Important Announcement
PubHTML5 Scheduled Server Maintenance on (GMT) Sunday, June 26th, 2:00 am - 8:00 am.
PubHTML5 site will be inoperative during the times indicated!

Home Explore Menguak Jendela Phd 28 Julai 2019

Menguak Jendela Phd 28 Julai 2019

Published by Pajuzi Awang, 2019-12-15 18:52:16

Description: Menguak Jendela Phd 28 Julai 2019

Search

Read the Text Version

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS DATO’ RAZALI ISMAIL

Menguak Jendela PhD Julai 2019

Menguak Jendela PhD 2019 Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail Kementerian Pendidikan Malaysia Diterbitkan oleh: INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS DATO’ RAZALI ISMAIL Kementerian Pendidikan Malaysia 21030 Kuala Nerus Terengganu Darul Iman, Malaysia Tel : 09-6696470 Faks : 09-6696866 Web : http://ipgkdri.moe.edu.my ISBN : 978-983-44598-9-5 © Hak Cipta Institut Pendidikan Kampus Dato’ Razali Ismail 2019 Semua hakcipta terpelihara. Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan ke dalam bentuk atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail terlebih dahulu. Julai 2019

Penaung Dr. Azman bin Jusoh Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail Kementerian Pendidikan Malaysia Penasihat Hj Mohd Rasid bin Chik Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail Kementerian Pendidikan Malaysia Ketua Editor Dr. Pajuzi bin Awang Editor Bersama Dr. Yuslaini binti Yunus Dr. Mas Norbany binti Abu Samah Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail Penyelaras PROSPEN IPGKDRI Dr. Rosli bin Ab Rahman Percetakan, Reka Bentuk & Susun Atur Hj. Che Mansor bin Che Tom Ketua Kluster Penerbitan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail

Tajuk / Nama Halaman 11 Dari Kepuk Padi ke PhD 1 Aku, PhD dan Secangkir Kopi Dr. Ibrahim bin Taib Jabatan Ilmu Pendidikan Dr. Azman bin Jusoh 12 MyPhD: Antara Doa dan Pengarah Harapan Dr. Saidi bin Mohd 2 PhD : Antara Amanah dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Tanggungjawab 13 Leadership dan PhD Dr. Mangaleswaran a/l Annamalai Dr. Pajuzi bin Awang Jabatan Ilmu Pendidikan Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan 14 Kembara Ilmu Ed.D 2010-2015 Dr. Idrul Hisham bin Ismail 3 Ilustrasi Kanvas PhDku Jabatan Ilmu Pendidikan Dr. Yuslaini binti Yunus 15 Yuran Ilmu Ketua Jabatan PIPK Dr. Siti Hazlifah binti Hilaluddin Jabatan Ilmu Pendidikan 4 Aku, PhD dan Gunung 16 Empat Rasa Ceritera PhDku Dr. Nur Hijrah binti Zakaria Dr. Muhammad Irfan Nyia bin Abdullah Jabatan Pengajian Melayu Ketua Jabatan Sains Sosial 17 Retorik Perjuanganku 5 Ayah Semangatmu Kuwarisi Dr. Mohd Fadzil bin Baharuddin Dr. Badrul Muin binti Muhamad Adam Jabatan Pengajian Melayu Ketua Jabatan Sains & Matematik 18 Bukan Repertoir Euforia 6 EdD : Antara Kehendak dan Dr. Zul Aizam bin Yassin Jabatan Pendidikan Jasmani Tanggungjawab 19 PhD: Harapan dan Impian Dr. Suriany binti Mat Noor Dr. Mas Norbany binti Abu Samah Ketua Jabatan Pengajian Melayu Jabatan PIPK 7 1 Dari Sejuta yang Sangat Bermakna ….Hakikat PhD Dr. Mohammad Rusdi bin Ab Majid Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral 8 Mimpi PhD dan Realitinya Dr. Wan Azlan bin Wan Ismail Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani 9 Celoteh PhDku Dr. Azlinda binti Abd Aziz Ketua Jabatan Bahasa-Bahasa 10 Menyingkap Tabir Weltanschauung Dr. Rosli bin Ab Rahman Jabatan Pengajian Melayu

Tajuk / Nama Halaman 20 Rekod Anekdot Dr. Gee Dr. Fouziah binti Mohd Jabatan PIPK 21 It Was A Breeze! Dr. Sakhiyyah binti A. Rahim Jabatan Bahasa-Bahasa 22 Singkapan Penyusuran Kembara PhDKu Dr. Mohd Jalani bin Hasan Jabatan Bahasa-Bahasa 23 PhD: Anugerah Terindah Dr. Aznida binti Aziz Jabatan Pendidikan Islam dan Moral 24 Bangkit Mengejar Mimpi Dr. Asyraf Ridwan bin Ali Jabatan Pendidikan Islam dan Moral 25 PhD: Antara Impian dan Pengorbanan Dr. Rofishah binti Rashid Jabatan Pendidikan Islam dan Moral



Aku, PhD dan Secangkir Kopi DR. AZMAN BIN JUSOH Pengarah, IPG Kampus Dato’ Razali Ismail Doktor Falsafah PhD (USM) - Pendidikan Sains [email protected] “Alhamdulillah….kupanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kurniaan-Mu Ya Allah. Terima kasih Allah atas segala nikmat yang telah Kau berikan padaku”. Itu perkara pertama yang muncul dalam hatiku semasa sujud syukur. Masih terbayang dalam ruang ingatan, keputusan permohonan biasiswa PhD yang aku pohon. “Tahniah, anda berjaya ditawarkan “Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa”. Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, akhirnya permohonan biasiswa untuk aku menyambung pengajian di peringkat PhD dimakbulkan Allah, setelah dua kali mencuba. Lebih manis lagi, isteriku juga ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian di peringkat master. Nampaknya, nostalgia belajar bersama di Universiti Sains Malaysia yang pernah kami lalui satu ketika dulu akan berulang kembali. USM, “mung tunggu aku datang”, hatiku berkata dalam loghat Terengganu. Aku tersenyum sendiri memasang angan-angan dan tekad untuk sama-sama berjaya dalam perjuangan kembara ilmu yang bakal kami tempuhi, aku dan isteriku!!. Bila aku imbas kembali, perjalanan akademik yang aku lalui bukanlah gah sethaghra mana, kata orang Kedah. Aku ni bukanlah budak pandai sangat masa zaman persekolahan. Bukan top ten students pun !!, biasa-biasa jer. Macam tu juga masa kat universiti. Cuma, satu perkara yang paling aku ingat masa zaman sekolah, asyik bertukar sekolah - SK Panching, SK Pengkalan Tentera, SK Banggol Katong, SMK Tun Telanai, SMK Tengku Mahmud, dan MRSM Kuala Terengganu. Lepas tu, sambung belajar di Matrikulasi Kulim dan Universiti Sains Malaysia. Rupa-rupanya dalam diam tak diam, dah lapan buah institusi pengajian telah membentuk perjalanan akademik aku. Buat guru-guruku, terima kasih atas segala nasihat dan ilmu yang kalian curahkan. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa baik kalian. 01

\"“Mang!!,..macam mana mung boleh buat PhD di USM, kang mung ngajor Jengka, jauh tu ngan USM?”. Tanya seorang kawan lama, masa kami mengeteh di Pantai Batu Burok. Cewahh, macam bagus jer soalan ni. Sebenarnya, aku sendiri pun tak tahu macam mana. Nak kata aku ni dah pasang cita-cita nak sambung belajar lepas dapat first degree pun tak juga. Yang aku ingat, lepas dapat first degree, aku ditempatkan sebagai guru Fizik di SMK Jengka Enam, Pahang. Hidup macam biasa jer, meneruskan rutin sebagai seorang guru. Pagi hantar anak, pergi mengajar. Tengahari, balik sekolah, ambik anak. Petang, main badminton. Hari-hari buat benda sama. Yang hairannya, tak lah pula rasa boring walaupun buat benda sama. Matlamat aku masa tu, lepas lima tahun di Jengka, aku bercadang nak mohon pindah ke Terengganu atau Kelantan. Tak ada langsung cita- cita nak sambung belajar, buat master atau PhD. Apatah lagi menjadi lecturer di Institut Pendidikan Guru. Itulah pemikiran aku pada masa tu, masa aku jadi guru di Jengka. Habis, macam mana boleh buat master dan PhD ni?\" Kisahnya begini. Suatu hari, masa di SMK Jengka Enam, aku terbaca satu surat edaran mengenai tawaran biasiswa untuk lanjutkan pelajaran ke peringkat master. Entah kenapa, secara tiba-tiba hati kecilku terdetik untuk mencuba. Apa lagi, aku pun lengkapkan borang permohonan biasiswa dalam bidang Pengajian Fizik, selari dengan tugasku sebagai guru Fizik di SMK Jengka Enam. “Demo ni, kalu dapat biasiswa tu, memang genuine laa!!” masih aku ingat sehingga kini kata-kata Cikgu Suhaimi dalam loghat Kelantan masa aku nak hantar borang mohon biasiswa. Cikgu Suhaimi, orangnya sangat baik, bermata bulat dan berambut kerinting. Yang paling aku suka, sangat komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang guru. Dalam diam, aku ingin menjadi guru seperti Cikgu Suhaimi. “Tak tahulah Cikgu Suhaimi, In Shaa Allah!!, kalau ada rezeki dapatlah biasiswa, saya cuba jer, kalau tak hantar…rasanya dah confirm tak dapat!!”, balasku sambil tersenyum, tak tahu nak kata apa. Cikgu Suhaimi mengiakan saja kata-kataku. Mungkin bersetuju dengan pandanganku agaknya. April 1998, aku terima satu surat dari Bahagian Biasiswa. Tahniah!!, Anda Berjaya Ditawarkan Hadiah Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa”. Alhamdulillah, kupanjatkan rasa syukur kehadrat Allah kerana memakbulkan doaku dan memberi peluang kepadaku meneruskan kembara ilmu ke peringkat master. Aku ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Fizik. Ya Allah, betapa besarnya nikmatMu kepadaku. Terasa diri sangat kerdil, apatah lagi untuk mengetahui apa yang telah Engkau rencanakan untuk aku. Bermula dari situ, aku mula memasang tekad untuk meneruskan kembara ilmu, bukan sahaja master bahkan juga PhD, dan sudah tentu di Universiti Sains Malaysia. Penghujung tahun 1999, aku 02

mulakan pengajian dan akhirnya aku berjaya tamatkan masterku dalam bidang Pendidikan Fizik secara research mode dua tahun kemudiannya. Selepas melapor diri di Bahagian Biasiswa pada bulan Disember 2001, aku ditempatkan semula sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41. Kali ini, bukanlah lagi di SMK Jengka Enam tetapi di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani Kedah. Nampaknya, impian untuk meneruskan kembara ilmu hingga ke peringkat PhD makin dipermudahkan Allah SWT. “Tu, mai sini tu bukan apa…. cari peluang nak buat PhD la tuu….hang ngaku jer laa, hang malu watpaa…aku tauuu laa hang….hahaha!!, itu kata-kata En. Jahaya, mengusik aku pada satu hari. Tersengih aku dibuatnya. “Abe kito ni kae,…kalu buleh kato kokre gakk,..malam ni tidoq nganggoo laa….chenggeyy dio tu dalam pokek kito belako tuhh!!, balasku, cuba alih tajuk perbualan. Kami sama-sama tergelak, rasa puas dapat pekena satu sama lain. En, Jahaya, orangnya suka bergurau dan menyakat orang lain tetapi sangat setia. Sentiasa happy go lucky. Aku sangat menghormatinya, sama ada secara peribadi ataupun etika kerja yang ada pada dirinya. Ada banyak perkara yang aku belajar daripada En. Jahaya. Terima kasih En. Jahaya, sekurang-kurangnya gurauanmu mengingatkan semula aku tentang destinasi kembara ilmu selepas dapat master. Sebenarnya, dalam kesibukan bekerja, aku hampir-hampir terlupa!!. Mungkin Allah nak ingatkan aku melalui gurauan En. Jahaya!!. Bermula dari situ, aku berazam untuk meneruskan kembara ilmu yang pernah aku lalui. Sebagai permulaan, aku membuat bacaan tentang bidang yang aku minati semasa buat master dulu, iaitu learning environment. Walaupun tak mulakan lagi PhD, dan belum pun mendaftarkan diri lagi sebagai calon PhD, aku membuat tinjauan literatur berkaitan learning environment, dan bercadang membuat kajian yang ada kaitan dengan bidang berkenaan masa PhD kelak. Pengalaman mode research yang aku lalui semasa master dulu sangat membantu aku untuk membuat tinjauan literatur dengan mudah. Syukur Alhamdulillah, rupa-rupanya baru aku tahu pengalaman mode research sangat penting sebagai persediaan untuk meneruskan kembara ilmu. Terima kasih Profesor Dr.Ahmad Nurul Azam bin Mohd Zain, penyelia tesis masterku yang banyak membantu semasa menyiapkan tesis aku di peringkat master!!. Gabungan contextual learning experience dan teori masa buat master memberi keyakinan tinggi pada aku untuk meneruskan lagi kembara ilmu di peringkat PhD. April 2006, Alhamdullillah!!, hasratku untuk meneruskan kembara ilmu dengan biasiswa dimakbulkan Allah. Sekali lagi aku ditawarkan Hadiah Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa untuk membuat PhD. Lebih manis lagi, kali ini isteriku juga ditawarkan biasiswa untuk membuat master. Terima kasih Ya Allah atas nikmat rezeki berganda yang Engkau berikan. Aku ingatkan diriku dan juga isteriku, ini adalah amanah dan tanggungjawab yang Allah berikan, dan mesti ditunaikan. Tidak ada tolak ansur!!. 03

September 2006, aku mulakan kembara ilmu sebagai pelajar PhD, di Universiti Sains Malaysia, dan diselia oleh penyelia masterku dulu, Profesor Dr. Ahmad. Kali ini, aku juga dibantu oleh Profesor Dr. Zurida, sebagai penyelia kedua yang dicadangkan oleh Profesor Dr. Ahmad. Masa aku daftar sebagai pelajar PhD, fokusku cukup mudah, aku berazam untuk menamatkan pengajian PhDku dalam tempoh 3 tahun biasiswa Cuti Belajar Bergaji Penuh yang ditawarkan kepadaku. Sebagai langkah mula, aku sediakan Carta Gantt proses kerja, dan jadikan Carta Gantt tu sebagai sasaran kerja yang perlu aku capai. Tempohnya, aku sendiri yang tetapkan. “Kenapa pulak nak kena buat Carta Gantt?”. Sebenarnya tak perlu pun, ikut cara masing-masing. Lain orang lain caranya. Cuma apa yang aku percaya dalam nak buat satu-satu perkara, Carta Gantt boleh bantu aku visualkan halatuju PhD aku dengan jelas. Pada aku, proses kerja yang sistematik, tahu apa yang perlu dibuat, disiplin diri yang tinggi dan berusaha untuk mencapai sasaran kerja adalah perkara-perkara penting yang perlu ada kalau nak membuat PhD. Niatku, September 2009 aku mesti serahkan 10 naskah tesis untuk diperiksa sebelum aku melapor diri untuk bekerja semula di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim. Ya Allah, Kau berilah aku kekuatan, dan permudahkan segala apa yang aku usahakan!!. Doa itu, sentiasa aku panjatkan sepanjang tempoh pengajian!!. Sebenarnya, apa yang aku nyatakan tadi tu adalah antara perkara yang aku pelajari secara tidak langsung semasa membuat master secara research mode. Kan aku dah kata tadi, “pengalaman secara research mode sangat membantu aku meneruskan pengajian di peringkat PhD!!”. Bagi aku, pengalaman research mode adalah ilmu yang sangat berguna untuk membuat PhD – Contextual Learning Approach!!. Aku kena tetapkan matlamat jangka pendek dan jangka sederhana. Maklamat jangka pendek aku cukup mudah, “Tiga bulan pertama, mesti siap kerangka cadangan kajian!!”. Maknanya, aku kena pastikan bab satu hingga bab tiga mesti siap. Paling kurang, dalam tempoh 3 bulan aku mesti dah boleh tengok kerangka dan perkaitan antara bab, terutamanya, perkaitan antara bab 1 dan bab 3 – masalah kajian, objektif, persoalan, hipotesis, instrumen, teknik analisis data, dan cara untuk persembahkan data. Perkara-perkara tu nak kena bagi clear dulu, dan aku buat dalam bentuk visual mapping supaya aku boleh tengok perkaitannya secara menyeluruh. Itu sasaran pertama yang perlu aku capai. Sasaran tu, aku sendiri yang tetapkan dan aku catatkan dalam Carta Gantt yang aku sediakan. Untuk rasa sedikit tolak ansur dengan diri sendiri, aku bisikkan juga dalam hati “walaupun tidak sepenuhnya lengkap, paling kurang aku kena pastikan kerangka kajian tu ada, dan nampak jelas macam mana nak buat kajian tu”. Untuk matlamat jangka sederhana, aku kena pastikan aku bentang proposal kajian dalam tempoh setahun. Maknanya, dalam bulan September hingga Disember 2007, aku mesti hantar dan bentang proposal kajian. Strategi aku, jika berjaya, aku ada 2 tahun lagi untuk aku buat kajian dan siapkan laporan akhir tesis PhDku. Masa yang cukup panjang dan selesa untuk siapkan kajian yang akan aku laksanakan. 04

Boleh ke?. Orang kata, setahun pertama tu kena buat bacaan dulu!!. Itu antara pandangan yang aku dengar. Aku anggap itu pandangan peribadi jer, mungkin ya, mungkin tidak. Bergantung kepada diri masing-masing. Pada aku, asyik membaca jer tanpa buat apa-apa bila nak siap. Lepas baca, baca lagi!!. Akhirnya tak tahu nak mula kat mana. Kalau nak tahu, masalah utama orang yang buat PhD ni ialah tak jumpa nak cari masalah kajian, apatah lagi nak cari gap kajian. Lepas tu, hilang ke mana dan jadi MIA, Missing in Action. Bagi aku, tinjauan bacaan ni kita buat bukan setakat setahun jer, tetapi sepanjang tempoh pengajian sehinggalah selesai kajian. Asasnya mudah saja, bagi setiap bab yang kita tulis mungkin ada perkembangan terbaru yang kita akan temui nanti. Oleh itu, kenalah sentiasa membaca!!, tapi jangan pula asyik baca sampai tak tulis apa-apa. Aku lebih selesa menggunakan strategi REACT sepanjang proses menyiapkan PhDku. Strategi ni sangat membantu aku!!. Mungkin juga disebabkan oleh pengalaman masterku dulu yang banyak membantu aku dalam proses pencarian ilmu. Hidup sebagai pelajar PhD rasanya macam biasa jer. Rutinnya hampir sama masa buat master dulu. Cuma kali ni anak-anak dah besar, dah pun masuk sekolah. Jadi rutinnya, pagi hantar anak sekolah, kemudian sarapan. Pukul 8.30 mula buat hal-hal berkaitan PhD. Mengadap komputer, tengok semula apa yang dah ditulis, baca apa yang patut dan karangkan draf proposal untuk perenggan berikutnya. Bahagian ni sangat penting. Setiap hari aku mesti pastikan aku buat perkara ni. Bukan apa, aku nak pastikan momentum dan kesinambungan idea aku tidak putus. Kalau tak ada idea, aku buka game FIFA, main bola dalam komputer. Biasanya, England team yang aku pilih dan lawan dengan team negara lain yang lebih kuat. Sebenarnya, apa yang aku buat ni adalah strategi dan cara aku nak dapatkan idea mengarang proposal. Strategi ni aku guna masa buat master dulu. Bila dah main game bola, mindaku teransang untuk berfikir secara aktif sebab kena fikirkan cara macam mana nak menang game tu. Bila minda dah aktif berfikir maka datang lah idea nak karang proposal, tambah-tambah lagi kalau aku menang game tu. Kalau tak ada idea juga, call member ajak mengeteh. Itu lebih baik, jangan paksa diri untuk buat kalau tak ada idea, buat rugi masa jer. Baik keluar dulu untuk rehatkan minda!!. Waktu tengahari pula, ambil anak sekolah, buka lagi komputer dan cari bahan bacaan lepas pukul 3.00 petang. Biasanya, waktu petang macam ni memang aku tak baca sangat, minda letih. Jadi aku guna waktu tu untuk cari bahan ataupun buat hands on teknik analisis statistik. Malam, sambung lagi bacaan dan mengarang proposal kajian. Malam Selasa dan Khamis, main badminton dengan kawan-kawan. Itulah rutin aku setiap hari masa buat PhD. “Habihh la hang,….mesti kena tibaiii la hang lepas ni..!!. Itu kata-kata Hj. Razak, masa aku sembang dengan dia, seminggu sebelum bentang proposal. “Awat Hj??, aku cuba dapatkan kepastian. “Dah ada orang buat macam hang, lepas tu kena tibaii teruk masa bentang proposal!!”. Sekali dengar, rasa cuak juga. Aku kuatkan hati, bisikkan pada diri setiap orang lain caranya, dan lain rezekinya. Tambah lagi, Hj. Razak tak baca pun proposal aku. Jadi, rumusan yang dia buat tu mungkin betul, mungkin juga tak betul. Tawakkal saja lah!!, nak buat macam mana lagi. Notis untuk bentang proposal pun dah 05

ada. Bila tiba harinya aku kena bentang proposal, aku terserempak lagi dengan Hj. Razak. Dia bisikkan kat aku, “hang punya proposal depa kata ok, clear!!”. Aikk!!, lain pulak bunyinya. Hari tu dia kata teruk sat gi aku kena tibaii!!. Walau bagaimanapun, syukur Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Aku melalui sesi pembentangan proposal dengan tenang dan lancar. Keputusannya, lulus dan dibenarkan meneruskan kajian. Pada aku, apa yang aku buat mesti jelas. Macam tu juga masa bentang proposal, aku pastikan masalah kajian, objektif, persoalan dan hipotesis adalah jelas dan tunjukkan pada panel penilai perkaitan antaranya. Macam tu juga cara nak ukur, instrumen apa nak guna, bagaimana nak analisis data, dan bagaimana aku akan tafsirkannya nanti. Untuk kuatkan lagi penjelasan, aku gunakan data kajian rintis sebagai contoh konkrit dalam penerangan aku. Yang penting, aku tahu apa yang aku buat!!. Ok, aku stop dulu sat cerita PhD aku, tak habis lagi. Lain kali sambung lagi!! Sebenarnya banyak lagi yang aku nak cerita!!. \"Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan” 06

PhD : Antara Amanah dan Tanggungjawab DR. PAJUZI BIN AWANG Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan Doktor Falsafah PhD (UKM) - Sumber & Teknologi Maklumat [email protected]) Beberapa persoalan timbul sebelum aku memulakan pengajian di peringkat PhD ini. Antara yang menyentuh hati ialah persoalan 'Nak buat apa kalau ada PhD?'. Pada masa itu terlintas juga dua pesanan arwah ayahandaku sewaktu beliau menghantar aku ke SBP pada tahun 1985, katanya “Awang, mung ngaji sampai ke sut, habis harta ayah dok apa, asalkan mung nak ngaji” dan “jadilah orang yang dikenang kerana jasanya dan tolong orang kampung bila berjaya nanti”. Mungkin yang dimaksud arwah ayahandaku ketika itu ialah aku perlu belajar dan terus belajar sehinga sampai ke peringkat tertinggi suatu hari nanti. Pesanan iu tidak pernah aku lupa sehingga ke hari ini dan menjadi pencetus semangat untuk terus belajar. Justeru itu, setelah tamat pengajian di peringkat Ijazah Pertama, aku telah bercita-cita untuk meneruskan pengajian sehingga peringkat PhD suatu hari nanti bagi memenuhi cita-cita dan amanah arwah ayahbondaku. Namun cita-cita itu, tidak boleh dicapai dengan mudah kerana perlu melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedua terlebih dahulu. Tambahan pula aku terikat dengan komitmen kerja pada ketika itu kerana baharu sahaja bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Batu Rakit. Semenjak tahun 2008 hingga 2010 aku telah mula memohon HLP bagi melanjutkan pengajian di peringkat PhD secara sepenuh masa. Namun begitu, aku tidak berjaya dalam setiap kali permohonan dibuat. Adakalanya aku berasa sangat kecewa, namun redha dengan ketentuan Ilahi. Semangat untuk meneruskan pengajian tetap diteruskan dan pada tahun 2011 aku telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di bawah Program Persarjanaan Pensyarah IPG secara separuh masa. Program ini sedikit sebanyak memudahkan aku untuk mencapai cita-cita untuk menggengam segulung Ijazah Kedoktoran suatu masa nanti kerana pihak KPM akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian selama 5 tahun. Namun aku perlu akur untuk membahagikan masa antara kerja dan PhD kerana belajar juga memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Pada awal tahun 2012, bermulalah episod hidupku sebagai seorang mahasiswa yang mengikuti pengajian secara separuh masa di UKM dalam bidang yang ditawarkan oleh pihak KPM. Aku beberapa kali memikirkan adakah aku telah membuat keputusan yang tepat untuk belajar secara separuh masa di universiti yang terletak jauh dari tempat kerja dan bolehkah aku menamatkan pengajian di peringkat ini? Semua persoalan itu lenyap sebaik sahaja mengingati semula amanah arwah ayahbondaku dan cita-citaku selama ini. 07

Pada permulaan pengajian, aku telah diuji dengan ujian yang cukup getir dimana ketika itu kesihatan bondaku semakin merosot. Aku hampir tak dapat memberi komitmen yang sepenuhnya antara PhD, kerja dan keluarga. Walaupun begitu, aku tetap membaca jurnal penyelidikan, mencari idea dan datang ke UKM untuk berjumpa penyelia. Apabila berjumpa dengan penyelia, beliau minta aku menyiapkan proposal kajian dengan segera. Aku telah beberapa kali menghantar draf proposal kajian, namun semuanya tidak diterima oleh penyelia kerana kajian berkenaan tidak terkini. Dari situ timbul perasaan, baik aku berhenti sahaja dari meneruskan pengajian PhD ini dan menjaga bondaku yang sakit. Apalah sangat jika ada PhD, semuanya berlegar difikiranku saja ketika itu. Aku terus buntu untuk membuat keputusan dan pada suatu petang penyeliaku telah menelefon aku yang pada waktu itu aku berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana menemani bondaku yang sedang sakit dan menunggu untuk masuk bilik OT. Antara yang diucapkan oleh penyeliaku ialah “awak kena hantar segera proposal yang saya minta siapkan bagi membolehkan awak layak membentang proposal (usulan) pada bulan depan, jika awak tidak menunjukkan progress yang baik, saya fikir awak boleh cari penyelia lain”. Di saat itu, aku menitis air mata bila melihat wajah bondaku di katil Wad 7A, antara cita-cita, bonda dan penyelia mana satu yang aku perlu memberi keutamaan pada ketika itu. Semangat aku untuk terus berhenti daripada meneruskan pengajian semakin kuat walaupun aku sedar risiko perlu membayar balik duit KPM amat tinggi. Akhirnya, pada suatu hari aku gagah untuk menelefon penyeliaku dan mencerita segala-galanya apa aku hadapi ketika itu dan nampaknya penyeliaku sangat memahami dan memberi ruang sepenuhnya kepadaku untuk menjaga bondaku dan perlu meneruskan pengajian di peringkat ini kerana kata beliau peluang yang datang hanyalah sekali sahaja. Aku juga telah berjanji kepada beliau bahawa aku akan meneruskan pengajian sehingga ke noktah terakhir suatu hari nanti. Pada tahun 2013, aku diberi peluang untuk menerima pemangkuan PC 52 dan mulai saat itu aku mulai sedar bahawa perancangan Allah sangat hebat berbanding perancangan manusia. Allah menghendaki aku mendapat kenaikan gred pada umur yang lebih muda berbanding kawan-kawanku yang sama posting. Ini antara sebab kenapa setiap kali permohonanku untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD secara sepenuh masa sentiasa gagal. Aku juga terfikir mungkin ini keberkatan pengorbanan seorang anak dan doa seorang ibu yang tidak pernah putus untuk melihat kejayaan anakandanya. Pada masa itu, kesihatan bondaku semakin merosot dan bondaku sempat meninggalkan pesanan kepadaku untuk terus belajar sampai habis, walaupun apa yang belaku. Bondaku telah pergi buat selama-lamanya pada hujung tahun 2014 dan tidak sempat melihat kejayaanku menamatkan pengajian di peringkat PhD. Perasaan aku amat sedih kerana pada masa itu tiada lagi doa seorang bonda yang penuh keberkatan semasa aku meneruskan pengajian ini. Dengan pesanan arwah bonda, aku mengutip kembali semangat untuk terus belajar dan berulang alik ke UKM untuk berjumpa penyelia dan menghadiri Seminar Siswazah. Setiap kali aku menghadiri Seminar 08

Siswazah, semangat dalam diriku semakin kuat untuk menghabiskan kembara PhD ini kerana aku sentiasa bertemu dengan rakan-rakan yang sama dalam kumpulan penyeliaku. Bila pulang sahaja dari Seminar Siswazah, aku terus memberi fokus untuk menyiapkan proposal penyelidikan PhD dan akhirnya pada September 2015 aku lulus pembentangan proposal kajian berkenaan. Mulai saat itu aku berjanji akan memberi tumpuan penuh terhadap PhD dan penyelia sentiasa memberi suntikan semangat kepadaku meneruskan pengajian ini. Walaupun telah lulus di peringkat proposal dengan penambahbaikan, aku juga mengalami satu pengalaman yang amat mengerunkan dalam kembara PhD ini, iaitu sewaktu berjumpa dengan pemeriksa dalam (internal examiner) bagi mendapatkan semula proposal untuk dibetulkan. Ketika itulah aku merasakan betapa besarnya cabaran yang aku hadapi ini. Aku dimarahi oleh pemeriksa dalam kerana dikatakan tidak membuat temu janji dengan beliau terlebih dahulu sedangkan aku diminta hadir oleh PA beliau pada masa berkenaan. Beliau tertinggal proposalku di rumah dan meminta aku datang semula untuk berjumpa dengan beliau pada hari lain. Aku agak kecewa kerana aku datang dari jauh semata-mata untuk mengambil semula proposal tetapi diminta datang pada hari lain dan dikatakan tidak membuat temu janji lebih awal. Sebaik sahaja aku hendak melangkah keluar dari bilik pemeriksa dalam, naluriku amat kuat mengatakan proposal aku masih berada di bilik beliau. Beliau memanggil semula aku dan seolah-olah mencari di bawah meja dan akhirnya proposalku dijumpai. Alhamdulilah hatiku merasa tenang sedikit kerana selepas ini aku boleh memulakan kajian dan membuat pembetulan serta penambahbaikan terhadap kajianku. Namun begitu, sekali lagi aku menerima tamparan yang cukup hebat apabila pemeriksa dalam membelek sehelai demi sehelai proposalku dan memberi pelbagai komen dan antara yang masih aku ingat dialog yang diucapkan oleh beliau “Awak tahu tak, proposal ini tidak layak untuk penyelidikan di peringkat PhD, kajian tidak sesuai, persoalan kajian tidak menepati objektif kajian, apa yang awak nak buat sebenarnya” dan bermacam-macam lagi komen yang diberikan oleh beliau. Apa yang menyedihkan lagi, proposal ini dikatakan layak diletakkan dalam bangkul sampah sahaja. Sekali lagi semangatku untuk meneruskan pengajian semakin menurun setelah keluar dari bilik beliau. Kuatnya ujianMu ya Allah ketika itu, bagi aku yang belajar secara separuh masa ini. Perasaan yang kecewa ini aku bawa balik ke rumah dan tidak memaklumkan kepada sesiapa melainkan isteriku ketika itu. Dorongan kuat isteri yang memahami cita-citaku ketika itu menyebabkan aku masih meneruskan pengajian. Aku seterusnya bercerita pengalaman yang pedih ini kepada penyelia dan mujurlah penyeliaku berjanji akan menukarkan pemeriksa dalam peringkat seterusnya nanti. Alhamdulilah penyeliaku percaya aku mampu membuktikan kajian yang dibuat ini dapat memberi impak yang cukup besar kepadaku dan sempat memberi beberapa tips semasa belajar separuh masa. Antaranya jangan banyak berbicara tentang apa yang kita buat semasa belajar dengan mereka yang selalu negatif terhadap orang yang sambung belajar. Katanya lagi, bukan semua orang setuju dengan kita dan jangan pegang 09

jawatan-jawatan penting dalam pengurusan kerana masa kita amat terhad. “Setelah tamat nanti baharulah kita terima apa sahaja jawatan yang diberi”. Justeru itu, aku memohon kepada pihak pengurusan untuk tidak lagi memegang jawatan SU MPPP yang aku pegang semenjak Jun 2011 kerana ingin menumpukan kepada pengajianku di peringkat PhD dan sekiranya aku gagal menamatkan pengajian, aku akan dikenakan bayaran denda sebanyak RM40K. Penyelidikan yang aku laksanakan adalah penyelidikan berbentuk DDR (Design, Development Research) dan memerlukan aku mereka bentuk sesuatu bahan yang sesuai untuk digunakan dalam pendidikan semasa. Maka aku sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berbincang dengan rakan sewaktu menghadiri seminar, meneliti projek DDR yang dilaksanakan oleh pelajar sebelum ini dan mencari rakan-rakan di universiti lain untuk membantu aku menyiapkan fasal pembangunan bahan berkenaan. Akhirnya bahan yang dibangunkan dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2016 dan melalui beberapa proses penambahbaikan dari semasa ke semasa. Aku kemudiannya membentangkan kepada penyelia tentang bahan yang dihasilkan dan nampaknya penyelia sangat berpuas hati. Beliau mencadangkan kepada aku supaya mula menyertai pertandingan inovasi bagi bahan yang dihasilkan. Pertama kali aku menyertai inovasi ialah pada Hari Inovasi Fakulti Pendidikan 2016 dan Alhamdulillah projekku mendapat pingat emas bagi Pertandingan Anugerah Inovasi Penyelidikan (Kategori Pelajar) pada ketika itu. penyeliaku cukup gembira kerana aku telah membuktikan bahawa kita boleh berjaya sekiranya rajin dan terus berusaha. Semenjak dari itu aku telah menyertai pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta berjaya memenangi 6 pingat emas dan satu pingat perak. Apa yang tidak dapat dilupakan pada tahun 2017, aku telah dianugerahkan sebagai Pensyarah Inovatif IPGM sempena perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Ke-46 dan memenangi Pingat Emas di International University Carnival On E-Learning 2017. Pernah juga belaku sewaktu menyertai Pertandingan Inovasi, isteriku bersalin tanpa kehadiranku, namun isteriku redha dengan ketentuanNya. Dalam bidang penulisan sebanyak empat kertas kerja telah diterbitkan di dalam jurnal dan 11 dalam prosiding. Aku juga pernah memenangi ‘best paper award’ dan kertas kerjaku telah dipilih untuk diterbitkan dalam Jurnal. Dalam aspek pembentangan kertas kerja di seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa aku telah berjaya membentang sebanyak 11 kali. Pengalaman yang paling manis ialah apabila mewakili Fakulti Pendidikan untuk membentangkan kertas kerja di seminar antarabangsa bagi pelajar pasca siswazah pada tahun 2017. Bak kata orang kalu tak pecahkan ruyung, manakan dapat sagunya…. Itulah pengorbanan yang aku lalui semasa pengajian walaupun sokongan sesetengah pihak terhadapku untuk menamatkan pengajian ketika itu sangat mengecewakan. Masih kuat diingatanku kata-kata “itu kerja PhD dia tiada kaitan dengan IPG”. Kata-kata itu tidak mampu mematahkan semangat aku untuk menamatkan pengajian di peringkat PhD. Mulai saat itu aku tidak menoleh ke belakang lagi dan tidak 10

menghiraukan apa yang diucapkan oleh orang kepadaku tentang usahaku untuk menamatkan pengajian di peringkat ini. Setiap hari aku melihat satu kertas yang aku tampal di atas meja yang bertajuk Resepi Kejayaan. Semangat aku terus kuat untuk meneruskan pengajian ini. Ada 6 perkara yang aku catat dalam Resepi Kejayaan iaitu disiplin, pengurusan masa, usaha, fokus, komitmen dan doa. Kesemua perkara ini telah sebati dalam jiwaku ketika itu dan aku mampu pulang ke rumah pada jam 6.30 petang setiap hari semata-mata untuk menyiapkan penulisan tesis ketika itu. Akhirnya setelah selesai pemantapan, aku terus menulis dan menulis sehinggakan aku mampu menyerahkan tesis untuk pemeriksaan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh fakulti. Dua minggu sebelum hari raya, aku dimaklumkan bahawa aku dikehendaki viva pada hari jumaat seminggu sebelum hari raya. Pada saat itu hanya kepadaMu Allah ku panjatkan doa semoga berjaya dengan cemerlang dalam viva nanati. Akhirnya pada hari viva berkenaan, segalanya berjalan lancar dan berpeluh juga untuk menjawab soalan yang dikemukakan semasa viva terutamanya daripada external examiner. Selepas sesi soal jawab selama 30 minit, aku diminta menunggu diluar bilik viva dengan hati yang berdebar-debar untuk menerima keputusan viva nanti. Selepas 20 minit, aku diminta semula untuk masuk ke Bilik Viva dan keputusan dibaca oleh pengerusi viva…iaitu Tahniah Dr… anda berjaya dan lulus dalam ujian lisan ini (viva) dengan pembetulan minor iaitu 3 bulan sahaja. Penyeliaku juga mengucapkan tahniah kepadaku ketika itu. Aku sangat terharu dan hampir sebak ketika itu dan tiada yang dapatku ucapkan ketika itu hanyalah kesyukuran tidak terhingga kepadaMu Ya Allah. Terima kasih kepada semua pihak termasuk penyelia, isteri dan keluarga yang selama ini banyak mendoakan kejayaan ini. Walaupun telah selesai viva, aku tidak boleh terus meraikan sepenuh kejayaan ini lagi kerana masih belum selesai binding hardcover dan menyerahkan tesis kepada pihak fakulti dalam tempoh yang ditetapkan. Selepas hari raya aku terus gagahkan diri untuk membetulkan segala cadangan yang diberikan oleh kedua-dua pemeriksa tesis dan segera menghantarnya kepada pihak fakulti. Alhamdulilah, akhirnya tesis itu diterima dan diminta dibetulkan sedikit lagi format tesis supaya mematuhi Gaya UKM. Setelah selesai menyerahkan tesis kepada penyelia dan pihak fakulti, hati aku lebih rasa tenang kerana segala-galanya sudah hampir selesai. Pada 17 Oktober 2018, penyeliaku menghantar whatsapp kepadaku dan mengucapkan tahniah kerana lulus dalam Mesyuarat Senat dan layak dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Sumber & Teknologi Maklumat) pada Konvokesyen UKM Ke-46. Akhirnya pada tanggal 10 November 2018, merupakan hari yang cukup bersejarah kepadaku kerana hari ini aku berada di Pentas Konvokesyen UKM Ke-46 pada umur 46 dan kebetulan tarikh lahirku 11

juga adalah 4.6. Syukur kepadaMu atas kurniaan ini dan masih banyak ilmu yang perlu kuterokai dan terima kasih kepada SV, isteri dan anak-anak yang sangat memahami cita-cita ini, keluarga dan rakan-rakan seperjuangan. Aku bersyukur kerana hasrat dan amanah yang digalas olehku selama ini dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun aku sedar kedua ibu bapaku tidak sempat melihatnya. Segala tanggungjawab ku terhadap amanah ini telah kulaksanakan dan aku sangat memahami semakin tinggi aku terbang semakin kuatnya angin yang akan aku hadapi. Sesungguhnya “Awang, mung ngaji sampai ke sut” telah aku tunaikan dan tanggungjawabku selepas ini semakin berat untuk digalas olehku. “ Raihlah ilmu, dan untuk meraih ilmu belajarlah tenang dan sabar. ” - Umar bin Khattab 12

Ilustrasi Kanvas PhD Ku DR. YUSLAINI BINTI YUNUS Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan Doktor Falsafah PhD (UniSZA) - Pentaksiran Pendidikan [email protected]) Berjaya menempatkan diri di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) merupakan langkah permulaan untuk diriku berlari di garisan yang lebih jauh. Hirupan udara di IPGKDRI telah memberikan satu suntikan semangat untuk aku menggenggam segulung Ijazah Kedoktoran walaupun beban tugas sentiasa menghambat dan mencemburui ku. Bertitik tolak daripada semangat ini kugagahi diri memohon Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dalam bidang Kaunseling pada tahun 2010 walaupun aku tidak mempunyai pengkhususan dalam bidang berkenaan. Alhamdulillah, surat menghadiri temu duga aku terima dengan penuh kegembiraan. Perjalanan bersama suami sebagai peneman setia yang sentiasa memberi sokongan dengan diiringi hujan menuju ke destinasi yang dituju amat mendebarkan. Temu duga yang dihadiri pada keesokan harinya sungguh mengecewakan apabila panel penemuduga menyatakan ketidaklayakanku untuk memohon bidang berkenaan pada soalan yang pertama. Sesi temu duga telah tamat hanya pada soalan yang pertama. Betapa kecewa dan hancurnya hati ini dengan alasan berkenaan serta seribu pertanyaan bermain dalam benak fikiran kenapa diriku dipanggil temu duga sekiranya tidak memenuhi kelayakan bidang yang dipohon. Hal ini amat memberi kesan kepada diri ku dan selama 2 tahun aku tidak memohon HLP. Aku hanya membuat permohonan sebagai pelajar part time di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Permohonan ku telah berjaya dan di sinilah bermulanya detik perjalanan ku sebagai seorang pelajar, isteri, ibu dan pensyarah. Kanvas Awal Perjalanan awal sebagai pelajar part time amat sukar untuk direalisasikan. Tambahan pula dengan rutin kerja yang amat rencam, sebagai isteri, ibu kepada 4 orang anak yang masih kecil menuntut diriku untuk mengutamakan yang sepatutnya didahulukan. Namun, semangat untuk mendapat Ijazah Kedoktoran menuntut diri ini meneruskan penulisan dan perjumpaan dengan penyelia untuk satu atau dua kali sahaja dalam setahun. Walaupun begitu, pembacaan dan penulisan tetap diteruskan demi cita-cita yang tersemat dalam sanubari. 13

Kenangan pahit tidak mendapat HLP pada permohonan pertama seolah-olah dilupakan. Semangat baru dan galakan daripada rakan-rakan IPGKDRI yang ingin menyambung pelajaran telah membuka ruang dalam diri ku untuk memohon HLP secara part time. Alhamdulillah, permohonan ku diterima untuk menghadiri temuduga di IPG Kampus Kota Bharu. Namun, dalam jumlah rakan-rakan yang memohon hanya aku sahaja yang tidak berjaya mendapat tempat. Ini merupakan kali kedua permohonan HLP ku tidak berjaya. Kegagalan kali kedua ini bukan bermakna aku akan gagal selamanya. Tekad dan nekad yang ada dalam diri ini masih diteruskan untuk memohon HLP sepenuh masa untuk kesekian kalinya. Pada kali ini aku perlu membuat pilihan bidang yang betul dan tepat agar tidak kecundang buat kali yang ketiga. Alhamdulillah permohonan ku telah berjaya untuk menghadiri sesi temuduga. Perjalanan ku ke Putrajaya pada kali ini ditemani oleh adik yang setia menunggu selesainya proses temuduga yang melibatkan calon yang ramai. Sesi temuduga berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan keputusan yang diperoleh juga cukup bermakna bagi diriku. Ya, aku telah berjaya mendapat cuti belajar bergaji penuh selama 3 tahun. Kegembiraan ini tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata hanya mampu mengucap syukur kehadrat Ilahi kerana memberi peluang kepada diriku untuk lebih berfokus dalam pengajian. Allah Maha Besar dan Maha Penyayang…sesungguhnya perjalanan PhD ku dipermulaan ini dipermudahkan kerana pada waktu ini HLP telah membuka sedikit perubahan tentang dasar yang membenarkan aku menukar bidang pengajian dan universiti yang dipohon tidak dihadkan kepada mana-mana universiti. Aku meneruskan sahaja pengajianku di Universiti Sultan Zainal Abidin dan menjadi harapan untuk menamatkan PhD dalam tempoh masa 3 tahun. Kanvas Pertengahan Jadual rutin harian ku telah berubah 360 darjah. Penggunaan masa menjadi sangat penting untuk aku mentelaah bahan-bahan bacaan dan membuat penulisan. Setiap hari aku menggunakan masa bekerja seperti biasa untuk dimanfaatkan bagi penulisan tesis. Masa diperuntukan daripada jam 8 pagi sehingga 5 petang dan malamnya bermula jam 9 hingga 12 malam. Setiap hari kerjaku menulis, membaca, menulis dan membaca sehinggalah penyelia bersetuju untuk aku membentang proposal. Fasa seterusnya untuk aku memantapkan lagi tesis PhD ku sehingga ke garisan penamat. Namun, langit tidak selalunya cerah. Panas yang ku sangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Penyelia ku telah tamat kontrak perkhidmatan dan ini merupakan satu bebanan baru yang perlu aku hadapi. Menghadapi penyelia baru memerlukan perubahan pada tesis ku ini. Setelah bertungkus lumus dalam tempoh setahun setengah aku menjadi hilang fokus dan ‘aligment constructive’ menjadi tersasar. Aku tidak dapat memenuhi kehendak penyelia dan masalah ini amat menyeksa diri. Masalah ini menyebabkan diriku ‘stress’ sehinggakan hal ini sentiasa bermain di benak fikiranku. Bagi diriku, hal ini amat 14

terkesan kerana aku pernah tidak menyedari lampu isyarat berwarna merah di hadapan sekolah rendah. Nasib baik tiada pelajar yang melintas pada waktu itu. Fikiran ku sentiasa melayang terhadap masalah yang dihadapi. Bagaimana harus aku menangani masalah ini. Adakah dapat aku mencari jalan penyelesaiannya… Aku dipertemukan dengan insan-insan yang berhati mulia untuk membantu diriku menangani masalah ini. Aku juga telah kehilangan dua batang gigi geraham disebabkan terlalu memikirkan tesis ku ini. Doktor gigi memaklumkan bahawa gigi gerahamku masih lagi elok tetapi mungkin disebabkan ‘stress’ yang menyebabkan gigi ku sakit dan aku terpaksa menerima kehilangannya walau pun bukan sekali gus. Dua batang gigi ku hilang dalam tempoh masa untuk menamatkan pengajian. Aku sendiri tidak pasti betapa besar impak yang terpaksa aku hadapi sehinggakan doktor gigi boleh menyatakan bahawa aku ‘stress’ pada hal aku ke klinik gigi hanya untuk mencabut gigi yang sakit. Pengalaman ini merupakan salah satu rempah ratus yang terdapat dalam menu pengajianku. Aku tidak pernah menyangka bahawa ‘stress’ boleh menyebabkan gigi sakit. Tapi itulah hakikat yang perlu aku terima. Masa berjalan dengan pantas, aku cuma ada setahun setengah sahaja lagi untuk menamatkan pengajian. Keputusan perlu dibuat, sama ada akan melukakan hati orang-orang yang tidak ingin kulukai. Aku nekad untuk menukar penyelia yang baru walaupun keputusan ini akan menyebabkan tesis ku berubah lagi. Aku mendoakan keputusan yang dibuat ini adalah keputusan yang paling tepat. Aku pasrah.... Kanvas Akhir Perjalanan ku setelah menukar penyelia memberi satu sinaran yang baru. Aku tahu hala tuju untuk menamatkan pengajianku. Penyelia ku sangat komited dan amat prihatin dengan pelajar-pelajarnya. Aku amat menghormati dan segan dengan sifat kesungguhan dan kerajinan beliau melebih pelajarnya sendiri. Dorongan ini dikuatkan lagi dengan adanya suami dan anak-anak menjadi pendorong untuk meneruskan pengajian. Susah senang diriku untuk ke tempat-tempat yang perlu dituju, suami dan anak-anak sebagai peneman di kala cuti. Lain-lain waktu yang ada kekangan, aku gagahi seorang diri dengan penuh semangat dan keyakinan. Di kala inilah aku belajar banyak perkara untuk berdikari dan berazam untuk sampai ke garisan penamat. Alhamdulillah, urusan perjalanan PhD ku menampakkan hala tuju yang jelas. Berbaki satu setengah tahun ini jadual harianku semakin padat. Aktiviti perjumpaan dengan penyelia dengan lebih kerap, menyertai berbagai-bagai bengkel, mengumpul data, mendapatkan pengesahan pakar, membuat rujukan dan membentangkan analisis data ku tempuhi sama dengan rakan-rakan lain yang membuat PhD. Akhirnya tiba masa untuk aku kembali bekerja pada tahun 2016 setelah 3 tahun aku menjadi pelajar sepenuh masa. Di akhir cutiku ini aku telah menghantar laporan tesis yang terakhir dan aku kembali bertugas di IPGKDRI. Selama 4 bulan aku menunggu viva akhirnya tiba lah saat yang ditunggu apabila surat untuk aku menghadiri viva diterima. Setiap hari hati ku amat berdebar sehingga tibanya ke tarikh berkenaan. 15

Maka saat yang ditunggu itu tiba dan aku cuba melaksanakan proses berkenaan dengan penuh keyakinan. Alhamdulillah aku lulus dengan pembetulan minor selama tiga bulan. Aku cuba menyiapkannya dalam tempoh 2 minggu dan pembetulan aku diterima oleh pemeriksa dalam dengan ucapan yang amat positif. Semua beban yang kutanggung selama ini rasanya telah hilang dengan sekelip mata. Aku cuma perlu menunggu surat senat untuk menghadiri majlis konvokesyen sahaja lagi. Di majlis konvokesyen aku ditemani oleh ibu dan adik untuk berada di dalam dewan. Malangnya bapa ku tidak dapat melihat kejayaan ku kerana telah menghembus nafas yang terakhir semasa aku sedang menunggu viva. Pemergian bapa yang sihat secara tiba-tiba pada jam 1 pagi semasa tidur amat mengejutkan. Kejayaan ku ini merupakan hadiah yang cukup bermakna buat arwah bapa yang sentiasa memenuhi setiap kehendak anaknya dalam menuntut ilmu. Seingatku arwah bapaku tidak pernah mengeluh untuk mengeluarkan wang setiap kali ada kaitan dengan pengajian ku bermula dari sekolah rendah sehingga berakhirnya nafas beliau. Air mata mengiringi pipi aku, ibu dan adik tatkala lagu dendangan penyanyi Aisyah ‘bonda’ dimainkan. Suasana pilu menyelubungi dewan kerana masing-masing mempunyai sejarah dan pengalaman yang tersendiri untuk mencapai apa yang telah dicapai. Sesungguhnya aku amat berterima kasih kepada suami, anak-anak, ibu, adik dan arwah bapa ku yang amat memahami peranan ku sebagai seorang pelajar. Mereka tidak pernah merungut, memberikan sebarang masalah serta tekanan sepanjang aku bergelar pelajar. Juga, rakan-rakan di IPGKDRI dan UniSZA yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam menyiapkan tesis PhD ku ini. Memori susah senang, gelak tawa, sedih duka bersama tetap bersemadi dalam ingatanku. Perjalanan PhD ku ini penuh dengan ilustrasi warna untuk aku terjemahkan pada kanvas memori yang paling indah. Kanvas PhD ku telah siap dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T…Syukur….Syukur….Syukur…Alhamdulillah…. Kanvas Bingkisan Hati Kadang-kadang erti kebahagian terjadi kerana masa lalu dan membawanya ke masa hadapan untuk mencerminkan tentang kehidupan pada saat ini. Jangan biarkan masa lalu itu menghapus masa hadapan. Ingatlah bahawa hidup ini adalah perjuangan untuk masa hadapan. Masa hadapan tidak akan diperoleh sekiranya tidak mampu melindungi apa yang berharga pada masa kini. Oleh itu, janganlah resah terhadap masa lalu, tidak boleh cemas pada masa hadapan. Manusia yang bijaksana hanya memikirkan masa kini. Betapa kelamnya masa lalu, masa depan adalah masih suci. Maafkanlah diri sendiri dan majulah untuk masa hadapan yang perlu disiapkan pada hari ini. Detik berikutnya yang akan dilewati adalah masa hadapan yang perlu dijalani dengan lebih baik lagi. Masa 16

lalu adalah sesuatu yang sudah diselesaikan dan tiada yang perlu dibaiki lagi. Ayuh bangkitlah dan mulakan dengan sesuatu yang baru. Ingatlah bahawa seseorang yang begitu menginginkan sesuatu hingga bersedia mempertaruhkan seluruh masa hadapannya hanya dengan melemparkan satu dadu demi memperoleh segala keinginan yang pastinya akan berhasil. Justeru itu, berdamailah dengan masa lalu agar perjalanan di masa hadapan dapat dinikmati dengan sebebasnya. Selamat berjuang kepada rakan-rakan semua…tatapilah masa hadapan…jadilah kebanggaan…dan ingatlah bahawa ini bukan titik akhir tetapi titik awal menuju kehidupan yang sebenarnya…Tuntasnya, jangan melihat masa lalu dengan penyesalan, jangan pula melihat masa hadapan dengan ketakutan, tetapi lihatlah persekitaran dengan penuh kesedaran. \"Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula kepada Ilahi.\" 17

Aku, PhD dan Gunung DR. NURHIJRAH BINTI ZAKARIA Ketua Jabatan Sains Sosial Doktor Falsafah PhD (UKM) - Kurikulum dan Pedagogi [email protected]) Aku mencoretkan pengalaman PhD umpama mendaki gunung. Kerana apa? Aku menjadikan mendaki ke puncak gunung adalah impian setiap pendaki. Di puncak, kita dapat melihat pemandangan yang cantik. Satu kepuasan kepada pendaki apabila berjaya sampai ke puncak. Pendaki sanggup bersusah payah untuk sampai ke puncak. Begitu juga dengan PhD, umumnya tahu untuk mendapatkan PhD bukan satu yang mudah tetapi kita sanggup mencuba melalui kepayahan itu. Sebab apa? Indahnya pemandangan apabila berjaya melalui kesukaran. The best view comes after the hardest climb. Satu kepuasan tidak terhingga, yang tidak cukup kata-kata untuk mengucapkannya. Aku sebenarnya meraikan setiap peringkat perkembangan pengajianku dengan mendaki. Di UKM, pelajar-pelajar PhD perlu melalui tiga peringkat pemeriksaan iaitu pembentangan proposal, kemajuan (pembentangan data kajian) dan pemantapan (pembentangan laporan penuh kajian) sebelum dibenarkan submit laporan tesis untuk viva. Setelah berjaya dalam pembentangan proposal, aku dan beberapa rakan seperjuanganku pergi mendaki Gunung Ledang di Johor untuk melepaskan tension belajar. Selepas berjaya membuat pembentangan pada peringkat kemajuan pula, aku pergi mendaki lagi tapi ke Bukit Broga Semenyih. Selepas berjaya di peringkat pemantapan, oleh sebab sudah bekerja di Terengganu, aku hanya dapat mendaki Bukit Besar sahaja. Umpama pucuk dicita ulam mendatang apabila rakan-rakan Geng Gunung di IPGKDRI mempelawaku menyertai mereka dalam misi mendaki Gunung Marapi, Sumatera Barat, Indonesia. Pada tanggal 18hb. Ogos 2018 kami telah berjaya menawan Puncak Merapi. Subhanallah ... Tuhan saja yang tahu kekuatan yang perlu ada untuk sampai ke puncak yang tingginya 2891 meter dari aras laut. Jika aku mengumpamakan untuk menyiapkan PhD umpama mendaki gunung, aku kena ambil semangat PhD untuk ke puncaknya. Jika mendaki gunung kita perlukan sedikit wang untuk membeli peralatan, perjalanan, makan minum semuanya, begitu juga dengan PhD, kita perlukan sumber kewangan untuk membiayai pengajian kita. Mungkin kita kena korbankan sedikit kewangan kita untuk perkara lain. Untuk mendaki gunung kita perlukan persiapan, kita kena buat 18

perancangan dan ada pelan risiko. Ada plan A. Dan perlu menjangkakan apa yang tidak dijangka. Untuk mendaki gunung kita perlukan pemandu arah, sahabat dan ada teamwork. Jika mendaki kita perlukan pemandu arah, begitu juga dengan PhD, kita perlukan supervisor, kita perlukan rakan untuk saling menyokong, kita perlukan pandangan, petunjuk orang lain yang lebih berpengalaman. Semasa pendakian, kita perlu saling menyokong sahabat kita, kalau boleh no one left behind untuk sama-sama sampai ke puncak. tetapi bezanya dalam menyiapkan PhD ini, ada rakan kita yang tertinggal, atau kita tertinggal di belakang rakan kita yang lain. Sebab keupayaan kita berbeza. Laluan kita berbeza. Kita bermula di starting point yang sama tetapi kita melalui jalan yang berbeza. Aku tidak memandang rendah kepada yang belajar berbelas-belas semester. Aku kagum dengan mereka yang tabah dan kekuatan mereka seperti mana aku kagum dengan mereka yang Graduate On Time (GOT). Kita yang tertinggal mungkin tergelincir, terjatuh, tersesat dahulu dalam perjalanan, sedangkan mereka terus mara ke puncak. Bagaimana kita bangkit, bagaimana kita mengumpul tenaga itulah kekuatan kita. Tertinggal bukan bererti kalah sebab PhD bukan satu perlumbaan. PhD proses mencari dan mendapatkan ilmu. PhD hanya ijazah yang dianugerahkan kepada yang tamat belajar dan mengikut proses-proses yang ditetapkan. Ilmu sudah tentu..malah mereka yang tidak menghabiskan pengajian atau yang tidak membuat PhD pun ilmu mereka mungkin lebih tinggi daripada kita. Ilmu sepatutnya menjadikan kita lebih merendah diri kerana kita tahu ilmu yang kita peroleh belum dapat menduga lautan yang dalam. Mendaki ke puncak memang memenatkan. Jika mental kita lemah mana mungkin fizikal akan menjadi kuat. Jika hati berkata tidak..mana mungkin kita melangkah untuk menempuh kesusahan. Hati kena berkata ya.. hati kena berkata boleh.. hati kena berkata Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Kejayaan adalah milik orang yang sabar. Penat memang penat..jika penat berhentilah sebentar, lihatkan panorama disekeliling kita, indah bukan?. Berhenti juga janganlah terlalu lama, Jangan berhenti lama, nanti otot kita sejuk..jadi berat, kita jadi lambat. Begitu juga bila belajar, jangan berhenti terlalu lama kerana dibimbangi menjejaskan momentum kita. Berhentilah sekadarnya sahaja untuk kita menarik nafas dan mengumpul tenaga semula. Jika kita merasakan kita ingin mengalah, tolehlah ke belakang, lihatlah berapa banyak yang telah kita lakukan sedangkan puncak itu hanya memerlukan sedikit usaha lagi. Letakkan target yang untuk dicapai dalam waktu yang terdekat dan letakkan target apa yang perlu dilaksanakan setiap hari. Aku pernah bertanya kepada penyeliaku apabila beliau meminta aku menukar tajuk sedangkan aku sudah berada pada semester yang ketiga sepatutnya aku sudah membentang proposal pada ketika itu. Beliau memberitahu apa yang harus aku buat dan aku bertanya; “Dr. bilalah PhD saya nak habis, tahun bilalah saya boleh konvo”. Beliau hanya menjawab “You jangan fikir bila PhD akan habis, you kena fikir apa yang you kena buat”. Aku hanya terdiam dengan kata-katanya. Selepas aku melalui semua proses pengajianku, aku pun terfikir ada benarnya kata-kata beliau dahulu. Jika kita terlalu memikirkan bila kita nak habis belajar, kita akan tertekan, kita 19

tidak dapat berfikir dengan tenang. Dalam belajar kita perlu fikirkan apa yang kita kena buat dan buat apa yang sepatutnya. Berfikir lama pun tiada guna jika tiada tindakan dan hanya akan melengah-lengahkan masa kita sahaja. Untuk mendaki ke puncak kita akan melalui beberapa “check point”. Dalam pengajian juga ada “check point” nya. Di Fakulti Pendidikan, UKM, pelajar-pelajar PhD akan melalui pembentangan proposal, pembentangan kemajuan, pemantapan dan viva dan yang terakhir ialah majlis konvokesyen. Majlis konvokesyen adalah kemuncak dimana para graduan PhD diraikan oleh warga universiti, fakulti, ahli keluarga, sahabat handai. Di UKM setiap fakulti akan mengadakan Majlis Pemakaian Jubah untuk meraikan graduan dan penyelia masing-masing sebelum majlis konvokesyen. Selesai majlis, aku mengambil kesempatan untuk menyarungkan jubah PhD berwarna marron kepada ibuku. Aku hampir menitiskan air mata apabila ibu berkata ...dapat juga mak merasa pakai jubah orang konvo. Ibu bapa adalah orang yang paling layak untuk diberi anugerah kecemerlangan pada hari itu. Aku hanya berhempas pulas untuk belajar PhD hanya 6 tahun, ibuku berhempas pulas berusaha berpuluh tahun untuk menyekolahkan anak-anaknya seramai 8 orang sehingga ke universiti. Jika PhD hanyalah sebuah pengalaman, ibuku sudah tentu banyak pengalaman berbanding denganku. Kadang-kala apabila melihat kembali dokumen-dokumen, gambar-gambar semasa perjalanan PhDku..aku hampir menitis air mata. Aku tidak menyangka bahawa aku kuat hingga berjaya menghabiskan pengajian. Kejayaan adalah anugerah Allah kepada kerja buat kita selama ini. Apabila tiba di puncak gunung, perasaan gembira itu hadir kerana kita berjaya mengharungi cabaran dan kesukaran. Penat lelah dalam pendakian sudah hilang. Kita gembira kerana kita dapat menikmati keindahan alam ciptaan Allah. Kita gembira kerana kita dapat meraikan dengan orang-orang yang signifikan dalam hidup kita. Kita merakam kegembiraan kita dengan pelbagai cara, kita bergambar beramai-ramai, berswafoto, menjamu selera dan sebagainya. Aku juga ada cara yang tersendiri meraikan kejayaanku iaitu mendaki gunung. Kita tidak akan berada dipuncak gunung untuk satu tempoh masa yang panjang. Kita perlu turun ke bawah juga. Tatkala kita turun, kita akan berjumpa dengan ramai orang yang masih mendaki. Sapa dan berilah kata-kata semangat kepada mereka yang sedang mendaki itu. Ini mengingatkan aku semasa aku bersama sahabat-sahabatku mendaki gunung Marapi dahulu, semua pendaki yang turun memberikan ucap “selamat ya buk... semangat ya pak. lagi dua keluk”. Walaupun kami tidak saling mengenali, kata-kata mereka menjadikan kita positif dan berusaha untuk naik ke puncak. Maknanya, kita yang habis belajar ni, berilah kata semangat kepada sahabat kita yang masih berjuang. Walaupun kita tidak dapat membantu mereka dalam banyak perkara, sepatah kata yang positif boleh membangkitkan semangat untuk orang lain meneruskan pengajian. Ada sahabat yang pernah kehilangan arah semasa pengajiannya, menelefon semata-mata untuk mendapatkan kata-kata sokongan daripadaku. Ada juga sahabat memberitahu ku: 20

“Hijrah kau post lah kata-kata motivasi setiap hari supaya aku tidak hilang semangat untuk terus belajar”. Mereka yang sedang belajar perlukan sokongan. Semasa belajar perkara yang boleh melemahkan semangat memang banyak disekeliling kita, carilah dan bantulah mereka mendapat kekuatan untuk mendepaninya. Berjaya menakluk puncak gunung menjadikan kita ingin menakluk puncak yang lain. Penat lelah semasa mendaki telah hilang. Kadangkala belum sampai ke kaki gunung semasa perjalanan turun sudah merangka-rangka plan untuk mendaki gunung-gunung yang lain. Inilah yang dikatakan kepuasan hidup. Walaupun sudah habis belajar, kita masih mempunyai perancangan yang lain. Kita mencari cabaran baru. Kita mahu meneroka tempat yang baru. Kita berkira-kira mahu buat itu..mahu buat ini. Sebab apa? Sebab kita yakin kita boleh melaksanakannya. Kita mahu memberi sumbangan kepada orang lain, kepada masyarakat. Ilmu yang ada jika tidak disebarkan akan menjadi sia-sia sahaja. PhD hanya satu proses? PhD hanyalah satu pengalaman, hanya sebuah proses. Kata sarjana, PhD sebenar ialah apa yang kita dapat daripada pengalaman kita sepanjang menyiapkan tesis itu. Setiap mereka yang belajar mempunyai pengalaman masing-masing yang berbeza antara satu sama lain. Kita lihat teman-teman di sekililing kita. Mungkin kita sama-sama mendaftar pada tarikh dan tempat yang sama dengan mereka, tetapi jalan cerita kita berbeza. Kita berada pada garis permulaan yang sama, berlari dalam lorong yang berbeza, tetapi matlamatnya tetap sama iaitu mahu berjaya sampai ke garis penamat. Kita berada di kaki gunung yang sama, tetapi kita mempunyai bebanan yang berbeza, kita mempunyai keupayaan mendaki yang berbeza, tetapi matlamat kita sama, mahu sampai berjaya sampai ke puncak. Kita mahu mendapat Ijazah Kedoktoran. Ijazah akademik peringkat tertinggi. Proses ke puncak itulah yang memberi kita pengalaman. Pengalaman inilah yang menjadikan aku mengerti tentang ketabahan, kesungguhan, kecekalan, kesabaran, keterbukaan, pengorbanan, kematangan, keberanian, keyakinan, kehambaan, persahabatan, kekeluargaan, perkongsian dan banyak lagi. Tanpa proses dan pengalaman ini, agak mustahil sebuah tesis itu dapat disiapkan. Tesis setebal 484 muka surat itu mungkin tidak dapat disiapkan. Setebal itu sudah tentu ada air mata yang jatuh. Sebab tu ada yang mengatakan tesis itu hasil airmata pengkaji. Walau apapun kata orang tentang tesis, aku mengakui bahawa THESIS adalah : “True Happiness Ended Since It Started”. Tapi kegembiraan itu tidak kita peroleh jika kita tidak menulisnya, Tesis mesti ditulis setiap hari. Sebijak mana pun hujah kita, sebernas mana pun idea kita, se “wow” manapun kata-kata kita, ia tidak akan memberi makna apa-apa kepada tesis itu. 21

Apa pandanganku terhadap PhD? a) Ilmu yang diperoleh hanya umpama setitis air di lautan. Walaupun untuk menyiapkan PhD ini mungkin memerlukan pembacaan dan rujukan ratusan buku dan artikel, kita tidak mampu untuk membaca keseluruhannya. Kita kadangkala merasai sudah banyak yang dipelajari tetapi masih ada lagi yang kita tidak tahu. Ini menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah di dunia ini, tak mampu untuk kita meneroka kesemuanya. Ilmu yang mampu kita peroleh hanyalah umpama setitis air di lautan. Semakin kita menerokanya semakin kerdil disisiNya. Dalam kajian kita sendiri pun, skop dan batasan kajian perlu dinyatakan dalam tesis. Ilmu yang kita peroleh, mungkin tidak diketahui oleh orang lain, oleh itu kitalah yang perlulah berkongsi ilmu dan menyebar kepada orang lain. Menulislah sesuatu mungkin ada orang lain yang akan membacanya. “The knowledge you have, the more humble you should be”- Nouman Ali Khan. PhD sepatutnya membuat diri kita lebih humble kerana ilmu yang kita miliki hanya pinjaman dan kita diamanahkan untuk menyebar dan mentarbiah orang lain. “Knowledge is of no value unless you put it into practice” b) Tesis PhD bukan untuk mengubah dunia tetapi mengubah ‘duniaku’ Supervisor ku berkata, kajian PhD bukan untuk mengubah dunia. Bukan untuk mengubah dasar negara. Kajian hanya mahu merapatkan jurang pengetahuan yang ada. Terkelip-kelip juga aku memikirkannya. Pada awal pengajian semua orang sangat teruja untuk membuat kajian yang gah, mencari tajuk yang gah, kajian yang dapat dimanfaat oleh ramai pihak. Jika boleh, ada pihak yang mengambil hasil kajian kita untuk menjadi kerangka rujukan mereka. Apabila mengalaminya, baru aku faham maksud supervisorku. Walaupun tesis yang ku hasilkan bukanlah satu tesis yang terbaik, yang tidak dapat mengubah dunia, tetapi pengalaman untuk menghasilkannya mengubah duniaku. Apabila belajar, seolah-olah pintu langit terbuka luas, betapa banyaknya yang kita boleh teroka. PhD telah menjadikan aku lebih berfikiran terbuka, lebih berkeyakinan dan aku melakar cerita hidupku sendiri. Aku lebih yakin untuk berdiskusi, aku lebih yakin untuk berhujah, aku lebih yakin untuk berkongsi pandangan. PhD memang banyak merubah hidupku. “My thesis cannot change the world but its change my “world”. c) Perjalanan PhD adalah satu perjalanan yang sunyi tetapi kita tidak keseoarangan Ramai mereka yang telah melalui perjalanan ini menyatakan PhD adalah satu perjalanan yang sunyi. Walaupun ada ramai orang yang mendaftar sama dengan kita, tetapi kita mempunyai tugas, tanggungjawab, target yang berbeza. Bagiku memang perjalanannya menyebabkan kita keseorangan tetapi kita tidak bersendirian. Lebih-lebih lagi kalau kita jenis yang lebih suka belajar di perpustakaan. Walaupun masing-masing sibuk dengan hal masing-masing, kita sebenarnya perlu mencari rakan, kenalan baru yang boleh kita berkongsi ilmu dan pandangan. Kita boleh mencari kenalan baru atau menjadi follower laman sosial seperti Doctorate Support Group. 22

Banyak info dan kita tidak rasa kesunyian sebab mereka sentiasa memberi info dan motivasi kepada pelajar PhD. Sesekali pergilah ke seminar, bengkel atau majlis-majlis ilmu agar dapat menambah ilmu dalam pelabgai perspektif. Bersembang dengan kanak-kanak pun kadangkala memberi idea kepada kajian kita. Doing PhD is a lonely journey but remember you are not alone. d) PhD sepatutnya membawa kita dekat kepada Allah. Dalam satu kuliah Zohor di Masjid UKM, seorang Profesor dalam kuliahnya menyatakan belajar adalah satu jihad. Kita perlu berjihad supaya kita tidak berada dalam kebodohan. Orang yang dalam berjihad banyak dugaan diberi oleh Allah Taala. Dugaan dan musibah diberi agar kita kembali kepadaNya. Kita selalu berdoa agar kita dipermudahkan segala urusan, diberi kefahaman tentang ilmu, mudah mengingat, kita memohon agar mendapat petunjuk dan hidayah dariNya. Aku teringat juga Profesor itu menyatakan “Jika PhD tidak dapat membawa anda dekat kepada Allah, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kita”. Ucapannya menusuk ke kalbu ku. Sebagai hambaNya aku tertanya-tanya, apa sebenarnya yang kucari dalam hidup ini? PhD kah atau mendapat keredhaanNya? Tamatnya pengajian bukan bermakna tamatnya belajar. Banyak perkara lain yang perlu dipelajari. PhD bukan sahaja memberi aku ilmu, malah ia turut memberi pengajaran yang bermakna untuk hidup. PhD bukan pengakhiran segala perjuangan, PhD juga boleh dijadikan tiket untuk memperolehi sesuatu perkara lain. “ Barangsiapa belajar sesuatu semata-mata karena Allah, mencari ilmu yang ada bersama-Nya, maka dia akan menang. Dan barangsiapa yang belajar sesuatu karena selain Allah, maka dia tidak akan mencapai tujuannya, juga pengetahuan yang diperolehnya tidak akan membawanya lebih dekat kepada Allah. – Hasan al-Basri ” 23

Ayah Semangatmu Kuwarisi DR. BADRUL MUIN BINTI MUHAMAD ADAM Ketua Jabatan Sains dan Matematik Doktor Pendidikan Ed.D (UNISEL) - Pedagogi Sains [email protected] “Belajar lah selagi ada peluang”. Kata-kata arwah ayah sentiasa berlegar-legar dalam mindaku saat aku membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran. Mengimbau kembali momen-momen pembelajaran masters aku dalam bidang Pengajian Kimia yang begitu mencabar, maklumlah kembali semula belajar tentang Kimia setelah 16 tahun meninggalkan alam universiti bukanlah perkara yang mudah. Apatah lagi aku terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar ‘fresh graduate’ yang masih muda usia, betul-betul memerlukan usaha yang lebih dalam mentelaah pelajaran. Dalam kesibukan menuntut ilmu ini, ayahku pula terlantar di hospital menyebabkan aku terpaksa pulang setiap hujung minggu untuk menjaganya. Situasi ini betul-betul menguji kemampuanku untuk mengimbangi masa dan tenaga antara keluarga dan pelajaranku. Namun, peluang menyambung pelajaran secara sepenuh masa dengan biasiswa dan bergaji penuh sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung. Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan daripada suami dan keluarga, satu tahun perjalanan masters berjaya aku habiskan. Tika itu, terdetik di dalam hati dan fikiranku, jika perjalanan master berjaya ku harungi dalam masa yang singkat dengan segala masalah yang terpaksa dilalui, sudah pasti aku juga boleh mengharungi lagi untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran. Minatku dalam bidang pendidikan yang sudah sebati dengan diri ini selama bertahun-tahun menguatkan lagi azam aku untuk melangkah ke menara gading sekali lagi. Apatah lagi apabila aku memulakan kerjaya ku sebagai pensyarah di IPG pada tahun 2007. Impianku untuk berbakti sehabis mungkin kepada masyarakat dan bakal anak-anak didikku menjadi pembakar semangat. Seperti arwah ayahku, menimba ilmu tanpa henti untuk berbakti dan berjasa kepada anak-anak murid beliau. Ayah menjadi guru selepas tamat darjah enam pada tahun 1955. Dihimpit dengan kesempitan hidup untuk menyara keluarga besar kami, arwah ayah menjadikannya sebagai motivasi untuk menyambung pelajaran, seterusnya mengorbankan masa beliau yang memang sedikit dengan menghadiri kelas-kelas malam di Grammar School Kuala Terengganu. Ayah menduduki peperiksaan SPM pada tahun 1967 dan menurut ibu waktu itu dia sedang mengandungkan aku. Mungkin itulah tempiasnya dari semangat ayah yang 24

sanggup berkorban untuk bekerja sebagai guru pada siang hari dan menghadiri kelas pada malamnya demi kelangsungan hidup kami dengan kenaikan gaji beliau. Semangat ayah untuk terus belajar demi keluarga, ku warisi hingga kini. Program Doktor Pendidikan atau Doctor of Education (Ed.D) merupakan perkara yang agak asing bagiku. Namun segalanya berubah apabila Mantan Pengarah IPGKDRI iaitu Tn Hj Khairuddin menjemput Prof Madya Dr Sulaiman Shamsuri selaku Ketua Program Ed.D Universiti Selangor (UNISEL) untuk memberi ceramah tentang program ini di Dewan Ungku Omar di IPDKDRI. Aku mula tertarik dengan mod pengajian program ini yang disusun secara terancang bagi memastikan pelajar dapat menghabiskan pengajian dalam masa yang ditetapkan. Empat belas modul, enam bulan praktikum di mana-mana institusi pengajian tinggi dan menyiapkan satu kertas projek perlu dilaksanakan untuk melengkapkan program ini. Namun perkara yang lebih menakutkan apabila memikirkan kos pengajiannya. Program ini membawa 60 jam kredit. Satu jam kredit bernilai RM350 yang membawa maksud aku perlu menyediakan RM21 ribu untuk yuran pengajian sahaja dan ini tidak termasuk yuran pendaftran setiap awal semester serta kos untuk berulang alik dari Terengganu ke UNISEL. Segala persiapan aku telitikan agar keputusan yang dibuat tidak memudaratkan mana-mana pihak terutamanya kerjaya dan anak-anakku. Yuran pembelajaran, mod pengajian, aku bandingkan setiap universiti yang menjadi pilihanku. Sepanjang persiapan ini, aku sedar bahawa keseimbangan waktu dan perhatian penting agar aku tidak hilang fokus sebagai seorang anak, isteri dan ibu. Alhamdulillah, berbekalkan restu dan kata-kata semangat orang sekeliling, terutamanya suamiku, aku nekad memilih Universiti Selangor (UNISEL) sebagai tempat untuk menimba ilmu baharu. Maka bermulalah perjalananku sebagai seorang pelajar Doktor Pendidikan pada 2011. Terima kasih kepada Professor Madya Dr Sulaiman Shamsuri yang telah memperkenalkan program Doktor Pendidikan ini serta arwah Hj Khairuddin yang menjadi perancang di sebalik kejayaan program ini untuk kumpulan pelajar di Terengganu yang seramai hampir 20 orang. Pilihan ku adalah untuk menyambung pelajaran di peringkat Doktor Pendidikan, sedikit berbeza dengan Doktor Falsafah yang menjadi pilihan kebanyakan penuntut. Walaupun namanya berbeza, kedua-duanya masih “doctorate degree” yang membawa gelaran “Dr.”. Doktor Falsafah atau PhD lebih fokus kepada “research-based” menjadi pilihan bakal scholar dan penyelidik selain khusus kepada penyelidikan di peringkat universiti. Manakala, Doktor Pendidikan atau EdD adalah “educational-technical research-based”, menjadi pilihan kebanyakan pegawai pendidikan termasuk guru dan pensyarah, serta tumpuan penyelidikan lebih kepada bidang pendidikan. Kerana minatku yang mendalam dalam bidang pedagogi dan pengurusan, aku memilih untuk menyambung pengajian di peringkat Doktor Pendidikan, mod coursework. 25

Banyak perkara baru yang aku pelajari sepanjang dua tahun menghadiri kuliah dengan kursus-kursus antaranya seperti Leadership in High Education, Legal Aspects of High Education, Organisation Behavior in Education, Instructional System Technology dan Quality Management in Education serta Research Methodology. Apa yang menarik perhatian aku ialah keseimbangan dalam sistem pendidikan yang perlu diperbaiki dan bagaimana pembaharuan ini diadaptasi ke dalam pengajaran peringkat sekolah di Malaysia. Lumrah seorang pelajar, cabaran dan dugaan sentiasa menyusuri perjalanan EdD ku. Antaranya, dari segi pembahagian masa antara belajar dan kerjaya, memandangkan aku adalah pelajar separuh masa tanpa biasiswa dan bekerja sepenuh masa, yang memerlukan aku untuk berulang-alik dari Terengganu ke Selangor untuk menghadiri kuliah. Sebelum aku membuat keputusan untuk menyambung pengajian EdD, aku turut menimbang perkara sebegini, tetapi, arwah mak dan suami menyokong aku dengan memberi kata-kata positif agar aku meneruskan impian aku ini. Galakan daripada orang-orang sekeliling aku sangat penting dan memberi secebis harapan kepada aku dalam hala tuju pengajian EdD aku ini. Pada dua tahun pertama pengajian, aku menghadiri kelas-kelas di fakulti untuk melengkapkan 14 subjek yang perlu diambil sebelum meneruskan tahun-tahun terakhirku dengan kajian dalam bidang yang dipilih. Aku nekad untuk mengambil tiga hingga empat subjek pada satu-satu semester agar dapat menyiapkan pengajian di bilik kuliah dengan cepat dan memberi lebih fokus kepada penyelidikan aku. Kecenderungan aku ketika itu lebih kepada penyelidikan yang bakal aku kaji kerana akan menjadi rujukan kepada bakal-bakal penyelidik di luar sana dan memotivasikan aku untuk melakukan yang terbaik. Masa terluangku kebiasaannya dihabiskan bersama keluarga, terutamanya cuti sekolah, dikorbankan demi tuntutan ilmu. Namun, perkara tersebut tidak menjadi masalah bagi kami kerana persinggahan kami ke Selangor dimanfaatkan oleh anak-anak dan suami dengan meronda-ronda sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sementara aku menghadiri kuliah di universiti. Aku sedar bahawa keluarga turut berkorban waktu riadah kami, tetapi aku bersyukur kerana mereka sangat memahami dan memberi sokongan padu kepada aku sepanjang pengajian EdD ini. Aku cuba sehabis mungkin untuk memberi sepenuh perhatian dan tunjuk ajar kepada anak-anakku yang kebanyakkannya masih belajar di sekolah. Ini turut menguji ketahanan mental aku dalam memastikan aku tidak mengabaikan tanggungjawab walaupun komitmen aku bertambah sebagai seorang pelajar universiti. Penyeliaku, Profesor Madya Dr. Gunasegaran a/l Karuppanan, banyak membantu aku sepanjang aku menyiapkan kertas projek di UNISEL. Pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan sekelasku banyak membantu aku dalam pembelajaran di dalam malahan luar bilik kuliah. Aku dibimbing dan diberi tunjuk ajar oleh tenaga pengajar yang 26

bertauliah dari UNISEL, sedikit sebanyak memudahkan urusanku sepanjang tempoh aku bergelar pelajar mereka. Aku turut bertanya rakan-rakan sekerja yang sudah menggenggam EdD dan PhD untuk mendapatkan tips dan nasihat memandangkan rata-rata mereka juga sudah berkeluarga seperti aku dan menyambung pelajaran secara separuh masa. Selepas aku berjaya menghabiskan pelajaran bagi subjek-subjek wajib, aku mula membuat kajian mengenai penyelidikan aku yang akan dibentangkan dan diterbit. Bermulanya proses tersebut, aku memilih tajuk yang bersesuaian dengan bidang pendidikan yang aku ceburi dan menarik minat aku. Profesor Madya Dr. Gunasegaran menjadi tempat rujukan aku dan beliau tidak lokek untuk membimbing hala tuju penyelidikan yang bakal aku tulis. Setelah pemilihan tajuk penyelidikan, aku meluaskan lagi sumber rujukan aku untuk menulis ‘proposal’ dan dibentangkan di hadapan pensyarah-pensyarah UNISEL. Banyak pengajaran yang aku pelajari sepanjang tempoh aku menyiapkan ‘proposal’ dan sememangnya suasana pembelajarannya berbeza berbanding ketika Degree dan Masters. Beberapa idea dan perkara sewaktu aku ’defend’ ‘proposal’ ditolak selain daripada kesalahan yang perlu diperbaiki dalam kertas penyelidikan aku betul-betul menguji ketahanan fizikal dan mental aku. Aku yang keletihan dengan kerjaya aku sebagai pendidik di institut pendidikan guru, perlu menghadap kertas projek EdD yang seperti tiada kesudahan di penghujungnya. Ini membuatkan aku tersedar bahawa bukan mudah bagi pelajar-pelajar EdD dan PhD untuk menghabiskan pelajaran mereka, dan betapa ‘mahal’nya ilmu mereka yang dicapai pada tahap tertinggi ini. Aku akui, walaupun masih di peringkat ‘permulaan’, bukan mudah bagi aku untuk menyiapkan semuanya dalan tempoh yang ditetapkan, namun, aku kuatkan semangat dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan jihad aku dalam menuntut ilmu ini. Di saat aku hampir berputus asa dengan pembelajaran EdD, aku teringat satu lagi nasihat arwah ayah ku iaitu “Bermulanya satu kebodohan apabila seseorang berhenti belajar”. Kata-kata ini sentiasa tersemat dalam hati aku. Arwah ayah ku seorang yang sangat tegas dalam pelajaran anak-anak beliau dan sentiasa menekankan kepentingan ilmu. Bagi beliau, ilmu adalah “survivor skill” kerana dengan ilmu, seseorang boleh mengubah nasib hidupnya. Disebabkan itu juga lah aku membuat keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi ini dan aku percaya bahawa ilmu itu perlu dicari dan diamalkan oleh seseorang agar memberi manfaat kepada umat sejagat. Bagi setiap kejayaan pasti ada cabarannya, tetapi, aku tahu aku tak seharusnya rasa kesal dengan keputusan ini dan berhenti belajar di pertengahan jalan. Seperti yang dinyatakan dalam satu hadis: Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga” (Hadith Riwayat Muslim). 27

Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah SAW menjamin satu ganjaran besar buat sesiapa yang berjuang menuntut ilmu sekaligus menunjukkan betapa tingginya darjat seorang penuntut ilmu. Ilmu yang bermanfaat semestinya memberi banyak kebaikan kepada orang yang mengamalkannya, oleh itu, setiap manusia terutamanya Muslim, digalakkan menuntut ilmu semampu boleh agar tidak ketinggalan dengan ilmu-ilmu baru yang setanding dengan arus perkembangan teknologi hari ini. Lumrah bagi yang ‘mencari’, sudah tentu akan berasa ‘cukup’ pada satu-satu masa, tetapi, dalam menuntut ilmu, semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui dan sebab itu lah umat manusia tidak seharusnya berhenti menuntut ilmu. Ungkapan ‘tuntutlah ilmu hingga ke negeri China’ turut memberi gambaran bahawa betapa pentingnya ilmu kepada manusia dan disarankan mencari ilmu sehingga ke negeri China. Di samping itu, terdapat satu hadis diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi “Mencari ilmu itu wajib bagi setiap Muslim”, menekankan bahawa menuntut ilmu adalah wajib dalam Islam dan orang yang menuntut ilmu tergolong dalam kalangan orang yang dijanjikan syurga. Dalam setiap perjalanan, pasti ada pengakhirannya. Alhamdulillah pada 2016 aku berjaya bergraduasi dengan gelaran Doktor Pendidikan yang membawa gelaran Dr. Setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan kepada Allah SWT dan penghargaan aku kepada suami, anak-anak dan ahli keluarga aku, terutamanya arwah ayah dan mak, yang menjadi inspirasi dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada aku. Menjadi orang pertama di dalam keluarga besar aku yang menggenggam skroll Doktor Pendidikan ini cukup bermakna bagi aku. Walaupun arwah ayahku tiada di sisi untuk menyaksikan ‘hari jubah’ aku, aku yakin arwah akan berbangga dengan aku. Selain itu, aku berharap kejayaan aku ini akan menjadi inspirasi kepada anak-anakku untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi ini dan menjadi seorang yang berjaya dalam bidang yang diceburi. Aku juga berharap anak-anak didikku juga mendapat manfaat daripada secebis ilmu yang aku kongsikan kepada mereka. “Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat”.- Joseph Conrad ” 28

EdD: Antara Kehendak dan Tanggung jawab DR. SURIANY BINTI MAT NOOR Ketua Jabatan Pengajian Melayu Doktor Pendidikan Ed.D (UNISEL) - Pentadbiran Pendidikan [email protected] Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, begitulah ibarat kata pemula. Belajar di bidang Ijazah Doktor Pendidikan, EdD. Kewujudan EdD yang mungkin perlu atau mungkin tidak perlu. Perlu bila mana ilmu dan persekitaran relevan dan tidak perlu apabila persekitaran dan ilmu berbeza. Perlu jika urusan memerlukan ilmu baharu tidak perlu bila kerja buat masih di tahap lama. Perlu apabila ingin berubah, daripada persekitaran lama ke persekitaran yang baharu yang lebih bermakna dan lebih berprestij. Akhirnya demi persekitaran kerja yang lebih berkemahiran tinggi aku menyambut cabaran rakan-rakan dan keluarga untuk menyambung pelajaran lagi di peringkat tertinggi. Harapanku hanya satu, ilmu perlu dikejar agar aku tidak menjadi dinasour yang dikatakan pupus kerana tiada perubahan saiz badan setiap generasinya dengan keperluan makanan yang banyak, sedangkan dunia semakin banyak saingan dalam memburu dan diburu untuk kemandirian. Oleh itu, diharapkan kemandirian aku dalam kerjaya akan lebih tinggi apabila mempunyai ilmu sesuai dengan zaman. Dengan izin suami aku mendaftarkan diri sebagai pelajar sambilan di Unisel. Kenapa Unisel? Sebabnya kursus yang relevan dengan kerjaya dan mod pengajian yang sesuai dengan masa luang aku hanya ditawarkan di sana pada masa itu. Doktor Pendidikan (EdD) adalah kursus yang aku pilih dengan bantuan dan dorongan suami tercinta. Maka bermulalah liku-liku kehidupan yang baharu sebagai pensyarah, pelajar, ibu dan isteri yang memberikan satu fenomena yang tidak terjangkau di fikiran sebelum ini. Walau pahit bagai hempedu, dan kekadang manis bagai madu terpaksa jua aku telusuri. Siang berganti, malam berlalu bagai tidak tersedar beban yang digalas sampai bila akan terlerai. Melangkah hari pertama sebagai siswa buat kali ketiga di Unisel (pertama Ijazah Sarjana Muda, USM dan kedua Ijazah Sarjana, UPM) adalah dengan perasaan yang penuh gembira, bersemangat dan teruja untuk kembali ke alam kembara ilmu. Kembara bersama rakan-rakan baharu yang sehati dan sejiwa dalam menempuh ranjau dan duri di menara gading. Banyak ilmu yang dipelajari terutama dalam aspek pengurusan pendidikan dan kepimpinan di sekolah. Ilmu dikutip sebanyak mungkin untuk membantu dalam kerja buat di pejabat jua kerana bidang yang di pilih memang selari. Persoalan atau isu dalam pengajian boleh diselidiki di persekitaran kerja, persoalan dan 29

eviden boleh difahami dan digunakan semula sebagai kes kajian atau tema perbincangan di bilik kuliah atau seminar. Mana falsafah, mana teori, mana konsep dan mana aplikasinya, semua ada di persekitaran kerjaku. Sesungguhnya pembelajaran ini memang membantu aku lebih memahami dan mengaplikasi teori dan falsafah yang dipelajari dalam medan realiti. Jadual kuliah dan tugasan menjadi teman diri di satu pertiga malam. Tugasan adalah keperluan, di pejabat banyak tugasan yang menjadi tanggung jawab. Masih ku ingat pada semester enam tahun kedua berlaku transformasi tugas di pejabat, aku terpaksa bertukar tugas, menerima tugas baharu yang sedikit merubah motivasi kerja dalam diri, seolah-olah kemahiran dan kepakaran telah terhakis. Namun kugagahi jua meredah onak dan duri. Aku pasrah dan reda. Alhamdulillah proses menimba ilmu berjalan lancar pada tempoh tahun pertama dan kedua pengajianku. Semuanya berjalan lancar. Pengajian EdD melibatkan tiga komponen utama iaitu komponen modul yang melibatkan kuliah, tutorial dan tugasan. Komponen kedua praktikum diinstitusi pendidikan dan komponen akhir yang paling mencabar adalah penulisan mini tesis. Semua fasa telah dapat ku lalui dengan jayanya, yang tinggal komponen penulisan. Walaupun mini tesis namun komponen inilah yang menjadi tamparan hebat kepada ku. Tanpa ku sedari kembara EdD ini telah mengambil masa yang panjang daripada yang dijangkakan. Bermula tahun 2010, ketika itu anak kecil ku baru berusia 2 tahun, dalam pemikiranku kembara ilmuku akan berakhir sebelum anakku ini menduduki bangku darjah satu, namun jangkaan ini telah meleset. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Di awal tahun 2012 kesihatan ayahandaku tidak begitu memuaskan, kerap jatuh sakit dan berulang kali dimasudkan ke wad di Kota Bharu. Peristiwa ini mengganggu pengajianku kerana setiap petang Khamis kami bergegas pulang ke Kota Bharu, dan pulang semula ke Kuala Terengganu setiap malam ahad untuk kembali bertugas. Keadaan ini telah berlarutan sehingga bulan Ogos dan paling tidak dapat ku lupakan pada awal bulan September, kesihatan ayahanda kelihatan begitu baik sekali sepanjang minggu. Kami adik beradik berasa sangat bersyukur kerana ayahnda dikurniakan kesihatan yang baik seperti sedia kala. Alhamdullilah. Apapun, Allah lebih menyayangi ayahanda kami apabila ayanda kembali menemui pencipta-Nya dalam keadaan yang amat tenang bukan di saat kesakitannya tetapi dalam tidur yang panjang (Al-Fatehah buat ayahanda). Bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga begitulah nasib diriku. Baharu sahaja melalui episod kesedihan yang panjang, aku diuji lebih hebat lagi, suami tersayang pula tiba-tiba jatuh sakit. Beliau ditimpa sakit paru-paru yang tenat dan hampir meragut nyawanya. Beliau telah menerima rawatan di hospital Salam di Shah Alam selama sebulan. Sekali lagi aku, berulang alik ke hospital. Alhamdulillah, ketika ini cuti hujung tahun, jadi aku lebih banyak berumah tangga di hospital daripada di rumah. Hari demi hari berlalu dengan begitu perlahan sekali, seakan-akan mentari tidak mahu menyinar, malah malampun terasa begitu panjang seolah-olah tidak akan melabuhkan tirainya. 30

Tiada di ingatan lagi kuliah atau tugasan. “Apalah ada pada EdD berbanding seorang suami di sisi?”. Selepas sebulan, baharulah suami ku dibenarkan ke luar dari hospital namun kesihatannya pada tahap paling minimun. Segala keperluan dan urusan diri perlukan bantuan orang lain. Semuanya aku urusi. “Mana masa belajarku?” “Masa membaca?” “Masa menulis?” Inilah isi pelajaranku, bacaanku nama-nama ubat, penulisan ku masa-masa rawatan dan temu janji. Oh tuhan, baru aku tersedar, kesihatan adalah kekayaan yang perlu di jaga dan disyukuri semasa masih ada, apabila telah tiada sirna maka tidak berguna lagi walaupun untuk dikesali. Sepanjang tahun 2013 awan mendung masih berarak mengiringi keluarga kami, banyak masa aku habiskan untuk menjadi pendamping kepada suami dan anak untuk berubat di serata tempat. Sebut sahaja di mana ada penemuan baharu, kami akan pergi. Dengan keyakinan tiada sakit yang tidak boleh disembuhkan kecuali mati, maka masa telah membuktikan suamiku beransur sihat dan sudah boleh bertanya tentang pengajianku. Barulah aku tersedar dari mimpi suram yang amat panjang bahawa hidup perlu diteruskan. Niat dan keinginanku untuk mendapat ijazah EdD perlu diteruskan semula. Setelah berfikir panjang dan terinspirasi daripada segala kesusahan dalam keluarga kami maka aku tanamkan tekad, perjuangan mesti diteruskan. Mulai saat ini baharulah aku berfikir semula tentang pelajaran EdDku dan kali ini aku menjadi lebih bertekad, fokus dan bersemangat demi sebuah tanggung jawab dalam diri bahawa setiap permulaan mesti ada penamatnya. Aku mesti konvo! Tahun baharu kembali lagi, 2014. Setelah ayahanda sudah tiada dan suami pun sudah sembuh maka mulalah aku kembali aktifkan semula pengajianku. Tahun ini adalah tahun yang paling aku tekun belajar, sehinggakan pada setiap pagi khamis, anakku yang dah berusia 7 tahun akan bertanya “Mak minggu ni kita pergi KL kan?”. “ Kita naik apa mak?”. Sepanjang berulang alik ke KL ni, aku kadang-kadang memandu, kadang-kadang naik kapal terbang, tapi kalau poket dah pokai sangat aku akan naik bas sahaja. Belajar dengan biasiswa sendiri ni, budget menjadi cabaran utama. Oleh itu belajar sehingga konvo adalah satu tanggung jawab kepada wang yang dibelanjakan untuk yuran pengajian. Bayaran yuran bukan satu angka yang kecil. Kalau tak diingatkan yuran yang banyak telah dibayar dua tahun pertama pengajian mungkin dah aku lupakan apabila diulik kesedihan dengan episod duka yang panjang di tahun 2012 dan 2013 yang lalu. Saat yang tak kurang tebal mendungnya di jiwaku adalah semasa membentangkan proposal. Selepas pembentangan aku perlu membuat penambahbaikan dan untuk itu aku telah dirujukkan kepada pakar psikologi Dr Mat Saat Baqi(Penilai kedua), kerana kesahan instrumen aku dipertikaikan semasa pembentangan. Maka bermulalah aku berbengkel dan berdiskusi di Hospital Bangsar, Kuala Lumpur. Kali pertama aku menjejaki hospital ini, “Wau!”. Terpegun aku melihat persekitaran dalaman hospital ibarat hotel lima bintang. Hati kecilku berbicara... “Bahagianya orang kaya...sakitpun 31

hidup dalam kemewahan”. Selama berulang-alik ke sana, ada rakanku menegur, “Hai Su, kerap jumpa psikiterik, ada apa-apa ko?” Terkesima juga aku mendengar soalan yang sinis ini, namun apakan daya demi sebuah EdD perjuangan ini perlu diteruskan. Alhamdulillah setelah tiga sesi di sini dan sesi atas talian yang lain, proposalku disahkan untuk proses mengutip data. Alhamdulillah syukur kepada-Mu ya Allah. Hanya sujud yang panjang di dua pertiga malam dari hamba-Mu sebagai tanda terima kasih. Awal tahun 2015, aku telah mendapat amaran daripada suami, “Yang... dah terlalu lama you belajar!”. “Tak habis-habis, anak pun dah sekolah. Dia perlu perhatian ibunya” leter suamiku. “Tahun ni kalau tak tamat, cukup-cukuplah belajar, bagi peluang pada anak pula” sambungnya lagi. Inilah duri dan onak yang bermain diminda. Namun hati ku berbisik “Aku mesti konvo!” Kata-kata keramat bermain di minda, “konvo mesti konvo”. Maka terhambatlah perjalanan kembara EdD ini, seolah-oleh fasa kedua. Setiap hari seusainya tugas-tugas rutin di rumah, maka kutekuni komputer, melayari alam maya mencapai apa sahaja yang boleh dikaitkan dan menjadi hujahan kepada penulisan. Kalau minda buntu, kopi menjadi peneman setia. Hujung minggu pada setiap hari khamis adalah hari yang kritikal kerana hari jumaat aku perlu turun ke Unisel samada berjumpa pensyarah atau menghadiri bengkel mahupun menghantar tugasan. Pada suatu hari khamis, rutin tugas di pejabat pada hari tersebut berubah, aku terpaksa bekerja hingga ke malam, sepatutnya selepas jam 3.30 petang maka aku sudah tamat tugas-tugas di pejabat. Oleh itu aku telah kehilangan masa emasku. Malam itu aku terpaksa menyelesaikan bab empat penulisan untuk ditunjukkan kepada penyeliaku. Dengan masa yang telah disingkatkan aku terpaksa berjaga sepanjang malam menyemak sambil mencetak penulisan di saat-saat akhir. Kerja yang ku jangkakan boleh disiapkan lebih awal namun ada sahaja yang perlu diperbaiki. Malam ini tiada masa untuk tidur, tugasan perlu disiapkan. Nun di kejauhan azan subuh telah pun berkumandang, maka terpaksa ku pasrahkan diri untuk solat subuh di samping mengambil ke sempatan untuk mengadu kepada Allah dan memohon agar urusan perbincangan pagi ini dengan penyelia berjalan lancar. Selepas solat subuh sambung lagi hingga selesai. Usainya tugas hari ini, masa yang ada sekadar cukup-cukup untuk bersiap-siap untuk mengejar penerbangan awal pagi Malindo Air ke Kuala Lumpur. Mana masa tidurku? Telah lesap ditelan Sang Suria pagi ini. Di lapangan terbang menjadi tempat untuk ku sedikit bersantai sambil bersarapan bersama anak yang setia menemani emak di kembara ilmu ini. Terima kasih anak mak, Intan Suria binti Amishariff. Sambil makan sempat berbual-bual sementara menunggu masa berlepas. Inilah rutin hujung minggu di setiap semester. Sampai di Kl terus bergegas ke Unisel dan berurusan dengan penyelia sehingga tamat. Masa tidur dan rehat hanya tiba apabila mendaftar masuk ke Hotel My Home di Seksyen 7, Shah Alam. Hotel budget ini menjadi rumahku dengan bayaran RM78 pada tahun pertama pengajian 2010 dan telah meningkat dari tahun ke tahun sehingga tahun akhir iaitu pada 2015 telah menjadi RM138 semalam. Aku suka hotel budget ni sebab internetnya laju, 32

jarak ke Unisel pun dekat dan hanya melintasi satu lampu isyarat sahaja kalau memandu, kalau tak aku tak berani memandu. Penyelia aku sorang yang selamba dan tenang sahaja, tetapi kalu dia menyemak tu ada saja yang tak kenanya. Kena tambah itu dan kena tambah ini kena gugurkan tu perkara biasa dan perkara pasti kena tambah banyak lagi, kena baca banyak lagi, pernyataan yang sudah seakan dijangka akan didengar setiap kali berbincang atau penyemakan draf penulisan. Namun semua itu terpaksalah diterima dengan hati yang redha. Paling tak dapat dilupakan semasa membuat pembetulan selepas viva. Suami dan anak terpaksa menunggu aku mengejar masa penyelia kedua sehingga terpaksa tidur dalam kereta. Penyelia kedua bertugas di Bestari Jaya, tempat aku belajar di Seksyen 7, Shah Alam sahaja, maka perjalanan ke sana agak jauh. Namun aku sangat bersyukur kerana suamiku sangat memahami dan sedia bekorban masa dan tenaga demi peluang dan perjuangan di dunia ilmu. Beliaulah semangat dalam diriku sewaktu kesedihan atau kurangnya motivasi belajar. Terima kasih suamiku Amishariff bin Abu Bakar. Saat yang paling indah akhirnya tiba jua, aku menerima surat pengesahan lulus dan layak berkonvokesyen pada tahun 2015. Sebaik sahaja menerima surat ini, aku mula bersiap sedia untuk meraikannya bersama keluarga besar kami. Semua adik beradik aku maklumkan, “Sila simpan tarikh ini, semua orang mesti datang pada hari yang bersejarah ini”. Kebetulan juga aku adalah orang pertama dalam keluarga Haji Mat Noor bin Ali yang berkonvo Ijazah Kedoktoran. Sehari sebelum hari kejadian kami semua berkumpul di rumah adik, di Kuala Lumpur, malamnya kami mengadakan makam malam bersama-sama untuk meraikan kejayaan aku. Adik beradik dan anak buah pun sanggup datang untuk meraikannya kejayaan ini. Kegembiraan ini sangat bermakna kerana tertulis sudah satu sejarah dalam keluarga Haji Mat Noor. Semoga Allah merahmati arwah Haji Mat Noor bin Ali (ayahanda) dan arwah isterinya (bondaku) Wan Minah binti Wan Seman. (al-Fatehah untukmu ayahanda dan bondaku). Akhir sekali, sesungguhnya kegembiraan menamatkan pengajian tidaklah membawa kepada rezeki yang melimpah ruah dari segi pangkat dan harta apatah lagi jawatan yang tinggi. Namun aku bersyukur kerana terpilih untuk belajar dan tamat pengajian dengan jayanya, dan harapan yang tinggi aku sandarkan agar ilmu yang ditimba akan menyerlahkan kemahiran, keterampilan dan kewibawaan diri dalam menangani tugas-tugasku sebagai pendidik. Sesungguhnya demi Allah, ilmu yang dikutip atas dasar kehendak dari jiwa yang murni di sudut hati yang paling dalam dan ilmu yang ku peroleh ini menjadi tanggung jawab untuk ku sebarkan kepada anak didik dan semoga menjadi harta yang bermanfaat ketika diriku di alam yang kekal abadi nanti. Wallahualam. Assalamualaikum “Kurang semangat mengakibatkan lebih banyak kegagalan berbanding kurangnya kebijaksanaan atau kemahiran”.- Flower A. Newhouse 33

1 Dari Sejuta Yang Sangat Bermakna….Hakikat PhD DR. MUHAMMAD RUSDI BIN AB. MAJID Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Doktor Falsafah PhD (UM) - Pendidikan Bahasa Arab [email protected] \"Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah” Jom baca sikit coretan ini. Semoga yang membaca beroleh sedikit ibrah dari musafir yang berlaku sebab pengalaman itu merupakan antara sumber ilmu yang terbesar. Prof Dr. Hamka pernah menukilkan bahawa pengalaman adalah antara jalan untuk memiliki hikmah dan kepandaian. Yang nak dikongsi pun tak banyak juga… satu ibrah je pun. Walau satu tapi aku juga sangat percaya dengan ungkapan… “Berusahalah untuk sekurang-kurangnya memperoleh satu perkara daripada seribu perkara yang hanya menjadi impian” Awal Bicara… Banyak manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi untuk memperoleh apa yang dicita-citakan. Dari dahulu hingga sekarang cerita pengorbanan manusia untuk mencapai apa yang dicitakan merupakan suatu yang sudah menjadi tatapan yang diketahui oleh kita semua. Kisah dan nama seperti Nabi Ibrahim a.s. Nabi Muhammad s.a.w. dan sederet kisah-kisah lain adalah antara manifestasi pengorbanan hakiki dalam mencari MAKNA. Kisah pengorbanan adalah merupakan ribuan kisah pengorbanan demi memperoleh apa yang dicitakan walaupun pahit yang perlu ditempuhi. Teringat saya kepada kisah pengorbanan ibu dan bapa saya membesarkan kami adik beradik. Semua rasa ada dalam “rasa” tersebut… terasa sangat kecilnya diri ini. Tetapi Alhamdulillah. Masih dikurniakan “rasa” itu. Begitu juga kisah pengorbanan untuk membutirkan impian sekeping sijil yang bernama PhD. Sekeping kertas je pun… atas kertas tu hanya ada tandatangan beberapa orang yang tidak pun dikenali apatah lagi pernah minum bersama, ketawa bersama jauh sekali menangis bersama. Tapi kenapa ramai manusia sanggup berjuang deminya. Tak dinafikan ramai juga yang berjaya tapi ramai juga yang gagal malah bukan setakat gagal tapi terpaksa menempuh hinaan… ish..ish..ish… pelikkan. Dalam kepelikan tu 34

masih ramai yang sanggup berjuang menghadapi begitu berat rintangan pengalaman tersebut. Pada aku PhD ni bukanlah suatu yang sangat berharga. Ianya merupakan hanya sekeping kertas ibaratnya sekadar resipi masakan yang hanya tercatat dihelaian kertas.. tidak bermakna kecuali resipi tersebut diadun di dalam kuali dan menghasilkan ikan tiga rasa yang sedap dimakan apatah lagi dimakan bersama dengan sepiring budu disisinya… hihihihi. Di sisi lain, sijil dan gelar ini pasti sangat bermakna sekiranya diberikan falsafah, nafas serta roh disebaliknya. Betul ke tak berharga??? Tak logik pulak kan. Entahlah…… yang pasti aku juga terjebak…. Terjebak dalam episod mencari GELAR di depan nama. Kenapa aku kata begitu…. Nantilah lepas ni kita cerita erkkk…. Sebelum tu.. baik juga kalau kita tekuni dan fahami kata-kata di bawah ini untuk memahami apa yang dimaksudkan berharga atau tidak sesuatu itu. \"Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan\" Jangan baca sekali tau… baca sehingga maksud disebaliknya difahami. Letakkan roh ,falsafah dan sifat dalamnya, barulah hakikat sebaliknya akan tersirna. Awal Perjalanan Bila teringat kembali peristiwa 8 tahun dahulu ketika kaki mula memijakkan tanah seribu hikmah UM terus mekar kembali kenangan indah berjuang untuk memiliki PhD. Seribu perasaan bercampur menjadi satu. “Akan ku genggam kemas, erat apa yang ku kejar” kata ku ketika mendaftarkan diri menjadi pelajar kembali bersama isteri tercinta. Isteri tersenyum je… Ye ke Baba nih. Hehehe… Memori dulu. Mula melangkah dalam bulan-bulan pertama sangat mengujakan. Bertolak dari rumah sewa di Gombak dengan menaiki LRT Kelana Jaya line dari Taman Melati, Gombak menuju Tanah Seribu Hikmah UM dengan menempuh 18 stesyen setiap hari bermula lebih kurang jam 7 pagi sampailah jam 10 malam baru pijakkan kembali lantai rumah merupakan pengalaman yang ku katakan sejuta rasa. Taman Melati, Wangsa Maju, Sri Rampai, Setiwangsa, Jelatek, Dato’ Keramat, Damai, Ampang Park, KLCC, Kampong Baru, Dang Wangi, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral, Bangsar, Abdullah Hukum, Kerinchi dan Universiti antara stesyen yang menjadi saksi. Perjalanan pergi diwaktu awal pagi sangat menyeronokkan sebab bersesak-sesak dengan orang nak masuk pejabat. Seronok juga sebab naik di stesyen awal memberi tawaran kerusi mana yang nak dipilih. 35

Masa balik 18 stesyen lagi terpaksa ditempuhi. Waktu ni biasanya berdiri la jawabnya. Tanya sahaja stesyen mana yang tidak dijejaki.. semua ada tanda kaki pernah melangkah bila masa berhadapan krisis PhD. Terapi melihat, menakkur sekeliling aku terapkan bila masalah menjelma. Satu kali pernah masalah yang dihadapi bila kerangka konseptual aku ditolak oleh penyelia. Situasi biasa bagi pelajar PhD. Kecewa… bukan setakat itu ditambah lagi dengan sakit kepala untuk mencari kerangka yang tepat dan disukai oleh penyelia. Nak dijadikan cerita penyelesaiannya dapat diselesaikan ketika bersiar-siar di stesyen LRT Kampong Baru sambil menikmati kerang bakar dan tomyam campur. Fuh… sedap sungguh. Kalaulah boleh diulangi pengalaman itu kembali. Dalam perjalanan ini sebenarnya semua ada. Maklumlah perjalanan yang bukan tiga tahun (dalam kes saya bertahun-tahun dan beribu-ribu lemon) jadi banyak benda yang berlaku dan banyak juga perasaan yang muncul… macam astro juga. Ya lah nak apa…. Yakin, berani, kuat, tabah, dedikasi, bertanggungjawab dan lain-lain yang baik-baik semua ada. Negatif pun sama jugak… hihihihi…. kecewa, putus asa, mengada-ngada, malas, give up, boring, nak apa lagi… senang cakap semua ada. Macam astro juga. Sebab itu antara ibrah diawal perjalanan ini yakinlah perlu ada..... Ikhlas, Positif dan Yakin. Jika modal ini ada insyallah singkapan hakikat mudah untuk diperoleh. Tak sempat nak kupas pasal 3 benda ni di sini. Kena menuntut dengan sebaik mungkin barulah hakikat itu akan menjelma… Insyallah. Hakikat Ilmu Campur semua hasilnya, inilah antara ibrah terbesar yang tidak mungkin dapat diungkapkan dengan kata-kata. Ibrah yang mengajar dan memberi panduan tentang maksud orang berilmu. Ibrah yang mengajar tentang bagaimana sebelum, semasa dan selepas ilmu mendarat di dalam sanubari makhluk benama insan. Ibrah yang akhirnya mampu menyingkap makna sebenar manusia sebagai manusia. Ibrah bagaimana sifat dan maksud ilmu mampu dijelmakan dalam faham sebagai manusiawi. Sebelum jauh kita meneroka jom kita jengok seketika apa itu HAKIKAT. Sambil-sambil tu sedap juga kalau boleh minum kopi bertemankan kepok lekor….. Kalimah hakikat berasal dari kata bahasa Arab yang bererti pokok atau inti. Hakikat merujuk kepada pengertian inti dari sesuatu atau kemuncak kepada sesuatu. Pengertian ini menggambarkan tentang ungkapan untuk menyatakan suatu perkara secara paling mendalam yang mencapai tahap klimaks. Ianya juga menjelaskan tentang maksud 36

sebenar sesuatu perkara. Ok lah… nak senang faham lagi jom tengok contoh tentang maksud hakikat…. Sebelum tu kalau nak tahu secara lebih terang kena pakat-pakat baca kitab Minhajul Abidin karangan oleh Imam Ghazali. Orang kata baca baru tau beb… Secara asasnya hakikat ialah kebenaran yang mutlak.. Tiada lapisannya yang lain lagi selepas itu. Haqqul yakin dan ainul yakin…. Analoginya seperti tokey kepok lekor mengenali kepoknya berbanding tokey kerbau mengenali kepok lekor…. Hihihihi… hakikatnya tokey kepok lekor akan lebih menjiwai kepok lekor berbanding dia menjiwai kerbau (sebut kerbau sebab kes viral Syukor Khamis “Mowgli Malaysia”) apabila disoal. Mungkin bau kepok sahaja sudah mampu untuk dia menceritakan sejuta tulisan berkenaan perkara tersebut berbanding dia menceritakan kerbau walaupun kerbau tersebut berada di depan matanya. Begitulah lebih kurangnya. Musafir mencari ilmu PhD banyak mengajari aku tentang erti HAKIKAT manusiawi. Betapa manusia tidak pernah puas mengejar dan terus mengejar dunia yang palsu. Ramai manusia yang tertipu dengan perjuangan mengejar gelar. Gelar tersebut sebenarnya tidak salah untuk dikejar tetapi mesti betul bentuk kejaran yang dibuat. Sebab itu diawal kalam saya nyatakan musafir ini perlu memiliki roh, falsafah dan sifatnya barulah kita mampu mencapai HAKIKAT kepadanya. Alhamdulillah… Allah s.w.t telah menjumpai aku dengan beberapa sahabat yang mengajari aku dengan makna sebenar tentang ILMU… alhamdulillah sekali lagi dan sekali lagi… Betullah bijak pandai pernah berkata untuk kenal sesuatu maka pelajarilah ia maka kamu akan mengenalinya. Sahabat-sahabat yang saya maksudkan ini bukan manusia biasa-biasa. Setengahnya sudah memiliki segala-galanya, harta, gelar, keluarga, kerjaya bahkan hampir sempurna walau sebenarnya sempurna itu hanya milik Dia. Tetapi: “Roh ,Falsafah dan Sifat ILMU sesuai dengan PERLAKUAN” Allahu…. Dari situ aku mula belajar erti ILMU dan erti AMAL dari ilmu yang dimiliki. Bagaimana untuk lebih memahami nanti, gelar yang dikejar dan dimiliki mampu menjelmakan sifat HAMBA dalam diriku. Ya Allah kurniakanlah sifat itu dalam diriku. Bertahun berkawan dengan insan-insan hebat… hebat sebab selari antara ilmu dengan amal… bukan sekadar hebat dari pencapaian akademik atau jawatan semata-mata. Sebab hebat pencapaian tanpa amal sangat mudah untuk dijumpai, tetapi terlalu sukar untuk berjaya mendampingi insan yang memiliki segala-galanya tetapi seperti “bukan seseorang” walau dia sebenarnya “seseorang”. 37

Rasulullah s.a.w. menggambarkan para pemilik ilmu itu ibarat lembah yang bisa menampung air yang bermanfaat bagi alam sekitar, sebagaimana sabda Baginda s.a.w: “Perumpamaan dari petunjuk ilmu yang aku diutus dengannya bagaikan hujan yang menimpa tanah, sebagian di antaranya ada yang baik (subur), yang mampu menampung air dan menumbuhkan tumbuhan dan rumput-ampai yang banyak, di antaranya lagi ada sebagian tanah keras yang mampu menahan air yang dengannya Allah s.w.t memberikan manfaat kepada manusia untuk meminum, mengairi tanaman, dan bercucuk tanam…..” (HR. Bukhari & Muslim) Dah nak abih dah coretan ku sebab syarat untuk coretan kali ini hanya 4 muka surat je. Lain kali kalau ada sambungan kita sambung balik. Apa-apa pun: Antara perkarta terpenting perlu di fahami benar-benar dalam perjalanan untuk belajar memahami hakikat PhD ialah IKHLAS. Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) bentuk tubuhmu, tetapi Allah melihat (menilai) keikhlasan hatimu”. HR. Muslim. Pujangga juga berkata: “Betapa banyak amalan kecil menjadi besar kerana ikhlas, betapa banyak pula amalan besar menjadi kecil kerana ikhlas” Akhirnya Ayah Bonda berpesan “Tak harap hidup dipuji, Tak mati hidup dimaki, Buatlah demi Ilahi” Moga-moga kiranya tulisan ini memberi faedah bagi pembacanya, terlebih lagi bagi pengarangnya. Amin… “Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal yang belayar di lautan telah banyak kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini\" 38

Mimpi PhD dan Realitinya DR. WAN AZLAN BIN WAN ISMAIL Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani Doktor Falsafah PhD (UKM) - Pengurusan Sukan [email protected] Andainya dapatku ulangi …. Andainya dapatku ulangi masa kembali, alangkah indahnya hidup ini. Begitulah hal dan segala yang kurang sempurna dapat diperbaiki lagi. Begitu juga masa aku membuat PhD, akan ku lakukan dengan bersungguh-sungguh. Akan ku gapai… GOT dan cemerlang semasa VIVA PhD. Tapi itu hanyalah mainan perasaan dan mimpi yang telah berlalu. Sayangnya, masa sebenarnya tidak boleh diundur kembali. Sekarang aku telah berkerja …..cuma terkenang kembali liku-liku kehidupan semasa menyiapkan tesis PhDku dahulu. Ya… yang maha penting bersyukurlah kerana kita masih punya waktu untuk bernafas dan mengabadikan diri kepada Nya dengan baki masa yang tersisa ini. Ceritanya bermula…..Isnin, 3 Disember 2013 tarikh keramat aku mendaftar diri di UKM. Resah datang lagi... Perasaan tak tenteram datang lagi…. Bahaya betul bila tiba-tiba dok banyak berfikir ni. Macam-macam dalam kepala ni cukup berserabut. Macam wayang gambar pulak, satu- satu keluar di skrin otak ni. Ahhh.... kenapalah tiba-tiba fikiran aku ni kusut. Hari pertama... aku lapor diri sebagai pelajar PhD di UKM…. Kenapalah nak sambung PhD ni? Aku tahu, Bukan mudah...PhD ni. Aku sedar akan hakikat itu. Oleh itu, awal-awal lagi susahnya itu dah dipasak ketat dalam kepala. Aku buat keputusan untuk menghadapi apa jua rintangan dalam keadaan aku belajar sambil bekerja (PJJ..lah), sudah tahu ianya memang payah. Jika aku takut dan tidak mahu bermula sekarang, bila lagi? Semua perlukan pengorbanan.. Semua perlukan usaha. Dan semua perlukan doa kepada MAHA ESA. Bila dikenangkan aku bekerja tempat yang paling aman, selesa, tenteram, damai tanpa banyak kerenah di IPGKDRI ini. Di sini orang kenal aku. Di UKM pula aku terkial-kial….tambahan pula aku belajar Ijazah pertama di UPM dan Sarjana Pendidikan di UPSI. Untuk keluar dari kepompong selesa juga satu keputusan yang mengundang risiko. Ya…. Aku sedia. Hati berkata “ya, aku perlu bermula sekarang”, aku sudahpun berada di landasan yang betul..” Jangkaan kita tidak selalu tepat.. Harap-harap aku kekal lah belajar di sini, lagipun isteriku turut sama menyambung pengajian PhD di sini. Kadang-kadang jangkaan kita pun tidak selalu tepat, tiada jalan 39

pintas dalam menempuh pengajian PhD. Onak duri, tangis dan tawa banyak mewarnai perjalanan pengajian ini. “Hanya insan yang kental dan jitu berjaya memperoleh apa yang di hajati. Sentiasa Istiqomah, selalu berdoa dan sokongan keluarga serta semua pihak yang membantu untuk kita beroleh kejayaan dalam PhD”…..nasihat daripada rakan lama. Oh… supervisorku Selepas pendaftaran dan mengikuti program-program yang wajib, bermula lah kehidupan aku sebagai seorang pelajar PhD… juga… ayah dan suami. Hi..hi….. Aku sangat bersemangat dan tekad hendak habiskan segera dan pulang dengan skrol PhD. Oh ya, supervisorku (SV) seorang yang serius wajahnya iras penyanyi kumpulan “Blues Gang”. Pertama kali berjumpa perbincangan berjalan lancar, walaupun begitu aku tetap berdebar-debar. Tapi aku yakin Allah ada. Hubungan dengan SV agak baik, walau beliau kelihatan serius……percaya ke tidak…aku tidak pernah minum ke, makan ke bersama sepanjang 7 semester beliau sebagai SV. Aku jumpa SV selalunya tidak samapai 20 minit, cakap benda penting sahaja dan buat keputusan. Ya…..sekali sahaja SV aku ni telefon aku sepanjang belajar di UKM, itupun bukan pasal cerita research….ha..ha….anyway…..aku bertuah SV aku tidak menyusahkan hidup aku sebagai pelajar PhD. Kemudian setiap minggu aku berulang alik ke UKM dengan bas untuk mengikuti kelas yang diwajibkan untuk pelajar PhD ; 2 subjek iaitu Penyelidikan Kualitataif dan Penyelidikan Kuantitatif. Aku hanya mampu ambil 1 subjek untuk semester pertama dan 1 subjek lagi di semester kedua, ini disebabkan kekangan kerja di IPG. Pada semester ke 2, aku mengambil inisiatif mendaftar pula 1 subjek pilihan berkaitan analisis SPSS dengan Dr Jamil….setiap jumaat 6-8 malam. Setelah tamat semester 2, aku mendapat surat dari KPM lulus cuti CBBPTB ….cuti sepenuh masa tanpa biasiswa. Ahhh….aku sekarang pelajar full time….PhD. Rumah Sewa Aku berpakat dengan isteriku untuk menyewa sebuah rumah di Kajang dengan bayaran sewa RM600 sebulan. Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di awal pagi lagi. Setelah 6 bulan menyewa kami terpaksa keluar dari rumah sewa kerana masalah kewangan. Yuran pengajian kami berdua RM 3500 setiap semester, makan, perjalanan, kursus kemahiran dan seminar semua perlukan wang. Walaupun wang bukan segalanya …belajar PhD kena ada wang. Tanpa wang jemm….. rasa lost track (walaupun dah semester 3). Macam tiada arah……bila ada problem kewangan……Sebab tu penting untuk sambung PhD dengan kewangan yang kukuh, semangat saja tidak sampai ke mana. Surau PTSL OK. …Aku masih positif. Ini namanya penerokaan. Dalam proses mencari ilmu…Ya, Kekal positif. Aku kena lebihkan usaha dan bertenang. Ok.. cara belajar aku perlu berubah, ya…aku tidak lagi tinggal di rumah sewa. Aku mula menjadikan surau di 40

bawah Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) sebagai kediamanku. Aku datang pagi sebolehnya sebelum 8.30 pagi dah terpacak di dalam PTSL. Dan balik jam 12 tengah hari (paling awal) ke suaru. Mesti hari-hari rutin belajar begitu bila ke UKM dalam sebulan 1 hingga 2 minggu aku tinggal di sana (surau). Banyak perkara yang menarik sepanjang aku tumpang tidur di surau ini…….rakan-rakan PhD yang biasa tidur di sini ramai terdiri daripada pelajar dari Indonesia; abuya, pak ahmad, dan pak rizal. Aku pernah selama 4 minggu berturut-turut mendiami surau ini…..banyak jasanya. Walaupun kadang-kadang dimarahi oleh kakitangan yang menjaga surau ini, bila mana ada segelintir pelajar tidak menjaga kebersihan surau. Manakala kereta Avanzaku jadi almari pakaian……juga pustaka mini, penuh dengan buku, jurnal dan bahan rujukan. Bulan Ramadan Datang Lagi Sepanjang cuti belajar, bulan Ramadan di antara bulan yang di tunggu-tunggu…walaupun bulan puasa, rutin aku ke UKM seperti biasa. Kadang-kadang aku berada selama 7-10 hari di UKM pada bulan puasa. Ya…..memang sukar terutama waktu sahur,…selalunya..makan roti, kurma dan susu. Entahlah kenapa…aku cukup seronok berpuasa Ramadan di UKM…pagi ke PTSL sampai jam 6 petang, malam solat sunat terawih selalunya di Masjid UKM….suka sangat-sangat bila kenang saat itu. Saat yang paling gembira ialah waktu berbuka puasa di Masjid UKM……….makan dalam talam…4-5 orang satu talam…….sedap. Aku sangat merinduinya…….bila masuk waktu berbuka, berdoa dan makan bersama-sama, walau tak pernah kenalpun antara jemaah yang hadir untuk berbuka puasa. Kamarudin…. Oh ya sekali dengan aku ada seorang guru PJ dari Melaka bersama daftar PhD (Pengurusan Sukan) di UKM pada sesi semester 2, 2013/14, Cikgu Kamaruddin. Hanya kami berdua sahaja mendaftar pada semester itu. Kami berdua berkawan rapat dari semester 1 lagi. Beliau seorang yang rajin dan bersungguh-sungguh tetapi kami berlainan SV. Jadi, kami selalu berkongsi bahan, jurnal dan idea untuk tesis. Beliau juga belajar secara PJJ. Kadang-kadang kami mengumpat juga pasal SV masing-masing bersama. Hahaha…. Dan kami hadapi masalah yang sama….tiada idea dalam menentukan tajuk tesis. Penyataan masalah yang tiada masalah…. Literatur yang lama. Akhirnya, beliau di semester tiga mengambil keputusan berhenti, kerana proposal tidak diluluskan oleh SV untuk bentang di seminar………katanya belum cukup mantap. Beliau rasa banyak wang dihabiskan untuk bayaran yuran dan perjalanan ke UKM…..tapi tesis tiada progress. Ahhh….tinggal aku seorang……ya, perlahan-lahan kayuh. Blurr Macam yang disebut diatas, kerap bincang dengan rakan-rakan PhD, kerap juga berjumpa SV, tapi pencarian yang tak sudah-sudah tanpa dapat menjawab persoalan yang dikaji, literatur yang bercampur baur….tidak berfokus. Tajuk yang telah dibuat 41

dan ditunjukkan pada SV rasa masih blurr. Aku dah bazir masa berbulan-bulan kot. Macam-macam dah buat…..cari jurnal, baca buku, pergi kursus penulisan proposal dan penulisan jurnal. Huhu…….rasa sekejap dah semester 3. Proposal belum bentang lagi. Aku takut. Takut benda yang berlaku pada Cikgu Kamarudin….entah-entah sama je jadi dengan aku. Aku yang teruk. Takut juga…. Aku takut GAGAL... Positiflah… sangat Tapi…aku tetap positif. Ye..positif la sangat kan (huhuuhu). Aku cuba untuk positif tahap tertinggi. Aku yang kena ubah cara kerja. Tingkatkan usaha. Oh ya, research aku adalah dalam bidang Pendididkan Jasmani (PJ). Berusaha mencari rakan-rakan dari bidang PJ yang boleh memahamkan aku konsep dan teori dalam kajian ini. Ya. Aku buat. Tapi aku buat dan terus buat. Cukup time, aku tunjuk kerja dan ingin berbincang dengan SV kerana timbulnya beberapa perkara tidak jelas. Namun, tanpa melihat atau mendengar lanjut pandangan dari SV…terus menerus aku cari bahan baru pulak tapi menulisnya tidak……ya,.banyak meneroka….tapi tesisnya tidak bergerak-gerak. Aku buat…. Kemudian, ada benda yang perlu discuss, seperti biasa aku hanya banyak berfikir…tapi, tiada jawapan kepada persoalan yang hendak dikaji…..berpusing-pusing ditempat yang sama. Begitulah berbulan-bulan lamanya aku bertahan dengan alasan aku kena positif (sampai sekarang aku sangat menyesal kenapa aku terlalu nak sempurna dan positif-tapi buang masa!..menulis tidak. Ini yang aku fikirkan, siapa yang mampu membantu aku (lupa sekejap pergantungan kita hanya pada Allah). Dua orang kawan aku iaitu Nazif dan Amin, sama di Fakulkti Pendidikan mengajak aku bertukar fakulti ke Lestari. Alasan mereka berdua…2 semester belum dapat tajuk, SV suruh baca dan teroka saja…Buang masa katanya…Mereka nampak gembira dan bahagia dengan SV baharu, dapat pulak bilik penyelidikan sendiri dan yang hebat dapat dana kajian lagi. Aku pulak semua tangggung sendiri. Aku ada juga terlintas untuk mengikut jejak langkah mereka tapi,……..aku LAMBAT buat keputusan. Semuanya kerana TAKUT gagal. Akhirnya aku kekal di situ…tidak beralih arah. Proposal Kemuncaknya adalah bulan 5 , 2015 aku membentang proposal dengan keizinan SV, walaupun tidak mantap sangat proposal itu. Pada pagi pembentangan proposal, aku masih ingat bagaimana Ketua Pusat Pengajian Siswazah (PhD), menyuruh aku bersiap untuk slaid pembentangan. Ya…aku sangat gugup…kerana beliau seorang pensyarah yang tegas. Selepas pembentangan, keputusan diumumkan proposal kajian aku ditangguhkan dan mungkin dibatalkan…….kerana SV dan pembaca dalam tidak hadir. Aku panic sebenarnya…….rakan-rakan tertanya-tanya hal ini. Sekali lagi aku diminta hadir ke pejabat untuk menandatangani borang keputusan pembentangan…..dan aku diberi penjelasan yang pembentangan proposal aku dibatalkan…..terkedu sebentar. Kemudian……Allah Maha Kaya, tiba-tiba pembaca dalam untuk proposal aku muncul, dan menyerah laporan proposal tesis aku kepada Ketua Bahagian Siswazah……Ya, aku telah lulus proposal dengan pembetulan yang agak banyak……tak mengapa….lega, lepas satu stage… 42

Kembara Bermula Setelah selesai kajian rintis aku mula bergerak ke sekolah-sekolah di Kuala Terengganu bagi mendapat responden kajian. Kajian di Terengganu agak mudah, memandangkan masih ramai rakan guru PJ yang berada di sekolah menengah. Seterusnya kembara ini ke Selangor, daerah kajian di Kelang. Sebanyak 14 buah sekolah terlibat, sekolah di bandar dan luar bandar. Di daerah Kelang ini ada sebuah sekolah menengah pelajarnya lebih daripada 4000 orang. Sekolah menengah pelajar teramai di Malaysia. Hampir seminggu aku di Kelang, Selangor. Masalah utama di sini ialah jalan jem terutama waktu pagi. Di negeri Kedah pula kawasan kajian di daerah Sungai Petani, kajian di sini agak lancar dan menyeronokan, walaupun jauh sekolah luar bandar seperti di Bukit Selambau, Jeniang dan di sekitar Kota Kuala Muda. Selanjutnya ke Melaka, bumi Hang Tuah, daerah kajian di Alor Gajah; SMK Ade Putra, SMK Hang Kasturi, SMK Sungai Udang, SMK Tun Ghaffar Baba, SMK Tebong di sempadan Melaka/Negeri Sembilan….itu sekolah-sekolah yang masihku ingat. Banyak pahit manis sepanjang mendapatkan data di kempat-empat negeri ini…….pengalaman, bagaimana hendak berurusan dengan manusia…..yang kita tidak pernah jumpa…..dan kenal. Viva……Penat Aku “Teka…siapa pembaca luar? dalam sesi pembentangan Viva”..tanya kerani di pejabat fakulti Pendidikan. Aku hanya mampu tersenyum… “tak tahulah”... Pada 27.11.2016 aku masuk ke bilik Viva yang dingin tanpa kehadiran SV aku dan juga tanpa sokongan rakan, kerana aku merahsiakan tarikh tersebut. Bila mana, ‘pertempuran’ bermula…...soalan ditanya bertubi-tubi…. Tahu siapa yang ‘hebat’ dalam ‘viva’ tu? Pembaca luarlah……… yang mampu dijawab,…jawab, tidak tahu aku diam…….. ada beberapa perkara yang aku rasa tidak pasti tapi aku jawab juga…. Tapi siapalah aku. Budak tak pandai. Huhuhu. Nasib baik pengerusi Viva seorang Profesor yang cool….., hanya external yang banyak idea menyoal dengan lantang. Aku terasa macam ditembak dengan pistol. Bertalu-talu…. Seterusnya masa berjalan perlahan sangat rasanya,…aku cuba jawab dan jawab dengan ilmu yang sedikit cuma. Mana nak menang dengan seorang profesor import ini. Akhirnya aku senyum dan senyum. Sebab aku penat…..bila nak berakhir Viva ini. Tahniah untuk aku ketika itu kerana masih boleh kekal positif (aku hanya fikir biarlah sesi Viva ini cepat tamat saja). Akhirnya……….ya, aku diucapkan Tahniah….Dr Wan Azlan bin Wan Ismail…anda LULUS dengan pembetulan selama…….(biar rahsia). Ha..ha…Aku lulus…lulus, tau….Alhamdulilah….berbunga kemboja hatiku ini……rasa tak pijak bumi pulok. PhD suatu perjalanan panjang.. PhD bukan penamat pencapaian ilmu, bukan status utama, PhD suatu perjalanan yang panjang dalam pencarian dan perkongsian ilmu. Ilmu dalam menyiapkan satu kajian dalam bentuk tesis untuk dimanfaatkan, serta ilmu dalam mempersiapkan diri menjadi sebaik-baik insan kepada Pemilik Ilmu iaitu ALLAH. Seperti insan lain, saya juga mengalami saat turun naik dan pasang surut kerana saya masih seorang manusia biasa. 43


Like this book? You can publish your book online for free in a few minutes!
Create your own flipbook