Important Announcement
PubHTML5 Scheduled Server Maintenance on (GMT) Sunday, June 26th, 2:00 am - 8:00 am.
PubHTML5 site will be inoperative during the times indicated!

Home Explore Tafsir Surah Al-Ghashiyah

Tafsir Surah Al-Ghashiyah

Published by cs2.ilq2020, 2021-04-01 06:22:56

Description: Tafsir Surah Al-Ghashiyah

Search

Read the Text Version

Surah al-Ghashiyyah Gambaran Keseluruhan Surah al-Ghashiyyah ialah surah Makiyyah. ianya diturunkan ketika Rasulullah baru sahaja memulakan dakwah secara terang-terangan. Ianya di mana berita tentang Hari Kiamat dan perkara-perkara ghayb yang lain ditentang dengan keras dan diperlekehkan dengan berani. Lalu, surah al-Ghashiyyah adalah antara surah yang diturunkan untuk menjawab dan memberi ancaman kepada orang-orang kafir yang memperlekehkan dakwah Nabi. “al-Ghashiyyah” bermaksud sesuatu yang meliputi. Ini kerana Hari Kiamat adalah hari di mana kejadian tersebut akan melibatkan semua manusia tanpa kecuali. Dan di mana urusan Allah pada hari tersebut akan diutamakan ke atas urusan-urusan manusia yang lain. Semua perkara akan ditinggalkan, hanya yang ada adalah ganjaran dan balasan. Surah al-Ghashiyyah bermula dengan sebuah pertanyaan yang berbentuk provokasi. Dan seterusnya tanpa berlengah memperihalkan dua jenis keadaan manusia di Hari Akhirat nanti. Golongan yang pertama ialah orang-orang yang pada hari tesebut wajahnya kebas ketakutan. Dan balasan yang akan dihadapi oleh orang-orang ini ialah mereka akan dibangkitkan dalam keadaan tidak ada kerehatan yang akan diperuntukkan kepada mereka walaupun sekejap – daripada waktu mereka dikeluarkan daripada kubur sehinggalah mereka memasuki neraka. Di dalam neraka pula, mereka tidak diberi makan dan minum melainkan yang menjadikan seksaan mereka semakin dahsyat. Selain itu, Allah juga memperihalkan ni’mat Allah yang telah dijanjikan untuk orang-orang yang beriman. Wajah mereka teruja melihat ni’mat-ni’mat yang menjadikan pengorbanan mereka di dunia lebih daripada berbaloi. Kerana ni’mat yang akan diberikan kepada mereka adalah berlipat kali ganda berbanding amalan-amalan yang mereka pernah lakukan. Dan di dalamnya mereka aman daripada sebarang bentuk ketidakselesaan.

Kemudian, Allah beralih pula kepada hujahan-hujahan berkenaan kebenaran Hari Kiamat. Allah memberikan contoh unta, langit, gunung-ganang dan Bumi. Semua ini menjadi bukti kepada kejadian-kejadian yang Allah janjikan akan berlaku. Dan surah al-Ghashiyyah berakhir dengan pesanan kepada Nabi agar terus mengingatkan manusia akan kepastian Hari Kiamat. Dan hanya Allah sebagai tempat kembali dan perhitungan. Surah al-Ghashiyyah berkait dengan surah al-Fajr dengan memperihalkan secara terperinci jenis balasan yang akan diberikan kepada orang-orang yang mementingkan hidup di dunia dan tamak terhadap harta dunia. Manakala, ia berkait pula dengan surah al-A’la dengan membawa semula bukti dan peringatan yang telah dibawa oleh surah al- A’la dalam bentuk hujahan akliah. 1. Berita Tentang al-Ghashiyyah. “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi?” Surah ini dimulakan dengan sebuah pertanyaan yang mana jawapannya sudahpun diketahui, akan tetapi diulas dengan cara yang baru. Dalam hal ini, berita kedatangan Hari Kiamat sebenarnya sudahpun maklum dalam surah-surah yang sebelum ini, akan tetapi pengkhabaran tersebut tidak memberikan kesan kepada orang-orang kafir. Mereka masih juga tetap mahu ingkar kepada Allah. Lalu Allah mendatangkan satu lagi pengkhabaran berkenaan perihal yang sama, akan tetapi dengan olahan yang baru. Ini bersesuaian dengan maksud kalimah “hadith” iaitu “peristiwa” dan “baharu” – menunjukkan perkara yang lama diolah dengan olahan baru. Selain itu, Allah mengajukan soalan ini kepada Nabi Muhammad walaupun pesanan yang ingin disampaikan sebenarnya adalah ditujukan kepada orang-orang kafir. Gaya bahasa sebegini menunjukkan bahawa Allah menyampaikan berita tersebut dalam keadaan murka, sehinggakan Allah tidak mahu berbicara dan memboikot orang-orang

