir. Maka rakyat bersorak dan berseru...\"Hidup pahlawan kecil! Hidup pahlawan kecil!\" Legalah seluruh rakyat. Mandala menggantikan ayahnya menjadi raja. 4
Pelajaran Ada seekor tikus yang tinggal di dalam satu lubang. Lubang itu berada di dalam hutan.Dekat dengan lubang itu, tinggal seekor Singa yang garang. Semua binatang takut dengan Singa itu. Pada suatu hari, di waktu malam, ketika Singa sedang tidur, tikus itu pun keluar mencari makanan.Tikus berjalan di dalam gelap.Tikus tak berapa nampak kerana gelap sangat.Tiba-tiba, tikus terlanggar sesuatu. Rupa-rupanya tikus terlanggar Singa. Singa sangat marah kerana ada yang mengganggu dia tidur. “Aum, berani kamu kacau aku tidur!, aku akan makan kau.” Kata sang Singa.Tikus sangat takut. “Tolong jangan bunuh saya, saya cuma seekor tikus yang kecil. Tuan tak kenyang pun kalau makan saya. Nanti manalah tahu kalau tuan perlukan bantuan satu hari nanti saya akan tolong.” Rayu sang tikus. “Hahaha… Hahaha… apa yang tikus kecil macam awak ni boleh tolong saya? Hahaha… Saya adalah raja rimba… kenapa saya perlu bantuan awak? Tak pe lah, sebab kan awak ni kelakar, saya lepaskan awak.” Balas Singa sambil ketawa terbahak-bahak. Beberapa hari kemudian, sedang tikus berjalan-jalan di dalam hutan mencari makanan, tiba-tiba dia terdengar suara Singa mangaum meminta tolong.“Aum, tolong!, tolong!” jerit singa.Tikus berlari sekuat hati menuju ke arah suara singa. Dia ternampak Singa terperangkap di dalam sebuah jaring perangkap yang di pasang oleh pemburu. Tikus terus menggigit jaring itu sampai putus.“Terima kasih tikus, kerana menyelamatkan saya. Saya tak sangka yang awak boleh tolong saya.” Kata singa. “Sama-sama.” Sebab itulah kita tidak boleh pandang rendah pada orang lain. Setiap orang ada kekuatan dan ada kelemahan masing-masing. Singa yang kuat pun tak boleh buka jaring, tapi tikus yang lemah, boleh. 5
Pelajaran Pada zaman dahulu terdapat seorang tukang kayu yang tua dan miskin bernama Geppetto.Dia amat suka membuat patung.Patung kesayangannya ialah Pinocchio.”Alangkah baiknya kalau aku mempunyai anak”kata Geppetto sambil melihat Pinocchio. Pada malamnya, seorang pari-pari yang baik hati datang ke rumah Geppetto dan mengayunkan tongkat saktinya ke Pinocchio sambil berkata”Esok Pinocchio akan dapat bergerak dan bercakap seperti manusia biasa.” Pada keesokan harinya, Geppetto mendapati bahawa Pinocchio boleh bergerak dan bercakap.Dia sangat hairan dan gembira melihat keadaan Pinocchio yang seperti manusia biasa.Geppetto terpaksa menjual baju dan sepasang kasutnya untuk membeli buku untuk Pinocchio belajar di sekolah.Dia memang ingin menyekolahkan Pinocchio. “Sekarang kamu bolehlah belajar seperti budak-budak lain belajar,”kata Geppetto kepada Pinocchio.Semasa berjalan ke sekolah, Pinochio berhenti untuk menyaksikan pertunjukan patung.”Mahukah kamu menyertai pertunjukan ini?”tanya ketua pertunjukan yang jahat .Tanpa berfikir apa-apa, Pinocchio bersetuju. Ketua pertunjukan patung itu pun mengunci Pinocchio ke dalam sangkar yang kecil.Pinocchio berasa takut dan ingin pulang ke pangkuan Geppetto.Tanpa disangka, datanglah seorang pari pari yang baik hati membebaskan Pinocchio dari sangkar kecil itu.Pinocchio berasa sangat gembira.”Saya akan terus pergi ke sekolah dan tidak akan singgah ke mana- mana,”kata Pinocchio. Semasa dalam perjalanan ke sekolah Pinocchio terserempak dengan seekor musang yang jahat.Dia menceritakan tentang sebuah pulau yang indah iaitu Pulau Ria.Pinocchio terlupa akan sekolahnya dan dia menukarkan bukunya dengan tiket ke Pulau Ria.”Kamu hendak pergi ke mana?”tanya pari-pari kepada Pinocchio.”Saya hendah ke sekolah,”Pinocchio berbohong.Tiba-tiba 6
hidung Pinocchio menjadi panjang.Dia berasa menyesal kerana berbohong dengan pari-pari yang telah menyelamatkannya. Pari- pari muncul lagi untuk membantu Pinocchio dan menukarnya ke rupa asal .Pinocchio segera meninggalkan pulau itu.Dia duduk di sisir pantai dan ingin bertemu dengan Geppetto.Tiba-tiba dia melihat kelibat Geppetto sedang mengayuh sampan.Semasa Geppetto sedang mengayuh sampan,seekor ikan paus muncul dari belakang dan terus menelan Geppetto bersama sampannya.Pinocchio berenang dengan sekuat-kuat hatinya untuk menyelamtkan Geppetto.Apabila Pinocchio hampir dengan ikan paus itu,ikan paus membuka mulutnya dengan luas.Pinocchio terus berenang dan masuk ke dalam mulut ikan paus itu. Pinocchio berjumpa dengan Geppetto.Mereka berasa gembira kerana dapat bertemu lagi.\"Mari kita kumpulkan kayu api dan bakarnya,\"kata Geppetto kepada Pinocchio.Asap api membuatkan ikan paus itu membuka mulutnya lalu Pinocchio dan Geppetto pun keluar dari situ.Pinocchio dan Geppetto berenang hingga ke persisiran pantai.Mereka amat letih lalu tertidur di situ.Apabila bangun,Geppetto mendapati bahawa Pinocchio telah berubah menjadi manusia.Dia sangat gembira kerana impiannya untuk memiliki anak sudah tercapai. 7
Pelajaran Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Pengetua, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu ribuan terima kasih ingin saya ucapkan kerana diberi peluang untuk menyampaikan syarahan pada hari ini. Hadirin yang saya hormati sekalian, Tajuk syarahan saya ialah ‘Mengisi Masa Lapang dengan Perkara Yang Berfaedah’. Masa lapang atau masa yang terluang hendaklah diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Masa lapang yang kita ada tidak sepatutnya dibazirkan begitu sahaja tanpa sebarang aktiviti yang bermanfaat. Terdapat pelbagai cara yang kita boleh lakukan untuk mengisi masa lapang. Antaranya adalah dengan melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Dengan cara itu, kita dapat mengekalkan kecergasan tubuh badan dan juga dapat meningkatkan pengalaman dan ilmu pengetahuan. Ada juga yang memilih aktiviti membaca untuk mengisi masa lapang yang ada. Banyak sumber bahan bacaan yang dapat dibaca seperti majalah, surat khabar, buku sejarah dan sebagainya. Membaca merupakan aktiviti yang paling berfaedah dan bermanfaat untuk mengisi masa terluang. Sekian sahaja syarahan saya untuk kali ini. Dengan ucapan terima kasih dan lafaz assalamualaikum, saya sudahi syarahan pada hari ini. 8
Pelajaran Yang dihormati dan disanjungi Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Pengetua, guru-guru, rakan-rakan dan hadirin hadirat sekalian. Salam sejahtera dan Assalamualaikum saya ucapkan. Tajuk syarahan saya pada hari ini adalah “Membazir Adalah Amalan Yang Tidak Baik”. Saudara dan saudari sekalian, Maksud “membazir” adalah berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara atau ketika menggunakan sesuatu sehingga akan ada yang terbuang akhirnya. Sebenarnya amalan membazir ini banyak mendatangkan keburukan dari banyak aspek. Misalnya, jika kita terlalu ikutkan nafsu sehingga boros berbelanja, kelak kita tidak akan mempunyai wang pada saat kita membutuhkannya. Manakala, jika kita membeli makanan secara berlebihan, kemungkinan besar makanan itu tidak akan habis dan akan terbuang begitu sahaja. Selain dari itu, membuang masa dengan aktiviti yang tidak mendatangkan faedah juga adalah satu pembaziran. Bagi seorang pelajar setiap detik masa itu emas. Oleh sebab itu, pelajar harus merangka jadual waktu agar setiap masa dapat diisi dengan perkara yang bermanfaat. Kita juga disarankan agar tidak melakukan pembaziran air dan elektrik. Jika kita tidak menggunakan air dan elektrik secara berkhemah, pembaziran akan berlaku. Ini akan mengakibatkan kita membayar bil elektrik dan air yang tinggi jumlahnya. Pada musim kemarau pula, masalah kekurangan air akan berlaku dan catuan air akan dikenakan. Oleh disebabkan kekangan masa, saya terpaksa mengakhiri syarahan saya pada hari ini. Konklusinya, saya ingin menegaskan bahawa membazir adalah amalan yang tidak baik dan akan mendatangkan kesan buruk kepada kita. Sekian, terima kasih. 9
Pelajaran Salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Guru Besar,Guru Penolong Kanan, guru-guru dan rakan sekalian.Saya sebagai wakil murid, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini. Hadirin sekalian, Tarikh 16 Mei setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengadakan sambutan bagi mengenang dan menghargai jasa guru.Oleh itu marilah kita menghargai jasa guru. Rakan-rakan sekalian, Guru ialah insan yang mendidik,mengasuh dan membimbing kita hingga kita dapat mencapai kejayaan.Kesungguhan mereka mendidik kita amatlah besar nilainya dan wajar dikenang sepanjang hayat.Mereka tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat mengenal huruf ,membaca dan mengira. Guru juga merupakan ibu bapa kepada kita di sekolah. Oleh itu, kita mestilah menghormati guru.Segala nasihat guru mestilah kita dengar dan patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat mereka. Rakan sekalian, Guru adalah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin belajar.Mereka sedia mendengar segala masalah yang kita tidak fahami dalam pelajaran.Oleh itu guru adalah pendidik yang sangat berdedikasi semasa mengajar kita di sekolah. Sesungguhnya, jasa guru tidak ternilai harganya.Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.Wahai para guru yang kami sayangi,jutaan terima kasih kami ucapkan kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar . Sekian , terima kasih. 10
