Important Announcement
PubHTML5 Scheduled Server Maintenance on (GMT) Sunday, June 26th, 2:00 am - 8:00 am.
PubHTML5 site will be inoperative during the times indicated!

Home Explore KURSUS KEPENYAIRAN E-SASTERA

KURSUS KEPENYAIRAN E-SASTERA

Published by drirwan2u, 2015-10-03 06:40:50

Description: KURSUS KEPENYAIRAN E-SASTERA

Keywords: none

Search

Read the Text Version

24(1) Deklamator Orang yang mendeklamasi sajak dinamai pendeklamasi atau deklamator. (Istilah 'pendeklamator' yang kadangkala digunakan orang adalah tidak betul). 24(2) Puisi Deklamatori Bukan semua puisi sesuai dideklamasikan. Puisi yang sesuai dideklamasi dikatakan bersifat 'deklamatori'. 24(3) Iringan Muzik Pada hari ini, kadangkala muzik digunakan untuk mengiringi deklamasi, sama ada secara permainan muzik 'minus one' atau secara permainan 'live' alat-alat muzik tradisional seperti seruling dan/atau moden seperti keyboard. Kadang kala persembahan juga diiringi tayangan multimedia. 24(4) Hafazan Deklamasi puisi memerlukan kebolehan dan latihan serius. Menghafaz puisi yang akan dideklamasi ialah amalan yang baik. 24(5) Rahman Shaari Penyair Malaysia yang mengkaji dan menulis tentang deklamasi ialah Rahman Shaari. Artikel yang berikut mewakili pemikiran Rahman Shaari tentang deklamasi puisi: Rahman Shaari. 'Deklamasi yang Baik dan Berkesan', Dewan Sastera, Mac 1996. 10 pemikiran utama Rahman tentang hal ini adalah seperti yang berikut: (a) Deklamasi janganlah dipenuhi tempikan yang tidak beralasan. Mendeklamasi sajak bukan perlawanan untuk mencari juara tempikan. (b) Gerakan yang berlebih-lebih di atas pentas bukanlah cara deklamasi yang elok. (c) Penggunaan suara tinggi hendaklah sesuai dengan tema. Pendeklamasi hendaklah pandai menerbitkan suara dalam perut, dan membina suara serak yang bertolak dari dalam perut. Suara dalam perut amat berharga, dan suara dalam dada hanya berupaya menerbitkan kesan permukaan. 51

(d) Perlakuan aneh yang ditonjolkan semasa mendeklamasi bukanlah sesuatu yang dikehendaki. (e) Pendeklamasi mesti berlatih dengan bersungguh-sungguh walaupun deklamasi bukan untuk sayembara. Kebanyakan orang memerlukan latihan sekurang-kurangnya seminggu. (f) Pendeklamasi perlu mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap bidang ini. (g) Deklamasi perlu berpusat kepada teknik, gaya, nada, dan suara. (h) Pendeklamsi perlu mempunyai sikap menghormati penonton demi mengakrabkan pendeklamasi dengan penonton. (i) Pendeklamasi perlu mempunyai keyakinan diri demi menghasilkan persembahan yang bergaya. Pendeklamasi yang berbuat perkara yang pelik-pelik semata-mata untuk menimbulkan gimik murahan di atas pentas, bukanlah orang yang yakin terhadap keupayaannya. (j) Persembahan mesti menepati makna sajak yang dideklamasi demi mengemukakan persembahan deklamasi yang baik dan berkesan. 25. Deklamasi Sebagai Alat Komunikasi Sajak dideklamasi untuk si deklamator berkomunikasi dengan audiens. Maka seni deklamasi mematuhi kaedah-kaedah komunikasi lisan yang baik. 25(1) Deklamasi Sebagai Kegiatan Komunikasi Dilihat dari segi ilmu komunikasi, deklamasi sajak haruslah terdiri daripada dua unsur, iaitu isi (kandungan) dan penyampaian (delivery). 25(1)(1). Isi puisi yang dipilih hendaklah sepadan dengan upacara atau audiens. 25(1)(2). Penyampaian dalam deklamasi hendaklah mengandungi dua unsur, iaitu (a) ekspresi verbal dan (b) ekspresi fizikal (bahasa badan). (a) Ekspresi verbal terdiri daripada empat unsur, iaitu: - artikulasi (kejelasan); 52

- sebutan (pronuciation); - kualiti suara; dan - intonasi (lenggok suara). (b) Ekspresi fizikal terdiri daripada empat unsur, iaitu: - pertentangan mata; - ekspresi muka (dahi, kening, alur/anak mata, mulut); - gestur (posisi/gerakan lengan, tangan, dan jari); dan - postur (posisi/gerakan relatif antara bahagian-bahagian jasad dan posisi/gerakan jasad di ruang pentas). 26. Deklakon Pada hari ini, deklamasi puisi kadang-kadang dibuat secara persembahan teater (yang dipelopori oleh Rahman Shaari) serta silat dan wayang kulit (yang dipelopori oleh Hashim Yaacob). 26(1) Unsusr Deklamasi Dalam konteks ini, kegiatan deklamasi dapat dibahagikan kepada tiga unsur, iaitu: (a) penghayatan watak; (b) pengawalan suara (ekspresi verbal); dan (c) pengawalan ruang. 26(2) Deklakon Persembahan sedemikian dinamai deklakon (deklamasi + lakon). Deklakon berbeza daripada deklamasi standard kerana mengizinkan aksi tubuh yang tidak terhad dan gerakan bebas deklamator ke seluruh ruang pentas persembahan. 27. Lagu Puisi Pada masa ini, puisi kerap dinyanyikan atau dipersembahkan secara laungan berirama. Fenomenon ini mewujudkan genre persembahan yang dinamai lagu puisi. 27(1) Definisi 53

Lagu puisi ialah lagu yang menggunakan puisi tertentu sebagai liriknya. (Definisi alternatif: Puisi yang dinyanyikan dengan melodi yang dicipta khas untuknya). 27(2) Portal Lagu Puisi Lagu puisi dapat disiarkan dan dinikmati di e-majalah eSastera.com melalui komuniti “Lagu Puisi” yang khas: www.eSastera.com/lagu. Lagu puisi juga dapat dinikmati di Saluran 5, tvSastera.com (http://www.tvsastera.com). 27(3) Penyanyi Ada beberapa orang penyanyi lagu puisi yang dikenali ramai di Nusantara. Di eSastera, penyanyi lagu puisi yang dikenali ialah Anbakri, Airmas, dan kumpulan Aria dari Singapura (diketuai Juan Einriqie). Anbakri telah menerbitkan album lagu puisinya Cinta Dan Aku (Kuala Lumpur: Esastera Enterprise, 2011) pada tahun 2011. Mulai tahun 2011 juga, eSastera telah mengorak langkah menubuhkan Grup Lagu Puisi eSastera untuk tujuan persembahan pentas. Grup pertamanya ialah “Grup Lagu Puisi eSastera Kuala Lumpur” yang terdiri daripada dua vokalis utama, Amran Ibrahim Rashidi dan Ilya Kablam, serta pemuzik Nazif (keyboard) dan Khairi Azuandi (gitar). Lagu terawal yang mereka hasilkan ialah “Sinar” (puisi oleh Wan Dinie Ashrafi dan melodi oleh Nazif). 27(4) Sayembara Kesedaran akan pentingnya lagu puisi dalam dunia sastera Melayu telah membuatkan beberapa pihak penguasa sastera berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP) untuk menganjurkan sayembara mencipta lagu puisi dari semasa ke semasa. 28. Anugerah Beberapa anugerah ditawarkan pihak tertentu untuk puisi yang diterbitkan. 28(1) Anugerah Antarabangsa 54

Pada peringkat antarabangsa (puisi bahasa Inggeris), ada beberapa anugerah disediakan orang: (a) anugerah Pulitzer ialah anugerah paling berprestij. (b) The International Society of Poets yang berpusat di USA, menawarkan anugerah 'Poet of the Year' untuk penyair amateur yang menerbitkan puisi di laman web poetry.com. 28(2) Anugerah Malaysia Di Malaysia, ada beberapa anugerah ditawarkan untuk puisi yang diterbitkan dalam bahasa Melayu. 28(2)(1). Anugerah tempatan paling berprestij ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia setiap dua tahun kepada antologi dan karya eceran. Anugerah ini mulanya dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera (1971-1976) dan ditukar kepada Hadiah Sastera Malaysia (1981-1995). Hadiah diperkenalkan dengan tujuan memberi pengiktirafan kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu serta menggalakkan penerbitan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu. 28(2)(2). Satu lagi anugerah tempatan yang berprestij ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) untuk karya yang diterbitkan dalam penerbitan Utusan Melayu. 28(2)(3). Kerajaan-kerajaan negeri juga ada mengeluarkan hadiah sastera untuk warga masing-masing. Paling menonjol pada hari ini ialah Hadiah Sastera Darul Takzim (Johor) yang dikeluarkan dua tahun sekali oleh Kerajaan Johor, diikuti Hadiah Sastera Negeri Sembilan. 28(3) Anugerah Puisi Siber 28(3)(1). ESastera, sebuah gerakan sastera Melayu di alam siber, menawarkan anugerah sastera tahunan melalui program Hadiah eSastera.com (HesCom). Anugerah ini, yang pertama kalinya dikeluarkan pada tahun 2003, dipercayai merupakan pengiktirafan tempatan yang pertama diberi kepada karya yang diterbitkan di Internet. Anugerah dikeluarkan untuk: (a) Karya yang diterbitkan di e-majalah eSastera.com daripada pelbagi genre seperti sajak, sajen, cerpen, dan haiku dengan dua anugerah pertama yang dikeluarkan (pada tahun 2003) ialah Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) untuk karya dari komuniti “Penyair” dan Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (ASJAS) untuk karya dari komuniti “Sajak Jenaka (Sajen)”; 55

(b) Penulis terkemuka di eSastera.com melalui Anugerah Sasterawan Alam Siber (Aswas) yang dikeluarkan setiap tiga tahun sekali mulai tahun 2006 dan membawa gelaran Sasterawan Alam Siber (SAS); (c) Anugerah kepada penyair siber negeri diadakan oleh eSastera sejak 2010 apabila majlis sambutan Hadiah eSastera.com mula diadakan di negeri-negeri di Malaysia dengan anugerah pertamanya “Sasterawan Siber Selangor” dimenangi sasterawan Akmal Jiwa (Kemala) pada tahun 2010; dan (d) Blog terbaik bagi penulis yang memblog di laman blog eSasterawan.com, dengan anugerah pertama dikeluarkan pada tahun 2007. (Kini laman blog itu telah berpindah ke laman eSasterawan.org). (e) Mulai tahun 2011, semua anugerah dalam HesCom dikeluarkan oleh Persatuan Aktivis eSastera Malaysia (E-Sastera). 29. Puisi dan Agama Islam Penganut agama Islam sentiasa merujuk semua kegiatannya kepada ayat-ayat suci al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw. Hal yang sama perlu dilakukan dalam melakukan kegiatan berpuisi. 29(1) Puisi Dalam Al-Quran Ayat al-Quran yang berikut adalah relevan dengan kegiatan berpuisi: 'Dan penyair-penyair itu dituruti oleh golongan yang sesat... Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih (dari kalangan penyair- penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri setelah mereka dianiaya...' (Surah asy-Syu'ara 224-7). 29(2) Puisi Dalam Hadith Hadith yang berikut adalah relevan dengan kegiatan berpuisi: 'Seorang mukmin berjuang dengan pedang atau lisannya. Demi Allah, apa-apa syair yang kamu lemparkan kepada mereka (pihak musuh) sebenarnya seperti hujung tombak yang sangat tajam.' (Hadith riwayat Ahmad). 30. Kritikan 56

Kritikan sastera ialah tulisan yang dihasilkan oleh pembaca untuk merakamkan kesan pembacaan atau membuat huraian terhadap karya. 30(1) Kegiatan Kritikan Kegiatan kritikan karya ialah suatu kegiatan produktif bernilai seni. Kritikan bukannya kegiatan negatif “menghentam” karya orang lain. 30(2) Kritikan Ilmiah Membuat kritikan mendalam terhadap puisi (dinamai kritikan ilmiah) memerlukan ilmu yang cukup tentang kritikan. Sebaik-baiknya, biarlah seseorang itu mendapat pendedahan ilmu daripada pakar sebelum melibatkan diri dalam bidang ini. 30(2)(1). Kritikan ilmiah memerlukan ilmu tertentu (dinamai ilmu bantu) sebagai alat untuk mendekati karya. Contoh ilmu bantu yang kerap digunakan ialah ilmu sosiologi, ilmu agama, ilmu psikologi, ilmu linguistik, dsb. Apabila digunakan ilmu bantu yang tertentu, kritikan ilmiah itu dikatakan mempunyai pendekatan yang berkenaan. Misalnya, apabila ilmu sosiologi digunakan untuk membicarakan karya, pendeketan yang digunakan dinamai pendekatan sosiologi. Pengkritik yang menggunakan pendekatan moral biasanya menggunakan ilmu agama sebagai ilmu bantu. Begitulah seterusnya. 30(2)(2). Pada amnya, kritikan ilmiah karya harus berasaskan sesuatu teori yang dijadikan premis kepada sudut pandangan. Kerangka teori ini menjadi sebuah locus standi dalam menghujahkan pandangan dan pemikiran. Misalnya, apabila mengupas teks antologi puisi Musibah Gempa Padang (Esastera Enterprise, 2009), Arbak Othman telah mengaplikasikan 'Teori Anjakan Diksi', iaitu antara teori sastera yang sesuai untuk mengesan maksud puisi. Kritikan ini, yang berjudul 'Bahasa Langit Di Ufuk Kalbu: Mengenang Musibah Padang Daripada Perspektif Anjakan Diksi', dapat dibaca di laman web eSastera.com yang berikut: http://esastera.com/komuniti/message2.asp?c=2&ID=2364. 30(2)(3). Sebagai pendedahan permulaan, sila baca artikel yang berikut: Othman Puteh. 'Menelusuri Ciri-Ciri Kritikan Sastera', Dewan Sastera, April/Mei 1999. Dalam artikel itu, Othman Puteh mencirikan kritikan sastera di Malaysia kepada enam ciri: (a) Kritikan Sanjungan 57

(b) Kritikan Teguran (c) Kritikan Saranan (d) Kritikan Pendekatan: (Menghuraikan enam daripada pelbagai pendekatan kritikan kesusasteraan yang berkembang di Malaysia, iaitu pendekatan intrinsik, pendekatan ekstrinsik, pendekatan moral, pendekatan psikologi, pendekatan sosiologi, dan pendekatan arkitaip) (e) Kritikan Penganalisisan (f) Kritikan Penilian. 30(3) Kritikan Impresionistik Kegiatan “mengulas” puisi dapatlah dianggap sebagai kegiatan yang lebih ringan daripada kritikan ilmiah dan dapat dilakukan dengan lebih mudah. Tulisan kritikan yang merupakan reaksi sepintas lalu ini sering dinamai kritikan impresionistik, kritikan jurnalistik, atau resensi. 30(3)(1). Kegiatan mengulas puisi, pada amnya, dapat dibahagikan kepada dua komponen, iatu (a) menghurai dan (b) menilai. (a) Menghurai Puisi berkomunikasi dengan pembaca berdasarkan apa yang dapat difahami pembaca daripada sajak itu, bukannya apa yang ada dalam pemikiran penulisnya sewaktu menulis sajak itu. Menghurai puisi melibatkan: (i) penghuraian makna yang dapat ditafsirkan OLEH PENGULAS daripada teks, dan (ii) penjelasan tentang ilmu yang dapat ditimba daripadanya Kegiatan menghurai makna puisi bukanlah kegiatan “meneka” apa yang dimaksudkan oleh penulisnya melalui puisinya sebaliknya kegiatan menghuraikan makna yang dapat ditafsirkan OLEH PENGULAS daripada teks. Malah ada beberapa banyak sajak yang bersifat polos, dan kegiatan “meneka” dan menghurai apa yang dimaksudkan oleh penulisnya ialah kegiatan sia-sia dan membuang masa. (b) Menilai Menilai bermakna menetukan kualiti (berasaskan paramater-parameter yang boleh diukur secara objektif). Menilai puisi melibatkan: (i) mengenal pasti kekuatannya; 58

(ii) mengenal pasti kelemahannya; dan (iii) mencadangkan pembaikan yang dapat dilakukan. 30(3)(2). Pada amnya, ulasan terhadap sesebuah puisi dibuat berasaskan aspek-aspek yang berikut: (a) tema dan isu (b) huraian maknanya (secara ringkas jika sajak sedia polos) (c) bentuk (d) rima (e) bahasa (f) nada (g) makna perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan tertentu (dengan lebih merujuk kepada makna konotatif dan nilai emosinya). 30(3)(3). Contoh penghuraian sajak (sajak hanya khayalan) adalah seperti yang berikut: (a) Tema dan isu: Isu yang diutarakan oleh sajak ini ialah tentang kasih sayang seorang guru terhadap muridnya. (b) Huraian makna: 1. Guru itu telah berkorban untuk anak-anak muridnya. Maka anak-anak muridnya menganggap guru itu manusia paling berjasa kepada mereka. 2. Guru itu telah berkorban secara tidak terhad sehingga hidup peribadinya sendiri terjejas. 3. Anak-anak muridnya memberikan penghormatan yang amat tinggi sehingga nilai diri guru melonjak naik dan mendapat ganjaran positif daripadanya. (c) Bentuk: Sajak ini terbina daripada tiga rangkap. Rangkap-rangkap itu berlainan bentuk. Rangkap pertama menyerupai syair sementara dua rangkap lagi 59

berbentuk benar-benar bebas. Maka bolehlah dikatakan bahawa bentuk sajak ini separa bebas. (d) Rima: Rima akhir rangkap pertama ialah aaaa. Rima akhir rangkap kedua dan ketiga masing-masing ialah abacda dan acbb. (e) Bahasa: Bahasa sajak ini mudah tetapi amat estatik. Ada perulangan kata yang menarik seperti “pengorbanan” dan “penghargaan”. Ungkapan seperti “tidaklah air tercurah ke daun keladi” benar-benar memberi tenaga kepada sajak ini dan seterusnya meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca. (f) Nada: Sajak ini bernada sentimental dan romantis. Ada unsur ketegasan dan berterus terang. (g) Makna ungkapan: Ungkapan ‘berdiri selari’ dalam sajak ini bermaksud samanya matlamat antara guru dengan murid. 30(3)(4). Ulasan yang dibuat secara teratur seperti disenaraikan dalam subsubmodul 30(3)(3) itu akan menghasilkan tulisan yang berstruktur dan kemas. Namun banyak juga ulasan yang dibuat secara tidak berstruktur tetapi tetap merangkumi aspek-aspek yang disenaraikan itu. 30(3)(5). Contoh Praktikal Sebagai contoh praktikal ulasan sajak, sila lihat Lampiran 7. Lampiran ini memberikan tiga ulasan daripada tiga orang penulis yang berlainan terhadap sajak 'Menolak Rezeki' karya Irwan Abu Bakar. Sajak itu telah tersiar dalam majalah Dewan Sastera, April 2003 sementara tiga ulasan itu telah disiarkan di komuniti 'Penyair' majalah e-sastera. Disiarkan juga ulasan Lim Swee Tin terhadap sajak itu yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Mei 2003. 30(4) Menganalisis Sekumpulan Puisi Ada kalanya, kritikan perlu dibuat terhadap sebilangan puisi dan bukannya sebuah puisi tertentu. Dalam hal yang sedemikian, kerap kali 60

pengulas memilih sesuatu aspek tertentu lalu menganalisis kesemua puisi itu dari aspek yang tersebut. Misalnya: (a) T. Alias Taib, apabila mengulas 10 buah puisi yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera keluaran November 2002, telah memilih aspek “suara asli penyair” sebagai tema lalu mengulas kesemua 10 puisi yang berkenaan berasaskan tema itu; dan (b) Rahman Shaari, apabila mengulas puisi-puisi dalam Dewan Sastera Ogos 2002, memberi tumpuan kepada “mencari yang cemerlang” demi mengenal pasti puisi yang terbaik antara puisi-puisi yang ditanganinya itu. 30(5) Mengulas Sajak Sendiri Sajak lazimnya dapat ditafsirkan dengan cara yang pelbagai oleh pembaca. Hal inilah yang menjadikan sajak itu item seni. Maka, pada amnya, penyair tidak wajar menghurai dan menilai karyanya sendiri. Perbuatan ini akan 'membekukan' makna sajaknya sehingga tidak dapat lagi diulas secara sembarangan oleh orang lain. Apabila pembaca tidak dapat lagi mengaplikasikan kreativitinya untuk menghuraikan makna sesebuah sajak, hilanglah nilai seni karya itu. Namun tidak ada masalah jika penulis menulis tentang “proses kreativiti” yang terlibat dengan penghasilan karyanya. Pada hari ini, ada pandangan baru yang menggemari kegiatan penulis mengulas karyanya sendiri. 31. Kursus Pada hari ini, peminat puisi dapat mengikuti beberapa kursus formal dalam penulisan mahupun deklamasi puisi. Kursus dianjurkan pelbagai pihak dari semasa ke semasa. 31(1) Minggu Penulis Remaja (MPR) Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan kursus berprestij Minggu Penulis Remaja (MPR), sekali setiap tahun. Dalam kursus seminggu ini, para peserta remaja diajar mengenai puisi, di samping genre penulisan yang lain. 31(2) Akses dan Proksi dari eSastera 61

ESastera meganjurkan kursus tahunan Akademi Sastera Siber (Akses) di Kelantan serta Program Kemahiran Sastera dan ICT (Proksi) di Selangor. Genre pusi ada diajarkan dalam kursus-kursus ini. 32. Menulis dan Menerbitkan Puisi Puisi yang anda tulis dapat dikongsi dengan khalayak secara menerbitkannya di media konvensional (majalah, akhbar, buku) mahupun di alam siber. 32(1) Persediaan Menulis Puisi Untuk menjadi penulis puisi yang baik, anda disarankan supaya melakukan perkara-perkara yang berikut: (a) Membaca puisi penyair-penyair mapan dengan banyaknya dan pelajari cara puisi ditangani penyair-penyair yang berlainan itu. (b) Membaca bahan-bahan yang lain daripada puisi dan disiplin perpuisian demi memperbaiki kosa kata dan mempelbagaikan tema yang dapat dituliskan. (c) Menulis puisi dengan kerap dan mengeditnya sehingga puas hati. (d) Sabar menghadapi tekanan perasaan dalam keadaan ketandusan idea atau kehilangan mood. (e) Mewujudkan motivasi untuk menulis. Misalnya, buat sasaran untuk menghantar sebuah puisi ke akhbar tertentu dalam minggu yang berkenaan. 32(2) Mencari Ilham Dalam mencari ilham atau idea untuk menulis, perhatikan perkara- perkara yang berikut: (a) Ilham akan datang hanya apabila minda berada dalam keadaan mahu menulis (in the state of wanting to write). Maka sentiasa letakkan minda anda dalam keadaan 'mahu menulis' itu. (b) Sentiasa sedar bahawa ilham akan mucul daripada hal-hal yang dilihat, dibaca, atau difikirkan. (c) Catatkan ilham yang muncul di minda sebelum hilang kerana kerap kali perginya itu tidak akan kembali lagi. 62

32(3) Menerbitkan Puisi Anda 32(3)(1). Majalah sastera yang diterbitkan di Malaysia pada masa ini ialah Dewan Sastera (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka secara bulanan), Tunas Cipta (juga terbitan DBP secara bulanan tetapi dikhaskan untuk penulis muda), dan Sastera.Net (terbitan Esastera Enterprise, memfokus kepada kegiatan sastera siber, diterbitkan empat kali setahun). 32(3)(2). Ada beberapa buah majalah berkala yang mempunyai ruangan sastera dan menyiarkan puisi secara konsisten. Misalnya, majalah URTV (terbitan Utusan Melayu). 32(3)(3). Akhbar harian dan mingguan juga ada yang mempunyai ruangan sastera dan menyiarkan puisi, biasanya secara seminggu sekali. Pada masa ini, akhbar Berita Harian/Berita Minggu menyiarkan puisi secara dua kali seminggu, pada hari Sabtu dan Ahad. Akhbar Mingguan Malaysia (Ahad) dan Harian Metro (Selasa) juga menyiarkan beberapa buah puisi di ruangan sasteranya. Akhbar-akhbar mingguan tabloid Siasah serta akhbar parti politik Harakah dan Suara Keadilan juga menyiarkan puisi di ruangan sastera masing-masing. 32(4) Royalti Anda boleh menghantarkan puisi anda kepada editor sastera penerbitan- penerbitan yang berkenaan untuk dipertimbangkan bagi siaran. Ada antaranya yang membayar royalti kepada anda apabila puisi anda disiarkan. 32(5) Kumpulan dan Antologi Puisi boleh juga diterbitkan dalam bentuk buku, sama ada sebagai antologi persendirian (kumpulan sajak individu) mahupun antologi bersama (berkongsi sajak dengan penulis-penulis lain dalam satu buku). 33. Licentia Poetica Licentia poetica atau 'lesen puitis' (Inggeris: 'poetic licence') merujuk kepada kebebasan yang 'dimiliki' penyair untuk melakukan penyimpangan terhadap peraturan-peraturan bahasa yang mapan demi memperoleh kesan puitis dalam karyanya. 33(1) Kepentingan Nilai Estetika 63

Penyair diingatkan bahawa penyimpangan daripada tatabahasa tidak harus dilakukan tanpa alasan estetika. Menurut Rahman Shaari, 'penyimpangan diizinkan hanya setelah nilai estetika terjamin hasil penyimpangan itu'. 33(2) Kesilapan Tatabahasa Bukan Estetika Lesen puitis ini tidak boleh digunakan untuk mewajarkan kesilapan tatabahasa yang rutin. 64

Rujukan Rujukan Utama 1. Rahman Shaari. Persediaan Menulis Sajak, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990. 2. Muhammad Haji Salleh. Pengalaman Puisi, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988. Rujukan Tambahan 1. Rahman Shaari. Lukisan Zaman, Marwillis Publisher and Distributor, 1991. 2. Rahman Shaari. Penilaian dan Penghayatan Sastera, Marwillis Publisher, 1987. 3. Pyan Husayn dan Suhaimi Haji Muhammad (Penyelenggara). Orang Bertiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980. 4. Rahman Shaari. Berkenalan Dengan Kritikan Sastera, Fajar Bakti, 1989. Rujukan Untuk Lampiran 4 Amran Ahmad. STPM: Menghadapi Peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 Aneka Pilihan, Fajar Bakti, 1993. Rujukan Untuk Lampiran 6 Hakim Iskandar dan Zairiah Mansor. Tatabahasa Bahasa Mwlayu KBSM, SNP Eastview Publication, 2002. 65

Lampiran Lampiran 1. Puisi Tradisional: Suatu Kurus Ringkas Lampiran 2. Penyair Bahasa Melayu Lampiran 3. Beberapa Buah Sajak Pilihan Lampiran 4. Budaya Bahasa: Suatu Kursus Ringkas Lampiran 5. Menyemak Semula Tulisan Anda Lampiran 6. Ayat: Suatu Kursus Asas Lampiran 7. Ulasan Sajak 'Menolak Rezeki' karya Irwan Abu Bakar 66

Lampiran 1. PUISI TRADISIONAL: SUATU KURSUS RINGKAS Ada pihak yang berpendapat bahawa, untuk menjadi penulis sajak yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai pengetahuna tentang puisi tradisional (dinamai juga puisi lama). Maka di sini diturunkan pengajaran ringkas tentang puisi tradisional. L1(1) Jenis-jenis Puisi Tradisional Ada beberapa jenis puisi tradisional. Dua yang terpenting dan masih amat popular pada masa ini ialah pantun dan syair. Jenis-jenis lain yang masih mendapat perhatian ialah gurindam, seloka, dan jampi mantera. Dalam kursus ini, lima puisi tradisional tersebut ini akan diperkatakan. L1(1)(1). Menarik juga diperhatikan bahawa kata 'sepantun' dalam bahasa Melayu bermaksud seperti, macam, atau seumpama. Kata 'gurindam' bermaksud umpama dalam bahasa Tamil. Kata 'seloka' bermaksud umpama dalam bahasa Sanskrit. L1(2) Pantun Pantun ialah satu-satunya puisi lama yang masih digunakan orang secara praktikal. Puisi ini merupakan puisi lama yang paling popular. Malah pantun masih terus dicipta orang pada hari ini. Pada zaman moden ini pun, pantun lebih popular daripada sajak. L1(2)(1). Di sini diturunkan contoh sebuah pantun lama yang akan dirujuk sebagai analisis nanti: Padi muda jangan dilurut, Kalau dilurut pecah batang; Hati muda jangan diturut, Kalau diturut susah datang. L1(2)(2). Perhatikan perkara-perkara yang berikut berkaitan dengan bentuk luaran pantun: (a) Pantun ini terdiri daripada empat baris. (b) Hujung dua baris pertama mempunyai rima dengan hujung dua baris kedua melalui sistem rima a-b-a-b ('dilurut' berima dengan 'diturut'; 'batang' berima dengan 'datang'). Kadangkala rima dibentuk juga pada dalam baris --biasanya kata yang kedua-- untuk menambahkan sedap bunyi. 67

(c) Setiap baris terdiri daripada empat perkataan. (Dibenarkan ditambah lagi dengan satu atau dua perkataan satu suku kata). L1(2)(3). Perhatikan perkara yang berikut yang amat penting dan amat asas tentang satu bentuk dalaman pantun: (a) Empat baris pantun itu terbahagi kepada dua bahagian: bahagian 'pembayang' (dibentuk oleh dua baris pertama dan bahagian 'maksud' yang dibentuk oleh dua baris terakhir). (b) Isi, atau tema, pantun itu terkandung dalam bahagian 'maksud' (dua baris terakhir). (c) Pada amnya, bahagian 'pambayang' (dua baris pertama) digunakan untuk membayangkan apa yang hendak disampaikan oleh dua baris terakhir. (Dalam penciptaan pantun yang kurang bermutu, bahagian pembayang hanya bertindak sebagai starters ('penghidang' atau 'pembuka kata') dan digunakan untuk membina struktur dan menimbulkan rima semata-mata). L1(2)(4). Pantun yang terdiri daripada empat baris seperti yang ditunjukkan di atas adalah yang paling popular. Pantun ini dinamai 'pantun empat kerat'. Pantun boleh juga dibentuk daripada dua baris (pantun dua kerat), enam baris (pantun enam kerat), lapan baris (pantun lapan kerat), dsb. Namun baris-baris itu sentiasa dibahagikan kepada dua bahagian, dengan bahagian pertama membentuk bahagian pembayang dan bahagian kedua membentuk bahagian maksud. Jelasnya, pantun perlu dibentuk oleh bilangan baris yang genap. (a) Contoh pantun dua kerat yang popular: Tak tumbuh tak melata, Tak sungguh orang tak kata. (b) Contoh pantun enam kerat yang popular: Apa diharap padi seberang, Entah berderai entahkan tidak, Entak dimakan pipit melayang; Apa diharap kekasih orang, Entah bercerai entahkan tidak, Entah semakin bertambah sayang. L1(2)(5). Pantun Berkait 68

Pantun berkait ialah pantun empat kerat yang berhubungan antara rangkap dengan rangkap. Perhubungan bentuk luar diperoleh melalui pengulangan baris kedua rangkap untuk dijadikan sebagai baris pertama bagi rangkap selepasnya; kemudian, baris keempat rangkap pertama dijadikan sebagai baris ketiga dalam rangkap selepasnya. Rangkap-rangkap dalam pantun berkait membentuk kesatuan daripada segi isi atau temanya. Contoh pantun berkait (dua bait): Bunga melur cempaka biru, Bunga rampai di dalam puan; Hendak tidur merasa rindu, Belum sampai padamu tuan. Bunga rampai di dalam puan, Ruku-ruku dari Peringit; Belum sampai padamu tuan, Rindu saya bukan sedikit. L1(2)(6). Struktur Dalaman Pantun Struktur dalaman pantun dimanifestasikan oleh hubungan antara pembayang dengan maksud. Pada amnya, pembayang memberi gambaran akan kandungan isi yang dibawa oleh bahagian maksud. L1(3) Syair Di sini diturunkan dahulu tiga rangkap daripada syair lama 'Syair Yatim Nestapa' sebagai rujukan untuk ulasan nanti: SYAIR YATIM NESTAPA Berjalanlah ia ke dalam negeri, Ke dalam kota raja yang bahari, Lalulah masuk ke balairung seri, Disembahkan kepada Perdana Menteri. Menteri pun masuk ke dalam istana, Menghadap baginda raja yang ghana, Ditegur baginda dengan sempurna, Adakah dapat dukun di sana? Baginda betitiah dengan air mata, 69

Adakah dapat bagai dicita, Orang yang mengubat puteri kita, Jikalau ada bawalah serta. L1(3)(1). Bentuk Luaran Perhatikan perkara-perkara yang berikut berkaitan dengan bentuk luaran syair: (a) Setiap rangkap syair terdiri daripada empat baris. (b) Hujung keempat-empat baris setiap rangkap mempunyai rima a-a-a- a. (c) Setiap baris terdiri daripada empat perkataan. (Dibenarkan ditambah lagi dengan satu atau dua perkataan satu suku kata). Hal ini sama seperti pantun. L1(3)(2). Bentuk Dalaman Perhatikan perkara yang berikut tentang bentuk dalaman syair: (a) Keempat-empat baris dalam rangkap syair membentuk isi atau maksud yang hendak disampaikan. Tidak ada bahagian 'pembayang' seperti dalam pantun. (b) Sesuatu karya syair biasanya dibentuk daripada lebih daripada satu rangkap. Rangkap-rangkap itu membentuk satu kesatuan isi atau tema. (c) Tema syair lazimnya ialah cerita atau kata-kata nasihat. (d) Syair diucapkan dengan lagu (melodi) yang standard yang telah pun dikenali ramai. Ada hanya dua variasi melodi yang digunakan secara popular. L1(4) Gurindam Gurindam ialah puisi tradisional yang khusus. Di sini diturunkan dua sebuah gurindam lama: (i) Fasal Ketujuh, Gurindam Dua Belas Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta. Apabila banyak berlebih suka, itulah tanda hampirkan duka. 70

Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat. Apabila anak tidak dilatih, jika besar bapanya letih. Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang. Apabila orang yang banyak tidur, sia-sia sahajalah umur. (ii) ALAMAT HARI NAK SIANG Tengah malam sudah terlampau Dinihari belum lagi tampak Budak-budak dua kali jaga Orang muda pulang bertandang Orang tua berkalih tidur Embun jantan rintik-rintik Berbunyi kuang jauh ke tengah Sering lanting riang di rimba Melenguh lembu di kandang Sambut menguak kerbau di kandang Berkokok mendung merak mengigal Fajar sidik menyingsing naik Kicak kicau bunyi murai Tabtibau melambung tinggi Berkukuk balam di hujung bendul Terdenyut puyuh panjang bunyi Puntung sejengkal tinggal sejari Itulah alamat hari nak siang. L1(4)(1). Gurindam memiliki ciri-ciri yang berikut: (a) temanya mengemukakan 'nasihat', 'pandangan', atau 'gambaran sesuatu keadaan'. Misalnya, gurindam 'Alamat Hari Nak Siang' (yang amat popular itu) menggambarkan keadaan alam semasa menuju cerah. (b) Lazimnya, gurindam dibina dengan rangkap-rangkap yang masing- masing mempunyai dua baris yang ada rima di hujungnya. (Namun ada juga pengkaji yang berpendapat bahawa gurindam tidak terikat dengan struktur khas. Gurindam 'Alamat Hari Nak Siang', misalnya, tidak mematuhi keperluan rangkap-rangkap dua baris yang berima). L1(5) Seloka 71

Seloka juga ialah puisi tradisional yang khusus. Di sini diturunkan sebuah seloka lama: PAK KADUK Aduhai malang Pak kaduk, Ayamnya menang kampung tergadai, Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran, Mudik menongkah surut, Hilir menongkah pasang, Ada isteri dibunuh, Nyaris mati oleh tak makan, Masa belayar kematian angin, Sudah dilabuh bayu berpuput, Ada rumah bertandang duduk. L1(5)(1). Perkara-perkara yang berikut ialah asas tentang seloka: (a) Menyerupai gurindam dari segi tema. (b) Lazimnya, mengandungi sindiran atau kiasan yang tajam. (c). Bentuknya tidak terikat pada peraturan tertentu. (Namun ada juga seloka yang dibuat berbentuk seperti syair). L1(6) Mantera Jampi mantera ialah puisi tradisional yang mempunyai kegunaan khusus dalam masyarakat Melayu tradisional. Di sini diturunkan sebuah mantera lama: MANTERA PEMUJA PENGASIH Uratku lipat lendan tujuh Darah mengelegak dalam tubuh Kena doaku hampir panas Hai malaikat empat puluh empat Aku serulah engkau Suruhlah engkau pergi mengambil hati Rentak rentang bawa hantar kasih sayang padaku Siang dan malam tiada lupa padaku Lupa makan nasi lupa akan aku Dengan berkat doa la ilaha illallah Muhammad rasulullah. 72

L1(6)(1). Perkara-perkara yang berikut ialah asas bagi mantera: (a) Kata-kata penawar atau kata-kata pemujaan yang digunakan oleh pawang dan dukun. (b) Berbentuk bebas. (c) Dikaitkan dengan unsur doa keagamaan. (d) Ada cara tertentu untuk menyampaikannya secara lisan. Lampiran 2. Penyair Bahasa Melayu Antara penyair mapan Malaysia yang menulis dalam bahasa Melayu adalah seperti yang berikut: Affrini Adham (lahir: 1927), Usman Awang (Allahyarham, l: 1929), Kassim Ahmad (l. 1933), Suhaimi Haji Muhammad (l: 1934), A. Samad Said (l. 1935), Dharmawijaya (l. 1937), Jihaty Abadi (Allahyarham, l. 1938), Nahmar Jamil (l. 1938), Baha Zain (l. 1939), A. Wahab Ali (l. 1941), Kemala (l. 1941), Latif Mohidin (l. 1941), Muhammad Haji Salleh (l. 1942), Ahmad Sarju (l. 1942), A. Ghafar Ibrahim (l. 1943), T. Alias Taib (l. 1943), Sutung Umar (l. 1948), Dinsman (l. 1949), Rahman Shaari (l. 1949), Siti Zainon Ismail (l. 1949), Zurinah Hassan (l. 1949), Lim Swee Tin (l. 1952), Moechtar Awang (l. 1956) Shukri Abdullah l. 1968). Nimoiz T.Y (l. 1983) 73

Fahd Razy (l. 1984) Lampiran 3. Beberapa Buah Sajak Pilihan Di sini diperturunkan beberapa buah sajak pilihan untuk panduan dan renungan. L3(1) 'Angan-angan Dengan Gurindam' oleh Omar Mustaffa Bangkitlah bangkit! Mengapa tidur lama sangat? Di mana dapat mencari negeri yang sekaya negeri kita? Timah dimasak sudahlah hangat. ... (ini bait pertama sahaja; ada sambungannya). L3(2) 'Di Tengah Senggara' oleh Punggok Di dalam gelombang hambur-menghambur Kudengar seru sayup bahasa Hatiku lebur bagaikan hancur Hendak kurenang beta tak bisa Tuan mengeluh menanggung nestapa Kudengar turut sama bersedih Meski kurenang takkan berjumpa Segara berpuaka - teluk beralih Dengar sahaja doa kupohonkan Kepada Allah Yang Maha Kaya Allah menolong jiwa telapakkan Sampai ke tepi selamat bahagia. Majalah Guru, Th.x, Disember 1933 L3(3) 'Sayup' oleh Noor S.I. Cermin bintang dara sentuhan kembara lalu terkena. Manis bulan basah penghidupan karat pisau di pinggang hidup nan luang. Kawan menyentuh dara hamillah dunia noda. 1958-59 Rakaman Roh, 1963. L3(4) 'Embun' oleh M. Ghazali 74

Embun hatinya berkaca kejauhan paginya embun hatinya berkata ia diliputi senja. Dadanya ada embun tapi bukan untuknya. Embun hatinya berkaca dingin embun dinoda. Kuala Lumpur, 5 Mac 1959. Bunga Merah, 1977. L3(5) 'Kefanaan' oleh Muhammad Haji Salleh sepanjang pantai esphanol portugal berbau kesepian disenyapkan oleh kabut yang enggan pergi tengah hari. aku duduk di longgok batu, jauh dari pantai tenggelam dalam kapas kabus. suara laut taram dan bau kejauhan menolaknya ke air. inilah kefanaan. Esphanol L3(6) 'Pengemis' oleh T. Alias Taib dari tubuhnya merangkak kehidupan bagai seekor siput mencari sehelai daun. dari peluhnya terpercik harapan bagai sekelopak bunga menanti fajar pagi. dari keluhnya terkumpul debaran bagai gemuruh jeram menangisi kabut hutan. dalam matanya berkocak keharuan bagai perahu tua kematian angin. dalam suaranya mengalir kesedihan bagai anak sungai kehilangan muara. dalam dadanya menetes kesalan bagai mendung hitam ketibaan hujan. L3(7) 'Kebebasan' oleh Rahman Shaari Kebebasan memilih 75

telah kauajukan aku ke sini meyakinkan akalku mengerti makna diri. tapi bagaimana perjalanan panjang lorong-lorong bersilang sedang pergikah aku atau pulang? Jalan ini katamu jalan semalam tapi likunya berganti dan sungai beralih haluan aku jugalah kurang sedia memahami perubahan. biarlah aku di sini berteduh mengeluh di bayang kebosanan sambil menghitung waktu lepasku oleh kebebasan. Selangor, 25 Januari 1976. L3(8) 'Kusunsting Mawar' oleh Irwan Abu Bakar Apabila kusunting mawar kusunting wanginya bersama durinya bercintalah aku dengan wangi dan duri sekala khayal mengendus sekala bisa tercucuk dalam masyuk dan rajuk kebahagiaan dunia. Kuala Lumpur, 12.02.2001 Lampiran 4. Budaya Bahasa: Suatu Kursus Ringkas Pengetahuan tentang budaya bahasa Melayu dapat membantu dalam penulisan puisi yang berkesan. L4(1). Aspek Budaya Bahasa Budaya bahasa lazimnya dilihat daripada lima aspek, iaitu (a) neka bahasa, (b) laras bahasa, (c) retorik, (d) ragam bahasa, dan (e) kesantunan bahasa. L4(2) Neka Bahasa 76

Neka bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa mengikut konteksnya, iaitu (a) bahasa formal, (b) bahasa tak formal, (c) bahasa halus, dan (d) bahasa istana. L4(3) Laras Laras bahasa merujuk kepada penggunaannya dalam bidang ilmu atau dalam perhubungan moden. L4(3)(1). Laras biasa ialah penggunaan bahasa yang tidak melibatkan sebarang bidang ilmu atau konteks khusus. L4(3)(2). Contoh laras bahasa ialah laras perniagaan, laras akademik (sains dan teknikal), laras undang-undang, laras media massa, dan laras sastera. L4(4) Retorik Retorik ialah seni penggunaan bahasa. Hal ini melibatkan penyampaian atau pengungkapan fakta dan idea dengan bahasa yang berkesan dan menarik. Teknik pengungkapan ini dibahagikan kepada tujuh jenis, iaitu: (a) pemerian (penjelasan, penakrifan, panduan atau huraian sesuatu perkara); (b) cerita (peristiwa yang dikisahkan dengan gaya tertentu; esei bercorak naratif); (c) hujah (bukti, alasan, atau keterangan); (d) khutbah (nasihat keagamaan yang mementingkan dalil-dalil sahih); (e) nasihat (memujuk orang untuk melakukan perkara baik); (f) penerangan (penjelasan tentang perkara yang diterangkan); dan (g) pujukan (rayuan dengan matlamat menyerahkan kuasa si pembujuk kepada orang yang dipujukinya). L4(5) Ragam Bahasa Ragam bahasa merujuk cara pengungkapan diolah untuk menyesuaikannya dengan tujuan sesuatu fakta atau keterangan hendak disampaikan. 77

L(4)(5)(1). Ada 16 ragam utama yang telah dikenal pasti bagi bahasa Melayu, iaitu: (a) bahasa sindiran, (b) bahasa giat, (c) bahasa ejek, (d) bahasa terbalik, (e) bahasa merajuk, (f) bahasa tempelak, (g) bahasa herdik, (h) bahasa melampau, (i) bahasa naik, (j) bahasa turun, (k) bahasa ingkar, (l) bahasa seruan, (m) bahasa ulang, (n) bahasa bertimbal, (o) bahasa nafi, dan (p) bahasa jenaka. L(4)(5)(2). Dalam istilah puisi moden, ragam bahasa dinamai 'gaya'. Istilah-istilah moden yang dikaitkan dengannya diberikan dalam Modul 11. L4(6) Kesantunan Berbahasa Kesantuan merujuk kepada strategi penggunaan gelaran, sapaan, dan ganti nama untuk menunjukkan hormat. L4(6)(1). Penggunaan kesantunan ada beberapa peringkat: (a) biasa (aku, awak, makcik, saudara), (b) hormat (Encik, Puan, Yang Berusaha, Yang Berhormat), (c) diraja (Tuanku, baginda, patik), (d) halus (jenazah, allahyarham, arwah), dan (e) mesra (nama timangan: Man, Sal, Ayu; nama sendiri: Ramli, Normah; ganti nama: adik, abang, uda, along). Lampiran 5. Menyemak Semula Tulisan (Revisi) (Sorotan artikel 'Poetic Metamorphosis: Revising Your Work' oleh Kathy Hoeck, dalam laman poetry.com). 78

Artikel yang berjudul 'Metamorfosis Puitis: Menyemak Tulisan Anda' ini ditulis Hoeck untuk menekankan betapa pentingnya usaha pepenyemakan serta memberikan contoh praktis aktiviti menyemak sebuah ayat puisi. Hoeck memulakan tulisannya dengan berkata, 'Inspirasi ialah sesuatu yang melintas lalu: mana-mana penulis mengetahuinya. Untuk memastikan bahawa perasaan, idea, atau kata yang 'sempurna' itu tidak hilang buat selama-lamanya, biasanya kita akan menyambar sehelai kertas yang paling hampir dengan kita dan terus menuliskan pemikiran kita. Ya, pada ketika itu, kita telah menulis sebuah puisi. Namun tidak semestinya kita telah menulis sebuah puisi yang baik.' Menurut Hoeck lagi, 'Kita cenderung untuk berkata, 'Ah, inilah yang aku rasai, maka inilah yang aku tuliskan. Aku tidak boleh menyemak kembali perasaanku.' Memanglah, perasaan tidak dapat disemak kembali, tetapi kata-kata yang kita pilih untuk menyatakan pemikiran dan emosi peribadi itu dapat disemak semula.' Apabila inspirasi datang, menurut Hoeck, anda bukan sahaja menyambar sehelai kertas yang tedekat dengan anda, malah anda juga menyambar perkataan-perkataan yang paling mudah, perkataan- perkataan yang dapat difikirkan dengan paling cepat. Namun, menurut Hoeck lagi, amatlah merosakkan jika anda berfikir bahawa penulisan mula anda yang kasar itu adalah suci/keramat, kerana biasanya tulisan itu tidak persis atau tidak menggambarkan sepenuhnya makna yang anda rasai atau hajati. Kata Hoeck, penyemakan perlu dilakukan terhadap kata-kata yang mula anda tulis semasa mendapat inspirasi supaya karya anda dapat diberikan gilapan, kedalaman, dan bunyi yang profesional. Perasaan dan niat anda yang sebenar dapat diterangkan dengan menggunakan bahasa yang lebih jelas dan tepat. Imejan (imagery), yang telah dinamai 'roh puisi', dapat diterapkan ke dalam karya anda setelah mengambil masa memikirkannya secara lebih mendalam dan melakukan refleksi. Di samping itu, oleh sebab ritma dan lirikisme (lyricism) puisi adalah aspek penting seni, bunyi puisi anda dapat diperiksa dan dibaiki dengan memadankan dan menyusun kata-kata yang mewujudkan sesuatu perasaan melalui bunyi khusus (timbre) suku-suku katanya. Pendapat Hoeck ini selari dengan pendapat penyair mapan tempatan, T. Alias Taib. Menurut T. Alias, 'Semakan dapat dihubungkan dengan usaha penyair memilih dan mencari kata-kata tepat, memperbaiki dan memperhalusi pengucapan yang terdahulu.' Tambah T. Alias, 'Perbezaan besar antara penulis mapan dengan penulis baru ialah sikap mereka terhadap kerja menyemak. Mereka yang baru (menulis) biasanya tidak cenderung kepada penyemakan...' (Dipetik daripada Kata Pengantar, antologi Semelar karya Irwan Abu Bakar). 79

Belajar Melalui Contoh Hoeck meneruskan penulisannya dengan memberikan contoh cara kerja penyemakan dilakukan dengan mengambil baris puisi yang berikut sebagai contoh praktis dalam melakukan kerja penyemakan: Nyanyian daripada burung-burung pada waktu pagi membuat aku mahu terbang bersama-samanya. Menurut Hoeck, baris puisi ini tentu sekali mencuba untuk menyampaikan idea yang dramatik. Namun kekuatan yang diingini itu dilemahkan oleh kata-kata yang tidak dapat mencerminkan keriangan dan inspirasi yang dirasai penulisnya. Hoeck mencadangkan revisi melalui dua cara. Pertama, oleh sebab kepadatan dan kepersisan pemilihan kata ialah kunci kepada puisi yang baik, baris ini barangkali terlalu panjang. Penggunaan frasa-frasa 'daripada burung-burung' dan 'pada waktu pagi' dapat dibuang atau ditukar kepada 'Nyanyian pagi burung-burung'. Kedua, 'bersama- samanya' boleh dibuang kerana kita dapat andaikan bahawa penulis memang hendak terbang dengan siapa lagi kalau bukan dengan burung- burung itu? Maka inilah penyemakan pertama yang dicadangkan oleh Hoeck, membuang frasa-frasa yang tidak perlu: Nyanyian pagi burung-burung membuat aku mahu terbang. Kemudiannya, Hoeck mempertimbangkan pula frasa 'membuat aku mahu terbang'. Sebenarnya, kata-kata ini, menurut Hoeck, ialah inti sari puisi ini. Kata-kata inilah yang sepatutnya mengungkapkan perasaan yang dirasai penulis daripada nyanyian burung-burung. Kata-kata ini, walau bagaimanapun, tidak dapat menangkap emosi yang begitu mendalam. Barangkali frasa seperti 'menggerakkan gunung-gunung di dalam' dapat menggambarkan dengan lebih baik akan perasaan yang mengusik penulis. Imejan yang digunakan di sini dapat membantu menyampaikan kedalaman dan magnitud perasaan si penulis. Kata-kata ini juga sedap bunyinya dengan pengulangan vokal 'u' pada kata 'burung' dan 'gunung'. Semakan seterusnya adalah seperti yang berikut: Nyanyian pagi burung-burung menggerakkan gunung-gunung di dalam. Kini penyemakan hampir lengkap. Namun, menurut Hoeck, baris ini belum sebenar-benarnya mengungkapkan hasrat penulis mahu terbang bersama burung-burung. Penyemakan sebelum ini membantu menjelaskan emosi penulis yang mendalam tetapi meninggalkan hasrat 80

untuk terbang bersama burung-burung. Oleh sebab waktu yang terlibat ialah pagi, barangkali penulis baharu terjaga kepada nyanyian burung- burung itu, maka frasa 'aku bangkit untuk terbang' mungkin sesuai. Menurut Hoeck, kata-kata itu dipenuhi dengan aksi yang melebihi hasrat untuk terbang tinggi bersama burung-burung. Kata-kata itu mengandaikan bahawa penulis boleh terbang walaupun mungkin pada semangat dan bukannya pada realiti. Maka inilah hasil penyemakan ketiga: Nyanyian pagi burung-burung menggerakkan gunung-gunung di dalam dan aku bangkit untuk terbang. Dengan sempurnanya penyemakan, maka mari kita bandingkan baris asal puisi yang tersebut dengan baris yang telah sempurna disemak: Nyanyian daripada burung-burung pada waktu pagi membuat aku mahu terbang bersama-samanya. Nyanyian pagi burung-burung menggerakkan gunung-gunung di dalam dan aku bangkit untuk terbang. 'Baris asal puisi itu berbunyi seperti suatu pernyataan fakta, sedangkan baris yang telah disemak berbunyi lebih seperti suatu pernyataan perasaan,' kata Hoeck mengakhiri panduan penyemakannya. Hoeck membuat analisis terhadap baris puisi dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Melayu, baris terakhir itu juga dapat ditulis semula jika anda (a) menggunakan konsep cantasan ('nyanyian' kepada 'nyanyi'), (b) tidak keberatan menggunakan sedikit klise ('beburung' dan 'gegunung'), dan (c) memperkenalkan inversi pada ungkapan 'aku bangkit' demi menegaskan perbuatan 'bangkit' itu: Nyanyi pagi beburung menggerakkan gegunung di dalam dan bangkit aku untuk terbang. Dan dengan enjambemen: Nyanyi pagi beburung menggerakkan gegunung di dalam dan bangkit aku untuk terbang. Bait puisi ini tentulah lebih berkesan dalam merakamkan emosi protagonis jika dibandingkan dengan baris puisi yang asal. 81

Lampiran 6. Ayat: Suatu Kursus Asas L6.1 Definisi Ayat Ayat = sekumpulan perkataan yang disusun dengan cara tertentu dan membawa makna yang lengkap. L6.2 Dua Bahagian Ayat Dasar Semua ayat paling mudah yang sempurna (dinamai 'ayat dasar') dalam apa-apa bahasa sekalipun dapat dibahagikan kepada dua bahagian: - subjek (S), dan - predikat (P) Maka diperoleh formula yang berikut: Ayat Dasar = S + P dengan S = bahagian yang diterangkan P = bahagian yang menerangkan L6.3 Komponen Ayat Daripada segi hiraki, analisis tentang 'ayat' dapat disenaraikan seperti yang berikut: - bermula dengan 'kata' (atau 'perkataan') - kata membentuk 'frasa' - frasa membentuk 'klausa' - klausa membentuk 'ayat' L6.3.1 Frasa ialah sekumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. Frasa boleh juga dibentuk oleh satu perkataan sahaja. Frasa tidak mempunyai subjek dan predikat. Ada empat jenis frasa, seperti yang berikut: - Frasa nama (FN) - Frasa kerja (FK) 82

- Frasa adjektif (FA) - Fasa sendi nama (FS) L6.4 Subjek dan Predikat Ayat Bahasa Melayu Dalam ayat bahasa Melayu, 'subjek' dibentuk oleh frasa nama (FN) sementara 'predikat' dibentuk oleh salah satu daripada frasa yang berikut: (a) Frasa nama (FN) (b) Frasa kerja (FK) (c) Frasa adjektif (FA) (d) Frasa sendi nama (FS) Maka ayat dasar dalam bahasa Melayu mengambil salah satu daripada empat format yang berikut: (a) FN + FN (b) FN + FK (c) FN + FA (d) FN + FS L6(5) Bentuk-Bentuk Ayat Ayat dapat mengambil salah satu daripada bentuk yang berikut: (a) Ayat tunggal (mengandungi satu subjek dan satu predikat): Ayat Tunggal = 1S + 1P (b) Ayat majmuk (mengandungi dua atau lebih ayat tunggal yang digabungkan dengan menggunakan kaedah tertentu): Ayat Majmuk = Ayat Tunggal 1 + Ayat Tunggal 2 + ... L6(6). Ayat-ayat yang membentuk puisi dapat terdiri daripada ayat tunggal atau ayat majmuk. L6(6)(1). Contoh ayat tunggal (ayat pertama bagi puisi 'Lelaki dengan Tembikai Masak' oleh Irwan Abu Bakar): Dia lelaki. L6(6)(2). Contoh ayat majmuk (ayat pertama bagi puisi 'Marah Lelaki' oleh Irwan Abu Bakar): Dia lelaki sabar yang lama tidak marah tetapi petang itu menghunus pedang (yang selama ini bersemadi di sarungnya dan dilupakannya) 83

kerana kelelakiannya tercabar oleh emosi wanita yang tidak munasabah, yang menelan semua episod sejarah ria bersama. (Dia lelaki. Dia sabar. Dia lama tidak marah. Petang itu dia menghunus pedang. Pedang itu selama ini bersemadi di sarungnya. Pedang itu selama ini dilupakannya. Kelelakiannya tercabar oleh emosi wanita. Emosi wanita itu tidak munasabah. Emosi wanita itu menelan semua episod sejarah ria bersama). L6.6 Baris-baris puisi tidak semestinya terdiri daripada ayat yang sempurna. Kerap kali ayat yang sempurna dipatahkan untuk membentuk sesuatu baris puisi. Teknik mematah-matahkan ayat dalam penulisan puisi ini dinamai 'enjambemen'. Contoh: ada suara terbit dari bibir bunga yang sempat kutangkap. (Daripada puisi 'Di Kedai Bunga' karya T. Alias Taib). Lampiran 7. Ulasan Sajak 'Menolak Rezeki' Di sini diperturunkan tiga ulasan yang dibuat oleh tiga penulis yang berlainan terhadap sajak 'Menolak Rezeki' karya Irwan Abu Bakar atau Dr.irwan (Dewan Sastera, April 2003). Ulasan-ulasan ini dipetik daripada e-majalah eSastera.com. Di samping itu, disiarkan juga ulasan penyair Lim Swee Tin yang merupakan sebahagian daripada ulasannya terhadap sembilan buah sajak yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, April 2003. Sebelum itu, ajak itu disiarkan di sini sebagai rujukan. Menolak Rezeki Tong sampah besar sebiji dikunjungi setiap hari mencari rezeki sehari dia cuti terbuang selori rezeki, dimakan api atau bumi pernah dia berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik si cuai yang kaya tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak mimpi siang hari. Hari ini dalam kesibukan kerja biasa terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing melihat matanya. 'Ah, yang ini susah nak jual,' kuis tangan kirinya lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki. 7.1 Ulasan Oleh Nakhoda (Ramlee Wahab, Batu Pahat, Johor) Prakata 84

Pertama: saya mengucapkan tahniah kerana puisi Prof. Dr.irwan (penyair) berjudul 'Menolak Rezeki' tersiar di majalah Dewan Sastera, April 03. Kedua: ribuan terima kasih kerana memberikan keizinan kepada saya untuk membuat ulasan secara sederhana. Dan ini suatu penghormatan tertinggi buat saya. Ulasan Telah saya baca berulang kali puisi 'Menolak Rezeki' ini; dua kali demi menghayati dan tiga kali lagi untuk memahami. Selepas itu, barulah saya berupaya mendapat semangat untuk memulakan tugas. Secara kasar, puisi ini menceritakan watak utama seorang 'dia' yang kerjanya saban hari adalah berada di tempat pembuangan sampah. Tidak lain hanya menyelongkar timbunan sampah-sarap; demi mencari benda-benda atau barang-barang buangan yang masih boleh digunapakai, kemudian untuk dijualkan kepada peraih (karung guni). Pernah sekali 'dia' menjumpai sebungkus wang terbungkus dalam beg plastik yang berkemungkinan telah tercicir atau terbuang oleh seseorang (dikenali sebagai 'si cuai yang kaya). Kemudian, seperti hari-hari biasa juga, 'dia' kembali mencari sesuatu benda yang berharga di tempat pembuangan sampah tersebut. Lalu secara tidak senghaja, 'dia' terjumpa seorang bayi (dalam bungkusan dan bayi itu tersenyum kepada 'dia') tetapi tidak diendahkannya. Kerana 'dia' menganggap bayi itu sukar untuk diniagakan (susah untuk dijual). 'Dia' kemudian kembali meneruskan pencarian (rezekinya) tanpa peduli atau menghiraukan hal- hal yang lain. Puisi ini, apabila telah kita hayati dan mengerti setiap susuk mahupun teluk, tidak mungkin kita berasa kekok ataupun teruk. Segala- galanya menjadi mudah dan lurus terarah kerana penyair ini tidak langsung terkesan menggunakan/menyelitkan sebarang metafora, personifikasi, simile ataupun alusi; kecuali gaya 'inversi' dan 'hiperbola' yang mungkin wujud/diwujudkan secara sengaja/tidak sengaja oleh penyair sewaktu garapan dilakukan. Bukti-bukti kedapatan gaya 'inversi' (gaya penegasan) adalah melalui petikan-petikan berikut: 1. Tong sampah besar sebiji.... Kelaziman tatabahasa dibaca/ditulis begini: 'Sebiji tong sampah besar...' 2. sehari dia cuti... Kelaziman tatabahasa dibaca/ditulis begini: dia cuti sehari... 3. pernah dia berjumpa 85

Kelaziman tatabahasa dibaca/ditulis begini: dia pernah berjumpa.... 4. terjumpa dia bungkusan Kelaziman tatabahasa dibaca/ditulis begini: dia terjumpa bungkusan... Alasan terjadinya 'kejadian pembalikan kata-kata' ini boleh diterima pakai kerana penyair menyenangi 'gaya' sedemikian (mungkin juga hasil pengalaman yang lama dan luas) dan memungkinkan juga timbul situasi 'kepuitisan' bahasanya tatakala dibacakan. Keempat-empat situasi penggunaan gaya 'Inversi' itu semata-mata mahu menegaskan/menekankan sesuatu babak peristiwa (termasuk menimbulkan suasana dan latarnya) yang telah terjadi dengan mendahulukan beberapa kata-kata seperti 'tong', 'sehari', 'pernah', dan 'terjumpa'. Tentu ini menimbulkan implikasi yang lebih realisitik kepada kesan bacaan tentunya. Contoh gaya perbandingan 'hiperbola' (gantian perkataan asal kepada perkataan lain demi menimbulkan gambaran perbandingan yang berlebih-lebihan daripada biasa) adalah seperti petikan-petikan berikut: Tong sampah besar sebiji (dikunjungi)... ...(terbuang) selori rezeki.... 'Ah, yang ini susah nak jual,' (kuis).... lalu ia terusi tugas sehari-hari (mengais)... Hasrat penyair menggunakan perkataan-perkataan 'dikunjungi', 'terbuang', 'kuis', dan 'mengais' itu jelas menggambarkan beliau mahu membuat secara senghaja suatu 'penekanan' untuk menimbulkan kesan kejadian yang berlaku dalam babak tersebut (menguasai perasaan dan pandangan) dan mahu pembaca turut 'merasa' bersama watak 'dia' yang melakukan setiap aksi (kesan virtual reality juga boleh ditakrifkan di sini) lantas menimbulkan kesan 'kejiwaan' yang mendalam (mungkin hingga menimbulkan rasa jijik/mual/kasihan/simpati/dll) kepada diri pembaca. Hasrat penyair yang semamangnya membawa berkat. Hasil penggunaan kedua-dua gaya (inversi dan hiperbola) tadi, penyair telah dengan senghaja memanipulasikan 'langgam bahasa' secara bijak lagi kreatif (dialog bercampur naratif) sehinggakan tidak terasa oleh kita bahawa susunan baris-baris puisi ini sebenarnya menyerupai sebuah puisi prosa yang sederhana panjang dan kalau disusun-aturkan semula akan menjadi sebuah bentuk yang lain (tidak saya bercadang melakukan sebarang perubahan di sini) dan memungkinkan ulasan yang bercorak lain pula. Penyair peka kepada apa yang beliau karangi dan bentuk itulah yang beliau senangi. Saya akur hal ini. 86

II Menyentuh pula soal 'bunyi', iaitu mencari keindahan (seni bunyi) yang berupa 'irama dan rima' yang semacam memberikan 'nafas dan nyawa' kepada 'hayat dan usia' sesebuah karya itu agar sentiasa 'segar dan hidup' setiap kali dibaca. Ternyata puisi 'Menolak Rezeki' ini bernada 'sinis' yang jelas menyangkuti tema 'kemanusiaan' yang mendalam (secara psikologi). Saya menurunkan beberapa petikan rima yang kedapatan pada puisi ini (lebih merupakan 'aksesori' wajib/penting) seperti di bawah: 1. ...sebij(i) dikunjung(i) ...hari(i) mencar(i) rezek(i) Pengulangan vokal 'i' sebanyak 5 kali. 2. ...sehar(i) ...cut(i) ...selor(i) rezek(i) ...ap(i) atau bum(i) Pengulangan vokal 'i' sebanyak 5 kali. 3. ...tapi(i) ...kin(i) ...in(i) ...lag(i) ...mimp(i) ...har(i) Pengulangan vokal 'i' sebanyak 6 kali. 4. ...Har(i) in(i)... Pengulangan bunyi vokal 'i' sebanyak 2 kali. 5. ...beris(i) bay(i)... Pengulangan vokal 'i' sebanyak 2 kali. 6. ...terus(i) sehari(i)-har(i) ...is(i) ...rezek(i) Pengulangan vokal 'i' sebanyak 5 kali. Memang puisi ini teramat 'mewah' dengan keindahan bunyi-bunyian rima 'asonansinya' dan kemungkinan rasa jemu membaca dan menghayati puisi ini berulang-kali amat tipis (puisi ini tidak tawar dan hambar malahan segar). Penyair, saya anggap telah melalui suatu proses 'pencernaan' (termasuk 'pemeraman') yang cukup teliti dan rapi serta yakin dengan penghasilan beliau ini. Siratan rima yang sebegini adalah bagaikan anyaman tikar (pandan atau mengkuang) yang diselang-selikan dengan warna-warni di permukaannya; tentu tampak lebih menarik dan cantik dan terasa selesa pula kalau disinggahi punggung. Kemudian, saya mencari-cari pula kalau-kalau kedapatan rima 'aliterasi' yang turut mengongsi situasi ini, dan saya terjumpa 'satu'; mungkinkah ini benar atau samar-samar, tapi saya yakin dan membuat petikannya seperti berikut: ...bungkusan berisi bayi... 87

Awalan (bu)/(be)/(ba) itu, kalau dibaca, akan dapat menimbulkan kesan 'kesedapan' pada rongga mulut (bacaan) dan cuping telinga (pendengaran). Adakah ini suatu kebetulan atau sememangnya usaha gigih dan kerja keras telah dilakukan oleh penyair dalam menggali 'teras' yang sememangnya memerlukan keperihatinan yang mendalam? Kelebihan penyair tergambar dari ketelitian beliau memilih dan menyesuaikan 'kata-kata' kepada puisi beliau yang berbentuk begini. Dengan bantuan kreativiti diri yang terbiasa bermain-main dengan gelombang 'bahasa' segalanya memungkinkan menjadi nyata. Saya juga membuat beberapa petikan rangkai kata yang saya anggap sebagai rasuk dan sendi kepada keseluruhan binaan puisi ini. Juga ia boleh dianggap sebagai menarik dan melambangkan ayat-ayat yang cukup matang dan melambangkan kebijaksanaan penyairnya: ...selori rezeki / ...wang selaksa / ...si cuai yang kaya / ...mimpi siang hari / ...kesibukan kerja biasa / ...tersengih sumbing / ...terusi tugas / ...mengais isi tong Juga saya mendapati perkataan 'selaksa' digunakan. Mengapa tidak digunakan perkataan yang lain seperti seuncang/ sebuntil/ sekarung/ seguni/ dll. Mungkin ini lebih tepat mengikut Kamus Dewan edisi Ke-3 yang menyatakan 'berpuluh-puluh ribu (wang)' yang saya rasa lebih menepati pilihan tersebut dan sesuai diguna pakai. Sebegitu, perkataan 'terusi' saya mencari dalam Kamus Dewan edisi Ke-3 tetapi gagal menemukan perkataan 'terusi' yang membawa maksud bersesuaian dalam konteks puisi ini. Perkataan 'terusi' yang saya temui adalah membawa maksud 'benda asal daripada tembaga dan berwarna kebiru-biruan'. Bagaimanapun, saya rasa/fikir penyair menganggap perkataan 'terusi' pilihan beliau itu membawa maksud 'meneruskan' tugas (terusi tugas). Penyair mahu menyesuaikan bunyi ('i') di sepanjang- panjang ayat yang beliau gunakan agar timbul rima bunyi yang setara dan merdu pula jadinya rangkaikata tersebut. Alasan-alasan ini diperbolehkan mengikut situasi tertentu dan kekecualian diberikan. Dan ini memang sewajarnya diperbolehkan dalam kedudukan/kebenaran poetic licence. III Tiba pula kepada sesuatu yang saya anggap sebagai 'hadiah istimewa' kepada para pembaca, iaitu puisi berbentuk naratif ini menghidangkan kita dengan sebuah dialog, yang begitu ketara dan menonjol sekali. Soalnya, kenapa dan untuk apa diwujudkan 'dialog' ini dan apakah kepentingannya dalam puisi yang sebegini? Bolehkah kalau ditiadakan atau bagaimana kalau digantikan pula pengkisahan secara naratif, akan adakah penyesuaiannya? 88

Mari kita menelusuri semula puisi ini dengan memberikan penumpuan utama kepada keupayaan penghayatan kita (mengikut tahap ilmu masing-masing) dengan lebih peka dan teliti (rangkap demi rangkap - baris demi baris) dan cari jawapannya satu persatu. Lihat perkaitan diantara rangkap satu dengan rangkap dua dengan rangkap tiga; juga setiap baris perkataan itu juga dikaitkan (bagai gerabak keretapi) disusun atur mengikut kepentingan masing-masing dan memudahkan pula pemahaman kita (tidak sekali-kali mengelirukan). Kemudian cuba baca sekali lagi (rangkap pertama dan kedua... dan terus berhenti) dan rasakan apa yang berlaku? Tentunya kita merasakan sesuatu 'kekurangan' atau bagaikan ada yang tidak beres atau ceteranya seolah-olah 'tergantung' bukan? Ya!, kerana puisi ini secara sulit tetapi jelas mempunyai struktur binaan yang menyerupai anyaman cross stitch yang kait-mengait antara satu sama lain kemudian terserlahlah keindahan dan kemurniaannya setelah dianyam secara keseluruhan. Sudah tentu puisi ini terbahagi kepada tiga bahagian utama yang terpenting: 1. Rangkap pertama - pembuka cetera (pemula dakian dan isi cetera) 2. Rangkap kedua - klimaks cetera (puncak penceritaan) 3. Rangkap ketiga - antiklimaks (penurunan menutup penceritaan). Nah! sudah nyata buktinya, penyair telah membuat 'ikatan-ikatan' sulit tertentu yang dikenali sebagai invisible string yang tidak sekali-kali memungkinkan struktur puisi ini diasing-asing atau dipecah-pecah lagi demi dikompreskan untuk mendapatkan 'penyejatan' selanjutnya. Pasti suatu rombakan yang 'menyukarkan' pencernaan semula akan terjadi kalau perkara tadi berlaku. Dan 'dialog' (di rangkap ketiga) itu memang perlu/wajar/wajib kita baca untuk mendapatkan 'kepuasan' terakhir kepada kesimpulan cetera di rangkap pertama dan kedua. Tetapi 'dialog' itu sendiri diwujudkan oleh penyair bukan semata-mata secara 'tersurat' malah ada makna tertentu yang 'tersirat' juga, yang perlu kita cari makna dan gali maksudnya yang asli. Dialog yang berbunyi: 'Ah, yang ini susah nak jual,'.... Apa yang susah mahu dijual itu? Tentulah cukup menarik perhatian kita adalah perkataan 'yang ini' yang secara harfiahnya dimaksudkan kepada 'bayi' yang dijumpai oleh 'dia' itu. Memang pun (kalau kita) memang tidak kita jual, malah kita ambil dan serahkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat (lapor polis dulu) dan tidak kita tergamak untuk 89

melakukan kerja 'berjual-beli manusia' itu (secara normal dan logik akal). Tetapi berlainan pula kepada watak 'dia' yang lebih mementingkan 'perut'nya dan kerjanya biar mudah dan tidak menyusahkan (kemudian hari) dan tidak tergendala, kerana kerja pantas demi tidak mahu segala rezekinya yang lain itu... 'dimakan api atau bumi'. Watak 'dia' lebih menyenangi jumpaannya... 'sebuah beg plastik berisi wang selaksa' dan tidak sudah-sudah 'dia' terkenang akan peristiwa itu bagai digambarkan ...'peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak mimpi siang hari'. Jelaslah kepada kita bahawa kuasa 'wang' lebih kuat kesannya ke atas manusia jika dibandingkan dengan 'seorang bayi' yang belum tentu lagi mendatangkan keuntungan secara material, terutama kepada watak 'dia' ini. Terfikir kita betapa bodoh, dungu, baghalnya watak 'dia' ini atau mungkin kita menuduh pula 'dia' sebagai manusia yang zalim, tidak berperikemanusiaan, mementingkan kebendaan dan ternyata 'dia' itu telah 'Menolak Rezeki' (judul tepat bagi puisi ini). Dan kalau kita, belainan pula 'sequel' cetera puisi ini. Tetapi itulah, kesan yang sememangnya ingin ditimbulkan secara senghaja oleh penyair; semoga terpercik rasa kemanusiaan dan ehsan dari dalam lubuk jiwa kita, apabila kita membaca keseluruhan puisi ini dengan jiwa dan akal yang terkawal secara normal. Kalau kesan 'rasa' itu cukup kuat, maka itu petanda kita masih berjiwa manusia dan kita msih beriman dengan Tuhan. Apakah 'moral cetera' puisi ini atau mungkinkah ada terselit sekelumit apa yang digelarkan 'flasafah hidup' yang diterapkan oleh penyair secara bijaksana di dalam siratan perkataan-perkataan yang mempunyai kesan perasaan yang tersendiri? Itu saya rasa ada kewajarannya dicari jawapannya oleh para pembaca sendiri (sebagai suatu latihan minda). Agar dapat kita elakkan budaya spoon feeding atau lebih wajar kalau belajar menghadapi kesukaran 'mencari jarum dalam jerami padi'. Kesimpulan Mungkin ada para pengulas dan pengkritik (yang bertauliah) di luar sana atau di komuniti ini tentunya; sdr Has1mah, Zainallasim, Abdullatip, atau Gravesdigger dan lain-lainnya yang mempunyai sesuatu 'penemuan' atau 'pandangan' lain yang mahu dikongsi sama dijadikan 'ilmu tambahan', maka saya cukup mengalu-alukan. Kepada penyair (Prof. Dr.irwan) memang saya cukup memahami corak dan gaya garapan, kerana kedudukan penyair sebagai seorang ilmuwan (juga wibawa pengalaman-pengalaman beliau) itu telah memberikan jaminan bahawa puisi ini dapat dipertanggungjawabkan sepenuhnya dari sebarang sudut; ekstrinsik mahupun intrinsiknya. Kalau pun ada 'ruang lompang' yang kurang atau kekhilafan ditemui, anggaplah 90

saya masih 'mentah' dan masih dalam peringkat pembelajaran meningkatkan tahap ilmu diri. Bagai ada perumpamaan menyebut, 'kalau daging yang kita makan, tulangnya pun memadai kita sedekahkan kepada jiran'....maaf! Pemarkahan: 5***** 7.2 Ulasan Oleh Abdullatip (Abdul Latip Talib, Jelebu, Negeri Sembilan) Saya belum dapat memiliki majalah Dewan Sastera April 2003 tapi saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dr.irwan kerana puisi berjudul “Menolak Rezeki” hasil karya beliau tersiar di majalah tersebut. Mungkin ramai yang telah membaca ulasan oleh sdr Nakhoda pada sajak tersebut di komuniti ini dan saya rasa ulasan itu amat menarik kerana itu bukanlah maksud saya hendak menyainginya. Cuma apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah terdapat kelainan pada tafsiran makna disebalik apa yang tersurat daripada yang tersirat. E.D HIRSCH mengatakan bahawa makna karya ialah makna penghasilnya. Pembaca memperoleh signifikan karya setelah akal fikiran melakukan kerja mentafsirkannya. A BAKAR HAMID pula mengatakan bahawa seseorang pengulas atau pengkritik mentafsirkan karya “saudaranya” dengan apa yang ada dalam karya. Oleh itu, pernah berlaku penyair atau sasterawan mengagumi tafsiran yang dibuat oleh pengkritik atau pengulas kerana makna yang dikemukakan tidak terfikir oleh penyair ketika karya itu dihasilkan. Dalam keadaan ini pengulas atau pengkritik sebenarnya melakukan dua kerja serentak, iaitu mengeluarkan makna yang ada dalam karya dan juga memberikan makna kepada karya tersebut. Kali pertama membaca puisi “Menolak Rezeki” dari ulasan Nakhoda, saya nampak hanya yang lahir sahaja. Tetapi setelah membacanya berulang-kali barulah kita dapat merasakan ada sesuatu “kelainan” kerana itulah saya ingin berkongsi pendapat. Dalam puisi “Menolak Rezeki” ada tiga perlambangan yang perlu kita fikirkan maknanya; pertama “Tong Sampah Besar Sebiji”, kedua “Dia” pencari rezeki, dan ketiga “Bayi Yang Tersengeh Sumbing”. Secara zahirnya, puisi ini mengisahkan seorang pengutip sampah (dia) mencari rezeki dengan menyelongkar barang-barang terbuang yang terdapat dalam tong sampah. Kerja seperti ini biasa kita lihat di mana- mana, cuma kebiasaanya orang kurang siuman sahaja yang 91

menyelongkar tong sampah tetapi orang yang agak waras lebih suka mencari rezeki di tempat pembuangan sampah (tempat terbuka). Saban hari “dia pencari rezeki” akan menyelongkar tong sampah untuk mencari sesuatu yang boleh dijual. Walaupun kerja itu agak menjijikkan namun tidak menyalahi undang-undang dan tidak siapa boleh menghalang. Kabarnya, ada yang bernasib baik mendapat barang berharga yang dibuang oleh orang kaya yang cuai. Tetapi “dia” dikatakan menolak rezeki kerana tidak menghiraukan bayi yang dijumpainya dalam tong sampah kerana menganggap bayi itu “susah nak dijual.” Maka di sinilah timbulnya istilah 'menolak rezeki' kerana kalau bayi itu dibawa pulang ke rumah, dibuat laporan polis dan dibuat permohonan sebagai anak angkat, atau dijual kepada mereka yang memerlukan, maka akan timbuil pula istilah “mendapat rezeki.” Persoalannya, kalau tin buruk, botol kosong, besi buruk, dan surat kabar lama boleh dijual oleh pengutip sampah, kenapa tidak dengan bayi? Kecuali kalau bayi itu sudah mati, tetapi bayi dalam puisi ini masih hidup kerana tersengeh sumbing semasa dijumpai. Maka di sinilah kita berpendapat ada makna yang tersurat di sebalik yang tersirat. Cuba kita perhatikan kata-kata di permulaan puisi tersebut: Tong sampah besar sebiji dikunjungi setiap hari mencari rezeki. Makna “Tong sampah besar sebiji” itu bukanlah tong sampah dalam erti kata yang sebenar kerana kalau tong sampah sebenar, ayatnya “Sebiji Tong Sampah Yang Besar”. Tetapi bila disebut “Tong Sampah Besar Sebiji” boleh membawa maksud sebuah parti politik yang berpengaruh di negara kita. (Maaf kerana saya tak sebut nama). Mungkin ada yang mengatakan itu sekadar permainan kata-kata penyair, tapi bagi saya ayat itu boleh diertikan sebagai ada makna di sebaliknya. Mungkin juga nanti Dr.irwan akan kata, maksud sebenarnya memang ‘Tong Sampah’ dan puisi ini tidak ada kaitan dengan politik. Tetapi sebagai pembaca yang ingin memahami makna di sebalik kata- kata itu, tidaklah salah kalau saya mentafsirkannya begitu. Mungkin juga nanti akan ada yang menuduh saya sengaja mempolitikkan sajak “Menolak Rezeki”. Walau apapun, saya akan terima kerana itulah perspektif saya dalam usaha mencari kelainannya. Pencari rezeki (dia) yang dimaksudkan dalam puisi ini pula ialah seorang ahli politik yang berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri. Manakala bayi yang dijumpai itu ialah anak bangsa sendiri yang naif 92

terbiar mengharapkan pembelaan namun tidak dipedulikan kerana sang politik sentiasa sibuk dan lebih mengutamakan kepentingan sendiri. Seperti yang kita maklum, sekarang ini ramai yang masuk politik dengan berbagai tujuan atau matlamat. Ada yang menceburkan diri di gelanggang politik untuk mendapatkan kuasa dan harta. Ada pula masuk politik kerana marahkan seseorang atau membela “heronya” yang dirasakan dizalimi. Malah ada juga yang menjadikan agama sebagai cara untuk meraih sokongan. Tetapi di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, perkara ini jarang berlaku. Ahli politik berjuang untuk bangsa, agama, dan negara. Contohnya, ketika orang-orang Melayu tidak mempunyai tanah, maka dibuka tanah rancangan FELDA, FELCRA, dan sebagainya. Ketika orang-orang Melayu tidak mendapat pendidikan tinggi, maka di wujudkan universiti-universiti dan anak-anak Melayu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Ketika orang-orang Melayu lemah di bidang ekonomi, maka di wujudkan DASAR EKONOMI BARU, ditubuhkan MARA, dan sebagainya. Apabila masa berubah, perjuangan politik juga turut berubah. Kalau dulu mereka berjuang semata-mata untuk bangsa, agama, dan tanah air tetapi sekarang ada antara mereka hanya memperjuangkan nasib sendiri. Ibarat pengutip sampah seperti yang digambarkan dalam puisi itu, lebih mementingkan duit daripada nyawa seorang bayi. Jika pengutip sampah menjadikan tong sampah sebagai sumber rezekinya, maka ahli politik menjadikan partinya sebagai landasan untuk mengubah taraf hidupnya. Namun kita akui tidak semua ahli politik begitu kerana masih ada yang ikhlas berjuang demi untuk bangsa, agama, dan tanah air. Ahli politik seperti itu akan disanjung semasa hidupnya dan akan dikenang budinya setelah kematiannya. Sehari dia cuti terbuang selori rezeki dimakan api atau bumi. Bagi ahli politik yang tamakkan harta dan kuasa, tidak ada istilah cuti dalam kerjayanya. Dia sanggup bekerja siang dan malam. Setiap saat baginya amat berharga dan tidak mahu rezeki terlepas ke tangan orang lain ketika dia bercuti. Yang dimaksudkan dengan dimakan api atau bumi itu ialah dia takut rezekinya akan dirampas oleh pihak lawan atau saingannya dalam parti semasa dia bercuti. Atau boleh juga dikatakan, kalau dia melepaskan peluang, nescaya orang lain akan merebutnya. pernah dia berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik si cuai yang kaya. 93

Mengikut apa yang tertulis ialah “berjumpa” bukan “terjumpa”. Ayat berjumpa dengan terjumpa ada kelainan maknanya. Dalam puisi tersebut, dia (pencari rezeki) berjumpa sebuah “beg plastik berisi wang”. Hal ini bermakna bahawa beg plastik berisi wang itu bukanlah beg plastik dalam erti kata yang sebenarnya. Ia boleh diistilahkan sebagai “orang kaya” yang dijumpainya setelah mendapat tempat dalam parti. Dia tertarik berjuang dalam politik apabila melihat kawan-kawannya menjadi kaya-raya setelah aktif dalam politik kerana mendapat “tongkat” daripada mereka yang berkuasa. Dia juga berharap akan beroleh laba seperti kawannya. tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak mimpi siang hari. Namun impian itu hanya tinggal impian ibarat mimpi di siang hari kerana harapannya untuk mendapat yang bulat datang menggolek atau yang pipih datang melayang, masih belum menjadi kenyataan. Namun dia masih tidak putus asa dan terus berusaha. Hari ini dalam kesibukan kerja biasa terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing melihat matanya. Politikus yang berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan yang pastinya mendatangkan “laba”. Dia lupa diri dan mabuk dengan kuasa dan kekayaannya. Akibatnya dia tidak menghiraukan nasib anak bangsanya yang mengharapkan bantuan dan pembelaan. Paling malang apabila ada rakyat marhaen yang ingin meminta pertolongan, dianggap hanya membuang masa dan tidak membawa keuntungan kepada dirinya. Terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing Dalam ayat ini perkataan yang digunakan ialah “terjumpa” berbanding di permulaan tadi, “berjumpa”. Bungkusan berisi bayi yang tersengeh sumbing itu boleh membawa makna, anak bangsanya yang terbuang, terbiar, tidak dipedulikan. “Dia” dimaklumkan perkara itu namun hatinya merasa meluat melihat muka anak bangsanya yang serba kekurangan. Pada kebiasaannya, wajah seorang bayi amat menawan. Mukanya jernih, matanya bercahaya tanpa sedikit pun dosa. Tetapi apa yang dilihat oleh pencari sampah itu ialah muka bayi yang “tersengeh sumbing” menyakitkan mata memandang. Kalau diibaratkan seorang pemimpin atau ahli politik, dia pasti merasa belas kasihan jika melihat anak bangsanya dalam keadaan lemah, 94

miskin, mundur, dan tidak berilmu pengetahuan. Sepatutnya dia membela anak bangsanya, bukan mencaci dan menghina .opss... 'Ah, yang ini susah nak jual,' kuis tangan kirinya lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki. Di sinilah letaknya keindahan puisi ini. Sesuai dengan tajuknya “Menolak Rezeki”, rezeki yang berharga itu hanya dikuisnya degan tangan kiri. Tangan kiri mempunyai perlambangan tertentu kerana tugasnya juga hanya untuk yang tertentu pula. Sebab itulah dikatakan kurang sopan kalau bersalam atau mengambil barang pemberian menggunakan tangan kiri. Kalau seorang pemimpin mengambil berat akan nasib anak bangsanya, maka keuntungannya bukan sahaja oleh anak bangsanya tetapi juga terhadap dirinya juga kerana dia akan terus disanjung sehingga ke akhir hayat. Sebaliknya, jika dia hanya asyik mementingkan perut sendiri akhirnya dia akan ditolak. Maka di sini letaknya kewajaran istilah “Menolak Rezeki”. Persoalannya, adakah wajar parti politik yang pernah berjasa pada suatu ketika dulu kini hanya diibaratkan sebagai “Tong Sampah?” Adakah wajar semua ahli politik dianggap seperti pengutip sampah di tong sampah? Walaupun begitu, saya harap ulasan ini tidak menyinggung mana- mana pihak, terutama keluarga ahli politik. Anggaplah ini cuma tanggapan seorang pembaca setelah meneliti puisi karya Dr.irwan yang berjudul “Menolak Rezeki”. Saya tidak akan menyentuh seni bunyi (pengulangan vokal), inversi, dan hiperbola kerana telah disentuh dengan jelas oleh saudara Nakhoda dalam ulasannya. Saya rasa dia lebih arif lagi dalam hal ini. Kesimpulan Puisi “Menolak Rezeki” memang menarik untuk diperkatakan dan tafsirannya terpulang kepada kita sendiri. Mungkin benarlah seperti kata tokoh sasterawan tanah air kita yang mengatakan 'kekadang makna yang dikemukakan oleh pengulas tidak terfikir ketika karya berkenaan dihasilkan.” Akhir kata, yang baik itu datangnya daripada Allah SWT tapi yang silap itu daripada diri saya sendiri. Wassalam. Pemarkahan: 5 ***** 95

7.3 Ulasan Oleh Gravesdigger (Hata Ghazali, Universiti Malaya, Kuala Lumpur) SAJAK ini menggambarkan pemerhatian seorang pengkritik sosial yang hebat. Sememangnya, seorang ahli sains biologi mempunyai taraf pemerhatian yang jitu. Sesungguhnya, seorang jurutera sentiasa mempunyai citarasa reka cipta/reka bentuk yang mengkagumkan. Perlambangan tong sampah ialah satu perlambangan yang jijik dan meloyakan tekak dan biasanya dengan pemandangan yang amat menyakitkan mata. Pandangan “visual” sangat penting untuk melihat keindahan sajak ini. TONG SAMPAH BESAR itu mewakili sebuah kompleks pelacuran, kawasan pelacuran, ataupun kompleks perjudian, ataupun untuk nilai “universal' atau world view-nya, mungkin seluruh penghuni dunia ini dan isi-isinya sekarang yang banyak yang bobrok kucar-kacir dan berkiblatkan harta benda. (Kalau di Kuala Lumpur, semua orang tahu tempat terletaknya kawasan “sampah“ yang tersebut) . Tong sampah yang besar itu mengumpulkan pelbagai jenis kelas masyarakat. Ada yang menjadi pelacur = sampah; ada yang menjadi penagih dadah = sampah; ada yang menjadi gangster = sampah; penipu = sampah; pemeras ugut = sampah; pondan/bapok/bohjan/bohsia untuk mencari kepuasan seks = sampah; penjudi = sampah masyarakat, dan pelbagai lapisan lagi golongan masyarakat sampah. Ada golongan yang tinggi tarafnya dalam masyarakat, mengunjungi kawasan ini, kononnya untuk membuang/membersihkan sampah atau terus lekat menjadi sebahagian sampah. Kalau seseorang yang berjawatan tinggi dalam masyarakat kerap mengunjungi tempat yang memang terkenal dengan sampah itu, maka kesimpulan mudah dapat dibuat, iaitu untuk membeli dadah atau di situ ada sumber rezekinya yang lain – memperolehi rezeki melalui duit lendir atau kegiatan-kegiatan haram lain. Mungkin tafsiran sampah mesti dihalusi lagi. Sampah bagi “A”, mungkin barang berharga bagi ”B”; sampah bagi “C”, mungkin sebuah syurga bagi “D”. Sukar juga hendak memberi tafsiran yang tepat untuk makna sampah ini. Sajak ini terdedah kepada tafsiran makro dan mikro. Saya tumpukan kepada tafsiran mikro untuk mengeluarkan maknanya mengikut perspektif saya. 96

Asal usul insan dalam sajak ini adalah seorang pelacur high class. Hal ini di gambarkan oleh bait-bait yang berikut: Pernah dia berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik si cuai yang kaya tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak mimpi siang hari. Tapi mungkin dia seorang yang bodoh, maka dia tidak mengambil peluang mengikis harta si kaya tersebut dan apabila madunya/manisnya hilang dan sudah basi, dia telah menjadi insan terbuang ke kawasan pelacuran bertaraf rendah yang terpaksa melakukan pekerjaan jijik tersebut kerana apabila cuti atau berehat, maka banyak wang akan terlepas begitu saja. Melacur sajalah sumber rezekinya. 'Dimakan api atau bumi' mungkin perlambangan masa atau waktu (mungkin waktu datang kotor/sakit tak mampu melacur). Sebagai makhluk sosial, maka pelacur juga mempunyai kawan yang senasib dengan mereka. Mungkin ada antara mereka telah melahirkan anak haram hasil kegiatan mereka yang mencari rezeki secara haram tersebut. Anak bermakna rezeki, tambah-tambah lagi kalau comel dan cantik. Namun kawannya melahirkan anak haram yang sumbing, maka siapakah yang sudi mengambil bayi itu sebagai anak angkat? Apakah nasib bayi (rezeki) tersebut mungkin dapat dibayangkan oleh para pembaca sendiri. Jika bernasib baik, akan ditinggalkan di surau, di gereja, di tokong, atau mana-mana tempat dan dibela oleh manusia yang budiman. Jika tidak, nasib bayi tersebut akan berada dalam TONG SAMPAH YANG SEBENAR. Seandainya bayi itu sempurna dan comel, pengulas pasti itu memang menjadi rezeki kerana bayi itu pasti akan dijual kepada pihak tertentu untuk memperolehi wang yang banyak tapi sayang insan tersebut terpaksa “menolak rezeki' kerana bayi cacat dan tidak berharga di pasaran. Kalau bayi itu hasil daripada perkahwinan yang sah, tiada manusia yang tergamak menolak rezeki tersebut walaupun cacat, buta, sumbing, bisu, lahir tidak cukup bulan, pekak, down sindrom, hidung kemek, dan sebagainya. Kesimpulan Puisi membawa tema kehidupan/pengalaman peribadi dan juga universal. Sifat puisi khasnya dan kesusasteraan amnya adalah begitu peribadi dan universal. Sesebuah puisi akan dianggap berjaya jika masalah peribadi dan universal itu dijalin dengan teknik bahasa yang berseni (Panel Hakim – Lelaki Dan Sebilah Pedang Tajam – Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000). 97

Itulah makna 'MENOLAK REZEKI' tersebut. Mungkin sajak ini akan termasuk dalam senarai pendek dan ada harapan menang Hadiah Utama Sastera Perdana Malaysia. Insya-Allah. Markah: 4.9/5.0. 7.4 Ulasan Lim Swee Tin Sajak 'Mencari Rezeki' ini telah diulas oleh Lim Swee Tin (Dewan Sastera, Mei 2003) sebagai sebahagian daripada ulasannya terhadap sembilan buah sajak yang disiarkan dalam ruangan 'Sajak Bulan Ini', majalah Dewan Sastera, April 2003. Di sini diperturunkan ulasan itu untuk rujukan. Wajarlah ditegaskan bahawa apa yang disiarkan di sini ialah petikan sebahagian daripada ulasan yang lengkap yang memperkatakan sekumpulan sembilan buah sajak yang berkenaan. Terlanjur menyebut pengakhiran yang memeranjatkan, elok dilihat rangkap akhir puisi 'Menolak Rezeki' yang memeranjatkan. Bahkan rangkap akhir ini menjadi teras atau tonggak kekuatan pemikiran penyajak. 'Ah, yang ini susah nak jual,' kuis tangan kirinya lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki. Sebagaimana yang disebutkan, pengakhiran puisi ini memuatkan kejutan. Akan tetapi tidak semestinya kejutan segala-galanya dalam puisi. Puisi 'Menolak Rezeki' mudah diterka isinya seawal membaca baris 'Tong sampah besar sebiji dikunjungi setiap hari mencari rezeki' yang semacam sebuah sketsa. Gambaran kehidupan pengemis (orang gelandangan?) sinonim sekali dengan lokasi yang digambarkan oleh penyajak. Dalam menjalani rutin hidupnya, tentulah pelbagai pengalaman yang dialaminya. Antaranya, menemukan sejumlah wang yang banyak (selaksa), satu kesempatan terbaik yang tidak direbut dengan sempurna. Dia hanya memerlukan sisa yang boleh dijual sahaja. Dengan hal yang demikian, tatkala menemukan bungkusan berisi bayi, si pengemis segera menguisnya kerana objek ini sesungguhnya tidak mempunyai nilai ekonomi kepadanya. Tindakan sadis ini memperlihatkan nilai kemanusiaan dalam diri manusia. Sekalipun disampaikan melalui satu gaya imbasan ringkas, puisi ini berjaya meninggalkan kesan. Kecuali diganggu oleh pemilihan dan penggunaan beberapa ungkapan seperti 'si cuai yang kaya' dan bukannya 'si kaya yang cuai', dan ungkapan 'melihat matanya' bukan 98

'merenung matanya', karya ini mengundang renungan yang bukan sedikit. 99

Indeks 3P+3K: 12(6); abstrak: 5(4) agama Islam: Modul 29; Akses: 31(2); alam sms: 21(3); aliran sajak: 5(1); aliterasi: 11(2)(1); alusi: 11(3)(1); ambiguiti: 10(2)(1); anafora: 11(2)(2); Anjakan Diksi, teori: 30(2)(2); antagonis: 13(3); anugerah: Modul 28; APAS: 28(3); artikulasi: 25(1)(2); ASJAS: 28(3); asonansi: (11)(2)(1); Aswas: 28(3)(1)(b); audiens: Modul 25; ayat: 11(2)(5); Lampiran 6; bahasa: Modul 10; bahasa badan: 25(1)(2); bait: 9(1)(4); balada: 13(2)(4); baris, bilangan: 5(2); bebas: 3(3); belati: 14(1)(1); bentuk: Modul 9; bentuk dalaman: 9(2); bentuk luaran: 9(1); Berita Harian: 32(3)(3) Berita Minggu: 32(3)(3) bertiga, orang: 16(2); bombastik: 8(2)(4); budaya bahasa: 12(4); Lampiran 4; Coleridge: 1(1) corak puisi: 13(2); cyber cafe: 19(2)(3); definisi puisi: Modul 1; deklakon: 26(2); deklamasi: Modul 24; deklamator: 24(1), Modul 25; delivery: 25(1)(2); denotatif: 10(2)(3)(1); 100


Like this book? You can publish your book online for free in a few minutes!
Create your own flipbook