kafir. Sebaliknya, pesanan tersebut diampaikan melalui orang tengah dengan cara perlian. “al-Ghashiyyah” bermaksud sesuatu yang meliputi. Secara harfiahnya, Hari Kiamat akan meliputi sekalian makhluk kerana langit dan bumi akan menjadi hancur dan tiada lagi tempat untuk manusia melarikan diri. Langit akan jatuh menimpa manusia dan gunung-ganang akan hancur menjadi hujan batu. Maka, mereka sudah terkepung dari pelbagai arah. Manakala, secara majaz ianya boleh difahami dengan keniscayaannya yang pasti akan meminggirkan perkara lain. Di hari tersebut, manusia yang sedang melakukan urusan masing-masing (baik urusan peribadi, keluarga, perniagaan dan lain-lain) akan meninggalkan semua urusan tersebut kerana terlalu takut dengan kehadiran Hari Kiamat. Pada hari tersebut, memikirkan nasib akhirat mereka akan meliputi seluruh jiwanya sehinggakan ia menjadi satu-satunya keutamaan mereka. 2. Wajah Yang Hina. “Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina,” Dan pada hari itu, air muka mereka akan berubah. Mereka akan berada dalam ketakutan yang dahsyat sehinggakan hal tersebut menjadikan mereka kaku di tempat masing-masing, merasakan hilangnya harapan untuk menyelamatkan diri. Dalam bahasa Arab, terdapat perkataan-perkataan yang berbeza yang merujuk kepada perasaan takut. “Kashya” bermaksud ketakutan yang hanya dirasakan dalam hati. Akan tetapi, “khashi’ah” adalah ketakutan yang sangat dahsyat sehinggakan ketakutan tersebut terlihat pada zahir fizikalnya – mukanya menajdi pucat, kakinya menggigil, dan seluruh jasadnya kaku, buntuk tidak tahu melakukan apa-apa. Dalam pada itu, Allah juga menyebut bahawa hanya sebahagian wajah yang akan melalui pengalaman tersebut. Bermakna ada sekumpulan manusia yang lain, di mana nasibnya tidaklah semalang orang-orang yang sedang disebutkan dalam ayat ini.

3. Penat Yang Tidak Berpenghujung. “Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah,” Dan mereka dalam keadaan pucat dan ketakutan itu, dipaksa untuk merasakan ketakutan tersebut secara berterusan tanpa henti. Orang-orang ini ialah orang-orang yang hidupnya di dunia telah dihabiskan untuk mengumpulkan kekayaan. Mereka berpenat-lelah untuk menjadi kaya. Akan tetapi, mereka tidak dapat menikmati pun kekayaan tersebut oleh kerana kesibukan mereka. Lebih malang lagi, di akhirat nanti mereka tidaklah pula akan mendapatkan rehat yang mereka idam-idamkan. Akan tetapi, kepenatan duniawi mereka itu akan disusuli pula oleh kepenatan akhirat. Apakah kepenatan akhirat tersebut? Kalimah “nasibah” boleh bermaksud “tertancap tidak bergerak” dan juga “longlai”. Ini boleh difahami dengan mereka dipaksa untuk berdiri tegak – dengan kaki dibenamkan ke dalam tanah – dan beratur menanti penghakiman dan balasan Allah, sehinggakan kakinya lemah longlai akibat berdiri terlalu lama. Tambahan pula, mereka terpaksa berdiri dalam peluh mereka sendiri dengan matahari berada hanya sejengkal di atas kepala mereka. Dan mereka tidak dapat lari daripada keadaan tersebut, betapa pun mereka merasa kepenatan yang sangat teruk. 4. Panas Yang Menyeksa. “Mereka tetap menderita bakaran neraka yang amat panas (membakar),” Namun begitu, selepas seksaan menanti dengan sangat lama tersebut berakhir, mereka memasuki pula ke dalam neraka. Dan mereka menghadapkan wajah mereka sendiri ke dalam api yang marak. Ini amatlah bertentangan dengan sifat semulajadi manusia di dunia di mana apabila merasakan sesuatu yang panas, mukanyalah yang terlebih dahulu dialihkan. Akan tetapi di akhirat, mereka tidak ada pilihan melainkan melakukan sedemikian. Mereka sendiri yang mencampakkan diri mereka ke dalam api neraka.

“Hamiah” bermaksud “marak”, akan tetapi ia juga bermaksud “menghindarkan”. Apa yang boleh difahami dengan dua makna yang berbeza ini adalah kepanasan api tersebut sangatlah menyeksakan, akan tetapi ia menghindari mereka daripada mati. Ini kerana jika mereka mati, maka seksaan tersebut akan berakhir. Justeru, api tersebut menghalang mereka daripada diputuskan rasa terseksa. Mereka akan merasakan seksaan tersebut secara berterusan tanpa henti. 5. Air Yang Menggelegak. “Mereka diberi minum dari matair yang menggelegak panasnya.” Panasnya api tersebut membuatkan mereka merasa dahaga. Sudah tentu, mereka akan mencari air untuk mengubati rasa dahaga tersebut. Akan tetapi, sekali lagi malang nasib mereka tidak bertambah baik kerana air yang diberikan kepada mereka itu bukanlah air yang melegakan dahaga, akan tetapi air panas yang menggelegak dek api yang panas di dalam neraka tersebut. “Tusqa” bremaksud diberi minum. Bermakna perbuatan meminum air yang menggelegak tersebut bukanlah pilihan mereka, akan tetapi mereka akan dipaksa untuk meminumnya. 6. Makanan Yang Berbahaya. “Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri,” Dengan minuman menjadi seksaan buat mereka, mereka pun mencari perkara lain yang boleh melegakan rasa terseksa tersebut. Lalu, mereka mencari benda-benda yang boleh dimakan. Dan mereka tidak akan menjumpai sebarang makanan pun yang disediakan untuk mereka melainkan “dhari’”. Dhari’ bermaksud tumbuhan-tumbuhan padang pasir yang berduri dan tajam. Di dunia, tidak ada yang mampu memakan tumbuhan melainkan hanya unta sahaja. Ianya sejenis tumbuhan yang bahkan haiwan pun tidak mahu memakannya.

Di dalam neraka, ada pelbagai jenis makanan yang disediakan kepada orang-orang yang berdosa. Adanya pohon Zaqqum yang seperti minyak panas yang membakar perut (al- Dukhan: 43-45), Ghislin yang berupa nanah yang menjijikkan (al-Haqqah: 36) dan Ma’in Sadid (Ibrahim: 16) yang juga berupa nanah bercampur dengan darah. Semua ini adalah contoh Dhari’ yang dihidangkan kepada mereka. 7. Makanan Sebagai Seksaan. “Yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.” Kemudian orang-orang kafir memperlekehkan ancaman tersebut. Kata mereka, jika makanan tersebut boleh dimakan oleh unta, jadi bagi mereka tidak ada masalah. Kalua unta pun boleh memakan Dhari’, bermakna mereka pun boleh. Bermakna, bagi mereka, keadaan neraka tidaklah teruk sangat. Ada makanan juga yang dihidangkan. Lalu Allah menjawab lagi. Bahawa makanan tersebut, walaupun boleh menjadi khasiat kepada unta, sebaliknya tidak akan membekalkan sebarang khasiat langsung untuk para penghuni neraka. Dan makanan tersebut tidak pula mampu menjadikan mereka kenyang. Akan tetapi mereka terpaksa terus memakannya dengan harapan untuk menghilangkan rasa lapar mereka. Tetapi harapan mereka akan hancur lagi dan lagi. Sekalipun mereka memakannya tanpa henti, mereka tetap akan masih merasakan kelaparan yang menyeksa. Sebegeitulah seksaan yang diterima oleh orang-orang kafir. Mereka ditimpakan dengan seksaan selepas seksaan tanpa henti. 8. Wajah Yang Berseri. “(Sebaliknya) muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri,” Sebaliknya, ada sekumpulan manusia yang lain yang tidak disebutkan dalam ayat kedua tersebut, wajah mereka tidak dikotori dengan riak wajah yang penat dan menderita. Tetapi, wajah mereka berseri-seri dengan sebab ni’mat yang Allah berikan kepada mereka.

9. Menerima Ganjaran Yang Memuaskan. “Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia),” Mereka berpuas hati dengan ganjaran yang telah Allah kurniakan kepada mereka. “Sa’yiha” bermaksud usaha yang dia kerjakan dengan usaha keras. Bermakna seluruh hidupnya dihabiskan hanya untuk perkara tersebut sahaja. Yang mana, bagi mereka, tidak ada perkara yang lebih penting daripada perkara tersebut. Dalam hal ini, orang-orang yang bahagia di akhirat kelak ialah orang-orang yang di dalam hidupnya di dunia telah menghabiskan keseluruhan hidupnya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Hidup dan mati mereka hanyalah untuk Allah semata-mata. Tiada yang lebih penting berbanding Allah. Justeru, mereka mendapati diri mereka berada dalam keadaan yang redha dan berpuas hati dengan pengakhiran mereka, dan Allah juga redha terhadap mereka. 10. Menetap Di Syurga. “(Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya),” Dan semua ganjaran mereka itu menanti mereka di dalam syurga yang tinggi. Mungkin ada yang mempersoalkan apakah yang istimewanya syurga yang berada di tempat yang tinggi. Keistimewaannya adalah sama dengan mengapa singgahsana diraja, kerusi ketua hakim dan yang seumpamanya diletakkan di tempat yang tinggi. Ianya adalah untuk mencerminkan kemuliaan seseorang berbanding orang-orang yang lain. Dan juga pemilikan seseorang yang luas. Jika seseorang mempunyai harta yang banyak, tentunya dia memerlukan tempat duduk yang tinggi untuk dia melihat seluruh kekayaannya, sepertimana raja yang berada di tempat tinggi untuk melihat seluruh rakyatnya. Pelbagai hikayat, dongeng dan mitos yang memperihalkan perumpamaan tempat tinggi dengan kemuliaan – tamadun Firaun, Yunani, Parsi dan sebagainya. Semuanya menzahirkan perlambangan yang sama.

11. Aman Daripada Gangguan. “Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia,” Seterusnya, manfaat berada di tempat yang tinggi ini adalah keselamatan dan keamanan daripada sebarang suara, bunyi dan perkara yang sia-sia. Dan ini adalah satu ni’mat yang sangat besar. Ini kerana di dunia, contohnya, manusia mungkin boleh memiliki harta yang banyak, akan tetapi tidak semestinya dia selamat daripada perkara yang mengganggu jiwa dan emosinya. Contohnya, seorang yang kaya tetapi memiliki anak-anak dan isteri yang sentiasa memboroskan hartanya dan berakhlak buruk terhadapnya. Atau mungkin dia aman daripada hal yang tersebut akan tetapi menetap di dalam kejiranan yang sentiasa mencari-cari peluang untuk menyamun hartanya. Bahkan, dalam zaman moden, rumah-rumah yang berada di tempat yang tinggi dan sunyilah yang menjadi antara tempat tinggal yang dinilai tinggi dan berharga mahal. Justeru, ni’mat keamanan daripada mendengar perkara yang sia-sia adalah perkara yang sangat besar. 12. Pemandangan Yang Indah. “Di dalam Syurga itu ada matair yang mengalir,” Tambahan lagi, di dalam syurga yang menjadi tempat tinggal mereka itu, terdapatnya matair yang sentiasa mengalir tanpa kehabisan puncanya. “Aynun” bermaksud mata, akan tetapi juga boleh bermaksud sesuatu yang sedap mata memandangnya. Oleh itu, matair yang mengalir tersebut menjadi pemandangan yang menenangkan untuknya. Sedari zaman dahulu hingga sekarang, manusia selalu menjadikan air sebagai satu motif yang menenangkan. Jika ditanyakan kepada sesiapa pun, pastinya air menjadi ni’mat yang bukan sahaja menjadikan kehidupan, tetapi juga untuk ketenangan jiwa. Lagi-lagi bagi orang-orang Arab yang mana tempat tinggalnya dikelilingi padang pasir yang tiada berpenghujung.

13. Singgahsana Yang Mulia. “Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya),” Kemudian pula, di dalam singgahsana mereka yang tinggi tersebut, terdapat pula pelamin- pelamin yang diangkat tinggi. “Marfu’” bermaksud diangkatkan menjadi tinggi. Bermakna segala perhiasan dan persiapan yang terdapat di dalam singgahsana tersebut, semuanya telahpun disediakan sebelum mereka memasukinya lagi. Mereka tidak perlu menggembelingkan tenaga dan fikiran untuk memikirkan susunan dan mengalihkan dan mengangkat perhiasan-perhiasan tersebut. Semuanya telah dipersiapkan untuk mereka. 14. Layanan Diraja. “Dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka),” Selain itu, jamuan yang dihidangkan untuk mereka di dalam syurga nanti akan dihidangkan di dalam kelengkapan jamuan yang mewah. Minuman mereka akan dituangkan ke dalam gelas yang besar dan berbentuk cantik (akwabun). Dan gelas-gelas tersebut akan dihidangkan, dituangkan dan diletakkan menurut keselesaan mereka (mawdhu’ah). Mereka tidak perlu mengusahakan apa-apa pun dengan tenaga mereka. Semuanya dilaksanakan untuk mereka. 15. Tempat Rehat Yang Tersedia. “Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar),” Dan tempat rehat mereka akan tersedia dengan bantal-bantal yang tersusun elok untuk mereka berbaring-baring, bersandar dan berehat. 16. Perhiasan Yang Pelbagai. “Serta permaidani-permaidani yang terbentang.” Dan singgahsana mereka juga dihiasi dengan permaidani-permaidani yang indah yang ditenun di dalam syurga dan dibentangkan seluas mata memandang.

17. Unta Yang Menakjubkan. “(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?” Kemudian Allah kembali semula kepada perbahasan berkenaan Hari Kiamat. Orang-orang kafir masih tidak mahu beriman dengan kedatangan Hari Akhirat. Lalu Allah mendatangkan kepada mereka beberap hujah. Hujah yang pertama adalah berkenaan dengan keajaiban dalam penciptaan unta. Allah menjemput agar manusia memerhatikan unta dengan segala kelebihan yang ada padanya – kemampuannya untuk hidup di kawasan yang serba kurang sumber air dan makanannya. Dengan bibirnya yang tebal, ia mampu memakan tumbuhan-tumbuhan yang berduri. Dengan kemahirannya menyimpan tenaga dan makanan dalam bentuk lemak, ia mampu hidup dalam suasana yang berbahaya. Sungguhpun dengan segala kelebihan ini, unta tidak pernah mengingkari tuannya. Biarpun arahan yang diberikan kepadanya adalah hampir mustahil untuk dilaksanakan, ia tetap melaksanakannya. Dan ia pula diciptakan dengan lutut. Sekalipun tinggi, ia tunduk merendahkan diri untuk berkhidmat kepada tuannya. Justeru, Allah menjemput manusia untuk berfikir, sungguhpun unta adalah makhluk yang kuat, ia tidak sesekali meninggi diri dan melawan tuannya. Ia sedar dengan kedudukannya. Maka, mengapakah manusia tidak menyedari kedudukannya berhubungan Tuannya? Mengapa dia tetap ingkar dan menderhakai Tuhannya? 18. Langit Yang Tinggi. “Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya?” Seterusnya, Allah menjemput manusia untuk memerhatikan langit pula. Dan bagaimana langit diangkat tinggi untuk menjadi bumbung kepada manusia. “Rufi’at” bermaksud diangkat, bermakna tempat asalnya adalah di bawah. Tidakkah manusia berfikir bahawa jika langit tidak lagi diangkat, pastilah ia akan jatuh menimpa manusia. Dan

tidakkah dia sedar bahawa suatu hari nanti ia akan kembali dijatuhkan ke bawah? Dan kiamat pun akan berlaku? 19. Gunung-Ganang Yang Teguh. “Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?” Dan tidakkah pula dia memerhatikan gunung-ganang bagaimana ia dipasakkan? Gunung- ganang ini juga pada asalnya tidak ada, dan kemudian Allah menjadikannya ada. Tidakkah ada langsung kemungkinan gunung-ganang tersebut akan dicabut semula daripada pasaknya? “Nusibat” adalah antara perkataan dalam Bahasa Arab yang boleh membawa dua maksud yang berlawanan. “Nusibat” bermaksud dipasakkan dengan teguh, akan tetapi juga boleh bermaksud dicabut menjadi longlai. Maka, Allah mengisyaratkan kepada nasib yang akan menjadi pengakhiran kepada gunung- ganang ini. Ianya telah dipasakkan oleh Allah dan akan suatu hari nanti dicabut daripada pasakan mereka. Dan kiamat pun akan berlaku. 20. Bumi Yang Menjadi Bumbung. “Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?” Dan tidakkah dia melihat kepada Bumi yang menjadi tapak kepada segala ni’mat yang dia kecapi? Bumi telah dihamparkan dengan luas dan dengan itu mereka mampu bermusafir ke sana sini untuk mencari rezeki, berhijrah dan beranak-pinak. Semua ini dijadikan oleh Allah. Semuanya belum pernah ada sebelum ini. Dan akan kembali hilang daripada kewujudan. Maka tidakkah dia fikirkan, selepas Bumi telah hancur dan segalanya lenyap, ke manakah tempat kembalinya? Hanyalah kepada Allah sahaja tempat kembalinya.

21. Rasulullah Sebagai Pemberi Peringatan. “Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan;” Walaupun dengan semua bukti dan ancaman yang telah Allah khabarkan kepada mereka, mereka masih juga tidak mahu beriman. Maka, Allah katakana kepada Nabi Muhammad bahawa baginda tidak perlu merasa risau dengan betapa sedikitnya orang yang mahu beriman. Dan baginda tidak perlu merasa serba salah seakan-akan tidak melakukan usaha yang memadai untuk memastikan manusia akan menjadi beriman kepada Allah. Bukanlah menjadi tugas baginda untuk menjamin keimanan seseorang. Hidayah adalah hanya milik Allah seorang sahaja. Justeru, Nabi hanyalah sebagai pemberi peringatan. Maka, Nabi Muhammad perlulah terus memberikan peringatan tanpa henti. Jika seseorang tidak mahu beriman, maka dia tidak akan beriman. Baginda tidak dikurniakan dengan kebolehan untuk mengubah fikiran manusia. Tugas Nabi adalah untuk membezakan yang betul dari yang salah dan memberi amaran kepada mereka tentang akibat mengikuti jalan yang salah; dan inilah sahaja tugas yang perlu baginda teruskan. 22. Tiada Paksaan Dalam Beragama. “Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” Dan Nabi Muhammad tidak sedikit pun mempunyai kuasa untuk mengkerah mereka untuk beriman. Hatta, apabila Nabi telah menjadi ketua kepada negara Madinah sekalipun, baginda tetap tidak mempunyai sedikit kuasa pun untuk menentukan keimanan seseorang.

23. Orang-Orang Kafir Diberikan Amaran. “Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar,” Dan dengan peringatan yang diberikan ini, sesiapa yang memilih untuk kekal berpaling arah dan berusaha sekeras-kerasnya untuk menjauhkan diri daripada mendengarkan dakwah Nabi (tawalla) serta menyembunyikan diri, menekan rontaan ruhaninya dan mendustakan kebenaran, Allah mengancam mereka. 24. Seksaan Yang Besar. “Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.” Ancaman tersebut berbentuk azab yang akan datang khusus daripada Allah. Allah akan menyeksa mereka secara berterusan (yu’adhdhibu) dengan azab yang paling besar (al-’azab al-akbar). 25. Allah Tempat Kembali. “Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka,” Orang-orang kafir akan menyangka, Allah hanya mampu mengazab mereka jika mereka mati dan akan dibangkitkan di hadapan Allah. Bahkan! Memang hanya kepada Allah sahaja tempat kembali. Kalimah “iyyabahum” merujuk kepada satu-satunya tempat kembali dan destinasi terakhir. Sepanjang mana pun hidup mereka, selama mana pun proses akhirat dan sebagainya. Pada akhirnya mereka akan tetap kembali kepada Allah. Dan mereka tidak ada tempat lain untuk menyelamatkan diri. 26. Allah Maha Segera PerhitunganNya. “Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.” Dan sungguh, hanya Allah sahaja yang mempunyai autoriti dan kuasa untuk melakukan hisab ke atas mereka. Dan apabila hisab tersebut dilaksanakan oleh Allah sendiri, maka tidak ada penyudah yang baik bagi orang-orang yang kafir.


Tafsir Surah Al-Ghashiyah

The book owner has disabled this books.

Explore Others

Like this book? You can publish your book online for free in a few minutes!
Create your own flipbook