Important Announcement
PubHTML5 Scheduled Server Maintenance on (GMT) Sunday, June 26th, 2:00 am - 8:00 am.
PubHTML5 site will be inoperative during the times indicated!

Home Explore REALITI MENYINGGAH DI TAHUN 2020 (COMPLETE MANUSCRIPTS)

REALITI MENYINGGAH DI TAHUN 2020 (COMPLETE MANUSCRIPTS)

Published by Fateh Haa, 2020-12-28 13:48:15

Description: REALITI MENYINGGAH DI TAHUN 2020 (COMPLETE MANUSCRIPTS)

Search

Read the Text Version

Saya sangat menikmati setiap hari berpuasa dengan kehadiran keluarga di sisi. Setiap hari pada pukul 5.00 pagi, kami sekeluarga akan bangun dan bersahur bersama, dan apabila tiba waktu berbuka kami akan duduk bersama dan menjamu selera hidangan berbuka yang dihidangkan oleh ibu saya. Pelbagai jenis juadah yang disediakan oleh ibu saya sepanjang bulan Ramadhan. Ada juga menu juadah yang ibu saya sediakan buat pertama kali dan akan ada hari di mana saya akan menolong ibu saya untuk membuat juadah tambahan seperti kuih muih dan pemanis mulut. Antara gambar lauk berbuka selama 30 hari berpuasa yang saya muat naik di Instagram Story 24 Mei 2020 1 Syawal. Berakhirnya bulan Ramadan, hadirnya bulan Syawal. Tidak dinafikan bulan Syawal merupakan bulan yang dinanti-nantikan selepas bulan Ramadan. Setiap tahu kemeriahan sambutan bulan Syawal dapat dirasai seawal 2 minggu terakhir sebelum tamatnya bulan Ramadan. Orang ramai akan mengunjungi pusat-pusat membeli belah dan kedai pakaian untuk membeli keperluan untuk menyambut hari raya Aidilfitri seperti baju 51

raya, kuih raya, perhiasan rumah dan sebagainya. Tidak dinafikan tahun ini dapat dirasai perbezaannya dimana tiada kemeriahan seperti selalu dirasakan pada tahun ini kerana semua orang harus kekal duduk di rumah tanpa boleh untuk keluar sesuka hati untuk mengelakkan penularan virus coronavirus ini terus berleluasa. Saban tahun keluarga saya pasti akan pulang ke kampung halaman sama ada kampung di Jerteh, Terengganu atau kampung di Bidor, Perak apabila menjelang hari perayaan. Menurut perancangan, tahun ini sepatutnya kami beraya di kampung belah ibu saya iaitu di Jerteh namun hasrat itu tidak dapat ditunaikan. Meskipun terpaksa beraya di rumah sendiri di Selangor, namun kami tidaklah berasa terlalu kekok kerana ini merupakan kali kduan keluarga kami tidak pulang ke kampung dan beraya di rumah sendiri. Sejujurnya, dapat dirasakan beraya di kampung dengan susasana kampung dan ramai sedara mara jauh lebih meriah berbanding dengan beraya di rumah sendiri bersama ahli keluarga terdekat. Foto Raya bersama keluarga & adik beradik Pagi 1 Syawal itu, kami bersiap-siap di awal pagi dengan memakai baju baru sama seperti raya biasa. Cuma perasaan itu agak lain, mungkin lebih tepat terasa sayu. Juadah pagi raya juga ibu saya sediakan seperti rendang, nasi impit dan kuah kacang untuk merasai 52

kemeriahan pagi raya. Kemudian, kami mula melaksanakan solat sunat hari raya Aidilfitri bersama-sama di ruang tamu. Alhamdulillah, usai menunaikan solat sunat, kami bersalam- salaman dan bermaafan. Selepas itu, kami bergambar bersama untuk kenang-kenangan dan kami menikmati juadah raya yang disediakan. Sempat juga kami bervideo call bersama keluarga seperti dengan atuk, nenek, ibu saudara dan sepupu. Hari raya kedua, keadaan kembali seperti biasa. Selepas beberapa minggu, semua rutin kembali seperti biasa dan kami juga sama seperti orang lain, menunggu keputusan dan update terbaharu dari pihak kerajaan berkaitan perintah kawalan pergerakan. Dengar khabar waktu itu, kebanyakan sektor pekerjaan sudah dibenarkan untuk beroperasi termasuk ibu bapa saya. Mereka sudah mula kembali berkhidmat di tempat kerja masing-masing setelah diberikan cuti hampir 4 bulan. Saya pula kembali semula dengan kelas online dan memasuki kuliah penggal kedua. Kerja yang diberikan juga semakin banyak yang mana melibatkan banyak tugasa, perbincangan bersama rakan, dan juga test. Meskipun, hari semakin hari dirasakan semakin sukar untuk ditempuh namun saya masih menguatkan diri untuk terus berjuang dan berusaha untuk belajar. Hal ini kerana saya yakin, bukan sahaja saya seorang yang berasa susah namun semua insan yang bergelar pelajar pasti mengalami perkara yang sama. Begitu juga dengan pensyarah yang bertungkus-lumus untuk mencurahkan ilmu dan menggunakan pelbagai inisiatif untuk membantu para pelajarnya untuk menimba ilmu dalam norma baru ini. 16 Jun 2020 Ambil barang di kolej Puncak Perdana. Dek kerana perkara yang tidak dirancang ini, pelajar kolej meninggalkan barang-barang mereka di kolej dan segera pulang ke rumah. Setelah hampir 3 bulan berlalu, keluar arahan dari pihak kolej untuk mengambil semula barang- barang di kolej masing-masing mengikut giliran nama dan tarikh yang telah ditetapkan. Giliran nama saya ditetapkan pada hari ini, bersamaan hari Selasa jam 10.00 - 10.30 pagi. Abah mengambil cuti pada hari tersebut untuk menghantar saya ke kolej untuk menga mbil semua barang keperluan saya. Sesampai di hadapan pintu kolej, kami perlu mengikuti segala 53

peraturan dan prosedur yang ditetapkan dalam tempoh tersebut iaitu dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Usai mengemas barang, kami pulang sebelum pulang sempat untuk saya bertemu dengan roommate saya waktu itu yang kebetulan mempunyai giliran masa yang sama. 19 Julai 2020 Semester 4 tamat. Alhamdulillah, tamat sudah semester 4 setelah hampir 5 bulan belajar dan mengharungi cabaran dengan keadaan baru. Saya bersyukur kerana saya masih mampu menamatkan semester 4 dengan jayanya. Tidak dinafikan, ada pelajar yang pasti mengalami tekanan dan ada juga yang depression kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru dan terpaksa bergelut dengan masalah seperti sukar mendapatkan capaian internet dengan baik dan sebangainya. Hari ini adalah hari pertama cuti semester. Hari terakhir adalah hari jumaat yang lalu dimana saya mengambil ujian terakhir bagi subjek pengurusan sistem maklumat IMS552. Sebulan kemudian, pada hari jumaat bersamaan 18 September 2020 keputusan peperiksaan untuk semester 4 telah keluar dan saya bersyukur dengan keputusan yang telah saya peroleh, Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi. 31 Julai 2020 1 Zulhijjah. Kami pulang ke kampung halaman di Terengganu untuk menyambut hari raya Aidiladha. Tidak dapat digambarkan perasaan ketika itu setelah beberapa bulan berkurung dan hanya duduk di rumah, buat pertama kalinya kami dapat keluar dan pulang ke kampung. Ramai orang mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing memandangkan mereka tidak dapat beraya pada Aidilfitri yang lalu. Hal ini telah menyebabkan jalan raya begitu sesak menuju ke arah pantai timur. Ayah saya mengambil keputusan untuk singgah dan bermalam di sebuah resort di Bukit Tinggi, Pahang. Keesokan paginya, kami meneruskan perjalanan kami. 54

Sesampai sahaja di kampung, jelas terpancar kegembiraan di wajah atuk dan nenek saya di kampung melihat kepulangan kami dan keluarga yang lain. Ibadah korban pada tahun ini juga berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, dimana tidak dibenarkan untuk berkumpul beramai-ramai di satu tempat dan perlu mematuhi SOP. 22 Ogos 2020 Balik kampung di Perak sempena cuti Awal Muharram. Ayah saya mengambil kesempatan cuti kali ini untuk pulang ke kampungnya di Perak. Hanya kami berempat yang ada masa itu yang terdiri ayah saya, ibu saya, saya dan adik lelaki saya yang bongsu memandangkan waktu itu dua lagi adik saya masih terkandas di tempat belajar mereka. Sempena cuti awal Muharam itu, kami sekeluarga menziarahi rumah datuk saudara saya yang kami panggil Tok Cu. Lama benar rasanya tidak bertemu dengan mereka. Kami pergi menziarahi selepas solat zuhur dan seterusnya pulang pada sebelah petang. Dapat juga tahu keadaan terkini mereka dan berbual sesama mereka. Suafoto bersama adik lelaki bongsu saya di hadapan rumah TokCu 6 September 2020 Hantar Angah ke UMT. Setelah genap seminggu adik perempuan saya, Angah pulang ke rumah sempena cuti pertengahan semester, tiba masa untuk kami menghantarnya pulang ke 55

kolej kediamannya semula untuk meneruskan perjuangannya dalam menuntut ilmu. Pada hari Jumaat pagi bersamaan 4 September 2020, kami pulang ke kampung nenek saya terlebih dahulu sebelum menghantar Angah dua hari selepasnya. Pada hari Ahad, kami menghantar semula Angah ke UMT. Selepas itu kami mengambil peluang untuk merasa menaiki kereta kuda yang terdapat tidak jauh dari kawasan UMT. Sungguh, ini kali pertama buat saya menaiki kereta kuda. Kami berempat menaiki kereta kuda hampir 10 min dengan bayaran RM5 seorang. Selain itu, kami juga bersiar-siar di kawasan berdekatan tetapi masih mematuhi SOP dan memakai pelitup mulut. Kenangan menaiki kereta kuda di Terengganu 4 Oktober 2020 Ahad, mengikut perancangan sebenar saya sepatutnya mendaftar kolej pada hari ini. Segala persiapan telah saya lakukan seperti mengemas barang untuk dibawa ke kolej, membayar yuran dan melengkapkan segala dokumen. Namun begitu, keluar pula arahan terbaru bahawa pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi tidak perlu pulang ke kampus masing- masing dan pembelajaran secara atas talian masih diteruskan seperti semester sebelum ini. Tiada kelas bersemuka juga untuk semester yang akan datang. 56

12 Oktober 2020 Semester baru bermula. Hari ini merupakan hari pertama untuk semester baru. Sedar tidak sedar saya sudah berada di semester yang kelima. Hanya tinggal dua semester lagi sebelum saya menjalani latihan industri. Rasa seperti baharu saja saya mendaftar untuk semester pertama, pantas sungguh masa berlalu. Hari pertama semester kali ini tidaklah sekalut seperti semester lepas, semua pelajar dan pensyarah juga sudah terbiasa dengan kaedah atas talian ini. Pelajar sudah awal-awal lagi mereka kumpulan Whatsapp dan menjemput pensyarah mereka dengan lebih awal sebelum kelas bermula untuk memudahkan urusan pembelajaran. Untuk semester ini saya mengambil sebanyak 7 subjek. Jadual saya pula bermula hari isnin sehingga hari khamis, dan tiada kelas pada hari jumaat, sabtu dan ahad. 14 November 2020 Cuti perayaan Depavali. Tiada aktiviti luar seperti balik kampung atau keluar berjalan, sebaliknya saya hanya berada di rumah dsn melakukan rutin harian seperti biasa. Pada cuti kali ini, ayah saya pulang ke kampung Terengganu dengan kebenaran pihak polis untuk tujuan mengambil adik perempuan saya yang terkandas di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak PKPB dilaksanakan di Selangor. Itu merupakan kali pertama ayah saya memandu jauh seorang diri, ibu dan saya agak risau. Setiap perhentian, ayah saya akan update keberadaannya supaya kami tidak risau. Pada Jam 3 petang, ayah saya menghantar gambar melalui aplikasi whatsapp bahawa beliau sudah selamat sampai, barulah kami berasa lega. Saya pula melakukan kerja-kerja rumah seperti biasa seperti mencuci, menjemur dan melipat pakaian, mencuci pinggan dan mengemas rumah apa yang patut. Selain itu, menjadi rutin saya juga untuk menggunakan waktu hujung minggu dan cuti seperti ini untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah seperti assignment dan kerja-kerja lain. 57

30 November 2020 Cuti Midsem bermula. Setelah 7 minggu berhempas pulas dan kepenatan, satu minggu cuti pertengahan semester diberikan. Saya mengisi hari-hari pertama cuti midsem ini dengan mengecat dan mengemas bilik saya. Saya memilih warna ungu lembut untuk dinding bilik saya dan membeli sedikit kelengkapan untuk bilik saya seperti meja belajar untuk keselesaan saya dan adik saya memandang sesi ODL masih panjang tempohnya. Selepas dua hari, bilik saya selesai dicat dan diubah. Semuanya dilakukan sendiri oleh saya dan adik perempuan saya. Hasilnya kami sangat berpuas hati kerana kami telah meluangkan masa dan tenaga mengikut selera kami berdua. Seterusnya, saya juga meluangkan masa dengan menonton video di Youtube, menonton drama Korea dan meluangkan masa bersama keluarga saya Keadaan ruang belajar dalam bilik saya yang telah digubah dan dicat baru 7 Disember 2020 Cuti pertengahan semester tamat, sesi pembelajaran penggal kedua bermula. Kelas bermula seperti biasa. Tiada perkara baru yang berlaku hanya rutin seperti kebiasaannya. Setelah dua hari kelas penggal kedua berlalu, saya menjalani speaking test untuk subjek EWC 663. Saya dan ahli kumpulan saya perlu berbincang seolah-olah kami melakukan informal meeting. Saya bersama ahli kumpulan saya yang lain iaitu Fatihah, Syahidah, Hamidah, Farhana dan 58

Suzikah melakukan ujian tersebut melalui Google Meet dan dinilai oleh pensyarah kami iaitu Madam Rosza. Tidak tahu kenapa pagi itu Wifi di rumah saya tidak berapa elok rangkaiannya. Namun saya masih bersyukur kerana “meeting” tersebut masih berjalan lancar dan memperoleh markah masing-masing. Begitulah sedikit sebanyak rutin dan pengalaman yang saya hadapi semasa musim PKP dan ODL berlansung. Ada manisnya dan ada pahitnya, kadangkala dirasakan semua perkara berjalan lancar, namun adakalanya juga perkara itu terasa berat untuk digalas. Namun mahu tidak mahu saya harus juga menghadapinya dengan tenang dan secara profesional kerana bukan saya sahaja yang susah tetapi lebih ramai orang lain yang lebih susah dan tidak saya ketahui jenis kesusahannya. Sehingga kini, perkara yang saya sebutkan seperti diatas masih menjadi rutin saya setiap hari memandangkan sekarang kita masih lagi dalam tempoh PKP dan ODL. Disebalik kepayahan yang dihadapi, ada banyak juga kebaikan jika kita pandang dari sudut yang positif. Di waktu PKP ini lah sebenarnya masa untuk kita eratkan hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga. Saya sedar jika sebelum ini jarang untuk kami bersama - sama. Tetapi dengan adanya PKP dapat saya rasakan banyak masa yang dapat saya luangkan bersama mereka. Saya dapat makan bersama-sama mereka, dapat menonton televisyen bersama malah banyak perkara yang kami bualkan bersama-sama. Di musim PKP juga banyak perkara baru yang boleh kita cuba dan mungkin kita akan lebih sedar akan bakat kita terhadap sesuatu perkara. Jika pandangan untuk ODL pula, saya sedar satu perkara yang mana saya dapat melihat kesusahan para pensyarah bertungkus lumus untuk mencurahkan Ilmu sedaya upaya mereka meskipun saya tahu pastinya mereka juga struggle dengan keluarga, mungkin anak kecil dan kerja rumah yang menanti. Namun mereka masih tetap gigih untuk berkongsi ilmu dan mengajar meskipun tidak dapat bersemuka. Banyak yang saya boleh ambil iktibar dan bermuhasabah diri untuk terus positif dan bersykur. Benar, tahun 2020 bukanlah tahun yang mudah untuk kita semua dan tidak seperti yang kita jangkakan. Namun percayalah, sesuatu yang lebih baik pasti menanti dan berpegang 59

teguhlah kepada-Nya. Semoga kita semua sentiasa berada dibawah lindungan Yang Maha Esa dan mampu mengharungi dugaan ini. Doa saya, semoga virus Corona ini segera terhapus dengan izin-Nya dan segala kehidupan dapat dipulihkan dan kembali kepada asal. InshaAllah, Amin. 60

61

TAJUK: LIKU TANPA NOKTAH PENULIS/ILUSTRASI: NADZARIZAH BINTI SENIN 62

LIKU TANPA NOKTAH Aku memulakan semester baru seperti biasa, sudah semestinya aku berasa sangat teruja untuk menghadiri kuliah. Pada masa ini aku tidak berasa bimbang kerana pada awal- awal minggu pengkuliahan kes Covid-19 di Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan. Hari bersilih ganti tanpa sedar kes semakin meningkat dan meruncingkan, sehingga pihak Universiti mengambil keputusan untuk menangguhkan minggu pengkuliahan para pelajar. Keputusan ini dibuat adalah untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Pada petang itu semua pelajar yang masih berada di kolej telah di arahkan untuk berkumpul di setiap blok masing-masing untuk mengetahui jumlah pelajar yang akan balik pada petang itu, esok dan hari seterusnya. Kami sepatutnya perlu mengosongkan bilik pada petang itu akan tetapi tiket penerbangan aku untuk balik ke Sarawak adalah pada 18 March 2020, aku mengambil keputusan untuk keluar dari kolej pada hari tersebut bersama- sama dua lagi rakan aku iaitu Karine dan Iqa. Setelah selesai perjumpaan di setiap blok aku kembali ke bilik untuk mengemas segala barang yang aku ingin bawa balik pada esok hari. Kerisauan jelas terbuku dihati ketika aku mengingat kembali kata-kata staf residen kolej yang mengarahkan kami untuk mengosongkan kolej, aku cuba menyedapkan hati walaupun perkara ini sering bermain di minda kecil aku. Selepas selesai mengemas barang aku berehat dibilik sebelum melelapkan mata, aku perlu tidur awal kerana aku akan berangkat dari kolej ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada awal pagi. Sebelum tidur aku bersama-sama dua lagi rakan aku membuat panggilan di whatsapp disebabkan berlainan blok dan aras, kami berbincang mengenai perjalanan kami pada esok hari. Kami bertiga bersepakat untuk berkumpul di blok aku iaitu blok 2 disebabkan blok aku tidak berapa jauh dari pagar hadapan kolej. Setelah selesai 63

membuat panggilan aku ingin tidur tetapi alangkah terkejutnya aku apabila mendengar pengumuman bahawa pagar hadapan kolej akan ditutup pada malam itu. Tanpa berfikir panjang aku terus bangkit dari pembaringan dan menghubungi dua orang rakan aku untuk bersiap dan keluar dari kolej. Dalam keadaan tergesa-gesa aku bersiap dan memeriksa kembali tiket penerbangan aku agar tidak tercicir, sebelum meninggalkan bilik aku menutup semua tingkap dan pintu lalu bergegas turun ke bawah bagai lipas kudung. Waktu ini hanya Tuhan sahaja tahu bagaimana aku rasa. Setelah sampai di bawah blok aku menunggu dua orang rakan aku untuk sama-sama keluar dari kolej pada malam itu, dari kejauhan aku nampak susuk tubuh Iqa yang menuju kearah blok aku dan pada masa itu kami berdua hanya menunggu Karine untuk turun. Setelah beberapa minit karine pun turun ke bawah dengan beg di belakang, bagasi dan mesin pencetak dia. Kami bertiga memulakan perjalanan dengan langkah yang pantas. Pada awalnya aku fikir cuma kami yang berebut untuk keluar dari kolej, rupa-rupanya banyak juga pelajar lain yang sudah pun berada di hadapan kolej pada masa itu. Oleh kerana terlalu panik kami tidak menghiraukan pelajar lain yang turut berada di situ, dalam fikiran kami hanya ingin keluar dari kolej. Malangnya pintu hadapan kolej sudah pun di tutup oleh polis bantuan yang bertugas pada malam itu. Setelah melihat pintu itu tertutup kami terus meminta kebenaran polis bantuan untuk membenarkan kami keluar dari kolej tetapi mereka tidak dapat membuat apa-apa kerana mereka hanya mengikut arahan untuk tidak membenarkan pintu kolej di buka dan membenarkan kami keluar. Selepas mendengar apa yang dikatakan oleh petugas itu salah seorang dari kawan aku menangis dan di ikuti pula dengan seorang lagi dan akhirnya aku pun menangis bersama-sama mereka di hadapan petugas itu. Aku rasa menyesal kerana tidak mengosongkan bilik lebih awal, kalau aku tahu perkara sebegini berlaku sudah semestinya aku akan keluar lebih awal. Kami cuba menenangkan diri antara satu sama lain agar dapat bertenang, kami berasa sangat buntu pada waktu itu kerana tidak menyangka akan terjadi sebegini, perkara ini terlalu pantas berlaku sehingga tak terfikir dek akal kami. Setelah penat berdiri di hadapan 64

kolej kami duduk di gazebo. Kami masih tidak berganjak dari depan kolej kerana pada masa itu kami benar-benar ingin keluar dari kolej untuk pergi terus ke lapangan terbang. Bukan sahaja kami yang menunggu di situ bahkan banyak lagi pelajar lain yang masih setia menunggu seperti berharap ada keajaiban yang berlaku. Walaupun sudah jelas dinyatakan dalam berita bahawa sekatan jalan sudah mula di jalankan pada malam itu kami tetap berharap dapat keluar dari kolej. Seperti sedia maklum pada mula-mula perintah kawalan pergerakan dijalankan di seluruh Malaysia, ia amatlah ketat dan melumpuhkan segala aktiviti ekonomi, sosial dan sebagainya. Ada kemungkinan pemandu grab tidak akan mengambil penumpang langsung disebabkan pengumuman perintah kawalan pergerakan. Berikutan pengumuman khas Perdana Menteri mengenai perintah kawalan pergerakan, polis bantuan menyatakan bahawa ibubapa juga tidak dibenarkan membawa anak -anak balik, aku tahu polis bantuan terpaksa berbuat demikian untuk mengambil langkah berjaga- jaga demi keselamatan semua dan mereka hanya menjalankan tugasan yang diberikan. Aku turut merasa kesian kepada ibubapa yang sudah datang dari jauh untuk mengambil anak mereka, jelas terpancar keletihan di wajah mereka, demi anak mereka sanggup meredah jalan hingga malam untuk sampai ke kolej mengambil anak-anak. Setelah beberapa jam menunggu di gazebo kami diberikan sedikit kelonggaran jika mahu keluar dari kolej iaitu hanya ibubapa dan saudara mara boleh mengambil para pelajar. Kawan aku cuba menghubungi ibubapanya untuk bertanyakan sama ada dapat atau tidak dia menetap di rumah saudaranya yang berada di Semenanjung dengan syarat saudaranya mestilah berada di kawasan zon hijau dan apabila sudah keluar dari kolej untuk ke rumah saudara mara, pelajar tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam kolej kembali. Ini adalah untuk mengekalkan keselamatan semua pelajar yang masih berada di kolej. Aku berkata kepada kawan aku, “Jika kamu berdua nak ke rumah saudara mara pergilah, saya akan tinggal di sini sahaja”. 65

Iqa “kesianlah kalau kau tinggal di kolej bahkan aku dan Karine pergi ke rumah saudara mara, kalau begitu ikutlah sekali” Aku “saya takut menyusahkan keluarga awak” Aku kembali senyap, aku berasa sedikit sedih kerana tidak mempunyai saudara mara yang tinggal di semenanjung untuk mengambil aku, aku reda jika kawan-kawan aku pergi ke rumah saudaranya kerana aku tahu itu adalah hak mereka. Aku berasa lebih selesa jika tinggal di kolej berbanding menumpang di rumah saudara kawan aku, lagi-lagi aku tidak pernah bersua muka dengan keluarganya. Jika tinggal di hostel aku bebas melakukan apa sahaja tanpa berasa janggal dan malu. Walau bagaimanapun mereka belum membuat apa- apa keputusan muktamad sama ada mahu menumpang di rumah saudara atau tinggal di hostel. Aku masih termangu di situ memikirkan apa yang perlu aku lakukan agar dapat keluar dari kolej. Aku masih tidak berputus asa kerana keinginan aku kuat untuk pulang ke pangkuan keluarga aku, aku menyatakan hasrat untuk balik kepada kawan-kawan aku dan mereka juga mempunyai hasrat yang sama. Setelah berbincang kami berpakat untuk meminta kebenaran keluar dari kolej kepada pengetua kolej, aku tahu hanya itulah satu-satunya cara agar kami dapat keluar dari kolej dalam kadar segera. Kiranya masih ada peluang untuk kami keluar dari kolej kerana penerbangan kami pada esok pagi, kami boleh saja meminta kebenaran polis bantuan untuk bercakap dengan pengetua kolej mengenai penerbangan kami. Kemungkinan besar kami mempunyai peluang yang amat cerah untuk keluar dari kolej pada malam itu. Aku bermonolog sendiri di dalam hati “Huh takut juga aku hendak meminta kebenaran pengetua kolej”. 66

Di dalam berani ada ketakutan untuk berbicara dengan pengetua kolej kerana beliau seorang yang tegas. Kami masih setia menunggu, pada masa ini hanya pengawai yang bertugas di hadapan pagar mengawasi kami, pengetua sedang sibuk menguruskan perkara penting. Sewaktu berada di gazebo seorang kawan lelaki aku iaitu Azmi tiba-tiba datang dan mengatakan bahawa penerbangannya pada keesokkan hari telah dibatalkan. Kami bertiga terkedu apabila mendengar perkhabaran yang di sampaikan oleh Azmi. Key terus memeriksa perjalanan kapal terbang yang kami gunakan esok di telefon. Aku berasa lega kerana penerbangan kami tidak di batalkan, kelegaan itu tidak lama apabila penerbangan kami turut di batalkan setelah beberapa minit kemudian. Dugaan apakah ini? Kami bertiga hanya mampu berpandangan antara satu sama lain kerana sudah tidak mampu berbicara. Harapan kami yang tadinya cerah bertukar gelab apabila penerbangan kami turut dibatalkan oleh agensi penerbangan berikutan pandemik Covid-19 ini, saat ini fikiran aku sungguh bercelaru setelah menerima segala maklumat dalam masa yang cukup singkat. Aku belum habis menghadam satu perkara yang sedang aku lalui tiba-tiba muncul pula perkara lain yang membuatkan fikiran aku jadi kosong sekosongnya. Pembatalan tiket penerbangan secara mengejut ini merugikan kami, ada di antara mereka membayar tiket penerbangan pulang dengan harga 800 ke atas. Sewaktu aku membeli tiket penerbangan 3 hari sebelum penerbangan, harganya masih berpatutan akan tetapi setelah kes Covid-19 semakin meningkat dan di umumkan akan mengadakan perintah kawalan pergerakan, agensi penerbangan menaikkan harga tiket penerbangan secara mendadak. Aku berasa sangat bersimpati akan nasib pelajar itu, dia telah membayar mahal dan akhirnya tidak dapat balik ke rumah. Bukan hanya tiket penerbangan merugikan pelajar bahkan tiket bas yang di beli oleh pelajar yang berada di semenanjung juga turut terkena tempias. Walaupun mereka balik menggunakan bas dan hanya beberapa jam sahaja di dalam bas, pelajar yang berasal dari semenanjung tetap juga tidak di benarkan untuk balik. Kalau tidak silap aku bas pun tidak 67

beroperasi pada masa itu, tujuan ia tidak beroperasi adalah bagi mengelakkan Covid-19 berleluasa. Seperti kita tahu bas amat penuh dan puluhan manusia yang menaiki bas duduk tanpa jarak sama sekali. Aku rasa tidak ada gunanya aku menunggu di gazebo, aku mengajak Iqa dan Karine untuk balik ke bilik kerana pada masa itu jam menunjukkan pukul 2.13 pagi. Kami tidak terus balik ke bilik bahkan kami duduk di kerusi yang berada di bawah blok 2. Kami bertiga hanya mampu mengenang nasib apabila duduk bersama, masih sukar untuk kami menerima semua yang berlaku. Pemandangan di blok J2 Kepala aku tidak berhenti berdenyut memikirkan banyak perkara. Aku cuba menghirup udara segar untuk mendapatkan ketenangan walaupun otak aku tengah bercelaru dan berperang antara satu sama yang lain. Setelah aku berada dalam keadaan baik dan tenang aku hendak naik ke atas untuk berehat. Oleh kerana hari sudah lewat malam, aku mempelawa Iqa dan Karine untuk menumpang di bilik aku sementara menunggu esok. Selepas menukar pakaian dan bersiram, aku mengangkat katil untuk dihamparkan di sudut ruang tamu bagi kegunaan dua orang rakan aku. Aku bersama dua orang rakan aku tidur di luar kerana kipas di bilik aku mempunyai sedikit masalah, jadi kami semua tidur 68

di luar dengan ditemani kegelapan malam yang begitu meresahkan aku. Kami tidak bercakap banyak kerana tenaga kami seperti hilang di pukul ombak yang amat besar dan keletihan. Aku masih berkira-kira untuk memberitahu ayah aku bahawa tiket penerbangan aku dibatalkan berikutan hari sudah larut malam. Aku nekad untuk memberitahu ayah pada esok hari, aku tidak mahu merisaukan ayah dan keluarga aku. Aku tidak tahu apakah reaksi ayah apabila aku memberitahunya nanti. Ahh kusutnya! Oleh kerana keletihan Iqa dan Karine terlena dulu bahkan aku masih terjaga sambil melayari internet. Aku berasa susah untuk melelapkan mata walaupun aku sudah cuba memejamkan mata, mata aku tetap tidak mahu terlelap. Setelah bersusah payah akhirnya aku terlena, aku terlena dengan penuh kesedihan, keresahan, kerisauan dan kekecewaan. Apabila aku terbangun dari tidur, aku terus memaklumkan kepada ayah bahawa aku tidak dapat balik disebabkan penerbangan aku dibatalkan dan tidak dibenarkan keluar dari kolej. Ayah aku pun agak terkejut mendengar perkhabaran ini kerana pada hari ini dia telah mengambil cuti untuk menyambut kepulangan aku. Ayah aku berkata “Ayah pun tidak dapat berbuat apa-apa kakak, perintah kawalan pergerakan dah dilaksanakan. Apapun jangan tidur berseorangan dan jaga diri”. “Baiklah ayah”. Ya memang betul apa yang ayah aku katakan, dia tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu aku pulang ke sana berikutan arahan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara. Disaat ini aku masih tidak dapat menerima apa yang telah berlaku walapun aku tampak tenang. Kalau orang lain lalui pun mungkin mereka akan merasa benda yang sama 69

seperti mana yang aku rasai kini, aku perlu mengambil masa untuk menerima semua yang terjadi. Sepatutnya pagi ini aku sudah bersiap-siap untuk berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tipulah kalau aku tidak membayangkan betapa gembiranya keluarga aku menanti kepulangan aku, mungkin kali ini nasib tak menyebelahi aku dan pelajar lain. Maka bermulalah perjalanan aku di kolej bersama-sama pelajar lain. Aku, Iqa dan Karine membuka laman web pernerbangan yang kami gunakan untuk meminta bayaran balik tiket penerbangan kami. Kami bertiga hanya mencuba nasib, kalau ada bayaran balik dapat jugalah digunakan untuk membuat penerbangan pada masa akan datang. Iqa dan Karine balik ke bilik masing-masing untuk menghantar barang-barang mereka. Pada petang itu, kami membuat keputusan untuk memesan makanan kerana semalam kami tidak sempat menjamah apa-apa makanan. Kami bersyukur kerana ada beberapa senarai kedai yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelajar yang terkandas. Antaranya ialah planet hijau, kami menghubungi pekerja kedai itu untuk memesan makanan berikutan kami tidak dapat keluar ke mana-mana. Kami bertiga menunggu pekerja di planet iijau menghantar makanan yang telah kami pesan. Kami makan bersama-sama di Gazebo sambil menghirup udara petang. Selesai sahaja makan kami tidak terus balik ke bilik, kami berborak bermacam-macam perkara terutamanya mengenai tiket penerbangan. Sebelum kami membeli tiket untuk balik pada 18 March. Kami bertiga sebenarnya sudah membeli tiket penerbangan lain untuk balik ke Sarawak, tujuan kami membeli tiket penerbangan tersebut adalah untuk menghadiri majlis istiadat konvokesyen di UITM Kota Samarahan pada awal bulan April. Aku berasa agak terkilan, bayangkan aku sudah pun menjelaskan bayaran baju konvo aku sebelum penangguhan konvo di umumkan. Nasib baiklah aku tidak terfikir untuk membeli baju konvo yang akan aku guna awal-awal, kalau tidak sia-sia sajalah aku membuat persiapan awal. Duit kami hanya di habiskan membeli tiket penerbangan sahaja, mungkin ini adalah salah satu dugaan yang perlu di tempuh oleh aku dan pelajar yang belajar di perantauan. 70

Salah seorang dari kawan aku ingin tidur di bilik kerana tidak selesa dan berasa takut untuk tidur berseorangan. Aku cukup kenal dengan kawan aku yang penakut dan suka berimaginasi macam-macam perkara oleh sebab itu aku tidak menolak permintaannya untuk tidur di bilik aku dan boleh juga menjadi teman aku berbual-bual. Pada waktu siang dia akan ke biliknya sendiri dan malam baru lah dia akan ke bilik. Pihak kolej membuat persiapan dan perancangan untuk menyediakan makanan kepada semua pelajar. Kira-kiranya kalau pihak kolej menyediakan makanan dapatlah aku mengurangkan dan menjimatkan perbelanjaan aku di sini. Aku masih ingat lagi pada masa ini kami tidak dapat mengambil sebarang duit di mesin ATM, pihak bank tidak mengisi duit walaupun telah di hubungi oleh Majlis Perwakilan Pelajar yang menguruskan kami. Pada awal pengkuliahan aku bertekad untuk menabung setiap hari dan aku berasa lega kerana segala simpanan aku dapat gunakan untuk membeli keperluan asas yang kian habis. Bahkan masa itu aku dapat lagi meminjamkan duit aku kepada kawan aku, dia tidak mempunyai wang saku yang cukup untuk membeli barang dan tidak sempat untuk mengambil duit. Aku tidak sabar untuk mengetahui adakah perintah kawalan pergerakan akan di tamatkan atau dilanjutkan pada 31 March, pahitnya terpaksa aku telan apabila perintah kawalan pergerakan di lanjutkan lagi hingga 14 April dan begitu juga minggu-minggu yang seterusnya. Perlahan-lahan aku cuma menerima hakikat dan tidak mengambil tahu sangat mengenai perkembangan di media sosial, berkemungkinan aku akan mendapat masalah mental jika aku terus tidak menerima hakikat dan asyik mempersoal itu dan ini. Aku cuba bangkit dari perasaan putus asa, kecewa dan pelbagai perasaan ketika itu, aku perlu teruskan perjuangan walaupun banyak rintagan di hadapan mata. Aku cepat-cepat menyedarkan diri aku dari terus hanyut dalam perasan yang tidak sepatutnya. 71

Hari silih berganti aku cuba membiasakan diri dengan keadaan ini. Oleh kerana kelas pembelajaran jarak jauh dalam talian (ODL) tidak lama lagi akan bermula. Aku cuba mengosongkan minda dari terus berfikir tentang perkara yang tidak penting. Aku memulihkan semangat dengan mendengar nasihat yang disampaikan di media sosial, sokongan dari keluarga, pensyarah dan rakan-rakan. Setiap hari juga aku positifkan diri dari segala macam perkara agar aku berjaya memulihkan semangat kerana dalam fikiran aku masa itu, kalau aku tak memulihkan semangat aku tidak akan dapat menumpukan perhatian dalam kelas walaupun kini semua pelajar menggunakan pembelajaran atas talian. Kelas bermula dengan baik. Sesi pembelajaran berjalan dengan lancar dari hari ke hari dan terdapat beberapa orang pelajar juga tidak dapat mengakses pembelajaran atas talian berikutan masalah talian, kuata lemah dan sebagainya. Pembelajaran begini agak sukar bagi aku, aku mengambil masa untuk memahami apa yang telah aku pelajari. Aku lebih suka pembelajaran yang bersemuka dengan pensyarah berbanding pembelajaran atas talian agar lebih cepat faham dan ia tidak melimitkan aku untuk mencari bahan tambahan di perpustakaan. Tapi aku perlu sedar semuanya telah berubah apabila Covid-19 melanda negara. Aku tidak boleh mementingkan diri, lambat atau cepat aku mesti menyesuaikan diri dengan pembelajaran atas talian. Pada semester ini, kami akan menjalankan kelas di waktu bulan puasa. Tinggal beberapa hari lagi umat islam akan menunaikan ibadah puasa, ketika ini aku berasa sedih kerana tidak dapat berpuasa bersama-sama keluarga sedangkan rakan-rakan aku yang lain mempunyai peluang untuk bersahur dan berbuka bersama keluarga tercinta. Mungkin apa yang terjadi ini mempunyai hikmah yang tersembunyi. Aku bersyukur kerana residen kolej, Majlis Perwakilan Pelajar menjaga kebajikan semua pelajar sepanjang keberadaan kami di sana. Setelah beberapa minggu berpuasa kami mengisi banyak form untuk pulang ke tempat asal masing-masing. Aku tidak terlalu berharap ketika itu, sebelum ini kami pernah mengisi dan akhirnya tidak dapat balik berikutan perintah kawalan pergerakan di lanjutkan. 72

Setelah mengisi form berkali-kali, kami di maklumkan bahawa kali ini kami benar-benar akan balik walaupun perintah kawalan pergerakan masih di jalankan. Kami akan mendapat panggilan daripada Majlis perwakilan pelajar bagi memaklumkan tarikh yang sepatutnya kami balik. Pada suatu pagi aku telah mendapat panggilan daripada salah seorang majlis perwakilan pelajar, beliau menelefon aku untuk memberi maklumat terperinci mengenai tarikh dan masa agar aku sedia maklum. Beliau meminta aku untuk mengisi maklumat mengenai nama, alamat dan keberadaan aku bagi mengelakkan pemalsuan maklumat dan memudahkan pihak kolej mengurusakan perjalanan pulang kami. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat pulang kepangkuan keluarga tidak lama lagi. Aku terus memberitahu kepada keluarga aku bahawa tidak lama lagi aku akan balik ke Sarawak. Pada pagi itu, aku cuba bertanya kepada Iqa dan Karine adakah mereka juga mendapat call dan mereka juga mendapat call. Betapa gembiranya kami pada masa itu, penantian kami untuk balik akhirnya terlaksana. Kami bertiga berasa sangat teruja untuk mengemas segala barang yang akan di bawa balik nanti. Aku hanya membawa beberapa helai pakaian, disebabkan aku ingin membawa semua buku yang aku gunakan pada semester ini. Sehari sebelum balik kami di arahkan untuk berkumpul di hadapan J1, pengetua kolej, residen kolej dan kakitangan lain bagi memberikan sedikit taklimat mengenai perjalanan kami pada esok hari. Mereka juga menerangkan mengenai borang pengisytiharan kesihatan dan surat sokongan kebenaran pergerakan balik pelajar secara terperinci dan kemudian barulah borang itu di edarkan kepada kami semua untuk di isi. Setelah selesai mengisi kedua-dua borang itu, kami perlu menghantar balik kepada staff residen kolej untuk di cop oleh pegawai kesihatan UITM dan polis bantuan dan kami dibenarkan untuk bersurai. 73

Taklimat dari Pengetua kolej Aku memeriksa kembali segala dokumen dan barang yang aku perlu bawa esok hari agar tidak tertinggal. Tibanya waktu malam aku sudah awal-awal bersiap kerana kami akan di berikan taklimat akhir, mengambil kembali borang yang telah di cop dan staff residen kolej menyediakan 2 penutup muka dan makanan kepada kami sebelum memulakan perjalanan pada awal pagi. Taklimat akhir sebelum balik Setelah jam menunjukkan pukul 3 pagi kami bertiga turun ke bawah bersama-sama kerana pada masa itu kami menunggu di bilik Iqa yang berada di J4. Aku, Iqa dan Karine memulakan langkah ke J1 untuk menunggu ketibaan bas yang akan membawa kami ke 74

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Pada masa ini hanya kami bertiga orang terawal sampai, selepas setengah jam menunggu barulah ada pelajar lain datang untuk menunggu di situ berserta pengetua kolej, staff residen kolej, polis bantuan dan majlis perwakilan pelajar. Berkumpul di hadapan J1 Apabila bas sudah sampai kami diarahkan untuk berbaris mengikut jarak 1 meter di pintu hadapan kolej. Setelah beg di letakkan di bawah bas aku naik ke atas, pada masa itu sudah ada pelajar dari UITM Puncak Alam di dalam bas. Setiap sorang mesti duduk 1 kerusi dan satu lagi perlu di kosongkan bagi menjaga jarak. Setelah semua pelajar masuk di dalam bas, maka bas pun bergerak terus ke lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur. Berbaris sebelum menaiki bas 75

Kedudukan di dalam bas Sewaktu di dalam bas aku teringat perkara yang melucukan semasa berada di kolej. Antara perkara yang aku tidak dapat lupakan adalah ketika aku, Karine dan Iqa berborak di Gazebo ada sahaja residen kolej atau pegawai polis bantuan berkata “Jaga jarak 1 meter” setiap kali itu juga kami terus cepat-cepat menjarakkan diri antara satu sama lain. Lucunya, pada masa ini kami semua takut akan di saman atau tidak di benarkan berborak di Gazebo lagi. Aku hanya melihat pemandangan di luar bas dengan penuh rasa gembira dan syukur. Sambil melihat pemandangan aku mengingat kembali apa yang telah aku lalui sepanjang berada di kolej. Apabila aku fikirkan balik aku rasa bertuah kerana di berikan ujian sebegini, dari situ aku dapat belajar bersabar, kuat, tabah dan cekal dalam menempuhi dugaan dan cabaran. Sedar tak sedar kami telahpun sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kami menunggu di dalam bas sementara menunggu giliran untuk masuk ke dalam. Kami di arahakn untuk turun dan berbaris di hadapan pintu masuk lapangan terbang. Setelah sampai di dalam kami semua beratur di hadapan kaunter untuk meletak barang di cargo sekaligus mendapatkan tiket penerbangan kami di kaunter tersebut, setelah selesai 76

segala urusan kami arahkan untuk berkumpul dalam satu barisan agar memudahkan mereka menguruskan kami. Pada masa itu aku dan semua pelajar di arahkan untuk mengisi borang di atas talian bagi memasuki Sarawak, selepas selesai mengisi kami perlu membuat tangkapan skrin untuk mengesahkan kami berada di zon merah, zon hijau atau zon kuning di akhir pengisian borang atas talian itu. Aku bersyukur kerana berada di zon hijau, aku tidak perlu di kuarantin di pusat kuarantin tetapi hanya perlu di kuarantin di rumah. Setelah semua selesai menguruskan hal di kaunter kami di arahkan untuk berkumpul di suatu tempat yang berdekatan dengan kapal terbang yang akan kami gunakan pada hari ini. Zon hijau 77

Setelah sejam menunggu kami di arahkan ke tempat pelepasan untuk di periksa oleh pihak imigresen dan sebelum masuk ke dalam kapal terbang kami di berikan surat pengisytiharan kesihatan. Kami perlu mengisi borang tersebut dan perlu diserahkan kepada pihak imigresen apabila tiba di Sarawak. Aku hanya tidur di sepanjang perjalanan kerana aku berasa sangat mengantuk setelah berjaga pada hari sebelumnya. Setelah melalui perjalanan yang jauh, akhirnya kami semua sampai ke destinasi dengan selamat. Selepas keluar dari kapal terbang kami diarahkan untuk berbaris bagi mengetahui kami berada di zon mana dan di lepaskan mengikut zon masing-masing kecuali zon merah, mereka yang berada di zon merah terpaksa di kuarantin di pusat kuarantin. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 78

Borang pengisytiharan Kesihatan Kami berbaris lagi untuk memberikan maklumat kepada Angkatan pertahanan awam Malaysia yang bertugas. Aku menyesahkan borang pengisytiharan kesihatan kepada pegawai imigresen di kaunter dan akhir sekali pihak Angkatan pertahanan awam Malaysia menerangkan mengenai penggunaan wristband iaitu alat digital tracking yang perlu aku gunakan sepanjang kuarantin, selepas memberi penerangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memasangkan terus wristband. Wristband kuarantin 79

Apabila wristband itu dipasangkan dengan rasminya aku mula di kuarantin sehingga 14 hari. Aku terus di bawa balik ke rumah oleh Ayah, aku tidak dapat pergi ke mana -mana lagi kerana aku sudah memakai gelang kuarantin. Setibanya di rumah aku terus membersihkan diri dan mengasingkan diri daripada keluarga aku. Aku tidak boleh makan, tidur dan duduk bersama-sama keluarga aku sepanajng aku di kuarantin walaupun aku di kuaranti di rumah, ia adalah untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku. Aku mendapat panggilan daripada pegawai kesihatan, mereka mengarahkan aku untuk membuat ujian saringan Covid-19 pada hari ke 10 aku di kuarantin. Aku membuat saringan di Kompleks Belia dan Sukan. Aku berasa sangat gementar, takut dan resah sebelum membuat saringan. Aku berasa lega setelah membuat ujian saringan Covid-19, rupa- rupanya tidak rasa sakit sama sekali tetapi ada sedikit gatal saja selepas pegawai kesihatan membuat saringan. Tempat membuat ujian saringan Covid-19 Aku dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambung kuarantin yang berbaki berapa hari saja lagi dan sambil itu aku juga menunggu keputusan ujian saringan covid-19. 18 May 80

merupakan hari terakhir aku di kuarantin, pada masa ini aku hanya menunggu surat pelepasan kuarantin daripada pegawai kesihatan. Setelah menunggu dengan sabar, pegawai kesihatan memberi aku surat pelepasan kuarantin di dalam aplikasi WhatsApp. Ini menandakan ujian saringan aku negatif. Pada masa ini aku tidak sabar untuk membuka gelang kuarantin yang berada di tangan aku. Membuka wristband ini perlu di rakam dan dipotong bagi menandakan aku sudah tamat tempoh kuarantin dan sebagai bukti. Wristband yang telah di potong Sekarang aku boleh bebas makan, duduk bersama keluarga, keluar dan sebagainya. Tetapi aku tetap mempraktikan norma baru di dalam kehidupan seharian aku. Aku sangat berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang menguruskan perjalanan balik kami tidak kiralah secara langsung atau tidak langsung. Tanpa mereka kemungkinan besar aku dan pelajar lain masih terperangkap di kolej sehingga hari raya aidilfitri. Kalau tidak silap aku ada sebahagian pelajar yang dari Sabah masih berada di kolej daan terpaksa beraya di kolej. Segala pengalaman ini mengajarkan aku apa maksud menyakitkan, mendewasakan dan menyedarkan. Melatih aku agar terus kuat apabila berhadapan dengan badai yang 81

mendatang, mendidik aku menjadi seorang yang matang dalam setiap perkara agar tidak cepat melatah dan menyedarkan aku untuk berhadapan dengan hakikat yang sebenar tanpa rasa kental. 82

83

TAJUK: PICISAN KEHIDUPAN PENULIS/ILUSTRASI: NUR FATIHAH BINTI HAMDAN 84

PICISAN KEHIDUPAN PROLOG 2012 Kenapalah kena duduk asrama, tak seronok, tak boleh buat apa yang kita suka. kan best kalau belajar dari rumah je. Mesti pada masa akan datang, pelajar-pelajar belajar dari rumah. Bisik seorang pelajar perempuan bernama Fatihah. 2019 Yeay.. minggu nie “weeks without wall”. Boleh keluar dengan kawan-kawan. Bisik hati Fatihah. 2020 [10.3.2020] Di dalam kelas Pensyarah: Kalau Malaysia “lock down” awak semua kene balik ke kampung masing- masing. Musim-musim sekarang ini, kalau tiada apa-apa kepentingan, elakkan dari pergi ke tempat-tempat sesak macam pusat beli-belah. Bahaya, sebab kita tak tahu siapa yang bawak virus tu. Pelajar: Baik Puan. [16.3.2020] 85

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa seluruh Malaysia akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 bagi menangani peningkatan kes Covid-19 di Malaysia. [17.3.2020] Pada hari ini, ramai ibu bapa yang berdekatan datang mengambil anak-anak mereka yang berada di kolej dan ramai juga pelajar yang telah membeli tiket untuk pulang ke rumah masing-masing. Aku juga turut tidak ketinggalan, ayah aku telah menawarkan diri untuk menghantar aku ke rumah kakak aku di Port Dickson. [18.3.2020] Pagi ini, ayah telah mengambil aku dari kolej dan menghantar aku ke rumah kakak di Lukut, Port Dickson. Walaupun ayah pulang lewat ke rumah pada malam tadi iaitu jam 3 pagi, tetapi ayah tetap mengotakan janjinya untuk menjemput aku pada jam 8 pagi. Sebelum meneruskan perjalanan, ayah bercadang untuk bersarapan di kedai, tetapi malangnya tiada kedai makan yang beroperasi. Mujurlah Pasaraya Giant berada dalam laluan perjalanan kami. Kami gembira, sekurang-kurangnya kami dapat membeli makanan. Keadaan di dalam pasaraya itu agak lengang, mungkin disebabkan waktu pagi. Kebiasaannya pada waktu cuti semester, aku akan tinggal di rumah kakak di Jelebu, Negeri Sembilan. Tetapi pada kali ini, kakak akan menimang cahaya mata sulungnya, jadi dia tinggal bersama suaminya di Lukut dan akan berpantang di sana selama 3 bulan. Aku tidak pulang ke rumah di Kuala Lumpur bersama ayah kerana ayah akan pulang ke kampung di Kelantan pada keesokan harinya dengan menaiki kapal terbang untuk menghadiri majlis pertunangan sepupu aku di sana. 86

BAB 1: LUKUT Kakak merupakan anak sulung dalam keluarga. Jarak umur kami adalah 10 tahun. Hubungan kami agak akrab selepas kakak bekerja. Kakak merupakan seorang Guru Pemulihan di Sekolah Kebangsaan Durian Tipus, Simpang Durian, Jelebu , Negeri Sembilan. Dia tinggal berasingan dengan suaminya atas faktor pekerjaan mereka. Perjalanan dari rumah di Simpang Durian ke Lukut mengambil masa selama 2 jam melalui Bukit Tangga. Jadi, setiap kali cuti semester, aku akan menghabiskan cutiku di rumah kakak di Simpang Durian. Selepas mendengar pengumuman daripada Perdana Menteri Malaysia tentang PKP, aku bercadang untuk duduk di rumah kakak dan suaminya di Lukut di mana kandungannya telah berumur 8 bulan dan kakak bercadang untuk bersalin dan berpantang di sana. Perjalanan dari rumah itu ke Pekan Lukut hanya mengambil masa 3 minit, manakala ke Port Dickson 15 minit, dan ke Seremban 40 minit. Aku sangat seronok untuk berada di sini kerana banyak kemudahan dan berdekatan dengan semua tempat kegemaran aku. Sebagai contoh, “Secret Recipe”, “McDonalds”, “Starbucks”, “Family Mart” dan yang paling penting sekali, pantai. Figure 1: Aku dan pantai 87

Pada PKP fasa pertama, sebelum kelahiran anak saudaraku, kebanyakan masa dihabiskan dengan membantu kakak melaksanakan kerja rumah seperti membersih, mengelap lantai, mengemas rumah dan memasak. Selain itu, aku juga turut menonton cerita kegemaranku. Pada waktu ini , aku masih berasa gembira kerana bakal menikmati cuti panjang namun risau tentang virus Covid-19. Aku masih menganggap bahawa virus ini hanya sementara dan akan pulih dalam waktu yang terdekat. Jadi, aku hanya menikmati cuti tanpa perasaan bimbang. Kemudian, Perdana Menteri mengumumkan PKP fasa kedua yang akan bermula pada 1 April dan berakhir pada 14 April. Aku berasa sangat seronok kerana cuti masih lagi diteruskan dan perkara yang paling seronok adalah apabila tarikh jangka kelahiran anak saudara aku berubah. Pada awalnya, jangkaan kelahiran anak saudaraku adalah pada 16.4.2020, tetapi dia telah dilahirkan pada 6.4.2020. [6.4.2020] Pagi itu, kakak ke klinik untuk membuat pemeriksaan rutin tetapi selepas pemeriksaan dijalankan, kakak diminta untuk menaiki ambulans yang menghantarnya terus ke hospital untuk bersalin dan alhamdulillah kakak telah melahirkan anak pada jam 1.23 petang itu. Tiada siapa yang dibenarkan untuk berada di hospital menemani waima suaminya disebabkan oleh Covid-19. Mujurlah kakak seorang yang berdikari, jadi dia mampu menghadapinya seorang diri. Sewaktu kakak ditahan di wad selama satu malam, abang ipar tidur di rumah kawannya dan aku menunggu kakak di rumah seorang diri dengan perasaan teruja. Kakak ada menghantar gambar bayinya pada malam tersebut menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ yang menjadikan aku tidak sabar untuk melihat bayi yang comel itu pulang ke rumah pada keesokan hari. [7.4.2020] Pada pagi ini, kakak telah pulang ke rumah bersama bayinya. Aku berasa sangat teruja,kerana ini pertama kali aku mendapat seorang anak saudara. Aku sangat sukakan budak-budak, tetapi aku risau untuk menggendong bayi yang baru lahir kerana mereka 88

sangat kecil dan masih lembik. Oleh itu, aku hanya menolong kakak dengan kerja rumah sahaja. Manakala untuk segala urusan berpantang, kakak telah menggunakan khidmat “Confinement Lady” dari Syarikat Natalis. Kakak telah menempah pakej berpantang selama 28 hari. Jadi, sepanjang tempoh masa tersebut, kakak akan dijaga oleh salah seorang pekerja mereka. Dia tinggal bersama kami selama 28 hari. Aku sangat gembira dan bersyukur kerana Allah telah menjentik hati kakak aku untuk menggunakan perkhidmatan berpantang tersebut. Kakak menggunakan perkhidmatan itu kerana tidak mahu menyusahkan kedua-dua ibu dan ibu mertuanya untuk menjaganya semasa dalam pantang. Pada masa akan datang, aku juga berharap, aku akan menggunakan perkhidmatan itu. Figure 2: Selamat Datang ke dunia! BAB 2: IBU MARIA Ibu Maria ialah seorang warganegara Indonesia yang berasal dari Tanah Jawa bekerja di Malaysia sebagai “Confinement Lady”. Bidang kerjayanya adalah menjaga ibu yang 89

sedang berpantang dan menguruskan bayi. Bukan itu sahaja, Ibu Maria atau lebih mesra kami memanggilnya Kak Maria turut menguruskan segala kerja rumah. Dia mula bekerja pada 10.4.2020 dan tamat pada 9.5.2020. Pada pendapat aku, perkhidmatan yang diberikan olehnya sangat bagus dan aku juga dapat mempelajari ilmu serta kemahiran tentang berpantang, penjagaan bayi dan masakan. Sebenarnya, aku sangat tidak suka memasak kerana pada pendapatku, memasak adalah sesuatu yang menyusahkan diri, tetapi penting untuk mengisi perut yang lapar. Alhamdulillah, semasa PKP ini aku telah berjaya merajinkan diri aku untuk memasak. [13.4.2020] Pada tarikh ini, bermulalah ‘Online Distance Learning’, atau lebih dikenali sebagai ODL. ODL dilaksanakan bagi menggantikan kelas secara bersemuka. Bagi kawasan yang mempunyai capaian internet yang laju, kaedah pembelajaran ini sangat praktikal, tetapi bagi kawasan yang mempunyai capaian internet perlahan seperti di sini, agak menyukarkan untuk mengikuti kaedah pembelajaran tersebut. Apabila memasuki kelas secara digital ini, sering kali aku dikeluarkan oleh aplikasi tersebut disebabkan kurangnya capaian internet, terutama apabila waktu hujan. Dengan kehadiran Kak Maria, ODL menjadi lebih mudah kerana aku boleh fokus kepada tugasan yang diberikan pensyarah. [24.4.2020] Pada hari ini, bermulalah ibadah berpuasa bagi orang Islam di Malaysia. Segala hidangan sahur dan berbuka semuanya disediakan oleh Kak Maria. Aku turut membantu menyediakan hidangan. Kak Maria sempat berpuasa bersama kami selama 2 minggu. Selepas itu, dia perlu ke tempat lain pula. Semasa Kak Maria berkhidmat di rumah, banyak perkara yang diceritakannya seperti keluarga, majikan, rakan-rakan dan banyak lagi. Aku sangat tabik dengan layanan yang diberikan oleh pihak Natalis kepada para pekerja mereka. 90

[9.5.2020] Akhirnya, perkhidmatan Kak Maria sebagai “Confinement Lady” tamat pada hari ini. Aku sangat gembira kerana telah bertemu Kak Maria. Dia tidak lokek ilmu dan suka berkongsi ilmu. Kehadirannya sangat membantu dan aku bukan sahaja dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran tetapi dapat belajar perkara-perkara berkaitan bayi dan ibu yang berada dalam pantang. Figure 3: Terima kasih Ibu Maria Terima kasih Kak Maria. Dia bukan sahaja telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pekerja yang amanah dan bertanggungjawab, malah semua perkara yang dilakukan olehnya betul-betul ikhlas. Kak Maria selalu bercerita tentang dirinya. Beliau merupakan seorang Ibu tunggal kepada dua orang anak. Anak lelakinya telah berkerja di Jakarta, manakala puterinya berumur 14 tahun dan masih bersekolah. Sebelum Ramadhan, Kak Maria akan memulakan tugasnya seusai Subuh dengan membersihkan rumah dan menyediakan sarapan untuk kami sekeluarga. Aku hanya menolong Kak Maria dengan membasuh pinggan dan menghidangkan makanan. Selesai sarapan pagi, Kak Maria akan melakukan aktiviti mengurut, menyediakan mandian untuk 91

kakak berpantang dan sauna. Selepas selesai sesi pagi untuk aktiviti berpantang, Kak Maria akan meneruskan pekerjaannya dengan memandikan anak saudara aku. Kemudian, dia akan menyediakan makan tengah hari. Selepas makan tengah hari, Kak Maria akan berehat di biliknya dan pada jam 3 petang atau selepas asar, dia akan meneruskan penjagaan berpantang bagi sesi petang dan menguruskan anak saudara aku. Kemudian, dia akan menyediakan makan malam. Apabila Ramadhan tiba, jadual Kak Maria mengalami sedikit perubahan, iaitu penyediaan sahur. Kak Maria akan memasak untuk sahur dan aku menolongnya dalam beberapa perkara. Aku betul-betul berasa sangat gembira kerana Allah hadirkan Kak Maria pada waktu ini. Tanpa kehadirannya, aku mungkin akan mengalami tekanan kerana ketika waktu ODL, dalam masa yang sama, aku perlu menguruskan kerja rumah. Aku juga amat bersyukur kepada Allah kerana telah membuka hati kakak untuk mengambil “Confinement Lady” untuk menjaganya ketika dalam pantang. Terima kasih kakak dan Kak Maria. Alhamdulillah. BAB 3: AIDILFITRI 2020 [23.5.2020] Hari ini merupakan hari terakhir umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa, kebiasaannya pada waktu ini, aku dan keluarga akan berbuka di rumah saudara kami tetapi kali ini berbeza, aku hanya berbuka dengan kakak, abang ipar dan anak saudara aku. Perkara seperti ini agak menyedihkan kerana pada waktu seperti ini sahaja aku dapat bertemu dengan saudara-mara aku yang berada di Pantai Timur. Lebih menyedihkan lagi apabila aku tidak dapat meraikannya bersama ayah, ibu dan adik-beradik aku yang lain. Walaupun, Aidilfitri pada tahun agak menyedihkan, tetapi perkara tersebut memberi pengalaman yang bermakna dan berguna terhadap diriku pada masa akan datang. Kebiasaannya juadah untuk hari raya disediakan oleh ibu-ibu saudaraku, tetapi kali ini aku sendiri menyediakan juadah hari raya bersama kakak. Raya ini bukan sahaja mengajar aku tentang pengalaman semata-mata tetapi telah mengajar aku bahawa setiap saat bersama keluarga adalah detik yang bermakna dalam hidup. 92

[24.5 .2020] Solat Sunat Aidilfitri pada tahun ini sangat berbeza. aku hanya melaksanakannya di rumah. Selepas menikmati juadah hari raya , aku membuat panggilan video dengan ibu dan bapa aku yang berada di Kuala Lumpur. Mereka meraikan hari raya bersama dua orang adik perempuan aku. Manakala abang dan adik lelaki aku beraya di Kelantan. Walaupun kami berjauhan antara satu sama lain, tetapi kami bernasib baik, kami berada pada zaman teknologi yang boleh menghubungkan kami semua. Selain bertemu dengan sanak-saudara, perkara yang sering dilakukan oleh aku dan keluarga adalah menziarahi ahli keluarga yang telah meninggal dunia di tanah perkuburan. Pada raya kali ini, aku hanya dapat mendoakan kesejahteraaan mereka tanpa aktiviti berziarah. Aku berasa agak sedih kerana jarang untuk kami pulang ke kampung. Di sana, barulah kesempatan untuk pergi ke tanah perkuburan. Namun aku faham kekangan Covid-19 ini juga memberi impak yang besar kepada semua. Masing-masing hanya menyambut perayaan ini di rumah sahaja. Sememangnya raya kali ini berbeza dan berharap untuk tidak akan meraikan hari raya seperti ini lagi. Tetapi, sebagai manusia, kita hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Sesungguhnya, Allah adalah sebaik-baik perancang. Sebenarnya, banyak yang dapat aku pelajari daripada Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Pertama, aku dapat merasakan bahawa aku hanya berhari raya semata-mata untuk menyambut selesainya berpuasa dalam bulan Ramadhan selama sebulan. Aku tidak membeli apa-apa pakaian baharu pada hari raya ini. Dalam sudut hati, aku berasa sedih kerana berjauhan dengan ahli keluarga yang lain tetapi, aku tidak menunjukkan kesedihan itu. Kedua, aku dapati bahawa, tanpa sedar, sebenarnya pada hari raya mungkin ada sebilangan sanak saudara yang bersedih kerana mereka melihat kehidupan ahli keluarga yang lebih senang berbanding mereka. 93

Figure 4: Maaf Zahir dan Batin BAB 4: KELAS MAYA Perkara pertama yang akan difikirkan apabila wujudnya ODL adalah capaian internet. Aku bersyukur, walaupun di tempat aku kurang capaian Internet namun pada waktu tertentu, capaian internet akan laju iaitu pada jam 1 sehingga 6 pagi. Kebiasaannya di kolej, aku akan membuat tugasan pada waktu petang, tetapi di sini, disebabkan capaian internet yang agak lambat, aku melakukan tugasan pada jam 1 sehingga 6 pagi. Aktiviti aku sepanjang berada di semester 4, adalah belajar pada waktu malam dan membuat kerja rumah pada waktu siang. Perkara ini agak sukar pada mulanya, tetapi lama kelamaan, menjadi perkara biasa bagiku. Walaupun kadangkala aku berasa sangat tertekan dengan persekitaran belajar seperti itu,namun aku berusaha sedaya upaya untuk menguruskannya sendiri. Aku berdoa kepada Allah supaya dilapangkan hati dan mempermudahkan urusanku dan kakak. Alhamdulillah, Allah sentiasa menolong walaupun aku sering alpa. 94

Jika jiwaku resah, aku akan meluangkan masa untuk berzikir dan mendirikan solat. Jika kita ingat Allah, Allah akan ingat kita. [5.7.2020] Setelah 3 bulan lebih berada di Lukut, kakak aku dipanggil untuk melaporkan diri ke sekolah, tempat mengajarnya. Seiring dengan arahan Perdana Menteri yang telah menamatkan PKP namun sebagai langkah pengekangan, kerajaan melaksanakan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) pula. Oleh yang demikian, kami, (aku, kakak dan anak saudaraku) pulang ke Simpang Durian di Jelebu. Apabila kakak aku memulakan tugasnya sebagai seorang guru, maka bermulalah tugas aku sebagai seorang pengasuh. Di samping menjadi seorang pengasuh, aku juga menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang akan menamatkan semester 4 bagi sesi Mac hingga Julai 2020. Mimpi ngeri bagiku sepanjang ODL adalah apabila terlewat menduduki ujian selama 45 minit. Aku mendapat maklumat ujian akan dijalankan pada jam 8 malam, dan maklumat itu dihantar pada jam 4 petang. Malangnya aku hanya mengetahui tentang perkara tersebut pada jam 8.45 malam kerana pada petang itu aku tidak memeriksa mesej dalam telefon bimbit hingga waktu ujian. Bagiku, kelas secara maya bukan perkara yang mudah dan tidak akan menjadi pilihan aku sama sekali. Aku akui, mungkin bekerja atau belajar dari rumah dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan seseorang tetapi ia agak sukar kerana kita sukar untuk mendisiplinkan diri kita, kita perlu meluangkan masa bersama keluarga dan kita perlu fokus dengan kerja kita. Walaupun begitu, aku sentiasa percaya bahawa setiap kesukaran yang dihadapi sekarang, akan ada sinar di sebaliknya. 95

Figure 5: Perbinangan secara atas talian Figure 6: Kerja kumpulan BAB 5: COVID-19 Setelah tamat semester 4, aku gembira untuk menyambung cuti semester di rumah kakak. Pada waktu ini, kes Covid-19 di Malaysia telah mencatatkan kadar 96

penurunan yang sangat baik. Aku menyangka bahawa aku akan bertemu dengan rakan- rakanku pada semester 5. Jadi, aku gembira menjalani kehidupanku sebagai seorang pengasuh. Ketika ini, anak saudaraku telah berumur 4 bulan. Aku telah diupah oleh kakak untuk menjaga anaknya sehingga sekarang. Alhamdulillah, banyak yang aku belajar. Kadang-kadang, aku juga turut membuat kesilapan di mana, aku meninggalkan anak saudaraku di atas katil sambil menyiapkan makanan untuknya. Tiba-tiba kedengaran anak saudaraku terjatuh dan menangis. Aku terus menghubungi kakak di sekolah untuk membawanya ke klinik berdekatan. Mujur tiada sebarang kecederaan yang berlaku. Situasi tersebut mengajar aku untuk tidak panik dan membuat keputusan dengan cepat. Sewaktu kes Covid-19 mengalami penurunan, kami menzirahi rumah mertua kakak di Manjung, Perak pada hujung minggu. Kadang-kadang, pada hujung minggu, ayah, ibu dan dua orang adik perempuanku dari Kuala Lumpur akan datang ke rumah kakak di Jelebu. Pada waktu ini, salah seorang adikku yang baru menghabiskan diploma menyatakan bahawa dia ingin tinggal di Jelebu bersama aku, kakak dan anak saudara kami. Aku berasa sangat gembira kerana hubungan kami yang rapat dan turut menjaga anak saudara kami bersama. Kehadirannya sangat bermakna bagiku, walaupun kadang-kadang aku bemasam muka dengannya. Namun, tanpa kehadirannya, aku merasakan tidak mampu untuk menjaga anak saudara yang sedang membesar kerana penjagaannya yang memerlukan banyak perhatian. Pihak fakulti telah membuat keputusan untuk melaksanakan 70 peratus kelas secara atas talian dan 30 peratus secara bersemuka. Ketika mendengar berita ini, aku berasa amat teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan rakan-rakan yang lain. Semester 5 bermula pada 12.10.2020, jadi pihak kolej pada mulanya telah membenarkan pelajar untuk mendaftar kolej antara 2.10.2020 hingga 4.10.2020. Tetapi pada 2.10.2020, kolej telah mengeluarkan kenyataan bahawa para pelajar tidak perlu pulang ke kolej. Jadi ramai pelajar yang dalam perjalanan perlu berpatah balik ke kampung halaman semula. Aku merupakan salah seorang pelajar yang turut perlu berpatah balik sewaktu perjalanan menuju ke kolej bersama kakak. Kami pulang ke rumah di Kuala Lumpur dan bermalam di sana. 97

Sementelahan itu, arahan baharu oleh pihak kolej yang menyatakan bahawa tiada pembelajaran secara bersemuka sepanjang semester 5 menyebabkan aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah kakak bersama adik di Jelebu dan menjalani kehidupan sebagai pelajar dan pengasuh pada masa yang sama. ************************************** TAMAT Sampai di sini sahaja picisan kehidupanku ketika virus Covid-19 melanda di Malaysia. Kebanyakan orang tidak menyukai kehadiran Covid-19. Ada sesetengah orang menyukainya, bukan kerana mereka dapat duduk di rumah tetapi, mereka dapat menjaga ibu bapa mereka yang sakit, dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan ada yang dapat merasai bekerja atau belajar dari rumah. Tetapi menjadi lumrah manusia, untuk menjadikan kebiasaan terhadap sesuatu yang begitu asing kepada diri mereka adalah tidak mudah dan memerlukan masa. Sebagai manusia, kita perlu bijak untuk mengadaptasi sebarang perubahan yang tiba atau akan ketinggalan. Sekian. Terima kasih. 98

Figure 7: Terima kasih kerana sudi membaca 99

PENUTUP Realiti menyinggah di tahun 2020 ialah buku terbaik hasil penulisan dan penceritaan daripada lima orang penulis yang mempunyai jalan cerita berbeza di tahun yang sama. Tidak semua yang kita harapkan pasti akan terjadi namun, kelima-lima penulis sudah cuba untuk tidak mengalah menghadapi tahun 2020. Jalan cerita berbeza telah memberikan para pembaca seperti kamu untuk terus bangkit supaya kamu tahu bahawa setiap ujian yang menimpa pasti ada hikmah disebaliknya. Percayalah dan teruskanlah untuk berjuang mengharungi tahun- tahun yang mendatang. Jadikan cerita 5 Srikandi ini sebagai cacatan untuk kamu tahu bahawa kesedihan yang semalam bukanlah kesedihan yang akan berterusan namun kamu harus sedar bahawa kesedihan semalam pasti kamu akan kenang untuk memori terindah. Teruskan untuk tabah, kamu harus kuat kerana banyak lagi tahun untuk kamu bersinar. 100


Like this book? You can publish your book online for free in a few minutes!
Create your own flipbook