Pelajaran Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis, Pengetua, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin yang saya hormati sekalian. Ribuan terima kasih saya ingin ucapkan diatas peluang yang diberikan untuk memberikan syarahan pada pagi ini. Hadirin yang saya dikasihi sekalian, Tajuk syarahan saya ialah “Melakukan Perkara Berfaedah Pada Masa Lapang”. Masa lapang adalah sesuatu yang sangat berharga.Dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah barulah masa lapang tersebut dapat diisi dengan sebaiknya. Jangan sesekali mengisi masa lapang dengan aktivit yang sia-sia kerana masa yang berlalu tidak akan kembali walaupun kita ada wang berjuta. Banyak aktiviti yang kita boleh lakukan untuk mengisi masa lapang yang ada. Antara yang terbaik yang kita boleh lakukan di sekolah ialah dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti badan beruniform dan permainan. Selain dapat mengisi masa lapang, badan juga akan lebih sihat dan cergas. Malah pengalaman semasa berada dalam aktiviti unit beruniform boleh diaplikasikan semasa berlaku kecemasan seperti bantuan cemas. Memilih untuk menjadi ulat buku juga adalah sesuatu yang baik untuk mengisi masa lapang. Sekarang di era digital banyak bahan bacaan yang boleh diakses secara dalam talian seperti majalah, buku-buku motivasi, komik dan juga surat khabar. Tidak salah kalau saya katakan membaca merupakan aktiviti yang terbaik untuk mengisi masa lapang dan memberikan manfaat kepada kita. Setakat itu sahaja syarahan saya untuk hari ini. Ribuan terima kasih saya ucapkan dan saya sudahi syarahan saya dengan lafaz assalamualaikum. 11
Pelajaran Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, guru-guru, rakan-rakan dan hadirin hadirat sekalian. Salam pagi dan Assalamualaikum saya ucapkan. Saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Membazir Adalah Amalan Yang Wajib Dihindari”. Hadirin dan hadirat sekalian, Membazir adalah satu perbuatan yang berlebih-lebihan dalam sesuatu keadaan atau dalam sesuatu penggunaan. Di dalam Islam sendiri ada menyebut membazir ini adalah amalan syaitan. Dari segala sudut membazir akan memberikan kesan negatif kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Seperti contoh, bagi seorang remaja yang boros berbelanja dan mengikuti perkembangan terkini, boleh jadi semasa kita kecemasan dan memerlukan wang, kita tidak mempunyai satu sen pun. Dari sudut makanan pula, kalau kita membeli secara banyak seperti bulan puasa, besar kemungkinan makan itu akan dibuang ke dalam tong sampah begitu sahaja. Malah aktiviti membuang masa dengan aktivit yang tidak berfaedah seperti berlumba motor juga adalah satu jenis pembaziran masa. Ingat, setiap detik masa itu adalah emas dan sangat bernilai lebih-lebih bagi seorang pelajar. Merangka jadual waktu harian sangat penting bagi setipa pelajar agar masa itu dapat digunakan secara optimum. Berlebihan menggunakan air dan elektrik juga termasuk dalam pembaziran. Gunalah air dan elektrik secara berhemah. Jika tidak anda perlu membayar bil- bil yang lebih mahal daripada bulan-bulan biasa. Selain itu juga musim kemarau melanda, akan berlaku krisis air dan air akan dicatu. Ini akan menyusahkan lebih ramai pihak lagi. Masa sangat mencemburui kita, jadi saya perlu mengakhiri syarahan saya pada hari ini dengan konklusi ini, membazir adalah amalan yang buruk yang wajib kita jauhi! Sekian, terima kasih. 12
Pelajaran BANGKOK: Polis Thailand sedang menyiasat kejadian tembakan di sebuah rumah di daerah Thung Khru, Bangkok pagi ini yang menyebabkan lima sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, terbunuh. Timbalan jurucakap polis, Kolonel Polis Krissana Pattanacharoen berkata, polis Thung Khru dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 8.30 pagi (waktu tempatan). Beliau berkata pegawai polis bergegas ke tempat kejadian dan menemukan lima mayat - terdiri dua lelaki, dua perempuan dan seorang kanak- kanak lelaki - terbaring berlumuran darah di rumah teres dua tingkat itu. Menurut beliau polis mengenal pasti kelima-lima mangsa terdiri kanak-kanak lelaki, ayah dan ibunya serta datuk dan nenek kanak-kanak itu. \"Pihak berkuasa turut menjumpai sepucuk pistol separa automatik berada di tangan kanan bapa kanak-kanak itu. \"Polis memeriksa tempat kejadian dan mengumpulkan bukti tambahan untuk siasatan lanjut dijalankan,\" katanya dalam satu kenyataan hari ini. Krissana berkata, siasatan awal mendapati keluarga itu memiliki sebuah kedai alat ganti kenderaan. Motif sebenar kejadian masih disiasat. Semua mayat telah dihantar ke Hospital Siriraj untuk bedah siasat. BERNAMA 13
Pelajaran BANGKOK: Tiga suspek dadah termasuk seorang rakyat Amerika melepaskan tembakan dan menikam polis ketika dalam perjalanan ke mahkamah sebelum melarikan diri dengan menaiki pikap, kata polis, hari ini. Menurut polis, ketiga-tiga suspek hilang lebih daripada 24 jam selepas melarikan diri daripada bilik mahkamah Pattaya semalam. “Jika mereka melawan...polis terpaksa bertindak tegas,” kata jurucakap polis kebangsaan, Krissana Pattanacharoen. Ketiga-tiga suspek yang melarikan diri adalah lelaki Amerika, isterinya rakyat Thailand dan lelaki warga tempatan. Pasangan itu berdepan hukuman mati kerana menyeludup dadah, walaupun hukuman itu jarang dilaksanakan. Krissana berkata keluarga suspek sudah dihubungi dan mendesak mereka agar menyerahkan diri serta tidak melakukan sebarang keganasan. Pihak berkuasa berkata, suspek lelaki warga Thailand memiliki pistol dan pisau yang digunakan untuk menyerang polis hingga membolehkan ketiga-tiganya melarikan diri. Krissana berkata, pegawai yang cedera beransur pulih dan ketika ini pihak berkuasa sudah mengepung keseluruhan bandar peranginan itu yang terletak dua jam perjalanan ke Bangkok. Thailand adalah pengeluar dan hab transit utama dadah. - AFP 14
Pelajaran ILLINOIS: Empat terbunuh manakala empat lagi termasuk seorang kanak- kanak dan pegawai polis cedera dalam dua kejadian tembakan berasingan di tengah-barat bandar Chicago dan di barat bandar Seattle. Awal tengah hari semalam, empat ditemui mati dan dua lagi termasuk kanak- kanak berusia dua tahun cedera di sebuah kediaman di pinggir kejiranan Fernwood di South Side, Chicago selepas polis menerima panggilan beberapa orang ditembak, kata seorang jurucakap polis. Menurut jurucakap Jabatan Bomba Chicago, Jeff Lyle semua empat mangsa disahkan mati di tempat kejadian selepas sekurang-kurangnya lima ambulans tiba. Seorang daripada mangsa yang cedera dilaporkan kritikal dan dihantar ke hospital berhampiran manakala kanak-kanak itu dihantar ke hospital lain. Dalam satu kejadian berasingan di sebuah rumah pengurusan mayat dekat West Side Chicago, seorang lelaki berusia 21 tahun cedera parah 10 minit sebelum kejadian serangan di Fernwood, kata pihak berkuasa tempatan. Polis berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua kejadian dan siasatan masih diteruskan. Motif serangan juga tidak diketahui. - Agensi 15
Pelajaran WELLINGTON: New Zealand dilanda kemelesetan ekonomi buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun hari ini, apabila data mengesahkan kelumpuhan ekonomi. Keadaan itu memaksa Perdana Menterinya, Jacinda Ardern mempertahankan tindak balas terhadap pandemik COVID-19 negara itu menjelang pilihan raya umum bulan depan. Penyusutan 12.2 peratus antara April dan Jun itu adalah yang terbesar pernah direkodkan, menurut agensi data kebangsaan New Zealand, dengan negara itu dikenakan perintah berkurung selama hampir dua bulan dan sempadan ditutup. Ardern menafikan dakwaan pembangkang bahawa langkah itu menyebabkan kelumpuhan ekonomi, dan menegaskan sekatan itu berjaya mengekang penularan virus dan membantu perniagaan kembali beroperasi lebih awal berbanding banyak negara lain. Perdana Menteri New Zealand itu turut menegaskan, negara berkenaan hanya mencatatkan 25 kematian akibat COVID-19 berbanding jumlah penduduk seramai lima juta. \"Bagi saya, kejayaan sebenar adalah menyelamatkan nyawa, membantu dan menyelamatkan perniagaan, keluar daripada krisis ini lebih pantas dengan pelbagai aktiviti. Saya menyokong hasil yang berjaya kita capai,\" katanya kepada wartawan. Ardern berkata, impak negatif perintah berkurung terhadap ekonomi pada Jun akan disusuli dengan lonjakan pada Julai hingga September apabila sekatan dilonggarkan. Ardern kini berada jauh di depan dalam tinjauan pilihan raya itu dan dijangka mengekalkan jawatannya, walaupun angka buruk pada ekonomi. Menteri Kewangan, Grant Robertson, berkata impak itu mungkin jauh lebih teruk, dengan kertas belanjawan pada Mei lalu menjangkakan penyusutan 23.5 peratus dan Perbendaharaan meramalkan penurunan 16 peratus minggu ini. – AFP 16
Pelajaran PRETORIA: Afrika Selatan akan membuka semula sempadannya bulan depan, kata Presidennya, Cyril Ramaphosa. Beliau berkata, kebanyakan sekatan akan dilonggarkan mulai 20 September sementara perjalanan antarabangsa 'secara beransur-ansur dan berhati-hati' akan dikembalikan pada 1 Oktober depan. \"Kami sudah berusaha mengekang kemuncak virus itu. Sudah tiba masanya untuk beralih kepada norma baharu selama COVID-19 ada bersama kita,\" katanya dalam satu pidato di negaranya pada Rabu. Negara perindustrian itu menutup sempadannya pada 27 Mac lalu dengan kawalan ketat di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak berkenaan. Afrika Selatan akan bermula dengan membuka semula tiga lapangan terbang utamanya di Cape Town, Durban dan Johannesburg. Sekatan pergerakan dan perniagaan beransur-ansur dilonggarkan sejak Jun di negara itu, bagaimanapun sempadan negara itu ditutup untuk mengelakkan kes import virus dari negara luar. Di bawah langkah baharu, perjumpaan orang ramai dibenarkan namun dengan kapasiti kehadiran 50 peratus yang dihadkan kepada 250 orang untuk acara dalam dewan. Perintah berkurung bermula jam 10 malam dilanjutkan kepada tengah malam dan acara rekreasi dihadkan kepada 50 orang akan ditarik balik, namun larangan aktiviti bersukan tetap dikekalkan di samping mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam. Afrika Selatan antara negara yang terburuk terkena COVID-19 dengan lebih daripada 65,000 jangkitan dan 15,600 kematian direkodkan sehingga kini iaitu kira-kira separuh daripada jumlah kes yang dikesan di benua itu. 17
