TAJUK: Pusat Rawatan Ketagihan Sehenti (One Stop Centre for Addiction, OSCA) LOKASI: Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Melaka RINGKASAN EKSEKUTIF: Pusat rawatan ketagihan sehenti (One Stop Centre for Addiction, OSCA) diilhamkan ekoran pemerhatian penggunaan subtan yang meningkat di kalangan masyarakat. Substan boleh dikategori kepada yang tidak menyalahi undang-undang seperti rokok dan alkohol dan yang menyalahi undang-undang seperti heroin, ganja dan amphetamine types stimulants, ATS (syabu, ice, pil kuda dsb). Bahan nikotin dalam rokok mendatangkan ketagihan yang juga merupakan pintu masuk untuk ketagihan substan yang lain. Penggunaan alkohol di kalangan masyarakat turut menunjukkan pelbagai padah. Ubat metadon telah berjaya memberi kestabilan kepada pesakit ketagihan heroin. Namun, tren penggunaan substan lain seperti ATS semakin meningkat dan turut perlu ditangani. Pendekatan hukuman tangkapan dan kemasukan ke pusat pemulihan secara paksaan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian. Perkhidmatan sukarela dalam komuniti rawatan ketagihan substan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti rokok, alkohol, heroin jelas membuktikan mendapat sambutan masyarakat. Justeru OSCA ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pesakit yang mengalami masalah ketagihan. Rawatan ketagihan disepadukan dan dirancang secara menyeluruh untuk memudahkan pengurusan pesakit oleh pasukan khas yang telah dilatih. OSCA juga menawarkan khidmat rawatan ketagihan tingkahlaku. Kekangan diatasi melalui strategi saringan & intervensi yang diiktiraf badan dunia, penyediaan dan penggunaan bahan-bahan pendidikan khas, kajian perubatan berdasarkan bukti, kolaborasi dengan pelbagai agensi, memperkasa masyarakat dan pelbagai inovasi. Hasil intervensi telah menunjukkan perubahan positif yang sungguh berkesan dan memberangsangkan. Setelah dua tahun perlaksanaan, perkhidmatan OSCA Klinik Kesihatan Masjid Tanah telah menarik minat KKM untuk dikembangkan. Sehingga kini, OSCA telah diperluaskan di 6 buah negeri. Tiga buah negeri lagi sedang dalam perancangan untuk latihan dan penyediaan prasarana. Perkhidmatan OSCA dilihat oleh KKM boleh dikekalkan dan dikembangkan ke setiap daerah di setiap negeri memandangkan keperluan yang tinggi apatah lagi dalam momentum
‘decriminalisasi’ pengguna dadah yang perlu dirawat sebagai pesakit. Perkhidmatan penting ini dilihat akan boleh dikekalkan kerana dadah masih menjadi musuh nombor satu negara yang menjadi kepentingan pelbagai jabatan. Tambahan pula perkhidmatan OSCA secara sukarela mengambil kira elemen penjagaan hak asasi manusia yang menjadi tanggungjawab pelbagai pemegang taruh di negara ini.
TAJUK PROJEK : Projek Komprehensive Pencegahan HIV Melalui Transmisi Seksual (Projek Kamelia) LOKASI : Klinik Kesihatan Jalan Gereja, Melaka PENGENALAN / LATAR BELAKANG: Semenjak kes pertama dikesan di Melaka pada tahun 1989 sehingga tahun 2019, kumulatif pesakit HIV yang telah dikesan di Melaka adalah seramai 4144. Manakala bilangan kes semasa bagi tahun 2019 adalah sebanyak 274 , dimana 155 ( 56.5%) individu dikesan diperingkat jangkitan HIV (asymptomatic) , 71 (25.9%) di tahap AIDS (advanced) dan 48 (17.5%) telah meninggal dunia. Majoriti kes HIV dikesan dikalangan golongan berisiko tinggi (Key Population) seperti men-sex-men (homoseksual, biseksual), penagih dadah suntikan (PWID) dan pasangan kepada pesakit HIV. Key Population (KP) adalah golongan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti HIV dimana cabaran utama dalam melaksanakan program pencegahan dan rawatan terhadap KP adalah sifat mereka tidak mahu dikenali, enggan datang ke fasiliti kesihatan dan mempunyai stigma diri yang sangat tinggi. Sejajar dengan Pelan Strategik Kebangsaan Mengakhiri AIDS 2016-2030 dan bagi membolehkan program pencegahan dan rawatan sampai kepada KP. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melalui Pejabat Kesihatan Daerah dan klinik kesihatan telah mengadakan kolaborasi pintar dengan beberapa individu, MSM dan TG bagi melaksanakan Projek ini. METHODOLOGI: Objektif projek ini adalah untuk meningkatkan liputan saringan dan rawatan HIV/STI & Hep C di kalangan Key population di daerah Melaka Tengah. Projek ini telah dimulakan pada tahun 2018 di Klinik Kesihatan Jalan Gereja, Daerah Melaka Tengah. Skop perkhidmatan adalah ‘MESRA Key Population’ dengan menyediakan petugas di kalangan KP yang membantu mengesan klien KP lain secara aktif untuk saringan HIV/ STI & Hep C. Bagi kes yang disahkan positif, kes akan dirawat dan diberikan kaunseling. Projek ini menggunakan peruntukan jabatan sedia ada disamping Geran Bantuan Kewangan Program HIV/AIDS di Bawah KKM sebanyak RM 97, 200.00 setahun. 1
KEBERHASILAN PROJEK (OUTCOME) 1. Keberkesanan/Effectiveness Terdapat peningkatan bilangan pesakit dikalangan Key population yang dikesan dan dirawat bagi jangkitan HIV dan STI, iaitu 22 kes tahun 2015 kepada 58 kes pada tahun 2019. Analisis descriptive pesakit yang dikesan melalui projek ini juga menunjukkan peningkatan dari segi jantina,ethnic dan jenis key population. 2. Kesesuaian/Efficiency Kajian Kepuasan Pelanggan 2019: 84% Pesakit memberikan pengiktirafan 5 bintang kepada projek ini. 3. Kebolehan untuk di replikasi/ Replicability @ Scale up Projek ini boleh di adaptasi oleh Klinik Kesihatan lain yang tidak mempunyai persatuan NGO yang focus dalam meningkatkan liputan Program Pencegahan dan Rawatan HIV. 4. Kepatuhan etika, hak manusia dan penyertaan pihak berkepentingan /ethical soundness/human rights and participation of key stakeholders Projek ini berkolaborasi dengan Majlis AIDS Malaysia (MAC) sebagai NGO yang menjaga kepentingan People Living with HIV (PLHIV) dan di luluskan melalui Country Coordinating Meeting (CCM) sebagai stakeholder kewangan. 2
TAJUK PROJEK: Amalan Terbaik Perkhidmatan Mesra Remaja LOKASI: Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Klinik Kesihatan Umbai dan Klinik Kesihatan Masjid Tanah. PENGENALAN / LATAR BELAKANG Zaman remaja adalah waktu yang aktif untuk pertumbuhan dan pembentukan fizikal, seksual, sosial dan emosi. Perubahan dari alam kanak-kanak ke dewasa, dari kebergantungan kepada kebebasan diri, perubahan ketara fizikal, emosi, mental dan sosial, mencari identiti, sifat mencuba dan eksperimen perkara berisiko akan berlaku di alam remaja. Oleh yang demikian,remaja terdedah kepada pelbagai masalah sosial, seksual dan tekanan emosi seterusnya risiko peningkatan kematian pramatang. Kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah menunjukkan remaja juga mempunyai pelbagai masalah kesihatan. Kajian Global School Health Survey (2017), mendapati masalah lebih berat badan adalah 15.2% dan obesiti 13.3% , tingkahlaku berisiko merokok 13.8% (Melaka 8.8%), alkohol 10.2% (Melaka 6.7%) dan dadah 3.4% (Melaka 0.7%). Dari segi kesihatan mental pula, didapati 10.0% pernah memikirkan untuk membunuh diri (Melaka 6.4%) dan 6.7% telah melakukan percubaan membunuh diri. Berkaitan kesihatan seksual reproduktif pula didapati 7.3% telah melakukan seks (Melaka 5.0%). Perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan mungkin tidak diterima atau tidak mesra bagi persepsi remaja. Faktor kesediaan, kebolehcapaian, penerimaan dan kesaksamaan (availability, accessibility, acceptability and equality) adalah antara halangan-halangan dihadapi oleh remaja untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Peningkatan kesedaran untuk mengatasi faktor halangan adalah amat penting bagi memudahkan remaja mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan. Oleh itu perkhidmatan kesihatan untuk remaja perlulah lebih komprehensif, mesra, efektif, efisien dan berkualiti. METHODOLOGI Objektif projek ini adalah memperkukuhkan Perkhidmatan Kesihatan Mesra Remaja. Projek ini telah bermula pada tahun 2019 di klinik kesihatan terpilih iaitu Klinik Kesihatan Ayer Keroh, Klinik Kesihatan Umbai dan Klinik Kesihatan Masjid Tanah. Kumpulan sasar adalah remaja berumur diantara 10 -19 tahun. Klinik kesihatan terpilih perlu menyediakan perkhidmatan yang mesra remaja selari dengan kriteria WHO dan SOP yang disediakan KKM. Skop aktiviti adalah promosi, pendidikan kesihatan, pencegahan, rawatan, intervensi dan rehabilitasi serta aktiviti yang dijalankan bersama komuniti dan agensi yang berkaitan. Projek ini menggunakan peruntukan sedia ada di JKN dan PKD.
KEBERHASILAN PROJEK (OUTCOME) 1. Keberkesanan / Effectiveness Penglibatan remaja. Remaja yang dikesan merokok diberi intervensi di klinik kesihatan. Remaja yang dikesan dengan masalah kesihatan mental diberi intervensi di klinik kesihatan. Remaja yang dikesan dengan masalah anemia (Iron Deficiency Anemia) daripada Program Saringan Thalasemia Tingkatan 4 diberi rawatan dan sembuh. 2. Kesesuaian / Efficiency Pemantauan dan audit: Pengiktirafan 5 bintang kepada projek ini. 3. Kebolehan untuk di replikasi / Replicability @ Scale up Projek ini boleh diadaptasi oleh Klinik Kesihatan lain untuk memperkukuhkan Perkhidmatan Kesihatan Mesra Remaja. 4. Kepatuhan etika, hak manusia dan penyertaan pihak berkepentingan / ethical soundness / human rights and participation of key stakeholders Projek ini boleh berkolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan/ NGO / Komuniti yang berkaitan dalam memberi perkhidmatan kepada remaja seperti Panel Penasihat KK, AADK, JPN, Polis, JKM etc
TAJUK PROJEK: Amalan Terbaik Pusat Pengurusan Diabetik Klinik Kesihatan LOKASI: Klinik Kesihatan Durian Tunggal RINGKASAN EKSEKUTIF: Pengurusan Diabetes Mellitus merupakan komponen yang penting dalam memastikan perawatan Diabetes Mellitus dapat dilaksanakan pada tahap optimum. Penubuhan pasukan dan semangat berpasukan Diabetes yang khusus, terlatih dan tetap merupakan faktor penting dalam memastikan aktiviti -aktiviti yang digariskan tercapai. Aktiviti ‘ Multidisiplinary Group Counselling ‘ dan lawatan ke rumah pasukan Diabetes merupakan innovasi yang dilaksanakan secara berkala bermula 2017 dan 2018 sehingga semasa telah membantu dalam perawatan pesakit Diabetes Mellitus tanpa mengira usia dengan keizinan pesakit dan penjaga. Aktiviti -aktiviti berikut telah berjaya mengenalpasti pemasaalahan pesakit dan tindakan pembetulan dapat dilaksanakan secara spontan atau melalui perawatan perawat hasil dari pelapuran. Aktiviti juga berjaya mencetuskan innovasi dari unit yang berkaitan. Amalan ini juga boleh dilaksanakan dan direplikasikan oleh setiap klinik kesihatan yang mempunyai perawat asas seperti pegawai perubatan, pegawai farmasi dan paramedik .Kelestarian dapat diteruskan dengan adanya perician tugasan setiap anggota pasukan Diabetes sebagaimana digariskan dalam laporan. Dari segi aspek sumber manusia, latihan dan peruntukan menggunakan peruntukan yang sedia ada, kecuali di dalam situasi-situasi yang terpencil: contoh, pembelian fundus camera yang terkini dan kos penyelenggaraan Aktiviti lawatan rumah berpotensi melaksanakan hasrat Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) dalam membentuk perkhidmatan berbentuk ‘uberisasi’ di masa hadapan.
TAJUK PROJEK: Amalan Terbaik Penggunaan Sistem e-Penguatkuasaan APSPP 1975 LOKASI: Pejabat Kesihatan Daerah Jasin RINGKASAN EKSEKUTIF: Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 adalah Akta yang digubal untuk mengawal perebakan penyakit yang disebabkan oleh serangga pembawa penyakit. Seksyen 13(1) APSPP memperuntukan berkaitan kesalahan kerana telah menyebabkan berlakunya pembiakan serangga pembawa penyakit seperti pembiakan jentik-jentik (Aedes). Manakala Seksyen 25 APSPP 1975 pula berkaitan peruntukan untuk mengkompaun kesalahan bagi kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Akta yang sama. Terdapat tren peningkatan jumlah kertas siasatan pada setiap tahun yang menyebabkan beban tugas anggota di Unit Vektor dan di Unit Inspektorat & Perundangan (UIP) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) meningkat saban tahun. Sepanjang tempoh tahun 2016 hingga 2019 sejumlah 6363 kertas siasatan telah dibuka dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya (TPR) untuk mendapatkan izin kompaun. Jadual 1 berikut menunjukkan jumlah kes siasatan yang dirujuk ke TPR mengikut tahun. TAHUN KES SIASATAN 2016 DIRUJUK TPR 2017 1389 2018 2019 1442 JUMLAH 1598 1934 6363 Jadual 1: Jumlah kes siasatan yang dirujuk ke TPR mengikut tahun. Walau bagaimanapun, jumlah anggota yang menjalankan tugas tersebut kekal dengan jumlah bilangan yang sama. Justeru, ia memerlukan inovasi dan pendekatan terbaik bagi membantu menyelesaikan isu kertas siasatan yang tertunggak (belum diambil tindakan) selain untuk mengimbangi dan menyelesaikan tugas hakiki yang sediada. UIP di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) telah membangunkan sistem e-Penguatkuasaan APSPP yang bertujuan untuk membantu mempercepatkan penyediaan kertas siasatan oleh anggota di PKD.
Penyediaan kertas siasatan adalah menggunakan sistem e-Penguatkuasaan APSPP yang dibangunkan menggunakan aplikasi microsoft excell. Kumpulan sasaran yang terlibat dalam pemakaian sistem ini adalah di kalangan anggota Pembantu Kesihatan Awam, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pegawai Kesihatan Persekitaran yang bertugas di PKD dan JKNM. Skop aktiviti adalah berfokus kepada penyediaan kertas siasatan bagi setiap notis kesalahan (Perakuan Pungutan Jentik- Jentik yang didapati positif Aedes) yang dikeluarkan semasa menjalankan aktiviti Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP) di lapangan. Antara kelebihan dan faedah yang diperolehi melalui penggunaan sistem ini adalah penjimatan masa dalam penyediaan kertas sasatan. Kertas siasatan (asas) dapat disediakan dalam tempoh 15 minit berbanding sebelum ini sehingga 1 jam bagi setiap kertas siasatan. Selain itu, sistem ini membantu menyeragamkan format dokumen- dokumen di dalam kertas siasatan di antara semua PKD. Ini memudahkan urusan semakan dokumen oleh peringkat berikutnya. Pelaksanaan telah mula dijalankan di PKD Jasin. Pemantauan pencapaian akan dilaksanakan dengan membuat perbandingan antara PKD Jasin berbanding PKD lain dari segi jumlah penyediaan kertas siasatan berbanding kesalahan yang dikesan dan tempoh masa yang diperlukan untuk menyediakan kertas siasatan. Sistem ini boleh direplikasi di semua daerah dan semua negeri untuk membantu meningkatkan produktiviti anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
TAJUK PROJEK: Amalan Terbaik Pengurusan Program I Fit Eat Right (IFitER) LOKASI: Wellness Hub Masjid Tanah RINGKASAN EKSEKUTIF: Program I Fit Eat Right (IFitER) merupakan intervensi pengurusan berat badan yang komprehensif, intensif dan terancang bagi meningkatkan tahap pengetahuan serta kemahiran dalam kalangan peserta dan seterusnya dapat mengurangkan berat badan. Program IFitER ini dijalankan di WH Masjid Tanah bermula Januari 2019 dengan mensasarkan komuniti setempat yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes. Tujuan utama IFitER adalah untuk mengurangkan risiko penyakit NCD dalam kalangan peserta dengan menurunkan sekurang-kurangnya 10% berat badan asal. Program ini merupakan satu program intervensi selama 6 bulan menggunakan elemen aktiviti fizikal, pemakanan sihat dan modifikasi tingkah laku. Seramai 17 peserta dalam kalangan komuniti telah mengambil bahagian dalam intervensi sesi 2/2019 ini. Hasil intervensi menunjukkan 100% peserta telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan dari aspek komposisi badan, ujian kecergasan dan faktor risiko kardiovaskular. Asasnya program ini menggunakan modul Ifiter yang dibangunkan oleh KKM. Dengan penekanan modifikasi tingkahlaku yang diterapkan dalam Intervensi di WH Masjid Tanah ini menunjukkan hasil yang sangat positif. Gerak kerja ini boleh direplikasi di mana-mana tempat jika mempunyai tenaga kerja yang terlatih dan peralatan yang mencukupi. Komitmen anggota pelaksana dan peserta IFitER merupakan faktor utama kelestarian intervensi IFitER di WH Masjid Tanah. Keseluruhannya, program IFitER WH Masjid Tanah berjaya mencapai objektif dengan komitmen anggota pelaksana dan sokongan stakeholder yang tinggi.
TAJUK PROJEK : Amalan Terbaik Pengurusan Klinik Rakan Bayi LOKASI : Klinik Kesihatan Negeri Melaka RINGKASAN EKSEKUTIF: Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi telah diperkenalkan oleh Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2005 dan telah dikaji semula pada tahun 2015. Aktiviti ini adalah kesinambungan daripada Inisiatif Hospital Rakan Bayi yang dijalankan di peringkat hospital. Objektif Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi ini adalah untuk menyediakan persekitaran yang menyokong, melindungi dan mempromosi penyusuan susu ibu bagi meningkatkan kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif dalam kalangan bayi berumur enam bulan. Pelaksanaan Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Develompent Goals, SDGs) 2016 hingga 2030 di bawah Matlamat Utama \"Kelaparan Sifar\" iaitu menamatkan kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan. Amalan Terbaik Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi yang dijalankan di negeri Melaka telah menerapkan 12 kriteria berbanding 9 Langkah Pelaksanaan Klinik Rakan Bayi yang diperkenalkan oleh Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Empat strategi digunakan dalam pelaksanaan Amalan Terbaik Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi di negeri Melaka adalah meningkatkan tahap pengetahuan anggota kesihatan, meningkatkan tahap pengetahuan ibu hamil dan ibu lepas bersalin, meningkatkan penglibatkan komuniti dan inter - agensi serta menambahbaik pengurusan data reten penyusuan susu ibu negeri Melaka. Melalui pelaksanaan Amalan Terbaik Pengurusan Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi didapati:- i) 88.3% (936/1,060 orang) anggota kesihatan yang memberikan perkhidmatan kepada ibu dan bayi di klinik kesihatan telah diberi Latihan Pengurusan Laktasi 20 Jam dengan menggunakan peruntukan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP). ii) 42 sesi Roadshow Penyusuan Susu Ibu telah dijalankan oleh Pegawai Sains Pemakanan dan dibantu oleh anggota kejururawatan di klinik kesihatan di negeri Melaka pada tahun 2019 untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran ibu dalam penyusuan susu ibu. iii) 27 agensi di negeri Melaka (kerajaan dan swasta) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka untuk menyertai Inisiatif Tempat Kerja Mesra Ibu bagi penyediaan Bilik Penyusuan Susu Ibu di tempat kerja masing-masing.
iv) Verifikasi data dilakukan bagi penyediaan Laporan Amalan Penyusuan Susu Ibu di Kalangan Bayi Berumur 6 Bulan Untuk Bulan Mac/Jun/September (Reten PSI 201B). Melalui perkhidmatan ini juga, tahap pengetahuan anggota kesihatan dalam aspek pemakanan bayi telah berjaya ditingkatkan. Manakala pengetahuan dan kemahiran ibu dalam penyusuan susu ibu juga telah bertambah baik. Pencapaian ini terbukti semasa Penilaian Klinik Rakan Bayi dijalankan di klinik kesihatan yang melaksanakan perkhidmatan ini. Pelaksanaan Amalan Terbaik Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi menggunakan bajet dari peruntukan sedia ada dengan kos yang paling minima untuk percetakan bahan pendidikan, penyediaan ruangan penyusuan susu ibu dan latihan modal insan. Selain daripada itu, perkhidmatan ini juga menggunakan sumber manusia seperti Pegawai Sains Pemakanan dan anggota kejururawatan sedia ada di daerah masing-masing. Amalan Terbaik Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi yang dijalankan di negeri Melaka terbukti dapat meningkatkan status penyusuan susu ibu secara eksklusif dalam kalangan bayi berumur enam bulan di negeri Melaka. Pelaksanaan Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi ini telah berjaya meningkatkan kadar penyusuan susu ibu daripada 45.3% pada tahun 2018 kepada 48.9% pada tahun 2019. Sehingga akhir tahun 2019, sebanyak 6 buah klinik kesihatan dan 13 buah Klinik Desa di bawah kawasan operasi klinik masing-masing telah berjaya mendapat pengiktirafan Perkhidmatan Klinik Rakan Bayi di negeri Melaka. Oleh itu ia berpotensi untuk di perluaskan ke seluruh Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di seluruh negeri Melaka melalui penggunaan sumber sedia ada.
Search
Read the Text Version
- 1 - 12
Pages: