Important Announcement
PubHTML5 Scheduled Server Maintenance on (GMT) Sunday, June 26th, 2:00 am - 8:00 am.
PubHTML5 site will be inoperative during the times indicated!

Home Explore Menguak Jendela Phd 28 Julai 2019

Menguak Jendela Phd 28 Julai 2019

Published by Pajuzi Awang, 2019-12-15 18:52:16

Description: Menguak Jendela Phd 28 Julai 2019

Search

Read the Text Version

Saya masih berperang dengan perasaan dan emosi. Perjuangan itu memerlukan pengorbanan dan istiqamah di jalan kebaikan mencari ilmu. Mengenal mazmumah diri yang menjadikan aku rasa kecil, tidak cukup kuat untuk menghadapi ujian dalam mencapai cita-cita PhD. Kekal positif… dan tidak mengenal putus asa. Jadi aku buat keputusan untuk terus positif, dan menyiapkan pembetulan viva. Positif dalam erti kata, tiada benda yang mudah. Aku bertekad dan sangat bersemangat untuk menghabiskan dan berjuang habis-habisan untuk menyelesaikan apa yang telah dimulakan. Aku kena buang rasa takut, rasa cemas dan rasa lemah…kerana menuntut ilmu itu mulia. Konvo UKM 2017 Alhamdulilah pada tanggal 8 Oktober 2017, aku menerima skrol PhD daripada Sultan Selangor. …ini bukan mimpi PhD tapi realiti. Sijil PhD original (bukan palsu)… itulah pengakhiran PhD aku.. Manisnya ….aku dan isteriku bersama konvo pada tahun 2017 ini ....syukur sangat. “Hiduplah seolah engkau mati besok. Belajarlah seolah engkau hidup selamanya.” -Mahatma Gandhi 44

Celoteh PhD ku DR. AZLINDA BINTI ABD AZIZ Ketua Jabatan Bahasa-Bahasa Doktor Falsafah PhD (UiTM) - TESL [email protected] Bagi ku, setiap perjalanan pengajian PhD adalah berbeza bagi setiap orang. Jalannya pasti berliku, ada pahit dan manis, tak kurang juga yang menempuh onak dan duri. Cuma apabila ijazah kedoktoran sudah di dalam genggaman, sedaplah sikit nak bercerita. Jangan cakaplah hal susah payah dan perit resah semasa dalam pembelajaran dulu. Sesiapa yang pernah melalui, pasti tahu apa yang aku maksudkan. Tetapi sebenarnya perjalanan PhD ku biasa-biasa sahaja. Pada aku sesiapa sahaja yang menyambung PhD akan melalui perjalanan mereka yang tersendiri dan ia adalah satu perjalanan yang agak lonely. Ini kerana hanya kita sahaja tahu pengkisahan kajian kita. Orang lain di sekeliling kita hanya dapat melihat dan memerhati dari jauh. Antara mereka, ada yang menasihati, ada yang membimbing, ada yang berkongsi kisah, ada yang menjadi sumber inspirasi dan motivasi serta ada juga yang berempati. Apa yang penting, keluarga perlu merestui dan memahami kerana bukan kita sahaja yang perlu melakukan pengorbanan. Mereka juga perlu berkorban masa dan duit ringgit demi kejayaan kita. Bila saja mendapat lampu hijau, barulah boleh isi borang permohonan untuk menyambung pengajian. Bagaimana ia bermula? Mmmm….PhD ku adalah dalam mod separuh masa. Setelah berkali-kali melalui temuduga HLP, akhirnya pada September 2011, aku berjaya mendapat biasiswa HLP tanpa cuti. Alhamdulillah, rezeki buatku. Inilah pertama kali aku dapat belajar dengan penajaan biasiswa. Sebelum ini , semua pengajian adalah atas perbelanjaan sendiri. Mencabar? Semestinya. Tetapi pada ku okay sebab daripada mula menyambung ijazah dulu sehingga ke peringk at sarjana, semuanya dalam mod separuh masa. Maklumlah tak ada rezeki untuk buat sepenuh masa. Mungkin aku tak dapat merasa bagaimana belajar sepenuh masa, tetapi Allah sentiasa beri peluang pada ku untuk menyambung pelajaran dan mudahkan pengajianku. Yang bagusnya, aku tak tinggalkan dunia pekerjaan dan meneruskan kehidupan seperti biasa, bermaksud aku masih tidak ketinggalan dalam sistem pekerjaan daripada segi perjawatan dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam pendidikan. Bagi ku belajar ini seronok dan menjadikan aku lebih matang. Ia juga melatih otak ku untuk berfikir dan menyedarkan aku akan luasnya ilmu Allah ini. Betul lah kata orang, lebih banyak kita belajar, lebih banyak yang kita tak tahu. Jadi bila berjaya boleh PhD , tak boleh bangga sangat sebab 45

Allah hanya pinjamkan ilmu Dia untuk kita. Pada pendapat aku kalau dah berjaya mendapat PhD tak perlulah merasa bangga dan sombong. PhD bukan terletak pada sijil dan gelaran sahaja, ia juga terletak pada tingkah laku dan perubahan sikap dan akhlak seseorang itu ke arah yang lebih baik. Barulah sempurna PhDnya. Macam peribahasa melayu lah, ikutlah resmi padi, makin berisi, makin tunduk ke bumi, bukan resmi lalang, makin tumbuh makin menjulang. Jom aku sambung lagi cerita. Tujuan aku menyumbang penulisan ku ini adalah untuk rakan-rakan yang ingin atau sedang menyambung pelajaran, samada di peringkat sarjana atau PhD. Cerita aku tak adalah drama-drama sangat sebab aku pilih untuk sentiasa berfikiran positif, malas layan bila perasaan sedih pilu tu melanda. Pada aku, kita mengaji ni pun tak ada yang paksa atau suruh. Jadi pandai-pandailah survive dalam pengajian ini. Apatah lagi dalam mod separuh masa ni kena betul-betul pandai bahagikan masa mengatur langkah dalam merancang pengajian kita. Bagi aku bila buat mod separuh masa ni, kita tak boleh mengharapkan apa-apa keistimewaan daripada majikan hanya sebab kita menyambung pelajaran. Core business masih kepada tugas-tugas rasmi. Sebab tu juga lah, aku tak pernah buat kerja penulisan PhD masa bekerja. Itu prinsip yang aku pegang. Lagipun, manalah sempat nak menulis sambil bekerja kan, dengan tugasan yang semakin rencam, memanglah tak sempat. Aku pula, memang dah maklum dengan cara belajarku, buat kerja PhD ni, kena betul-betul fokus bila menulis sebab aku memang tak reti menulis sambil-sambil melakukan tugas lain. Jadi bila aku menulis? Sebelah malam dan semasa cuti sahajalah, samada cuti hujung minggu atau cuti sekolah. Itu lah masa yang perlu ku korbankan. Jadi tak perlu lah hairan kenapa PhD ku mengambil masa yang lama untuk disudahkan. Aku pun tak la kisah sangat, bak kata rakan ku, biarlah lambat, asalkan selesai. Aku memilih Universiti Teknologi MARA kerana dua ijazah ku sebelum ni adalah daripada universiti yang sama. Rasa selesa berada dalam suasana yang familiar. Kali ni, best lagi sebab ditemani rakan-rakan rapat. Berempat kami dari jabatan yang sama, mendaftar di UiTM Shah Alam dan bermulalah cerita PhD kami. Lagi best bila dapat sama-sama berulang alik ke universiti sambil sekali sekala bersoping sakan di seksyen 7, Shah Alam. Ini satu lagi rahsia belajarku, bila stress kena keluar window shopping, barulah otak menjadi segar kembali. Hehe..ada yang kata mencari alasan sahaja, tetapi itulah terapi yang paling mujarab bagiku. Hebatnya UiTM ni, nak daftar PhD pun ada temuduga dan ujian bertulis. Nasib baik lepas. Aku memilih bidang Pendidikan TESL, supaya ada kesinambungan daripada ijazah dan sarjana aku dahulu. Seronok la juga dapat berjumpa kembali dengan pensyarah-pensyarah lama aku dahulu. Tetapi hati berdebar juga memikirkan siapalah supervisor (SV) aku. Memang sistem UiTM tak boleh memilih penyelia. Pihak pentadbir yang akan aturkan berdasarkan bidang kajian kita. 46

Untuk PhD ini, aku menyahut cabaran untuk membuat kajian kuantitatif walaupun kurang mahir bab statistik. Sahaja nak tambah keterujaan belajar benda baru dalam hidup. Doa ku juga adalah agar mendapat SV yang faham cara aku belajar dan tidak memberi tekanan kepada ku. Maklumlah, dah la belajar mod separuh masa, bertambah stress lah aku kalau sentiasa ditekan. Alhamdulillah, Allah makbulkan. SV yang di tugaskan untuk aku sangat memahami cara belajarku dan bijak memberi idea-idea bernas bagi memudahkan pengajianku. Prof Madya Dr. Norsidah Nordin merupakan seorang pensyarah senior yang tegas tetapi sangat sporting. Bila aku terangkan mod pembelajaranku, dia sangat memahami. Dia juga faham yang aku tak boleh sesuka hati mengambil cuti untuk berjumpa dengan dia, jadi dia yang selalu melapangkan jadualnya untuk ku. Dia juga memberi sepenuh kebebasan untuk aku tentukan daripada segi metodologi kajian. Walau bagaimanapun, beliau banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada aku di peringkat awal pengajian. Masa inilah pandangan aku masih kabur tentang hala tuju kajian dan keliru dengan variables yang aku pilih. Boleh kata sebulan sekali aku akan terbang ke Shah Alam untuk berjumpa dengan beliau. Selepas Prosposal Defence, hala tuju kajian ku mula jelas dan semakin kurang perjumpaan kami. Kepercayaan yang dia berikan itulah yang banyak memberi peluang untuk aku lebih berfikir dan melatih untuk aku lebih independent dalam pengajian ni. Ini lah perkara-perkara yang sangat membantu pengajianku. Rasanya pengalaman belajar separuh masa semasa diperingkat sarjana dan ijazah dulu telah mengajar aku untuk lebih bersedia untuk pengajian PhD ini. Satu yang aku yakin, ialah Insya Allah pengajian ku ini akan diteruskan juga hingga selesai. Biar pun mengambil tempoh masa yang agak lama. Ini adalah perjalananku dan aku yang akan mencorakkannya. Bila bermulanya pengajian, aku terus mencari kursus-kursus yang dapat menambah motivasiku untuk belajar, Daripada kursus zero draft thesis kelolaan Dr Othman Talib, kursus statistik kelolaan Dr. Sabri dan Prof Ramayah hingga lah kursus-kursus Structural Equation Modelling (SEM) yang telah aku hadiri. Bukannya sekali, hampir empat kali aku mengulangi kursus yang sama bersama Prof Dr Zainuddin Awang. Ini adalah pelaburan yang sangat menguntungkan kerana ilmu yang diperolehi sangat berguna. Bila sahaja motivasi mula menurun, aku akan mula mencari-cari kursus-kursus begini hanya untuk menaikkan semula semangat untuk menulis tesis. Bagi yang baru memulakan pengajian, carilah kursus-kursus yang dapat membantu anda untuk memahami proses penulisan tesis dan menjalankan kajian dengan betul. Lagipun dengan umur yang semakin meningkat ni, aku cepat lupa. Jadi apabila ada peluang, aku dan rakan-rakan akan mencari-cari kursus yang bagus untuk kami pergi. Mendengar dari pelbagai sudut pandangan pakar-pakar ini dapat membuka minda kita dan memberi kita keyakinan untuk mengaplikasikan ilmu dengan lebih bermakna. Tetapi dalam dunia sekarang, mana ada yang percuma. Perlulah melabur untuk ilmu-ilmu ini. PhD juga tiada jalan pintas. Anda mesti mengharung susah payah ini sendiri sebab yakinlah bahawa pengalaman itu lah yang membuat kita belajar dengan lebih baik. 47

Selain daripada itu, rakan-rakan sekerja yang telah mendapat PhD, juga banyak membantu diperingkat awal pengajian. Aku sangat terhutang budi dengan Dr. Tengku Zawawi bin Tengku Zainal yang banyak membantu semasa diperingkat penulisan proposal. Beliau banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar. Selain daripada itu perbincangan bersama rakan-rakan yang sama-sama menyambung pelajaran sangat membantu. Letih otak jika memikirkan bab-bab pengajian ni seorang diri. Kadang kala kebuntuan melanda dan boleh sesak nafas jadinya. Jadi bersykurlah bila ada rakan yang sudi membantu memberi idea. Secara tidak rasmi, rakan karibku telah ku lantik menjadi third supervisor ku, sebab dia banyak memberi idea dan banyak ‘berleter’ dan memotivasikan aku di kala mood belajar ku mula menurun. Bagiku ini lah rahmat Allah. Sentiasalah berdoa agar Allah memberi hidayah kepada kita dan meletakkan kita disekeliling orang-orang yang dapat memudahkan segala urusan kita di kala kita susah. Untungnya belajar disamping rakan-rakan ni, ialah kita dapat berkongsi cerita dengan mereka. Kalau tidak, siapalah yang sudi mendengar cerita-cerita resah ku ini. Disepanjang tempoh pengajian, aku juga berusaha untuk membuat pembentangan di konferens, seminar atau kolokium sekurang-kurangnya dua kali setahun . Selain daripada menjadi satu penetapan yang ditetapkan oleh pihak universiti, ia juga menjadi platform untuk aku mendapatkan pengalaman untuk memantapkan lagi kajian yang aku usahakan. Sedikit sebanyak dapat juga pandangan daripada orang lain yang menyumbangkan idea untuk menambah baik kajian ku. Bagi membantu dari aspek penulisan, aku perlu membaca artikel-artikel daripada jurnal-jurnal yang bagus. Sekurang-kurangnya dapat ilham bila nak menulis. Cuma kelemahan aku, artikel-artikel yang aku nak baca perlu dicetak. Agak sukar untuk aku membaca melalui skrin komputer kerana aku perlu highlight, garis dan catat nota diatas kertas tu. Mungkin kerana cara aku old fashion sikit tetapi nak buat macam mana kan, aku lebih selesa begitu. Rasa juga bersalah dengan alam sekitar kerana banyak menghabiskan kertas, tetapi semua nya aku simpan untuk di kitar semula nanti. Software Mendeley banyak membantu untuk melancarkan penyimpanan artikel-artikel rujukan ku. Aku yakin banyak lagi software yang lebih canggih akan dicipta di masa depan, so nasihat aku jangan lah takut untuk belajar kerana semua ini dapat memudahkan kerja buat kita. Selepas Proposal Defence, proses kutipan data pun bermula. Aku telah pastikan masa ini semua urusan surat menyurat kebenaran telah selesai. Surat kebenaran daripada EPRD, IPGM dan pihak IPG adalah perlu sebab sampel kajian aku adalah pelatih guru di IPG. Alhamdulillah, proses kutipan data berjalan lancar. Bila dah ada data dalam tangan, bermulalah proses menganalisis data. Proses nya agak makan masa lah sikit. Time ni, ada sangkut-sangkut juga lah. Bila dah mencabar diri guna SEM, maka kenalah tanggung akibatnya. Cuma nasib baik juga, kes aku ni bila dah tok guru kenal muka yang dah banyak kali pergi ke kursus dia ni, senang lah sikit nak minta tolong dia semak kan. Bila dia dah sahkan betul prosedurnya, barulah aku teruskan untuk menulis bab 5. 48

Seperti pengalaman belajar ku sebelum ini, bab 5 ni lah yang paling mencabar. Peringkat ini kita perlu mengolah penulisan yang dapat memberi makna kepada dapatan yang diperolehi. Bak kata SV aku... “Now you have the result…so what?”. Pada peringkat ni aku mengambil masa yang agak lama juga lah mengolah ayat agar menepati kehendak bab 5 ni. Beberapa kali jugalah aku baiki bila SV masih belum puas hati dengan hasil penulisan ku. Masa ini juga lah satu lagi cabaran yang perlu ku galas apabila aku dilantik menjadi ketua jabatan. Rasa serba salah untuk menerima tetapi memikirkan rakan-rakan dan tanggung-jawab, aku terpaksa menggalas juga. Aku yakin apabila kita mudahkan kerja orang, Allah akan memudahkan kerja kita. Jadi dalam menanggung tugas yang lebih mencabar, aku harung juga cabaran menulis bab terakhir tesis ku ini. Waktu ini kehidupan agak bercelaru dan sangat mencabar. Menulis bab terakhir ini perlu lebih fokus disebabkan kita terpaksa melihat semula dari bab pertama hingga bab terakhir bagi menambah baik isi kandungan tesis agar ia mempunyai hubung kait di antara satu sama lain. Masa ini jugalah, boleh kata rumah aku dah macam kapal pecah bila segala nota dan rujukan bersepah di lantai rumah dan dalam bilik. Nasib baik suami memahami. Siap aku pesan jangan dialih nota-nota aku sebab nanti tak jumpa di cari. Lucu pulak bila mengenangkan saat-saat ini. Sebab itu aku yakin, yang keluarga kita juga terpaksa berkorban demi kejayaan kita. Bila kita berserabut, mereka juga turut merasa tempiasnya. Pada yang melalui nya pasti anda faham situasi ini. Bila selesai menulis bab terakhir ini, barulah hidup tenteram sedikit. Aku berjaya menghantar tesis aku untuk ‘mock viva’. Setelah selesai, ada sedikit lagi bahagian yang perlu ku betulkan sebelum bersedia untuk viva yang sebenar. Menunggu viva memang mendebarkan. Tarikh viva ku adalah pada 2 Oktober 2017. Alhamdulillah, cabaran berjaya ditempuh dan berakhir dengan minor correction. Tempoh semakan pembetulanku mengambil masa yang agak lama kerana pemeriksa dalaman ku memang teliti orangnya dan beliau sendiri juga agak sibuk orangnya. Proses berlangsung hampir setahun sehinggalah beliau berpuas hati. Setelah proses menjilid tesis selesai dan aku terus serahkan kepada fakulti pada November 2018 dan barulah namaku di senaraikan untuk masuk mesyuarat senat. Bila dah dapat surat kelulusan daripada senat, masa ini lah baru dapat menarik nafas lega. Semua stress semakin hilang dan rasa penat lelah sebelum ini terasa berbaloi. Buat sementara ini aku masih menunggu tarikh convo ku yang bakal menjelang tiba. Semoga segalanya dipermudahkan. Apa-apa pun, perjalanan PhD tidak berhenti di sini. Pada ku perjalanan ilmu tak pernah akan selesai. Ilmu-ilmu baru akan terus di cari bagi untuk terus survive dalam bidang pendidikan pada masa sekarang. Apatah lagi kita telah berada di lubuk ilmu, memang menjadi tanggung-jawab kita untuk mendalami pelbagai ilmu sebaiknya, baru lah kita dapat menyampaikannya kepada orang lain. 49

Kepada rakan-rakan yang akan atau masih berjuang dalam pengajian, teruskanlah perjuangan anda hingga ke garisan penamat. Bak kata pepatah, kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Berdoalah agar urusan pengajian dipermudahkan dan harungilah semua cabaran dengan hati yang cekal. Mudah-mudahan Allah akan kurniakan rezeki itu kepada kita. Selamat belajar kepada yang masih mencari ilmu dan selamat beramal pada yang telah mendapatnya. Kekalkan sifat membantu dan berkongsi ilmu. Ingin aku akhiri celoteh ku dengan memetik kata-kata Buya Hamka; Manusia itu asalnya dari tanah, makan hasil tanah, berdiri di atas tanah, akan kembali ke tanah. Kenapa masih bersifat 'langit' ?. Biarlah ia menjadi peringatan kepada kita semua. \"Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.\" 50

Menyingkap Tabir Weltanschauung DR. ROSLI BIN AB RAHMAN Jabatan Pengajian Melayu Doktor Falsafah PhD (UPM) - Pengajian Bahasa Melayu [email protected]) Julai 2006, tarikh keramat dalam hidupku. Penantian penuh debar, akhirnya terungkai jua. Surat yang bertarikh 3 Julai 2006: Tawaran Sementara Hadiah Latihan Persekutuan Kementerian Pelajaran Malaysia Tahun 2006. Baris pertama pada surat tersebut. “ Saya adalah diarah merujuk kepada permohonan tuan/puan untuk mendapatkan biasiswa yang tersebut di atas dan sukacita dimaklumkan bahawa tuan/puan telah berjaya dipilih dan ditawarkan hadiah biasiswa untuk mengikuti kursus Pengajian Bahasa Melayu peringkat kedoktoran di Institut Pengajian Tinggi Dalam Negara”. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu Ya Allah atas nikmat yang tidak terhingga ini”, bisik hati kecilku. Lantas aku bersujud syukur tanda terima kasihku kepada Sang Pencipta. Disember 2006, bermulalah kehidupanku sebagai pemegang biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan peringkat PhD. “Insya Allah, aku akan menamatkan pengajianku sebelum tempoh tiga tahun”, itu azamku. Biar onak mendatang, biar ombak mengganas, pasti akan kuharungi jua setiap cabaran. Akan kubuktikan kepada anak-anakku bahawa “man jadda wajada (sesiapa yang berusaha dia akan mendapat apa yang diusahakannya”. “Anak-anakku... ketahuilah kalian bahawa benarlah kata pepatah Melayu, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Ayahmu akan membuktikan kepada kalian bahawa sejarah hidup manusia biasa bisa menjadi luar biasa berkat kesungguhan, kecekalan, kesabaran dan keyakinan”. Tiga tahun bergelar pelajar PhD bukanlah seindah kisah Cinderella yang yang kerap kalian tonton di kaca televisyen. Tiga tahun tersebut telah menyingkap tabir weltanschauung dalam kehidupan diri ini. Pelbagai sindiran yang singgah di cuping telinga ini di saat-saat mendapat tawaran Hadiah Latihan Persekutuan Kementerian Pelajaran Malaysia. “Li, buat apa susah-susah sambung belajar? Bukannya ada kenaikan gaji atau pangkat pun!” Lebih perit lagi “Jangan pentingkan diri sendiri. Anak-anak perlukan perhatian daripada awak. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran.” “Tuhan, aku pasrah kepada-Mu. Berikanlah kekuatan semangat dan permudahkanlah laluan perjuanganku menuju ke destinasi PhDku.” Bisikku perlahan tatkala bangun di 51

dua pertiga malam, menadah tangan, mengharapkan rahmat dan pertolongan-Mu sambil titik-titik jernih mengalir membasahi pipiku. Terasa betapa kerdilnya diri ini tatkala bersendirian berbicara dengan-Mu wahai Sang pencipta. Lantas kalimat-Mu dalam Surah Al-Maaidah, ayat 23 yang bermaksud “Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”, menjadi penyejuk hatiku tatkala diriku terasa letih dalam mengharungi perjuangan yang berliku ini. Tahun 2007, tetap kekal dalam ingatanku. Anak sulungku yang berumur 15 tahun , yang kutitip di Maahad Tahfiz Yayasan Islam Kelantan sepanjang 45 hari cuti persekolahan akhir tahun 2006, setelah kembali ke rumah terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Jerteh kerana disyaki demam kepialu. Alangkah gusarnya hati seorang ayah! Dalam kesibukanku mengharungi pelajaran, cubaan mendatang melanda diri. Aku terpaksa menunggu anak sulungku di wad tersebut. Namun, disebabkan urusan yang berkaitan dengan pengajian, aku terpaksa meninggalkan anakku bersendirian di wad pada waktu malam untuk pergi ke universiti lantaran isteriku perlu menguruskan empat orang anak yang lain di rumah. Sepanjang malam dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas, aku gagal melelapkan mata kerana memikirkan anak-anakku. “Ya Allah, adakah aku terlalu mementingkan diri sendiri? Meninggalkan anakku bersendirian di wad pada waktu malam kerana tugasan pengajianku”. Aku menangis di dalam hati sendirian. Kesal dan sedih, saling berganti. Tahun 2008, sekali lagi cubaan mendatang. Ayahku dimasukkan ke wad CCU, Hospital Kota Bharu. Selaku anak lelaki yang paling rapat dengan ayahku, aku telah mengambil tanggungjawab menjaga ayaku di wad tersebut. Namun, disebabkan perlu menghadiri kelas untuk pengajianku, aku terpaksa memohon ihsan daripada kakakku mengambil alih tugasku untuk menjaga ayahku di wad tersebut. Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas, sekali lagi aku dihimpit oleh perasaan yang bercampur-baur antara sedih, kesal, marah, dan bingung. Apakah aku mementingkan diri sendiri? “Ya Allah, tunjukilah aku jalan yang lurus”. Tanpa kusedari, titik-titik air mata jernih mengalir perlahan membasahi pipiku. Tahun 2009, badai Tsunami yang hebat melanda diriku. Dalam kesibukan mengharungi dunia ilmuku, aku dikejutkan oleh panggilan telefon di tengah malam hari. “Li....Balik segera ke rumah. Mek telah tiada. Mek baharu menghembuskan nafas akhir sebentar tadi.” “Oh Tuhan, benarkah apa yang aku dengar ini?” Terasa longlai tubuhku. Aku kehilangan kata-kata. Wanita yang telah memperjudikan nyawanya demi memberikan laluan kepada aku melihat dunia indah ini, menyusukan aku dan membesarkan aku dengan penuh kasih sayang sehingga menjadikan aku dewasa dalam kepayahannya membesarkan 13 orang anak telah tiada lagi. “Mek...Oh Mek... Semoga Mek damai di alam sana.” Aku kehilangan kata-kata dalam tangis senduku. 52

Sepanjang tahun 2006-2009, aku bukan sekadar berjuang dengan pelajaranku namun pada masa yang sama, aku perlu memastikan anak-anakku yang menduduki SPM, PMR dan UPSR turut sama cemerlang dalam pelajaran mereka. Rutin harianku sekiranya berada di rumah ialah menghantar anak-anakku ke sekolah pada waktu pagi dan mengambil mereka pada waktu petang. Sementara, menghantar dan mengambil mereka kembali ke kelas tambahan pada waktu malam. Alangkah letihnya diri ini kerana terpaksa melakukan pelbagai urusan rumahtangga dan urusan pelajaran. Namun, aku cekalkan hati ini kerana teringat kepada kata-kata semangat daripada pahlawan Kanang anak Langkau, “Agi idup, agi ngelaban.” Benarlah kata orang tua bahawa di sebalik pahitnya jadam terkandung khasiat ubat yang mujarab akhirnya. Berbekalkan azam yang kental bukan sekadar untuk lulus biasa-biasa sahaja tetapi untuk lulus dengan cemerlang dalam tempoh yang singkat telah membangkitkan semangat juang Tok Janggutku. Ulang-alikku setiap minggu dari Besut ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas bagi menghadiri kuliah wajibku selama dua semester kerana syarat di Universiti Putra Malaysia, calon PhD perlu menghadiri kuliah wajib selama dua semester dan menduduki peperiksaan dengan mencapai sekurang-kurangnya CGPA 3.50 untuk melayakkannya meneruskan pengajian ke peringkat menduduki ujian komprehensif dan akhirnya menghasilkan tesis PhD. Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan keyakinanku, disertai dengan doa yang berterusan, aku telah berjaya lulus dengan cemerlang memperoleh CGPA 3.938 dan lulus dengan cemerlang dalam ujian komprehensif yang diadakan oleh pihak Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Kejayaan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan ujian komprehensif serta pembentangan kertas cadanganku, meningkatkan tahap keyakinan dan kesungguhanku untuk terus melakar sinar kecemerlangan dalam pengajianku. “Tesis PhD? Ah, aku akan buktikan kepada kalian bahawa aku akan bisa menyempurnakannya sebelum tempoh tiga tahun berakhir,” bisik hati kecilku. Oleh itu, demi merealisasikan impian menjadi realiti, dan demi membuktikan tiada halangan melainkan peluang, setiap minggu aku berjumpa dengan ketiga-tiga penyelia tesisku untuk menyempurnakan tesis PhDku sehingga penyelia pertamaku menegurku, “ Dahlah Rosli, tiap-tiap minggu awak datang berjumpa saya. Awak datang jumpa dua minggu sekali pun dah cukup.” Perpustakaan demi perpustakaan kumenapak pergi dari pagi sebelum mentari bersinar sehinggalah loceng amaran bahawa perpustakaan akan ditutup kedengaran, baharulah aku bergegas pulang ke rumah sewaku. “Oh Tuhanku...penat tidak terkata”. Banyak masa dan wang ringgit yang perlu kukorbankan demi mencipta kejayaan ini.”Maafkan aku wahai isteri tercintaku. Maafkan ayahmu wahai anak-anakku tersayang kerana tiga tahun, kalian terpaksa menahan keinginan untuk berjalan-jalan dan menikmati keindahan pantai seperti hari-hari lalu yang kita lalui bersama-sama. Inilah harga sebuah perjuangan untuk melakar impian.” 53

Setelah berjuang dengan sabar dan tabah, berkat dipermudahkan oleh Allah Taala, akhirnya aku berjaya menyiapkan tesis PhDku dalam masa yang singkat iaitu dua tahun enam bulan sahaja. Namun, penyelia pertama tesisku menasihatiku agar tidak terburu-buru menghantar tesis PhDku kerana tempoh biasiswaku selama tiga tahun. Aku akur kepada nasihat beliau meskipun penasihat tesis kedua dan ketigaku beria-ia mendesakku agar menghantar laporan lengkap tesisku kerana tiada ada apa lagi yang perlu dibuat pembetulan. “Rosli, awak nak tunggu apa lagi? Tesis awak dah siap. Hantar sahaja.” Kata penyelia kedua dan ketigaku. Biarpun hatiku bergelojak untuk menghantar tesis tersebut, namun hati kecilku memujuk, “Rosli, jangan bantah kata mahaguru!” Kepatuhan kepada guru amat penting demi mendapat keberkatan dalam pelajaran. Bimbingan demi bimbingan dan cadangan demi cadangan untuk mendewasakan aku sebagai bakal pemegang ijazah PhD yang hebat telah diberikan oleh penyelia-penyeliaku. Terima kasih mahaguruku, Pro f Madya Dr. Ahmad Mahmood bin Musanif, Prof. Dr Normaliza bt Abd. Rahim dan Prof. Madya Dr. Zaitul Azman bt Zainon Hamzah.. Budi baik kalian akan kekal bersemadi di lubuk hatiku. Berkat bimbingan dan cadangan kalian, pada tahun 2009, aku telah berjaya menerobos langit antarabangsa apabila tiga kertas kajianku telah berjaya diterima dan dibentangkan serta diterbitkan dalam jurnal antarabangsa. Dua kertas kajianku telah diterbitkan di dalam Ubiquitous Learning: An International Journal, volume 1, number 4 2019 oleh University of Ilinois, Amerika Syarikat. Sementara, satu kertas kajianku telah dibentangkan dalam Persidangan Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu 2008 di Universiti Putra Malaysia. Malah, aku mendapat satu lagi bonus berganda apabila aku terpilih menjadi penolong editor Ubiquitous Learning: An International Journal, volume 1, number 4, 2019 setelah melalui ujian kelayakan yang tidak mudah. “Rosli, tahniah kerana awak terpilih menjadi penolong editor Ubiquitous Learning: An International Journal, volume 1, number 4, 2019. Bukan senang untuk menjadi sidang editor tersebut. Ramai juga dalam kalangan pensyarah UPM yang mencuba nasib untuk menjadi sidang editor tersebut tetapi tak lepas ujian pemilihan tersebut,” ujar penyelia keduaku sebaik sahaja mengetahui aku terpilih sebagai penolong editor Ubiquitous Learning: An International Journal, volume 1, number 4 2019. Masa terus berlalu pantas. Dua hari sebelum tamat tempoh pengajianku, aku telah melaporkan diri di Bahagian Biasisiwa. Laporan tesis PhD telah kuserahkan kepada Sekolah Pengajian Siswazah. Alhamdulillah, berkat doa yang berterusan, aku tidak perlu menunggu tempoh masa yang panjang untuk menduduki peperiksaan akhir (viva). Surat daripada Sekolah Pengajian Siswazah bertarikh 6 Mei 2010 mamaklumkan bahawa tarikh vivaku ialah pada 20 Mei 2010. “Aku akan melakukan yang terbaik demi membuktikan kecemerlanganku dapat dipertahankan, ” bisik hati kecilku. Solat hajat berterusan kulakukan demi memohon daripada Allah agar dipermudahkan urusan dalam vivaku kerana aku sedar diriku yang kerdil tidak mampu menghadapi ujian berat tersebut tanpa belas kasihan dan kasih sayang daripada Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. 54

Tanggal 20 Mei 2010. Aku melangkah ke bilik viva dengan harapan yang menggunung. Namun, aku menapak ke Kuala Lumpur sehari lebih awal agar tidak kelam kabut. Sepanjang waktu antara Maghrib dan Isya’, aku tidak berhenti-henti melakukan solat hajat memohon dipermudahkan urusan vivaku oleh Sang Pencipta. Keajaiban berlaku kepada diriku kerana setelah selesai solat, aku membuka komputer ribaku untuk membuat persiapan akhir sebelum viva esok. Sekali lagi tabir weltanschauungku tersingkap. Aku seolah-olah mendengar bisikan suara yang memberitahuku soalan-soalan yang bakal dikemukakan oleh penilai viva esok. Oleh itu, aku telah membuat persiapan yang rapi disertai dengan bukti-bukti jawapan dalam bentuk slaid power point. Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar! Tiada ungkapan yang mampu kulafazkan kecuali aku bersyukur kepad-Mu yang Allah yang telah mempermudahkan urusan vivaku. Keseluruhan sesi vivaku hanya berlangsung selama 40 minit sahaja. Setelah tamat sesi pembentangan dan soal jawab, aku dan penyelia pertamaku diarahkan keluar daripada bilik viva untukmembolehkan panel penilai membuat rumusan dan keputusan. “Rosli, awak dah tahu ke soalan yang nak ditanya dalam viva atau awak dapat soalan bocor sebelum viva?” tanya penyelia pertamaku. “Mengapa Prof. berkata sedemikian?” Tanyaku kembali. “Saya lihat awak macam dah tahu soalan apa yang bakal dikemukakan oleh panel penilai sebab awak sediakan jawapan bagi soalan-soalan yang ditanya secara tersusun. Malah dalam bentuk slaid power point lagi,” jelas penyeliaku. Aku hanya melemparkan senyuman kepada penyeliaku. 15 minit berlalu pantas. Aku dan penyelia dijemput masuk untuk mendapatkan keputusan viva. “Alhamdulilah, syukur kepada-Mu Ya Allah!” Aku telah lulus dengan cemerlang dalam viva dengan hanya sedikit pembetulan sahaja. Menurut Pengerusi sesi vivaku, aku adalah pelajar yang terbaik dalam sesi viva pada tahun tersebut di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi setakat tempoh bulan tersebut. “Ya Allah, aku bersyukur dan pasrah kepada-Mu. Benarlah kalimat-Mu dalam Surah Ar Rahman yang diulang sebanyak 31 kali, “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yag kamu dustakan?” Sesungguhnya aku tidak mampu berbuat apa-apa dan tidak mampu menolak sesuatu, juga tidak mampu memiliki sesuatu selain kehendak-Mu Ya Allah. Semoga titipanku ini bisa menjadi inspirasi untuk anak-anakku yang tersayang dalam mengharungi cabaran hidup yang berliku dan menjadi motivasi untuk teman-temanku yang sedang bertatih mahupun berlari mengejar impian untuk menggapai segulung ijazah PhD. Pengalaman tiga tahun mengharungi PhD. ini telah menyingkap tabir weltanschauungku tentang dunia ini. Jendela mindaku semakin terbuka luas. Akhirnya, aku pasrah kepada-Mu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Glosari: weltanschauung : (weltanshauung) Jerman) pandangan menyeluruh, terutama bagi seseorang individu terhadap kehidupan manusia dan alam sejagat. (Kamus Dewan Edisi Keempat) \"Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu\" 55

Dari Kepuk Padi ke PhD DR. IBRAHIM BIN TAIB Jabatan Ilmu Pendidikan Doktor Falsafah PhD (UM) - Psikologi Pendidikan [email protected] Berdaftar sebagai pelajar PhD adalah sesuatu yang amat berat dan mencabar bagi aku. Mampukah aku menghadapi semua itu dan layakkah aku sebagai anak orang kampung belajar hingga ke peringkat ini? Inilah persoalan awal yang sentiasa muncul dibenak fikiran aku ketika itu. Namun berbekalkan semangat dan kecekalanlah dapat membantu aku menghadapi semuanya selain berserah dan bertaqwa kepada Allah. Benarlah perjalanan PhD ini mengajar diri ini untuk kembali mentauhidkan Allah. Perjalanan dan proses PhD ini adalah didikan lembut daripadaNya untuk diriku, bahawa Dia yang Maha Memberi, Dia yang Maha Bijaksana, Dia yang Maha Mengetahui, Dia yang Maha Mengatur, Dia yangMaha Penyayang, Dia yang Maha Mendengar, Dia yang Maha Melihat dan Dia yang Maha Pengampun. Semangat untuk terus menimba ilmu dan belajar sampai ke puncak tertinggi aku bermula dibangku sekolah lagi. Dek kerana aku anak kampung, aku pernah belajar atau metelahaah pelajaran aku di suatu tempat yang sangat istimewa di kampung aku ketika itu iaitu di baloh (kepuk padi). Walaupun suasananya kurang selesa kerana kepuk padi merupakan satu rumah simpanan padi usang, yang diperbuat dari kulit kayu untuk menahan padi, namun bagi aku tempat inilah menjadi nostalgia ketika aku mula belajar berjinak dengan ilmu. Diruang itulah juga tempat aku belajar dan menimba ilmu di waktu malam dengan bertemankan sebuah pelita minyak tanah bagi menerangi tempat aku belajar saban malam. Inilah semangat anak kampung yang mempunyai impian untuk menggengam segulung ijazah satu masa nanti. Justeru itu pada tahun 2006 aku mula mendaftar sebagai pelajar PhD secara sambilan di Universiti Malaya dan disitulah bermulanya kehidupan aku sebagai pelajar Doktor Falsafah (PhD) separuh masa di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Alhamdulillah, permohonan aku untuk belajar secara sepenuh masa dengan biasiswa telah berjaya setelah aku berada di semester 3 dan aku ditawarkan Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (CBBPDB) oleh Bahagian Tajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Setinggi kesyukuran kehadrat-Nya kerana permohonan aku untuk menyambung pengajian di peringkat PhD secara sepenuh masa membuahkan hasil dengan berjaya ditawarkanCBBPDB untuk tempoh dua tahun setengah sahaja. 56

Bermulalah episod aku berulang alik dari dua kuala iaitu Kuala Telemong ke Kuala Lumpur, amatlah rumit. Kepayahan ini dapat aku rasakan kerana aku berasal dari kampung dan mencari ilmu di kota metropolitan. Kata orang berulang alik dari kawasan hulu ke kawasan bandar, turun naik bas, sampai pagi , mandi di tandas universiti atau masjid universiti, naik komuter turun komuter dan hentian putra sudah menjadi asam garam kehidupan aku ketika itu. Itulah semua perih yang aku hadapi dan lalui semasa bergelar pelajar di Universiti Malaya. Jika tidak sempat balik terpaksa tidur di rumah universiti atau tepaksa dikolej dengan bayaran sudah menjadi lumrah dalam meniti hari-hari pengajianku di peringkat PhD ini. Semangat tabah, jitu dan cekallah membuatkan aku begitu dahaga kepada ilmu. Mencari bahan literatur sehingga beberapa tahun menjadikan aku begitu serasi dengan pengajian di peringkat ini. Kekekuatan dan penguasaan dalam metodologi, menguasai analisis data adalah sesuatu kekuatan yang mendorng untuk aku mencuba sesuatu yang baru. Mencuba dalam bahagian anailis dan seterusnya menguasai SEM (Structural Equatios Modeling) AMOS dan PLS adalah kekuatan bagi aku dalam menyiapkan kajian. Itulah semangatku dalam penyelidikan sehingga menjadi nadi dan sebati dalam kehuidupanku. Dan akhirnya kekuatan ini dizahirkan bentuk kejayaan yang tidak ternilaikan dengan wang ringgit. Aku juga pernah mengambil 3 kursus wajib di peringkat PhD dan perlu mendapat keputusan sekurang kurangnya lulus gred B tetapi malangnya terdapat satu paper aku mendapat gred B-. Justeru itu aku terpaksa mengambil semula kursus tersebut. Walaupun tidak diaudit atau dikira dalam CGPA, itulah kursus yang terpaksa aku ikuti dan pelajari sebagai satu keperluan dalam pengajian di peringkat ini. Semua kenangan dan cabaran yang harus aku hadapi perlu ditelan walaupun melaluinya secara terpaksa. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Tajaan hanya meluluskan CBBPDB (Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa) kepada saya selama dua tahun setengah sahaja kerana sebelum mendapat kelulusan tajaan, saya telah belajar secara sambilan di UM. Mencari bahan dan literatur di serata library dan search dalam internet yang waktu itu talian yang terhad merupakan cabaran utama kepada aku semasa belajar. Pada masa yang sama juga aku terpaksa mengharungi pengajian ini secara keseorangan dan sukar mencari teman yang sama dalam bidang pengajian. Ini memaksa aku lebih berdikari dalam mengharungi pengajian di Universiti Malaya ketika itu. Aku sentiasa mengatakan aku boleh dan bisa melakukannya kerana semangat kepuk padi sentiasa menjadi inspirasi buatku. Dalam cuti belajar semasa pengajian PhD, aku dan keluarga telah diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk menunaikan umrah tahun 2008, banyak kelebihan dan keberkatan Allah berikan dalam nenuntup ilmu ini. Umrah ziarah Jordan dan Syria banyak mengajar aku tentang kehidupan dan pemantapan ilmu dan pengorbanan yang aku perlu lakukan. Kami sekali lagi menjadi tetamu Allah.. Kutitipkan pesanan itu ketika kami betul-betul berada di hadapan Kaabah, di bawah Pancur Emas, di dalam 57

Hijir Ismail dan berdoakan semoga aku berjaya dalam pengajian ini. Walaupun sibuk dengana pengajian, peluang yang diberikan ini cukup istimewa bagi aku dan keluarga. Tempoh pengajian yang diberikan oleh Bahagian Tajaan, KPM aku gunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan pengajian dan akhirnya saya berjaya menghantar draf tesis untuk sesi veting. Veting merupakan satu sesi pembentangan yang perlu dilalui oleh pelajar Siswazah di peringkat PhD sebelum menghadapi viva. Pada masa ini tesis saya sudah 80 % dan pada hari veting, seramai 5 orang pensyarah termasuk pemeriksa luar terlibat dan kesemuanya memberi komen terhadap kajian saya. Masa yang dilalui semasa veting ialah selama 2 jam dan antara komen dan cadangan yang diterima ialah tajuk kajian perlu ditukar. Walaubagaimanapun saya bersyukur kerana pihak fakulti telah meluluskan sesi veting dan saya boleh meneruskan pengajian dan membetulkan tesis dalam tempoh yang diitetapkan. Selepas selesai dan lulus veting, saya mengambil masa selama 6 bulan untuk membetulkan segala cadangan yang dikemukakan oleh panel semasa veting. Masih teringat semasa mula submit tesis untuk viva, datang perasaan masih kurang percaya aku menghampiri fasa akhir pengajian PhD. Lama juga masa yang diambil oleh penyelia untuk membaca dan memeriksa. Pada awal tahun 2010 aku berjaya dipanggil untuk viva seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri. Perasaan ketika itu sangat berdebar walaupun saya sedar semua orang akan melaluinya dalam pengajian di peringkat PhD ini. Saya mula membuat persiapan rapi termasuk meneliti semula objektif kajian, metodologi, kerangka kajian dan hasil kajian sebaik sahaja mengetahui tarikh viva. Viva saya bermula jam 9.00 pagi di dalam bilik viva yang dihadiri oleh beberapa orang termasuk tiga orang penilai luar yang semuanya berjawatan Prof. Salah seorang penilai, saya telah berjumpa sebelum masuk bilik viva dan penilai ini nampak berminat tentang penyelidikan yang saya jalankan. Hampir dua jam aku mencari idea menjawab segala persoalan kajian dan merungkai segala kekusutan dan akhirnya aku diminta menunggu di luar Bilik Viva. Hati dan perasaan hanyalah Allah sahaja yang tahu ketika itu, namun aku merasakan di saat inlah kerdilnya aku dla pencarian ilmu. Alhamdulilillah selepas itu aku dipanggil semula ke bilik Viva dan pengerusi meminta aku duduk dengna tenang dan antara ungkapan yang meluncur keluar dari mulut pengerusi viva yang masih terakam indah dalam lipatan sejarah. Susah payah dan pahit getir menempuh liku-liku hidup sebagai pelajar siswazah peringkat Doktor Falsafah. “Lulus. Alhamdulillah. Syukur kehadrat-Mu Ya Allah yang telah mengabulkan permintaan hamba-Mu ini”. Aku juga diminta membetulkan tesis dalam tempoh tiga bulan. Apa yang mengharukan kerana aku sendiri tidak mampu untuk menyatakan bagaimana perasaan ketika itu. Mungkin inilah yang dikatakan hanya pemilik PhD sahaja yang mampu merasai dan memahami apa yang dilalui oleh calon PhD. Tetapi mungkin pengalaman setiap orang adalah berbeza-beza semasa menjadi calon PhD. Semangat lulus dalam viva aku teruskan dengan segera membetulkan tesis kerana aku tidak mahu masa yang lama diambil. Selepas selesai membetulkan tesis sepertimana 58

laporan viva aku segera menghantar tesis berkenaan. Pada saat ini segala beban yang kurasai selama ini telah terlerai dan aku rasakan segala pengorbanan aku telah terbayar. Sejujurnya, apa yang dapat dikatakan dalam menggapai PhD ini, perlu fokus dan usaha yang tinggi untuk tamat dengan jayanya. Cepat atau lambat bukan isunya kerana bukan mudah untuk menamatkannya. Proses mendapatkan PhD ini adalah satu proses yang menyeronokan tetapi bukanlah proses untuk berseronok-seronok. Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih. Jangan orang lain melakukannya untuk kita tetapi biar kita melakukannya sendiri. Akhirnya penat lelah untuk mencapai impian menjadi nyata di hari konvokesyenku pada tahun 2011. Walaupun aku tidak sempat konvo pada tahun 2010, namun aku bersyukur dianugerah Ijazah Doktor Falsafah Bidang Psikologi Pendidikan oleh Universiti Malaysia pada hari konvokesyen berkenaan. Aku bersama isteri dan anak-anak menjadi pembakar semangat pada hari konvokesyen. Seingat aku inilah konvokesyen yang paling bermakna dalam hidup aku kerana dihadiri oleh keluargaku. Aku hampir menitis air mata bila menaiki pentas konvokesyen bila mengenangkan pahit manis yang aku lalui semasa menyambung pengajian di peringkat PhD ini. Coretan perjalanan pengajian peringkat PhD ini, memberi satu peringatan bahawa kita ini hanya sebagai satu kerangka atau sarong sahaja, yang mengisi segala isi kandungnya adalah Allah jua. Setinggi mana ilmu, akal, kehebatan, kemasyhuran tidaklah kemana jua, segalanya alat untuk menuju Tuhan yang satu. Terima kasih kepada Prof Dr. Kamariah Abu Bakar, Pakar bidang Psikilogi , Dr. Norain yang pakar bidang Bahasa Inggeris yang banyak membantu aku dalam kemabara ilmu ini. Tanpa mereka siapalah dan tak kemanalah aku. Terima kasih juga buat Prof Dr. Zulkifli yang telah menjadi supervisorku. Banyak ilmu yang aku pelajari dari Prof Dr Zulkifli dan hubungan akrab dengan supervisorku kekal sehingga sekarang. Keseluruhan perjalanan PhD ini meningkatkan rasa kekerdilan aku kepada Allah yang Maha Berkuasa. Aku diuji dengan perjalanan PhD yang jauh dan sukar selepas aku diberikan kemudahan dalam mengharungi perjalanan akademik sebelum ini. Moga segala usaha kita akan dipermudahkan dan tercapai. Semoga pengalaman ini akan memberi semangat untuk kita semua dalam mencari ilmu. \"Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak\" 59

My PhD : Antara Doa dan Harapan DR. SAIDI BIN MOHD Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Doktor Falsafah PhD (UM) - Pengajian Al-Quran [email protected] Al Hamdulilah pada tahun 2007 dalam usia lebih kurang 45 tahun saya telah berjaya memegang segulung ijazah PhD yang telah dianugerahkan dalam majlis konvokesyen Universiti Malaya dan menerima skrol tersebut dari Sultan Azlan Shah sendiri dalam bidang pengajian al Quran. Saya amat bersyukur di atas kejayaan ini kerana ia adalah impian saya dan juga kedua ibu bapa saya tertunai juga akhirnya. Saya penuh yakin kejayaan ini bukan lah daya usaha dan penat lelah saya semata-mata tetapi ia adalah berkat dari doa kedua ibu bapa saya yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Saya sangat terharu bila mengingatkan ibu bapa saya telah menjemput semua orang kampung untuk bersolat hajat di rumahnya dua tiga hari sebelum saya menjalani “viva voice” semata-mata untuk mendoakan kejayaan saya. Semuga Allah mencucuri rahmatnya ke atas arwah kedua-dua ibu bapa saya.....Al Fatihah. Saya tidak ingat berapa umur saya ketika saya mula belajar mengaji Al-Quran. Yang saya ingat pada satu malam semasa sedang tidur saya rasa pedih-pedih di belakang saya. Bila terjaga saya dapati saya sedang dirotan oleh ayah saya kerana tidur tanpa terlebih dahulu mengaji Al-Quran. Dalam keadaan kelam kabut itu saya terus bangkit dan menerpa ke almari Al-Quran dan mengambil Al-Quran dengan mulut terus terkumat kamit membaca Al-Quran walau pun waktu itu, saya rasa mata saya pun masih pejam celik pejam celik lagi. Tiba-tiba sekali lagi saya terdengar suara lantang ayah saya yang mengatakan “mengaji aper ni!!! ....dok ambik air semayang!!!”... Mula saat itu tertanam dihati saya..... “saya takkan berenti mengaji sampai bila-bila”. Pada tahun 2012 saya telah diuji dengan satu ujian yang sangat besar dalam hidup saya di mana pada satu hari, saya telah menerima satu panggilan telefon dari Bahagian Pendidikan Guru (BPG) meminta saya untuk bersedia bertukar ke Maktab Perguruan Islam (MPI), Bangi, Selangor atas alasan keperluan pensyarah dalam bidang Tarannum Al Quran di MPI kerana kursus bidang Qiraat dan Tarannum (KPLI) akan mula dibuka di MPI pada ketika itu. Hati saya berbelah bagi apakah keputusan terbaik yang perlu saya ambil. Orang pertama yang saya jumpa bagi meminta nasihat ialah arwah ayah saya. Ayah saya menasihati saya dengan mengatakan bahawa perkara itu sebenarnya adalah ujian Allah kepada saya kerana Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik dan lebih berharga kepada saya. Hadapilah ujian itu dengan tabah, kelak akan ada kelebihan dan 60

ganjaran yang Allah akan beri setelah ujian yang diberikan itu dilalui dengan penuh sabar dan tawakkal. Kemudian saya telah berjumpa dengan Arwah Hj Khairuddin bin Dato’ Hj. Zakaria (Bekas Pengarah MPKTBR). Dia sangat mengalakkan saya menerima pertukaran itu kerana pertukaran itu merupakan peluang keemasan bagi saya untuk meneruskan cita-cita saya memegang segulung ijazah PhD sedangkan pada waktu itu peluang dan kemudahan serta tempat belajar di pantai barat semenanjung adalah lebih baik berbanding di pantai timur. Sementara arwah En Mohd Ngah (KJ JIP MPKTBR) waktu itu menasihati saya dengan berkata: “ jangan lihatnya sebagai kekurangan tetapi lihat ia sebagai peluang”. Setelah berbincang panjang lebar dengan isteri dan anak-anak saya, akhirnya pada bulan Februari tahun 2002 saya telah mengambil sikap “sami’na wa ato’na” dan pergi melaporkan diri di Maktab Perguruan Islam, (MPI) Bangi, Selangor. Selain berkhidmat sebagai pensyarah di sana saya telah membawa satu hasrat yang besar akan pulang semula ke MPKTBR dengan segulung ijazah PhD. Justeru itu pada tahun 2013 saya mendaftar sebagai calon PhD di Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (API UM). Saya amat bersyukur kerana telah mendapat seorang penyelia yang sangat berpengalaman dan berilmu tinggi di dalam bidang pengajian al-Quran iaitu Prof Dato’ Dr Zulkifli@Mohd Yaakub bin Yusof yang pada masa itu memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan al-Quran al-Hadis, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM). Cabaran pertama yang saya hadapi semasa memulakan pengajian di Universiti Malaya ialah kemahiran mengenai statistik kerana sebagai seorang pelajar yang berlatar belakangkan pendidikan Islam/Arab, pengetahuan tentang ilmu statistik adalah sangat lemah malah boleh dikatakan tiada langsung. Sedangkan di Universiti Malaya syarat sebelum memulakan penulisan tesis ialah wajib terlebih dahulu lulus kertas statistik. Lantas penyelia saya telah mengumpulkan semua calon-calon PhD di bawah penyeliaannya di dalam satu bengkel intensif yang dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah universiti Malaya yang mahir di bidang tersebut untuk memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang ilmu statistik dan metodologi kajian kepada kami. Seperkara lagi samada berlaku secara kebetulan atau sebaliknya ialah dalam masa yang sama sahabat-sahabat karib saya dari MPKTBR juga telah menyambung pengajian mereka di Universiti Kebangsaan Malaysia UKM). Diantaranya ialah Dr. Tengku Zawawi Tengku Zainal, Tn Hj Mohd Rasid Chik, Tn Hj.Yahaya Othman dan lain-lain yang banyak membantu saya dalam pengajian di samping terubat rindu bila boleh dikatakan saban minggu berjumpa dan berbincang dengan mereka serta berkerjasama dalam pengajian masing-masing. Terasa diri saya tidaklah terlalu jauh terpisah dari sahabat-sahabat dan kampung halaman. Pengobanan isteri dan anak-anak adalah pengobanan yang terbesar dalam perjalanan saya mencapai PhD. Ketabahan dan kesabaran isteri saya menjaga anak-anak dan 61

menghadapi segala macam masalah, dugaan dan cabaran bersendirian terutama dalam membesar dan mendidik anak-anak sepanjang ketiadaan saya, tidak akan dapat saya balas sepanjang hayat saya. Hanya Allah saja yang dapat membalasnya. Inilah antara dorongan dan motivasi yang paling kuat bagi saya mempercepatkan penulisan saya agar segera siap. Dorongan inilah yang membuatkan saya sentiasa tekun berada di perpustakaan sepanjang hari dan malamnya dan pulang ke rumah (kuarters MPI) untuk tidur sahaja. Kehidupan bersendirian tanpa keluarga di sisi sebenarnya adalah tarbiyyah dan latihan yang sangat bermakna semasa mengharungi liku-liku perjalanan PhD saya. Kalau ketika bersama keluarga setiap hari memikir makan minum untuk anak isteri, menguruskan hal ehwal keluarga serta kebajikan mereka namun bila saya bersendirian sebuku roti pagi dan sebuku roti petang dengan sebotol air mineral sudah mencukupi untuk sepanjang hari dan kadang-kadang berpuasa terasa lebih baik dan lebih bersemangat untuk terus berada di perpustakaan sepanjang hari dan malam membuat rujukan dan pembacaan. Semakin berlapar dengan berpuasa terasa semakin dekat dengan allah dan semakin dekat dengan PhD. Otak pula terasa lebih bergeliga dan terasa semakin laju penulisan yang dibuat sedangkan dihati pula terasa khusyuk seolah-seolah sedang beribadat dihadapan Allah SWT dan kekal berada di bawah petunjuk dan hidayahNya sepanjang hari. Kegembiraan yang pertama saya rasakan apabila akhirnya Proposal yang saya siapkan telah diterima setelah saya berjaya membentangkannya di dalam dua seminar berasingan iaitu diperingkat jabatan (Jabatan al-Quran dan al-Hadis APIUM) dan selanjutnya diperingkat Fakulti. Sungguh tidak terduga dalam pembentangan di peringkat jabatan, salah seorang peserta yang mengikuti seminar tersebut ialah Ustaz Mohd Nor bin Jusoh (Pada masa itu pensyarah di Politeknik Kuala Terengganu dan sekarang Pensyarah di JAPIM IPGKDRI). Oleh kerana soalan-soalan yang dikemukan kepada saya semasa membuat permbentangan membawa saya menjadi rapat dengan beliau apalagi bila mengetahui beliau juga dari negeri Terengganu dan pada yang masa juga sedang belajar peringkat masters, juga di bawah penyelia yang sama dengan saya iaitu Prof Dato’ Dr Zulkifli@Mohd Yaakub bin Yusof. Owhhhh..... kami seguru rupanya.... Saya terasa seolah-olah allah sengaja mempertemukan kami di situ untuk dapat berkongsi banyak pengalamannya dalam bidang penulisan. Sedar tak sedar pada Tahun 2005 saya telah dibenarkan oleh penyelia untuk mula mengutip data. Satu lagi keajaiban bagi saya kerana kebetulan hari Ahad adalah hari cuti bagi negeri pantai barat tapi hari berkerja bagi negeri-negeri di pantai timur. Oleh itu setiap hari Ahad memberi peluang saya balik ke Terengganu dan seterusnya dapat pergi ke sekolah-sekolah kajian saya setiap hari ahad di samping dapat pulang ke rumah keluarga. Segalanya berjalan seperti yang dirancang. Usaha saya setiap minggu pergi ke sekolah-sekolah lokasi kajian saya akhirnya selesai dan saya telah mempunyai data yang mencukupi untuk dibuat analisa. Seperti yang disebutkan saya agak jahil mengenai statistik. Tetapi rupanya allah telah mengaturkannya dengan baik sekali 62

kerana tepat pada waktunya saya telah ditemukan dengan seorang Tutor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berbangsa Indonesia bernama En. Suparman. Beliau adalah seorang Tutor yang sangat mahir dalam analisis data dan sangat arif dengan program SPSS. Allah telah mengaturkan yang terbaik buat saya kerana pada masa yang sama sahabat saya dari MPKTBR, Tn Hj Yahaya Othman yang sedang belajar peringkat Masters di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kebetulan juga sedang berada pada tahap analisis data. Jadi kami telah sama-sama berulang alik ke rumah En. Suparman bagi mendapat bimbingan dan tunjukajar beliau dalam menganalisis data menggunakan program SPSS. Saat yang saya nanti-nantikan telah tiba. Keputusan analisis kajian yang saya buat bertahun-tahun telah diperolehi. Alangkah gembiranya saya bila sekian lama menunggu apakah keputusan kajian saya kini telah terpampang di hadapan mata saya. Tambah menggembirakan saya keputusan yang diperolehi itu telah saya dijangkakan. Tanpa berlengah saya terus mula menulis analisa keputusan tersebut satu persatu dan berjaya menyiapkannya dalam masa yang singkat. Pada satu petang pertengahan tahun 2005 masih segar diingatan saya ketika saya berada di sebuah kedai buku di Kajang, selangor ketika sedang berurusan menjilid tesis saya, saya telah menerima satu panggilan telefon dari Tn Haji Mohd Khairuddin bin Hj. Dato’ Zakaria (Bekas Pengarah Pengarah MPKTBR) memberitahu kepada saya bahawa beliau baru saja berbual dengan Datin Asariah Bt Mior Shaharuddin, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) waktu itu dan sempat bertanya tentang status permohonan pertukaran saya ke MPKTBR. Berita yang tidak akan saya lupa sepanjang hidup saya apabila diberitahu bahawa permohonan pertukaran saya ke MPKTBR telah diluluskan berkuatkuasa pada 1 Julai 2005. Saya begitu yakin segala-segalanya berlaku bukan secara kebetulan. Tetapi ianya telah dirancang oleh allah SWT dengan rapi bagi kehidupan saya.Tidak terjangka oleh saya bahawa masa berjalan dengan begitu cepat dan singkat dengan tanpa saya sedari saya telah berjaya melaksanakan segala-galanya dengan sempurna. Saya bertukar ke 48 MPKTBR dengan tenang kerana keseluruhan tesis saya telah disiapkan hanya tinggal satu tugas sahaja lagi yang perlu dilunaskan iaitu membentangkan hasil kajian dalam seminar di peringkat fakulti. Agaknya ini lah ujian terakhir buat saya dalam perjalanan saya mendapatkan PhD. Pada hujung tahun 2006 ibu saya telah dipanggil oleh Allah SWT mengadapnya beberapa bulan selepas saya selesai menjalani “viva voice”. Walau pun saya sangat bersyukur apabila saya diberi tempoh tiga bulan untuk membaiki tesis saya namun ujian kali ini membuat saya 63

begitu tertekan dan hilang fokus kepada tesis saya. Terasa masa berjalan begitu pantas. Tahun 2007 telah menjelma tetapi saya masih terkapai-kapai dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk tesis saya sehingga lah pada satu hari saya mendapat panggilan telefon dari Pengarah APIUM Prof Dato’ Dr. Zulkifli@Mohd Yaakub bin Yusof iaitu penyelia saya (yang pada waktu itu telah dilantik menjadi Pengarah APIUM). Atas nasihat dan tegurannya saya mula membuka semula tesis saya dan sedikit demi sedikit saya membuat pembetulan-pembetulan yang di cadang semasa “viva vioce”. Akhirnya saya berjaya membaiki dan menyiapkannya dan seterusnya menyerahkan tesis tersebut. Alhamdulilah pada bulan September 2007 saya telah menghadiri majlis konvokesyen Universiti Malaya. Alhamdulillah... inilah kisah perjalanan PhD saya yang tidak kurang liku, cabaran dan ujiannya. Segala-galanya dapat di atasi melalui kesabaran doa dan harapan yang sentiasa membasahi bibir dan saya amat yakin dengan sepenuh hati semuanya itu adalah berkat doa dan restu kedua ibubapa saya. Semoga perkongian ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada yang memerlukannya serta tulisan ini sedikit sebanyak akan menjadi amal jariah kepada saya ketika saya sudah tiada lagi di dunia ini. Amiin 3x. “SAYA PERGI KERANA AL-QURAN.... SAYA KEMBALI KERANA AL-QURAN.... DAN SEKARANG SAYA GENGGAM PHD AL-QURAN.... \"Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu\" 64

Leadeship dan PhD DR. MANGALESWARAN A/L ANNAMALAI Jabatan Ilmu Pendidikan Doktor Pendidikan Ed.D (UNISEL) - Pengurusan Pendidikan [email protected] Saya tiba di bumi Terengganu pada penghujung bulan Disember 1983 kerana mendapat surat penempatan dari Kementerian Pendidikan Malaysia setelah tamat pengajian saya di Maktab Perguruan Perserkutuan Pulau Pinang.Sebelum ini saya tak pernah sampai ke Negeri Negeri Di Pantai Timur. Berbekalkan dengan hanya sijil SPM , saya di gelar guru Bahasa Inggeris gred C2 dengan gaji permulaan bernilai RM 470.00 sebulan. Sekolah pertama saya ialah Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng, Seberang Takir. Cita cita saya pada masa itu hanyalah untuk memperolehi sijil STPM supaya saya mendapat gred C1 dan boleh memperolehi gaji yang lebih tinggi iaitu gaji permulaan yang hampir RM 750.00.Pada masa itu saya amat aktif dalam sukan hoki dan telah banyak kali mewakili Negeri Terengganu dalam Pertandingan Hoki Piala Razak. Saya juga sibuk memberi tuition Bahasa Inggeris di Kuala Terengganu kerana permintaan yang begitu tinggi.Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti , saya sangat mengambil berat mengenai peperiksaan STPM. Setiap malam saya saya membaca. Saya juga banyak menhabiskan wang untuk membeli buku buku STPM. Setelah 2 kali percubaan .Saya memperolehi 5P dan berjaya ke Universiti Malaya sepenuh masa dengan cuti separuh gaji. Saya menceritakan perkara ini secara detail kerana ingin memberi motivasi kepada pelajar pelajar saya. Saya datang ke Terengganu dengan sijil SPM tetapi sekarang setelah lebih 30 tahun saya berjaya mendapat : A) SIJIL - Kursus Perguruan Malaysia ( TESEL ) – M4P (1984) B) DIPLOMA - Kursus Kepengetuaan Malaysia – IAB Genting (2004) C) IJAZAH - Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan - IAB Genting (2004) - Ijazah Sarjana Muda BA (Hons) Pendidikan Sejarah – UM (1991) - Ijazah Sarjana Pendidikan M.Ed –USM (1999) - Ijazah kedoktoran Pendidikan Ed.D – UNISEL(2015) Semua ini dilakukan dalam masa 30 tahun tampa memutuskan perkidmatan saya sebagai pegawai pendidikan walaupun untuk satu tahun. Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan kerana memberi peluang dan galakkan kepada semua guru untuk melanjutkan pelajaran. Sebenarnya kita berada di satu negara yang membantu guru gurunya untuk melanjutkan pelajaran. Kita hanya perlu mengenal pasti dan merebut peluang yang ada. 65

Setelah tamat pengajian di UM, saya telah ditempatkan di Sekolah Menengah Padang Midin selama 16 tahun (1991- 2006). Di situ, saya menjadi guru panitia Bahasa Inggeris dan guru penasihat Pasukan Kadet Polis. Saya begitu aktif dalam pasukan Kadet Polis di peringkat daerah dan negeri. Apa yang saya hendak tekankan di sini ialah walaupun saya begitu sibuk dengan tugas sebagai seorang guru dan aktif memberi tuition tapi masih telah meneruskan pengajian saya di peringkat ME di USM. Saya telah memulakan pengajian separuh masa saya di USM pada tahun 1995. Setiap hari Sabtu selama 2 tahun , saya perlu pergi ke USM hampir setiap minggu. Pada masa itu perjalanan dari Terengganu ke Pulau Pinang mengambil masa selama 13 jam. Saya akan naik bas pada hari jumaat dan sampai ke Terengganu pada pagi hari Ahad dan terus ke sekolah. Walaupun penat saya tidak pernah putus asa. Dugaanya banyak, antaranya ialah kepenatan, kekangan masa dan kewangan, tugas hakiki sebagai seorang guru, tuisyen dan kata-kata negatif dari rakan rakan sekerja. Ramai yang tidak nampak kelebihan memiliki ijazah sarjana. Namun pengetua sekolah memberi dorongan dan semangat untuk saya belajar dengan kebanyakan guru-guru di sana tidak memberi sokongan. Saya berjaya mendapat Ijazah Sarjana dari USM pada tahun 1999. Pada tahun 2002 hingga 2004 saya ke IAB untuk kursus kepengetuaan dan untuk mendapatkan diploma dalam Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan. Pada tahun 2006 saya telah ditugaskan ke IPG KDRI sebagai seorang pensyarah akademik. Pada tahun 2008, saya bersama beberapa orang pensyarah IPG KDRI telah mula mengikuti satu program Ijazah Kedoktoran dari UNISEL. Biasanya Profesor dari UNISEL akan mengadakan kelas di Politeknik , Setiu. Ini adalah kerana beberapa orang pensyarah dari IPGK Sultan Mizan Besut juga ada mengambil kursus ini. Mod pengajian kita pada awalnya adalah kerja kursus dan ‘ projek paper ‘ tetapi atas arahan MQA ‘ projek paper ‘ itu telah diberi pemberatan yang lebih dan telah menjadi hampir seperti tesis. Viva diwajibkan serta bilangan muka surat di tambah jadi 200 muka surat. Perubahan ini menjadi kontrovesi yang besar di kalangan pensyarah-pensyarah yang mengikuti program ini. Ramai yang mula meninggalkan kelas ini. Begitu juga dengan rakan sekerja saya yang mula menunjukkan rasa kurang puas hati terhadap program ini setelah lebih 2 tahun mengikutinya.Saya pun keliru dan tidak dapat buat keputusan sama ada hendak meneruskan pengajian atau berhenti. Pada awal tahun 2010 saya jatuh sakit dan telah berada di wad hospital selama 3 bulan.Setelah keluar dari wad saya masih lagi tidak sihat sepenuhnya. Berat badan saya turun sebanyak 30 kg dan saya tidak dapat bergerak dengan aktif tetapi semakin hari saya bertambah sihat.Namun hasrat saya untuk menyambung pengajian tetap ada dan saya telah memilih beberapa program yang sesuai dengan tahap umur dan kesihatan saya pada ketika itu. Justeru itu, pada tahun 2011 saya mula mengikuti program Doktor Pendidikan semula di UNISEL. 66

Pada hujung tahun 2010, Pedana Menteri ketika itu telah mengumumkan bahawa pensyarah pensyarah yang mempunyai Ijazah Kedoktoran akan diberi satu kenaikan gred. Ini telah menyebabkan ramai pensyarah pensyarah dari IPG KDRI mendaftar di UNISEL untuk program Ijazah Doktor Pendidikan. Saya pun terpaklsa mendaftar semula kerana terputus satu tahun. Saya berasa sangat gembira kerana terdapat ramai kawan-kawan yang belajar bersama. Oleh kerana bilangan pelajar agak ramai ( lebih kurang 33 orang ) kadang-kadang Profesor dari UNISEL sanggup datang ke Kuala Terengganu untuk memberi kuliah. Tapi kadar kelulusan untuk peringkat ini biasanya adalah kurang dari 40%. Ramai kawan kawan saya tidak meneruskan pengajian dan mula ‘drop out’ dari kelas ini. Pada tahun 2015 saya bersama Dr. Idrul dan Dr Suriany berjaya dalam penilaian Viva . Pada tahun itu kami berjaya menerima Ijazah Doktor Pendidikan. Perjalanannya jauh dengan pelbagai dugaan tetapi hasilnya sangat manis. Apabila berbincang mengenai cabaran memanglah banyak. Antaranya ialah kengkangan kewangan dan masa. Kerja hakiki di IPG agak berat dan masa kita terhad. Menguruskan keluarga juga mengambil masa tetapi oleh kerana semangat dan usaha tanpa mengenal putus asa telah membuahkan kejayaan yang sangat bermakna kepada saya. Saya telah memilih topik yang sangat saya minati untuk menulis projek paper . Topiknya ialah berkaitan dengan pengurusan stress di IPG.Tajuknya ialah seperti berikut “Leadership Styles Of The Directors And Its Relationship With The Lecturers’ Pemilihan tajuk yang betul serta diminati adalah amat penting supaya kita tidak putus asa dan meneruskan kajian kita. Secara ringkasnya kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti gaya kepimpinan stress pensyarah di 4 buah IPG di Zon Timur Semenanjung Malaysia . Kajian ini khusus untuk mengenal pasti sama ada terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya kepimpinan pengarah berdasarkan pandangan pensyarah dengan stress pensyarah. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dan data diperolehi daripada kaedah soal selidik yang menggunakan skala likert lima mata. Alat ukur “Leader Behavior Description Questionaire(LBDQ)” digunakan untuk mengukur gaya kepimpinan pengarah dimemsi berstruktur dan dimensi timbang rasa. Alat ukur stress digunakan untuk mengukur tahap stress pensyarah berdasarkan gaya kepimpinan pensyarah dibawah dua dimensi tersebut. Saya juga menghadapi pelbagai masalah semasa menjalankan kajian tersebut. Masalah paling utama ialah untuk mendapat sampel yang sanggup berkerjasama menjawab soal selidik yang agak panjang. Saya terpaksa menggunakan jasa baik jabatan PIPK IPG 67

KDRI untuk meminta bantuan dari jabatan PIPK dari semua IPG di Zon TIMUR. Sampel kajian terdiri daripada 238 pensyarah dari semua 4 IPG di Zon Timur Semenanjung Malaysia. Sampel kajian dipilih secara rawak mudah. Satu lagi masalah yang dihadapi ialah kekurangan saya yang tidak begitu mahir dalam bidang statistik. Saya terpaksa beli banyak buku statistik untuk belajar dan terpaksa berjumpa dengan beberapa orang pensyarah dari UMT untuk belajar berkenaan statistik. Sebenarnya data untuk kajian ini diproses melibatkan statistik deskriptif iaitu pengukuran frekuensi, skor min, sisihan piawai dan peratusan. Data juga diproses mengikut statistik inferensi iaitu Pekali Korelasi Pearson dan T-test. Hasil kajian menunjukkan bahawa para pengarah mengamalkan kedua-dua gaya kepimpinan struktur dan bertimbang rasa dari tahap sederhana ke tahap yang tinggi. Semua masalah ini perlu di atasi satu persatu dan saya mengambil masa lebih dari 6 tahun untuk menyelesaikan pengajian saya di peringkat Ijazah Doktor Pendidikan. Konsep ‘LIVE LONG LEARNING’ DAN ‘NEVER GIVE UP’ menjadi dorongan saya untuk mencapai Ed.D pada umur 53 tahun. Keluarga juga menjadi pencetus kepada kejayaan saya kerana mereka sentiasa memberi dorongan dan galakkan untuk saya sepanjang pengajian saya. Saya akui bahawa cabaran yang besar yang dihadapi semasa belajar ini menjadikan saya kuat untuk terus memberi khidmat dalam dunia pendidikan pada masa kini. \"Kata-kata itu sebenarnya tidak mempunyai makna untuk menjelaskan perasaan. Manusia boleh membentuk seribu kata-kata, seribu bahasa. Tapi kata-kata bukan bukti unggulnya perasaan\" 68

Kembara Ilmu Ed.D 2010 2015 DR. IDRUL HISHAM BIN ISMAIL Jabatan Ilmu Pendidikan Doktor Pendidikan Ed.D (UNISEL) - Sains Sosial [email protected] Sudah lama saya ingin berkongsi kisah suka-duka perjalanan EdD yang sudah berakhir dengan rasminya pada 24 Oktober 2015 yang lalu. Ia merupakan perkongsian pengalaman penulis untuk sahabat-sahabat yang akan/sedang mengharungi perjalanan EdD atau PhD, semoga ada manfaatnya. Jika kelihatan ada bayangan menunjuk-nunjuk, saya mohon keampunan dari-Nya. Penantian dalam debaran selepas menghantar draf tesis untuk viva voce pada hari 10 Disember 2014 berakhir pada tanggal 3 Mac 2015. Alhamdulillah, selama 2 jam viva voce berlangsung dalam suasana yang agak tenang dan 'santai' (bagi saya) menghilangkan gemuruh menghadapi sesi yang sangat genting untuk seseorang yang bergelar seorang pelajar. Tesis akhir berkulit tebal dihantar ke universiti pada hari Isnin, 20 Mei 2015. Alhamdulillah, terbalas sudah pengorbanan hasil daripada satu perjuangan yang penuh ranjau duri dalam kehidupan. Ia adalah perasaan yang sukar digambarkan, tersangat lega, syukur, semuanya terangkum menjadi satu setelah berhempas-pulas menyiapkan tesis serta pembetulan selepas viva voice. Cabaran menyiapkan EdD di dalam tempoh yang diberikan tetap ada. Setiap orang cabarannya berbeza. Bagi saya (dan mungkin yang lain-lain), EdD bukan sahaja semata-mata segulung ijazah yang diperolehi selepas perjalanan panjang itu sahaja, tetapi ia lebih kepada menghadapi cabaran yang mungkin mematikan semangat untuk meneruskan perjalanan yang panjang. It is how you response and react that matters. Hasilnya menjangkau ilmu yang diperolehi ketika EdD itu sendiri. Perkongsian saya dalam perjuangan mengharungi ranjau dan duri ketika menempuhi cabaran, pahit getir dalam usaha menyempurnakan impian menamatkan pengajian EdD ini akan dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu sebelum, semasa dan selepas menamatkan pengajian untuk melancarkan penceritaan dalam pengisahan travelog kembara pencarian ilmu Ed.D. 69

Sebelum saya memulakan langkah pertama, perbincangan dari 'hati ke hati' telah dibuat dengan isteri kerana perjalanan Ed.D yang panjang, sedikit sebanyak akan mengganggu kehidupan berumahtangga. Isteri perlu faham bahawa sepanjang tempoh EdD, kemungkinan pengurusan rumah akan terabai, layanan mungkin berkurangan, dan lain-lain faktor yang mungkin boleh merenggangkan hubungan suami-isteri. Alhamdulillah isteri menyokong penuh hasrat saya, itu sudah memadai. Saya melakukan solat istikharah agar perjalanan Ed.D ini mendapat keredhaan dariNya. Jika ini keputusannya, maka segala ujian dan halangan yang mendatang, saya harus menghadapinya kerana jalan ini yang telah dipilih dengan ilham dari Allah SWT. Allah telah mengatur perjalanan EdD saya bermula dengan perkenalan secara tidak dirancang dengan penyelia. Agak sukar mencari penyelia yang sanggup menyelia pelajar part-time seperti saya. Setelah dicadangkan oleh seorang pensyarah ketika itu, saya memberanikan diri bertemu Professor Gunasekaran a/l Karupanan yang akhirnya bersetuju membimbing Thesis EdD saya. Saya serasi dengan Prof. yang banyak membantu sepanjang pengajian. Elemen keserasian ini amat penting untuk mewujudkan suasana harmoni dan tiada tekanan di antara penyelia dan pelajar. Alhamdulillah, Allah mengurniakan penyelia yang sangat supportive dan banyak membantu ketika saya mengalami jalan buntu di dalam pengajian. Bersabarlah ketika berhadapan dengan borang yang pelbagai, bermacam-macam proses dan prosedur yang perlu diikuti. Jika perkara ini tidak dapat dihadapi dengan sabar, bagaimana mungkin ingin menempuh perjalanan panjang selama 4 tahun untuk pengajian Ed.D. Bagi memudahkan pengajian Ed.D, saya menampal milestone atau kerangka pengajian yang telah ditetapkan di board di hadapan meja belajar. Ia berfungsi sebagai reminder kepada saya sekiranya kemajuan pengajian agak terbelakang dari yang sepatutnya, maka usaha perlu dilipat-gandakan untuk memastikan pencapaian berada di tahap yang sepatutnya. Setiap carian maklumat jurnal yang dirasakan berkaitan dengan kajian, dicopy and paste ke dalam bab yang berkaitan beserta sumber dari mana ia diperolehi. Tidak mengapa jika bukan semua maklumat awal ini digunakan semasa proses penulisan akhir. Dari semasa ke semasa, penyelia ingin melihat draf bab-bab tertentu. Penulisan 70

tesis saya sudah bermula seawal pengajian saya lagi, bukan menunggu sehingga ke saat akhir. Selain itu, ringankan tulang untuk membantu penyelia dan rakan-rakan seperjuangan walaupun di dalam sekecil-kecil perkara . Dari Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup ke’aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke’aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya.” (H.R Muslim) Satu perkara yang sukar untuk dilupakan ialah kehilangan data kajian yang disimpan dalam komputer riba. Ini teramat penting bagi seorang pelajar. Ia boleh mengundang kekecewaan jika data atau penulisan yang selama ini dijaga, ditatang sepenuh hati tiba-tiba hilang. Ketika saya menganalisa data di tahun kedua, laptop saya mengalami hard disk crash! Agaknya terlalu terbeban ketika membuat analisa yang memerlukan data yang dirun berulang-ulang kali. Alhamdulillah, masih ada data yang terselamat setelah dibuat back-up sebelumnya. Antara back-up yang saya gunakan adalah dropbox, external hard disk dan email. Di penghujungnya, terutamanya ketika di peringkat penulisan tesis, ia adalah fasa yang paling mencabar. Ketika ini, tidur saya menjadi tidak menentu. Saya hanya berhenti untuk makan dan solat, selebihnya mengadap laptop. Saya perlu selesaikan tesis sebelum tarikh yang ditetapkan oleh penyelia tamat. Ketika itu, peranan dan sokongan isteri sangat penting. Dialah yang banyak membantu dalam mengendali dan menguruskan semua perkara dan hal-hal rumah tangga. Saya bukanlah bapa yang mampu membantu isteri menyiapkan kerja rumah dan melayan kerenah anak-anak ketika itu. Tiada lagi santai-santai makan di luar, di dalam minda saya hanyalah ingin menghabiskan penulisan dan menghabiskan apa-apa yang dimulakan. Tiba masanya untuk put a full stop to this journey. Oh ya, cari tempat yang sesuai untuk menulis. Lain orang lain caranya. Cara saya agak kontra dengan orang lain, iaitu saya banyak menghabiskan masa menulis di rumah dengan tv dipasang. Otak saya pantas berfikir dengan adanya suara latar walaupun bukan saya yang menonton tv tersebut. Suasana sunyi menjadikan saya cepat mengantuk. Sehingga kini, jika menulis atau buat apa-apa saja, saya perlukan 'suara latar' untuk lebih produktif. Maka, di sini penting untuk mengenalpasti stail diri sendiri. EdD adalah lambang kegigihan, kesungguhan, kesabaran dan ketabahan pelajar yang melaluinya. Ia tidak akan sunyi dari ujian dan cabaran. Mohonlah kekuatan dari Tuan Punya ujian tersebut (Allah) supaya kita cekal untuk mengharunginya dengan menambahkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, sedekah dan beristiqamahlah dengannya. 71

Ada saatnya saya merasakan tidak dapat lagi menumpukan perhatian kepada pengajian atau penulisan (writers block) atau dalam erti kata lain, PENAT! Ketika itulah saya membuat keputusan spontan, menempah mana-mana homestay dan pergi bercuti bersama keluarga. Ia penting untuk merehatkan otak yang dibebani dengan fakta dan data. Berehatlah sebentar dan selepas balik, InshaaAllah, kita akan kembali segar dan bersemangat. Ada yang bertanya, \"Kenapa hendak buat EdD, sedangkan ramai yang tidak habis (tamatkan Ed.D)?\" Ini jawapan saya, \"Kenapa hendak melihat kepada yang tidak habis sedangkan ramai lagi yang berjaya menamatkan EdD mereka\". Lihatlah kepada kejayaan orang lain untuk menjadi motivasi diri. Alhamdulillah...inilah kisah perjalanan EdD saya yang tidak kurang likunya. Semoga coretan kisah ini memberi manfaat kepada yang memerlukannya dan tulisan ini sedikit sebanyak menjadi jariah saya ketika saya sudah tiada lagi di dunia ini. \"Fikirkan hal-hal yang paling hebat, Dan kamu akan menjadi terhebat. Tetapkan akal pada hal tertinggi, Dan kamu akan mencapai yang tertinggi.\" 72

Yuran Ilmu DR. SITI HAZLIFAH BINTI HILALUDDIN Jabatan Ilmu Pendidikan Doktor Pendidikan Ed.D (UNISEL) - Pendidikan Tinggi [email protected] Terlalu lama menghadapi perkara yang sama, terlalu bosan berhadapan pelbagai karenah kerja, tugas rutin yang dirasakan kurang mencabar intelek, superficial kaizen, perbincangan ilmiah lebih berkisar kepada penceritaan tentang peristiwa dan manusia, tiada apresiasi dan ruang untuk diskusi intelek, sudut pandang menjadi semakin sempit,...lalu keputusan diambil, daftar belajar di tempat yang mudah dengan kos perbelanjaan yang berpatutan. Inilah semua perasaan yang sering bermain dimindaku tatkala aku berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi Saya berpandangan, ilmu boleh diperoleh di mana-mana, tidak perlu melalui satu proses yang terlalu formal dan tertakluk kepada suatu jangkamasa. Graduate On Time (GOT) sebenarnya bukan falsafah bagi mereka yang menuntut ilmu tetapi ianya merupakan satu anugerah yang istimewa. GOT mempunyai implikasi ekonomi. Kenapa perlu terikat dengan proses dan masa, tambahan pada umur tua. Saya telah lama lepas zaman persekolahan dan universiti. Apatah lagi saya bukan seorang yang suka conform. Walau bagaimanapun, yuran pendaftaran dibayar dan bermulalah perjalanan saya. Perjalanan pergi balik ke universiti menghabiskan sebahagian masa saya mengurus keluarga. Perbelanjaan perjalanan serta yuran mengambil sebahagian besar wang yang sepatutnya digunakan untuk mengurus anak-anak. Namun yuran pengajian telah dibayar dan masa terus berjalan. Kelas-kelas yang dihadiri saya anggap sebagai refresher courses. Yang menarik hanyalah pensyarah-pensyarahnya. Bersama penyampaian setiap guru itu adalah pengalamannya. Sekian lama mengajar, saya berpeluang duduk semula di meja pelajar dan memerhati dan menilai guru-guru saya, sekaligus menilai diri saya sendiri sebagai guru. Apa yang disampaikan membuka semula minda, bukan tentang isi pelajaran tetapi lebih daripada itu. Salah seorang pensyarah sering menceritakan konflik diri tentang apa yang diyakini dengan apa yang diamalkan. Seorang pensyarah lain menceritakan perjalanan ilmunya yang masih terikat dengan apa yang menjadi kebiasaannya. Seorang lagi menunjukkan cawan kecil yang dibawa di dalam poketnya untuk meminum minyak zaitun, lantas menunjukkan cara minum yang betul. Pensyarah inilah yang menyuruh kami membawa Quran terjemahan ke mana sahaja untuk diteliti maknanya dan membeli buku catatan yang cantik dan mahal supaya kita tidak mudah 73

tertinggalnya di mana-mana. Bukan tidak mengamalkan membaca Quran secara konsisten, bukan tidak ada buku nota tetapi kali ini saya ke kedai buku membeli Quran terjemahan yang mudah dibawa ke mana-mana dan sebuah buku nota yang “mahal”. Saya mula membaca makna bait-bait ayat-ayat Allah dan membuat catatan dalam Quran itu sendiri untuk mudah saya rujuk. Setiap idea yang terlintas dalam fikiran atau yang saya terbaca di mana-mana, saya catatkan dalam buku nota. Setelah beberapa lama, dengan kerja dan tugasan yang semakin banyak, saya mula hilang rentak dan momentum, rasa bosan mula menyelinap sehingga saya dikomen oleh salah seorang pensyarah saya yang dihormati, yang juga koordinator program kami berkata, “Siti, awak ni ...... malas.” Saya ketawa dalam hati sebab guru di sekolah menengah dahulu pernah berkata perkataan yang sama kepada saya. Malas buat tugasan yang sepatutnya tapi alhamdulillah membaca tafsir dan membuat nota saya teruskan. Buku nota kecil juga saya gunakan sepenuhnya; kata-kata hikmat, idea untuk sajak, malahan lirik lagu yang sentap juga saya catatkan. Idea tesis? Belum lagi. Semakin lama masa berjalan buku nota kecil saya semakin padat. Saya mula mencatat koleksi rujukan untuk tesis di sana sini di dalam buku nota kecil tetapi penulisan proposal tesis belum saya mulakan. Kelas-kelas untuk coursework kami telah selesai semuanya, tidak perlu lagi hadiri kelas bersama rakan-rakan. Sepanjang belajar mungkin inilah yang paling menyedihkan kerana kenangan menaiki van, berhenti makan, berkongsi cerita dan menyanyi lagu-lagu lama seperti remaja sekolah kini tinggal kenangan. Kehilangan rakan-rakan...yang pulang ke rahmatullah, yang sakit, yang berhenti belajar juga menambah kesedihan dan menurunkan motivasi. Kerapkali terfikir, “apalah gunanya semua ini di alam akhirat?”. Walau apapun, yuran pendaftaran semester terus dibayar, sekali dengan bayaran denda lewat daftar. Apabila saya membelek Quran terjemahan yang dibaca, saya dapati catatan saya bukan nota tetapi banyak soalan dan tanda tanya. Terlalu banyak yang saya tidak tahu. Kagum. Satu kitab ini sahaja melahirkan tamadun ilmu merentas benua. Jadi, apa signifikannya tesis saya? Namun, arahan Allah yang pertama, “Iqra” diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang tidak pandai membaca. Allah menyambung firmannya, “...Yang mengajar manusia melalui qalam. Dia yang mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya...” Betul, tesis saya tiada signifikannya. Kajian saya umpama habuk debu yang singgah di atas lautan buku, penulisan saya hanya umpama satu koma atau noktah dalam lautan ilmu. Saya bukan pun ilmuwan Islam yang berkumpul di kota Baghdad zaman Khalifah Harun Al- Rashid ataupun ulama yang mengajar ilmu di istana zaman Kesultanan Melayu Melaka. Mungkin saya ini hanya layak diumpamakan sebagai gajah yang mengusung kitab baru ke istana Sultan Mansur Shah. Saya hanya sebahagian rantai halus yang menyambung rantaian tradisi ilmu. Sejarah pendidikan tinggi, sistem universiti dan doctorate, bila diselusuri, akar umbinya adalah dari Ketamadunan Ilmu Islam. Yang penting bukan tesis saya, yang lebih penting adalah respon saya terhadap arahan Allah. Tindakan saya dengan qalam dan semua aktiviti yang berkait dengannya. 74

Saya perlu mula dahulu, pegang pena. Start somewhere, start anywhere but just start! Mula semester baru saya membayar yuran pengajian dengan dendanya sekali. Begitulah proposal tesis saya, penuh persoalan tentang tajuk “Penyoalan” yang belum tentu hujung dan jawapan. Saya mula membaca dan membuat nota koleksi bahan-bahan yang telah saya kumpul. Oleh kerana saya rasa buang masa menterjemah bahan, saya mencabar diri menulis dalam bahasa Inggeris. Bermulalah proses penaipan dan penapaian. Saya menaip, saya “tapai”, saya baca, saya “tapai”, saya taip, saya “tapai” sehingga terhasil proposal. Saya memberanikan diri membentang proposal saya di sebuah simposium sebelum membentang di hadapan panel universiti. Pembentangan saya sama hebat dengan orang lain atau mungkin sama teruk dengan orang lain tetapi saya mendapat maklumbalas yang baik dan berpuashati dengan tajuk saya. Akhirnya setelah beberapa bulan berlalu dengan panggilan telefon kepada pelbagai pihak, turun naik universiti, kehilangan proposal oleh pihak universiti, saya melepasi peringkat pertama. Kini tibalah kepada proses yang paling tidak saya gemari iaitu mengedar dan mengumpul soal selidik, menemubual, membuat pemerhatian dan menganalisis kesemuanya. Di peringkat inilah saya berulang alik ke bank menghadiahkan wang saya kepada universiti dengan membayar yuran. Masalah paling besar bagi saya adalah sikap perfectionist saya. Saya akan menjumpai bahan yang lebih “sedap”, cara melapor yang lebih baik, nasihat yang lebih bagus dan membaiki esei saya berulang kali. Saya juga agak cerewet dengan authenticity. Saya rasa sangat perlu menghormati tradisi ilmu dan tidak suka jalan pintas. Realitinya adalah kerja saya tertunggak dan masa terbuang. Saya cuba mengimbangi sikap saya dengan realiti. Penyelia saya yang begitu sabar akhirnya berkata, “Siti...awak perlu rajin sikit.” Saya tersenyum kerana tahu maksudnya. Saya nekad menghabiskan penulisan tesis saya. Saya merasa sayu melihat suami dan anak-anak yang tidak putus memberi semangat tetapi pada masa yang sama berkorban masa dan ruang untuk saya belajar. Saya menghargai rakan-rakan yang sanggup menghulurkan pertolongan dan tidak jemu memberi dorongan. Saya juga kasihan melihat diri saya sendiri yang sudah berada di penghujung dana membayar yuran. Apabila berazam menyiapkan penulisan, berbagai pula cabaran yang dihadapi. Walau bagaimanapun, anehnya saya melihat cabaran-cabaran ini kecil kerana saya sudah berada di penghujung. Panel di universiti tidak meyakini laporan Turnitin saya mempunyai indeks similarity yang rendah. Saya diminta mengulanginya dengan pihak universiti. Saban hujung minggu saya ke universiti bagi memastikan tesis saya tidak hilang lagi. Tiba hari Viva saya merasa agak tenang. Menurut penyelia saya, Viva saya memakan masa yang agak panjang, apabila beliau membandingkannya dengan viva pelajar lain walaupun saya merasakannya singkat. Komen yang menggelikan hati saya adalah komen bahawa bahasa Inggeris saya “koman”. Dekan dan Ketua Jabatan pula memberi komen sebaliknya. Mereka mengucapkan tahniah kerana menulis di dalam bahasa 75

Inggeris dan kata mereka kajian saya menarik dan ada nilainya. Saya dijatuhkan “hukuman” minor corrections dengan tempoh 3 bulan. Sedihnya, saya diberitahu tidak akan berkonvo pada tahun itu walaupun saya berkemungkinan sempat untuk menyiapkan pembetulan tesis. Saya perlu menunggu konvo tahun hadapan. Saya masih perlu membayar yuran. Inilah perancangan Allah yang sungguh hebat dalam pengajian saya. Walaupun tidak sempat konvo tetapi saya sangat-sangat bersyukur kerana telah berjaya mengharungi segala cabaran dan dugaan selama bergelar pelajar di peringkat ini. Oleh kerana mempunyai masa hampir setahun lagi, saya mengambil masa untuk membuat pembetulan. Saya hilang mood. Macam pengantin yang terpaksa tangguh cuti untuk berbulan madu. Namun demikian saya belajar istiqomah meneruskan apa yang sepatutnya telah lama diselesaikan. Setelah menyiapkan pembetulan dan segala borang-borang yang diperlukan, saya pun mendapat panggilan daripada pihak universiti bahawa saya tidak perlu lagi membayar yuran! Akhirnya saya berkonvo! Alhamdulilah konvo menjadi realiti bagi saya dan saya merasakan cukup terharu atas pengorbanan keluarga dan anak-anak yang tidak pernah jemu memberi semangat dan dorongan untuk saya sampai ke tahap ini. Pengorbanan ini akan terpahat diingatan saya sehingga ke nafas terakhir. Perjalanan inilah ynag menjadi saya seorang yang kuat, cekal dan tabah dalam menghadapi situasi pekerjaan pada hari ini. Semoga sedikit pengorbanan ini aku memberi semangat kepada anak-anak saya yang masih di bangku sekolah agar mereka terus belajar sehingga ke akhir hayat mereka. Cerita perjalanan saya bukanlah sesuatu yang menarik. Cerita ini bukanlah cerita perjalanan ilmu. Ia lebih merupakan perjalanan seorang hamba supaya menjadi lebih hamba. Penyelia, kritikan atau yuran, semuanya hanya extraneous variables. Namun, saya akur dengan qadar dan makhluk Allah yang bernama masa. Seiring dengan konvo saya juga “khatam” meneliti maksud ayat-ayat di dalam Quran. Betapa besarnya ilmu Allah, semakin dicari semakin diri ini merasai tidak punya apa-apa. My journey was not a journey of knowledge but more a journey of wisdom. Thank you Allah. My journey to You is not without pain, My journey to You and what I hope to gain, Is a flight to heights unimagined and perpetual, Where desires are fulfilled and dreams are eternal... \"Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yg hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan.\" 76

Empat Rasa Ceritera PhD ku DR. MUHAMMAD IRFAN NYIA BIN ABDULLAH Jabatan Pengajian Melayu Doktor Falsafah PhD (USM) - Sastera Melayu Moden [email protected] Mukadimah Hati siapa yang tidak girang apabila menerima khabar gembira diterima untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah bawah Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Biasiswa Belajar Sepenuh Masa. Terubat kekecewaan hati sebelum ini ketika menerima surat Kementerian Pendidikan Malaysia yang tidak meluluskan pelepasan untuk menjawat jawatan pensyarah di Fakulti Bahasa, Universiti Sultan Zainal Abidin. Ceritera Satu Memijakkan kaki ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang membuka lembaran diari PhD ku yang pelbagai rasa. Penentuan penyelia yang ditentukan oleh pihak USM iaitu Dr. Sakinah binti Abu Bakar terpaksa saya terima dengan hati terbuka kerana hanya beliau satu-satunya pensyarah bidang puisi yang terdapat di USM. Maka bermulalah diskusi dan perancangan tesis antara saya dan penyelia. bermula dengan tajuk “Teknik Penceritaan dalam Al-Quran”, “Mentera Laut di Pesisir Laut Terengganu” akhirnya kajian tesis bertukar kepada “Budaya dalam Puisi-puisi Muhammad Haji Salleh”. Beberapa kali penyediaan proposal bertukar ganti atas pandangan dan alasan ilmiah. Meskipun terasa sedikit kecewa namun segala liku dugaan saya tempuhi dengan tabah. Alhamdulilah, disebalik kesukaran pasti ada hikmahnya. segala perancangan PhD ku berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan. Banyak masa terpaksa dihabiskan untuk menjelajah dari satu universiti ke universiti lain di Malaysia untuk mengkaji tesis-tesis kajian lepas dan jurnal-jurnal untuk penulisan proposal. Alhamdulilah, segala urusan anak-anak dibantu oleh isteri tercinta. Segalanya berjalan lancar sehingga genap setahun pengajian PhD ku. “Abang, saya telah mendapat surat tawaran PhD di Jordan.” Isteriku bersuara sejurus pulang dari kerja. Bagaikan halilintar mengemparkan suasana. 77

“Tidak boleh ke sambung PhD selepas abang tamatkan PhD abang?” Aku bersuara. “Tajaan biasiswa ada had umurnya. kalau tak sambung PhD tahun ini, tahun depan dah tak layak.” Isteriku memberikan penjelasan. Segala pemasalahan ada jalan penyelesaiannya. Selepas perbincangan, akhirnya saya mengizinkan isteriku untuk menyambung PhDnya di Universiti Yarmouk, Jordan dalam jurusan Bahasa Arab. Maka bermulalah satu ceritera baharu dalam hidup ku. Isteriku membawa anak bongsu yang berusia hampir dua tahun bersamanya ke jordan. Manakala aku meneruskan pengajian di Malaysia sambil menjaga dua orang anak yang masih belajar di sekolah rendah. Meskipun terasa semakin berat beban yang digalas, namun kehidupan perlu diteruskan. Allah menguji kepada mereka yang 16 Empat Rasa Ceritera PhDPhDku berkemampuan. Ya, pengajian PhD ku perlu diteruskan ! Ceritera Dua Setelah sekian lama berjuang, berkorban waktu dan tenaga untuk menyiapkan tesis, dapatlah disimpulkan bahawa dunia PhD yang dilalui menerusi tiga perkataan iaitu `Buku, Laptop dan Penyelia`. Demikianlah dunia seorang penuntut PhD. Rutin harian mereka tidak dapat terlepas daripada membaca bahan-bahan berkaitan kajian, mencari bahan di laman sesawang dan menaip tesis serta bertemu penyelia untuk perbincangan serta proses penambahbaikan. Tidak kira pergi ke mana sahaja, buku dan laptop sentiasa dibawa. Jika ada ruang waktu yang terluang, pasti buku yang dibawa akan dibaca. Dunia PhD memerlukan kita membaca dan terus membaca. Hanya melalui kerajinan membaca, segala hasil penulisan sama ada ilmu di media cetak atau di media elektronik dapat diperoleh. Ketika orang lain sudah lena beradu dan bermimpi indah, pelajar PhD masih bersengkang mata untuk membaca dan menyiapkan tesis. Sesungguhnya, dunia PhD memerlukan insan yang rajin membaca dan mengolah segala ilmu yang diperoleh dalam satu bentuk penemuan baharu menerusi kajiannya. Apabila sudah siap bab tesis yang dihasilkan, penyelia merupakan orang terakhir yang perlu dihadapi. Jika segala kerja buat kita diterima sepenuhnya oleh penyelia, terasa perit getir dan penat lelah yang ditanggung selama ini berbaloi. Umpama dunia ini penuh keindahan dan kebahagiaan. Namun sebaliknya, jika bab tesis yang dihantar ditolak atau perlu dirombak semula, terasa perih getir menyiapkan bab tesis selama ini masih belum berakhir. Diri masih perlu berusaha untuk mengharungi segala cabaran PhD. Demikianlah kitaran dunia PhD, tidak semudah menyebut perkataan “Buku, Laptop dan Penyelia”. 78

Ceritera Tiga Dunia akademik turut menghadirkan kelopak-kelopak indah yang sentiasa mewangi dalam diri ku. Aku berpeluang untuk menghadiri pelbagai seminar, bengkel dan diskusi dalam bidang Sastera dan Bahasa Melayu. Malah berpeluang bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan para Sasterawan Negara dan para tokoh akademik. Berpeluang menemu ramah Sasterawan Negara iaitu Prof Emeritius Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Siti Zainon Ismail untuk menyiapkan kajian tesis merupakan saat-saat indah yang tiada ternilai. Selain dapat berkongsi pandangan serta khazanah ilmu mereka, aku turut teruja dengan peribadi mereka yang tidak pernah bermegah diri meskipun bergelar sasterawan negara. Selain itu, galakan daripada penyelia untuk diriku membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar turut mewarnai diriku tentang dunia penyelidikan dan kajian ilmiah. Sepanjang pengajian di USM, 10 pembentangan kertas kerja telah aku bentangkan dalam seminar dan kolokium di peringkat kebangsaan dan dunia. Manakala artikel ku turut terpilih untuk dimuatkan dalam Jurnal berwasit. Dalam proses menyiapkan tesis PhD, kestabilan emosi dan suasana persekitaran merupakan elemen penting yang menjadi penentu kepada kelajuan penulisan tesis. Manusia yang tenang emosinya dan selesa dengan persekitaran dapat memberi penumpuan yang sepenuhnya kepada penghasilan tesis. Manakala, ketika manusia menghadapi gangguan emosi dan suasana, semangat untuk menulis tesis akan terjejas. Sepanjang menyiapkan tesis PhD, aku turut tidak dapat terlepas daripada gangguan emosi dan suasana. Jika nasib kurang baik, kadang-kadang laptop yang dipasang tidak bertaip apa-apa. Bak kata orang... ilham tidak datang atau otak tak boleh berfungsi buat seketika.” Namun begitu, aku sentiasa memaksa diri untuk menulis dan terus menulis supaya setiap hari ada hasil baharu yang dapat dihasilkan. Tanpa menulis, tesis tidak ke mana. Oleh itu, aku mencipta slogan diri dan sentiasa berpegang kepada slogan tersebut iaitu “sehari menaip sekurang-kurangnya satu muka surat.” Paling-paling kurang sebulan terdapat 30 muka surat yang terhasil. Bak kata pepatah ‘Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.” Ceritera Empat Setelah hampir empat tahun bertungkus lumus menyiapkan tesis PhD, akhirnya tesis yang dihasilkan dipersetujui oleh penyelia untuk dihantar ke Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM untuk menunggu tarikh viva atau pembentangan tesis. Setelah tiga bulan menunggu, akhirnya tarikh pembentangan tesis telah tiba. Hati siapa yang tidak berdebar, jiwa siapa yang tidak bergelora... segala usaha dan perjuangan selama hampir empat tahun akan diadili pada saat tersebut. Sudah tentulah di saat ini, selain daripada persiapan diri untuk pembentangan tesis, pasti doa dan permintaan terakhir hanya kepada Allah SWT semoga segala-galanya dipermudahkan-Nya. Tidak lupa Solat Taubat, Solat Hajat dan selawat ke atas 79

junjungan Nabi Muhammad menjadi bekalan diri supaya dipermudahkan segalanya nanti. Ketika ini, pelbagai pesanan rakan yang sudah bergelar Dr. silih bertandang: “Ingat ya, di medan viva bukan tempat untuk bertekan leher dengan panel viva tetapi merupakan medan untuk membuktikan diri sebagai seorang ahli akademik. Ahli akademik perlu berhujah secara logik dan hujah yang bernas. Semua orang memiliki kekuatan dan kelemahan, Jika ada kesilapan, akui dan perbaiki. Itulah tujuan viva untuk mengiktiraf sama ada kita layak bergelar ahli akademik atau sebaliknya.” “Jangan lupa sebelum viva, ambil wuduk, solat taubat dan solat hajat kepada Allah SWT. Kepadanya kita serahkan diri kita. Kita telah buat yang terbaik, maka kita serahkan segalanya kepada-Nya. Segala keputusannya nanti , terima secara redha. segala keputusan Allah pasti ada hikmah di sebaliknya.” “Jangan lupa sebelum viva, ambil wuduk. Bentang tesis dalam keadaan berwuduk.” Setelah semua ahli panel viva telah bersedia, seorang pegawai yang bertugas telah menjemput aku untuk memasuki bilik viva. Setelah mengambil tempat di sebelah penyeliaku, aku diperkenalkan oleh pengerusi kepada tiga orang ahli panel yang dilantik oleh pihak USM. Selepas itu, bermulalah pembentangan ku di hadapan ahli panel. Alhamdulilah, aku dapat membentangkan tesis ku dengan tenang. Segala pertanyaan ahli panel viva juga dapat aku jawab dengan lancar. Setelah tiga pusingan pertanyaan oleh semua panel viva, akhirnya semua ahli panel tiada soalan lagi. Pengerusi viva meminta aku untuk keluar dari bilik kerana ahli panel ingat berbincang. Aku melangkah meninggalkan bilik viva. Jam di tangan aku lihat. Viva aku hanya berlangsung dalam tempoh 45 minit. Perasaan aku mula bercampur baur. Perasaan gelisah mula bertandang. “Aku lulus ke gagal ni ?”. Sebelum ini aku pernah menghadiri beberapa sesi viva rakan-rakan PhD lain dan semuanya berakhir dalam tempoh dua hingga tiga jam. Aku sudah mulai gelisah; duduk pun tak kena, berdiri pun tak kena. “Ya Allah, Kau lindungilah aku. Kurniakanlah kejayaan kepada PhD ku.” 10 minit kemudian, pegawai yang bertugas datang memintaku masuk semula ke bilik viva. Perasaan berdebar semakin kencang. Namun aku cuma tenangkan diri. Selepas duduk di kerusi yang disediakan, aku mula tumpukan perhatian ku kepada pengerusi majlis viva. “Ahli panel telah berbincang sebentar tadi selepas mendengar pembentangan tesis bertajuk -Budaya dalam Puisi-puisi Muhammad Haji Salleh”. Maka dengan ini, saya ingin..” suara pengerusi viva terhenti sebentar. “Ya Allah.. “ perasaan aku semakin berdebar. Degup jantung sudah semakin laju... apakah keputusannya nanti. “Maka dengan ini, saya ingin mengucapakan tahniah kepada Dr Muhammad Irfan Nyia bin Abdullah. Tesis ini diluluskan dengan pindaan kecil dan tempoh untuk pembetulan 80

tesis adalah selama tiga bulan. Tahniah Dr Irfan !” Pengerusi viva menghabiskan kata-katanya. “Ya Allah. Alhamdulilah dan terima kasih Ya Allah. Kurniaan –Mu cukup bermakna buat diri ku.” Hanya itu yang mampu aku ungkapkan di benakku. Penutup Dunia PhD memang menjadi impian semua orang. Namun ramai yang rebah dan tersungkur di pertengahan jalan.kerana tidak mampu mengharungi segala cabaran. Semua pelajar PhD tidak terlepas daripada onak duri dunia PhD. Apa yang penting ialah tekadkan hati, bulatkan semangat, tempuh segala perjalanan PhD dengan penuh kesabaran. Insya Allah...Kejayaan bakal milikmu. Segala penat lelahmu akan dibalas dengan kegembiraan yang tiada terungkap. “Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yang belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini\" 81

Retorik Perjuanganku DR. MOHD FADZIL BIN BAHARUDDIN Jabatan Pengajian Melayu Doktor Falsafah PhD (UM) - Kesusasteraan Melayu [email protected] Keinginan untuk belajar ke peringkat Ijazah Kedoktoran telah wujud sejak di zaman persekolahan lagi. Oleh sebab aku tidak fokus semasa di peringkat SPM aku gagal mendapat tempat untuk kursus perubatan di universiti awam. Cita-cita sebenar aku sejak kecil lagi adalah untuk menjadi seorang doktor perubatan. Di sekolah menengah aku amat berminat belajar subjek kimia dan biologi segala ujikaji aku lakukan dengan bersungguh-sungguh. Mungkin rezeki aku bukan dalam bidang sains tetapi aku tidak berputus harap terus belajar sehingga ke peringkat PhD untuk mendapat gelaran doktor biar pun sebagai Doktor Falsafah. Aku merupakan graduan pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM). Aku diterima masuk ke Universiti Malaya pada tahun 1998. Masa itu aku sambung pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengajian Melayu selepas tamat belajar di Institut Pendidikan Guru (IPG). Aku masih ingat lagi masa awal-awal hendak mendaftar diri di UM. Aku amat berminat pengajian perubatan tetapi ditakdirkan Allah aku mendapat pilihan kedua di Akademi Pengajian Melayu UM. Kandungan pembelajaran lebih fokus kepada bidang bahasa Melayu. Rasa minat timbul apa bila aku mula cuba mengkaji novel-novel agung daripada penulis terkenal seperti A. Samad Said, Dato’ Shahnon Ahmad dan Usman Awang. Idea yang disampaikan oleh mereka begitu mantap dan hebat sehingga dapat menarik minat puluhan ribu pembaca untuk membaca karya mereka. Tiga tahun enam bulan aku ambil masa untuk melengkapkan pengajian Ijazah Sarjana Muda. Alhamdulillah aku lulus cemerlang berkat daripada doa kedua ibu bapa tersayang, adik-beradik dan rakan-rakan. Selepas tamat belajar di peringkat ijazah pertama aku mula melibatkan diri dalam dunia penulisan kritikan. Aku banyak menganalisis karya-karya agung dan akhirnya menjadi kegemaranku. Penulis puisi Melayu yang hebat seperti J. M. Aziz merupakan seorang tokoh Sasterawan Terengganu yang amat aku sanjung. Perjuangannya dalam dunia penulisan puisi tidak pernah pudar dalam dirinya sehingga ke akhir hayat. Melalui sedikit pengalaman semasa penghujung semester akhir kursus sarjana aku mula rapat dengan pensyarah berkaitan dengan bidang kritikan sastera bagi mendapat laluan ke peringkat PhD. Alhamdulilah, selepas mendapat keputusan cemerlang di peringkat sarjana aku terus layak untuk sambung ke peringkat PhD juga di UM. Aku mula membuat rangka proposal dengan tekun tanpa mengira masa. Perasaan suka duka aku lalui sepanjang bergelar graduan PhD. Aku juga dapat membentang proposal dengan 82

cepat dalam semester pertama berkaitan penerapan teori Psikoanalisis Sigmund Freud dalam puisi-puisi Dharmawijaya dari aspek rasa cinta dan kehormatan. Kajian pertama di Malaysia ini melibatkan kritikan puisi menggunakan teori psikoanalisis Freud. Aku amat bersyukur mendapat seorang penyelia yang amat prihatin dan sangat baik. Lama-kelamaan, perjalanan aku menjadi semakin mencabar dan berliku. Hampir setahun setengah aku hanya mampu berulang-alik dan membuat pembetulan. Pembetulan demi pembetulan dan nampaknya pembetulan yang sama diulang-ulang. Sepanjang proses pembelajaran PhD ini 17 Retorik Perjuanganku memang terasa betul kesusahan dan kesukaran mencari data, kesukaran untuk menulis dan kesukaran memahami selok belok penyelidikan, bak kata orang “umur baru setahun jagung”, masih belum cukup pengalaman lagi harus menimba banyak pengalaman bagi melakukan kajian. Namun Alhamdulillah, walau pun banyak kali ditimpa masalah tetapi aku tekadkan semangat dan redah. Memang banyak berjujuran air mata sepanjang proses pembelajaran termasuk pemergian ayahanda tersayang tetapi ramai yang menyokong dan memberi semangat untuk aku terus belajar dengan tekun terutama ibu tersayang. Graduan PhD sememangnya banyak yang perlu dilakukan tetapi aku beranggapan bahawa itu semua adalah cabaran yang perlu aku tempuhi. Segala komen yang aku terima daripada penyelia aku gunakan sebagai pedoman untuk terus menulis. Banyak bengkel-bengkel dihadiri dan buku dibaca bagi menghasilkan satu penulisan kajian yang mantap dari segi metodologinya. Setiap kali bertemu penyelia pasti aku pulang berbekalkan pembetulan baru. Surah indah daripada kitab suci Allah menjadi perangsang perjuangan hidupku. Kawasan persinggahan R&R di Lebuhraya Pantai Timur menjadi tempat makan, mandi dan tidur setiap kali bertolak awal pagi sebelum subuh dari Kuala Terengganu ke Universiti Malaya. Aku cuba memohon biasiswa pendidikan daripada Bahagian Tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebanyak dua kali, namum gagal walaupun mendapat sokongan daripada pengarah ijazah tinggi Universiti Malaya. Aku beranikan diri ke Bahagian Tajaan (KPM) untuk mendapat penjelasan terhadap permohonan yang aku lakukan. Pegawai di bahagian berkenan menjelaskan bahawa keutamaan diberi kepada golongan pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi meningkatkan sistem pendidikan di sana terlebih dahulu. Pegawai berkenan juga mencadangkan agar aku bertukar ke IPG berhampiran untuk memastikan permohonan biasiswa yang aku pohon lulus. Perasaan tekad dalam diri untuk berjaya semakin mendalam. Aku memberanikan diri untuk berhijrah ke Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail. Berkat semangat dan kata-kata dorongan arwah Dato Razali sebelum ini, arwah selalu mengulangkan ayat “kita sebagai cikgu perlu menyelesaikan masalah dan bukan lari daripada masalah. Kekusutan hati ini walau disorok kemas pasti dapat dirasai”. Bermula saat itulah hubungan aku dengan arwah Dato’ Razali amat rapat sehingga ke akhir hayatnya aku sempat mengucup dahinya buat kali terakhir, segala lelah aku luahkan kepadanya. Aku dapat bersemuka dan memohon restu segala ilmu yang dicurahkan dari hati-ke-hati. Aku sentiasa berdoa agar dilimpahi dengan kesihatan dan kemudahan dalam apa juga rintangan dan dibukakan pintu ilmu. 83

Tanpa diduga enam bulan selepas itu dengan izin Allah dan keberkatan dariaNya aku ditawarkan biasiswa pengajian sepenuh masa bergaji penuh. Ya Allah aku amat bersyukur kerana di anugerahkan kemudahan yang amat berharga ini. Tanggal 8 April 2017 amat terkesan dalam sejarah hidupku. Pembentangan di peringkat terakhir pengajian PhD aku iaitu viva-voice. Gementarnya hanya Tuhan saja yang tahu. Aku diberi masa tiga minggu untuk bersedia sebelum, tarikh berkenaan. Fikiran aku pada ketika itu berfokus kepada viva-voce. Waktu di rumah yang terluang dan setiap malam sehingga pukul dua pagi diisi dengan penambahbaikan isi kandungan tesis. Setiap hari selepas selesai kerja aku hanya mampu sujud dan berdoa agar segala yang aku lakukan dilimpahi dengan keberkatan daripada Yang Maha Esa. Aku terpaksa menatap ratusan helaian tesis untuk dikemaskini, nak buat sekaligus aku tak mampu. Lantaran masalah bebanan tugas di tempat kerja dan menghadapi pelajar yang pelbagai karenah. Betapa berkecamuknya fikiran aku sehinggakan peristiwa lepas pun boleh diulang tayang di benak sehingga menyentuh hati mengenang amanat terakhir ayahanda tersayang. Aku melalui segalanya dengan tabah berbekalkan ilmu yang ada di dada. Viva voce mengambil masa antara satu hingga tiga jam bergantung kepada panel pemeriksa. Dalam pembentangan itu aku perlu memberi hujahan yang jelas dan mantap bagi menyakinkan panel pemeriksa berkaitan penyelidikan yang telah dijalankan. Pemahaman yang mendalam perlu aku gambarkan bagi memperlihatkan kebertanggungjawaban diri dalam menjalankan kerja dan mutu kajian yang baik. Hujahan yang mantap berdasarkan persoalan yang diberi oleh pemeriksa telah dijelaskan oleh aku dengan susunan kata-kata terbaik pada firasat diri. Sesudah pembentangan itu, aku betul-betul letakkan segala keyakinan aku kepada Allah SWT. Semoga Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tautkan hati-hati panel pemeriksa. Ayahanda tersayang telah tiada, untuk aku hadiahkan kejayaan ini. Aku niatkan pahala ini jariah berpanjangan untuknya. Namun segala tidak cukup jika tanpa tindakan, persediaan dan kesediaan. Percayalah, jauh di sudut hati mana-mana ibu bapa pasti ingin melihat anak mereka berjaya dan tamat sehingga peringkat tertinggi. Pada masa yang sama iman, akhlak dan ketakwaan menjadi tonggak sebuah kejayaan. Mungkin inilah saatnya peluang terakhir aku menggembirakan mereka dengan kejayaan dan hadiah yang tidak seberapa ini dalam memenuhi impian dan harapan mereka. Entah aku dahulu atau ibu yang akan mengadap Iiahi terlebih dahulu. Ya ALLAH, panjangkanlah usia ibu dalam kesejahteraan yang berpanjangan. 84

Perasaan terima kasih yang tidak terhingga ingin aku titipkan buat ibu tersayang, pensyarah penyelia dan sahabat-sahabat walau pun keputusan belum diterima. Tanpa semua insan ini aku percaya aku pasti tak akan merasai keyakinan diri yang hebat seperti saat ini. Hampir satu jam aku menunggu keputusan di luar dewan pembentang akhirnya nama aku dipanggil. Perasaan berdebar semakin memuncak, satu lafaz yang benar-benar membuatkan hati ini sayu. Air mata segan mengalir ke pipi mensyukuri nikmat Allah yang amat agong. ‘En. Fadzil tahniah anda telah berjaya!’ Subhanallah Alhamdulillah. Aku terus menadah kedua belah tapak tangan ke langit tanda syukur aku ke hadrat Ilahi yang tidak terhingga. Aku benar-benar merasai nilai kasih sayang-Nya kepada hamba yang kerdil ini. Segala cabaran dan dugaan yang aku lalui yang membuat diri menderita kerana terlupa akan keagungan Allah Taala dan kekuasaanNya. Aku telah mencapai segala yang aku hajatkan selama ini sepanjang menjalani kehidupan sebagai graduan PhD yang penuh dengan onak duri dan pahit getir. Akhirnya Allah telah membalas dengan kenikmatan dalam sekelip mata atas kehendakNya. Selesai sesi viva, sebelum menjamah sarapan aku terus bergegas bertemu penyelia atau guru hebat aku, dari jauh aku sudah dihadiahi dengan senyuman dan berkata ‘Dah tak berdebar lagi kan, Tahniah kerana berjaya’ kata penyeliaku Prof. Madya Dr. Tengku Intan Marlina. Ketika itu, aku berasa amat bersyukur kepada Allah. Tanpa sedar, ucapan terima kasih aku lafazkan berulang-ulang kepada penyelia ku. Beliau hanya tersenyum dan berpesan jangan sia-siakan ilmu yang ada dan terus menulis kritikan. Aku hanya mampu mengangguk-angguk kepala kerana amat gembira pada ketika itu. Kajian yang aku lakukan semata-mata untuk perkembangan ilmu Allah pencipta sekalian alam dan kepadaNya aku berserah dan bersyukur bukan hanya kerana pencapaian, bukan juga kerana status tetapi kekuasaanNya. Perjalanan yang aku tempuhi dalam mencari ilmu digunakan sepanjang kehidupan dan membantu insan lain agar bersama-sama menjadi sebaik-baik hamba yang sentiasa dahagakan ilmu Allah. PhD itu satu perjalanan mencari ilmu. Ilmu dalam menyiapkan satu kajian dalam bentuk tesis untuk dimanfaatkan, serta ilmu dalam mempersiapkan diri menjadi sebaik-baik hamba. 85

Kepada semua rakan yang berkeinginan untuk sambung belajar ke peringkat PhD atau yang masih berusaha menyelesaikan pengajian anda, dengan rendah hati aku mendoakan kejayaan kalian. \"Kekecewaan mengajar kita erti kehidupan. Teruskan perjuangan kita walaupun terpaksa menghadapi rintangan demi rintangan dalam hidup\" 86

Bukan Repertoir Euforia DR. ZUL AIZAM BIN YASSIN Jabatan Pendidikan Jasmani Doktor Falsafah PhD (UKM) - Pengurusan Sukan [email protected] Hakikat perjalanan PhD memang banyak ranjau dan durinya. Jujurnya ia bukanlah satu perjalanan yang indah dan menggembirakan. Mengimbau kata-kata orang di sekelilingku tentang seronoknya apabila bergelar seorang ‘Dr.’ Tentu seronok dapat naik pangkat dan bergaji besar. Aku hanya tersenyum sambil cuba menelan kata-kata tersebut. Terasa begitu keras dan pahit untuk melalui batang kerongkongku. Namun itulah yang sering diucapkan kepada ku oleh masyarakat sekeliling yang agak kabur tentang makna PhD. Ya, benar. Permulaan langkahku dalam menelusuri bidang ilmu di peringkat ini sememangnya mengharapkan agar ianya seindah apa yang digambarkan oleh mereka. Namun untuk melangkah di setiap peringkat memerlukan semangat yang kuat dan kerja yang berlipat ganda. Ianya bukan merupakan jalan cerita yang penuh dengan kegembiraan. Apa yang boleh aku katakan kepada mereka bahawa aku hanya mencari sedikit ilmu dari selautan milikNya. Apa yang dapat mungkin cuma di hujung jari sahaja. Amat kecil dan tidak signifikan dengan apa yang diimpikan. Temuduga Hadiah latihan Persekutuan (HLP). Jun 2010 aku mendapat perkhabaran bahawa semakan temuduga bagi pemohon Hadiah Latihan Persekutuan bagi Program Kedoktoran telah dibuka. Dengan penuh debaran aku melayari laman sesawang KPM bagi membuat semakan. Nafas ku hela dengan sedalam-dalamnya untuk mententeramkan diri. Dengan jari yang agak terketar aku menekan-nekan papan kekunci sehingga sampai ke ruangan yang memerlukan maklumat nombor kad pengenalan dan kata kunci. Terus sahaja aku memasukkan maklumat yang dikehendaki dan… akhirnya terpampang namaku sebagai calon temuduga HLP bersama-sama 450 orang yang lain. Aku mula terasa gugup dan tidak yakin untuk bersaing dengan jumlah calon yang begitu ramai. Jun 2010, aku bertekad untuk mencuba nasib menghadiri temuduga HLP seperti yang telah ditetapkan oleh KPM di Bahagian Tajaan, Cyberjaya. Tempat ini agak asing bagiku kerana selama ini tidak pernah berurusan apa-apa di Cyberjaya. Maklumlah hanya guru sekolah biasa yang tidak pernah terlibat dengan peringkat atasan. Enjin kereta kuhidupkan di tengah malam untuk bergerak ke Cyberjaya. Dalam hati aku berharap perjalanan yang lancar dan selamat. Beberapa jam memandu hampir pukul 4 pagi aku sampai di Cyberjaya. Agak asing dan janggal mencari Bahagian Tajaan di Bangunan Mustafa Kamal, Cyberjaya. Berpusing-pusing mencari nama jalan sambil mata silau dengan limpahan lampu neon bandar raya. 87

Beberapa pusingan di Cyberjaya mencari tempat temuduga membuatkan aku mula terasa pening. Peluh mula terbit di dahi. Mata terasa berpinar-pinar ditambah pula perut memulas-mulas dan tekak mula terasa pahit dan mual. Akhirnya aku tersadai di stesen minyak Petronas sambil memuntahkan isi perut yang seolah-olah tidak rela untuk bertahan lama. Mata kupejam dan terasa dunia berputar-putar. Sah.. aku seperti orang mabuk apabila disilau cahaya lampu neon. Surau Petronas menjadi tempat ‘landing‘ bagi menghilangkan pening. “Ah.. sudah.. awal pagi nak interview..!!”. Sejam kemudian azan subuh berkumandang. Kepala masih pening, namun aku gagahkan untuk bangun. Bangun untuk solat subuh dan mandi di tandas Petronas. Terus sahaja mengenakan kemeja dan bertali leher. Rasa pening masih tidak hilang. Beberapa kali terasa mual. Enjin kereta kuhidupkan dan terus bergerak ke tempat temuduga. Setelah sampai dan mendaftar aku diarahkan menunggu di aras dua. Tu dia.. ramainya bakal calon HLP PhD sedang sibuk berbincang dan bercerita kehebatan masing-masing. “Ah.. sudah, kalau macam ni memang balik awal lah aku gamaknya”.. Hati mula rasa goyah dan tidak yakin apabila melihat calon-calon lain yang petah berbual, mengelek fail dan hasil penulisan mereka. Aku terpaku di tempat duduk ditambah dengan rasa pening dan mual. Mata mula terasa mengantuk yang amat sangat sehingga akhirnya tertidur dalam keadaan duduk. Tak peduli kepada calon yang lain sedang berbincang tentang hal temuduga. Hening sebentar, tiba-tiba aku tersentak daripada lena dan segala rasa mual dan pening hilang serta merta. Bangun bergerak ke bilik air untuk membasuh muka dan bersedia untuk ditemuduga kerana giliranku selepas ini. Alhamdulillah.. semua pertanyaan daripada penemuduga dapat kujawab dengan baik. Malah mereka amat teruja apabila aku bercerita tentang perkembangan sukan tanah air. “Rupa-rupanya diorang ni kaki bola”, bisik hatiku.. Selesai temuduga terus aku bergerak pulang. Tiada apa-apa keperluan untuk berada di kota raya ini lebih lama. Rasa rindu kepada anak isteri lebih memuncak. Terus sahaja kereta kupecut laju menuju lebuh raya. Selang berapa lama, perut mula berdendang meminta diisi. Terus sahaja singgah di kedai tepi jalan. Roti canai dan teh tarik menghilangkan tuntutan nafsu. Selesai makan kereta kupecut masuk ke Plaza Tol Gombak. Memandu di lebuh raya agak membosankan dan mata mula terasa berat. Menguap menahan mengantuk usah cerita lah. Kesan akibat tak tidur semalaman. Akhirnya aku berhenti di hentian R&R di kawasan Gombak untuk tidur sebentar. Seksanya untuk sampai ke Terengganu hanya tuhan yang tahu. Beberapa kali berhenti tidur sejam dua di hentian sepanjang lebuh raya pantai timur. Akhirnya hampir jam12 malam baru aku sampai di rumah. Fuhh.. 24 jam bergerak rupanya sejak bertolak dari rumah semalam. Sampai di rumah tanpa banyak soal terus lena sampai pagi… Penerimaan Melanjutkan Pengajian Pada Mei 2011 aku mendapat surat daripada Bahagian Tajaan KPM yang membawa 88

berita gembira tentang penerimaan untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa dengan biasiswa. Tidak dapat digambarkan tentang perasaan yang terbit dari dalam hati dengan rasa penuh kesyukuran. Tambahan pula amat tidak disangka memandangkan aku perlu bersaing dengan pensyarah IPG yang mempunyai kuota HLP yang lebih besar berbanding diriku yang hanya guru biasa di sekolah harian. Terpaksa bersaing dengan baki tempat yang disediakan dengan jabatan dan unit lain di KPM. Alhamdulillah kali pertama ditemuduga dan terus berjaya mendapat HLP dalam bidang Pengurusan Sukan. Sedih bercampur gembira. Sedih kerana bakal meninggalkan sekolah dan anak-anak murid. Gembira kerana aku merupakan orang pertama di sekolah yang berjaya mendapat HLP di peringkat kedoktoran. Di daerah Marang dan Terengganu pun rasanya aku seorang sahaja yang merupakan guru sekolah. Pensyarah IPG lainlah. Mereka ada kuota istimewa. Cikgu sekolah sukar mendapat peluang kerana terpaksa bersaing dengan unit-unit lain dalam KPM. Terasa diri ini amat hebat kerana mewakili guru sekolah di Terengganu khususnya bagi program Pengurusan Sukan. Ucapan tahniah daripada rakan-rakan sekerja di SMK Seberang Marang dan Pejabat Pelajaran Daerah Marang amat aku hargai dan kujadikan penguat semangat untuk menghabiskan pengajian dan bergelar seorang Dr… Kursus Persediaan HLP Julai 2011 semua calon pengajian dikehendaki mengikuti kursus persediaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur. Di sini aku berkenalan dengan Rosdi dari Pahang yang menjadi rakan sebilik semasa kursus. Kebetulan dia juga merupakan cikgu biasa di sekolah dan juga mengikuti pengajian dalam bidang psikologi sukan. Kiranya kami berdua berada dalam bidang yang sama. Semasa kursus kami diterangkan dengan semua prosedur pengajian dan diberi nasihat untuk menghabiskan pengajian sebaik mungkin ataupun bersedia untuk menghadapi tindakan gantirugi daripada pihak kementerian. Terdapat juga perkongsian pengalaman dan tips untuk menghabiskan pengajian dengan sistematik oleh para penceramah. Semasa berkursus hanya sedikit yang dapat aku hadamkan kerana berasa agak asing dengan suasana baru yang terlalu akademik dan penuh dengan prosedur ‘do and don’t’.. Pengajian di UKM September 2011, aku mendaftar di UKM sebagai pelajar sepenuh masa peringkat kedoktoran dalam bidang Pengurusan Sukan. Penyelia tesis PhD ku adalah Prof Madya Dr. Norlena bt Salamuddin. Hmm.. dah biasa dengan beliau. Tahu rentak dan apa yang beliau minat. Manakan tidak.. sejak dari ijazah pertama hingga kedua aku belajar d UKM di Fakulti Pendidikan dan dalam program pengajian yang sama. Dr. Norlena lah yang mengajar mata pelajaran sains sukan kepadaku sejak mula melanjutkan pengajian 89

di UKM bagi ijazah pertama. Pada 2007 aku menyambung pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan dan Dr. Norlena juga merupakan penyelia yang bertanggungjawab. Perasaan yakin akan dapat menghabiskan pengajian PhD ini mula timbul. Sambil tersenyum aku teringat kata-kata Prof Madya Dr. Taib Harun yang bergurau menegurku dengan kata-kata “..dah sampai berlumut duduk di sini..”. menunjukkan bahawa lamanya aku berada di UKM. Bagiku UKM merupakan tempat yang sesuai dan mudah untuk aku bergerak mencari bahan. Apatah lagi bertahun lamanya aku berada di sini. Ditambah pula dengan gelagat dan perangai pensyarah program sukan rekreasi yang amat menyenangkan hati. Hubungan dengan semua pensyarah masih lagi baik dan erat seperti dulu. Semester pertama berlalu dengan agak sibuk. Aku sibuk mencari bahan bagi menentukan bidang kajian. Mendaftar mengikuti Kursus Penghasilan Tesis Dengan Pantas oleh Dr. OT dan SPSS. Pada masa ini jika apa-apa kursus yang dikenakan bayaran aku ikutkan aje. Terus terang aku katakan bahawa kursus yang dihadiri tidak memberi apa-apa kesan kepadaku. Hilang punca. Hanya ikut rentak yang dimainkan oleh orang-orang lain yang kelihatan hebat dengan bahan penulisan dan analisis datanya. Masih aku ingat pada permulaan pengajian aku begitu bersemangat mendapatkan apa sahaja maklumat sampaikan kertas tisu di meja makan dijadikan tempat untuk mencoret maklumat yang aku rasa perlu dan berkaitan dengan tesis. Namun begitu ianya tidak membantu mengenal pasti skop dan bidang yang hendak dikaji. Tajuk kajian masih terlalu kabur. Perjumpaan dan perbincangan dengan penyelia tidak banyak membantu untuk aku memulakan penulisan. Ayat penyelia “awak balik dan baca dulu..nanti jumpa saya”, sering kali dikeluarkan oleh Dr. Norlena. Semester demi semester berlangsung tanpa sebarang perkembangan yang positif. Tambahan pula aku tidak banyak berada di kampus. Walaupun berstatus cuti belajar sepenuh masa aku banyak menghabiskan masa di rumah sendiri. Aku tahu ianya merupakan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan tetapi aku lebih senang dan selesa mencari bahan di internet dan membaca di rumah. Sebenarnya belajar di rumah memerlukan disiplin yang tinggi dan perlu dipatuhi. Perkara ini berlarutan sehingga semester ke tiga. Sedar bahawa masa semakin singkat membuatkan aku semakin gugup. Ditambahpula masih belum membuat pembentangan di peringkat usulan lagi.. ahh.. rakan-rakan lain Junaidy dan Hasnul (sekarang Dr.) telah lama bergerak jauh ke hadapan. Aku semakin resah kerana penyelia memberi laporan tahunan yang agak hambar tentang prestasi. Aku mula berasa akan gagal dalam perjuangan ku kali ini. Setahun lebih hanyut tanpa menulis apa-apa. Akhirnya pada semester ke empat baru aku menguatkan tekad dan fokus menyiapkan penulisan dan membuat pembentangan peringkat usulan.Seperti yang telah diduga 90

banyak yang perlu diperbetulkan dan ianya banyak dikritik oleh pembaca dalaman PM Dr. Mohd Taib Harun. Aku terima apa yang dicadangkan dan membuat pembetulan mengikut komen oleh pembaca dalaman. Dalam hati aku berharap agar lulus dan diperakukan sahaja untuk peringkat usulan ini. Alhamdulillah selesai.. Tiba masa pula untuk proses mengedarkan soal selidik bagi mendapatkan data. Rupanya-rupanya amatlah sukar mendapat kerjasama daripada pemegang jawatan Persatuan Sukan Kebangsaan. Hampir 9 bulan menunggu untuk mendapatkan jumlah responden yang dikehendaki. Tempoh cuti belajar semakin singkat. Permohonan pelanjutan cuti belajar telah dilakukan dan aku berjaya mendapat tambahan masa dari Bahagian Tajaan selama enam bulan. Masa yang diberikan membolehkan aku kembali fokus dan berharap agar dapat menyelesaikan kutipan dan analisis data dalam tempoh tersebut sebelum tamat cuti belajar. Akhirnya setelah berhempas pulas dengan seadanya sebelum tamat pelanjutan cuti belajar aku berjaya membuat pembentangan di peringkat kemajuan. Mac 2015 tamat cuti belajar dan aku memohon penempatan semula di IPGKDRI. Alasanku..bakal Dr. mana sesuai mengajar di sekolah. Tiada “class” kata orang. Walaupun jauh jarak perjalanan dari rumah dan tempat kerja agak jauh namun aku teruskan juga sehingga konflik dalam diri mula timbul. Alangkah bodoh diriku memilih tempat yang jauh untuk bekerja sedangkan tiada jaminan untuk kenaikan pangkat lebih tinggi jika berjaya mendapat PhD pun… Baik duduk mengajar di sekolah kerana jawatan pensyarah IPG bukan sehebat yang disangka, masih juga seorang guru.. Pada masa kini pengajianku masih belum selesai. Namun aku bersabar dan memujuk hati untuk tidak menyesali tindakan kurang bijak yang aku telah lakukan. Ruang masa di IPG yang lebih fleksibel ditambah pula keperihatinan Tuan Hj. Yunus (Ketua Jabatan) banyak memberi motivasi untuk aku terus kekal di IPG. Aku mula fokus kembali dan berhasrat menghabiskan baki pengajian. Tambahan pula terdengar berita tindakan saman gantirugi oleh Bahagian Tajaan mula diedarkan kepada pelajar yang tidak menyelesaikan pengajian. Akhirnya pada Jun 2016 aku berjaya mengharungi sesi pemantapan. Penyelia mencadangkan agar dilakukan sedikit pembetulan dan terus memohon untuk ‘viva’ secepat mungkin. Kali ini aku nekad dan akhirnya pada hujung November 2016 masa dan saat yang ditunggu tiba. Melangkah ke dalam bilik ‘viva’ dengan agak gemuruh tambahan pula dengan kehadiran penyelia, pembaca dalaman, pembaca luar dan wakil pengurusan fakulti kelihatan seolah-olah malaikat maut yang ingin mencabut nyawa. Peperiksaan lisan berjalan dengan lancar. Hanya 45 minit sahaja pembentangan ku dan sesi soal jawab dengan pemeriksa. Aku diperintahkan keluar dan menunggu. 15 minit kemudian aku dipanggil masuk semula dan kata-kata dari pengerusi ‘viva’ Prof Dr. Zamri bahawa panel telah bersetuju untuk meluluskan tesis kajian ku dengan pembetulan selama 3 bulan.. Oh.., alhamdulillah.. 91

syukur kepada Allah, penat lelah akhirnya terbalas, beban besar di bahu seperti terlerai, badan terasa ringan dan hilang segala rasa penat, tekanan dan segala perasaan yang bercampur baur. Terima kasih kepada Prof. Dr. Shahruddin dari UPSI sebagai ‘external examiner’. Kata beliau hanya lakukan pembetulan sedikit sahaja kerana yang ada dah cukup baik.. Hanya sejam setengah sesi ‘viva’ untuk semua yang aku usahakan selama lebih 5 tahun telah terbalas… Akhirnya setelah dilakukan pembetulan seperti yang dicadangkan, pada Mei 2017 surat senat UKM diterima menyatakan bahawa aku berjaya menamatkan pengajian dan memenuhi semua syarat yang diperlukan. Kemuncaknya adalah jemputan konvokesyen pada hujung Oktober 2017 dan aku sah bergelar Dr. Zul Aizam bin Yassin. \"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik.\" 92

PhD: Harapan dan Impian DR. MAS NORBANY BINTI ABU SAMAH Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan Doktor Falsafah PhD (UPSI) - Pendidikan Matematik [email protected] “Bara yang digenggam biar jadi arang”. Sewaktu Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke 38 pada18 September 2004, saya antara 319 orang pelajar Master Sains yang diraikan pada majlis tersebut. Namun apakan daya, dugaan dan kesukaran yang dihadapi, tidak memungkinkan saya hadir ke majlis tersebut. Sayu dan sebak hati ini. Namun insan tersayang memberi kata-kata semangat.. “tak pe ada satu lagi majlis konvokesyen yang boleh dihadiri”. Saya pasti keluarga pasti merasa bangga dengan kejayaan ini memandangkan saya orang pertama dalam keturunan hj Aman sebelah ibu dan keluarga besar sebelah En Osman sebelah bapa, memperoleh Master Sains Pendidikan Matematik. Insya Allah, saya akan hadir ke majlis konvokesyen peringkat PhD. Peluang memperoleh biasiswa bergaji penuh semasa pengajian peringkat ini, saya gunakan sepenuhnya untuk belajar. Semasa berada di semester satu, peluang menjadi pembantu penyelidik kepada penyeliaku, Prof Madya Dr Rohani binti Ahmad Tarmizi adalah sesuatu yang amat berharga. Mod pengajian peperiksaan dan projek, menyebabkan saya sibuk menimba ilmu. Peluang menghadiri bengkel dan seminar bersama pakar-pakar Matematik dalam dan luar negara adalah kurniaan yang tidak terhingga. Kuliah dihadiri sehingga semester tiga kerana banyak kursus yang diambil dan kebanyakan masa dihabiskan di UPM untuk mentelaah. Alhamdulillah, pengajian ini habis mengikut ketetapan tempoh biasiswa yang diperoleh. Rezeki yang dikurniakan lebih daripada apa yang diimpikan iaitu lahirnya seorang cahaya mata sebelum tamat pengajian. Input-input yang saya peroleh pada peringkat Master, sangat membantu dalam penulisan tesis peringkat PhD. “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Masa saling berganti, sehinggalah pada 2011 seorang rakan memberitahu iklan biasiswa HLP separuh masa telah tiba. Saya dinasihati oleh arwah ibu. “isi aje .. manalah tahu dapat”. Saya mengambil peluang ini dan alhamdulillah berkat doa keluarga, saya pun dipanggil untuk ditemuduga biasiswa tersebut di IPG Kampus Kota Bharu. Sebagai calon yang pertama dipanggil untuk ditemuduga, saya kuatkan semangat dan mencuba sebaik mungkin. Memandangkan proposal kajian ditulis dalam bahasa Inggeris, maka terdapat satu slot temuduga yang saya perlu menjawab dalam bahasa Inggeris. Mungkin inilah rezeki yang tidak disangka, saya antara calon yang berjaya memperoleh biasiswa ini. 93


Like this book? You can publish your book online for free in a few minutes!
Create your own flipbook