Important Announcement
PubHTML5 Scheduled Server Maintenance on (GMT) Sunday, June 26th, 2:00 am - 8:00 am.
PubHTML5 site will be inoperative during the times indicated!

Home Explore PMS 10_1 Ogos_Serumpun Wangian Ilmu

PMS 10_1 Ogos_Serumpun Wangian Ilmu

Published by reena Jimmy, 2023-02-17 01:57:10

Description: Buku ini hanya untuk kegunaan dalaman sahaja.

Search

Read the Text Version

Serumpun Wangian Ilmu Sumber: Sirah Nabi Sirah Nabi turut digunakan dalam novel 1511H [Kombat] untuk menggambarkan ketokohan watak utama berasaskan keagungan Nabi Muhammad SAW. Sumber yang dirujuk dalam novel ini ialah Sirah Rasulullah, Penghulu Para Anbiya (1994) karya Abdullah A.M. Pengubahsuaian dari sumber asal tersebut adalah untuk mengungkapkan kebenaran tentang kelebihan yang terdapat pada Rasulullah. Berikut adalah pernyataan tersebut: Dia menyingkap singletnya dan terzahir tanda yang seakan bercahaya. “pada belikat habib ini tertulis Sharjeel dan pada belikat enta tertera larikan tulisan Khaleed”. (1511 H [Kombat]: 61) Catatan sumber asal pula adalah seperti berikut: Paderi berkata: … kami dapati sifat-sifatnya ada di dalam kitab suci Ilahi. Lagipun ada meteri di belikatnya. Khatamun Nubuwah-sekeliling juga cahaya menyinari. (Abdullah A.M. 1995: 45) Sumber asal ini menceritakan perihal bapa saudara Nabi Muhammad SAW, Abu Talib yang pernah membawa beliau kepada seorang Paderi. Paderi tersebut telah mengakui pelbagai kelebihan yang diperhatikan terhadap sifat Rasulullah dan beliau mengakui bahawa sifat-sifat mulia Nabi Muhammad terdapat dalam kitab Allah SWT dan jelas kelihatan di bahagian belikatnya. Bukan itu sahaja, Paderi tersebut juga dapat melihat cahaya yang mengelilingi dan mengiringi Rasulullah SAW. Pengarang novel telah mengubah suai cerita yang asalnya berlaku kepada Rasulullah SAW ketika beliau masih kecil (berumur 12 tahun) dan telah dibawa oleh Abu Talib kepada seorang paderi. Paderi tersebut mengakui bahawa budak yang dibawa kepada beliau mempunyai tanda-tanda sebagai seorang yang bakal menerajui pucuk pimpinan alam semesta. Interpretasi daripada peristiwa tersebut menunjukkan kelebihan Rasulullah turut diakui oleh Paderi Kristian menunjukkan agama Kristian tidak menafikan kewujudan Nabi Muhammad SAW. Ketokohan awal Rasulullah SAW diubahsuai kepada watak Muhammad Ameen dan tanda yang tertera di belikatnya itu menunjukkan kelebihan yang telah dikurniakan sejak dilahirkan. Ketokohan Muhammad Ameen ini juga disesuaikan dengan sumber sewaktu tokoh Qa’qa bin Amr at-Tameemi ditanya oleh Rasulullah dalam medan peperangan (1511H [Kombat]: 62). 89

Serumpun Wangian Ilmu Persamaan yang jelas dalam kedua-dua peristiwa ini menunjukkan pengarang mengubahsuai kelebihan yang ada pada Rasulullah SAW untuk diberikan kepada Muhammad Ameen untuk meyakinkan khalayak tentang kelebihan Rasulullah SAW. Jelas sekali, pengubahsuaian yang dilakukan merujuk ketokohan dan kelebihan yang ada pada Nabi Muhammad SAW dapat memperkukuhkan lagi ketokohan dan kewujudan Nabi Muhammad SAW melalui proses kepengarangan penulisannya. KESIMPULAN Sumber yang digunakan oleh pengarang terhadap Muslim Spain Its History and Culture dan Sejarah Melayu berjaya mengetengahkan kepakaran orang Islam dan orang Melayu yang berkaitan dengan rekaan busana yang sesuai untuk orang Islam. Kepakaran Ziryab dalam rekaan busana Muslim bukan sekadar mendedahkan kepakarannya mereka busana atau pakaian empat musim, namun hal ini juga mendedahkan bagaimana Ziryab turut arif atau pakar dalam memperkenalkan fesyen rambut, barangan seni untuk kecantikan, ubat gigi dan produk-produk kecantikan kosmetik yang lain. Sumber-sumber yang dibincangkan tersebut dapat menceritakan perihal kehebatan Islam dan kegemilangan tamadun Islam yang pernah bertapak di negara Timur Tengah suatu ketika dahulu. Kehebatan ini masih lagi kuat kesan-kesannya dan dimanfaatkan oleh masyarakat dunia. Kehebatan dan kecerdikan yang dimiliki oleh orang Islam ini memperlihatkan bahawa mereka juga terserlah dari aspek pemikiran. RUJUKAN Anwar G. Chejne, 1974. Muslim Spain its history and culture. United Kingdom: The University of Minnesota Press, Minneapolis. Faisal Tehrani, 2007. Manikam Kalbu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ghazali Darusalam, 1996. Dinamika ilmu dakwah Islamiah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Hashim Awang, 1994. Dewan Sastera, Februari 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ibnu Hadjar Emha dlm. Abdul Latif Abu Bakar etc (pnyl), 2004. Busana Melayu Serumpun. Melaka: Institut Seni Malaysia Melaka. Julia Kristeva (edited: Toril Moi), 1986. The Kristeva reader. Southampton, Great Britain: Camelot Press Ltd. Kamariah Kamaruddin, 2006 (tesis PhD). Novel-novel berunsurkan Islam: Satu analisis berdasarkan teori takmilah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. 90

Serumpun Wangian Ilmu Kamus English Oxford (2004). Oxford University Press. Mohd Asri Zainul Abidin, 2008. Mengemudi bahtera perubahan minda. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd. Tun Seri Lanang yang dikaji dan diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh, 1997. Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturun Segala Raja-raja Melayu. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. W.G. Shellabear, 1975. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Yusof Zaky Yacob (alihbahasa), 1975. Muhammad Qutb–Salah faham terhadap Islam. Kelantan: Sharikat Dian Darulnaim Sendirian Berhad. Al-Quran Surah Al-A’raf, ayat 26. Surah al-Nahl, ayat 125. 91



SUMBER: LAMBANG KEBIJAKSANAAN ISLAM: KETAKUTAN BARAT Dr. Wan Zaliha bt. Wan Othman Seminar Serantau Peradaban dan Pemikiran Islam (ReCIT 2018) & Eksplorasi Halal Ke Jepun Anjuran: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dengan kerjasama Universiti Osaka, Jepun ABSTRAK Kajian ringkas ini akan membincangkan sumber yang digunakan oleh pengarang dalam novel-novelnya mendedahkan produk-produk yang dihasilkan oleh orang Islam sebelum ini. Esei ini akan membincangkan bagaimana asal- usul kegemilangan dan produk-produk Islam yang dihasilkan oleh umat Islam sebelum ini namun tidak diiktiraf malahan telah ditenggelamkan faktanya. Ada sebahagian daripada produk-produk yang dihasilkan oleh orang Islam yang terkenal sehingga kini tidak diiktiraf oleh dunia malahan telah dipatenkan oleh orang Barat seolah-olah produk tersebut adalah ciptaan dan milik mereka. Keengganan Barat mengakuinya kerana mereka takut Islam akan mengatasi kegemilangan mereka dalam pelbagai aspek sekalipun. Contohnya dalam aspek berpakaian, muzik, seni sastera dan termasuklah dari aspek kepercayaan kepada Nabi Muhammad SAW. Esei yang ringkas ini juga akan membincangkan bagaimana asal-usul yang bersumberkan Muslim Spain Its History and Culture (Anwar G. Chejne: 1974) dan lain-lain sumber membuktikan bagaimana kegemilangan Islam ini telah diterima di seluruh dunia namun tenggelam kerana pelbagai faktor. Kata Kunci: Sumber, kebijaksanaan, asal-usul, gemilang PENDAHULUAN Kajian ringkas ini akan membincangkan sumber yang digunakan oleh pengarang dalam novel-novelnya untuk mengetengahkan produk-produk Islam dan produk- produk ini telah beraya mengetengahkan kecemerlangan hasil kerja umat Islam pada zaman kegemilangan pemerintahan Islam. Kajian ini juga akan membincangkan bagaimana hasil-hasil seni Islam telah dimanipulasi oleh orang Barat sehingga menenggelamkan hak-hak keistimewaan dan ekslusif orang Islam. Hak-hak dan keistimewaan orang-orang Islam dinodai dan lama kelamaan hak milik tidak lagi diperakui oleh dunia. Perbincangan ringkas ini juga turut membincangkan aspek kepercayaan dan akidah umat Islam terhadap Rasulullah SAW. Aspek tersebut membincangkan bagaimana kewujudan Rasulullah SAW telah dinafikan oleh orang 93

Serumpun Wangian Ilmu Barat sedangkan realiti sejarah menunjukkan kebenaran nyata yang sebenar yang sukar dinafikan oleh dunia. Esei yang ringkas ini akan dimulakan untuk membincangkan bagaimana asal- usul yang Muslim Spain Its History and Culture (Anwar G. Chejne: 1974) ini dijadikan panduan oleh pengarang dalam Manikam Kalbu untuk mereka menjelaskan kepada dunia bahawa beberapa produk Islam telah dimanipulasi oleh barat. Novel Manikam Kalbu ini mengisahkan dua zaman yang berbeza dan berlainan yang dihubungkan dengan cerita tentang kegemilangan Melayu dalam dunia fesyen dan busana. Pengarangnya, Faisal Tehrani mencipta novel ini untuk memperlihatkan beberapa perkara termasuklah perihal makna dan falsafah Melayu yang terkandung dalam ciptaan setiap fesyen dan busana yang dicipta. Novel Manikam Kalbu ini mengisahkan bagaimana cerita dua zaman yang berbeza yang dimasukkan dalam novel ini dan sebahagian kandungan ceritanya merujuk peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Syah dan bersumberkan cerita Ziryab dalam Muslim Spain Its History and Culture (Anwar G. Chejne: 1974). Sumber: Muslim Spain Its History and Culture Cerita yang berasaskan sumber daripada Muslim Spain Its History and Culture yang ditulis oleh Anwar G.Chejne (1974) dalam novel Manikam Kalbu ini dijadikan asas oleh pengarang untuk menjadikan Ziryab sebagai watak utama berasaskan kepakaran asal pereka yang dikenali sebagai Ziryab. Watak Ziryab dalam Manikam Kalbu adalah watak sebenar yang diambil daripada nama pereka Islam yang terkenal yang bernama Abul Hasan Ali ibnu Nafi yang lahir di Iraq pada tahun 789 Hijrah. Berikut adalah keterangan yang menjelaskan bagaimana watak Abul Hasan Ali ibnu Nafi yang juga dikenali sebagai Ziryab sebenarnya timbul dalam Manikam Kalbu. Watak tersebut timbul apabila Cikgu Natasya menceritakan perihal pereka fesyen terkenal yang lahir pada tahun 789 Hijrah. Berikut adalah kata-kata Cikgu Natasya: “Ziryab nama pereka fesyen terkenal Islam. Dia juga seorang ulama.” Ziryab itu nama sebenarnya Abul Hasan Ali ibnu Nafi. Dia lahir di Iraq pada tahun 789 Hijrah. Beliau ahli muzik dan anak murid kepada ulama muzik terkenal, Ishak al-Mausili ketika era kehebatan dinasti Abbasiyah. Malah dia sangat masyhur di Andalusia dan dikatakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan fesyen musim dingin dan fesyen musim panas. Juga fesyen untuk musim gugur dan musim bunga. Ziryab juga bertanggungjawab memperkenalkan seni dandanan rambut termasuklan barangan kecantikan seperti produk kosmetik, ubat gigi, dan deodoran ke Eropah. (Manikam Kalbu: 54-56) 94

Serumpun Wangian Ilmu Kata-kata Cikgu Natasya ini adalah untuk menjelaskan dan memberi perangsang serta menasihati Ziryab agar beliau meneruskan niat dan bakatnya dalam rekaan busana Muslim. Kata-kata ini juga diucapkan kerana Ziryab agak ragu-ragu dengan kebolehannya dan khuatir dia tidak mampu untuk merealisasikan cita-cita dan niatnya dalam bidang rekaan busana muslim ini. Kata-kata nasihat daripada Cikgu Natasya ini memberi perangsang juga mengingatkan Ziryab untuk berdakwah melalui rekaan fesyen terkini. Penggunaan watak Ziryab dalam Manikam Kalbu yang berpandukan kepada watak sebenar semasa zaman Abbasiyah dan terkenal di Andalusia menunjukkan berlaku penjenamaan semula watak sebenar dari zaman tersebut ke dalam novel Manikam Kalbu. Berikut adalah sumber teks yang dirujuk untuk menggambarkan kelebihan dan ketokohan Ziryab pada zaman kerajaan Andalusia: But the most important émigré was Ali Ibn Nafi, known as Ziryab (789 – 857). He was probably a client (mawla) who was brought up and educated in Baghdad. According to Ibn Rabbihi, he was a black slave of the famous musician Ibrahim al-Mawsili, the leading musician of the day who trained him in the arts of music and singing. He was so gifted that his special talents attracted the attention of the Caliph Harun al-Rasjid… (Anwar G. Chejne, 1974: 372) Sumber yang dipetik ini telah didedahkan oleh Cikgu Natasya ini menunjukkan pengarang menggunakan ketokohan Ziryab untuk membincangkan isu berkaitan busana Muslim dalam novel ini. Ketokohan Ziryab di zaman Abbasiyah ini telah dijadikan panduan kepada Faisal Tehrani untuk menamakan watak Ziryab dalam novel Manikam Kalbu. Ketokohan dan kepakaran Ziryab ini ditafsirkan kepada seorang watak remaja yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang jahitan busana muslim. Kebolehan Ziryab dalam novel ini adalah kepakaran secara warisan yang diperoleh daripada neneknya bernama Zainon Abdullah yang pernah menjadi tukang busana istana Maziah, Istana Bukit Chandan dan Istana Bukit Serene (Manikam Kalbu: 350). Dalam novel ini, Ziryab diberikan peranan yang lebih besar untuk menyesuaikan busana Melayu dengan keperluan semua zaman yang tidak menyalahi etika dan hukum untuk orang Islam. Beliau telah mencipta busana berasaskan baju kurung untuk orang perempuan dan baju Melayu untuk orang lelaki yang boleh digunakan dan bersesuaian untuk semua majlis. Kehadiran watak Ziryab dalam Manikam Kalbu ini diadakan oleh pengarang untuk memperkukuhkan konsep dakwah dalam mengajak manusia melakukan islah (nilai pembaikan) melalui etika berpakaian yang betul. Menurut al-Ghazali nilai pembaikan melalui tingkah laku untuk mempamerkan perbaikan dari segi sikap ke arah pegangan hidup yang lebih baik (Kamariah Kamarudin, 2006: 246). Hal tersebut juga menjelaskan pengarang secara tidak langsung bertindak sebagai pendakwah dalam memahamkan khalayak pembaca melalui corak berpakaian untuk menutup 95

Serumpun Wangian Ilmu aurat. Ini juga adalah peringatan jihad kepada umat Islam agar berpakaian mengikut syarak dan tidak menyalahi kehendak agama Islam yang menjadi tuntutan dan kewajipan kepada semua umat Islam. Di samping memakai baju mengikut trend terkini untuk kecantikan, pakaian tersebut juga menjelaskan bagaimana keindahan membawa kebaikan dan kebaikan tidak bermakna sekiranya tidak memancarkan keindahan (Hashim Awang, Dewan Sastera, Februari 1994: 14) dengan cara menutup aurat. Interpretasi di sebalik peristiwa tersebut menjelaskan orang Islam boleh berpakaian dengan mengikuti peredaran masa asalkan tidak melanggar hukum. Hal tersebut menunjukkan orang Islam juga tidak ketinggalan dalam arus kemodenan berpakaian. Hal ini memperlihatkan orang Islam juga boleh menerima perkembangan gaya berpakaian terkini tanpa melanggar syariat berpakaian dalam agama. Kesannya, orang Islam sentiasa menerima perubahan tanpa bercanggahan dengan syariat. Di samping mendedahkan Ziryab sebagai pereka, sumber ini juga menjelaskan beliau merupakan seorang yang terkenal dalam bidang muzik dan nyanyian. Untuk itu, Ziryab telah diajar oleh Ibrahim al-Mawsili sehingga terkenal sebagai seorang pemuzik dan penyanyi. Oleh itu, Khalifah Harun al-Rasyid telah mengundang beliau untuk membuat persembahan di hadapannya (Anwar G.Chejne, 1974: 372). Kebolehan Ziryab tersebut menyebabkan pemerintah Abd. Al-Rahman II mengurniakan pendapatan yang lumayan kepadanya iaitu gaji berjumlah 200 dinar setiap bulan. Di samping itu juga, Ziryab dibayar 20 dinar lagi bagi setiap bayaran perkhidmatan kepada anak lelakinya dan bonus tahunan 3000 dinar. Bayaran khas lain untuk persembahan festival pula diberikan sebanyak 500-1000 dinar (Ibid: 372). Di samping mendedahkan kepakaran yang dimiliki oleh Ziryab dalam bidang nyanyian, sumber yang telah diketengahkan oleh pengarang turut memperkenalkan orang yang bertanggungjawab dan arif dalam rekaan busana dan lain-lain produk seperti minyak wangi, deodoran, dan kosmetik serta memperkenalkan seni dan kaedah dandanan rambut. Berikut adalah petikan yang membuktikan hal tersebut: Ziryab became the boon-companion of his patron, and introduced new fashions in hair styles, culinary arts, table etiquette, and dresses for every season and occasion. (Anwar G. Chejne, 1974: 372) Bukan itu sahaja, Ziryab juga dikatakan sebagai seorang yang arif dan bertanggungjawab dalam mereka baju dan fesyen untuk kegunaan empat musim iaitu musim dingin, musim panas, musim bunga, dan musim gugur (Ibid). Meskipun Ziryab mempunyai banyak kelebihan, kepakaran, dan bakat semulajadi sehingga menjadikan beliau terkenal di seluruh Andalusia, namun beliau banyak memberikan tumpuan kepada bidang muzik dan nyanyian. Ziryab dikatakan dapat menghafal 1000 lagu dalam ingatannya dan berjaya mencipta pelbagai jenis lagu. Beliau juga 96

Serumpun Wangian Ilmu turut mengajar pelajar dan memperkenalkan tiga tahap kurikulum dalam muzik iaitu belajar irama muzik, menguasai melodi, dan memperkenalkan maknanya (Ibid: 373). Sumbangan Ziryab dalam bidang ini membolehkan kerajaan Andalusia memberikan perhatian lebih kepada bidang muzik sehingga melahirkan penulis- penulis buku dalam bidang muzik, antaranya Ibn. Abd Rabbihi dan Yahya al-Khudujji yang masing-masing menulis buku bertajuk ‘a collection of song’ dan ‘a book of song’ (Ibid: 373). Kepakaran yang dimiliki oleh Ziryab ini menunjukkan kelebihan dan kearifan yang ada pada orang Islam pada zaman pemerintahan Abbasiyah dan kelebihan ini telah memberikan laluan kepada orang lain terutama bagi masyarakat yang melihat dari aspek kepentingan ekonomi dan politik kepada negara mereka. Sumber yang digunakan ini juga secara tidak langsung mendedahkan bagaimana produk-produk Islam disalahgunakan untuk kepentingan mereka. Hal ini terjadi kerana umat Islam sendiri tidak menggerakkan kekayaan asal dan kemahiran yang dimiliki. Sedangkan menghasilkan produk keluaran Muslim yang berkualiti merupakan suatu kewajipan agar kita bebas dan tidak bergantung kepada orang lain (Mohd Asri Zainul Abidin, 2008:201). Jelasnya, novel Manikam Kalbu ini berjaya merungkai kepakaran dan bakat yang dimiliki oleh Ziryab dan sempena kelebihan yang dimiliki oleh tokoh ini membolehkan Faisal Tehrani sebagai pengarang menggunakan nama tersebut untuk digunakan kembali sebagai watak penting dalam novel ini. Bukan itu sahaja, kearifan, ketokohan dan bakat semulajadi yang ada pada Ziryab menjadi ilham dan idea kepada pengarang untuk meneruskan cerita dalam novel Manikam Kalbu dalam mengetengahkan produk-produk Islam dan memperkatakan persoalan mencipta dan mereka busana berasaskan syariat berpakaian dalam Islam. Daya kreativiti yang tinggi dan proses kepengarangan dengan merujuk sumber daripada buku Muslim Spain Its History and Culture oleh Anwar G.Chejne ini berjaya merungkai kearifan orang Islam dalam bidang rekaan baju sehingga membolehkan pengarang mencipta novel dalam usaha untuk mengetengahkan busana Muslim untuk kegunaan orang Islam. Secara tidak langsung, sumber ini berjaya merungkai dan mengenal pasti hasil kerja orang Islam namun kerana faktor-faktor tertentu telah melenyapkan hak milik eksklusif orang Islam. Rujukan sumber itu juga penting untuk meyakinkan rakyat agar tidak menyalahtafsirkan konsep pemakaian Islam dengan tidak menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa. Islam tidak pernah menghapuskan budaya dan adat resam sesuatu bangsa selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam atau menyebabkan orang salah faham terhadap Islam (Mohd Asri Zainul Abidin, 2008: 92). Fesyen pakaian yang tidak melanggar syariat dan nilai kesopanan bangsa adalah dibolehkan dan diharuskan yang melambangkan juga ketinggian budaya berpakaian dalam Islam. 97

Serumpun Wangian Ilmu Di samping dapat mengkomersialkan inovasi penciptaan baju kurung dan baju Melayu ke peringkat dunia, penjelasan berbentuk peringatan juga dapat memperjelaskan konsep pemakaian Islam agar tidak disalahtafsirkan oleh orang bukan Islam. Hal itu penting kerana ada dalam kalangan orang bukan Islam yang tidak mahu memasuki majlis kerana disuruh memakai songkok dan peristiwa ini pernah berlaku di Arau. Orang bukan Melayu beranggapan bahawa songkok merupakan pakaian rasmi orang Islam. Songkok sebenarnya bukan pakaian yang asalnya dipakai oleh orang Islam, namun ianya telah dibawa ke Nusantara oleh pedagang yang menjadi budaya orang di sebelah India (ibid: 91). Kemenangan Manikam Kalbu dalam pertandingan mencipta inovasi baju Melayu dan baju kurung itu juga turut mendedahkan falsafah di sebalik rekaan tersebut. Falsafah rekaan baju kurung itu bukan hanya sekadar untuk dipakai semata-mata, namun Manikam Kalbu menyatakan bahawa baju kurung yang boleh dipakai oleh orang lelaki ataupun orang perempuan menunjukkan busana tersebut dikurung oleh syarak. Pemakainya bukan sekadar memakai untuk keselesaan dan untuk kecantikan, namun baju kurung juga dimanifestasikan sebagai dikurung oleh adat dan pemakainya terhindar daripada sifat-sifat yang keji. Berikut adalah kata-kata Manikam Kalbu tentang falsafah rekaan baju tersebut: “Adapun kurung itu bermakna dikurung adat … Pacal mengimpikan sejenis busana yang apabila dikenakan di badan si pemakainya terkurung dan terhindar sifat angkuh dan sombong. Oleh baju kurung itu sekali-kali si pemakainya tidak bercakap bohong dan apabila sudah berbaju kurung peliharalah iman supaya tidak terpesong.” (Manikam Kalbu: 127) Falsafah di sebalik ciptaan baju kurung itu bukan sekadar menghindarkan diri daripada sifat-sifat keji dan memalukan, malahan baju kurung yang berbutang lima itu juga merujuk kepada rukun Islam yang menjadi pegangan akidah umat Islam. Manakala butang yang satu pula melambangkan akidah orang Islam dengan mengesakan Allah yang satu. Berikut adalah keterangan yang menceritakan tentang hal tersebut: “Ampun tuanku, beribu ampun. Pacal membayangkan rumah butang yang lima itu maknanya rukun Islam yakni yang atas itu mengucapkan dua kalimah syahadah, yang keduanya itu solat lima waktu, justeru sesuai sekali baju kurung dibawa ke masjid. Rumah ketiganya itu mengingatkan kepada puasa Ramadan dan yang keempatnya supaya si pemakai sedar akan kewajipan berzakat dan yang terakhir ialah jika ada kemampuan, eloklah si pemakainya naik haji.” “Teruskan! Teruskan.!” 98

Serumpun Wangian Ilmu “Ampun Tuanku, pacal juga mengimpikan butang yang satu itu ialah lambang akidah kita. Kita mengesakan Allah yang satu. …” (Manikam Kalbu: 127) Penerangan yang diberikan oleh Manikam Kalbu amat menarik perhatian Sultan sehingga kemenangan berpihak kepada beliau apabila pertandingan busana diadakan di istana. Baginda Sultan amat kagum dengan ilmu dan kepetahan anak muda tersebut sehinggakan beliau tidak sedikitpun terpengaruh dengan puterinya untuk tidak memberi kemenangan kepada Manikam Kalbu. Kemenangan yang diperoleh Manikam Kalbu menyebabkan Sultan sangat gembira sehingga Baginda membawa Manikam Kalbu belayar ke negeri China. Kebijaksanaan mereka busana menyerlahkan kebolehan dan bakat semulajadi yang dimiliki oleh Manikam Kalbu. Manikam Kalbu sangat teruja dan gembira kerana kreativiti jahitan baju kurung rekaannya diiktiraf oleh Sultan. Beliau juga turut diberi tawaran untuk mempelajari ilmu dengan lebih lanjut di Negeri China. Manikam Kalbu sangat gembira dengan tawaran tersebut dan beliau berazam untuk mempelajari ilmu berbusana dengan lebih baik semasa berada di Negeri China nanti. Sumber: Teks Bible dalam 1511H [Kombat] Sumber daripada Bible dalam 1511H [Kombat] ini dikenal pasti ketika doktor yang beragama Islam yang bernama Abdul Kader Aras bertelingkah dengan pesakitnya yang mengalami halusinasi hypnogogic. Hypnogogic bermakna halusinasi dalam keadaan terjaga. ketika tidur dan apabila terjaga dia dijangkiti pula hypnopompic yang menyebabkan perasaannya kadang-kadang gembira dan kadang-kadang bersedih. Pesakit tersebut berazam bersungguh-sungguh untuk menghancurkan Islam dan menghapuskan umat Nabi Muhammad SAW dengan cuba menghalau orang-orang Islam di Amerika. Niat dan hajatnya ini tidak kesampaian kerana kumpulan askarnya mengalami kekalahan dan niat jahat itu ditentang habis-habisan oleh doktor yang merawatnya. Penentangan doktor tersebut dengan membawa hujah yang terkandung dalam Bible tentang kewujudan Nabi Muhammad SAW dan sekaligus meminta pesakitnya itu membaca Gospel St. John ayat 7 bab 16 tentang Paracletos dan bab John ayat 26. Berikut adalah petikan tersebut yang menjelaskan kewujudan Nabi Muhammad SAW dalam Bible yang menjadi kitab orang Kristian: And I will ask the father, and he shall give you another Paracletos, that he may stay with you forever (1511 H [Kombat]: 29). Petikan tersebut adalah sumber yang dirujuk oleh Faisal Tehrani daripada kitab Bible yang bertajuk Prophecies for Muhammad in the Bible yang telah dikemaskini pada 16 Januari tahun 2000. Kitab tersebut daripada Injil versi The Revised Version 99

Serumpun Wangian Ilmu of the Bible terbitan British and Foreign Bible Society. Petikan asal daripada Bible tersebut seperti berikut: “And I will pray the Father, and He will give you another Paraclete, that he may abide with you into the age.” (John 14: 16) Petikan daripada Bible ini bersumberkan ayat John 14: 16 yang menjelaskan tentang paraclete adalah panggilan kepada Spirit of truth dan bukannya Holy Spirit dan maksud kedua-dua frasa ini adalah berbeza. Hipogram yang dirujuk menunjukkan berlakunya ubahsuai daripada teks yang dirujuk yang melibatkan dialog dan dapat dikesan dengan jelas untuk mengetahui latar belakang teks yang sebelumnya. Daripada petikan yang dirujuk oleh pengarang tersebut, telah berlaku pertukaran beberapa perkataan daripada teks yang asal untuk memantapkan proses penceritaan selanjutnya. Untuk petikan yang pertama perkataan pray ditukarkan kepada ask, will ditukarkan kepada shall, abide ditukarkan kepada stay dan with you into the age ditukarkan kepada with you into the age forever. Beberapa perkataan yang ditukarkan oleh pengarang daripada proses modifikasi tersebut untuk menegaskan lagi bahawa orang yang dimaksudkan dalam kitab Bible tersebut ialah nabi Muhammad SAW bukannya Paracletos yang dipercayai sebagai holly spirit oleh Kristian. Malahan, menurut doktor berkenaan yang telah menuturkan Bible tersebut, Paracletos berasal daripada kalimat Yunani Kuno yang merupakan bahasa asal Gospel St. John yang membawa maksud “yang terpuji” daripada suku kata “peri” dan “celotis”. Doktor tersebut menegaskan bahawa Paracletos orang yang dimaksudkan dalam kitab tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Nabi Muhammad SAW. Perkataan paracletos sebenarnya berasal daripada bahasa Yunani klasik dan perkataan dan perkataan yang lebih tepat adalah periclytos. Kalimat ini berasal daripada suku kata ‘peri’ dan ‘cleotis’. Apabila kalimat ini dicantumkan ianya membawa maksud yang terpuji (Danial Zainal Abidin, 2008: 278). Kepercayaan orang Kristian terhadap Paracletos sebenarnya ialah Nabi Isa ternyata tidak tepat kerana terdapat beberapa pendapat daripada Bible sendiri yang menunjukkan percanggahan tentang hal tersebut (ibid: 278). Oleh itu, pengkaji mendapat sumber daripada Bible ini diambil oleh Faisal Tehrani dan dibuat pengubahsuaian untuk mendedahkan kebenaran tentang Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul Terakhir dan bukannya Nabi Isa yang menjadi kepercayaan penganut agama Kristian. Pengkaji mendapati Faisal Tehrani membuat pengubahsuaian tentang kehadiran Nabi Muhammad SAW dalam kitab Bible dengan menyalin semula petikan asal daripada kitab tersebut. Ketika proses tersebut dilakukan, pengarang telah menggugurkan beberapa perkataan dan menukarkannya dengan perkataan lain yang lebih sesuai. Meskipun berlakunya pengubahsuaian tersebut, namun Faisal 100

Serumpun Wangian Ilmu Tehrani masih lagi memberi tumpuan dan perhatian kepada peristiwa sejarah tentang kewujudan Nabi Muhammad SAW dalam perspektif berbeza berasaskan sejarah asal. Kajian autonomi sejarah dalam sastera boleh menimbulkan perspektif yang baru sebagai pertimbangan terhadap pembacaan unsur-unsur sejarah untuk tujuan penulisan (Kristeva, 1977:36). Proses ubah suai bersumberkan elemen agama yang telah dilakukan oleh pengarang menjelaskan kepada pembaca tentang perbincangan Nabi Muhammad SAW dalam kitab Bible yang menjadi pegangan orang Kristian. Malahan, Nabi Muhammad SAW turut disebut di dalam kitab Taurat dan Kitab Injil yang disampaikan melalui Nabi Musa dan Nabi Isa seperti yang dibuktikan dalam surah al-Maidah, ayat 66 dan surah as-Saff, ayat 6 (Johari Yaman, 2008: 68-73). Berikut adalah petikan daripada surah al-Maidah yang berbunyi: “Dan kalau mereka bersungguh menegakkan (menjalankan perintah Allah) dalam Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka akan makan rezeki (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah mereka (bumi)”. Manakala surah as-Saff pula berbunyi: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibn Maryam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.” Interpretasi di sebalik proses pengubahsuaian sedikit cerita yang dilakukan oleh pengarang menunjukkan orang Kristian tidak mengkaji dengan mendalam asal-usul Paracletos yang terdapat dalam kitab mereka. Apa yang mereka percayai se lama ini Paracletos ialah al-Masih yang membawa kebenaran kepada agama Kristian ialah Nabi Isa. Sedangkan di sebaliknya asal perkataan Paracletos daripada kalimat Yunani bermaksud yang terpuji adalah merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Dakwah yang jelas menunjukkan pengarang turut menggunakan Kitab Injil dan Bible untuk membincangkan Nabi Muhammad dalam novel 1511H [Kombat] secara ringkas untuk menegaskan kewujudan Nabi Muhammad SAW. Proses pengubahsuaian turut digunakan oleh pengarang dalam peristiwa yang sama yang membincangkan kewujudan Nabi Muhammad SAW dengan merujuk sumber luar daripada Kitab Injil. Hal ini dilakukan oleh pengarang kerana tertarik dengan fikiran-fikiran luar yang kemudiannya diambil untuk ditulis dalam karya (Mana Sikana, 1998: 78). Hal tersebut dapat dilihat apabila doktor Islam yang merawat orang kafir tadi menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW memang ada dibincangkan dalam kitab Injil. Namun, perkara tersebut telah dimanipulasi 101

Serumpun Wangian Ilmu sehingga menafikan hal yang sebenarnya. Pengakuan ini dinafikan oleh pesakitnya dan beliau tidak mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW terdapat dalam kitab Injil. Penafian ini dijelaskan oleh Doktor Abdul Kader Aras dengan keras untuk menegah pesakitnya daripada terus mengeluarkan hujah tanpa bukti yang jelas. Berikut adalah petikan tersebut: Doktor berkata bahawa Muhammad ada dalam Injil. Doktor muda berhujah bahawa Nabi Muhammad S.A.W memang ada dalam injil, tetapi fakta ini digelapkan. (1511 H [Kombat]: 26) Hujah ini dipetik daripada sumber sebenar yang ditulis oleh Ustaz Johari Yaman bertajuk Mengenali Rasulullah (2008: 73) dan sumber daripada buku Kitab Sirah Rasulullah SAW tulisan Syeikh Muhammad al-Khudhari Bik dan diterjemahkan oleh Ust. Hj. Mohd Asri Hj. Hashim (2009: 51). Berikut adalah wacana yang dipetik daripada kedua-dua buku tersebut: Kitab Injil Barnaba telah menyebut nama Muhammad secara jelas. Kitab ini baru saja ditemui tetapi ia disembunyikan oleh tangan-tangan yang jahil. Sumber tersebut menjelaskan bagaimana Nabi Isa yang memberitahu kaumnya tentang kehadiran Muhammad atau dikenali juga dengan nama Ahmad dan disebutkan juga sifat-sifat Muhammad yang akan membawa kebenaran. Nabi Isa sendiri amat meyakini akan kehadiran Nabi Muhammad SAW. Novel 1511H [Kombat] ini juga turut menceritakan hal yang sama tentang kebenaran kewujudan Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua wacana yang dipetik ini menunjukkan berlakunya pengubahsuaian sumber terhadap fakta yang telah dilakukan oleh pengarang untuk menegaskan bahawa nama Nabi Muhammad SAW memang jelas terkandung dan dibincangkan dalam kitab Injil walaupun tidak diakui oleh orang kafir. Nabi Isa yang dikatakan “Tuhan” juga oleh penganut agama Kristian turut mengakui kehadiran Nabi Muhammad SAW. Maka, sepatutnya pengakuan Nabi Isa tersebut turut diperakui oleh pengikut-pengikut Nabi Isa yang lain yang menganut agama Kristian. Namun, hal itu tidak berlaku kerana agama Kristian tetap tidak mahu mengakui wujudnya Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir seperti yang diakui oleh pesakit tersebut kepada doktor yang merawatnya. Ketidakakuan itu berlaku kerana mereka berpegang kepada Nabi Isa yang dikatakan pernah dianiaya dan dibunuh oleh musuh-musuhnya. Penggunaan Bible dan penyebutan kitab Injil yang dirujuk dalam sumber tersebut oleh Faisal Tehrani untuk disesuaikan dengan karya menjelaskan berlakunya proses 102

Serumpun Wangian Ilmu pindaan dalam karya ntuk menegaskan kewujudan Nabi Muhammad SAW. Untuk memperlihatkan perkaitan rujukan sumber tersebut, Faisal Tehrani turut memasuki gereja ketika berada di Jerman pada tahun 2006 sewaktu perayaan Krismas. Beliau melihat sendiri bagaimana perjalanan upacara keagamaan masyarakat Kristian di sana untuk memperlihatkan perkaitan dan simbolisme upacara penyembahan terhadap Nabi Isa. Asas ini turut dijadikan sumber untuk memindahkan Bible tersebut dalam karya dengan membuat sedikit pengubahsuaian. Pengubahsuaian ini dilakukan untuk memberi kekuatan perjalanan plot yang dibina untuk melengkapkan proses kreatifnya. Interpretasi daripada kedua-dua petikan tersebut menjelaskan pengertian yang sama yang menunjukkan fakta yang digunakan oleh pengarang dalam karya benar-benar berlaku dan bukannya rekaan magis pemikirannya. Hal tersebut terbukti melalui kewujudan Nabi Muhammad SAW yang turut diakui dalam kitab Injil dan Bible. Faisal Tehrani menggunakan sumber sebenarnya untuk berdakwah berasaskan kebenaran agar pembaca memperakui kebenaran serta kemurnian Islam (Hashim Awang, Dewan Sastera, 1993: 74). Sumber yang sebenar ini penting untuk meyakinkan khalayak terutama bagi masyarakat bukan Islam yang sentiasa menolak kehadiran Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah. Kejadian tersebut ditimbulkan oleh pengarang untuk tidak menimbulkan keraguan dalam sejarah Islam agar barat tidak menukarkan fakta sebenarnya sebagai usaha serangan pemikiran untuk mencemarkan kebenaran tentang kewujudan Rasulullah sekaligus mencemarkan gambaran peribadi Rasulullah, sejarah Islam dan sistem hidup dan warisan Islam (Osman Hj. Khalid, 2002: 31). Inilah dakwah yang cuba disampaikan oleh Faisal Tehrani kepada khalayaknya. Teknik penulisan sedemikian membuktikan bahawa kebenaran dan kebijaksanaan Islam sekaligus menyangkal hujah-hujah yang dikemukakan oleh Barat tentang Nabi Muhammad SAW. Sumber: Sirah Nabi Sirah Nabi turut digunakan dalam novel 1511H [Kombat] untuk menggambarkan ketokohan watak utama berasaskan kelebihan Nabi Muhammad SAW. Sumber yang dirujuk dalam novel ini ialah Sirah Rasulullah, Penghulu Para Anbiya (1994) karya Abdullah A.M. Pengubahsuaian dari sumber asal tersebut adalah untuk mengungkapkan kebenaran tentang kelebihan yang terdapat pada Rasulullah. Berikut adalah pernyataan tersebut: Dia menyingkap singletnya dan terzahir tanda yang seakan bercahaya. “pada belikat habib ini tertulis Sharjeel dan pada belikat enta tertera larikan tulisan Khaleed (1511 H [Kombat]: 61). 103

Serumpun Wangian Ilmu Catatan sumber asal pula adalah seperti berikut: Paderi berkata: … kami dapati sifat-sifatnya ada di dalam kitab suci Ilahi. Lagipun ada meteri di belikatnya. Khatamun Nubuwah-sekeliling juga cahaya menyinari (Abdullah A.M. 1995: 45). Sumber asal ini menceritakan perihal bapa saudara Nabi Muhammad SAW, Abu Talib yang pernah membawa beliau kepada seorang Paderi. Paderi tersebut telah mengakui pelbagai kelebihan yang diperhatikan terhadap sifat Rasulullah dan beliau mengakui bahawa sifat-sifat mulia Nabi Muhammad terdapat dalam kitab Allah SWT dan jelas kelihatan di bahagian belikatnya. Bukan itu sahaja, Paderi tersebut juga dapat melihat cahaya yang mengelilingi dan mengiringi Rasulullah SAW. Penulis telah mengubah suai cerita yang asalnya berlaku kepada Rasulullah SAW ketika beliau masih kecil (berumur 12 tahun) dan telah dibawa oleh Abu Talib kepada seorang paderi. Paderi tersebut mengakui bahawa budak yang dibawa kepada beliau mempunyai tanda-tanda sebagai seorang yang bakal menerajui pucuk pimpinan alam semesta. Manakala, dalam novel 1511H [Kombat], Muhammad Ameen dibawa oleh Habib kepada Hajah Nusaybah untuk dijadikan salah seorang pemimpin kumpulan futuwwah bagi mempertahankan Islam. Interpretasi daripada peristiwa tersebut menunjukkan kelebihan Rasulullah turut diakui oleh Paderi Kristian menunjukkan agama Kristian tidak menafikan kewujudan Nabi Muhammad SAW. Faisal Tehrani menulis semula ketokohan awal Rasulullah SAW dan dibuat pengubahsuaian kepada watak Muhammad Ameen dan tanda yang tertera di belikatnya itu menunjukkan kelebihan yang telah dikurniakan sejak dilahirkan. Persamaan yang jelas dalam kedua-dua peristiwa ini menunjukkan pengarang mengubahsuai kelebihan yang ada pada Rasulullah SAW untuk diberikan kepada Muhammad Ameen untuk meyakinkan khalayak tentang kelebihan Rasulullah SAW. Jelas sekali, pengubahsuaian yang dilakukan merujuk ketokohan dan kelebihan yang ada pada Nabi Muhammad SAW dapat memperkukuhkan lagi ketokohan dan kewujudan Nabi Muhammad SAW melalui proses kepengarangan penulisannya. KESIMPULAN Jelaslah, dalam novel Manikam Kalbu, sumber yang digunakan oleh pengarang terhadap Muslim Spain Its History and Culture dan Sejarah Melayu berjaya mengetengahkan kepakaran dan kearifan orang Islam dan orang Melayu yang berkaitan dengan rekaan busana yang sesuai untuk orang Islam. Kearifan Ziryab dalam rekaan busana Muslim bukan sekadar mendedahkan kepakarannya mereka busana atau pakaian empat musim, namun ianya juga mendedahkan bagaimana Ziryab turut arif atau pakar dalam memperkenalkan fesyen rambut, barangan seni untuk kecantikan, ubat gigi dan produk-produk kecantikan kosmetik yang lain. Secara tidak langsung sumber-sumber tersebut mampu menyerlahkan kehebatan Islam dan kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu. 104

Serumpun Wangian Ilmu RUJUKAN Anwar G. Chejne, 1974. Muslim Spain its history and culture. United Kingdom: The University of Minnesota Press, Minneapolis. Faisal Tehrani, 2007. Manikam Kalbu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ghazali Darusalam, 1996. Dinamika ilmu dakwah Islamiah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Ibnu Hadjar Emha dlm. Abdul Latif Abu Bakar etc (pnyl), 2004. Busana Melayu Serumpun. Melaka: Institut Seni Malaysia Melaka. Hashim Awang, 1994. Dewan sastera, Februari 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamariah Kamaruddin, 2006 (tesis PhD). Novel-novel berunsurkan Islam: Satu analisis berdasarkan teori takmilah. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Mohd Asri Zainul Abidin, 2008. Mengemudi bahtera perubahan minda. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd. Tun Seri Lanang yang dikaji dan diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh, 1997. Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturun Segala Raja-raja Melayu. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. W.G. Shellabear, 1975. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Yusof Zaky Yacob (alihbahasa), 1975. Muhammad Qutb–Salah faham terhadap Islam. Kelantan: Sharikat Dian Darulnaim Sendirian Berhad. Julia Kristeva (edited: Toril Moi), 1986. The Kristeva reader. Southampton, Great Britain: Camelot Press Ltd. Al-Quran Surah Al-A’raf, ayat 26. Surah al-Nahl, ayat 125. 105



JENAKA DALAM MASYARAKAT MELAYU 2 Dr. Wan Zaliha binti Wan Othman Hajah Amanah binti Mohd Noor Ipg Kampus Raja Melewar Seremban, Negeri Sembilan ABSTRAK Rencana ringkas ini akan membincangkan perihal jenaka yang terdapat dalam masyarakat Melayu zaman tradisional. Jenaka yang berlaku pada zaman tersebut akan cuba dikaitkan dengan fenomena kejadian yang berlaku dalam masyarakat Melayu sekarang. Kajian ringkas ini akan melihat perihal jenaka yang berkaitan dengan unsur sindiran dengan sikap orang Melayu itu sendiri. Dalam masyarakat Melayu, unsur sindiran ini sudah menjadi kebiasaan kerana orang Melayu tidak akan memperkatakan sesuatu secara langsung untuk tidak menimbulkan perasaan kurang senang kepada orang yang berkenaan. Itulah sebabnya setiap sesuatu yang ingin diperkatakan diperhalusi dan dituturkan dengan cara yang bijak untuk tidak menyakitkan hati mana-mana pihak. Inilah sebenarnya kebijaksanaan orang Melayu dalam memperkatakan niat dan hajat masing-masing dengan tidak mengusik perasaan orang lain. Tiga aspek yang akan dibincangkan dalam kajian ringkas ini ialah jenaka yang berunsurkan ironi, sinikal, dan sarkastik. Ironi bermaksud keadaan atau kejadian yang menunjukkan pertentangan atau kesan sebaliknya antara sesuatu yang dijangkakan dengan yang menjadi hakikatnya (Kamus Dewan, 2000: 499). Sinikal pula membawa pengertian perbuatan sama ada dengan kata-kata ataupun fizikal untuk mengejek dan mempersenda orang lain. Sarkastik pula membawa pengertian menyindir secara terus tanpa berselindung. Menurut Kamus Dewan (2000: 1193) Sarkastik bermaksud sesuatu perbuatan yang bersifat menyindir dengan kata-kata yang tajam dan pedas yang menyakitkan hati seseorang. Keseluruhannya, kajian ini memperlihatkan tiga aspek hal-hal yang dialami setiap hari. Aspek ini membolehkan pelajar-pelajar dan masyarakat berfikir mana yang baik dan mana yang tidak baik. Pemikiran sebegini mengasuh pelajar memainkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan masalah menerusi pembelajaran secara langsung dan tidak langsung pada setiap hari. Kata kunci: jenaka, Melayu, ironi, sinikal, sarkastik PENGENALAN Masyarakat Melayu memang kaya dengan khazanah cerita-cerita jenaka yang sering dibincangkan dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Untuk itu, rencana ringkas ini akan membincangkan perihal jenaka yang terdapat dalam masyarakat Melayu zaman tradisional. Cerita jenaka ini juga akan disesuaikan juga dengan situasi zaman kini. Apa yang berlaku dalam cerita jenaka yang diceritakan kepada masyarakat zaman dahulu masih lagi berlaku kepada masyarakat moden dalam 107

Serumpun Wangian Ilmu pelbagai bentuk dan keadaan. Oleh itu, jenaka yang berlaku pada zaman tersebut akan cuba dikaitkan dengan fenomena kejadian yang berlaku dalam masyarakat Melayu sekarang. Kajian ringkas ini akan melihat perihal jenaka yang berkaitan dengan unsur sindiran dengan sikap orang Melayu itu sendiri. Dalam masyarakat Melayu, unsur sindiran ini sudah menjadi kebiasaan kerana orang Melayu tidak akan memperkatakan sesuatu secara langsung untuk tidak menimbulkan perasaan kurang senang kepada orang yang berkenaan. Tiga aspek yang akan dibincangkan dalam kajian ringkas ini ialah jenaka yang berunsurkan ironi, sinikal, dan sarkastik. Objektif kajian ringkas ini ialah untuk meneliti secara umum kisah-kisah yang terdapat dalam cerita Jenaka Melayu dalam kesusasteraan Melayu tradisional dan akan disesuaikan dengan situasi sepanjang zaman. Cerita-cerita jenaka tersebut akan diteliti mengikut kebiasaan cerita yang menjadi perbualan dan perbincangan dalam masyarakat. Objektif yang lain juga adalah untuk mengena pasti unsur- unsur sindiran yang terdapat dalam cerita-cerita jenaka Melayu dan unsur sindiran ini digunakan apabila masyarakat berhubungan di antara satu sama lain untuk menyatakan isi hati dan menyindir di antara satu sama lain. Cerita jenaka ini juga akan memperlihatkan perkaitan langsung unsur sindiran dengan sikap orang Melayu pada setiap hari. Oleh itu, kajian ini akan membincangkan tiga perkara yang berkaitan dengan cerita jenaka dalam masyarakat Melayu iaitu ironi, sinikal, dan sarkastik. IRONI Ironi bermaksud keadaan atau kejadian yang menunjukkan pertentangan atau kesan sebaliknya antara sesuatu yang dijangkakan dengan yang menjadi hakikatnya (Kamus Dewan, 2000: 499). Ironi ini marupakan kata-kata yang memberikan maksud yang berbeza daripada yang sebenarnya yang ingin disampaikan. Dalam bentuk yang paling mudah, ironi ini juga turut dikenali sebagai percakapan yang mempunyai maksud sebaliknya ataupun bahasa terbalik. Dalam ironi tersebut, apa yang dituturkan mempunyai sindiran yang halus dan bertentangan dengan maksud yang sebenarnya. Ironi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ironi dramatik, ironi situasi (takdir) dan ironi sejarah. Ironi Dramatik Ironi dramatik merupakan satu perlakuan yang dilakukan oleh orang yang terlibat ataupun watak yang ada dalam sesuatu cerita. Watak yang ada dalam cerita tersebut kurang memperlihatkan peranannya dan ianya turut dikenali juga sebagai watak kabur atau peranannya kurang jelas. Namun begitu, peranan watak-watak ini diterjemahkan oleh audiens menerusi tindak-tanduk dan perlakuannya. Contohnya watak yang kabur peranannya dari awal cerita hanya dapat dikesan atau diketahui peranannya yang jelas sewaktu cerita berada di bahagian pertengahan ataupun 108

Serumpun Wangian Ilmu klimaks. Oleh itu, ironi dramatik merupakan aksi yang dilakukan oleh watak menerusi perlakuan yang tidak disedari oleh diri sendiri namun menimbulkan suasana tragis kepada orang lain dan memberikan sindiran secara tidak langsung kepada orang yang membaca atau menyaksikan sesuatu persembahan. Ironi dramatik ini juga menunjukkan juga perlakuan negatif yang dinilai oleh orang lain namun tidak disedari oleh watak yang sebenarnya. Contoh yang jelas ironi dramatik atau ironi tragis ini ialah cerita Romeo dan Juliet. Romeo menemukan Juliet yang sedang tidur (tertidur), namun Romeo beranggapan Juliet sudah meninggal yang akhirnya Romeo mengambil keputusan untuk membunuh dirinya. Apabila Juliet bangun daripada tidurnya, dia lihat Romeo dah mati, maka Juliet pun ikut membunuh dirinya dengan sebuah pisau belatik. Dalam cerita tersebut, penonton mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, namun watak yang terlibat masing-masing tidak mengetahui perkara yang sebenar. Inilah yang dikatakan ironi yang dramatik ataupun tragis. Cerita jenaka dalam kesusasteraan Melayu Tradisional ini, ironi yang dramatik ataupun tragis ini terjadi kepada Pak Pandir dan Mak Andih. Kedua-dua watak ini agak sinonim dengan masyarakat Melayu. Dalam cerita Pak Pandir ini, mereka suami isteri yang telah lama kahwin namun tidak dikurniakan anak. Namun, apabila dapat anak, mereka sangat suka. Ketika Mak Andih keluar untuk mencari Imam untuk urusan anak, Pak Pandir diminta untuk menjaga bayinya. Mak Andih berpesan agar bayi mereka dimandikan dengan air panas. Ketiadaan Mak Andih, Pak Pandir telah memandikan anaknya dengan air panas yang mendidih sehingga anaknya meraung kesakitan. Ketika anaknya kesakitan, Pak Pandir ingat bayinya itu seronok bermain dengan air. Lama kelamaan anaknya diam dan Pak Pandir menyangka anaknya tidur. Apabila Mak Andih pulang, dilihatnya anaknya telah meninggal dunia. Maka, proses seterusnya untuk mengebumikan bayinya yang meninggal itu. Ketika dalam dalam perjalanan, bayi yang dibawa oleh Pak Pandir dalam tikar tercicir tengah jalan. Apa yang dikebumikan hanyalah tikar semata-mata tanpa diteliti oleh Pak Pandir dan Mak Andih. Apabila selesai pengebumian tersebut, dalam perjalanan pulang mereka terserempak dengan bayi mereka yang tercicir tadi. Oleh itu, Pak Pandir berkata kepada Mak Andih, rupanya ada orang lain yang kematian anak, bukan mereka sahaja. Cerita ini menunjukkan ironi tragis yang dialami oleh watak. Namun watak tidak menyedarinya orang yang mendengar dan membaca cerita sahaja yang mengetahuinya. Ini menunjukkan ironi dalam cerita ini menyindir orang yang terlalu lurus dan tidak memikirkan apa yang mereka lakukan. Hal ini terjadi kerana mereka tidak ada ilmu. Cerita Pak Pandir ini menjadi bualan masyarakat dan menjadi sindiran kepada sesiapa sahaja agar tidak meniru perangai Pak Pandir dan Mak Andih ini. 109

Serumpun Wangian Ilmu Ironi Situasi (takdir) Ironi situasi berlaku apabila wujudnya percanggahan ataupun pertentangan dengan apa yang diharapkan oleh seseorang. Hal ini menunjukkan apa yang diharapkan adalah bertentangan dan berbeza dengan apa yang dihasratkan yang menimbulkan kritikan ataupun sindiran kepada orang lain. Cerita dalam The Wizard of Oz jelas memperlihatkan contoh ironi situasi ini iaitu wataknya Dorothy yang bertemu dengan ahli sihir Oz dan terpaksa melalui tentangan dan halangan ahli tersebut. Beliau terpaksa melawan dan menentang kezaliman ahli sihir tersebut untuk pulang ke rumahnya. Namun, pada asasnya, Dorothy boleh sahaja membuat pilihan untuk tidak berhadapan dengan situasi getir tersebut. Jadi, orang yang mengetahuinya akan menganggap Dorothy sengaja mencari masalah dan dia akan disindir dengan apa yang telah dihadapinya itu. Dalam cerita Melayu tradisional, ironi situasi ini berlaku kepada Lebai Malang. Lebai Malang yang menjadi bualan cerita dalam masyarakat Melayu dari dahulu sehinggalah sekarang menjelaskan kepada masyarakat bahawa beliau merupakan seorang lebai yang tamak dan bodoh dan tidak pandai membuat pertimbangan yang tepat. Cerita Lebai Malang ini bermula apabila beliau mendapat dua jemputan untuk mengetuai majlis agama. Dia membuat pilihan tempat yang dirasakan makanan lebih sedap dan ternyata pilihannya itu tidak tepat dan akhirnya kedua-dua jemputan tersebut terlepas dan dia tidak dapat merasa langsung makanan tersebut. Ironi situasi ini berlaku apabila cuaca sekeliling yang menyebabkan hajat Lebai Malang tidak tertunai kerana kebodohan dan ketamakannya. Cerita ini menjadi bualan dan sindiran kepada sesetengah golongan yang memikirkan kepentingan dan kepuasan diri mereka semata-mata akhirnya akan memudaratkan diri mereka sendiri. Ironi Sejarah Ironi sejarah ini merupakan suatu kejadian yang memperlihatkan peristiwa bersejarah yang telah lama berlalu namun masih lagi berulang-ulang disebut yang disabitkan dengan kejadian semasa. Contoh yang paling jelas ialah peristiwa Perang Dunia Pertama yang telah lama berlaku yang menimbulkan kesan mendalam kepada manusia seluruh dunia. Meskipun perang ini telah lama berlaku, namun perang ini masih disebut-sebut dan ditakuti oleh semua orang. Perang dunia pertama ini dikatakan sebagai sebuah cerita ironi yang akan menyelesaikan peperangan dan pertelingkahan antara kuasa besar dunia dengan negara-negara yang tidak mampu melawan kekuatan mereka. Meskipun terdapat banyak pengajaran dan kesan buruk yang menimpa manusia, namun perang masih juga berlaku sehinggalah berlakunya Perang Dunia Kedua. Perang Dunia Kedua ini juga telah meninggalkan pelbagai kesan kepada manusia dunia. Meskipun kedua-dua perang tersebut menjejaskan dan memberikan pelbagai musibah kepada dunia, manusia masih lagi bertelagah untuk merebut kuasa. Inilah 110

Serumpun Wangian Ilmu yang dikatakan ironi sejarah. Dalam perbuatan kita setiap hari, manusia tidak akan dapat lari daripada mengejar kekuasaan, kekayaan, ketamakan dan sebagainya. Untuk mengejar perkara-perkara tersebut manusia akan melupakan sejarah yang lampau yang telah menyiksakan manusia. Namun itu semua akan dilupakan apabila perasaan tamak dan haloba menguasai diri. Untuk itu, ironi sejarah ini akan diperbualkan oleh masyarakat dalam bentuk sindiran terhadap perisiwa-peristiwa yang pernah meninggalkan kesan kepada seseorang. Contohnya, manusia akan menyebut: tak serik-serik lagikah perang yang berlaku sebelum ini. Kalau rasa tak nak susah jangan ulang lagi perkara tersebut. Inilah yang dikatakan ironi sejarah, namun ianya tidak mustahil akan berulang lagi selagi manusia hidup di muka bumi ini.  SINIKAL Sinikal membawa maksud sesuatu pengucapan ataupun tindakan yang membawa pengertian menyindir ataupun sinis terhadap sesuatu. Sinikal juga membawa maksud sarkastik iaitu sesuatu yang bersifat menyindir dengan kata-kata yang tajam dan pedas yang boleh menyakitkan hati seseorang yang ditujukan. Kebiasaannya sinikal ini disuarakan atas kehendak seseorang yang mempunyai niat dan kehendak untuk menyindir orang lain yang dirasakan tidak puas hati dan ada juga juga sindirian yang dikemukakan dalam bentuk gurauan. Namun sindiran tersebut memberi makna yang mendalam dan memberi maksud keinginan untuk menyindir seseorang. Sinikal ini merupakan pengucapan bahasa yang sering kali akan menyakitkan hati orang yang mendengar ataupun menerima kata-kata tersebut. Ciri-ciri sarkastik ini bersifat kasar dan kesat dengan turut kata yang menunjukkan sindiran secara langsung ataupun tidak langsung. Sinikal ini biasanya dipertuturkan untuk melahirkan perasaan marah sehingga menghamburkan kata-kata kesat yang menyakitkan hati. Bahasa yang digunakan agak keras dan sinis terutama pada orang yang merasakan diri mereka dianiaya dan terlalu marah pada seseoran yang lain sehingga mereka tidak dapat mengawal perasaan. Lantas, kata-kata yang dihamburkan menunjukkan nada yang marah dan geram sehingga boleh juga tempias kepada orang lain yang mendengar walaupun tiada kena mengena dengan pihak ketiga yang mendengarnya. Contoh kata-kata sinikal yang biasa digunakan apabila seseorang sangat marah kepada seseorang yang lain: • Jahanam kamu. Jangan tunjukkan lagi muka kamu pada aku lagi! • Benci sungguh aku melihat muka engkau • Berambus kau dari sini. Menyakitkan mata aku melihat dirimu setiap hari Dalam cerita Jenaka Melayu, terdapat banyak juga cerita yang mengandungi unsur-unsur sinikal yang mempengaruhi keseluruhan penceritaan. Cerita-cerita ini disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Cerita 111

Serumpun Wangian Ilmu Jenaka Melayu bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, namun apa yang ingin dizahirkan ialah perasaan geram dan marah kepada mana-mana pihak yang menyakitkan hati mereka. Cerita yang disampaikan kadang-kadang secara langsung dan kadang-kadang juga mempunyai maksud dua lapis, namun mampu difahami mesej tersebut. Cerita Jenaka Melayu dalam masyarakat Melayu Tradisional yang sangat terkenal seperti Pak Pandir, Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Belalang, dan Si Luncai. Cerita-cerita ini mempunyai banyak unsur lelucon yang tersendiri dan mempunyai nilai semasa dalam memberi pengajaran kepada manusia. Meskipun begitu, unsur sinikal turut ditemui yang mewarnai cerita-cerita ini. Meskipun masyarakat moden kini sudah lama meninggalkan ciri-ciri kehidupan tradisional, namun masih ramai lagi lagi turut memperkatakan tentang unsur-unsur sindiran yang terkandung dalam cerita-cerita tersebut. Budaya kehidupan orang Melayu sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan unsur-unsur ini walaupun mereka mengamalkan hidup yang jauh lebih berbeza berbanding dengan zaman tradisional. Sifat orang Melayu sendiri yang masih lagi berkias dan menyindir dalam menyampaikan sesuatu terutama dalam hal-hal yang melibatkan sesuatu yang tidak disukai. Menurut sesetengah pengkaji, cerita-cerita jenaka tradisional ini dibahagikan kepada tiga kelompok yang bergantung kepada sifat watak-watak utamanya yang ada dalam cerita tersebut. Kelompok pertama dalam kategori bodoh sial mengumpulkan watak Lebai Malang dan Pak Kaduk. Lantaran sifat kebodohannya dalam mengatur strategi setelah mendapat jemputan kenduri, Lebai Malang menyusun atur programnya sendiri tanpa berfikir panjang. Memandangkan dia yang sering menjadi perhatian masyarakat apabila orang ramai membuat kenduri, maka sifat tamak Lebai Malang sedikit sebanyak telah merugikan dirinya sendiri. Akhirnya dia pulang ke rumah kelaparan tanpa dapat merasa apa-apa kenduri. Kedua-dua tempat yang dituju terlepas begitu sahaja kerana kebodohan dan ketamakannya. Contoh yang lain pula dalam unsur sinikal ini ialah cerita Pak Kaduk ditipu raja sehingga terpaksa bertukar ayamnya yang sentiasa jaguh dan handal berlawan. Manakala Pak Pandir pula boleh digolongkan dalam kelompok pintar bodoh. Sikap pintar alang-alangnya itu membuatkan Pak Pandir yang kurang akal sering menerima nasib malang. Pak Pandir sering mendapat bencana dan mengalami kerugian. Kejadian seperti anaknya mati dicelur olehnya sendiri, imam yang sepatutnya sampai dalam majlis kendurinya tidak kesampaian dan yang dibawanya hanyalah kambing. Hal ini semua membuatkan segala apa yang dirancang tidak menjadi sehingga membawa kepada kes kematian anaknya. Namun begitu, unsur sinikal ini juga sering diperkatakan kepada watak-watak yang berperanan pintar dan cerdik seperti cerita Si Luncai Terjun dengan Labu- labunya dan cerita Pak Belalang. Kedua-dua watak ini menggambarkan orang yang cerdik namun dalam cerita Si Luncai, wataknya sangat cerdik namun mampu 112

Serumpun Wangian Ilmu juga ditipu oleh orang lain sehinggakan dia sanggup terjun dengan labu-labunya ke dalam sungai. Orang lain yang berada dalam perahu tersebut hanya mampu mentertawakannya dan menyindir-nyindir kelakuan pintarnya yang tidak kena pada tempat yang sepatutnya. Cerita Pak Belalang pula yang difilemkan oleh Tan Sri P. Ramlee dan P. Ramlee yang menjadi watak utamanya iaitu memainkan peranan sebagai bapa Belalang. Watak Pak Belalang merupakan seorang manusia yang pemalas dan hidupnya hanya bergantung kepada kerajinan dan kecerdikan anaknya. Pak Belalang hanya tidur tanpa melakukan apa-apa pekerjaan. Meskipun begitu, tuah sentiasa menyebelahinya sehingga dia sendiri dapat mengahwini anak raja. Watak- watak yang mewarnai cerita tersebut terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu watak bodoh, dungu, dan watak cerdik sehingga dapat melepaskan diri dari peristiwa yang mengancam nyawa mereka sendiri. Cerita Nujum Pak Belalang ini memberikan sindiran yang berbentuk sinikal kepada pemimpin yang bersifat tamak dan haloba. Kedua-kedua pemimpin sanggup menggadaikan negara masing-masing dengan hanya mengemukakan soalan teka-teki. Pihak lawan yang dapat menyelesaikan teki-teki tersebut akan memiliki pemerintahan negara lawannya. Manakala negara yang kalah dalam pertandingan teka-teki tersebut akan kehilangan negara mereka. Perjudian sebegini bukanlah perkara kecil kerana peristiwa tersebut melibatkan gadaian rakyat dan rakyat yang hidup bebas merdeka akan dijajah sekiranya kalah dalam pertandingan tersebut. Dalam pertandingan teka-teki itu, Kerajaan Masai telah kalah mengemukakan soalan teka-teki dalam pertandingan tersebut telah kalah kerana kebijaksanaan anak Pak Belalang. Pertandingan teka-teki yang kelihatannya simple dan mudah, namun peristiwa ini memberikan sinikal yang tajam kepada pemimpin yang mengambil mudah tentang negara mereka. Cara sebegini juga menunjukkan bentuk perjudian yang melibatkan kebebasan rakyat akan tersekat dan dijajah dalam bentuk yang paling mudah. Konsep perjudian sedemikian meletakkan nasib rakyat di hujung tanduk. Rakyat dipermainkan tanpa memikirkan kepentingan mereka untuk jangka masa yang panjang. Jika kalah, maka generasi yang seterusnya akan hidup dalam penjajahan. Sepatutnya pemimpin berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang melibatkan jiwa rakyat. Inilah yang dikatakan sinikal terhadap pemimpin yang mementingkan diri mereka dan hal ini sering terjadi semenjak dari zaman Melayu Tradisional sehinggalah pemerintahan moden sehingga kini. Cerita Musang Berjanggut yang sering diulang tayang di televisyen dari dulu sehinggalah sekarang juga turut memaparkan konsep sinikal dalam kalangan masyarakat bangsawan. Cerita yang dihasilkan oleh Tan Sri P. Ramlee ini juga merupakan cerita berprofil tinggi yang berunsurkan sinikal dengan menyindir golongan-golongan pemerintah tertinggi dan pembesar negeri yang berperanan 113

Serumpun Wangian Ilmu untuk menjaga keselamatan dan keharmonian negeri. Namun sikap dan kerenah kurang akal pemimpin tertinggi kerajaan yang kalah hanya dengan godaan dan kejelitaan seorang wanita telah membuatkan keadaan huru-hara dalam pentadbiran istana. Meskipun masing-masing tidak mampu menahan nafsu serakahnya, namun mereka tetap berlakon dan berlagak seolah-olah seolah-olah merekalah pemimpin yang berwibawa dan bertanggungjawab kepada masyarakat. Hakikatnya, mereka tewas hanya dengan senyuman dan kecantikan seorang perempuan. Jika dianalisis dengan mendalam, filem ini menjadi filem yang boleh mengkritik masyarakat pemimpin yang menggunakan kedudukan mereka hanya kerana untuk memiliki kecantikan seseorang wanita. Mereka tidak mampu melawan nafsu syaitan yang menghuni dalam diri masing-masing. Idea P. Ramlee ini menunjukkan beliau seorang pengkritik sosial menerusi filem daripada skrip dan lakonannya yang masih sinonim dengan situasi zaman dahulu sehinggalah sekarang. Masyarakat zaman dahulu mahupun zaman kini masih lagi meletakkan keinginan nafsu seiring dengan kedudukan mereka dan kecantikan pada perempuan boleh memusnahkan kerjaya mereka seperti apa yang telah berlaku kepada pemimpin-pemimpin barat zaman kini. Cerita ini menyindir secara tersirat menerusi kebolehan seni untuk mengajak orang Melayu berfikir dan menilai kelemahan diri sendiri. Ada dalam kalangan pemimpin yang faham akan sindiran cerita ini, namun mereka seolah-olah pejam mata dan menganggap cerita itu hanya sebagai gurauan semata-mata. Apa yang mereka hajati dan inginkan dapat dicapai dan dipenuhi hawa nafsu, mereka akan tetap tidak akan berubah walaupun sinikalnya tetap menyindir sesetengah pemimpin yang bersifat sedemikian. SARKASTIK Sarkastik ini merupakan kata-kata berbentuk sindiran yang diniatkan untuk menyakitkan hati dan membuatkan orang lain merasa kurang selesa sehinggakan ada yang marah kerana disindir dalam bahasa yang agak kasar. Unsur sarkastik  ini digunakan dalam pengucapan bertujuan untuk menyakiti hati orang lain yang mendengar atau menerima ungkapan tersebut kerana kata-katanya bersifat kesat. Sindiran begini tidak dinyatakan secara sinis tetapi dinyatakan kerana marah kepada seseorang dan mereka tidak dapat mengawal amarah serta tidak dapat mengawal perasaan. Ekoran daripada kata-kata sarkastik ini mampu mewujudkan suasana perbalahan yang berpanjangan dan tidak kurang juga membawa kepada pergaduhan jika tidak dapat mengawal situasi. Nada yang keras dan menyentuh perasaan orang yang mendengarnya menyebabkan keadaan sukar dikawal dan akan berakhir dengan sindir-menyindir dan kata-mengata yang tidak berkesudahan setiap kali bertemu. 114

Serumpun Wangian Ilmu Contoh yang jelas kata-kata sarkastik ini adalah seperti yang berikut: i. Pergi jahanam kamu. Dasar anak tak kenang budi! ii. Bangsat keturunan engkau, berambus dari sini! iii. Muka tak tahu malu. Berambus. Tak ingin aku nak tolong orang hina macam kamu ni. iv. Berambus kamu dari rumah aku. Hidup menyusahkan orang sahaja! PENUTUP Tiga unsur-unsur ini iaitu ironi, sinikal, dan sarkastik sememangnya menjadi inti dan mesej dalam cerita-cerita Melayu Tradisional. Bukan itu sahaja, unsur-unsur ini menjadi isu perbualan setiap hari bergantung kepada situasi dan keadaan. Ketiga- tiga unsur ini kebiasaannya akan digunakan apabila seseorang ingin menyindir dan mengandungi sesuatu peristiwa yang menyakitkan hati mereka. Seringkali juga ucapan yang mengandungi ketiga-tiga unsur ini digunakan untuk tidak menyindir dan mengata secara terang-terangan. Mereka menggunakan kata-kata yang kesat dan menyakitkan hati untuk melepaskan perasaan marah yang ada dalam diri mereka. Keseluruhannya, cerita jenaka Melayu sebenarnya hanyalah merupakan sebahagian daripada tajuk kecil yang terkandung dalam Kesusasteraan Melayu Lama dan tidaklah begitu diambil perhatian oleh masyarakat. Cerita-cerita dalam cerita Jenaka Melayu bukan sahaja digunakan sebagai alat hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai alternatif untuk menyampaikan sesuatu maksud tersirat melalui cara yang halus. Dalam konteks pendidikan, pelajar tidak berkesempatan mengenali dan memahami cerita jenaka dengan lebih mendalam lagi kerana pengajaran kesusasteraan Melayu semakin terhad di sekolah. Cerita jenaka ternyata  mampu untuk membuka minda pelajar supaya menganalisis maksud tersirat di sebalik sesuatu cerita. Kebanyakan masyarakat memahami secara kritis tentang cerita jenaka Melayu walaupun cerita jenaka hanya merupakan sebahagian kecil sahaja yang diperkatakan namun terdapat banyak hal yang boleh dimanfaatkan secara tdak langsung. Mereka tidak akan tahu bahawa banyak hal atau perkara atau aspek yang terkandung di dalam cerita jenaka ini jika tidak dikupas dengan mendalam. Cerita-cerita ini juga dapat digunakan untuk mencari resolusi atau penyelesaian yang dapat menjelaskan budaya sesuatu masyarakat di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Unsur-unsur didaktif yang terkandung di sebalik kelucuan cerita itu dapat menuntun dan menyedarkan mereka yang lalai serta memberikan pengajaran secara spontan kepada yang membacanya. Di sebalik kelucuan yang disampaikan atau diceritakan itu tersirat unsur-unsur moral dan nasihat untuk dijadikan sebagai panduan hidup dan membawa mesej kritikan sosial yang ditujukan kepada golongan tertentu. 115

Serumpun Wangian Ilmu Unsur-unsur yang terkandung dalam cerita-cerita jenaka ini juga memberikan faedah dan manfaat kepada masyarakat untuk memenuhi naluri manusia bagi tujuan keseronokan atau bertujuan untuk bergembira. Seringkali juga cerita-cerita tersebut bertujuan untuk menghibur ataupun menggabungkan ciri kejenakaan untuk tujuan memberikan pengajaran, sindiran yang tidak ketara, mengkritik, menghina, dan memberontak terhadap pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan mana-mana manusia yang berhubung dengannya. Kaedah penyampaian mesej memberikan pilihan kepada masyarakat pada zaman dahulu cuba untuk menyampaikan sesuatu pandangan yang disifatkan sebagai negatif dan tidak enak untuk diungkapkan secara terus dan halus ataupun secara kasar. RUJUKAN Abdul Halim Ali, 2011. Pengantar Teori dan Kritikan Sastera. Selangor : Persatuan Penulis Budiman Malaysia. Amin Sweeney, 2005.  Karya lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Jakarta:  Kepustakaan Populer Gramedia. Mohd Taib Osman, 2007. Cerita Jenaka Melayu. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. Siti Hawa Haji Salleh, 2009.  Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia. Zahrah Ibrahim, 1986. Sastera Sejarah Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka. 116

NASIONALISME DALAM ISLAM Dr. Wan Zaliha bt. Wan Othman Hajah Amanah bt. Mohd Noor Seminar Antarabangsa Pengajian Melayu 9-11 September 2014 Anjuran: IPG Kampus Keningau, Sabah ABSTRAK Kajian ini membincangkan nasionalisme dalam Islam. Nasionalisme bermaksud cinta akan bangsa dan negara dan cinta ini membawa kepada perasaan cinta kepada negara dan juga agama. Kajian ini akan meneliti nasionalisme yang merujuk kepada sumber yang sebenar yang akan memberikan bukti- bukti sahih kepada umat Islam dan juga bukan Islam. Sumber yang dikenal pasti itu diperoleh dengan membuat kajian terhadap beberapa novel yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani. Berasaskan kepada sumber sebenar tersebut membolehkan masyarakat mengetahui hal-hal yang mungkin tidak diketahui ramai terutama hal-hal yang melibatkan akidah dan kepercayaan umat Islam. Fokus perbincangan ialah nasionalisme kepada Allah, nasionalisme kepada al-Quran, nasionalisme kepada Rasul, dan nasionalisme kepada Negara. Sumber yang sebenar ini akan meningkatkan tahap kecintaan masyarakat terutama nasionalisme dalam kalangan umat Islam. Kata Kunci: Nasionalisme, sumber, bukti, cinta. PENDAHULUAN Kajian ini akan membincangkan perihal semangat mencintai agama Islam dan semangat cinta akan agama ini akan difokuskan kepada percintaan ataupun semangat nasionalisme terhadap agama Islam dalam konteks penduduk Islam di Malaysia. Nasionalisme dalam Islam ini akan membolehkan pengkaji memberikan sumber-sumber yang telah dikenal pasti untuk dikaitkan dengan semangat kecintaan orang Islam terhadap hal-hal yang membawa kepada fahaman dan kepercayaan umat Islam di dunia ini. Sumber-sumber ini akan dikenal pasti menerusi kajian bacaan terhadap novel-novel yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani. Perbincangan nasionalisme dalam Islam ini akan difokuskan kepada nasionalisme kepada Allah, nasionalisme kepada al-Quran, nasionalisme kepada Rasul, dan nasionalisme kepada Negara. Perbincangan nasionalisme ini akan dibuktikan menerusi penemuan daripada sumber-sumber sebenar yang dikenal pasti dan akan dibincangkan oleh pengkaji. 117

Serumpun Wangian Ilmu NASIONALISME KEPADA ALLAH Untuk memperlihatkan proses kecintaan sepenuhnya kepada Allah, syair Hamzah Fansuri yang dipetik daripada The Poems of Hamzah Fansuri terjemahan oleh G.W.J Drewes dan L.F Brakel (1986: 120) telah digunakan dalam novel 1511H [Kombat]. Dalam novel 1511H [Kombat] ini, pengarang menyatakan bahawa syair ini dirujuk daripada e-reference yang diakui terus oleh Muhammad Ameen yang menunjukkan Faisal Tehrani turut merujuk syair ini melalui e-reference tersebut. Berikut ialah syair yang diturunkan oleh pengarang dalam novel ini: Bumi langit akan sangkarannya Mekkah Madinah akan pangkalannya Bait Allah nama badannya Di sana bertemu dengan Tuhannya (1511H [Kombat]: 1) Berikut pula adalah sumber lain yang turut dirujuk oleh pengarang: Bumi langit akan sangkarannya Mekkah Madinah akan pangkalannya Bait Allah nama badannya Di sana bertemu dengan Tuhannya (G.W.J Drewes dan L.F Brakel, 1986: 120) Serangkap puisi yang diterjemahkan oleh G.W.J Drewes dan L.F Brakel daripada Syair Hamzah Fansuri ini menjelaskan tentang kesucian dan keikhlasan hati ketika menyembah Allah SWT. Dalam terjemahan ini juga mengisahkan kesufian hidup Hamzah Fansuri dan komen-komen yang diberikan kepada puisinya yang menunjukkan penyerahan dirinya kepada Allah SWT. Syair ini menjelaskan juga bagaimana Hamzah Fansuri menganggapkan dirinya sebagai unggas yang sentiasa bergerak untuk mencari cahaya kebenaran. Syair ini ialah karya yang dicipta oleh Hamzah Fansuri dalam mencari hakikat dirinya di sisi Allah SWT. Syair ini ditulis untuk menggambarkan seorang musafir yang mencari erti rohani dalam diri dan beliau meletakkan dirinya sebagai seekor burung unggas yang terbang mencari-cari jati diri kerohaniannya. Sumber yang dirujuk dalam novel ini menunjukkan seseorang makhluk Allah SWT yang sentiasa menginsafi diri dan sentiasa berusaha untuk berjuang dalam meningkatkan ketaqwaaan diri terhadap Allah SAW. Pencarian ini berbentuk penerokaan kerohaniah dan pergolakan dalam diri untuk menentang musuh Allah SWT dalam menegakkan kalimah Allah SWT. Penggunaan syair Hamzah Fansuri ini jelas menunjukkan pengarang mengagumi kebolehan Hamzah Fansuri kerana karya agung Hamzah Fansuri masih diperkatakan sehingga kini untuk mencari falsafah di sebalik karyanya. 118

Serumpun Wangian Ilmu Interpretasi jelas menunjukkan orang yang bersedia menerima dakwah akan dijanjikan dengan kesenangan bukan sahaja di dunia bahkan mereka juga akan merasainya di akhirat sebagai ganjaran melakukan kebaikan. Walaupun pada dasarnya ganjaran akan diterima di akhirat, namun mereka juga dijanjikan kesenangan di dunia jika menerima dakwah dengan baik (Karim Zaidan, 2002: 492). Syair ini mengisahkan bagaimana hamba Allah SWT yang mengembara semata- mata untuk mengabdilkan diri kepada Allah. Muhammad Ameen dalam novel 1511H [Kombat] percaya bahawa penyerahan diri kepada Allah akan mendapat ganjaran yang tidak terhingga kerana beliau percaya bahawa setiap kebaikan yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT akan diberikan ganjaran di akhirat nanti. Berikut juga kata-kata yang menunjukkan Muhammad Ameen redha dengan perjuangan dan beliau percaya ganjarannya akan berpihak kepadanya nanti seperti kata-kata berikut: Muhammad Ameen belajar menjadikan seberkas cahaya yang terselindung bersinar semula. Dia belajar untuk bersahabat dengan Tuhan. … Dia mendaki tingkat muruwwah, bertaubat dan meneroka potensi diri. Dia penuhkan masa dengan berzikir dan merenung hakikat kejadian … (1511H [Kombat]: 6). Berasaskan sumber tersebut, Muhammad Ameen cuba menjadi seorang hamba yang taat akan Allah SWT dan pengembaraannya dengan menghafal surah al-Ikhlas sebanyak 3000 kali dan sentiasa menyerahkan dirinya kepada Allah SWT. Dalam pengembaraan melalui amalan-amalan tersebut, Allah telah mengurniakannya ganjaran dengan dapat melihat alam yang berlapis-lapis (Ibid: 7) yang menunjukkan beliau telah disucikan hatinya dan bersedia untuk dibai’ah sebagai persediaannya berjuang ke jalan Allah. Jelaslah, sumber yang dipilih oleh Faisal Tehrani adalah untuk menyampaikan dakwah dengan melahirkan sifat ketaqwaan dan mementingkan sifat tersebut untuk mengajak khalayak mengabdikan diri dan mencintai Allah. Hal ini menyamai apa yang digagaskan oleh pendekatan dakwah iaitu sastera sebagai satu wadah untuk mempertingkatkan nilai ketaqwaan terhadap Allah (Hashim Awang, 1993: 74). Peningkatan nilai ketaqwaan ini akan membawa kepada semangat nasionalisme terhadap Allah yang tidak berbelah bahagi walaupun manusia sentiasa diuji dalam pelbagai keadaan. 119

Serumpun Wangian Ilmu NASIONALISME KEPADA AL-QURAN Perbincangan seterusnya ialah meneliti sumber-sumber untuk meningkatkan nasionalisme kepada al-Quran. Untuk itu, pengarang banyak menggunakan sumber yang dipetik daripada al-Quran sebagai rujukan kepada hujah dalam novelnya (Faisal Tehrani, 2007: 34). Al-Quran dijadikan rujukan kepada kebanyakan peristiwa untuk menunjukkan pengarang membina teks baru berlatarbelakangkan sumber yang dirujuk daripada teks yang lain sebagai kerangka penulisan dalam karya. Pengarang melakukan hal tersebut atas tujuan-tujuan tertentu dan pengkaji akan membuktikan bahawa sumber yang digunakan oleh Faisal Tehrani ini bertujuan untuk menyampaikan dakwah nasionalime al-Quran kepada khalayaknya. Novel Tuhan Manusia mengisahkan konflik agama yang berlaku dalam masyarakat yang menimbulkan pelbagai tafsiran sehingga membawa kepada perbincangan berkaitan akhirat, murtad, dan salah faham terhadap agama. Surah at-Taubah, ayat 106 telah dipindahkan oleh pengarang ke dalam Tuhan Manusia untuk menyatakan bahawa manusia seharusnya berpegang kepada al-Quran terutama hal-hal yang melibatkan kepercayaan kepada akhirat kerana amalan di dunia dengan akhirat akan diambil kira sebagai tugas manusia apabila dibangkitkan di akhirat nanti. Hubungan antara tugas manusia di dunia dan di akhirat ini jelas dilihat dalam Tuhan Manusia dengan memindahkan sepenuhnya petikan al-Quran daripada surah at-Taubah, ayat 106. Cuma, dalam surah at-Taubah, ayat 106 ini pengarang mempersoalkan golongan bukan Islam yang melakukan kebaikan melalui watak Zehra. Zehra tidak bersetuju dengan keterangan yang diberikan oleh Profesor Mahfuz tentang hukuman kepada orang bukan Islam dan beliau mempertikaikan hukuman kepada orang yang melakukan kebaikan. Maka hal tersebut jugalah yang diucapkan oleh Profesor Mahfuz dalam Tuhan Manusia yang dipindahkan oleh pengarang seperti berikut: “Dan ada pula orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; adakalanya Allah akan mengazabkan mereka dan adakalanya Allah akan menerima taubat mereka. Dan Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Tuhan Manusia: 188). Berikut pula ialah ayat al-Quran yang dipetik terus dan dipindahkan oleh pengarang ke dalam novel ini: “Dan ada pula orang-orang lain yang ditangguhkan sampai ada keputusan Allah; adakalanya Allah akan mengazabkan mereka dan adakalanya Allah akan menerima taubat mereka. Dan Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Terjemahan al-Quran Darul Iman, 2007: 203). 120

Serumpun Wangian Ilmu Dalam terjemahan ini menjelaskan bahawa Allah SWT sentiasa menerima taubat hamba-hamba-Nya. Allah juga sentiasa melihat setiap perlakuan dan perbuatan sama ada orang beriman ataupun tidak kerana Allah Maha Mengetahui segala perkara yang nyata ataupun perkara yang ghaib. Setiap perbuatan hamba-Nya akan dipertimbangakan dan akan mendapat pembalasan yang setimpal dengan perbuatannya. Ada juga dalam kalangan orang yang ditangguhkan dulu keputusan Allah kerana beberapa perkara yang diambil kira oleh Allah SWT atas kebaikan yang pernah dilakukan semasa hidup. Novel Tuhan Manusia ini juga mengisahkan perihal pertentangan fahaman yang berlaku antara watak-watak utama seperti Ali Taqi, Zehra, Tse, dan beberapa watak lain yang turut membantu menimbulkan konflik keagamaan. Pertentangan tersebut timbul ekoran daripada fahaman yang berbeza yang menyebabkan timbul salah faham terhadap pelbagai isu termasuk pluralisme, sekularisme, murtad, sehingga membawa kepada konsep syurga dan neraka di akhirat. Meskipun begitu, watak utama bapa kepada Ali Taqi mampu memberikan penerangan yang jelas sehingga mendorong orang bukan Islam, Andrew Tse mempercayainya sekaligus mengakui kebenaran tentang alam akhirat. Syurga dan neraka melalui surah daripada al-Quran ini mengingatkan pembalasan kepada setiap perbuatan manusia dalam novel ini disampaikan kepada orang bukan Islam untuk mendorongnya mempercayai kewujudan dunia yang akan diambil kira di akhirat nanti. Watak bapa kepada Ali Taqi yang menyampaikan cerita secara bijaksana semasa kuliah subuh dengan menyelitkan dua ayat al-Quran iaitu surah al-Baqarah ayat 200 dan surah al-Qashah ayat 77 telah mendorong Tse sebagai orang bukan Islam memikirkan perkaitan antara dunia dan akhirat. Kebijaksanaan penyampaian bapa Ali Taqi ini membuatkan Tse mendapat cahaya hidayah daripada Allah SWT untuk memeluk Islam. Kata-kata tersebut yang telah mendorong Tse untuk memeluk Islam seperti berikut: Ayat itu sentiasa mengingatkanmu betapa dunia adalah laluan akhirat. “Dunia dan akhirat bersatu. Dalam Islam, umatnya diajar untuk berjaya di dunia dan mendapat kebahagiaan di akhirat.” (Tuhan Manusia: 210). Ayat al-Quran tersebut telah mendorong Tse memikirkan perkaitan antara dunia dan akhirat sehingga beliau mengakui kebenarannya dengan mengucap dua kalimah syahadah untuk memeluk Islam. Petikan surah al-Quran tersebut menjelaskan juga bagaimana sumber daripada al-Quran tersebut dapat mendorong pendengarnya membuat pertimbangan kebaikan-kebaikan yang akan diperoleh di dunia dan juga di akhirat. Kebahagiaan di dunia tidak akan bermakna sekiranya tidak dicapai kebahagiaan di akhirat. Malahan, sumber al-Quran itu turut mendorong manusia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan Allah tidak sekali- kali mencegah daripada mencari keuntungan di dunia juga kerana tugas-tugas manusia di dunia akan diambil kira di akhirat kelak. 121

Serumpun Wangian Ilmu Keberkesanan kaedah penyampaian watak bapa Ali Taqi dalam Tuhan Manusia menunjukkan sumber al-Quran diguna pakai dan dijelaskan dengan cara berhikmah dan penuh keilmuan sehinggakan orang bukan Islam turut tertarik dengan Islam. Penjelasan tersebut turut menjadi daya tarikan kepada Tse untuk memeluk agama Islam yang mempersoalkan kemurnian dan kelebihan agama Islam sehingga menimbulkan daya tarikan yang lebih terhadap agama Islam dalam kalangan insan Muslim ataupun bukan Muslim (Hashim Awang, 1996: 47). Penyampaian secara berhikmah ini menunjukkan kaedah yang digunakan oleh Faisal Tehrani melalui sumber rujukan al-Quran untuk berdakwah kepada khalayak, sekaligus mempertingkatkan tahap nasionalisme terhadap al-Quran itu sendiri. NASIONALISME KEPADA RASUL Nasionalisme kepada Rasulullah ini akan dibuktikan menerusi beberapa sumber yang dikenal pasti oleh pengkaji. Sumber ini bukan sekadar untuk mendedahkan peristiwa-peristiwa berkaitan, namun mampu untuk membuktikan kecintaan pengarang kepada Nabi Muhammad SAW sebagai penghulu umat Islam di dunia ini. Dalam 1511H [Kombat] ini, perbincangan terhadap sumber Sirah Nabi telah diubah suai oleh pengarangnya untuk menggambarkan kelebihan tokoh yang terdapat pada watak utama berasaskan kelebihan Nabi Muhammad SAW yang terdapat dalam teks asalnya. Sumber yang dirujuk dalam novel ini ialah Sirah Rasulullah, Penghulu Para Anbiya (1995) karya Abdullah A.M. Pengubahsuaian dari aspek alur cerita dalam hipogram ini untuk mengungkapkan kebenaran tentang jihad yang disesuaikan peristiwa dalam hiperteks. Berikut ialah catatan daripada hiperteks: Dia menyingkap singletnya dan terzahir tanda yang seakan bercahaya. “pada belikat habib ini tertulis Sharjeel dan pada belikat enta tertera larikan tulisan Khaleed.” (1511 H [Kombat]: 61) Catatan sumber yang dirujuk pula seperti berikut: Paderi berkata: … kami dapati sifat-sifatnya ada di dalam kitab suci Ilahi. Lagipun ada meteri di belikatnya. Khatamun Nubuwah-sekeliling juga cahaya menyinari. (Abdullah A.M. 1995: 45) Sumber ini menceritakan perihal bapa saudara Nabi Muhammad SAW, Abu Talib yang pernah membawa beliau kepada seorang Paderi kerana pelbagai kelebihan yang diperhatikan terhadap sifat Rasulullah. Ternyata Paderi tersebut mengakui bahawa sifat-sifat mulia Nabi Muhammad terdapat dalam kitab Allah SWT 122

Serumpun Wangian Ilmu dan jelas kelihatan pada bahagian belikatnya. Paderi tersebut juga dapat melihat cahaya yang mengelilingi dan mengiringi Rasulullah SAW. Penulis telah mengubah suai cerita yang asalnya berlaku kepada Rasulullah SAW ketika beliau masih kecil (berumur 12 tahun) dan telah dibawa oleh Abu Talib kepada seorang paderi. Paderi tersebut mengakui bahawa budak yang dibawa kepada beliau mempunyai tanda-tanda sebagai seorang yang bakal menerajui pucuk pimpinan alam semesta. Manakala, dalam novel ini pula Muhammad Ameen telah dibawa oleh Habib kepada Hajah Nusaybah untuk dijadikan salah seorang pemimpin kumpulan futuwwah bagi mempertahankan Islam. Dalam pertemuan tersebut Muhammad Ameen telah berjaya diyakinkan oleh Hajah Nusaybah sehinggakan sukar baginya untuk menolak pelawaan tersebut. Berikut adalah kata- kata Nusaybah yang cuba meyakinkan hujahnya agar diterima oleh Muhammad Ameen: “Kita memerlukan organisasi untuk menentang segala kejahatan yang dipantakkan kepada kita, sahabat.” … Mengenai bagaimana umat Islam boleh diasak oleh tentera kafir … . Jelaslah kita memerlukan tentera jihad yang dapat meletakkan kebenaran mengatasi kepalsuan, keazaman mengatasi kekeliruan. Sahabatku, jihad tidak mengenal rehat.” (1511H [Kombat]: 60) Keyakinan tersebut dikuatkan melalui hujah-hujah dengan mengungkapkan kebenaran bahawa kumpulan futuwwah yang diketuai Nusaybah memiliki kekuatan akidah, sumber asli, dan sumber manusia. Ungkapan kebenaran ini penting dalam usaha untuk berdakwah dengan hujah-hujah yang berkesan. Ternyata Faisal Tehrani mampu menggunakan hujah-hujah tersebut untuk berdakwah dalam karyanya. Faisal Tehrani menulis semula ketokohan awal Rasulullah SAW dan diubah suai kelebihan tersebut kepada Muhammad Ameen dan tanda yang tertera pada belikatnya itu menunjukkan kelebihan yang telah dikurniakan sejak dilahirkan. Persamaan yang jelas dalam kedua-dua peristiwa ini menunjukkan pengarang mengubahsuai kelebihan yang ada pada Rasulullah SAW untuk diberikan kepada Muhammad Ameen dalam meyakinkan beliau agar berjuang tanpa berbelah bahagi. Jelas sekali, perkara yang dilakukan merujuk ketokohan dan kelebihan yang ada pada Nabi Muhammad SAW dapat memperkukuhkan lagi ketokohan Muhammad Ameen sebagai seorang komander untuk mengetuai perjuangan mempertahankan Islam. Sekaligus mampu memperlihatkan tahap kecintaan watak terhadap Rasulullah SAW dan turut menjelaskan pengarangnya memiliki nilai nasionalisme kepada Nabi Muhammad untuk dikongsi bersama dengan pembacanya. Perbincangan lanjut terhadap nasionalisme kepada Rasul ini diteruskan kepada sumber yang dipetik menerusi Bible dalam novel 1511H [Kombat]. Dalam novel ini menceritakan doktor yang beragama Islam yang bernama Abdul Kader 123

Serumpun Wangian Ilmu Aras bertelingkah dengan pesakitnya yang mengalami halusinasi hypnogogic ketika tidur, apabila terjaga dia dijangkiti pula hypnopompic yang menyebabkan kadang-kadang gembira dan kadang-kadang bersedih. Pesakit tersebut berazam untuk menghancurkan Islam dan menghapuskan umat Nabi Muhammad SAW dengan cuba menghalau orang-orang Islam di Amerika. Niat dan hajatnya ini tidak kesampaian kerana kekalahan pada pihaknya dan niat itu ditentang habis-habisan oleh doktor tersebut. Teguran doktor tersebut dengan membawa hujah yang terkandung dalam Bible tentang kewujudan Nabi Muhammad SAW dan sekaligus meminta pesakitnya itu membaca Gospel St. John ayat 7 bab 16 tentang Paracletos dan bab John ayat 26. Berikut adalah petikan tersebut yang menjelaskan kewujudan Nabi Muhammad SAW dalam Bible yang menjadi kitab orang Kristian: And I will ask the father, and he shall give you another Paracletos, that he may stay with you forever. (1511 H [Kombat]: 29). Petikan tersebut adalah sumber yang dirujuk oleh Faisal Tehrani daripada kitab Bible yang bertajuk Prophecies for Muhammad in the Bible yang telah dikemas kini pada 16 Januari tahun 2000. Kitab tersebut daripada Injil versi The Revised Version of the Bible terbitan British and Foreign Bible Society. Petikan asal daripada Bible tersebut seperti berikut: “And I will pray the Father, and He will give you another Paraclete, that he may abide with you into the age”. (John 14: 16) Petikan daripada Bible ini bersumberkan ayat John 14: 16 yang menjelaskan tentang paraclete adalah panggilan kepada Spirit of truth dan bukannya Holy Spirit dan maksud kedua-dua frasa ini adalah berbeza. Sumber yang dirujuk menunjukkan berlakunya pengubahsuaian daripada teks yang dirujuk yang melibatkan dialog dan dapat dikesan dengan jelas untuk mengetahui latar belakang teks yang sebelumnya. Daripada petikan tersebut, telah berlaku pertukaran beberapa perkataan daripada teks yang asal untuk memantapkan proses penceritaan selanjutnya. Untuk petikan yang pertama perkataan pray ditukarkan kepada ask, will ditukarkan kepada shall, abide ditukarkan kepada stay dan with you into the age ditukarkan kepada with you into the age forever. Beberapa perkataan yang ditukarkan oleh pengarang daripada proses tersebut untuk menegaskan lagi bahawa orang yang dimaksudkan dalam kitab Bible tersebut ialah nabi Muhammad SAW bukannya Paracletos yang dipercayai sebagai holly spirit oleh Kristian. Malahan, menurut doktor berkenaan yang telah menuturkan Bible tersebut, Paracletos berasal daripada kalimat Yunani Kuno yang merupakan 124

Serumpun Wangian Ilmu bahasa asal Gospel St. John yang membawa maksud “yang terpuji” daripada suku kata “peri” dan “celotis”. Doktor tersebut menegaskan bahawa Paracletos orang yang dimaksudkan dalam kitab tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Nabi Muhammad SAW. Faisal Tehrani melakukan pengubahsuaian tentang kehadiran Nabi Muhammad SAW dalam kitab Injil telah menyalin semula petikan asal daripada kitab tersebut. Ketika proses ini dilakukan, pengarang telah menggugurkan beberapa perkataan dan menggantikan dengan perkataan lain yang lebih sesuai. Meskipun pengubahsuaian tersebut dilakukan, namun Faisal Tehrani masih lagi memberi tumpuan kepada peristiwa sejarah tentang kewujudan Nabi Muhammad SAW melalui perspektif baru. Kajian autonomi sejarah dalam sastera boleh menimbulkan perspektif yang baru untuk memberi nilai cerita yang lebih baik. Proses ubah suai bersumberkan elemen agama yang dilakukan oleh pengarang menjelaskan kepada pembaca tentang perbincangan Nabi Muhammad SAW dalam kitab Bible yang menjadi pegangan orang Kristian. Malahan, Nabi Muhammad SAW turut disebut dalam kitab Taurat dan Kitab Injil yang disampaikan melalui Nabi Musa dan Nabi Isa seperti yang dibuktikan dalam surah al-Maidah, ayat 66 dan surah as-Saff, ayat 6 (Johari Yaman, 2008: 68-73). Berikut ialah petikan daripada surah al-Maidah yang berbunyi: “Dan kalau mereka bersungguh menegakkan (menjalankan perintah Allah) dalam Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka akan makan rezeki (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah mereka (bumi)”. Manakala surah as-Saff pula berbunyi: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibn Maryam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.” Interpretasi di sebalik proses pengubahsuaian yang dilakukan itu menunjukkan orang Kristian tidak mengkaji dengan mendalam asal-usul Paracletos yang terdapat dalam kitab mereka. Apa yang mereka percayai selama ini Paracletos ialah al-Masih yang membawa kebenaran kepada agama Kristian ialah Nabi Isa. Sedangkan sebaliknya asal perkataan Paracletos daripada kalimat Yunani bermaksud yang terpuji adalah merujuk kepada Nabi Muhammad SAW. Dakwah yang jelas menunjukkan pengarang turut menggunakan Kitab Injil dan Bible untuk membincangkan Nabi Muhammad dalam novel 1511H [Kombat] secara ringkas untuk menegaskan kewujudan Nabi Muhammad SAW untuk meningkatkan tahap nasionalisme dalam kalangan umat Islam terhadap Rasul mereka. 125

Serumpun Wangian Ilmu Dalam peristiwa yang sama turut membincangkan konsep nasionalisme terhadap Nabi Muhammad SAW dalam novel ini dengan merujuk sumber luar daripada Kitab Injil. Hal ini dilakukan oleh pengarang kerana tertarik dengan fikiran- fikiran luar yang kemudiannya diambil untuk ditulis dalam karya (Mana Sikana, 1990: 78). Hal tersebut dapat dilihat apabila doktor Islam yang merawat orang kafir tadi menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW memang ada dibincangkan dalam kitab Injil namun fakta ini telah diubah oleh orang Barat. Pengakuan ini dinafikan oleh pesakitnya yang tidak mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW terdapat dalam kitab Injil. Penafian ini dijelaskan oleh Doktor Abdul Kader Aras dengan keras untuk menegah pesakitnya daripada terus mengeluarkan hujah tanpa bukti yang jelas. Berikut ialah petikan tersebut: Doktor berkata bahawa Muhammad ada dalam Injil. Doktor muda berhujah bahawa Nabi Muhammad S.A.W memang ada dalam injil, tetapi fakta ini digelapkan. (1511 H [Kombat]: 26) Hujah ini dipetik daripada hipogram Ustaz Johari Yaman bertajuk Mengenali Rasulullah (2008: 73) dan hipogram Kitab Sirah Rasulullah SAW tulisan Syeikh Muhammad al-Khudhari Bik dan diterjemahkan oleh Ust. Hj. Mohd Asri Hj. Hashim (2009: 51). Berikut adalah wacana yang dipetik daripada kedua-dua buku tersebut: Kitab Injil Barnaba telah menyebut nama Muhammad secara jelas. Kitab ini baru saja ditemui tetapi disembunyikan oleh tangan-tangan yang jahil. Sumber tersebut menjelaskan cerita Nabi Isa yang memberitahu kaumnya tentang kehadiran Muhammad atau Ahmad dan disebutkan juga sifat-sifat Muhammad yang akan membawa kebenaran. Nabi Isa sendiri amat meyakini akan kehadiran Nabi Muhammad SAW. Novel 1511H [Kombat] ini juga turut menceritakan hal yang sama tentang kebenaran kewujudan Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua wacana yang dipetik ini menunjukkan berlakunya modifikasi terhadap fakta yang telah dilakukan oleh pengarang untuk menegaskan bahawa nama Nabi Muhammad SAW memang jelas terkandung dalam kitab Injil walaupun dinafikan oleh orang kafir. Nabi Isa yang dikatakan “Tuhan” oleh penganut agama Kristian turut mengakui kehadiran Nabi Muhammad SAW. Maka, pengakuan itu tidak sepatutnya mencemarkan gambaran peribadi Rasulullah, sejarah Islam dan sistem hidup dan warisan Islam (Osman Hj. Khalid, 2002: 31). Inilah dakwah yang cuba disampaikan oleh Faisal Tehrani kepada khalayaknya untuk mempertingkatkan tahap nasionalisme dalam kalangan umat Islam terhadap Rasulullah. 126

Serumpun Wangian Ilmu NASIONALISME KEPADA NEGARA Perbincangan berikutnya akan dikhususkan pula kepada perbincangan sumber untuk menyerlahkan nasionalisme kepada negara. Perbincangan pertama akan dikhususkan kepada sumber yang dikenal pasti dalam novel 1515. Novel ini mengisahkan pahlawan wanita yang cuba mempertahankan Melaka daripada ditawan oleh pihak Portugis. Nyemah Mulya yang dilahirkan sebagai srikandi sanggup bergadai nyawa untuk mempertahankan Melaka. Transformasi yang bersumberkan cerita sejarah ini mempunyai fungsi dan peranannya untuk memperlihatkan gambaran awal kejadian yang disesuaikan dengan alur cerita dalam novel. Rombakan semula sejarah yang menjadi lapisan kedua novel menunjukkan penulisnya cuba mencipta semula sejarah dan ilham tersebut membolehkan pengarang menyelitkan semula cerita tentang sejarah Melaka yang telah menjadi legenda. Oleh itu, Faisal Tehrani melalui novel 1515 telah memperlihatkan berlakunya teks luaran yang melibatkan sejarah lalu. Cerita sejarah Melaka yang diberi nafas baru oleh pengarang ini dilahirkan menerusi watak Adi Fimiyun yang telah mengetengahkan watak Albuquerque. Cerita ini timbul ekoran daripada bacaanya terhadap buku bertajuk Perang Melaka karya Darus Ahmad (1957: 1-2) yang menjadi sumber awal kepada permulaan novel ini. Berikut ialah sumber yang dipindahkan oleh pengarang ke dalam novel 1515: Pada masa itu Albuquerque menjadi wadzir kerajaan Portugis di-Goa, apabila kemahuan hatinya ta’dapat di-tahan2 lagi hendak mena’akloki bumi Melaka, maka kembalilah ia ka-Portugal memohon kepada raja- rajanya. Oleh raja-nya di-beri-lah empat buah kapal kerakah yang besar2, lima buah ghali panjang. Sa-telah sudah mendapat idzin daripada kerajaan-nya, lalu kembalilah ia sa-mula ke Goa menambah kelengkapan peralatan-nya, bersiap pula ia tiga buah kapal, delapan buah ghalias, empat buah ghali panjang, enam belas pusta”. Demi Raja Ahmad mendengar itu segera-lah baginda mengerahkan segala hamba rakyat supaya menghadzirkan kelengkapan perang. (1515: 3). Berikut pula adalah petikan daripada sumber yang telah dipindahkan oleh Faisal: Pada masa itu Albuquerque menjadi wadzir kerajaan Portugis di-Goa, apabila kemahuan hatinya ta’dapat di-tahan2 lagi hendak mena’akloki bumi Melaka, maka kembalilah ia ka-Portugal memohon kepada raja- rajanya. Oleh raja-nya di-beri-lah empat buah kapal kerakah yang besar2, lima buah ghali panjang. Sa-telah sudah mendapat idzin daripada kerajaan-nya, lalu kembalilah ia sa-mula ke Goa menambah kelengkapan peralatan-nya, bersiap pula ia tiga buah kapal, delapan buah ghalias, empat buah ghali panjang, enam belas pusta”. Demi Raja Ahmad 127

Serumpun Wangian Ilmu mendengar itu segera-lah baginda mengerahkan segala hamba rakyat supaya menghadzirkan kelengkapan perang. (Darus Ahmad, 1957: 1-2) Sumber berlatarbelakangkan sejarah ini bersifat pemindahan sepenuhnya menunjukkan pengarang ingin memberitahu bahawa Albuquerque memang dihantar khusus untuk mengetuai tenteranya yang bertujuan untuk menakluki Melaka. Untuk merealisasikan tujuan itu, Albuquerque telah memohon menambahkan kelengkapan perang semata-mata bertujuan untuk menawan Melaka. Gambaran peristiwa sejarah Melaka yang diambil oleh Faisal Tehrani juga menjelaskan tujuan kedatangan Alfonso de Albuquerque ke Melaka. Faisal Tehrani mengambil teks luaran sejarah tersebut untuk memberitahu khalayak tentang sejarah awal sebelum Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511. Petikan ini ditimbulkan untuk memberi pengenalan tentang niat Albuquerque datang ke Melaka. Perpindahan ayat tersebut menunjukkan adanya pengaruh sumber dengan membuat pemansuhan cerita yang lama dan lahirnya pembentukan yang baru (Mawar Shafei, 2010: 157). Lagipun kemunculan sumber kisah Albuquerque ini menunjukkan pengaruh bacaan awal Faisal Tehrani terhadap buku sejarah Tawarikh yang dimiliki oleh ibunya dan di dalamnya terkandung gambar Alfonso de Albuquerque yang menunjukkan pengaruh kepengarangan lebih awal sebelum dirujuk sumber tersebut. Bukan itu sahaja, Faisal telah membuat penyelidikan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis selama enam tahun dan mengambil masa sebulan setengah untuk menulis novel ini (Ibid). Perpindahan ayat daripada sebahagian sumber itu untuk menjelaskan niat hati wazir tersebut bukanlah semata-mata untuk menawan Melaka, namun ayat yang berbunyi: “… apabila kemahuan hati-nya ta’dapat di-tahan2 lagi hendak mena’aloki bumi Melaka” mengandungi niat lain, iaitu untuk menyebarkan agama Kristian di samping menguasai hasil ekonomi yang ada di Melaka. Hal ini dibuktikan oleh pernyataan Profesor Nyemah yang menjelaskan “… Vasco da Gama berminat kepada perdagangan, tetapi dia, Albuquerque memang membenci Islam”. (1515: 17). Kata-kata tersebut dikemukakan ekoran daripada kajian Profesor Nyemah dan perkara ini diharapkan agar diketengahkan oleh Adi Fimiyun untuk menjelaskan betapa Albuquerque membenci Islam dan cuba membawa fahaman Kristian kepada penduduk di Melaka. Profesor Nyemah mahu agar Adi Fimiyun meneroka kebenaran tersebut untuk mengembalikan maruah Melaka dan agama Islam itu sendiri kerana pada tahun 1511 Islam mula tergugat kerana kemasukan pedagang Kristian. Semasa kedatangan pedagang dalam kalangan orang Barat, mereka 128

Serumpun Wangian Ilmu turut membawa agama Kristian yang telah merangsangkan ulama-ulama untuk menyebarkan dan mempertahankan Islam (Ahmad Jelani Halimi, 2008: 175). Oleh itu, Profesor Nyemah secara tidak langsung mahu agar perkara ini diselongkar untuk menyatakan bahawa penjajah yang datang ini bukan sekadar hendak berurus niaga, namun berminat dan berniat untuk menghancurkan Islam. Pendekatan yang digunakan oleh Profesor Nyemah untuk mengingatkan dan meyakinkan Adi Fimiyun terhadap hasrat dan niat Albuquerque tersebut. Berikut ialah kata-katanya yang agak keras untuk mendorong Adi Fimiyun agar terus menyelongkar kebenaran tersebut: “Tetapi satu ingatan yang Fimiyun mesti ingat dan mesti Fimiyun tulis supaya anak cucu kita tidak lupa ialah Vasco da Gama lebih berminat dengan urusan ekonomi kita. … tetapi Albuquerquelah yang menyerapkan idea menentang Islam, memerangi Islam dan mencari Prestor John dalam polisi asal. Vasco da Gama berminat kepada perdagangan, tetapi dia, Albuquerque memang membenci Islam.” (1515: 17) Proses penyampaian oleh pengarang dalam novel ini memperlihatkan bagaimana pengarang cuba berdakwah melalui kata-kata amaran yang turut memberi dorongan kepada Adi Fimiyun untuk mengembalikan maruah Islam. Bentuk penyampaian sebegini memungkinkan niat dan tujuan penulisan Faisal Tehrani mempertahankan Islam agar tidak mudah diperdaya oleh orang yang membenci Islam. Bukan itu sahaja, penggunaan sumber tersebut menunjukkan Faisal Tehrani berdakwah untuk menyampaikan mesej tentang keunggulan Islam melalui cerita-cerita sejarah agar mudah diterima oleh masyarakat yang telah sedia maklum tentang peristiwa tersebut dan dapat menyerlahkan kemurnian, kemuliaan, dan ketinggian Islam (Hashim Awang dlm. Mana Sikana, 1997: 123) melalui corak penulisan yang berilmu. Elemen sejarah daripada petikan hipogram tersebut menunjukkan Faisal Tehrani mendedahkan persitiwa sejarah meskipun telah diberikan nilai yang baru kepada sejarah Melaka. Petikan itu juga menunjukkan pengarangnya amat serius untuk mendedahkan kebenciannya terhadap penjajah dan beliau mengakui dirinya antikolonial sehingga dia mampu menterbalikkan sejarah dengan menjungkirbalikkan fakta (Dewan Sastera, 2004: 8) dan memperbaharui sejarah untuk membentuk masyarakat neonostalgia dalam pertembungan pemikiran pascamodenisme (Hashim Ismail, 2004: 49). Tidak hairanlah elemen sejarah daripada peristiwa di Melaka ini turut digunakan kerana Faisal Tehrani sendiri ialah anak kelahiran Melaka. Hal ini menjelaskan unsur dalaman secara semulajadi yang ada pada dirinya sehingga dapat mengetengahkan semula sejarah dalam tafsiran yang baru. Sekaligus menyelongkar nilai nasionalisme yang ada pada dirinya untuk diserlahkan kebenaran kepada masyarakat. 129

Serumpun Wangian Ilmu Perbincangan berikutnya akan meneliti sumber daripada Teks Perlembagaan Persekutuan dan teks Majalah Teosofie In Nederlands Indie dalam novel Tuhan Manusia. Isu berkaitan perlembagaan dalam novel Tuhan Manusia ini menunjukkan adanya rujukan bersumberkan Perlembagaan Persekutuan yang terkandung dalam perkara 11 (1). Sumber ini dirujuk daripada buku terbitan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) yang disunting oleh Abdul Monir Yaakub dan Sarina Othman (1996: 41). Dalam novel Tuhan Manusia ini, petikan bersumberkan Perkara 3 hingga 13 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjelaskan perihal kebebasan hak seperti bersuara dan beragama bagi setiap warganegara yang mengambil perkara 11 bagi kategori kebebasan beragama. Berikut ialah petikan daripada perlembagaan tersebut yang diucapkan oleh Dr. Saari dalam satu majlis: Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan agamanya (Tuhan Manusia: 119). Berikut pula ialah petikan hipogram yang diambil terus oleh pengarang: “Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan ini tertakluk kepada fasal (4), mengembangkan agamanya (Institut Kefahaman Islam Malaysia: 1996: 41)”. Petikan daripada perlembagaan ini menunjukkan berlakunya pemindahan sepenuhnya terhadap fakta daripada sebahagian kandungan perlembagaan tersebut oleh pengarang. Penghujahan Dr. Saari secara lembut untuk mengajak audien memperdalami makna perlembagaan tersebut untuk mengelakkan berlakunya murtad tanpa mengusik sentimen agama membuatkan ramai menerima dengan senang hati alasan yang diberikan. Salah faham terhadap konsep perlembagaan tersebut membolehkan masyarakat mengambil ringan hal tersebut kerana longgarnya akidah yang dipegang. Perlembagaan lain turut digunakan oleh pengarang untuk menjelaskan dan menegaskan lagi tentang hal tersebut. Rujukan sumber daripada perlembagaan ini menunjukkan penyampaian ilmu berkaitan kenegaraan kepada pembacanya. Ilmu dan amal amat penting sebagai asas dan benteng kepada seseorang agar tidak menyalahtafsirkan sesuatu perkara yang ditangani. Dalam hal ini, Faisal Tehrani sentiasa menunjukkan beliau merupakan seorang pengarang yang sentiasa cuba menyampaikan ilmu kepada khalayak pembacanya dengan merujuk pelbagai sumber. Untuk itu juga, Faisal Tehrani telah merujuk Perlembagaan Persekutuan untuk mendedahkan bagaimana salah faham tentangnya boleh menyebabkan ramai orang boleh murtad. Hal ini dapat dilihat dalam novel Tuhan Manusia ketika Dr. Asaari menerangkan bagaimana undang-undang tersebut selalu disalahtafsirkan sehingga membawa kepada murtad. 130

Serumpun Wangian Ilmu Isu murtad ini dijelaskan oleh Dr. Asaari dengan bijaksana untuk menegaskan bahawa enakmen undang-undang jenayah bagi setiap negeri di Malaysia ini berbeza (Tuhan Manusia: 120) yang telah menyebabkan salah faham ini diambil mudah kerana kejahilan dalam agama oleh segolongan masyarakat yang tidak faham agama dengan mendalam. Salah faham ini cuba dijelaskan oleh Dr. Saari dengan cara paling berhikmah namun dengan nada yang sedikit keras untuk mengajak audien agar memahami apa yang dikemukakan dalam perbincangan tersebut. Berikut ialah kata-kata Dr. Asaari tentang hal tersebut: “Undang-undang di Malaysia membolehkan sesiapa bebas untuk beragama tetapi tidak diizinkan untuk bebas murtad. (Tuhan Manusia: 119). Dr. Saari menegaskan dengan mengemukakan perkataan … bebas beragama tetapi tidak diizinkan untuk bebas murtad … agar khalayak memahami bahawa kebebasan beragama tidak menunjukkan bahawa semua orang bebas mengamalkan agama. Malahan, agama lain tidak berhak untuk menghasut orang Islam untuk keluar Islam dengan sewenang-wenangnya kerana terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan fasal (4) mengembangkan agamanya (Tuhan Manusia: 123) bahawa orang Islam tidak boleh diganggu dan tidak boleh dihasut untuk memeluk agama lain. Interpretasi dakwah daripada gambaran perlembagaan dalam novel ini dikutip dan dipindahkan oleh Faisal Tehrani untuk menjelaskan kedudukan setiap penganut dan pengamal agama di Malaysia supaya tidak disalahtafsirkan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan kepada diri sendiri sehingga membawa kepada murtad. Perkaitan murtad dengan perlembagaan menjelaskan betapa undang-undang di Malaysia diaplikasikan secara berlainan di setiap negeri yang menyebabkan pelbagai kes murtad berlaku. Perjalanan perbicaraan di mahkamah dan tindakan kerajaan negeri adalah berbeza dalam menangani kes-kes murtad di Malaysia kerana penggubalan undang-undang berada pada tangan manusia dan tidak mengikut sistem syura untuk melaksanakan hukum Allah (Said Hawwa, 1999: 214-215). Perbezaan pentadbiran ini menjadi salah satu sebab kejadian murtad di Malaysia semakin banyak dilaporkan yang mencetuskan keresahan kepada masyarakat Islam (Ann Wan Seng, 2009: 47). Hal tersebut jelas menunjukkan pengarang sebagai seorang yang mempunyai ilmu tentang perlembagaan telah menjadikan sumber tersebut sebagai sandaran untuk mempertingkatkan nilai nasionalisme terhadap isu perelmbagaan yang boleh mengakibatkan murtad agar tidak diambil mudah oleh khalayak dan tidak akan mudah menyalahtafsirkan undang-undang. Hal tersebut akan memberi peluang kepada golongan tertentu yang menidakkan kepentingan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Golongan ini sudah tentunya menolak konsep kepercayaan kepada Allah yang menjadi dasar pegangan umat Islam di seluruh dunia. Sekaligus meletakkan pendekatan dakwah dengan melihat kejadian murtad 131

Serumpun Wangian Ilmu dalam novel ini memberi ingatan secara keras kepada sesiapa sahaja terutama orang Islam untuk terus mengesakan Allah dan tidak mempertikaikan kesucian agama Islam itu sendiri (Hashim Awang, 2002: 20). Sumber Perlembagaan Persekutuan Malaysia itu turut memperjelaskan perkaitan langsung dengan fahaman pluralisme yang menjadi salah satu agenda untuk meruntuhkan agama Islam. Peranan golongan Islam liberal yang berfahaman pluralisme adalah sebahagian daripada metodologi orang bukan Islam untuk merosakkan agama suci Allah seperti yang dilakukan oleh puak Zionis untuk menyamakan semua agama. Namun hal ini berjaya dibuktikan oleh Ali Taqi sehinggakan Zehra tewas dengan penerangan Ali Taqi dan beliau mulai risau dan takut hal ini akan mengganggu umat Islam. Beliau akhirnya mengajak Ali Taqi untuk sama-sama berjuang menangani permasalahan pluralisme ini dengan memberikan contoh pernyataan daripada hipogram yang dirujuk seperti berikut: Kelompok tersebut telah menubuhkan kumpulan teosofi dengan nama Nederlandsch Indische Theosofische Vereeniging (Kumpulan Teosofi Hindia Belanda) iaitu cabang daripada kumpulan teosofi yang bermarkaz di Adyar, Madras, India”. (Tuhan Manusia: 258) Kata-kata Zehra ini jelas mendedahkan penggunaan sumber dalam isu yang sama untuk menjelaskan lagi isu pluralisme itu. Menurut Zehra, golongan teosofi itu mengamalkan beberapa ajaran termasuklah semua agama di dunia sama sahaja. Berikut ialah kata-kata Zehra tentang perkara tersebut: ‘Kemajuan manusia itu dengan atau tidak dengan agama? Saya kira bila beragama tanpa alasan, dan bila beragama tidak dengan pengetahuan agama yang sejati, mustahil bisa maju batinnya. Tidak usah peduli agama apa yang dianutnya. Sebab yang disebut agama itu sifatnya: Cinta pada sesama; ringan memberi pertolongan; dan sopan budinya. Jadi yang disebut agama yang sejati itu bukannya perkara lahir, tetapi perkara dalam hati, batin.’ Sepintas ajaran-ajaran itu tampak indah. Padahal, ajaran-ajaran itu sebenarnya racun halus yang secara perlahan merosakkan keimanan seorang Muslim. Seorang Muslim yang menganut faham semacam itu, akan tidak terlalu peduli dengan konsep-konsep teologi agamanya sendiri, demi tujuan ‘persaudaraan’ kemanusiaan. (Tuhan Manusia: 259) Berikut pula ialah petikan hipogram daripada majalah Teosofie In Nederlands Indie, No 1/Th 1, bertarikh Mei 1910 dan diperkukuhkan oleh ketuanya, D Van Hinloopen Labberton dalam majalah ini keluaran Disember 1912 seperti berikut: 132

Serumpun Wangian Ilmu ‘Kemajuan manusia itu dengan atau tidak dengan agama? Saya kira bila beragama tanpa alasan, dan bila beragama tidak dengan pengetahuan agama yang sejati, mustahil bisa maju batinnya. Tidak usah peduli agama apa yang dianutnya. Sebab yang disebut agama itu sifatnya: Cinta pada sesama; ringan memberi pertolongan; dan sopan budinya. Jadi yang disebut agama yang sejati itu bukannya perkara lahir, tetapi perkara dalam hati, batin.’ Sepintas ajaran-ajaran itu tampak indah. Padahal, ajaran-ajaran itu sebenarnya racun halus yang secara perlahan merosakkan keimanan seorang Muslim. Seorang Muslim yang menganut faham semacam itu, akan tidak terlalu peduli dengan konsep-konsep teologi agamanya sendiri, demi tujuan ‘persaudaraan’ kemanusiaan. Petikan sebahagian daripada majalah tersebut merupakan pemindahan fakta yang dirujuk daripada http://bacalah.web.id/?link=readart&id=533 bertarikh 7 Januari 2011 menunjukkan fahaman pluralisme menganggap semua agama sama adalah di luar daripada fitrah semula jadi manusia yang dilahirkan dalam pelbagai fahaman dan pelbagai keyakinan beragama. Penegasan Ali Taqi yang memberikan bukti- bukti yang sebenar dan boleh diterima akal telah membuatkan Zehra mula lembut hati dan mengakui bahawa gerakan Zionis dan kumpulan Freemanson itu adalah perancangan dan pergerakan yang teliti untuk menguasai pemikiran bahawa semua agama adalah sama. Penerangan dan penjelasan Ali Taqi yang tidak mengikut perasaan dan bersandarkan ilmu yang hak membuatkan Zehra terpesona dan mengakui kebenaran tersebut sehingga beliau mengakui sendiri “Taqi ini kerja halus Zionis!” (Tuhan Manusia: 259). Kedua-dua sumber turut menjelaskan bagaimana konsep nasionalisme yang cuba disampaikan mampu mengajak seseorang melalui kata-kata ataupun tindakan dalam membawa manusia menigkatkan tahap nasionalisme kepada negara. Dalam Tuhan Manusia Ali Taqi telah dapat mengajak Zehra yang memang keras kepala dan susah untuk menerima penjelasannya selama ini. Melalui pendedahan sumber daripada majalah teosofie In Nederlands Indie bertarikh Mei 1910 menyebabkan kedegilan Zehra dapat dilenturkan sekaligus telah mengajak Zehra menerima pendapatnya tentang isu yang timbul berkaitan dengan pluralisme. Berikut ialah kata-kata yang menunjukkan Ali Taqi telah mengajak Zehra bersama-sama menerima pendapatnya: … Di samping menolak para ulama dan sesiap yang menentang mereka, mereka memomokkan yang menentang itu sebagai golongan ortodoks, jumud, tidak moden, kurang membaca, tak faham falsafah dan bermacam- macam lagi. Nasihat aku Zehra, janganlah jadi orang seumpama ini (Tuhan Manusia: 276). 133

Serumpun Wangian Ilmu Kata-kata lembut Ali Taqi ini menunjukkan beliau cuba mengajak Zehra dengan berhikmah untuk menolak dakwaan golongan yang mempercayai pluralisme dengan meninggalkan asas ajaran agama yang tidak berpegang kepada al-Quran serta menolak pendapat-pendapat para ulama. Rujukan sumber yang digunakan oleh pengarang telah mendedahkan bagaimana agama Islam tidak dapat menerima konsep pluralisme yang menganggap semua agama adalah sama kerana ianya adalah di luar daripada fitrah semula jadi manusia yang dilahirkan dalam pelbagai fahaman dan pelbagai keyakinan beragama. Hamka juga pernah menyebut bahawa jika semua agama adalah sama, maka tiada lagi tujuan untuk beragama dan akal belum dapat menunjukkan batas yang baik dengan yang buruk sebelum datangnya syariat (Hamka, 1995: 347). Kelompok ini menganggap agama hanyalah sifat dan agama tidak penting kerana niat dalam hati mendominasi segala perbuatan yang dilakukan. Konsep nasionalisme kepada negara menerusi sumber tersebut dapat menghindarkan penularan fahaman pluralisme yang menyamakan semua agama yang membahayakan umat Islam di dunia ini. PENUTUP Perbincangan sumber-sumber yang didedahkan dalam kajian ini menerusi pembacaan terhadap beberapa novel yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani mampu mengetengahkan kepada masyarakat nilai-nilai nasionalisme yang sepatutnya diamalkan oleh masyarakat khususnya orang Islam. Tingkat nasionalisme dalam Islam ini akan lebih diresapi sekiranya sumber-sumber yang dirujuki berasaskan kepada dalil-dalil yang sebenarnya terutama yang melibatkan fakta-fakta dan cerita sejarah dalam al-Quran ataupun menerusi pembacaan sumber yang lain. Sekiranya nilai-nilai nasionalisme dalam diri setiap umat Islam mampu dipertahankan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa menerusi ilmu-ilmu yang diperoleh menerusi pelbagai bahan sumber bacaan membolehkan mereka menidakkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan akidah umat Islam di dunia ini. Apabila umat Islam mampu memberikan dalil-dalil atau hujah-hujah yang mapan, maka tidak akan ada sesiapa yang mampu memperkotak-katikkan hak-hak umat Islam di dunia ini. Sumber-sumber yang telah dibincangkan mampu menyemai nilai-nilai murni untuk mempertingkatkan tahap nasionalisme umat Islam terhadap beberapa perkara seperti nasionalisme kepada Allah, nasionalisme kepada al-Quran, nasionalisme kepada Rasulullah, dan nasionalisme kepada negara. Jelasnya, kajian ini mampu membawa masyarakat Islam dalam meneliti sumber yang sebenar untuk mempertingkatkan nilai nasionalisme dalam diri masing-masing. 134

Serumpun Wangian Ilmu RUJUKAN Abdul Karim Zaidan. (2002). Islam dan dakwah. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. Abdul Monir dan Sarina Othman (penyunting). (1996). Tinjauan kepada perundangan Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Abdullah A.M. (1994). Sirah Rasulullah SAW-penghulu para anbiya A.S. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan tamadun bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Ann Wan Seng. (2009). Murtad–jangan pandang sebelah mata. Kuala Lumpur: Must Read Sdn. Bhd. Faisal Tehrani. (2003). 1515. Kuala Lumpur: Utusan Publications Sdn. Bhd Faisal Tehrani. (2004). 1511 H [Kombat]. Kuala Lumpur: Utusan Publications Sdn. Bhd. Darus Ahmad. (1957). Perang Melaka. Pulau Pinang: Sinaran Bros. Faisal Tehrani. (2007). Sejarah alternatif dalam Ta’ziyeh (Iran) dan Boria (Pulau Pinang): Upaya Pemugaran Sejarah yang Dinafi Penguasa yang dibentangkan dlm. Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) V pada 27-28 November. Faisal Tehrani. (2007). Tuhan Manusia. Selangor: Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. G.W.J Drewes, L.F Brakel. (1986). The poem of Hamzah Fansuri, edited with an introduction a translation and commentaries accompanied. Holland: Dordrecht, Foris Publications. Hashim Awang dlm. Mana Sikana (pnyl). (1997). Teori sastera dan budaya dalam kajian akademik. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Hamka. (1995). Falsafah hidup. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd. Johari Yaman. (2008). Mengenali Rasulullah. Selangor: Nadi Minda Resources, Rawang. Mana Sikana, 1990, dlm. Dewan Sastera, November, hlm. 74. 135

Serumpun Wangian Ilmu Mawar Shafei. (2010). Novel intertekstual Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohd Asri Abdullah et al. (2009). Prinsip-prinsip asas Islam–Islam dan akidah. Shah Alam: Universiti Teknologi MARA. Said Hawa. (1999). Tuntutan syahadah dan gejala murtad. Selangor: Galeri Watikah Sdn. Bhd. Majalah Hashim Awang. (1996). Pengkaedahan Melayu Dalam Kajian dan Kritikan Kesusasteraan Tanah Air dlm. Seminar Pasca Sarjana, anjuran Jabatan Persuratan Melayu, UKM dengan Berita Harian pada 3–9 Jun, 1996 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Hashim Awang. (2002). Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya dlm. Bengkel Kajian Teori Sastera Melayu, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28 dan 29 Jun di Melaka. Hashim Awang. (1993). Menilai Hidayah dengan pendekatan dakwah dlm. Dewan Sastera, November, hlm. 74. Hashim Ismail. (2004). Novel 1515 dari sudut neonostalgia, dlm. Dewan Sastera, Mac, hlm. 46-51. Al-Quran __________ .(2007). Al-Quran dan terjemahannya. Kuala Lumpur: Percetakan Zafar Sdn. Bhd. Bible ___________The Revised Version of the Bible. (2000). Terbitan British and Foreign Bible Society. 136

SUMBER SEBENAR PENCETUS INSAN BERILMU Dr. Wan Zaliha bt. Wan Othman International Conference ob Human Sustainability (INSAN), 9-10 April 2014 Anjuran: Universiti Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor ABSTRAK Kajian ringkas ini akan membincangkan perihal sumber-sumber yang sebenar yang boleh diperoleh melalui pembacaan buku-buku, kitab-kitab, jurnal ataupun pembacaan terhadap kitab al-Quran dan lain-lain sumber. Pembacaan terhadap sumber-sumber tersebut membolehkan manusia mendapatkan pelbagai ilmu sama ada ilmu untuk kegunaan diri sendiri, ilmu untuk faedah komuniti dan ilmu yang boleh digunakan dalam bidang kerjaya juga. Insan yang mampu mencari ilmu melalui pelbagai bahan bacaan akan mudah berhujah dan berdiskusi terutama yang melibatkan perihal kepercayaan dan akidah seseorang penganut. Malahan, insan yang berilmu ini juga tidak akan mudah diperdaya dan akan sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dari aspek serangan pemikiran. Insan yang berilmu juga akan menunjukkan setiap hujah yang dikemukakan akan dibuktikan menerusi data-data yang sebenar yang sukar dipertikaikan. Jadi, kajian ringkas ini akan membincangkan sumber-sumber sebenar yang dikesan menerusi daripada pembacaan buku- buku dan juga al-Quran dan ilmu yang diperoleh daripada sumber-sumber ini membolehkan setiap insan mampu berhujah dengan yakin tanpa ragu. Dalam kajian ringkas ini akan juga menceritakan bagaimana sumber yang diperoleh daripada bacaan novel yang dapat membongkar cerita-cerita yang seringkali tidak diketahui oleh insan-insan lain. Dalam kajian ini, banyak peristiwa daripada bacaan terhadap Sirah Rasulullah, cerita-cerita daripada al-Quran, cerita- cerita yang diperoleh dalam Bible dan pelbagai sumber yang sebenar yang akan membolehkan seseorang insan memiliki pelbagai ilmu daripada pelbagai corak zaman pemerintahan. Sub-topik kepada kajian ringkas ini akan melihat bagaimana insan berilmu akan dapat berhujah tentang kebenaran kewujudan Rasulullah SAW, mengetahui asal-usul ketamadunan orang Islam, memberi keyakinan tentang kewujudan akhirat menerusi kisah-kisah dalam al-Quran. Kata kunci: Sumber, insan, bongkar, kebenaran PENGENALAN Kajian ringkas ini akan membincangkan perihal sumber-sumber sebenar yang boleh dirujuk untuk mencari kebenaran. Sumber-sumber yang dikenal pasti ini diperoleh menerusi kajian terhadap beberapa sumber novel yang ditulis oleh Faisal Tehrani. Novel-novel yang dikaji dan diteliti menerbitkan banyak sumber yang membolehkan pengkaji meneliti dan mencari kebenaran yang kadang-kadang 137

Serumpun Wangian Ilmu tidak diketahui oleh semasa. Sumber-sumber yang sebenar ini membolehkan sesiapa sahaja berhujah untuk menegakkan kebenaran dan pengubahsuaian tentang kehadiran Nabi Muhammad SAW dalam kitab Bible telah menyalin semula petikan asal daripada kitab tersebut. Ketika proses ini dilakukan, pengarang telah menggugurkan beberapa perkataan dan menggantikan dengan perkataan lain yang lebih sesuai. Meskipun pengubahsuaian tersebut dilakukan, namun Faisal Tehrani masih lagi memberi tumpuan kepada peristiwa sejarah tentang kewujudan Nabi Muhammad SAW melalui perspektif baru. Kajian autonomi sejarah dalam sastera boleh menimbulkan perspektif yang baru untuk memberi nilai cerita yang lebih baik dan (Julia Kristeva, 1977: 36). Sumber sebenar berasaskan elemen agama yang telah dilakukan oleh pengarang menjelaskan kepada pembaca tentang perbincangan Nabi Muhammad SAW dalam kitab Bible yang menjadi pegangan orang Kristian. Dr. Danial Zainal Abidin turut mengakui perkara yang sama perihal kemunculan Nabi Muhammad dalam Bible. Menurut Danial Zainal Abidin (2008: 275 -276), kitab-kitab Taurat dan Injil turut mengandungi kisah-kisah yang terperinci yang membincangkan Nabi Muhammad dan menurut beliau lagi Bible yang wujud pada hari ini berbeza dengan Injil yang asal kerana berlakunya tokok tambah dan perubahan kerana perbezaan pemikiran manusia. Bukan itu sahaja, Nabi Muhammad SAW turut disebut di dalam kitab Taurat dan Kitab Injil yang disampaikan melalui Nabi Musa dan Nabi Isa seperti yang dibuktikan dalam surah al-Maidah, ayat 66 dan surah as-Saff, ayat 6 (Johari Yaman, 2008: 68-73). Berikut adalah petikan daripada surah al-Maidah yang berbunyi: “Dan kalau mereka bersungguh menegakkan (menjalankan perintah Allah) dalam Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka akan makan rezeki (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah mereka (bumi).” Manakala surah as-Saff pula berbunyi: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibn Maryam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad.” Interpretasi di sebalik petikan sumber sebenar yang dilakukan pengarang tersebut menunjukkan orang Kristian tidak mengkaji dengan mendalam asal-usul Paracletos yang terdapat dalam kitab mereka. Apa yang mereka percayai selama ini Paracletos ialah al-Masih yang membawa kebenaran kepada agama Kristian ialah Nabi Isa. Sedangkan di sebaliknya asal perkataan Paracletos daripada kalimat 138


Like this book? You can publish your book online for free in a few minutes!
Create your own flipbook