Pelajaran CAPE TOWN: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, semalam, mengumumkan bahawa pilihan raya negara itu akan diadakan pada 8 Mei ini. “Saya sudah berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas dan ingin mengisytiharkan bahawa 8 Mei 2019 sudah ditetapkan sebagai hari untuk mengadakan pilihan raya,” kata Ramaphosa kepada Parlimen. Sejak mengambil alih jawatan itu, Ramaphosa berusaha untuk memperbaiki keadaan negara itu, namun hanya berjaya mencatatkan pertumbuhan sebanyak satu peratus tahun lalu, manakala kadar pengangguran pula meningkat kepada lebih 27 peratus. Selain itu, suruhanjaya yang dilantik bagi menyiasat salah laku kerajaan turut mendedahkan mengenai kegiatan rasuah membabitkan pegawai kerajaan dan anggota parti pimpinan bekas Presiden Jacob Zuma, termasuk menteri Kabinet yang kini berkhidmat dengan pentadbiran Ramaphosa. Berikutan itu, beliau menghadapi tekanan untuk bertindak terhadap pegawai terbabit, namun pada masa sama perlu memastikan kestabilan parti pemerintah, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC). ANC dijangka berdepan saingan dengan calon dari parti Perikatan Demokratik dan Pejuang Kebebasan Ekonomi dalam pilihan raya Mac ini. Bagaimanapun, ANC diramalkan terus menguasai pilihan raya Parlimen dengan mengutip kira-kira 60 peratus undian. - AFP 18
Pelajaran ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin dapat merampas Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berdasarkan persefahaman ditunjukkan dalam persepakatan bersama Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata Pakatan Harapan (PH) Kedah tetap berpeluang merampas kembali negeri itu pada PRU- 15. Katanya, AMANAH tidak bergerak sebagai parti individu, malah mempunyai gabungan dengan persefahaman baik seperti dibuktikan dalam persepakatan bersama WARISAN dalam pemilihan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. \"Pihak lawan banyak berlaku pertembungan untuk membahagikan kerusi pada PRN Sabah. Kita yakin di Semenanjung, kita akan tolong-menolong dan tidak mempunyai masalah, sekali gus memberi kelebihan kepada kita. \"Di Kedah, kita agak kuat kerana ada kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan Parlimen. Kita mempunyai peluang menarik orang Melayu berikutan kini mempunyai penambahan ahli yang hebat termasuk di Kelantan,\" katanya. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang AMANAH di Kedah berikutan majoriti kerusi di negeri itu akan ditandingi PAS, selain Terengganu dan Kelantan. 19
Pelajaran BANGKOK: Gerakan pro-demokrasi pimpinan anak muda Thailand bersiap sedia untuk turun ke jalanan di ibu negara hari ini, yang dijangka disertai puluhan ribu orang. Ini adalah demonstrasi terbaru dan antara yang terbesar bagi mendesak Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, meletak jawatan dan menuntut reformasi monarki. Tunjuk perasaan oleh golongan muda berlaku hampir setiap hari di Thailand sejak pertengahan Julai lalu bagi mendesak pengunduran Prayut, bekas ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada 2014, serta rombakan menyeluruh pentadbirannya. Sesetengah kumpulan turut mendesak reformasi terhadap monarki yang sangat kaya lagi berkuasa, sesuatu yang jarang disentuh di Thailand berikutan undang- undang fitnah diraja yang tegas dan keterlaluan. Gerakan yang semakin berkembang di Thailand itu mendapat inspirasi daripada protes pro-demokrasi di Hong Kong, yang tidak dipimpin individu tertentu secara khusus. Tunjuk perasaan hujung minggu ini anjuran pelajar Universiti Thammasat di Bangkok, antara kumpulan paling lantang mempertikaikan peranan keluarga diraja di Thailand. Seorang aktivis pelajar, Panusaya Sithijirawattanakul, berkata mereka mahu memperjuangkan lebih banyak kebebasan demokrasi. \"Perancangan kami bukanlah untuk memusnahkan monarki tapi melakukan rombakan supaya sesuai dengan masyarakat sekarang,\" katanya ketika melakukan persediaan menjelang tunjuk perasaan itu. Tunjuk perasaan dijangka bermula di Universiti Thammasat tengah hari ini, sebelum bergerak ke padang bersejarah Sanam Luang di hadapan istana diraja, di mana peserta merancang untuk berada di sana semalaman.- AFP 20
Pelajaran BANGKOK: Warta Diraja Thailand, di laman sesawangnya semalam, mengumumkan perintah darurat di Narathiwat, Yala dan Pattani di selatan negara itu dilanjutkan selama tiga bulan lagi. Perintah itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, pada 11 September lalu di bawah Perintah Darurat bagi Pentadbiran Awam dalam Keadaan Kecemasan, BE 2548 dan sudah diluluskan oleh Kabinet. Ia merangkumi semua daerah di tiga wilayah terbabit kecuali Srisakhon, Sungai Kolok dan Sukirin di Narathiwat, Betong di Yala dan Maikaen serta Maelan di Pattani. Kenyataan susulan berhubung pengumuman itu turut menjelaskan lanjutan itu adalah bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan dan menangkap pemberontak yang cuba menggugat keselamatan negara melalui keganasan. Ia juga bertujuan memastikan keselamatan penduduk di wilayah berkenaan terjaga berikutan peningkatan kegiatan pengganas sejak kebelakangan ini. Akhir Julai lalu, Thailand mengumumkan rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN), dihentikan sementara kerana ancaman pandemik COVID-19. Bagaimanapun, rundingan yang menyaksikan bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Rahim Mohd Noor, bertindak sebagai fasilitator, masih diteruskan secara maya. Kedua-dua pihak mencapai kesepakatan bahawa rundingan ialah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik bersenjata di wilayah majoriti Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di selatan Thailand. Pemberontakan di selatan Thailand bermula pada 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, yang mengorbankan 7,000 nyawa. - AGENSI 21
Pelajaran KOTA KINABALU: Kerajaan memberi jaminan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga dan berkeupayaan mempertahankan Sabah daripada sebarang ancaman luar. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dakwaan pihak tertentu kononnya pasukan keselamatan negara tidak bersedia dari segi keupayaan adalah tidak berasas. Katanya, usaha juga terus diambil untuk memperkasa dan menambah kekuatan pasukan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). \"Pasukan keselamatan negara, Tentera Darat, TLDM dan TUDM sentiasa bersiap siaga mempertahankan Sabah jika berlaku sebarang sebarang ancaman. \"Ada yang mengatakan kita tidak bersedia, tidak mempunyai kemampuan untuk menjaga keselamatan, sempadan dan kedaulatan Sabah, ini tidak betul,\" katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) peringkat Sabah di sini, hari ini. Beliau berkata, sebuah Briged Infantri, tiga batalion Infantri, tiga Rejimen Artileri, sebuah Rejimen Armor dan sebuah Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat akan diwujudkan di seluruh Sabah bagi mengukuhkan kawalan keselamatan sedia ada. Pada masa sama, katanya, pos kawalan sempadan juga akan ditambah menjadi 19 berbanding 17 sebelum ini. Bagi TLDM, katanya, sebuah kapal perang baharu sudah tiba di pangkalan Teluk Sepanggar baru-baru ini, manakala dua lagi menyusul. \"Pasukan TUDM juga sentiasa bersiap sedia walaupun tiada pangkalan di Sabah tetapi jet kita hanya mengambil masa 15 minit untuk ke pantai timur Sabah dari pangkalan Labuan,\" katanya. 22
Pelajaran SUNGAI PETANI: Seramai 162 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk lapan wanita menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai menghargai jasa pengorbanan mereka mempertahankan tanah air khususnya daripada ancaman komunis. Semua veteran ATM yang pernah berkhidmat ketika era ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) antara Januari 1969 hingga 1990 itu menerima pingat berkenaan yang disampaikan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dalam satu majlis khas di sini, hari ini. Raja Mohamad Affandi berkata, ATM khususnya melalui Jabatan Hal Ewal Veteran (JHEV ) akan memastikan kebajikan anggota dan keluarga veteran terus dijaga biar pun jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Katanya, ramai warga ATM yang terkorban atau tercedera ketika menjalankan pelbagai operasi di seluruh negara sehingga yang cacat anggota, isteri menjadi balu, anak kehilangan bapa dan ibu kehilangan anak kerana terbunuh ketika menyertai operasi demi memastikan keamanan dan kedaulatan negara dari ancaman musuh. \"Selain itu saya juga mahu semua persatuan veteran agar terus bekerjasama dengan JHEV dalam usaha memastikan kebajikan veteran ATM terbela,\" katanya. Pada majlis itu, Raja Mohamed Affandi turut menyampaikan sumbangan Skim Bantuan Kebajikan Dan Pendidikan JHEV ATM kepada 20 penerima, selain Bantuan Sara Hidup, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Persekolahan dan Bantuan Yayasan Veteran ATM serta Bantuan Kemasukan Universiti Awam. 23
Pelajaran KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraikan penubuhannya yang ke-86 esok dengan sambutan bertemakan ’Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ yang memberi penekanan kepada kepentingan kerjasama antara pasukan keselamatan dan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara. ATM juga menonjolkan kelainan pada sambutan kali ini apabila acara perbarisan utama akan diadakan di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, pada 27 September ini, berbanding secara tradisinya dilangsungkan di Lembah Klang. Acara perbarisan itu akan disusuli Karnival Hari ATM 2019 di Tambatan Pangkalan TLDM Lumut pada 28 dan 29 September ini. Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, berkata menerusi karnival itu, orang ramai berpeluang melihat secara lebih dekat perkhidmatan sektor pertahanan merangkumi aset darat, laut dan udara. “Pelbagai acara akan diadakan sempena hari terbuka itu yang pasti memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan persembahan hebat membabitkan ketenteraan selain pelbagai aktiviti menarik seperti pameran aset tentera, ‘eco- challenge’ dan promosi kerja ATM. “Kita juga mengambil kesempatan ini untuk menjadikan ia sebagai platform ATM untuk lebih mendekati dengan orang ramai selari dengan tema tahun ini. “ATM amat mengalukan-alukan kedatangan rakyat Malaysia bagi memeriahkan lagi sambutan Karnival Hari ATM 2019,” katanya kepada BH, hari ini. ATM turut menerbitkan sebuah klip video berdurasi 50 saat sempena sambutan Hari ATM ke-86 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pasukan pertahanan negara. Video itu memaparkan anggota terbabit sebagai ihsan biasa yang juga adalah seorang suami, bapa dan ibu. Mereka dilihat sebagai individu yang sanggup berkorban dan setia menjalankan tanggungjawab demi keluarga dan tanah air tercinta. 24
Pelajaran PUTRAJAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan permohonan pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), pagi tadi. Ahli Parlimen Muar itu yang datang bersama-sama beberapa ahli penaja parti itu, berkata parti baharu itu tidak mempunyai had usia dan bangsa, sebaliknya ia mewakili semua lapisan masyarakat dan agama. Katanya, ia akan dipimpin oleh anak muda dan memfokuskan kepada dasar dan jalan penyelesaian masalah negara sedia ada. \"Muda Malaysia akan dikepalai oleh anak muda daripada segenap lapisan masyarakat... ada ketua pegawai eksekutif, guru, doktor, pemimpin masyarakat sivil dan petani muda yang berjaya dalam industri. \"Parti ini tidak boleh dilihat hanya pada faktor umur. Ia lebih kepada fahaman, ideologi, idealisme, dasar-dasar yang inklusif, itu yang paling penting,\" katanya kepada pemberita selepas menyerahkan permohonan itu di sini. Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, struktur parti itu akan diumumkan dari masa ke semasa. Beliau berkata, Muda Malaysia mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk menyertai parti itu jika mereka merasakan ada keperluan untuk beranjak daripada politik masa lampau, politik balas dendam dan perpecahan selain membawa pembaharuan kepada politik negara. Katanya, ketika ini sudah ramai yang menghubunginya serta 12 lagi individu menyertai ahli penaja Muda Malaysia. Syed Saddiq berkata, antara individu yang menjadi penaja kepada Muda Malaysia termasuk pemimpin pelajar Afiqah Zulkifli; ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Radzi Tajuddin serta Setiausaha Liga Demokratik Rakyat, Amir Abd Hadi. 25
Pelajaran BANGKOK: Seorang lelaki yang koma selepas disoal-siasat di sebuah kem tahanan terkenal di Thailand, meninggal dunia hari ini, kata keluarganya. Abduloh Esormusor, 34, yang disyaki terbabit dalam kes pemberontakan di selatan negara itu, dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi. Menurut sepupunya, Mohammadtrahmat Mamu, suspek meninggal dunia selepas lebih sebulan ditahan di kem tentera Inkayuth. Keluarga Abduloh mendakwa, beliau tidak pernah terbabit dengan mana-mana serangan berdarah pemberontak yang berjuang menuntut lebih banyak kuasa autonomi. Sebuah organisasi yang mewakili kumpulan pemberontak berkata, mereka mencurigai wujudnya ‘permainan kotor’ membabitkan kes itu. Beberapa hari selepas Abdulloh ditahan, empat orang terbunuh dalam serangan lewat malam di sebuah pos kawalan tentera, sekali gus menguatkan lagi spekulasi operasi serangan balas. Sementara itu, tentera yang berdepan tekanan kerana didesak untuk mendedahkan hasil laporan siasatan, kes pemberontakan di selatan Thailand, gagal dihubungi untuk mendapatkan komen. Terdahulu, tentera mengesahkan kematian Abdulloh mempunyai kaitan dengan masalah bengkak otak yang teruk, mungkin disebabkan aneurisma atau sesak nafas. Dalam pada itu, pemberontakan terhadap pemerintahan Thailand di selatan negara itu sejak 2004, menyebabkan 7,000 maut, kebanyakannya orang awam. Inkayuth adalah pusat kem tahanan terbesar milik tentera di selatan Thailand, yang menjadi lokasi proses soal selidik suspek yang ditahan di bawah undang- undang darurat dan kumpulan hak asasi manusia menyifatkan ia sebagai satu penderaan.- AFP 26
Pelajaran Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan dengan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita selari dengan era moden yang penuh kecanggihan ini. Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G. Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit di sekolah boleh mendatangkan kemudaratan. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih setahun jagung itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit. 27
Oleh hal yang demikian, mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pemelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit? Sudah tentu perkara sebegini ingin dijauhi lebih-lebih lagi banyak masalah lain yang ditimbulkan oleh para pelajar. Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan berhadapan dengan gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar- pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat yang mungkin boleh merosakkan masa depan mereka. Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid- murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu. Natijahnya, melalui perbincangan yang disampaikan di atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi. Namun demikian, semua hal ini tertakluk kepada diri individu itu sendiri bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera. 28
Pelajaran Suasana Kampung Panchor tiba-tiba kecoh. Kejadian pecah rumah semakin kerap berlaku akhir-akhir ini. Ramai penduduk kampung menjadi mangsa dan mengalami kehilangan barang-barang berharga. Hal ini sangat merisaukan semua penduduk. Ketua kampung memanggil semua penduduk berkumpul di balai raya. Satu mesyuarat tergempar untuk mengatasi masalah tersebut perlu diadakan. Ketua kampung perlu berbincang dan meminta pandangan anak buahnya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Ketika mesyuarat berlangsung, pelbagai pendapat diajukan oleh penduduk kampung. Beberapa orang penduduk kampung mencadangkan agar ditubuhkan pasukan rondaan sukarela. Pasukan ini akan meronda di sekeliling kampung. manakala satu kumpulan lain pula mencadangkan agar setiap rumah mesti memasang penggera dan kamera litar tertutup. Setiap kelompok bertegas mempertahankan cadangan masing-masing. Mereka merasakan pendapat mereka yang paling sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Berlaku perang mulut yang hampir mencetuskan pergaduhan. Ketua kampung terpaksa bertegas untuk menenangkan keadaan. Untuk memuaskan hati semua pihak, ketua kampung mencadangkan diadakan undian untuk menentukan pendapat mana yang mendapat sokongan ramai. Apabila undian dilakukan, cadangan menubuhkan pasukan rondaan sukarela mendapat sokongan majoriti. Keputusan ini diterima sebulat suara dan semua penduduk kampung berpuas hati. Apabila pasukan rondaan sukarela ditubuhkan, penduduk kampung keluar bertugas mengikut jadual yang ditetapkan. Mereka bekerjasama menyediakan makanan dan minuman kepada para petugas. Kampung mereka kini aman damai kerana kesepakatan yang terbina. Segala masalah dan kesulitan mereka hadapi dan selesaikan bersama-sama. Keadaan hidup mereka seumpama peribahasa \"seikat bagai sirih serumpun bagai serai\". 29
Pelajaran Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kita boleh membaca buku, membuat banyak latihan, dan belajar secara berkumpulan. Belajar secara berkumpulan membawa maksud kita belajar bersama-sama rakan-rakan kita. Banyak kelebihan belajar secara berkumpulan. Antara kelebihan belajar secara berkumpulan ialah kita dapat menambah pengetahuan. Hal ini demikian kerana apabila kita belajar secara berkumpulan, kita dapat mengadakan perbincangan. Semasa perbincangan, pelbagai idea dan pendapat akan terhasil. Pendapat-pendapat tersebut merupakan pengetahuan baharu untuk kita. Selain itu, belajar dalam kumpulan juga memudahkan kita memahami sesuatu tajuk pelajaran. Sebagai contohnya sekiranya kita tidak dapat memahami sesuatu topik , rakan kita akan dapat menerangkan kepada kita secara lebih mendalam. Hal ini sudah tentu akan dapat membantu kita untuk menghadapi peperiksaan. Di samping itu, apabila belajar secara berkumpulan, kita dapat mengeratkan hubungan persahabatan dengan rakan-rakan yang lain. Semasa belajar sudah pasti kita akan saling bertanya khabar, kenal-mengenali dan bergurau senda. Hal ini sudah pasti akan mewujudkan hubungan yang lebih akrab antara satu sama lain. Belajar secara berkumpulan dapat juga membantu kita mengatasi rasa bosan ketika belajar. Semasa belajar bersama-sama, kita berpeluang mengadakan perbincangan, mengeluarkan pendapat, menjawab tugasan dan menulis nota. Aktiviti sebegini akan dapat mengelakkan kita merasa bosan dan tertekan. Aktiviti sebegini tidak dapat kita lakukan jika belajar secara bersendirian. Kesimpulannya, Belajar secara berkumpulan banyak memberi kebaikan kepada kita kerana ia merupakan kaedah belajar yang sihat dan dapat membantu kita mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. 30
Search
Read the Text Version
- 1 - 30
Pages: